Tulisan ini mempunyai 2 bahagian. Ini bahagian pertama. Baca bahagian kedua.

Di kala harga minyak dunia yang semakin mengerikan, idea berbasikal adalah sesuatu yang genius. Kalaulah cadangan ini pertama kali dipopularkan di Malaysia oleh para pencinta alam (ehem, seperti saya) dan bukannya oleh Shahidan Kassim[citation needed], maka idea tersebut pasti tidak akan mendapat persepsi yang buruk, dan lebih malang lagi ia telah dijadikan bahan lawak oleh manusia yang naik minyak setiap kali harga minyak naik di Malaysia.
Ketika di zaman sekolah dahulu, saya mempunyai sebuah basikal untuk saya bergerak ke sana-sini. Saya sayang basikal saya dan basikal itulah kekasih saya. Malangnya apabila saya mula mengenali kapcai bernama Honda 70cc sewaktu berada di tingkatan 2, saya semakin curang kepada kekasih saya. Lama-kelamaan, hubungan kami yang erat itu terputus. Beberapa tahun berlalu, saya betul-betul tidak menyangka jodoh saya bersama basikal masih panjang. Kami sekali lagi dipertemukan di kota Dublin. Rupa-rupanya basikal tidak pernah pun menyimpan dendam terhadap saya. Maka sepanjang tinggal di sini, basikal dengan gembiranya telah menumpahkan khidmat dan baktinya kepada saya. Saya menangis terharu.
Sedihnya apabila saya sesekali pulang bercuti ke Malaysia, tabiat buruk saya yang suka bermain kayu tiga itu berulang kembali. Sepanjang bercuti, tidak pernah sekali pun kaki ini mengayuh pedal basikal. Untuk bergerak ke sana-sini, saya lebih suka meminjam motor kapcai Yamaha milik abang saya. Saya cuba menyimpan rahsia ini serapi yang mungkin kerana jika basikal yang berada di Dublin itu tahu tentang skandal ini, pasti gugur hatinya.
Namun bak kata orang tua-tua, "Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga." Rahsia yang terbongkar ini menyebabkan basikal betul-betul merajuk dengan saya. Basikal tetap enggan memberikan kemaafan walaupun saya membawanya bersiar-siar di tepi terusan yang berdekatan dengan rumah saya. Buat pengetahuan, terusan ini adalah tempat yang paling digemarinya di kota Dublin ini. Kata basikal, suasana di terusan ini romantik dan boleh menenangkan hati yang resah.
Akhirnya, saya tiada pilihan lain kecuali menjualnya kepada kawan saya pada harga 55 Euro berserta kuncinya sekali. Kini segala pengalaman pahit manis saya bersama basikal hanya tinggal satu kenangan. Sehingga kini, hidup saya masih bersendirian tanpa kehadiran sebuah basikal. Namun, saya tetap keliru siapakah yang patut dipersalahkan dalam tragedi ini. Jika di sini, sayalah sebenarnya yang terhegeh-hegeh memujuk basikal supaya menjadi kekasih saya. Namun di Malaysia, basikal saya tolak jauh-jauh pula.
Setelah melakukan muhasabah diri, akhirnya saya diberikan petunjuk oleh Allah. Sebenarnya apabila berada di Malaysia, ada 5 halangan yang menyebabkan cinta saya kepada basikal beralih arah dengan begitu mudah. Saya akan menceritakan apakah halangan-halangan ini kepada sesiapa yang masih sudi membaca luahan hati yang tidak seberapa ini.
Saya percaya sekiranya saya dapat merobohkan sekurang-kurangnya satu halangan, maka saya akan lebih bersemangat untuk pergi ke pasar, kedai, masjid, rumah jiran dan menghantar anak penguin saya ke tadika dengan menggunakan basikal. Jika kelima-lima halangan ini berjaya dirobohkan, maka tidak mustahil saya akan berbasikal untuk ke tempat kerja (dengan syarat jaraknya tidak melebihi 5 km).
Saya cenderung untuk berbasikal bukan semata-mata kerana mahu menjimatkan petrol, tetapi lebih kepada untuk mengurangkan pencemaran dan kepanasan dunia yang semakin membimbangkan ini. Malah, saya juga mahu mengelakkan badan saya yang tidak berapa sasa ini daripada diselaputi oleh lemak-lemak yang tidak diundang. Saya tidak mahu gemuk, kerana menurut satu kajian yang sedikit kontroversi, mereka yang gemuk atau pun obese ini, pernah dijadikan sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada berlakunya Kesan Rumah Hijau!
Insya-Allah bersambung di bahagian ke-2. ¶ Teruskan membaca entri ini »







