Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label statistik. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label statistik. Papar semua catatan

    Bersih KL 2011 vs Protes Pelajar UK 2010

    10 Julai 2011 • 8 Komen
    Protes Pelajar di UK, 2010

    Bersih 2.0 di Kuala Lumpur, 2011


    1. Tujuan demonstrasi
    Bersih: Menuntut sebuah pilihanraya yang adil
    Protes Pelajar: Menentang keputusan kerajaan untuk menaikkan yuran pengajian.


    2. Permit diperlukan?
    Bersih: Ya.
    Protes Pelajar: Tidak.


    3. Adakah kedua-duanya diadakan di sebuah negara demokrasi?
    Bersih: Ya.
    Protes Pelajar: Ya.


    4. Bilangan peserta
    Bersih: 20,000 orang.
    Protes Pelajar: 50,000 orang.


    5. Jumlah tangkapan:
    Bersih: 1,401 orang.
    Protes Pelajar: 153 orang.


    6. Jika saya adalah peserta demonstrasi tersebut, kebarangkalian untuk saya ditangkap adalah:
    Bersih: 0.07005
    Protes Pelajar: 0.00306


    7. Wujudkah elemen keganasan dalam demonstrasi tersebut?
    Bersih: Ya. Keganasan dimulakan oleh pihak berkuasa. Dan menurut apa yang dilaporkan setakat ini, lebih ramai peserta yang tercedera. Masih tidak lagi kedengaran mana-mana polis dan FRU yang masuk hospital.
    Protes Pelajar: Ya. Keganasan dimulakan oleh segilintir peserta yang bodoh. Polis dan peserta sama-sama cedera dan masuk hospital.


    8. Adakah dengan berlakunya demonstrasi tersebut, membuatkan para pelancong takut untuk masuk Malaysia?
    Bersih: Ya, jika menurut apa yang dilaporkan oleh RTM, TV3 dan Utusan.
    Protes Pelajar: Tidak. Malah kalau ditawarkan pakej jalan-jalan secara percuma kepada rakyat Malaysia yang anti-perhimpunan aman, pasti mereka mahu walaupun mereka diberitahu bahawa di London ini selalu sahaja berlaku perhimpunan "haram".


    9. Adakah media tak habis-habis melaporkan isu seperti jalan sesak, majlis perkahwinan terganggu, sampah bertebaran, kedai terpaksa ditutup, teksi tak boleh cari makan dan sebagainya?
    Bersih: Ya.
    Protes Pelajar: Tidak.


    10. Gambar-gambar berkaitan
    Bersih: In Pictures: Protests suppressed in Malaysia
    Protes Pelajar: London tuition fee protest
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sosilawati, Kemalangan & Artis Bercerai

    19 September 2010 • 16 Komen

    i. Sosilawati

    Tiba-tiba berita kehilangan dan pembunuhan Sosilawati menjadi buah mulut orang-orang yang ziarah beraya. Emak saya, secara tiba-tiba juga sudah naik seriau dengan kes orang hilang. Ditambah lagi sejurus selepas kes Sosilawati, menyusul pula berita tiga orang pelajar perempuan Tingkatan 2 yang dilaporkan hilang.

    Akhirnya emak saya membuat kesimpulan: Kes orang hilang semakin menggila di Malaysia sekarang ini.

    Namun apa yang emak tidak sedar adalah bahawa, kes orang hilang sebenarnya telah mengalami penurunan atau tidak mengalami kenaikan yang ketara semenjak tahun 2007. Berikut adalah statistik yang dikeluarkan oleh PDRM:

    statistik pdrm
    Dari laman rasmi Polis Diraja Malaysia. 18 September 2010


    Apa yang berlaku di atas adalah kesan daripada sensasi yang dipopularkan oleh akhbar, televisyen dan radio. Jika berita jenis jenayah sahajalah yang menjadi bahan berita utama, maka ini memberikan kesan psikologi kepada orang awam bahawa jenayah sedang bermaharajalela (walaupun sebenarnya data statistik sedang menunjukkan penurunan).


    ii. Kemalangan

    Kesan psikologi yang sama juga boleh berlaku pada berita kemalangan jalan raya. Siarkan paling kurang 3 berita kemalangan setiap hari; kesemuanya mestilah kemalangan yang paling sadis, ngeri lagi menyayat hati; jadikan ia sebagai berita utama selama paling kurang seminggu, dan kita akan melihat rata-rata orang awam berpendapat bahawa sekarang ini musim kemalangan (walaupun pada hakikatnya, mungkin jumlah mangsa kemalangan maut pada bulan lepas adalah 400 dan yang berlaku pada 'bulan propaganda' pula cumalah 350).

    Kalau tidak percaya, lepas ini bila timbul semula 'trend' berita kemalangan yang membuatkan kita rasa ia semakin menjadi-jadi, sila lah cari mana-mana statistik kemalangan jalan raya yang berwibawa. Besar kemungkinan, ia tidak pun menunjukkan sebarang peningkatan yang signifikan.


    iii. Artis Bercerai

    Satu lagi bias yang berlaku pada persepsi kita adalah tentang perceraian artis. Bila media bergosip tentang para artis yang asyik bercerai-berai, kita sama ada secara sengaja atau pun tidak, telah menjana persepsi bahawa "artis sekarang" kalau kahwin mesti bercerai. Kita nampaknya lupa bahawa "artis dulu-dulu" pun selalu juga kahwin-cerai-kahwin.

    Sekadar menyebut beberapa contoh: P Ramlee pernah bercerai dengan Junaidah dan Norizan sebelum bertemu jodoh hidup matinya dengan Saloma; suami pertama Saloma pula adalah A.R. Tompel yang mana ketika itu sudah pun mempunyai seorang isteri bernama Putih Suraiti (ibu kepada A.R. Badul) dan suami kedua Saloma pula bernama Kaswan Yusak; Ruminah Sidek pula adalah antara wanita yang dinikahi oleh A.R. Tompel sesudah Saloma.

    Bahkan kita juga lupa bahawa daripada 22,289 kes perceraian pasangan Islam yang direkodkan di Malaysia pada tahun 2008, berapa kerat sangatlah di antaranya yang melibatkan artis dan selebriti. Mungkin 100 pun tak sampai. Bakinya yang beribu-ribu adalah sekadar orang biasa yang mukanya tidak pernah pun masuk TV.

    Namun oleh kerana media asyik menayangkan berita perceraian artis saban bulan, daripada Januari ke Disember, maka akhirnya tertanam dalam benak kita bahawa "artis zaman sekarang kalau berkahwin, mesti bercerai suatu hari nanti." Akhirnya kita terlupa yang orang biasa pun selalu sahaja bercerai-berai.


    Natijah

    Oleh kerana media massa berupaya untuk menjadikan sesebuah isu sebagai satu trend yang memberikan impak besar kepada rakyat, maka ia sering disalahgunakan oleh mereka yang berkuasa sebagai alat propaganda. Hal ini telah disentuh dengan baik di dalam buku Manufacturing Consent: The Political Economy of the Mass Media.

    Manufacturing Consent: The Political Economy of the Mass Media. Buku ini telah diadaptasi ke dalam bentuk filem dokumentari (tonton ia di Google Video).


    "Manufacturing consent" mungkin merupakan satu konsep yang sangat asing bagi kebanyakan kita. Secara mudah, kita bolehlah menterjemahkan ia ke dalam Bahasa Malaysia sebagai "mendapatkan restu".

    Saya berikan 2 contoh yang mana kerajaan mungkin sudah/sedang melakukan "manufacturing consent" dalam membuat sesebuah keputusan yang melibatkan dasar dan polisi negara.

    1. Tidak berapa lama dahulu, secara tiba-tiba media asyik membuat berita tentang bahaya gula kepada kesihatan. Rakyat asyik diberitahu dan diingatkan tentang apa yang tak eloknya gula ini, padahal kita semua sudah pun maklum akan hal itu. Perkara ini dilakukan buat beberapa ketika, dan bila masanya sesuai, subsidi gula pun diturunkan dan lalu harganya naik. Maka ini akan mengurangkan kemarahan pengguna kerana mereka telah pun dibasuh akan kejahatan gula ini.

    2. Kalau anda perasan, berita tangkapan mereka yang berjudi bola di negara kita pada Piala Dunia 2010 yang lepas, telah dilaporkan pada setiap hari sepanjang berlangsungnya kejohanan tersebut. Berita seperti ini tidak kerap sangat keluar pada Piala Dunia 2006. Kita semua tahu bahawa usaha kerajaan untuk 'menghalalkan' judi bola telah dilibas kuat oleh ramai pihak.

      Berita seperti itu sering dialunkan seakan-akan ingin memberitahu kita secara subliminal bahawa: "Orang tetap akan berjudi bola secara haram. Maka bukankah lebih baik kita 'halalkan' saja kerana dapat juga dipungut cukai daripada para kaki judi itu?" Maka, mungkinkah media tiba-tiba menekankan kisah orang yang kantoi judi bola, agar pada tahun 2014, kerajaan boleh berusaha sekali lagi untuk mendapatkan lebih banyak 'restu' bagi menghalalkan judi bola?

    Manufacturing consent atau pun bukan, mungkin anda perlu menentukannya sendiri. Salah satu caranya adalah dengan meneliti di halaman manakah berita itu keluar? Jika di muka paling hadapan, besar kemungkinan ia sedang melakukan 'manufacturing consent' kepada rakyat jelata.

    Maka sebab itu John Naisbitt, pengarang buku Mind Set!: Reset Your Thinking and See the Future, menyebut di dalam bukunya ini bahawa apabila membaca surat khabar, beliau memulakannya daripada bahagian muka belakang ke bahagian muka hadapan.

    Baginya, berita-berita sukan yang terdapat di halaman belakang selalunya dilaporkan tepat 100% seperti apa yang berlaku. Manakala berita-berita semasa yang terdapat di bahagian paling hadapan, selalunya dicemari dengan propaganda dan keselindungan fakta!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Apa Khabar FDI?

    29 Julai 2010 • 14 Komen

    Pembacaan tentang statistik di atas dari dua sudut yang berbeza:

    1. Pelaburan merudum: Najib patut berundur, 26 Julai 2010. "Prestasi Malaysia juga dianggap memalukan jika dibandingkan dengan ekonomi Thailand dan Indonesia yang tidak mengecut dengan teruk di sebalik menerima tempiasan krisis kewangan dunia itu."

    2. Malaysia kekal destinasi pelaburan menarik, 27 Julai 2010. "Ia perlukan kajian mendalam dan penyusutan aliran FDI bukanlah merupakan petanda negatif kepada aktiviti pertumbuhan ekonomi negara."


    Apa pun, gua cuma pelik bila FDI kita tidak begitu memberangsangkan, maka dikatakan ia bukanlah segalanya untuk menentukan aras positif ekonomi negara. Namun bila ada pelabur asing mahu cuba nasib di negara kita, ramailah pula orang-orang politik yang mendakwa itu petanda ekonomi Malaysia bagus, tanpa ada pun kajian mendalam yang dilakukan bagi memastikan kesahihannya.

    Gua tak faham..
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Belum Sampai Ajal

    26 Februari 2009 • 21 Komen
    Sewaktu botol susu masih kerap diulit di genggaman, saya nyaris-nyaris ditegur oleh Izrail sebanyak tiga kali.

    Pertama kerana kecuaian. Sedang saya ralit dipangku oleh kakak yang paling saya manja padanya, tiba-tiba pangkuan itu terlerai. Maka jatuh menjunamlah saya ke dalam parit yang letaknya sangat bersebelahan dengan tempat kakak melabuhkan punggungnya. Lumpur parit yang kehitaman telah melumuri kulit putih saya dengan sederas bersin. Segerombolan lumpur itu pula berjaya melolosi mulut; dan saya pun kecungapan.

    Kakak pula hanya mampu mengebilkan dua kelopak matanya kerana dia sibuk tergamam cuak. Mujurlah mulutnya masih punya kudrat untuk melaungi ibu di dalam rumah. Jiran terdekat, iaitu Wak Suradi sekeluarga, agak jauh rumahnya. Saya mungkin menjadi bahan berita akhbar pada keesokan hari jika ibu -- iaitu satu-satunya orang dewasa yang ada di rumah pada waktu itu -- lambat menyelamatkan saya.

    Kali kedua pula adalah kurang dramatik berbanding yang pertama, namun plotnya hampir sama: Saya terjatuh lagi ke dalam parit. Cuma bezanya, kali ini saya tidak dapat mengawal badan akibat terlalu asyik bercangkung di tepi parit sambil tangan saya memukul-mukul permukaan airnya dengan sebatang lidi halus. Seperti yang pertama juga, saya hampir lewat diselamatkan.

    Kes ketiga pula agak berbeza; ia berkaitan dengan apa yang saya makan. Ketika kecil, ada beberapa bulan di mana ibu tidak punya cukup wang untuk membelikan saya susu tepung lembu yang lazim dinikmati oleh bayi-bayi manusia. Daya kekreatifan ibu tiba-tiba menjadi aktif: Akibatnya susu pekat berjenama Dutch Lady yang menjadi antara rencah teh tarik, telah dijadikan gizi alternatif.

    Susu pekat ini harus ditambahkan dengan sedikit air bagi mengurangkan kelikatannya. Saya masih ingat lagi sewaktu di sekolah rendah, keluarga saya ada membela dua ekor kucing yang bernama Putih dan Hitam. Mereka berdua ini sangat suka meminum susu pekat yang telah dicairkan seperti apa yang pernah saya nikmati dahulu.

    Diet bidaah seperti itu lama-kelamaan menjadikan perut saya gendut. Saya ada gambar ketika saya gendut. Sekilas pandang terhadap gambar tersebut, kegendutan saya nampak seperlima daripada kegendutan perut kanak-kanak mangsa kebuluran Afrika yang sering kita lihat di media massa. Seperti juga mereka, saya sekadar gendut; dan tiadalah saya berisi apatah lagi gemuk. Kegendutan ini menjadi ciri fizikal saya yang sangat unik ketika kecil, sehinggakan Gendut ternobat sebagai antara nama timangan saya. Ada jiran yang berterusan memanggil saya Gendut sehingga sekarang. Baru-baru ini, apabila saya mengirim SMS kepada kakak dengan menggunakan nombor telefon saya yang baru, dibalasnya dengan pertanyaan "Ni siapa? Gendut ke?".

    Kegendutan yang berpunca daripada diet susu pekat Dutch Lady ini pada mulanya dilihat sebagai satu lelucon. Namun semakin hari ia menjadi semakin tidak kelakar apabila saya makan tetap makan, minum tetap minum, tetapi keluarnya hampir tidak pernah: Saya sembelit. Ibu membawa saya berjumpa doktor, lalu diberikan ubat. Kesannya, penghijrahan keluar segala apa yang telah lama tersimpan di dalam badan itu, akhirnya lancar mengikut sunnah manusia yang normal.

    Apabila susu pekat masih terus menjadi diet utama saya, sembelit itu datang lagi dan kali ini ia lebih kronik. Sehinggalah pada suatu hari, saya pengsan lalu terkulai layu. Badan saya menjadi biru. Ahli keluarga ada yang menangis-nangis kerana menyangka saya sudah pun pergi dulu. Sangkaan itu nyata merapu kerana saya masih terus bernafas walau sudah lebih dua dekad tragedi itu berlalu.

    Bila dan Bagaimana Kita Mati?

    Kisah saya yang nyaris-nyaris mati sewaktu kecil, tidak pernah saya tahu melainkan setelah ibu menceritakannya kepada saya. Pengalaman peribadi ini -- walau saya tiada langsung memori tentangnya -- makin mengukuhkan kepercayaan saya bahawa kita tidak akan mati kalau belum sampai ajal. Bahkan bagaimana kita mati itu pun sudah ditentukan Allah sejak azali lagi.

    Realiti tersebut memang sudah terlalu masyhur di benak kita. Untuk betul-betul yakin pula, sebenarnya tidaklah terlalu memerlukan kita untuk memiliki keimanan di tahap wali. Kekadang ketidakyakinan ini telah membantutkan beberapa perkara yang kita mahu cuba di dalam hidup.

    Saya mengenali seseorang yang pada mulanya bersungguh-sungguh mahu mendapatkan lesen kereta. Hujahnya agar mudah menuju destinasi tanpa perlu menyusahkan suami. Bila lesen sudah di tangan, hatinya tiba-tiba berubah. Kini katanya dia takut memandu kereta kerana risau mati kemalangan.

    Alasan ini ada benarnya. Bukan Malaysia namanya jika tiada kemalangan maut yang sangat mengerikan pada setiap hari. Hishamuddin Rais, pernah sekali membayangkan bahawa jalan raya di Malaysia ketika tibanya musim-musim perayaan, adalah lebih maha bahaya daripada medan pertempuran di Fallujah sewaktu berlangsungnya misi Bush untuk mencari WMD di Iraq.

    Namun setelah hampir RM 1000 dilaburkan untuk mendapatkan lesen kereta, kemudian enggan memandu sampai bila-bila kerana gusar mati kemalangan, maka ini jelas berkait-rapat tentang kekaburannya terhadap konsep ajal dan musibah. Buatlah apa jua untuk mengelak daripada memandu, namun kalau Allah kata bahawa nyawa akan dicabut melalui kemalangan jalan raya, maka ia wajib berlaku. Contoh, kita tumpang kereta kawan, kemudian dilanggar lori balak; lalu mati semua yang ada di dalam kereta.

    Mungkin saya perlu menenteramkannya dengan memberikan statistik bahawa lebih ramai manusia yang mati disebabkan sakit jantung, kanser dan strok berbanding kemalangan jalan raya. Dengan itu mudah-mudahan dia akan lebih menjaga pemakanannya.

    Kebarangkalian untuk mati kerana sakit jantung ialah 1/5, kanser 1/7, strok 1/24 dan
    kemalangan motokar 1/84. Statistik ini benar bagi negara Amerika Syarikat pada tahun 2004.


    Selain itu, mengukuhkan kepercayaan kepada konsep 'tak akan mati kalau belum sampai ajal', amatlah penting terutamanya di kalangan masyarakat kita yang cenderung berkereta [1]. Apabila ditanya kepada mereka yang memiliki kereta dan motosikal tentang mengapa memandu bersendirian [2] ke tempat kerja sedangkan kalau bermotosikal ia akan jadi lebih cepat, jimat, dan mesra alam; rata-rata menjawab bahawa 'motosikal tidak selamat dan mudah ditimpa kecelakaan'.

    Jawapan cliché seperti itu buat saya naik musykil. Benarkah mereka lebih cenderung berkereta kerana ia lebih selamat? Kalau melihat kepada statistik kemalangan bagi setiap tahun di negara kita, penunggang motosikal memang paling banyak ditimpa musibah jalan raya. Fakta ini semestinya telah membenarkan dakwaan mereka itu.

    Atau mungkinkah juga faktor ego turut ada peranannya? Menurut ibu saya [3], sehari selepas harga minyak naik dalam jumlah yang sangat besar pada bulan Jun 2008 yang lepas, bunyi deruman enjin-enjin kereta yang dipandu melintasi jalan di hadapan rumah, agak kurang berbanding hari-hari sebelumnya. Ini bermaksud, mereka yang kerap menggunakan kereta sebelum ini, telah kembali kepada motosikal demi menjimatkan duit minyak.

    Nah, jika keselamatan yang lebih diutamakan, bukankah lebih rasional jika kereta terus dipandu walaupun harga minyak melambung tinggi? Apabila harga minyak murah, kita mengatakan bahawa menunggang motosikal itu berbahaya. Sebaliknya apabila harga melambung, mengapa kita boleh pula memperjudikan nyawa dengan bermotosikal, yang sebelum itu didakwa sebagai sangat berisiko tinggi?

    Adakah dengan memilih untuk mengutamakan penggunaan kereta dan bukannya motosikal, maka kita berasa bahawa darjat kehidupan sudah lebih tinggi berbanding mereka yang bermotosikal? Mungkinkah ini semua adalah manifestasi kepada suatu fenomena di negara kita bahawa kenderaan terlalu melambangkan status dan ego penggunanya?

    Kadang-kala untuk memenuhi ego memiliki kereta yang jauh lebih selamat itu, saya secara peribadi pernah mengetahui individu yang sanggup berhutang dengan along untuk dijadikan bayaran deposit pembeliannya. Benar, berdasarkan angka statistik, motosikal tidak selamat berbanding kereta. Namun kalau sudah sampai berhutang dengan along, ini memang sahih tidak selamat sekeluarga, lagi tiada tenteram hidup dalam jangkamasa yang panjang. Akibatnya dia sekeluarga terpaksa lari ke kampung setelah rumahnya disimbah cat merah, di samping diganggu dengan ugutan-ugutan lain yang mengharukan.

    Maka mari kita merenung semula perkara asas berkaitan takdir. Apabila kita sudah mengambil langkah-langkah keselamatan sewaktu menunggang motosikal, patuh kepada segala undang-undang; lalu jika kita kemalangan juga, maka memanglah itu sudah satu suratan takdir. Andai Allah sudah menetapkan bahawa kita mati dengan sebab musibah motosikal, maka gunakanlah kereta sekerap mana sekali pun, bila tiba detiknya, kita akan tetap mati dengan sebab motosikal juga.

    Kapal terbang dikatakan sebagai alat pengangkutan paling selamat di dunia, namun ia masih boleh terhempas! Justeru itu apa yang penting, berhati-hatilah ketika berada di jalan raya. Bahkan, 96% daripada kecederaan dan kematian daripada kemalangan adalah hasil kegagalan manusia itu sendiri ketika berada di atas jalan raya [4]. Bukan sebab kereta, bukan sebab motosikal; sebaliknya sikap kita yang macam sial di jalan raya, yang selalu mengakibatkan kemalangan di pihak anda dan pihak lain yang tidak berdosa.

    Saidina Khalid bin al-Walid, merupakan seorang sahabat Rasulullah, telah terlibat dalam begitu banyak peperangan untuk menegakkan Islam sewaktu hidupnya. Semua orang bersetuju bahawa medan perang adalah satu wilayah yang sangat berbahaya dan penuh dengan kematian.

    Oleh yang demikian, bukankah sesuatu yang amat ganjil apabila Khalid bin al-Walid telah meninggal dunia di atas katil kerana sakit, dan bukannya dek kerana dibelah pedang, ditusuk lembing mahu pun ditembusi anak panah? Menangis beliau ketika sakit terlantar di atas katil kerana hajatnya untuk mati syahid tidak kesampaian.

    Kita pasti wajib bernafas selagi ajal belum sampai.

    Al-Fatihah kepada anak jiran saya yang meninggal dunia kerana demam denggi pada tahun lepas. Bua pengetahuan, anaknya ada 4 orang. 2 orang diserang denggi; seorang lelaki dan seorang perempuan. Si anak lelaki kena lebih teruk, namun takdir Allah memutuskan bahawa si anak perempuan untuk dijemput pergi.
    ---

    Nota Kaki

    ^ [1] Kereta tetap tidak boleh dinafikan kepentingannya. Ia adalah suatu komoditi yang memudahkan kita melakukan perjalanan jauh dalam masa yang lebih pantas. Walaupun begitu, kebergantungan yang terlalu tinggi terhadap penggunaan kereta peribadi untuk ke mana sahaja akan merencatkan pertumbuhan industri pengangkutan awam di sesebuah negara seperti bas, keretapi dan trem.

    Apabila nisbah kereta:penduduk bagi sesebuah kawasan semakin meningkat, nilai matematik ini wajib dilihat sebagai amaran bahawa keadaan trafik di tempat tersebut akan menjadi semakin sesak, dan ia boleh lumpuh jika tiada tindakan susulan.

    Tiada negara maju di dunia ini yang selekeh khidmat pengangkutan awamnya melainkan di Amerika. Itu pun kini Amerika baru menggelabah untuk memperbaikinya. Negara membangun seperti Malaysia, amat kurang orang politiknya yang sedar tentang betapa pentingnya untuk memajukan sektor yang amat kritikal ini. Sila baca tulisan saya yang berkaitan: Halangan #3: Bahana Konsumerisme dan Individualisme. Tulisan ini adalah tentang halangan-halangan yang menyebabkan basikal sukar dibudayakan di Malaysia.

    ^ [2] Kata kunci di sini ialah "bersendirian". Ini bermaksud di dalam artikel ini, saya menyentuhnya dalam konteks pengguna kereta yang sering memandu seorang diri sahaja.

    ^ [3] Betul atau tidak, saya tidak dapat memastikannya kerana saya tidak berada di Malaysia pada masa itu. Namun secara normal, sepatutnya begitulah natijah kenaikan besar-besaran harga minyak dunia.

    ^ [4] Panduan Pembelajaran Kurikulum Pendidikan Pemandu, diterbitkan oleh JPJ.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Anwar Ibrahim dan FDI 1 Trilion

    20 September 2008 • 21 Komen
    Kini ekonomi dunia sedang demam. Lantas sukar untuk saya percaya apabila Anwar Ibrahim mengatakan jika Pakatan Rakyat berjaya menggulingkan Barisan Nasional, maka akan ada sejumlah besar pelaburan langsung asing (FDI) yang bakal mengalir ke dalam Malaysia:
    Dalam sidang akhbarnya semalam, Anwar turut mengumumkan bahawa lebih USD 1 trillion pelaburan asing menanti untuk memasuki pasaran negara jika politik, kehakiman negara, media, polis, peraturan Bank Negara diperbaiki...

    ...Jika Pakatan Rakyat memerintah, kemasukan USD 1 trillion pelaburan asing akan menjana aktiviti ekonomi yang aktif dalam negara, sekaligus membantu pertumbuhan ekonomi negara yang boleh membawa kesejahteraan kepada rakyat. Ini yang sebenarnya rakyat kehendaki.
    Ya, 1 trilion. 1 trilion ialah nombor 1 yang diikuti dengan 12 sifar di belakangnya (1, 000, 000, 000, 000). 1000 juta = 1 bilion. 1000 bilion = 1 trilion.

    Angka ini terlalu besar dalam keadaan ekonomi dunia yang sedang meracau. Kalau pun ia sedang tak meracau, saya masih susah nak percaya. Belanjawan 2009 yang baru dibentangkan pun hanya diperuntukan sebanyak RM 207.9 bilion. Itu RM, bukan USD. Jika 5 kali belanjawan berikutnya menggunakan peruntukan sebanyak itu pun, nilainya masih lagi tidak dapat mengatasi USD 1 trilion. Sungguh tidak rasional apabila FDI melebihi belanjawan negara dalam jumlah yang sangat besar.

    Bahkan dalam tulisan Agenda Ekonomi Malaysia: Gagasan Pembangunan yang ditulis oleh Pak Anwar sendiri, ada menyebut bahawa:
    Pelaburan asing di Malaysia merudum ke RM14.69 bilion tahun lepas dari RM17.09 bilion pada tahun 2004, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan PBB di dalam Laporan Pelaburan Dunia 2006.
    Nilai pelaburan asing pada dua tahun yang berbeza itu, jika dicampurkan pun, masih lagi jauh dari nilai USD 1 trilion yang mungkin masuk sekiranya Pakatan Rakyat berjaya meraih kuasa. Nilai FDI pada USD 1 trilion adalah terlalu besar bagi sebuah negara, yang mana ia adalah hampir bersamaan dengan nilai FDI Global pada tahun 2007.

    Pada akhir tahun 2009, nilai ini adalah anggaran kos yang perlu ditanggung oleh Kementerian Kewangan Amerika untuk menaja misi perang di Iraq yang sudah pun memasuki tahun ke-5.

    Pada tahun lepas pula, The New York Times menganggarkan kos total peperangan di Iraq adalah sekitar USD 1.2 trilion. Di bawah adalah gambarajah daripada laporan tersebut untuk membolehkan kita melihat betapa besarnya nilai USD 1.2 trilion itu:

    Kos tahunan yang Amerika belanjakan untuk Perang Iraq jika dibandingkan dengan perbelanjaan-perbelanjaan yang lain. Klik gambar untuk paparan yang lebih besar.


    Segala fakta-fakta ini membuatkan saya tertanya-tanya sama ada lidah Pak Anwar tersasul, atau sengaja bluffing, atau penulis Harakah itu telah tersalah taip, atau dia tersilap dengar dan faham. Apa yang pasti, salah satunya mungkin betul.

    KEMASKINI:
    Ini komen saya dalam tulisan Hembusan Ditipu Harakah oleh Hasbullah:
    Anwar main psikologi di sini. Bila Anwar sebut ada pelabur yang "mewakili aset yang berjumlah USD 1 trilion", hal ni seolah-olah boleh buat orang-orang kampung faham bahawa pelaburan akan masuk sebanyak USD 1 trilion.

    Pengarang Harakah yang sepatutnya boleh lebih faham sikit-sikit tentang ekonomi berbanding orang biasa pun, boleh tertipu!

    Sekarang giliran saya pula nak main psikologi. Saya ada aset sebanyak USD 50 bilion. Tak banyak, cuma kurang USD 8 bilion saja berbanding Bill Gates. Saya mahu melabur di Malaysia. Jadi sekarang, ada sesiapa yang terfaham yang saya nak melabur sebanyak USD 50 bilion di Malaysia?
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Belajar Membaca al-Quran Dalam Masa 23 Jam

    04 September 2008 • 21 Komen
    Seperti biasa, bila Ramadhan menjuihkan anak bulannya, kita tetiba mendapat aura untuk membaca al-Quran sebanyak yang mungkin. Carian tentang 'Quran' paling kerap berlaku pada bulan yang permulaannya rahmah, pertengahannya keampunan dan penghujungnya adalah pelepasan dari api neraka.

    Gambar statistik carian al-QuranSumber dari Google Insights. Keputusan ini hanya melibatkan carian di Google.com sahaja. Puncak paling tinggi yang ditandakan dengan bulatan merah, berlaku pada awal permulaan Ramadhan.


    Orang dewasa yang masih merangkak-rangkak membaca al-Quran pun sedikit-sebanyak mahu turut sama menambahkan pahala. Ada 2 sebab utama mengapa lidah mereka masih perlu merangkak di kala kaki sudah pun pandai berlari:
    • Pertama kerana semasa kecil dahulu ibu bapa kurang menekankan didikan agama kepadanya;
    • Kedua pula kerana sudah tidak pernah membacanya lagi sesudah mereka menyantap pulut kuning sewaktu majlis khatam al-Quran di sekolah rendah dahulu.

    Apa pun, yang lepas sudahlah. Sekurang-kurangnya mereka ini ada azam untuk memperbaiki bacaan al-Quran. Ini sudah tentu jauh lebih bagus dari anak dara yang tiba-tiba mahu melancarkan semula bacaan al-Quran kerana majlis perkahwinannya itu nanti akan diserikan dengan majlis khatam al-Quran yang harus disertainya.

    Namun bagaimana sebenarnya mereka yang masih merangkak ini, mahu menjadikan bacaan al-Quran mereka lebih lancar dan betul pula tajwidnya?

    Cara terbaik sudah tentunya berguru dengan orang yang lebih arif dan pakar. Cuma masalahnya sifat kita sebagai manusia ini, semakin tua, semakin tinggi ego kita. Bila ego tinggi, segan juga sebenarnya untuk meminta tunjuk ajar tentang perkara-perkara asas dalam agama.

    Jadi untuk mengurangkan ketebalan muka, mungkin ada yang akan belajar membaca al-Quran melalui tutorial VCD. Saya sebenarnya sangat skeptikal dengan kaedah VCD jika ia tidak disertakan dengan proses pembelajaran dari 'the real teacher'. Seorang kenalan mak saya, yang pada mulanya bersemangat mahu belajar al-Quran dari mak saya, tiba-tiba membatalkan hasratnya kerana katanya dia sudah membeli satu set VCD belajar membaca al-Quran.

    Hal ini membuatkan saya musykil. VCD apakah yang mampu meyakinkannya untuk berguru dengan Ustaz VCD yang sudah tentu tidak dapat menyemak bacaannya nanti. Saya meng-Google untuk mencari mana-mana kedai siber yang menjual VCD belajar membaca al-Quran. Saya jumpa beberapa produk. Ada buatan Malaysia dan Indonesia.

    Dari Malaysia, ada satu produk yang mampu mengajar kita membaca al-Quran dalam masa 24 jam. Dari Indonesia pula, ada produk yang menjanjikan bisa (boleh) membaca al-Quran dalam masa 1 jam walaupun seseorang itu masih belum lagi mengenal huruf. Produk Indonesia lebih dahsyat! Situasi ini mengingatkan saya kepada buku Sams Teach Yourself CSS in 24 Hours yang pernah saya beli.

    belajar al-quranBoleh Membaca al-Quran Dalam Masa 24 Jam?

    Belajar x Dalam Masa y Jam

    Berdasarkan tajuk, buku itu seakan-akan menjamin saya mahir CSS dalam masa 24 jam. Namun sebenarnya ia bersifat hiperbola - ia sekadar satu sensasi untuk melariskan jualannya. Setelah khatam, saya mendapati jika buku itulah yang menjadi guru saya sepanjang masa, maka CSS saya akan selamanya melukut di peringkat beginner.

    Apa yang saya tahu, di samping membaca banyak tutorial dan artikel tentang CSS di internet, saya juga perlu menelaah beberapa lagi buku-buku lain untuk membolehkan saya memahaminya di peringkat advanced. Kesemua ini memerlukan masa yang jauh lebih lama dari 24 jam!

    Lalu saya menyedari bahawa tiada satu pun ilmu yang kita boleh menguasainya dalam masa x jam/hari/bulan/tahun. Mengatakan bahawa sesuatu ilmu itu boleh kita kuasai dalam tempoh masa yang tertentu adalah sesuatu yang tidak wajar. Ini ibarat kita mengatakan bahawa kuantiti ilmu bagi sesuatu bidang itu adalah bersifat tetap dan tidak merangsang kita secara pra-sedar untuk mendalami ilmu yang kita pelajari itu sedalam yang boleh. Penggalian ilmu, tak kiralah ilmu berkaitan Islam atau pun bukan, adalah berlaku sepanjang hayat.

    Saya boleh faham jika syarikat yang menghasilkannya memberikan alasan 'untuk tujuan pemasaran'. Ada benarnya juga hujah ini. Para pembeli berkemungkinan besar akan membeli produk yang bernama 'Belajar Membaca al-Quran Dalam Masa 24 Jam' berbanding 'Belajar Membaca al-Quran' atau pun 'Belajar Mengaji Bersama Ustaz Daud'.

    Namun cuba fikir elok-elok. Katakan kita masuk ke sebuah kedai. Di kedai itu ada menjual 2 jenis produk minuman teh pengurus badan. Produk teh A membawa slogan 'Kini anda boleh langsing dalam masa 30 hari!' Slogan produk teh B pula 'Kini anda boleh langsing dalam masa 20 hari!' Kedua-dua produk A dan B ini mempunyai tanda harga yang sama. Maka yang mana satu kita akan beli? A atau pun B?

    Situasi ini sama seperti produk VCD belajar membaca al-Quran itu. Setelah lebih kurang 4 tahun saya belajar membaca al-Quran sewaktu berada di sekolah agama (rendah), barulah saya boleh membaca al-Quran dengan lancar dan tidak terlalu lintang-pukang tajwidnya. Jika masa yang sebegitu lama boleh dikontotkan menjadi 24 jam, maka apa pula yang menghalangnya dari dikontotkan lagi menjadi 23 jam, 15 jam dan 10 jam? Produk dari Indonesia itu membawa mesej bahawa dengan usaha dan fokus, kita sebenarnya boleh belajar al-Quran dalam masa 1 jam sahaja!

    Maka berhati-hatilah dengan apa jua jenis produk yang menjamin anda boleh melakukan atau belajar perkara x dalam masa y jam/hari/bulan. Produk-produk yang bernama sedemikian boleh memberi maklumat yang salah kepada pembeli. Mengapa? Kerana bukan semua orang mempunyai kemahiran belajar dan menyerap maklumat yang sama.

    Walaubagaimana pun, dalam kes belajar membaca al-Quran ini, saya tetap juga menggalakkan agar membeli tutorial dalam bentuk VCD bagi sesiapa yang masih di tahap merangkak. Dengan syarat, jangan lupa juga untuk berguru dengan orang yang lebih arif dari kita.

    Sebagai penutup, semoga di era yang mana wujudnya sebilangan umat Islam yang lagaknya seperti para imam mujtahid, kita hanya boleh berharap agar tiada buku Belajar Berfatwa Dalam Masa 24 Jam yang bakal diterbitkan suatu hari nanti!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Panas, Proton & The Next Big Thing

    24 Mei 2008 • 8 Komen
    Lupakan sebentar isu kekalahan Malaysia dalam kes Pulau Batu Putih dari segi maruah dan kedaulatan, kerana jika ia dibincangkan dari aspek pemanasan global, Singapura juga bakal kehilangan pulau yang luasnya kira-kira dua buah padang bola sepak (Berdasarkan berita NTV7, katanya begitulah. Berdasarkan Wikipedia, ia seluas 2,000 m². Maka tidak logik jika keluasannya adalah 2 padang bola kerana jika mengikut ukuran piawai, luas minimum dua padang bola = 90 m x 45 m x 2 = 8100 m²) itu beberapa dekad dari sekarang. Saya menyedari hakikat ini setelah membaca berita terkini tentang kewujudan retakan yang sangat besar di Artik.

    Retak sepanjang 16 km ini bermaksud dunia sudah semakin panas dan ini bermakna akan lebih banyak ais yang cair. Lebih banyak ais yang cair, maka lebih banyak kandungan air laut. Lebih banyak kandungan air laut, bermaksud kawasan-kawasan rendah seperti Pulau Batu Putih itu akan dinaiki air yang tidak akan surut. Malah, kota-kota besar seperti London, New York dan Jakarta juga bakal tenggelam tidak lama lagi jika usaha mengawal pemanasan global ini secara proaktif tidak dilakukan oleh semua pihak.

    Be afraid, be very afraid.. [Kredit foto: Global Warming Art]


    Maka bagaimanakah Malaysia sebagai sebuah negara yang kecil boleh membantu masalah ini? Salah satu caranya adalah dengan melakukan inovasi besar-besaran dalam syarikat Proton dan Perodua supaya menghasilkan kereta berkuasa solar, elektrik ataupun udara, yang efisien dan mampu dimiliki oleh ramai orang.

    Syarikat Tata Motors dari India sudah pun menghasilkan kereta yang bergerak dengan kuasa udara termampat. Negara lain seperti Australia dan Korea juga sudah mula berfikir dan berusaha bagi mencari cara bagaimana udara boleh menggantikan minyak yang menjadi matawang dalam tamadun manusia zaman moden ini.

    Teknologi kereta yang tidak berasaskan petroleum, dan tidak pula menyebabkan pencemaran alam adalah the next big thing dalam industri permotoran. Jika Proton dan Perodua cepat menyedari realiti dan peluang ini, maka ia bukan sahaja dapat membantu krisis pemanasan global, malah dapat juga bersaing di peringkat antarabangsa dengan lebih hebat lagi.

    Tolonglah Proton, jangan terlalu berbangga dengan kereta Islamik pertama di dunia kerana kereta Volkswagen jiran saya sudah pun menjadi kereta Islamik yang entah nombor berapa sejak dahulu lagi. Masakan tidak, kompas Kaabah memang sudah berada di dalam keretanya. Malah drawer Volkswagennya itu pula sudah lama boleh menjadi tempat menyimpan tudung dan Al-Quran.

    Melainkan kita mahu sekadar berbangga dengan sebuah kereta yang terdapat kompas Kaabah dan ada pula tempat khas bagi menyimpan Al-Quran dan tudung, maka idea saya boleh dibakulsampahkan sahaja. Eh, tapi jangan lupa masukkan ia ke dalam tong kitar semula!


    Video kereta Air Car yang dihasilkan oleh MDI, iaitu syarikat dari Luxembourg,
    yang akan berkerjasama dengan Tata Motors.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sakit Paling Banyak

    21 April 2008 • 10 Komen


    Tidak hairan dunia ada banyak masalah sosial.. ¶ Teruskan membaca entri ini »

    La Tahzan #5 - Cukup Tampan, Cun & Hensem

    10 April 2008 • 12 Komen
    NOTIS RINGKAS:
    Mungkin agak lama untuk tulisan terbaru disiapkan sebab saya sibuk menjaga anak penguin, bla bla bla, merenung ombak di pantai bagi menemukan inspirasi, bla bla bla dan mana tahu jika saya mati esok lusa.


    Sekonyong-konyong dikhabarkan bahawa di tanah Malaysia, sekurang-kurangnya ada 15 orang yang cantik bertukar menjadi hodoh setiap tahun, yang mana semuanya adalah wanita. Arakian harus ditekankan bahawa mereka ini tidak memiliki ilmu Puteri Gunung Ledang yang membolehkannya bertransformasi menjadi nenek kebayan yang hodoh itu. Sebaliknya, perubahan yang mengerikan itu adalah gara-gara upacara suntikan dan pembedahan yang dilakukan oleh dukun-dukun kecantikan yang ghairah meraih duit pengeras.

    Saya boleh faham jika mereka yang berjumpa dukun-dukun kecantikan ini adalah kerana fizikal mereka terlalu hodoh, lantas menyebabkan masyarakat takut dan menyisihkan mereka. Ini sepertimana yang berlaku kepada seorang wanita Perancis bernama Chantal Sebire yang mendapat penyakit kanser wajah yang tidak boleh diubati. Kanser itu menyebabkan deria penglihatan, rasa dan dengarnya hilang. Kesemuanya itu sangat memberikan tekanan kepadanya sehingga beliau sanggup ke mahkamah untuk mendapatkan hak melakukan euthanasia secara sah.

    [chantal-sebire-face.jpg]
    Baca lebih lanjut kisahnya di BBC.


    Tetapi apa yang saya tidak boleh faham adalah mengapa manusia yang sudah cukup tampan, cukup cun dan cukup hensem, masih lagi tidak puas hati dengan apa yang diberi. Rambut, warna kulit, bentuk kening, bentuk bibir, yang sebenarnya tiada apa-apa masalah pun, semuanya mahu diubah. 2 hari lepas, saya membaca kisah seorang gadis remaja berusia 13 tahun dari London yang wajahnya telah bertukar menjadi seperti alien, gara-gara kerana mahukan rambutnya lebih perang dan bersinar.

    Lois Queen dimasukkan ke hospital setelah memakai pewarna rambut jenama L'Oreal.


    Oh ya, janganlah juga risau sangat tentang kedut-kedut yang muncul akibat proses penuaan (perempuanlah biasanya). Sebanyak mana masa dan duit yang dilaburkan bagi melawan proses yang tidak dapat dielakkan itu, ia tetap tidak akan berjaya selamanya. Semua orang akan tua, namun seperti yang dihumorkan oleh Mark Twain:
    Age is an issue of mind over matter. If you don't mind, it doesn't matter.

    Jadi, baik gunakan duit itu ke arah yang lebih bermanfaat. Masa itu pula boleh digunakan untuk sekurang-kurangnya merenung hakikat bahawa kita mungkin mati esok. Tiada satu pun manusia yang telah mati pada hari ini, ada berfikir di waktu semalamnya bahawa malaikat Izrail akan menjemputnya esok.

    Oleh yang demikian, saya mahu memberikan 5 sebab mengapa manusia sentiasa mahu lebih cantik, padahal apa yang sudah Allah beri itu sudah sempurna sifatnya. Fahami sebab-sebab ini dan insyaAllah akan terbit rasa syukur dan tenang di hati walaupun wajah kita tidaklah sejelita atau sekacak mana.

    Bagi lelaki, usahlah rasa tergugat sangat apabila melihat model-model yang memiliki abdomen 6-packs, sedangkan perut kita pula berbentuk 6-in-1 yang mana air akan bertakung di atasnya sewaktu kita mandi. Bagi perempuan pula, percayalah, 99% wanita di dunia ini tiada yang secantik Arwen dalam filem Lord of the Rings itu.

    Ingat, melainkan anda memiliki wajah seperti Chantal Sebire, maka anda tidak perlu mengubah wajah yang Allah kurniakan.

    Ini 5 sebab-sebabnya:

    1) Kurang rasa bersyukur

    Sebab yang pertama ini selalunya lebih menjangkiti artis (dan mak datin yang banyak duit). Maklumlah, orang yang selalu keluar tv dan majalah, kenalah sentiasa kelihatan comel dan cantik. Lalu ditempeknya mekap setebal 1 inci. Akhirnya, Madonna yang sebenarnya sudah 50 tahun umurnya itu pun, tiba-tiba nampak cantik bila berjoget di atas pentas.

    Itu kisah artis yang sudah tua. Artis yang masih muda jelita seperti Zahida Rafik pun masih tidak bersyukur dengan anugerah Ilahi. Alhamdulillah dia cepat insaf. Selain itu, kisah Michael Jackson yang terlalu ingin menjadi putih, berdagu terbelah dan berhidung mancung, sepatutnya menjadi pengajaran yang sangat berharga buat pencinta plastik.

    Dulu hitam, sekarang putih, dan putih itu tidak semestinya menawan.

    2) Penipuan solekan dan Photoshop

    Iklan-iklan kecantikan terutamanya, yang memaparkan seseorang itu sebagai sangat cantik dan kacak, sebenarnya lebih banyak yang menipu. Kecantikan digunakan untuk melariskan barang. Padahal wajah model-model tersebut tanpa solekan sebenarnya lebih kurang macam kita juga; ada rongga-rongga halus, ada noda-noda hitam dan ada kesan parut jerawat. Malah apabila perisian seperti Photoshop digunakan, makin cantik jadinya model tersebut. Bak bidadari!

    Wanita-wanita yang dicantikkan dengan teknik solekan dan Photoshop seperti gambar di bawah ini, hanya wujud di alam iklan. Mereka tidak wujud di alam nyata. Sekian dimaklumkan.

    [wanita-make-up.gif]
    Solekan dan perisian mengedit gambar seperti Photoshop boleh menjadikan seseorang
    kelihatan cantik seperti bidadari. Klik gambar untuk melihat video penuh.


    Dan janganlah juga kita terpengaruh dengan iklan-iklan luar negara, tidak ketinggalan juga filem-filemnya, yang memaparkan minah-minah saleh itu sebagai cantik tangkap maut. Bertahun-tahun saya duduk di negara mat saleh, jarang-jarang saya jumpa wanita cantik (yang tidak disolek) seperti di televisyen.

    Percayalah, bukan semua wanita mat saleh itu cantik. Sama ada gadis itu berbangsa Arab, Afrika, Amerika atau Melayu, biasanya statistik kecantikan bagi setiap bangsa itu tetap dibatasi oleh graf taburan normal yang standard. Ada yang benar-benar cantik, ada yang kurang cantik dan majoritinya pula adalah biasa-biasa sahaja.

    Lagipun, kecantikan itu adalah sesuatu yang bersifat relatif. Aku kata gadis ini cantik laksana bulan purnama, kau kata gadis itu seekor katak puru!

    3) Takut kehilangan cinta manusia

    Untuk sebab yang ketiga ini, saya bawakan sebuah kisah yang dilalui oleh Jocelyn Wildenstein. Oleh kerana terlalu takut ditinggalkan oleh suaminya yang sudah mula menggatal dengan perempuan lain, akhirnya Jocelyn secara beransur-ansur melakukan pembedahan plastik untuk menjadikan wajahnya menyerupai kucing hutan. Katanya, suaminya amat meminati kucing hutan, jadi dia berharap apabila rupanya semakin mirip dengan kucing hutan, maka suaminya itu akan lebih sayang kepadanya.

    Malangnya pembedahan demi pembedahan menjadikan suaminya semakin takut dengannya. Pada akhirnya Jocelyn menceraikan suaminya setelah menangkapnya berzina dengan seorang model Rusia yang berumur 19 tahun ketika itu.

    Siapa yang harus lebih dipersalahkan dalam hal ini? Paranoid isterinya, kecurangan suaminya atau pun ketidakfaham mereka tentang apa ertinya sebuah perkahwinan itu? (Klik gambar untuk paparan yang lebih besar. Klik sini untuk berita tentangnya).

    Cinta sesama manusia memang senang datang dan pergi. Dahulu saya ada menyentuh kisah seorang wanita yang ingin mengetahui adakah seorang lelaki itu benar-benar menyintainya. Maka jika ada masa, luangkanlah masa untuk membacanya.

    Cinta yang terlalu bersandarkan kepada rupa paras, itu bukanlah cinta. Itu nafsu. Berhati-hatilah memilih pasangan. Muka yang kacak, dahi yang licin, lesung pipit di pipi, dan tubuh yang putih gebu, bukanlah faktor-faktor yang menjaminnya menjadi seorang teman menangis di kala anda jatuh dihempap tangga.

    Ingat Mat, kalau kau utamakan faktor-faktor tu masa nak pilih pasangan, aku nasihatkan kau bela kucing aje. Sekurang-kurangnya kucing akan tetap setia 100% apabila kau ditimpa musibah yang maha dahsyat.

    4) Krisis identiti

    Kadang-kadang, krisis identiti yang berlaku pada seseorang itu menyebabkannya tekad untuk menghodohkan diri sendiri. Mereka rasa cantik dan bangga pula dengan apa yang dilakukannya, tapi sebenarnya kita sendiri yang tengok rasa kasihan. Mana tidaknya, apakah tidak kasihan melihat manusia yang sanggup menghabiskan wang yang banyak semata-mata kerana mahu menjadikan tubuh badan mereka seperti haiwan atau makhluk yang mereka gemari?


    Oh, saya sukakan kucing kerana kecomelannya, namun bila manusia jadi kucing itu memualkan saya.

    5) Tidak percaya kehebatan tempe dan ulam-ulaman

    Datuk Khir Toyo menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menuduhnya melakukan suntikan botox di wajah. Beliau berkata bahawa amalan memakan tempe adalah rahsia awet mudanya:
    Tempe selain mempunyai kandungan protein yang tinggi, ia juga mempunyai khasiat melawan kanser berikutan penyediaannya yang melibatkan proses fermentasi. Itu sahaja petua saya. Ini pembangkang fitnah saya pakai suntikan botoxlah, pembedahanlah sedangkan saya tak buat pun.
    (Khir Toyo nafi suntik Botox, Utusan Malaysia, 3 Februari 2008)

    Bagi yang tidak tahu, tempe adalah sejenis makanan yang sangat popular di kalangan masyarakat Jawa khususnya. Selalunya tempe akan digoreng terlebih dahulu sebelum dimakan, namun ada juga yang memakannya mentah-mentah.

    Sama ada Datuk Khir Toyo menggunakan tempe atau botox, tulisan ini bukanlah medan untuk mengulasnya. Apa yang pasti, ibu saya suka makan tempe, dan dia masih kelihatan muda walaupun umurnya sudah melebihi 60 tahun. Mungkin itu penangan tempe agaknya. Selain tempe, ibu saya juga suka makan ulam-ulaman. Tidak sah kalau sehari tidak memakan ulam.

    Lalu, mengapa menyuntik botox jika anda boleh memilih tempe serta ulam-ulaman yang segar dan organik? Suntikan botox bukan sahaja mahal dan haram kepada umat Islam, malah ia juga berbahaya kepada diri sendiri. Kalau muka jadi hodoh, jangan salahkan dukun kecantikan yang gilakan pengeras itu.

    Oleh itu basuh wajahmu dengan air wudhu selalu, insyaAllah berseri-seri wajah kita dipandang orang. Tak tampan, tak cun dan tak hensem tidak mengapa, janji jangan hilang seri wajah. Malah jika wudhu itu sempurna, bersinar-sinarlah kita di hari pembalasan nanti:
    Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat nanti dalam keadaan dahi, kedua tangan dan kaki mereka bercahaya, kerana bekas wudhu.
    (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

    ---
    JALAN-JALAN
    - Hukum pembedahan plastik dan kosmetik
    - Hukum mencabut bulu kening
    - Lagu nasyid Syukur oleh Raihan
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Epilog Politik Trilogi

    27 Februari 2008 • 21 Komen
    Ini adalah entri terakhir berkenaan politik buat pilihan raya umum kali ini. Saya berjanji tidak akan ada lagi entri politik selepas ini. Saya pernah memberitahu secara ringkas dahulu bahawa perkahwinan saya dengan politik akan gagal. Saya bukan political junkie. Namun ini tidak bermakna bahawa saya mengabaikannya sama sekali. Malah sebenarnya saya sangat sedih kerana tidak dapat mengundi tahun ini.

    Sepanjang saya menulis di blog ini semenjak November 2004, inilah kali pertama saya benar-benar menyentuh secara langsung tentang senario politik tanah air. Namun demikian, sepanjang dua siri penulisan saya yang lepas, saya teguh dengan pendirian untuk tidak menghasilkan tulisan yang bersifat untuk 'mengconvert' seseorang kepada parti yang saya sokong. Tulisan saya hanya berniat untuk mencetuskan sifat berfikir dan semangat inkuiri kepada para pengundi kita.

    Sudah tentu, saya ada parti yang saya sokong. Terus-terang saya katakan bahawa saya tidak berdiri di atas pagar dalam hal-ehwal politik. Pernah dengar kata-kata bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher?
    Standing in the middle of the road is very dangerous; you get knocked down by the traffic from both sides.

    Namun saya juga tidak fanatik kepada apa yang saya pilih. Fanatik berlaku apabila yang salah dikata betul dan yang betul dikata salah. Oleh itu, saya benar-benar berharap agar suatu hari nanti ahli-ahli politik di Malaysia boleh memiliki pendirian seperti Datuk Shahrir Abdul Samad yang berani untuk tidak bersetuju dengan suara majoriti ahli-ahli parti yang diwakilinya, iaitu BN/UMNO. Saya ingin benar melihat ahli-ahli politik kita menjadi lebih matang dengan memahami bahawa:
    Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik. (Sultan Muzaffar)

    Polisi saya dalam politik mudah sahaja. Saya lebih menitik-beratkan calon berbanding parti yang diwakilinya, seperti mana yang dihuraikan dengan baik oleh Rausyanfikir:
    Islamik (walaupun akidahnya bukan Islam) dalam berkerja seperti Lee Lam Thye sewaktu beliau menjadi wakil rakyat di Bukit Bintang adalah lebih baik dari seorang ustaz yang menjadi wakil rakyat yang hanya petah bercakap di pentas ceramah berbanding menyelesaikan masalah rakyat secara praktikal.

    SEJENAK TENTANG MANIFESTO NEGARA KEBAJIKAN

    Dalam pilihan raya kali ini, parti-parti yang bertanding mengeluarkan senarai manifesto yang bertujuan untuk mengurangkan kesempitan hidup rakyat. Sebelum kita percaya kepada mana-mana manifesto, amati 3 poin penting yang ingin saya sampaikan ini.
    1. Prinsip Pareto
    2. Kos sara hidup di Malaysia murah?
    3. Ekonomi yang meningkat = Taraf hidup juga meningkat?

    1) Prinsip Pareto

    Prinsip ini juga dikenali dengan Hukum 80/20 yang mana ia pertama kali diaplikasikan dalam lapangan ekonomi. Apabila prinsip ini diaplikasikan dalam negara kita (mahu pun negara lain), maka secara kasarnya 80% kekayaan Malaysia dipegang oleh 20% rakyatnya.

    Oleh itu, 80% rakyat kita hanya mendapat 20% sahaja kekayaan yang dijana oleh ekonomi negara kita. Siapa dia 80% rakyat yang dimaksudkan ini? Mereka adalah golongan kelas pertengahan dan miskin. Keluarga saya adalah dari kelas pertengahan, maka kami tahu bagaimana peritnya hidup di Malaysia sekarang ini dalam keadaan harga barang yang semakin naik dan naik.

    Jikapun anda orang yang kaya (yang mewakili 20% rakyat Malaysia), tolonglah kami yang 80% ini. Undilah mereka yang benar-benar mampu untuk mengurangkan keperitan hidup golongan 80% ini. Kepada golongan kelas pertengahan pula, anda sendiri tahu bagaimana harga barang sekarang. Mari kita berdoa agar tragedi ngeri "harga-minyak-naik-tidak-berapa-lama-setelah-tamatnya-Pilihanraya-Umum-2004" supaya tidak berlaku lagi pada tahun 2008 ini.

    Konotasi "mengurangkan keperitan rakyat" juga tidak semata-mata merujuk kepada tahap kemurahan hati bantuan kewangan yang dihulurkan itu. Saya juga merujuknya sebagai semudah mana bantuan itu hendak diagihkan. Tolonglah, saya kalau boleh tidak mahu melihat lagi Malaysia tersenarai dalam buletin yang saya selalu terima dari Muslim Aid. Negara kita masih kaya. Saya fikir negara-negara Islam lain lebih layak untuk menerima bantuan Muslim Aid yang bernilai hampir RM 300K itu. Afghanistan dan Kemboja pun tidak menerima sebanyak Malaysia.

    Jangan biarkan karenah birokrasi menyebabkan seorang anak kecil yang tinggal di sebuah pondok usang beratap rumbia, tidur dengan perut berkeroncong, di dalam sebuah negara yang bernama Malaysia.

    [muslimaid.jpg]

    £45,883 bersamaan kira-kira RM 291,000


    2) Kos sara hidup di Malaysia murah?

    Baru-baru ini akhbar nasional kita mengeluarkan statistik yang cuba untuk membandingkan harga barangan negara kita dengan negara lain. Saya tidak akan melarang anda untuk membacanya. Cuma jika anda ingin mempercayainya, sila dengar ini dahulu.

    Di Ireland, pekerja yang sapu-sapu jalan pun akan mempunyai gaji minimum €8/jam. Dalam sebulan, biasanya mereka boleh mendapat sekurang-kurangnya €1000. Saya tekankan bahawa itu nilai gaji bulanan minimum yang boleh diperolehi oleh seorang tukang sapu. Berapa besar nilai €1000 ini?

    Pelajar Malaysia yang belajar di sini sudah boleh hidup selesa dengan €700/bulan. Malah dengan €700 ini, ramai di antara mereka yang mampu lagi untuk makan angin di negara-negara Eropah sekurang-kurangnya setahun sekali. Ini kerana di sini, harga barangannya murah dan kos hidup pula rendah berbanding Malaysia.

    €700 ini besar nilainya di sini. Harga sebuah laptop biasa pun selalunya tidak melebihi angka tersebut. Sekarang beritahu saya apa yang kita boleh beli di Malaysia dengan gaji RM 700/bulan? Berapa bulan punya gaji perlu kita kumpulkan untuk membeli laptop Dell Inspiron 1525 yang berharga RM 2099 di Malaysia? (Dell.ie menjualnya pada harga runcit €479).

    Maka bagi saya, statistik yang dikeluarkan dalam akhbar itu sebenarnya tidak tepat dan mengelirukan. Ia tidak mengambil kira nisbah jumlah gaji/harga barangan.

    Anda mungkin seorang yang kaya-raya dan tidak ada masalah kalau harga barang naik. Namun ingatlah bahawa majoriti rakyat (iaitu 80% rakyat) tidak kaya. Saya tinggal di Padang Jawa. Ini kampung moden yang terletak di Shah Alam yang merupakan antara bandar paling pesat membangun di Malaysia. Sekali-sekala ketika saya menunggang motorsikal untuk ke masjid, di suatu senja yang hening, saya akan melihat seorang ayah ditemani anak perempuan kecilnya yang masih berbaju sekolah rendah, sedang terbongkok-bongkok mengorek dan menggodek buangan sampah untuk mencari barang buangan yang boleh dikitar semula untuk dijual.

    Sekali-sekala juga, saya akan melihat seorang ibu tua lumpuh yang duduk di atas kerusi roda, bersama dua orang anaknya yang masih lagi kecil, berhijrah dari satu buangan sampah ke buangan sampah yang lain. Tujuannya tetap sama seperti ayah di atas: Mencari sampah untuk dijual bagi mendapatkan sesuap nasi.

    Kasihani mereka.

    3) Ekonomi yang meningkat = Taraf hidup juga meningkat?

    Sila fahami bahawa ekonomi yang baik tidak bermaksud taraf hidup rakyat yang 80% itu juga akan baik. Baca artikel ini jika mahu memahaminya dengan lebih lanjut.


    EPILOG POLITIK TRILOGI

    Maka buat kali terakhir, saya menyeru kepada pembaca-pembaca blog ini yang bakal mengundi di pilihan raya kali ini dan yang akan datang, supaya fikir dahulu sebelum pangkah. Pastikan juga anda tahu apa yang membuatkan undi anda terjatuh dalam kategori undi rosak. Dan tolonglah turun mengundi. Kalau masih buntu untuk memilih yang mana, maka choose the lesser of two evils.

    Sebelum saya mengakhiri tulisan ini, ingat lagi dengan 15 Perkara yang Saya Belajar Dari Google Trends? Ini sedikit kemas kini tentang salah satu dari 15 perkara tersebut:


    Freedom or bondage, it's your vote! Ke arah masyarakat yang tidak idiokrasi.

    ---
    Artikel lain dalam siri Politik Trilogi:
    1) Pusara di Pilihan Raya
    2) Bahana Perang Bendera dan Poster
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    15 Perkara Saya Belajar Dari Google Trends

    16 November 2007 • 11 Komen
    Mari lihat ilmu apa yang boleh kita gali dari Google Trends*!

    SC = Screenshot.
    Oleh kerana trend geografi yang ditunjukkan oleh Google Trends kadang-kala akan berubah-ubah mengikut masa, maka fungsi SC adalah untuk menjadi dalil kepada trend yang berlaku pada waktu artikel ini ditulis. Apapun, biasanya perubahan itu tidak begitu signifikan.

    Jadi saya mempersembahkan 15 perkara yang saya pelajari dari Google Trends:


    1) Industri hiburan nasyid dan dangdut (SC) memperlihatkan persaingan sengit. Jika di Malaysia, lebih ramai peminat nasyid yang tertumpu di Alor Setar dan Batu Pahat. Dangdut pula mendapat sambutan paling hangat di Kuantan.

    Secara umum, di Malaysia nasyid lebih popular berbanding dangdut. Perkara yang sebaliknya berlaku di Indonesia. Tetapi saya masih tertanya-tanya apa yang membuatkan dangdut tiba-tiba mencanak naik pada akhir 2006. Ada idea?


    2) Yang mana lebih popular di internet tentang solat*, puasa, zakat dan haji? (SC). Nampaknya di Malaysia, 'solat' lebih popular terutama di Ipoh. Di Indonesia, 'puasa' adalah lebih popular, manakala 'haji' menjadi carian paling popular di Brunei.

    Carian apa paling tidak popular bagi ketiga-tiga negara bermajoriti Muslim ini? Z-A-K-A-T = ZAKAT! Zakat adalah carian paling tidak popular bagi ketiga-tiga negara, yang mana ia langsung tidak popular di Brunei. Bolehkah statistik ini memberitahu kita bahawa umat Islam sebenarnya tidak begitu minat mempelajari tentang zakat, apatah lagi membayarnya? Hanya Allah yang tahu.

    Berdasarkan graf di bawah pula, kita akan menemui sesuatu yang lebih menarik tentang 4 dari 5 rukun Islam yang ada. 'Puasa' kelihatan popular di akhir-akhir tahun, yang mana ia bersamaan dengan ketibaan bulan Ramadan. Pada masa yang sama juga, carian tentang 'solat' agak meningkat pada bulan puasa dan kemudian turun semula setelah Ramadan berlalu pergi. Maka sekarang kita tahu bahawa lebih ramai orang ingin belajar/memperbetulkan solat apabila tiba bulan Ramadan.



    Carian 'zakat' pula menjadi sedikit popular setelah Ramadan masuk beberapa hari. Begitu juga dengan carian 'haji' yang bertambah setelah kira-kira 2 bulan berlalunya Ramadan. Saya rasa, tidak salah untuk membuat kesimpulan bahawa bulan Ramadan, Syawal, Zulqaedah dan Zulhijjah adalah bulan 'menuntut ilmu' bagi kebanyakan orang.

    Perhatikan juga kolum News reference volume. Kelihatan berita tentang haji adalah yang paling kerap berlaku. Saya kira, untuk menggalakkan umat Islam melakukan solat dan zakat, maka media massa perlu juga menyentuh selalu tentang dua rukun Islam yang tidak kurang pentingnya berbanding haji itu.


    *Oleh kerana terdapat variasi pada istilah dan ejaan solat, maka saya menggunakan operator logik OR, iaitu |, semasa membuat perbandingan.


    3) Penduduk Kedah lebih suka mengambil tahu tentang Islam (SC) terutama di kawasan Alor Setar. Populariti 'Islam' secara umumnya stabil sepanjang tahun, tetapi seperti terdapat sedikit penurunan pada tahun 2007.


    4) Peminat Akademi Fantasia (SC) lebih ramai tinggal di Kota Kinabalu, diikuti dengan Kota Bahru. Juga dapat diperhatikan bahawa populariti Akademi Fantasia menjunam pada tahun 2006 dan 2007.


    5) Walaupun orang kata bahawa Malaysia sejak akhir-akhir ini asyik kemaruk Akademi Fantasia, tetapi nampaknya Islam masih tetap mendahului Akademi Fantasia (SC). Cuma pada satu masa di tahun 2005, pernah sekali populariti Akademi Fantasia mendahului Islam. Salahkan Mawi (SC)! (lihat pertengahan 2005).


    6) Hamza Yusuf dan Tariq Ramadan (SC) adalah dua orang ulama Islam yang terkenal di sebelah Barat. Walaupun pada mulanya populariti Tariq Ramadan jauh mengatasi Hamza Yusuf, namun sejak kebelakangan ini, semakin ramai mula mengenali Hamza Yusuf.

    Juga perhatikan bahawa Tariq Ramadan begitu popular di Perancis. Pengguna yang menggoogle Tariq Ramadan kebanyakkannya berbahasa Perancis, dan ini mungkin menjadikan beliau kurang popular di negara-negara yang tidak menggunakan bahasa ini sebagai bahasa pertama atau kedua.

    Manakala Hamza Yusuf (yang berpengkalan di US) nampaknya memiliki pengaruh yang besar di UAE, Mesir, UK, Arab Saudi dan Malaysia. Beliau juga sangat dominan di bandar Kaherah, diikuti Birmingham dan London.


    7) Datuk Seri Zainuddin Maidin dan orang-orang dari Kementerian Penerangan akan menghadapi masalah besar dalam proses penukaran (lagi-lagi tukar) istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia (SC).


    8) Siti Nurhaliza pernah jauh leeeeeebih popular dari Dr Mahathir (SC). Oops, tunggu dulu! Satu ketika dahulu, Ayah Pin (SC) pernah lebih popular dari Siti Nurhaliza dan Dr Mahathir.


    9) Dari aspek politik pula, populariti Tun Dr Mahathir hampir sentiasa mengatasi Pak Lah (SC). Namun pada kira-kira pertengahan 2007, Pak Lah jauh lebih popular dari Dr Mahathir. Ini mungkin disebabkan pernikahan Pak Lah pada bulan Jun yang lepas.


    10) Mari kita berspekulasi ke atas pertembungan UMNO dan PAS* (SC) pada pilihanraya umum tidak lama lagi.

    Jika carian 'UMNO' dan 'PAS' di Google dapat menggambarkan secara kasar peratusan undi yang bakal diterima oleh kedua-dua parti politik gergasi Malaysia ini nanti, maka adakah UMNO melalui tiket BN akan menang mudah di Kedah dan Melaka? Adakah Shah Alam dan Johor Bahru akan tetap menjadi kubu kuat UMNO? Adakah persaingan sengit akan berlaku di Pahang, terutamanya di bandar Kuantan?

    Kita saksikan ramalan Tok Bomoh Google!


    UMNO = Biru | PAS = Merah


    *Oleh kerana istilah 'PAS' tidak begitu unik, dan ada bermacam-macam PAS di dunia, maka saya menghadkan segmen geografi - iaitu hanya di Malaysia. Dengan cara ini, PAS yang dibandingkan dengan UMNO akan berkemungkinan besar merujuk kepada Parti Islam SeMalaysia.


    11) Walaupun secara fizikal Malaysia lebih besar dari Singapura, tetapi di internet, Singapura mengatasi Malaysia (SC).


    12) Dalam ledakan internet sebagai alternatif kepada media tradisional, Berita Harian dan Utusan Malaysia (SC) semakin mengukuhkan posisinya. Pertumbuhan saluran berita alternatif seperti Harakah dan TranungKite kelihatan agak statik dan mungkin memerlukan revolusi yang lebih agresif.

    Harakah sebagai contoh, hanya menjadi sangat popular pada tahun 2004 (iaitu tahun Pilihanraya Umum Ke-11). Selepas itu prestasinya seakan kurang hormon pertumbuhan. Satu lagi laman berita alternatif, iaitu Malaysia Today mengalami pertumbuhan positif yang memberangsangkan:




    13) Blog vs akhbar. Blog menang dan semakin menang. Ini trend di Malaysia (SC) mahu pun pada peringkat global (SC). Kesimpulannya, gunakan blog dengan sebaiknya dalam usaha mempromosikan idea, pendapat, dakwah, dan nasihat yang baik.


    14) Orang Ipoh, Melaka dan Batu Pahat adalah kelompok paling ramai yang memerlukan biasiswa / tajaan / scholarship (SC). Carian ini biasanya menjadi sangat popular pada sekitar bulan Februari dan Mac setiap tahun.


    15) Di internet ada lebih banyak syurga dari neraka! (SC)


    --------------------
    * Kadang-kadang trend akan berubah mengikut masa. Statistik dari Google Trends ini juga tidak boleh dijadikan satu statistik yang mutlak, memandangkan data yang dipungut hanya bersandarkan Google
    database sahaja, dan bukan satu set lengkap dari Yahoo, Ask.com, Live Search dan sebagainya.

    Di samping itu, data tersebut juga akan berlaku sedikit bias kerana tidak semua orang guna internet! Tetapi secara umumnya begitulah refleksi minda semasa masyarakat. Gunakan nasihat Google ini sebaiknya:
    "Google Trends aims to provide insights into broad search patterns. Several approximations are used when computing your results. Please keep this in mind when using it."

    --------------------
    BACA JUGA:
    Is Islam.. Is Malaysia
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Makan-Makan, Tambah Lemak

    12 Mac 2007 • 13 Komen
    Ini entri trailer bagi pos yang akan datang. Sebelum ini ada teaser. Maka: Teaser > Trailer > Entri yang sebenar.
    ---

    Kita ada berita mengejutkan. Hampir 10 juta rakyat Malaysia mengalami masalah kegemukan atau pun bahasa terbelit lidahnya dipanggil obesiti. Ini petikan beritanya:
    KUALA LUMPUR 23 Feb. – Hampir 10 juta penduduk negara ini menghadapi masalah kegemukan, kebanyakannya berpunca daripada pengambilan makanan segera yang melampau. Anggaran tersebut merangkumi mereka yang melebihi berat badan ideal melalui pengiraan Indeks Jisim Tubuh (BMI).

    Pegawai Sains Bahagian Reproduksi Manusia Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Kamarul Faridah Kamarul Zaman berkata, masalah itu diburukkan dengan sikap ibu bapa yang mengambil jalan mudah memberikan anak mereka makanan segera untuk menjimatkan masa... [1]

    Eh, kamu percaya ke laporan tu? Hampir 10 juta gemuk. Bukan main-main tu. Rakyat Malaysia dalam 24 juta orang sahaja [2]. Nak buat kira-kira kita jadi mudah, maka kita katakan 9 juta rakyat Malaysia gemuk, dan ada 27 juta rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Nisbah 27:9 bermaksud 3:1. Jadi, bagi setiap 3 orang rakyat Malaysia, satu daripadanya mengalami masalah obesiti. Ooi, biar betul!

    Kita berjalan kaki untuk bersiar-siar di sebuah taman. Jumpa orang pertama; kurus. Jalan lagi. Jumpa orang kedua; kurus juga. Kita pun jalan lagi. Jumpa orang ketiga; orang ketiga itu pasti gemuk. Kalau orang ketiga yang kamu berselisih itu tidak gemuk, maka itu sebab kamu sendiri yang gemuk.

    Statistik itu agak meragukan. Mana mungkin rakyat Malaysia lebih kurang 1/3 mengalami masalah kegemukan. Angka itu terlalu tinggi. Saya harap Utusan melakukan ralat dalam angka itu. Saya sekali tengok angka 10 juta itu, sudah tergelak-gelak. Nilai tak munasabah. Tak ada kah pakar statistik dan kesihatan di Malaysia yang mahu mempertikaikan angka itu?

    Saya buat sedikit carian internet. Ini apa yang saya jumpa:
    Kerajaan menganggarkan 4.4 juta rakyat berusia lebih 18 tahun di negara ini akan mengalami kegemukan atau obesiti menjelang 2020 berbanding kira-kira 3.3 juta orang dewasa yang menghadapi gejala itu ketika ini. Punca utama yang menyumbang kepada masalah obesiti ialah perubahan gaya hidup serta corak pemakanan yang tinggi kandungan lemak dan karbohidrat.
    (4.4 juta rakyat gemuk menjelang 2020, Berita Harian, Jumaat – 3 Jun 2005) [3]

    Oops, berita tahun 2005 kata dijangka 4.4 juta rakyat obesiti menjelang tahun 2020. Tapi laporan 2007 mengatakan: 10 juta obesiti pada tahun 2007. Laporan Berita Harian ini nampaknya lebih meyakinkan. Utusan mungkin buat silap dalam membuat laporan itu. Jadi, jangan tuduh para blogger sahaja yang memberikan laporan yang tidak boleh dipercayai, akhbar utama nasional pun tak boleh percaya juga kadang-kadang.

    Sepatutnya, Utusan melakukan kajian yang lebih dalam sebelum menerbitkan laporan seperti itu. Baiklah, kita katakan (katakan sahaja) nilai 10 juta itu betul. Maka adakah ia merangkumi semua peringkat umur? Dari 1 - 100 tahun? Atau statistik itu cuma melibatkan dewasa berumur 18 tahun ke atas? Dari 10 juta itu, berapakah pula peratusan lelaki dan perempuan?

    Dan sepertimana yang dilaporkan Utusan, "Anggaran tersebut merangkumi mereka yang melebihi berat badan ideal", maka dengan kata lain nilai 10 juta itu merangkumi individu kelas berlebihan berat badan (overweight) dan gemuk yang kritikal (obese). Maka berapa juta overweight dan berapa juta obese? Menjadi overweight tak bermaksud seseorang itu tidak sihat, tetapi obesiti memang sah tidak sihat. Mengapa dua angka penting itu tidak diberitahu?
    Dan artikel "10 Juta Rakyat Malaysia Gemuk" ini diletak di bawah Laporan Khas? Eh, macam tak khas sahaja.

    Dan yang paling penting, adakah ayah kita, mak kita, nenek kita, dan orang-orang biasa lain yang baca berita tu, faham ke menatang apa BMI itu? Dengar istilah itu macam ganas dan hebat. Kalau sebut BMI sambil borak-borak di kedai kopi, aduh, persis seorang saintis gayanya. Entah faham entah tidak. Nak buat cerita jadi mudah, maka Utusan sekadar menterjemahkan BMI (Body Mass Index) itu kepada Indeks Jisim Tubuh.

    Kalau mahu lapor berita, apa salahnya buat betul-betul sampai orang biasa yang tak mengaji sains boleh faham apa itu BMI. Baru pembaca boleh sedar apa pentingnya BMI. Kalau tak mahu terangkan, sila jangan gunakan benda-benda boombastik.

    Akhbar kita jarang melaporkan berita-berita seperti ini dengan pendekatan yang kritikal dan holistik (menyeluruh). Hanya sebab Dr Chua Soi Lek bawa isu tentang pengharaman iklan makanan segera di Malaysia, maka barulah tiba-tiba nak tulis pasal isu kesihatan.

    Oleh sebab laporan yang dibuat berdasarkan kehendak semasa, dan bukan kerana mahu menyedarkan masyarakat, maka terbitlah laporan-laporan hidup-segan-mati-tak-mahu-nak-ditanam-tiada-tanah seperti itu. Ia tidak kritikal. Kalau saya ini orang besar Utusan atau pun Berita Harian, mahu sahaja saya bawa seluruh wartawan saya pergi ke BBC, CNN dan Al-Jazeera untuk belajar dari mereka bagaimana mahu menulis laporan yang kritikal. Atau untuk jimat kos, kita panggil beberapa orang dari sana untuk datang ke tempat kita, dan memberikan sedikit tunjuk ajar.

    Hanya ada satu kumpulan topik sahaja yang akhbar nasional kita akan melaporkannya secara kritikal, dengan lengkap, tanpa ada tertinggal walau satu huruf pun. Iaitu apabila melibatkan gosip panas artis. Tak percaya? Lihat dan pandang semula ke masa belakang tentang kisah-kisah:
    1. Siti dan Datuk K
    2. Datuk K dan jandanya
    3. Janda Datuk K membawa diri ke Australia
    4. Mawi dan Ina putus tunang
    5. Erra dan Yusri bercerai
    6. dan dot dot dot...err atau mungkin Erra dan Datuk M?
    Untuk bedtime story bergenre demikian, walau lautan api pun sanggup mereka renangi. Kalau tidak, mana mungkin RTM menemuramah Tuan Guru Nik Aziz tentang epik agung Mawi dan Ina (lihat video). Rosak-rosak...dan bedtime story inilah yang rakyat kita baca awal-awal di waktu pagi.

    Sebagai penutup, betul ke 10 juta?

    ---

    Nota Kaki

    [1] 10 juta rakyat Malaysia gemuk, Utusan Malaysia, 24 Februari 2007.
    [2] 23,953,136 (Anggaran populasi Malaysia pada Julai 2005) dari Answers.com
    [3] Dari Berita Kesihatan, USM
    ¶ Teruskan membaca entri ini »