Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel Sensei • Hubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label ramadhan. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label ramadhan. Papar semua catatan

    Baju Raya Baru

    22 Julai 2012 • 19 Komen
    Setiap kali raya, setiap kali itulah dilema. Dilema sama ada perlu beli baju raya baru atau tidak untuk tahun ini. Maksud saya, baju hari raya yang pertama. Bagi lelaki, biasanya tentu baju kurung Melayu.

    Dave Ramsey, The Total Money Makeover: A Proven Plan for Financial Fitness


    Betul, memang sunat berbaju raya baru setiap tahun.

    Tapi cuba kita renung: Rasulullah walaupun menganjurkan kita untuk memakai pakaian baru setiap kali tibanya 1 Syawal, namun Baginda juga seorang yang sangat zuhud dalam bab berpakaian. Jika ada yang koyak di sana-sini, Rasulullah sendiri yang jahit dan tampal; tidaklah terus ia dibuat lap kaki hanya kerana ia sudah koyak.

    Memiliki pakaian baru di zaman itu adalah sesuatu yang sangat jarang-jarang berlaku bagi golongan kebanyakan. Maka bila tibanya Syawal, inilah masanya untuk membeli pakaian baru. Dan ia kemudian akan dipakai dengan sangat kerap sehinggalah tiba Syawal yang berikutnya.

    Nah, bandingkan dengan kita pula. Sesudah raya, berapa ramai di antara kita yang terus memakai baju Melayu itu sekurang-kurangnya seminggu sekali? Benar, kita boleh berhujah yang baju Melayu baru ini boleh digunakan untuk solat. Tapi bagaimana pula dengan koleksi baju Melayu daripada raya-raya sebelumnya yang sudah pun merimbun di gerobok?

    Sementelahan lagi, oleh kerana baju Melayu ini lazimnya hanya digunakan untuk solat atau ke kenduri (ada ke yang guna untuk main bola?), maka ia susah untuk jadi lusuh dan buruk. Baju raya yang saya beli 10 tahun dahulu, masih lagi cantik biarpun ia agak kerap digunakan. Itu pun hanya "bajunya" yang saya gunakan. Dan saya sendiri sudah lupa bilakah kali terakhir saya memakai "seluarnya".

    Maka mari kita melihat isu ini dari sudut yang lebih luas: Apa guna membeli baju Melayu baru setiap kali Syawal jika pada akhirnya ia digunakan 2-3 kali sahaja setahun? Adakah ini benar-benar sunnah, atau pun suatu pembaziran bertopengkan "sunnah"?

    Apa yang pasti, di Syawal yang mendatang ini, baju hari raya pertama saya adalah daripada tahun lepas. Sampinnya pula tetap sampin yang telah saya gunakan selama 10 tahun berturut-turut.

    Andai majoriti manusia semua berfikiran macam saya, mahu jatuh ekonomi dunia ini. Tapi apa guna ekonomi kencang yang bertiangkan pembaziran?
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Gambar Sambutan Ramadhan Serata Dunia

    22 September 2008 • 18 Komen
    Saya adalah antara peminat ruangan The Big Picture dari laman Boston.com. Bahkan saya melanggan feed ruangan tersebut.

    Entri terbaru The Big Picture memuatkan 35 keping gambar tentang sambutan Ramadhan di banyak tempat di seluruh dunia. Kalau tak tengok gambar-gambar tu memanglah rugi. Ini sekadar 3 keping gambar yang ada di sana. Perhatian: Gambar yang saya muatkan di blog ini adalah bersaiz kecil dan rendah kualitinya berbanding di sana.

    Seorang kanak-kanak sedang menyediakan juadah berbuka puasa di Masjid Memon, Karachi, Pakistan.


    Kanak-kanak Palestin yang cacat penglihatan sedang membaca al-Quran dalam tulisan Braille di sebuah sekolah agama di Ramallah.


    Waktu maghrib 17 Ramadhan di Masjid Faisal, Islamabad, Pakistan.


    Blog ini akan berehat seketika. Insya-Allah akan bersambung kembali sekurang-kurangnya dua minggu setelah berlalunya 1 Syawal (tapi tak tentu lagi, bergantung kepada pelbagai faktor. Mungkin juga lebih lama). Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri tak lama lagi! Andai ada tersilap kata dan terkasar bahasa, maafkanlah daku ini.

    Saya dedikasikan lagu ini buat pembaca blog saya yang baru mahu pun lama :)


    Raihan & NowSeeHeart - Satu Pagi Di Hari Raya



    KEMASKINI:
    Terima kasih kepada sesiapa yang buat dedikasi Aildilfitri untuk saya di ruangan komen. Saya tak mungkin dapat membalas dan mengucapkan terima kasih bagi setiap dedikasi. Namun kalau identitinya saya ketahui, insya-Allah saya akan balas sama ada di blog masing-masing, atau pun menerusi e-kad, tetapi bukan di ruangan komen di bawah ini :)

    Sebenarnya kalau boleh, saya nak juga buat dedikasi menerusi Radio IKIM. Tapi memandangkan saya jauh dan tiada pula kabel besar dan gugusan kroni di stesen radio berkenaan, maka terpaksalah daku kuburkan cita-cita ini. Okeh terima kasih sekali lagi.

    P.S. Pembaca senyap blog ni pun janganlah malu-malu kucing nak hantar dedikasi!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Belajar Membaca al-Quran Dalam Masa 23 Jam

    04 September 2008 • 21 Komen
    Seperti biasa, bila Ramadhan menjuihkan anak bulannya, kita tetiba mendapat aura untuk membaca al-Quran sebanyak yang mungkin. Carian tentang 'Quran' paling kerap berlaku pada bulan yang permulaannya rahmah, pertengahannya keampunan dan penghujungnya adalah pelepasan dari api neraka.

    Gambar statistik carian al-QuranSumber dari Google Insights. Keputusan ini hanya melibatkan carian di Google.com sahaja. Puncak paling tinggi yang ditandakan dengan bulatan merah, berlaku pada awal permulaan Ramadhan.


    Orang dewasa yang masih merangkak-rangkak membaca al-Quran pun sedikit-sebanyak mahu turut sama menambahkan pahala. Ada 2 sebab utama mengapa lidah mereka masih perlu merangkak di kala kaki sudah pun pandai berlari:
    • Pertama kerana semasa kecil dahulu ibu bapa kurang menekankan didikan agama kepadanya;
    • Kedua pula kerana sudah tidak pernah membacanya lagi sesudah mereka menyantap pulut kuning sewaktu majlis khatam al-Quran di sekolah rendah dahulu.

    Apa pun, yang lepas sudahlah. Sekurang-kurangnya mereka ini ada azam untuk memperbaiki bacaan al-Quran. Ini sudah tentu jauh lebih bagus dari anak dara yang tiba-tiba mahu melancarkan semula bacaan al-Quran kerana majlis perkahwinannya itu nanti akan diserikan dengan majlis khatam al-Quran yang harus disertainya.

    Namun bagaimana sebenarnya mereka yang masih merangkak ini, mahu menjadikan bacaan al-Quran mereka lebih lancar dan betul pula tajwidnya?

    Cara terbaik sudah tentunya berguru dengan orang yang lebih arif dan pakar. Cuma masalahnya sifat kita sebagai manusia ini, semakin tua, semakin tinggi ego kita. Bila ego tinggi, segan juga sebenarnya untuk meminta tunjuk ajar tentang perkara-perkara asas dalam agama.

    Jadi untuk mengurangkan ketebalan muka, mungkin ada yang akan belajar membaca al-Quran melalui tutorial VCD. Saya sebenarnya sangat skeptikal dengan kaedah VCD jika ia tidak disertakan dengan proses pembelajaran dari 'the real teacher'. Seorang kenalan mak saya, yang pada mulanya bersemangat mahu belajar al-Quran dari mak saya, tiba-tiba membatalkan hasratnya kerana katanya dia sudah membeli satu set VCD belajar membaca al-Quran.

    Hal ini membuatkan saya musykil. VCD apakah yang mampu meyakinkannya untuk berguru dengan Ustaz VCD yang sudah tentu tidak dapat menyemak bacaannya nanti. Saya meng-Google untuk mencari mana-mana kedai siber yang menjual VCD belajar membaca al-Quran. Saya jumpa beberapa produk. Ada buatan Malaysia dan Indonesia.

    Dari Malaysia, ada satu produk yang mampu mengajar kita membaca al-Quran dalam masa 24 jam. Dari Indonesia pula, ada produk yang menjanjikan bisa (boleh) membaca al-Quran dalam masa 1 jam walaupun seseorang itu masih belum lagi mengenal huruf. Produk Indonesia lebih dahsyat! Situasi ini mengingatkan saya kepada buku Sams Teach Yourself CSS in 24 Hours yang pernah saya beli.

    belajar al-quranBoleh Membaca al-Quran Dalam Masa 24 Jam?

    Belajar x Dalam Masa y Jam

    Berdasarkan tajuk, buku itu seakan-akan menjamin saya mahir CSS dalam masa 24 jam. Namun sebenarnya ia bersifat hiperbola - ia sekadar satu sensasi untuk melariskan jualannya. Setelah khatam, saya mendapati jika buku itulah yang menjadi guru saya sepanjang masa, maka CSS saya akan selamanya melukut di peringkat beginner.

    Apa yang saya tahu, di samping membaca banyak tutorial dan artikel tentang CSS di internet, saya juga perlu menelaah beberapa lagi buku-buku lain untuk membolehkan saya memahaminya di peringkat advanced. Kesemua ini memerlukan masa yang jauh lebih lama dari 24 jam!

    Lalu saya menyedari bahawa tiada satu pun ilmu yang kita boleh menguasainya dalam masa x jam/hari/bulan/tahun. Mengatakan bahawa sesuatu ilmu itu boleh kita kuasai dalam tempoh masa yang tertentu adalah sesuatu yang tidak wajar. Ini ibarat kita mengatakan bahawa kuantiti ilmu bagi sesuatu bidang itu adalah bersifat tetap dan tidak merangsang kita secara pra-sedar untuk mendalami ilmu yang kita pelajari itu sedalam yang boleh. Penggalian ilmu, tak kiralah ilmu berkaitan Islam atau pun bukan, adalah berlaku sepanjang hayat.

    Saya boleh faham jika syarikat yang menghasilkannya memberikan alasan 'untuk tujuan pemasaran'. Ada benarnya juga hujah ini. Para pembeli berkemungkinan besar akan membeli produk yang bernama 'Belajar Membaca al-Quran Dalam Masa 24 Jam' berbanding 'Belajar Membaca al-Quran' atau pun 'Belajar Mengaji Bersama Ustaz Daud'.

    Namun cuba fikir elok-elok. Katakan kita masuk ke sebuah kedai. Di kedai itu ada menjual 2 jenis produk minuman teh pengurus badan. Produk teh A membawa slogan 'Kini anda boleh langsing dalam masa 30 hari!' Slogan produk teh B pula 'Kini anda boleh langsing dalam masa 20 hari!' Kedua-dua produk A dan B ini mempunyai tanda harga yang sama. Maka yang mana satu kita akan beli? A atau pun B?

    Situasi ini sama seperti produk VCD belajar membaca al-Quran itu. Setelah lebih kurang 4 tahun saya belajar membaca al-Quran sewaktu berada di sekolah agama (rendah), barulah saya boleh membaca al-Quran dengan lancar dan tidak terlalu lintang-pukang tajwidnya. Jika masa yang sebegitu lama boleh dikontotkan menjadi 24 jam, maka apa pula yang menghalangnya dari dikontotkan lagi menjadi 23 jam, 15 jam dan 10 jam? Produk dari Indonesia itu membawa mesej bahawa dengan usaha dan fokus, kita sebenarnya boleh belajar al-Quran dalam masa 1 jam sahaja!

    Maka berhati-hatilah dengan apa jua jenis produk yang menjamin anda boleh melakukan atau belajar perkara x dalam masa y jam/hari/bulan. Produk-produk yang bernama sedemikian boleh memberi maklumat yang salah kepada pembeli. Mengapa? Kerana bukan semua orang mempunyai kemahiran belajar dan menyerap maklumat yang sama.

    Walaubagaimana pun, dalam kes belajar membaca al-Quran ini, saya tetap juga menggalakkan agar membeli tutorial dalam bentuk VCD bagi sesiapa yang masih di tahap merangkak. Dengan syarat, jangan lupa juga untuk berguru dengan orang yang lebih arif dari kita.

    Sebagai penutup, semoga di era yang mana wujudnya sebilangan umat Islam yang lagaknya seperti para imam mujtahid, kita hanya boleh berharap agar tiada buku Belajar Berfatwa Dalam Masa 24 Jam yang bakal diterbitkan suatu hari nanti!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Bila Anak Bulan Lahir

    25 September 2006 • 25 Komen

    Anak bulan telah selamat dilahirkan.


    Hari ini kita sudah memasuki bulan Ramadhan, iaitu satu bulan yang sangat mulia di sisi Islam. Pastinya ada di antara kita yang berazam untuk meningkatkan amal ibadah di bulan ini. Alhamdulillah. Mungkin saya boleh mencadangkan satu amalan yang boleh kita amalkan selalu sebagai cara untuk mendekatkan diri kita dengan Allah. Amalan ini ialah doa.

    Surah Al-Baqarah yang bermula dengan ayat 183 hingga 187 telah menjadi dalil kewajiban puasa kepada umat Islam. Namun demikian, Allah juga telah menyelitkan perkara berkaitan doa pada ayat 186. Firman Allah:



    Ayat 186 yang terselit di celah-celah ayat berkaitan Ramadan ini, seolah-olah menjadi petanda supaya kita memperbanyakkan doa di waktu bulan yang tersangat-sangat mulia, satu bulan yang mana di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Namun demikian, berdoa ini panjang cerita dan syarahnya. Banyak syarat yang perlu dipenuhi kalau mahu doa dimakbulkan. Oleh itu, tidaklah begitu sesuai untuk disentuh semuanya dalam blog ini.

    Banyakkan doa dan istighfar kepada Allah. Andai kata kita berdoa untuk 100 perkara, dan jika Allah hanya menunaikan doa kita untuk selamat di dunia dan di akhirat sahaja, maka ia sudah lebih dari cukup. Beristighfarlah dengan Sayyidul Istighfar (Penghulu Segala Istighfar), kerana ia adalah sebaik-baik istighfar:



    Berdasarkan hadith riwayat Imam Bukhari, Nabi Muhammad sallahu alayhi wassalam bersabda bahawa sesiapa yang membacanya dengan penuh keyakinan setiap pagi dan petang, dan sekiranya ia mati di waktu itu, insyaAllah dia akan masuk Syurga.

    Mungkin kalian juga boleh membaca istighfar di bawah ini di dalam rukuk dan sujud sewaktu solat. Kalau takut tak sempat baca sebab tok imam agak cepat, maka boleh baca istighfar di bawah ini sahaja, tanpa perlu membaca zikir Subhaana rabbi'yal 'azim (ketika rukuk) atau Subhaana rabbiyal 'alaa (ketika sujud).



    Semoga Allah memberikan keampunan dan rahmat-Nya kepada umat Islam di seluruh dunia. Amin.

    Jalan-Jalan

    In Pictures - Observing Ramadan from various locations of the world.

    Duduk di negara bukan Islam yang tiada sistem rasmi bagi menentukan tarikh permulaan Ramadan, Syawal, dan sebagainya, memang agak memeningkan kadang-kadang. Masjid tok Arab nak ikut Arab Saudi. Masjid Pakistan nak ikut tarikh dia juga. Masjid Syiah pula tak mahu ikut ketetapan masjid Sunni. Macam-macam daa..pasal anak bulan pun dah boleh pecah-belah - baik di Amerika mahupun Eropah. Benda yang sekecil macam ini pun tak boleh cari satu kata sepakat, jadi kamu jangan hairan le kenapa isu Palestin tak selesai-selesai sampai sekarang.

    Apa pun, kalau nak tahu serba-sedikit tentang hal ini, mungkin boleh baca artikel oleh Sheikh Hamza Yusuf bertajuk Cesarean Moon Births. Dengar audio Moonsighting pun boleh juga. Apa-apa hal, kalau kita ini orang awam, tak payah la pening-pening sangat nak masuk campur perdebatan ulama ini. Dan kalau tak mahu masuk campur pula, maka tak perlulah pandai-pandai buat ijtihad sendiri tentang bila mula puasa, atau bila mula raya.

    Jangan jadi macam kat kampung saya sudahlah. Ada satu keluarga, orang belum raya, dia sudah raya. Orang belum puasa, dia sudah puasa. Kalau mata sendiri yang nampak anak bulan tu lainlah cerita. Ini katanya sebab tak mahu ikut ketetapan kerajaan. Kerajaan tak boleh pakai katanya. Aduh, kompleks nak terangkan ni..lagi-lagi si dia ini jenis La Mazhab.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »