Ini Halangan #2. Mulakan membaca dari Halangan #1.
Saya selalu sangat menjadikan isu kepanasan Malaysia sebagai 'bapa segala alasan' untuk tidak berbasikal. Maka saya adalah contoh Melayu yang mudah lupa, kerana saya terlupa bahawa cuaca di Malaysia ini bukannya panas terik 24 jam.
Saya juga bukannya tak ingat, tetapi lupa kepada suatu fakta bahawa beberapa dekad lampau, kita boleh melihat ramai siswa-siswi yang berbasikal dan berjalan kaki dari kawasan-kawasan perumahan di Petaling Jaya untuk menghadiri kuliah di Universiti Malaya.
Di zaman saya bersekolah dahulu, tidak pernah sekali pun panas dijadikan isu. Kalau hujan, memang pernah. Sewaktu berada di tingkatan 1 dan 2, saya bersekolah sesi petang. Jarak di antara rumah dan sekolah adalah sejauh kira-kira 3 kilometer. Oleh kerana kelas bermula jam 1:15 petang, maka biasanya saya bergerak pada jam 12:30 tengahari, iaitu waktu matahari sedang terconggok tegak di langit. Sepanjang saya bertemankan basikal untuk ke sekolah, saya masih belum pernah pula diwahyukan sebarang berita budak yang pengsan diserang strok haba kerana berbasikal di waktu tengahari buta. Kalau pengsan terkena histeria, memang selalu.
Berbasikal di waktu tengahari terutamanya, memang lebih senang membuatkan si pengayuh berpeluh. Namun tidaklah sampai berpeluh-peluh seperti orang baru habis maraton. Peluh ini akan mengering tidak berapa lama kemudian. Masalah kulit semakin hitam juga tidaklah menjadi sesuatu yang merungsingkan saya memandangkan di waktu itu, krim pemutih Fair & Lovely sudah pun berada di pasaran tempatan. Apabila kelas saya tamat pada jam 6:50 petang pula, aktiviti berbasikal pulang pada waktu yang tidak panas ini adalah ibarat riadah di petang hari.
Sesudah saya berada di Ireland, barulah saya sedar bahawa rakyat di sini lebih berhak untuk menyalahkan cuaca sebagai alasan untuk tidak berbasikal. Keadaan di sini sebenarnya lebih tidak ideal; terutamanya ketika musim luruh, musim sejuk, awal musim bunga dan akhir musim panas, yang berlangsung kira-kira 7 bulan lebih lamanya. Ini pun belum tentu lagi kerana keadaan cuaca di sini lebih sukar untuk diduga berbanding hati seorang wanita. Contohnya pada musim panas tahun lepas, saya lebih banyak melihat awan mendung berbanding sinaran matahari. Britain yang sudah lama tidak dilanda banjir pun tiba-tiba diserang banjir kilat pada musim panas yang lepas.
Pada waktu-waktu yang tidak ideal tersebut, 3 keadaan ini akan selalu berlaku - hujan yang lama dan kerap, suhu yang sangat sejuk dan tiupan angin yang kuat. Faktor-faktor penolak ini lebih menakutkan berbanding faktor suhu yang panas. Silap ambil perhatian bahawa keadaan di Ireland ini adalah serupa seperti di United Kingdom.
HUJAN, SEJUK & ANGIN
Hujannya yang lama dan kerap - walaupun tidak selebat hujan Malaysia yang sering datang dengan guruh dan petir itu - menjadikan jalan raya di sini sentiasa basah. Jalan yang basah adalah berbahaya kepada pengguna jalan raya, lebih-lebih lagi bagi kenderaan bertayar dua umpama basikal. Hujan juga akan membuatkan pakaian dan kasut si pengayuh lebih basah berbanding basah akibat berpeluh dek kerana mengayuh basikal ketika pukul 12:30 tengahari di Malaysia.Suhunya yang sejuk pula memerlukan penunggang basikal memakai baju yang lebih tebal berbanding mereka yang menaiki kereta, bas dan trem. Memakai baju yang berlapis-lapis ini sebenarnya adalah sangat tidak menyelesakan dan menyusahkan. Malah keadaan yang maha sejuk ini juga boleh membuatkan si pengayuh basikal cepat berasa pening kepala. Apabila suhu di malam harinya berada di bawah 0 darjah celcius, maka pada esoknya akan wujudlah lapisan ais tipis di beberapa tempat di atas jalan rayanya. Hal ini sudah tentu berbahaya kepada mereka yang berbasikal di waktu pagi. Pengalaman ini menyedarkan saya bahawa berbasikal pada suhu yang sangat sejuk adalah lebih hebat azabnya berbanding berbasikal di bawah kebahangan matahari yang terik di sebuah negara yang terletak di Garisan Khatulistiwa.
Bagaimana pula halnya dengan faktor penolak yang ke-3, iaitu angin? Sepanjang saya lahir dan membesar di Malaysia, sangat-sangat jarang saya merasai tiupan angin yang sangat kencang seperti di sini. Anginnya yang kuat membuatkan saya terpaksa mengerahkan lebih tenaga untuk memastikan basikal terus maju bergerak. Pernah beberapa kali basikal saya terhenti akibat ditiup angin dari arah yang berlawanan. Anginnya yang datang secara melintang pula pernah juga beberapa kali membuatkan saya hampir terlungkup mencium tar di jalan. Kehadiran angin juga akan menambahkan lagi kesejukan yang sudah sedia ada itu. Kalau saya naik fed up untuk berbasikal sepanjang berada di sini, maka faktor angin inilah yang boleh dijadikan alasan kuatnya.
Segala pengalaman-pengalaman ini membuatkan saya berani kata bahawa jika cuaca adalah isunya, maka ketahuilah wahai manusia sekalian bahawa berbasikal di kota Dublin (dan juga bandar-bandar lain di UK) adalah lebih menyeksakan berbanding di Malaysia. Barangsiapa yang mengatakan sebaliknya, maka manusia ini belum pernah merasai apa yang penunggang basikal di sini rasa.
Budaya berbasikal dan tidak ketinggalan juga budaya berjalan kaki oleh rakyat di sini tetap berlaku sepanjang tahun, tanpa mengira musim. Kalaulah saya sentiasa dan akan sentiasa menyalahkan faktor cuaca Malaysia yang panas, mungkin saya akan tetap menghidupkan enjin motosikal pada jam 7 pagi yang masih dingin, untuk keluar membeli sebungkus nasi lemak sotong, beberapa biji kuih donat dan karipap di warung Mak Som yang jauhnya sepanjang tiga kali bacaan surah Al-Fatihah sekiranya kita berbasikal. ¶ Teruskan membaca entri ini »