Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel Sensei • Hubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label aneh dan misteri. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label aneh dan misteri. Papar semua catatan

    Calon Gambar Paling Misteri Bagi Tahun 2010

    19 Januari 2010 • 36 Komen

    Gambar aneh ini ditangkap di pasaraya Giant Seksyen 18, Shah Alam. Sudah nampak apa yang misterinya? Nampak tak yang putih-putih, dan ada warna kehitaman sedikit tu?

    Masih tak nampak? Ok, ini dia:


    Sungguh misteri! Makin kurang gula, makin mahal jadinya. Hukum ekonomi apakah ini namanya?

    Saya ada membandingkan label pemakanan kedua-duanya, dan tiada apa-apa kelebihan bagi jenis kurang gula. Bermaksud: Tiada tongkat ali, kacip fatimah, akar ginseng, sarang burung, spirulina, mahu pun habbatus sauda yang menjadi ramuan tambahan. Ia memang semata-mata kurang gula (justeru lebih murah kos untuk menghasilkannya).

    F&N sudah kencing manis sama kita semua. Betul kah kerajaan mahu kita semua berubah kepada diet yang lebih kurang bergula? Kalau begitu, kenapa bila kandungan gula ↓ , harga ↑ ? Pak Ismail Sabri, tolong jelaskan.

    Tak lama lagi rasanya, kita boleh jumpa produk susu kacang soya 'sihat' yang mengandungi 0% gula, tetapi dijual pada harga sama atau pun lebih mahal berbanding susu kacang soya yang memiliki kandungan gula normal. Minta selisih malaikat empat puluh empat!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    La Tahzan #5 - Cukup Tampan, Cun & Hensem

    10 April 2008 • 12 Komen
    NOTIS RINGKAS:
    Mungkin agak lama untuk tulisan terbaru disiapkan sebab saya sibuk menjaga anak penguin, bla bla bla, merenung ombak di pantai bagi menemukan inspirasi, bla bla bla dan mana tahu jika saya mati esok lusa.


    Sekonyong-konyong dikhabarkan bahawa di tanah Malaysia, sekurang-kurangnya ada 15 orang yang cantik bertukar menjadi hodoh setiap tahun, yang mana semuanya adalah wanita. Arakian harus ditekankan bahawa mereka ini tidak memiliki ilmu Puteri Gunung Ledang yang membolehkannya bertransformasi menjadi nenek kebayan yang hodoh itu. Sebaliknya, perubahan yang mengerikan itu adalah gara-gara upacara suntikan dan pembedahan yang dilakukan oleh dukun-dukun kecantikan yang ghairah meraih duit pengeras.

    Saya boleh faham jika mereka yang berjumpa dukun-dukun kecantikan ini adalah kerana fizikal mereka terlalu hodoh, lantas menyebabkan masyarakat takut dan menyisihkan mereka. Ini sepertimana yang berlaku kepada seorang wanita Perancis bernama Chantal Sebire yang mendapat penyakit kanser wajah yang tidak boleh diubati. Kanser itu menyebabkan deria penglihatan, rasa dan dengarnya hilang. Kesemuanya itu sangat memberikan tekanan kepadanya sehingga beliau sanggup ke mahkamah untuk mendapatkan hak melakukan euthanasia secara sah.

    [chantal-sebire-face.jpg]
    Baca lebih lanjut kisahnya di BBC.


    Tetapi apa yang saya tidak boleh faham adalah mengapa manusia yang sudah cukup tampan, cukup cun dan cukup hensem, masih lagi tidak puas hati dengan apa yang diberi. Rambut, warna kulit, bentuk kening, bentuk bibir, yang sebenarnya tiada apa-apa masalah pun, semuanya mahu diubah. 2 hari lepas, saya membaca kisah seorang gadis remaja berusia 13 tahun dari London yang wajahnya telah bertukar menjadi seperti alien, gara-gara kerana mahukan rambutnya lebih perang dan bersinar.

    Lois Queen dimasukkan ke hospital setelah memakai pewarna rambut jenama L'Oreal.


    Oh ya, janganlah juga risau sangat tentang kedut-kedut yang muncul akibat proses penuaan (perempuanlah biasanya). Sebanyak mana masa dan duit yang dilaburkan bagi melawan proses yang tidak dapat dielakkan itu, ia tetap tidak akan berjaya selamanya. Semua orang akan tua, namun seperti yang dihumorkan oleh Mark Twain:
    Age is an issue of mind over matter. If you don't mind, it doesn't matter.

    Jadi, baik gunakan duit itu ke arah yang lebih bermanfaat. Masa itu pula boleh digunakan untuk sekurang-kurangnya merenung hakikat bahawa kita mungkin mati esok. Tiada satu pun manusia yang telah mati pada hari ini, ada berfikir di waktu semalamnya bahawa malaikat Izrail akan menjemputnya esok.

    Oleh yang demikian, saya mahu memberikan 5 sebab mengapa manusia sentiasa mahu lebih cantik, padahal apa yang sudah Allah beri itu sudah sempurna sifatnya. Fahami sebab-sebab ini dan insyaAllah akan terbit rasa syukur dan tenang di hati walaupun wajah kita tidaklah sejelita atau sekacak mana.

    Bagi lelaki, usahlah rasa tergugat sangat apabila melihat model-model yang memiliki abdomen 6-packs, sedangkan perut kita pula berbentuk 6-in-1 yang mana air akan bertakung di atasnya sewaktu kita mandi. Bagi perempuan pula, percayalah, 99% wanita di dunia ini tiada yang secantik Arwen dalam filem Lord of the Rings itu.

    Ingat, melainkan anda memiliki wajah seperti Chantal Sebire, maka anda tidak perlu mengubah wajah yang Allah kurniakan.

    Ini 5 sebab-sebabnya:

    1) Kurang rasa bersyukur

    Sebab yang pertama ini selalunya lebih menjangkiti artis (dan mak datin yang banyak duit). Maklumlah, orang yang selalu keluar tv dan majalah, kenalah sentiasa kelihatan comel dan cantik. Lalu ditempeknya mekap setebal 1 inci. Akhirnya, Madonna yang sebenarnya sudah 50 tahun umurnya itu pun, tiba-tiba nampak cantik bila berjoget di atas pentas.

    Itu kisah artis yang sudah tua. Artis yang masih muda jelita seperti Zahida Rafik pun masih tidak bersyukur dengan anugerah Ilahi. Alhamdulillah dia cepat insaf. Selain itu, kisah Michael Jackson yang terlalu ingin menjadi putih, berdagu terbelah dan berhidung mancung, sepatutnya menjadi pengajaran yang sangat berharga buat pencinta plastik.

    Dulu hitam, sekarang putih, dan putih itu tidak semestinya menawan.

    2) Penipuan solekan dan Photoshop

    Iklan-iklan kecantikan terutamanya, yang memaparkan seseorang itu sebagai sangat cantik dan kacak, sebenarnya lebih banyak yang menipu. Kecantikan digunakan untuk melariskan barang. Padahal wajah model-model tersebut tanpa solekan sebenarnya lebih kurang macam kita juga; ada rongga-rongga halus, ada noda-noda hitam dan ada kesan parut jerawat. Malah apabila perisian seperti Photoshop digunakan, makin cantik jadinya model tersebut. Bak bidadari!

    Wanita-wanita yang dicantikkan dengan teknik solekan dan Photoshop seperti gambar di bawah ini, hanya wujud di alam iklan. Mereka tidak wujud di alam nyata. Sekian dimaklumkan.

    [wanita-make-up.gif]
    Solekan dan perisian mengedit gambar seperti Photoshop boleh menjadikan seseorang
    kelihatan cantik seperti bidadari. Klik gambar untuk melihat video penuh.


    Dan janganlah juga kita terpengaruh dengan iklan-iklan luar negara, tidak ketinggalan juga filem-filemnya, yang memaparkan minah-minah saleh itu sebagai cantik tangkap maut. Bertahun-tahun saya duduk di negara mat saleh, jarang-jarang saya jumpa wanita cantik (yang tidak disolek) seperti di televisyen.

    Percayalah, bukan semua wanita mat saleh itu cantik. Sama ada gadis itu berbangsa Arab, Afrika, Amerika atau Melayu, biasanya statistik kecantikan bagi setiap bangsa itu tetap dibatasi oleh graf taburan normal yang standard. Ada yang benar-benar cantik, ada yang kurang cantik dan majoritinya pula adalah biasa-biasa sahaja.

    Lagipun, kecantikan itu adalah sesuatu yang bersifat relatif. Aku kata gadis ini cantik laksana bulan purnama, kau kata gadis itu seekor katak puru!

    3) Takut kehilangan cinta manusia

    Untuk sebab yang ketiga ini, saya bawakan sebuah kisah yang dilalui oleh Jocelyn Wildenstein. Oleh kerana terlalu takut ditinggalkan oleh suaminya yang sudah mula menggatal dengan perempuan lain, akhirnya Jocelyn secara beransur-ansur melakukan pembedahan plastik untuk menjadikan wajahnya menyerupai kucing hutan. Katanya, suaminya amat meminati kucing hutan, jadi dia berharap apabila rupanya semakin mirip dengan kucing hutan, maka suaminya itu akan lebih sayang kepadanya.

    Malangnya pembedahan demi pembedahan menjadikan suaminya semakin takut dengannya. Pada akhirnya Jocelyn menceraikan suaminya setelah menangkapnya berzina dengan seorang model Rusia yang berumur 19 tahun ketika itu.

    Siapa yang harus lebih dipersalahkan dalam hal ini? Paranoid isterinya, kecurangan suaminya atau pun ketidakfaham mereka tentang apa ertinya sebuah perkahwinan itu? (Klik gambar untuk paparan yang lebih besar. Klik sini untuk berita tentangnya).

    Cinta sesama manusia memang senang datang dan pergi. Dahulu saya ada menyentuh kisah seorang wanita yang ingin mengetahui adakah seorang lelaki itu benar-benar menyintainya. Maka jika ada masa, luangkanlah masa untuk membacanya.

    Cinta yang terlalu bersandarkan kepada rupa paras, itu bukanlah cinta. Itu nafsu. Berhati-hatilah memilih pasangan. Muka yang kacak, dahi yang licin, lesung pipit di pipi, dan tubuh yang putih gebu, bukanlah faktor-faktor yang menjaminnya menjadi seorang teman menangis di kala anda jatuh dihempap tangga.

    Ingat Mat, kalau kau utamakan faktor-faktor tu masa nak pilih pasangan, aku nasihatkan kau bela kucing aje. Sekurang-kurangnya kucing akan tetap setia 100% apabila kau ditimpa musibah yang maha dahsyat.

    4) Krisis identiti

    Kadang-kadang, krisis identiti yang berlaku pada seseorang itu menyebabkannya tekad untuk menghodohkan diri sendiri. Mereka rasa cantik dan bangga pula dengan apa yang dilakukannya, tapi sebenarnya kita sendiri yang tengok rasa kasihan. Mana tidaknya, apakah tidak kasihan melihat manusia yang sanggup menghabiskan wang yang banyak semata-mata kerana mahu menjadikan tubuh badan mereka seperti haiwan atau makhluk yang mereka gemari?


    Oh, saya sukakan kucing kerana kecomelannya, namun bila manusia jadi kucing itu memualkan saya.

    5) Tidak percaya kehebatan tempe dan ulam-ulaman

    Datuk Khir Toyo menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menuduhnya melakukan suntikan botox di wajah. Beliau berkata bahawa amalan memakan tempe adalah rahsia awet mudanya:
    Tempe selain mempunyai kandungan protein yang tinggi, ia juga mempunyai khasiat melawan kanser berikutan penyediaannya yang melibatkan proses fermentasi. Itu sahaja petua saya. Ini pembangkang fitnah saya pakai suntikan botoxlah, pembedahanlah sedangkan saya tak buat pun.
    (Khir Toyo nafi suntik Botox, Utusan Malaysia, 3 Februari 2008)

    Bagi yang tidak tahu, tempe adalah sejenis makanan yang sangat popular di kalangan masyarakat Jawa khususnya. Selalunya tempe akan digoreng terlebih dahulu sebelum dimakan, namun ada juga yang memakannya mentah-mentah.

    Sama ada Datuk Khir Toyo menggunakan tempe atau botox, tulisan ini bukanlah medan untuk mengulasnya. Apa yang pasti, ibu saya suka makan tempe, dan dia masih kelihatan muda walaupun umurnya sudah melebihi 60 tahun. Mungkin itu penangan tempe agaknya. Selain tempe, ibu saya juga suka makan ulam-ulaman. Tidak sah kalau sehari tidak memakan ulam.

    Lalu, mengapa menyuntik botox jika anda boleh memilih tempe serta ulam-ulaman yang segar dan organik? Suntikan botox bukan sahaja mahal dan haram kepada umat Islam, malah ia juga berbahaya kepada diri sendiri. Kalau muka jadi hodoh, jangan salahkan dukun kecantikan yang gilakan pengeras itu.

    Oleh itu basuh wajahmu dengan air wudhu selalu, insyaAllah berseri-seri wajah kita dipandang orang. Tak tampan, tak cun dan tak hensem tidak mengapa, janji jangan hilang seri wajah. Malah jika wudhu itu sempurna, bersinar-sinarlah kita di hari pembalasan nanti:
    Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat nanti dalam keadaan dahi, kedua tangan dan kaki mereka bercahaya, kerana bekas wudhu.
    (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

    ---
    JALAN-JALAN
    - Hukum pembedahan plastik dan kosmetik
    - Hukum mencabut bulu kening
    - Lagu nasyid Syukur oleh Raihan
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Matahari Mengelilingi Bumi

    03 April 2007 • 25 Komen
    Mencari sesuatu maklumat di internet tadi. Tiba-tiba termasuk dalam satu blog pro-Wahhabi. Salah satu artikel copy-paste yang diletak di situ adalah berkenaan Benarkah Bumi Mengelilingi Matahari. Wah, sungguh-sungguh dia mempertahankan bahawa matahari yang mengelilingi bumi, dan bukan bumi mengelilingi matahari, dengan mempergunakan hujah-hujah oleh salah seorang tok sheikh beraliran Wahhabi yang terkenal.

    Download artikel berkenaan: BENARKAH BUMI MENGELILINGI MATAHARI?

    Saya tak buat direct link ke blognya atas sebab-sebab tertentu. Tapi link ada dalam dokumen tu. Tidak ku sangka-sangka ada umat Islam yang mempercayai matahari mengelilingi bumi dalam zaman yang sudah serba canggih ini.

    Nak belajar tentang alam semesta ini boleh pergi ke laman web Harun Yahya. Jangan belajar dengan orang yang bukan ilmunya. Silap-silap boleh jumud pemikiran. Dahulu ada lagi seorang ulama Wahhabi yang menyatakan bumi ini rata, bukan sfera. Tapi kenyataan tersebut dipertikaikan sebab tak dapat disahihkan betul atau tidak dari beliau.

    Aneh, aneh..apabila orang yang bukan ahlinya terjun dalam bidang yang bukan dalam cakupan kemahirannya, inilah yang terjadi. Samalah juga dengan sikap sesetengah antara kita yang belajar engineering, ekonomi, sains dan sebagainya, tetapi menyibuk masuk mengkaji hal-hal kecil dalam agama seperti kerajihan hukum air mustakmal.

    Macam mana umat nak maju?

    Mari Baca: The Creation of the Universe oleh Harun Yahya.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Bigfoot, Taming Sari & MASTIKA

    27 Disember 2005 • 6 Komen
    Pelik sungguh saya dengan akhbar Malaysia hari ini (atau sejak dulu memang begini?). Saya tidak begitu kisah jika akhbar-akhbar tabloid Malaysia menyiarkan cerita-cerita seram, tahyul, dan sebagainya. Tetapi jika akhbar-akhbar nasional kita (saya ulangi akhbar NASIONAL) menyiarkan berita-berita yang tidak relevan, saya rasa ia satu pembaziran media.

    Hari ini saya membaca beberapa lagi kisah-kisah tidak relevan pada akhbar nasional kita - Utusan Malaysia. Apa relevannya menyiarkan berita tentang misteri bigfoot yang didakwa muncul di Malaysia atau pun kisah seorang ahli perniagaan yang mendakwa memiliki keris Taming Sari pada bahagian "Dalam Negeri"? Ini tidak relevan sama sekali!! Kisah-kisah begini patut dimuatkan dalam majalah MASTIKA sahaja!

    Akhbar nasional adalah medium yang membentuk minda rakyat. Akhbar nasional Malaysia yang pertama, iaitu Utusan Melayu yang diterbitkan buat kali pertama pada tahun 1938 di Kota Singa bertujuan untuk membangkitkan semangat perjuangan orang-orang Melayu. Hari ini akhbar yang sama sudah semakin lari dari tujuan asalnya.

    Pernah saya membaca laporan-laporan akhbar ini pada bahagian "Dalam Negeri" tentang kisah Mawi jadi juara AF3, kisah Erra dan Yusry yang tidak tinggal serumah, kisah Inul buat goyang gerudi. Apakah akhbar Utusan ini sudah tidak boleh lagi memuatkan berita-berita trivia ini pada bahagian hiburan? Mengapa mesti memampatkannya pada kolum "Dalam Negeri"?

    Satu lagi perkara pelik yang saya nampak pada akhbar-akhbar Melayu adalah apabila tibanya kisah-kisah kemalangan, mati lemas, dan sebagainya. Pasti laporan-laporan sedih ini ingin menunjukkan kes-kes kematian tersebut adalah agak aneh dan misteri. Tak percaya? Baiklah, lepas ini anda kaji sendiri. Perhatikan dalam laporan-laporan tersebut, pasti ada ayat-ayat seperti:
    1 - Arwah tidak pula menunjukkan perangai yang pelik sebelum dia meninggal
    2 - Patutlah anak saya tiba-tiba jadi manja semacam...rupanya dia dah nak pergi
    3 - Arwah tiba-tiba jadi kuat makan sebelum kemalangan
    4 - Patutlah anak saya itu beriya-iya sangat nak mandi sungai...selama ini dia tidak suka mandi sungai
    5 - Arwah tunang SMS saya sehari dalam 2 kali, tapi akhir-akhir ni, makin kerap pula dia SMS saya.
    Itu antara ayat-ayat lazim yang anda akan jumpa. Kadang-kadang, saya melihat wartawan-wartawan sendiri yang sibuk sangat nak cari 'hal-hal ganjil' sebelum si arwah mati. Jika tiada apa-apa 'hal-hal ganjil' untuk diceritakan, si wartawan berotak Mastika ini akan menulis, "Walau bagaimana pun arwah tidak menunjukkan perangai pelik sebelum meninggal dunia."

    Apahal kita sibuk-sibuk sangat nak cari 'hal-hal pelik dan ganjil' bila berlaku sesuatu kematian? Tak kisah sama ada anda nak masukkan cerita tu dalam akhbar nasional atau MASTIKA, tapi tak perlu nak kaji dan tulis benda-benda seperti itu. Kawan-kawan saya pun banyak melakukan 'hal-hal pelik'. Ada kawan saya yang tiba-tiba suka makan ayam goreng, padahal selama ni tak minat. Ada kawan saya yang tiba-tiba jadi periang, padahal selama ni tak begitu periang. Ada kawan saya yang selama ini jarang tidur, tapi tiba-tiba jadi kuat tidur. Ada anak-anak buah saya yang agak 'sombong' dengan saya, tapi tiba-tiba jadi sangat manja dengan saya. Dan mereka yang tiba-tiba berkelakuan 'aneh' ini masih hidup sehingga sekarang. Alhamdulillah, Allah masih memanjangkan usia mereka.

    Kalaulah saya ini bukan rakyat Malaysia, tak akan saya buka laman-laman web akhbar-akhbar nasional Malaysia - walaupun saya ini fasih berbahasa Melayu. Saya tidak pernah jumpa lagi berita-berita kemalangan yang dimuatkan di BBC dan di CNN yang cuba mengaitkan dengan hal-hal aneh yang dilakukan oleh si mati sebelum dia menemui ajalnya. Tetapi hampir saban hari saya berjumpa dengan ulasan berita-berita sedemikian pada akhbar-akhbar kita.

    Saya lemas dengan berita-berita seperti ini. Saya khuatir, mentaliti para wartawan berotak MASTIKA ini akan meresap pada hati rakyat Malaysia (atau dah pun meresap?). Saya kira ia dah pun meresap kerana acapkali juga saya berjumpa dengan orang-orang yang suka sangat mencari kelakuan ganjil si arwah sebelum meninggal. Saya juga khuatir dengan tulisan para wartawan yang tak habis-habis mempromosikan AF, Malaysian Idol dan entah apa lagi tu, lebih-lebih lagi dalam komuniti masyarakat Melayu yang terlalu haus dengan hiburan. Mentaliti ini tidak membawa kemajuan kepada kita.

    PS: Oh ya, saya rasa Utusan Malaysia dan akhbar-akhbar nasional lain patut mewujudkan Ruangan Paranormal.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Dajjal Tidak Lahir Di Russia

    29 November 2005 • 11 Komen
    Saya kadang-kadang pelik membaca berita-berita dalam akhbar tempatan kita. Pertama, sebab ia banyak memuji dan mengampu. Kedua, berita yang dilaporkan kadang-kala boleh dipertikaikan. Contohnya, kes yang dilaporkan tentang kelahiran Dajjal di Rusia tahun lepas oleh Berita Harian. Masing-masing heboh, lebih-lebih lagi di web forum tempatan. Ini artikel asal yang diterjemahkan oleh akhbar kita:

    MOSCOW: Seorang wanita Russia dilaporkan melahirkan anak perempuan yang hanya mempunyai satu mata. Bayi ganjil itu melihat dunia dengan hanya satu mata biru besar, bernafas menggunakan belalai yang tumbuh pada dahi sebelum mati, lapor akhbar Komsomolskaya Pravda, kelmarin.

    Salah seorang doktor di Hospital St Petersburg memberitahu akhbar itu, bayi ganjil yang dianggap dajal oleh penduduk setempat dilahirkan oleh seorang ibu normal. Bayi pelik itu mempunyai rambut dan bulu roma tebal, mempunyai satu mata di tengah muka selain satu belalai yang tumbuh di atas matanya.

    Ibu yang berusia lingkungan 30-an itu dilaporkan melahirkan bayi yang dikandungnya selama tujuh bulan di rumah kerana tidak sempat ke hospital. Pada awalnya doktor menyangka, belalai pada bahagian atas mata bayi berkenaan adalah zakar tetapi akhirnya mendapati ia adalah alat pernafasan untuk bayi berkenaan.

    Mayat bayi berkenaan dihantar ke sebuah rumah mayat dan pakar forensik melakukan pemeriksaan rapi terhadap mayat berkenan. Menerusi pemeriksaan, doktor mendapati bayi berkenaan mempunyai banyak kecacatan lain yang tidak memungkinkan ia hidup. Ibu bapa bayi berkenaan dilaporkan tidak sanggup melihat bayi berkenaan menyebabkan doktor terpaksa mengawetnya dan menempatkannya di dalam botol yang dipenuhi cecair bahan pengawet.

    "Ia satu kejadian pelik," kata pakar bidan, Ivan Rylchikov.

    Apa sebenarnya yang berlaku pada bayi itu, yang dianggap 'dajjal' oleh akhbar kita? Saya suspek, bayi itu mengalami sindrom Synophthalmia (fusion of the eyes) atau lebih dikenali di bidang perubatan sebagai Cyclopia (single eye). Ini kerana bayi itu memiliki: Satu mata yang besar (mata dah bercantum), ada belalai (sebenarnya hidung) yang tumbuh di bahagian atas mata, dan mati selepas dilahirkan (bayi Cyclopia tidak dapat hidup lama).

    Anda bertanya: Macam mana bayi tu boleh dapat kecacatan ni?
    Jawapan: Kecacatan ni berlaku ketika bayi dalam kandungan, iaitu kira-kira minggu ke-19 hingga ke-21 selepas berlakunya persenyawaan. Faktor-faktor yang membawa kepada kecacatan ini ialah pengambilan alkohol ketika mengandung, mutasi pada gene sonic hedgehog (SHH) dan keganjilan pada metabolisma kolestrol yang menganggu perjalanan aktiviti gene SHH tersebut.

    Anda bertanya: Jadi, kenapa doktor tu macam bingung pula bila tengok kecacatan tu?
    Jawapan: Saya rasa doktor tu mungkin dah lupa penyakit tu wujud di dunia ini. Mana taknya, synophthalmia ni adalah kecacatan yang sangat jarang berlaku di muka bumi ini. Boleh dikatakan hanya beberapa orang doktor sahaja di muka bumi ini yang akan menyambut kelahiran bayi yang mempunyai kecacatan tersebut. Tidak semua doktor akan jumpa kes begini. Doktor itu mungkin pernah belajar tentang kecacatan ini sewaktu belajar, dan mungkin dia sudah lupa.

    Kesimpulan: Bayi perempuan itu bukanlah dajjal (Macam mana nak jadi dajjal kalau lahir terus mati??). Berdasarkan laporan versi Inggeris, ia ditulis sebagai Cyclopia. Entah macam mana istilah dajjal wujud bila diterjemahkan dalam Bahasa Malaysia. Ini semua bukan masalah jahil ilmu perubatan tapi kurang ilmu linguistik! Boleh baca artikel asal kelahiran bayi itu di sini:

    Walau bagaimanapun, saya tidak dapat memastikan sama ada gambar bayi dalam laporan itu adalah bayi yang dikisahkan. Sila tanya mereka.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Pembunuh Bersiri

    23 November 2005 • 3 Komen
    Saya gemar membaca komentar oleh Hishamuddin Rais. Ia selalunya bersahaja, disulami humor dan amat kena pada batang hidung. Mungkin anda akan gemar juga. Saya sertakan sedikit cerapan dari artikel beliau - Pembunuh Bersiri.

    Tahun ini statistik kematian semasa menyambut hari perayaan Deepavali dan Hari Raya bertambah. Dari laporan media yang saya baca, sepanjang 11 hari di minggu perayaan tahun ini berlaku 9,976 kemalangan dan 189 telah menemui maut.

    Untuk saya, angka statistik ini amat menggerunkan. Apa yang berlaku dua minggu dulu di jalan-jalan raya dalam negara kita lebih hebat dari pertempuran di Fallujah. Di Iraq statistik rasmi hingga ke minggu ini telah menunjukkan 2,058 soldadu Amerika telah tewas, 20,000 lebih telah cedera. Tetapi semua ini berlaku dalam masa lebih dari dua tahun. Justeru, secara nisbah kelihatan dua minggu serangan kereta di jalan raya di Malaysia lebih hebat dari letupan IED - improvised explosive device - yang digunakan oleh gerila pembebasan di Iraq.

    Saya tidak memandu dan saya tidak suka kepada kereta. Saya menganggap kereta adalah 'serial killer' (pembunuh bersiri) yang sedang mengamuk di negara kita. Saya akui, pandangan saya tidak dikongsi ramai, malah mungkin ada yang akan ketawa apabila berhadapan dengan apa yang saya ajukan ini.
    Klik sini untuk baca seterusnya...
    ¶ Teruskan membaca entri ini »