Sumber dari Google Insights. Keputusan ini hanya melibatkan carian di Google.com sahaja. Puncak paling tinggi yang ditandakan dengan bulatan merah, berlaku pada awal permulaan Ramadhan.Orang dewasa yang masih merangkak-rangkak membaca al-Quran pun sedikit-sebanyak mahu turut sama menambahkan pahala. Ada 2 sebab utama mengapa lidah mereka masih perlu merangkak di kala kaki sudah pun pandai berlari:
- Pertama kerana semasa kecil dahulu ibu bapa kurang menekankan didikan agama kepadanya;
- Kedua pula kerana sudah tidak pernah membacanya lagi sesudah mereka menyantap pulut kuning sewaktu majlis khatam al-Quran di sekolah rendah dahulu.
Apa pun, yang lepas sudahlah. Sekurang-kurangnya mereka ini ada azam untuk memperbaiki bacaan al-Quran. Ini sudah tentu jauh lebih bagus dari anak dara yang tiba-tiba mahu melancarkan semula bacaan al-Quran kerana majlis perkahwinannya itu nanti akan diserikan dengan majlis khatam al-Quran yang harus disertainya.
Namun bagaimana sebenarnya mereka yang masih merangkak ini, mahu menjadikan bacaan al-Quran mereka lebih lancar dan betul pula tajwidnya?
Cara terbaik sudah tentunya berguru dengan orang yang lebih arif dan pakar. Cuma masalahnya sifat kita sebagai manusia ini, semakin tua, semakin tinggi ego kita. Bila ego tinggi, segan juga sebenarnya untuk meminta tunjuk ajar tentang perkara-perkara asas dalam agama.
Jadi untuk mengurangkan ketebalan muka, mungkin ada yang akan belajar membaca al-Quran melalui tutorial VCD. Saya sebenarnya sangat skeptikal dengan kaedah VCD jika ia tidak disertakan dengan proses pembelajaran dari 'the real teacher'. Seorang kenalan mak saya, yang pada mulanya bersemangat mahu belajar al-Quran dari mak saya, tiba-tiba membatalkan hasratnya kerana katanya dia sudah membeli satu set VCD belajar membaca al-Quran.
Hal ini membuatkan saya musykil. VCD apakah yang mampu meyakinkannya untuk berguru dengan Ustaz VCD yang sudah tentu tidak dapat menyemak bacaannya nanti. Saya meng-Google untuk mencari mana-mana kedai siber yang menjual VCD belajar membaca al-Quran. Saya jumpa beberapa produk. Ada buatan Malaysia dan Indonesia.
Dari Malaysia, ada satu produk yang mampu mengajar kita membaca al-Quran dalam masa 24 jam. Dari Indonesia pula, ada produk yang menjanjikan bisa (boleh) membaca al-Quran dalam masa 1 jam walaupun seseorang itu masih belum lagi mengenal huruf. Produk Indonesia lebih dahsyat! Situasi ini mengingatkan saya kepada buku Sams Teach Yourself CSS in 24 Hours yang pernah saya beli.
Belajar x Dalam Masa y Jam
Berdasarkan tajuk, buku itu seakan-akan menjamin saya mahir CSS dalam masa 24 jam. Namun sebenarnya ia bersifat hiperbola - ia sekadar satu sensasi untuk melariskan jualannya. Setelah khatam, saya mendapati jika buku itulah yang menjadi guru saya sepanjang masa, maka CSS saya akan selamanya melukut di peringkat beginner.Apa yang saya tahu, di samping membaca banyak tutorial dan artikel tentang CSS di internet, saya juga perlu menelaah beberapa lagi buku-buku lain untuk membolehkan saya memahaminya di peringkat advanced. Kesemua ini memerlukan masa yang jauh lebih lama dari 24 jam!
Lalu saya menyedari bahawa tiada satu pun ilmu yang kita boleh menguasainya dalam masa x jam/hari/bulan/tahun. Mengatakan bahawa sesuatu ilmu itu boleh kita kuasai dalam tempoh masa yang tertentu adalah sesuatu yang tidak wajar. Ini ibarat kita mengatakan bahawa kuantiti ilmu bagi sesuatu bidang itu adalah bersifat tetap dan tidak merangsang kita secara pra-sedar untuk mendalami ilmu yang kita pelajari itu sedalam yang boleh. Penggalian ilmu, tak kiralah ilmu berkaitan Islam atau pun bukan, adalah berlaku sepanjang hayat.
Saya boleh faham jika syarikat yang menghasilkannya memberikan alasan 'untuk tujuan pemasaran'. Ada benarnya juga hujah ini. Para pembeli berkemungkinan besar akan membeli produk yang bernama 'Belajar Membaca al-Quran Dalam Masa 24 Jam' berbanding 'Belajar Membaca al-Quran' atau pun 'Belajar Mengaji Bersama Ustaz Daud'.
Namun cuba fikir elok-elok. Katakan kita masuk ke sebuah kedai. Di kedai itu ada menjual 2 jenis produk minuman teh pengurus badan. Produk teh A membawa slogan 'Kini anda boleh langsing dalam masa 30 hari!' Slogan produk teh B pula 'Kini anda boleh langsing dalam masa 20 hari!' Kedua-dua produk A dan B ini mempunyai tanda harga yang sama. Maka yang mana satu kita akan beli? A atau pun B?
Situasi ini sama seperti produk VCD belajar membaca al-Quran itu. Setelah lebih kurang 4 tahun saya belajar membaca al-Quran sewaktu berada di sekolah agama (rendah), barulah saya boleh membaca al-Quran dengan lancar dan tidak terlalu lintang-pukang tajwidnya. Jika masa yang sebegitu lama boleh dikontotkan menjadi 24 jam, maka apa pula yang menghalangnya dari dikontotkan lagi menjadi 23 jam, 15 jam dan 10 jam? Produk dari Indonesia itu membawa mesej bahawa dengan usaha dan fokus, kita sebenarnya boleh belajar al-Quran dalam masa 1 jam sahaja!
Maka berhati-hatilah dengan apa jua jenis produk yang menjamin anda boleh melakukan atau belajar perkara x dalam masa y jam/hari/bulan. Produk-produk yang bernama sedemikian boleh memberi maklumat yang salah kepada pembeli. Mengapa? Kerana bukan semua orang mempunyai kemahiran belajar dan menyerap maklumat yang sama.
Walaubagaimana pun, dalam kes belajar membaca al-Quran ini, saya tetap juga menggalakkan agar membeli tutorial dalam bentuk VCD bagi sesiapa yang masih di tahap merangkak. Dengan syarat, jangan lupa juga untuk berguru dengan orang yang lebih arif dari kita.
Sebagai penutup, semoga di era yang mana wujudnya sebilangan umat Islam yang lagaknya seperti para imam mujtahid, kita hanya boleh berharap agar tiada buku Belajar Berfatwa Dalam Masa 24 Jam yang bakal diterbitkan suatu hari nanti! ¶ Teruskan membaca entri ini »





