Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Ke Arah Mana Halanya...

    26 April 2006 • 23 Komen

    Debu-Debu Dosa oleh Hijjaz. Saya suka banget lagu ni. Lirik awal lagu ni: 'Ke arah mana halanya' adalah sama dengan tajuk entri kali ni.


    Blog ini sudah berusia setahun lebih. Kalaulah blog ini adalah seorang bayi, memang dah pandai bayi tu berlari main kejar-kejar. Selama menulis blog ni, sudah bermacam-macam pengalaman yang ditimba. Yang paling jelas sekali adalah kemahiran saya tentang asas-asas membuat sebuah laman web. Kadang-kadang rasa kelakar pula bila ingat balik template blog yang lama - bercelaru. Pelawat setia blog ini sejak pos saya yang pertama, pasti tahu bagaimana blog ini telah berevolusi, baik dari segi template mahu pun gaya penulisan saya.

    Tentang ilmu lain pula, memang ada juga yang bertambah. Syukur.. Terutama tentang kefahaman saya tentang Islam. Tetapi kadang-kadang saya masih takut. Apakah saya ini benar-benar sudah mendapat ilmu dari segala apa yang saya tulis ni selama ini. Ibnu Mas'ud r.a. bilang, 'Ilmu itu bukan semata-mata pada apa yang digarap pada tulisan. Tetapi ilmu itu adalah taqwa kepada Allah'. Bila saya semak semula, macam tak bertambah pula taqwa saya ini. Sama sahaja. Kekadang tu rasa makin menurun pula. Betapa lemahnya saya ini.

    Jadi bila saya terkenangkan perkara ini, saya jadi takut untuk menjadi seorang penulis blog - sama ada bergaji atau tidak bergaji. Bercakap dan bertindak adalah dua perkara yang berbeza. Melalui blog, kita bercakap. Ini sistem komunikasi zaman IT. Dan zaman inilah yang menyaksikan lebih ramai umat yang banyak cakap, tetapi kurang bertindak kerana tangannya selalu melekat pada papan kekunci komputer.

    Sebelum saya terjerumus ke dalam lembah tersebut, saya akhirnya membuat satu keputusan. Saya hanya akan menulis blog tiga kali sebulan - ini adalah angka maksimum. Mungkin juga saya menulis sekadar sebulan sekali. Selain dari tidak mahu menjadi individu yang cakap-banyak-tapi-buat-kurang, angka tiga kali sebulan ini juga membolehkan saya menulis secara istiqamah sepanjang hayat. Apa guna menulis tiap-tiap hari selama setahun, dan kemudian apabila masuk tahun kedua, terus give-up. Jika Allah mengizinkan, maka InsyaAllah blog ini akan terus hidup sehinggalah nafas saya terhenti. Doakan saya.

    Di samping itu, keputusan ini juga mesti dibuat memandangkan tuntutan dunia yang ada pada diri saya. Orang Putih kata World. Mawi pun kata World juga walaupun beliau orang Jawa. Untuk memastikan dakwah berjalan lancar, saya dan juga anda, tidak boleh sama sekali membuang world jauh-jauh. Dunia ini adalah jambatan. Manusia tidak membina apa-apa bangunan di atas sebuah jambatan.

    Pernah ke anda nampak orang buka kedai emas di atas jambatan Pulau Pinang? Jambatan sifatnya adalah untuk orang lalu - dari satu destinasi ke satu destinasi. Begitu jugalah dengan dunia ini. Dunia ini tempat lalu kita sahaja. Akhirat adalah destinasi terakhir kita. Maka, janganlah terlalu asyik untuk membina begitu banyak bangunan di atas jambatan yang sedang kita lalui ini.

    Tapi seperti yang saya kata tadi, jangan buang world atau dunia ini. Dunia dan Keduniaan adalah dua entiti yang berbeza. Imam Ibnu 'Ata'illah kata, 'Keduniaan itu adalah sesuatu yang membuatkan kamu jauh dari Allah'. Tetapi sebagai insan yang lemah lagi hina, biasanya kita tidak akan dapat lari dari segala tarikan keduniaan. Bagi saya, kalau sekali-sekala itu tak mengapalah. Mustahil kalau kita ini sebagai orang awam, yang iman sering terumbang-ambing, ingin lari dari keduniaan 100 peratus.

    Bak kata Sidi Ahmad al-Zarruq, seorang ulama terbilang dari tanah Morocco: 'Berhati-hatilah apabila bersifat keras kepada jiwamu sebelum kamu dapat mengawalnya dengan sempurna. Akan tetapi, berhati-hatilah juga supaya jangan bersifat terlalu mudah kepadanya dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum-hakam. Ini kerana (jiwa itu) sering menjauhi sifat kesederhanaan dalam apa jua perkara, dan ia cenderung ke arah taksub, baik dalam perkara yang batil mahu pun yang hak.' [1]

    Apa pun, saya tegaskan sekali lagi bahawa blog ini akan di update tiga kali sebulan sahaja. Mungkin pada setiap 10, 20 dan 30 haribulan. Oleh itu, pada 30hb April ini, nantikan artikel saya "Proses Mensahihkan Hadith". Dan artikel yang berikutnya akan menyusul pada 10 Mei. InsyaAllah. Walaupun blog ini hanya akan dikemaskini setiap sepuluh hari, janganlah lupa untuk melawat blog ini selalu. Blog ini menjadi bermakna dengan kehadiran anda semua :)

    Tulisan saya sekadar setitis air di lautan - ia tidak mampu membasuh segala fitnah yang bertebaran. Tetapi gabungan titis-titis air yang kecil itulah terhasilnya lautan. Moga-moga lebih banyak titis-titis air yang akan muncul di masa hadapan.

    Mudah-mudahan, bayi yang sudah tahu berlari itu akan dapat mendapat PhD. Doakan usia bayi itu panjang. Kalau tak faham kata-kata terakhir saya ini, sila baca dari mula. ;)

    Nota Kaki

    [1] Oleh kerana kata-kata ini saya terjemahkan dari Bahasa Inggeris, saya telah menterjemahkan soul kepada jiwa. Soul boleh juga merujuk kepada rohani, ruh, dan sebagainya. Kalau ada sesiapa yang tahu kata-kata Sidi Ahmad al-Zarruq dalam bahasa Arab, silalah beritahu saya terjemahan perkataan soul yang sepatutnya.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Pegang Al-Quran Tanpa Wudhuk

    19 April 2006 • 17 Komen
    Saya perhatikan, begitu banyak tulisan-tulisan yang membincangkan tentang hukum menyentuh Al-Quran tanpa wudhuk. Selalunya ia akan membawa kepada kekeliruan dan kecelaruan fiqh bagi orang awam. Perdebatan untuk 'menghalalkan' memegang mushaf Al-Quran tanpa wudhuk ini hanya akan menambahkan lagi isu remeh dalam dunia Islam yang sudah pun bertimbun-timbun.

    Oleh kerana saya sedar hampir 100% yang datang ke blog ini adalah orang awam - dan tiada para Imam mujtahid atau ulama besar yang melawat blog ini, maka adalah lebih mudah dan selamat untuk saya menulis bahawa: Hukum menyentuh Al-Quran tanpa wudhuk adalah haram. Inilah pegangan dari keempat-empat mazhab - baik mazhab Hanafi, mazhab Maliki, mazhab Shafi'i dan juga mazhab Hanbali. Pendapat yang membolehkan memegang Al-Quran tanpa wudhuk dalam keadaan tidak darurat, maka ia bukanlah dari pendapat majoriti ulama.

    Maka saya menyeru agar perdebatan yang tidak signifikan itu dihentikan. Berdebat pada perkara yang menjadi ijmak ulama adalah perbuatan yang sangat membuang masa - lebih-lebih lagi bagi orang awam seperti kita semua. Allahu 'alam.

    Bagi yang faham Bahasa Inggeris, boleh baca artikel sokongan:

    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Syahid Di Karachi

    14 April 2006 • 12 Komen

    Maulana Abbas Qadri (kanan) antara korban letupan.

    Sila Baca

    * Message Board dari Deen Port
    * Galeri gambar tragedi (tak tahan darah jangan tengok)
    * Thousands attend Karachi funerals dari BBC


    Beberapa minit sebelum pengebom meletupkan bahan letupan yang dianggarkan seberat 5 kilogram. Gambar ini menunjukkan barisan solat paling hadapan.


    Reaksi Awal Saya

    1. Dah tak ada cara lain ke kalau teringin sangat nak masuk Syurga? Apasal la ada umat Islam hari ini asyik fikir kalau jadi suicide bomber nanti mati masuk Syurga. Diorang ni tau ke tak apa yang diorang nak bom tu?

    2. Apahal la kau pergi bom masa orang baru habis solat? Dah tu masa sambutan Maulid Nabi pulak. Dari kau pergi bom kat situ, ada baiknya kau pergi bom disko atau pub (Statement ini sekadar retorik. Ini bukan bermaksud saya menganjurkan si pengebom untuk meletupkan bom di disko.)

    Persoalan

    1. Siapa dalang di sebalik kejadian ini?

    2. Jika Islam, apakah patut mereka mengebom saudara satu agama, satu Tuhan iaitu Allah? Kita sendiri tidak boleh bunuh orang Kafir sesuka hati. Tetapi mengapakah hari ini ada umat Islam yang melihat darah saudara seIslam semakin 'murah'?

    3. Sejak bilakah harga darah umat Islam ada 'diskaun' bila wujud perbezaan pendapat dan aliran? Apakah patut seorang Sunni itu membunuh seorang Syiah? Apakah patut seorang Wahhabi itu membunuh sorang Sunni? Sejak bila wujud semula fahaman suka mengkafirkan umat Islam? Adakah ini merupakan kebangkitan semula fahaman Khawarij? Fikir-fikirkan.

    4. Terlalu banyak fahaman Islam yang wujud pada hari ini. Dan di antara fahaman yang paling bahaya adalah apabila fahaman itu melihat umat Islam yang tidak sekepala sebagai Kafir.

    5. Nasihat dari saya, walau apa pun jemaah Islam yang kamu hendak masuk, pastikanlah ia tidak bertentangan dari apa yang disepakati oleh ahlus sunnah wal jammah. Berhati-hati supaya anda tidak termakan racun pemikiran puak militan yang menggunakan nama Islam - tapi pada hakikatnya jauh menyimpang dari Islam. Kadang-kala pemikiran ini meresap dalam otak kita tanpa disedari. Berhati-hati dengan buku-buku yang kamu baca. Kita tidak mahu negara kita dipenuhi dengan pemikiran-pemikiran yang bercanggah dari ahlus sunnah wal jamaah.

    6. Tawel-Sensei menentang kegiatan keganasan dan militan yang dilakukan atas nama Islam. Tawel-Sensei mengkritik pembunuhan yang tidak berdosa, memusnahkan harta benda awam, dan sebagainya, yang dilakukan atas nama Islam. Tapi ini tidak bermakna Tawel-Sensei berdiam diri atas keganasan yang dilakukan kepada umat Islam di Iraq, Palestin, dan lain-lain negara Islam. Keganasan-keganasan tersebut haruslah ditentang oleh umat Islam dengan cara dan kaedah yang halal dari segi syariah Islam.

    Info Tambahan

    1 - Islam Denounces Terrorism oleh Harun Yahya
    2 - Bombing Innocents: IAMS's Statement
    3 - Fatwa Against The Targeting Of Civilians oleh Sidi Muhammad Afifi al-Akiti
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sambut Birthday Nabi

    09 April 2006 • 17 Komen

    Lyric for this chapter can be found here.


    Mawlid Nabi, Birthday Nabi, dan juga Maulidur Rasul membawa erti yang sama sahaja. Tulisan ringkas saya kali ini sekadar ingin membantu menjernihkan fikiran sesiapa sahaja yang sudah terkeliru dengan dakwaan "Menyambut Maulidur Rasul adalah satu bida'ah". Penuduhan di sini sudah tentulah merujuk kepada bida'ah yang sesat atau pun dipanggil sebagai bida'ah dhalalah.

    Saudara seIslamku, berhati-hatilah dalam menjatuhkan hukum bida'ah pada sesuatu perkara. Bila anda mengatakan bahawa saudara seIslam telah melakukan bid'aah, maka ketahuilah bahawa anda sebenarnya telah mengatakan bahawa saudara kita itu akan dimakan oleh api Neraka. Jangan main-main saudara! Nabi saw pun tak mahu lihat umatnya dijilat api Neraka.

    Oleh kerana saya masih tidak menyentuh isu bid'aah secara spesifik, maka saya tidak ingin lagi mengulas panjang tentangnya. Saya ingin membawa pendapat Dr Yusuf al-Qardawi tentang sambutan Maulid Nabi. Kata beliau:
    "Actually, celebrating the Prophet's birthday means celebrating the birth of Islam.......We need all these lessons and such celebrations are a revival of these lessons and values. I think that these celebrations, if done in the proper way, will serve a great purpose, getting Muslims closer to the teachings of Islam and to the Prophet's Sunnah and life". [1]

    Dan ini pula pendapat Ibnu Taimiyyah berkenaan Maulid Nabi seperti mana yang ditulis dalam kitabnya bertajuk Iqtida' Al Sirat Al Mustaqeem (halaman 266):
    "Likewise, what some people have innovated, in competition with the Christians in celebrating the birth of Jesus, or out of love and veneration of the Prophet, that the predecessors didn't do, even though there is a reason for it, and there is nothing against it."[2]

    Jadi Boleh Sambut atau Tidak?

    Sudah tentulah boleh. Walau pun ada pihak terutamanya yang berfahaman Wahhabi, yang mengatakan ia adalah bida'ah yang sesat, pandangan tersebut sebenarnya bukanlah datang dari pandangan ahlus sunnah wal Jamaah.

    Pemahaman Wahhabi tentang konsep bida'ah dalam Islam sebenarnya sangat sempit dan berlawanan dari apa yang telah disepakati oleh para ulama kita. Sebab itulah mereka ini pernah mengatakan bahawa menutupi bahagian dinding Raudhah di Masjid Nabawi dengan kain adalah satu perkara bida'ah. Maka mereka menghalang penggantian kain baru bagi menggantikan kain lama yang sudah sampai tahap koyak-rabak [3]. Pemahaman konsep bida'ah seperti ini adalah tersangat ekstrim. Maka anda tidak perlu hairan kalau mengetahui ada rakyat Arab Saudi yang menganggap tali pinggang keledar sebagai satu bida'ah. [4]

    Pandangan Peribadi Saya

    Saya tahu bahawa kadang-kala ada perkara yang lagha dan haram yang diselitkan dalam sambutan Maulidur Rasul. Dan ini sudah tentulah berlawanan dengan sunnah. Akan tetapi, menyalahkan sambutan Maulid Nabi hanya kerana wujud perkara lagha dan haram di dalamnya, adalah satu perkara yang tidak adil.

    Kalau dalam majlis sambutan Maulidur Rasul ada dijemput wanita untuk menyanyi, kamu janganlah nak tuduh sambutan itu salah dan sesat. Sebaliknya, pihak penganjurlah yang kita kena persalahkan. Kita sebenarnya kena beri pendidikan Islam sepanjang hayat kepada golongan manusia seperti pihak penganjur sambutan tersebut yang masing kurang ilmunya, hatta pada perkara-perkara yang asas dan simple.

    Sebagai contoh lain, kalau dalam kenduri kahwin ada acara karaoke dan joget lambak sampai subuh, kita nak salahkan yang mana? Kenduri atau joget lambak? Kita umat Islam mestilah tahu apa yang prioriti dan apa yang bukan.

    Bulan ini bulan baik. Maka marilah kita bersama-sama mengurangkan aktiviti bida'ah ya :) Konsep bida'ah ini memang salah satu syariat Islam. Tapi jadilah umat Islam yang bijak dalam menjatuhkan hukum bida'ah yang sesat dalam sesuatu perkara. Ingat pesan saya - bila kamu kata seseorang itu buat bida'ah, maka kamu dah halalkan api Neraka untuknya. Berhati-hati.

    Nota Kaki

    [1] Sila rujuk Mufti Islam Online Fatwa Committee, Date 19/Apr/2001, Fatwa ID: 34150. URL asal bagi fatwa tersebut pada ialah: http://islamonline.net/fatwa/english/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=34150

    Tetapi nampaknya url tersebut akan re-direct ke url lain yang tidak spesifik. Saya kira ia satu perubahan teknikal. Saya menjumpai semula rujukan pendapat penuh Dr Yusuf Qardawi di sini. Saya sediakan dua lagi back-up link kalau-kalau url di Islam Online itu berubah lagi. Rujuk INI dan INI.

    [2] Untuk membaca lebih banyak pendapat-pendapat ulama terbilang yang menyokong Maulid Nabi, sila rujuk artikel Fatawa of the Rightly Guided Imams on Mawlid yang diambil dari majalah The Muslim Magazine. Perhatikan juga bahawa pada petikan kata-kata Ibnu Taimiyyah dalam bahasa Inggeris tersebut, istilah 'innovated' digunakan. 'Innovated' berasal dari perkataan 'innovate', iaitu mengadakan sesuatu yang baru - atau pun dalam bahasa Arab disebut bida'ah. Maka dalam hal ini, jelaslah bahawa Ibnu Taimiyyah juga tidak menganggap Maulid Nabi sebagai bida'ah dhalalah.

    [3] Rujuk kitab Tarikh al-Madhahib al-Islamiyya oleh Almarhum Imam Muhammad Abu Zahra. Beliau merupakan bekas Sheikhul Azhar dan juga pakar dalam bidang 'usul. Ringkasan isi penting berkaitan Wahhabbi dalam kitab tersebut telah dilakukan oleh Sheikh Gibril F Haddad.

    [4] Berhati-hati dengan laman web Muslim WakeUp kerana laman ini sebenarnya mempromosikan Islam Liberal. Amina Wadud yang menjadi imam wanita dalam solat Jumaat dan sekaligus menjadi contoh terbaik kalau nak menunjukkan bida'ah dhalalah, mendapat publisiti yang 'sangat baik' di laman Muslim WakeUp. Saya memetik artikel dari laman tersebut, iaitu, The Seatbelt as Bid'ah (Religious Innovation) and the Destruction of Muslim History kerana melihat tiada sebarang unsur promosi Islam Liberal di dalamnya.

    ---
    Artikel Tambahan:
    - Mengapa Mencintai Rasulullah?
    - Menyambut Perayaan Maulidur Rasul.

    Al-Joofre ada membuat satu artikel bersiri tentang Sambutan Maulid Nabi:
    Siri 1 | Siri 2 | Siri 3 | Siri 4 | Siri 5 | Siri 6 | Siri 7 | Siri 8 | Siri 9 | Siri 10 | Siri 11 | Siri 12 | Siri 13 | Siri 14 | Siri 15 | Siri 16 | Siri 17 | Siri 18 | Siri 19 | Siri 20
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Lepak 2 - Nabi Isa Nanti Mazhab Apa?

    08 April 2006 • 14 Komen
    Ada seorang memberikan komen dalam pos yang lepas. Bagus la saya fikir kalau ada yang tak setuju dengan blog saya ini. Nanti kalau semuanya komen yang mengiyakan, nanti dikata pula para pelawat di sini jenis kaki ampu dan pak angguk. Buat pengetahuan, saya tidak pernah men'delete' apa jua komen dari pelawat setakat ini - melainkan komen berulang dan juga komen yang bersifat dengki, ada bahasa kesat dan lucah, dan sebagainya.

    Saya petik sikit komen saudara kita yang menggelarkan dirinya Orang Islam: "nabi isa turun akhir zaman bawa syariat muhammad..apekah dia syafie ke hanafi ke maliki ke hanbali?"

    Saya tersenyum lebar membaca komentar ini. Kali pertama saya membaca soalan ini kalau tak silap pada The Haba'ib. Rasa menyesal pula sebab tak baca betul-betul jawapan bagi soalan ini. Akhirnya saya membuat satu janji yang bila saya dah jumpa jawapan dan huraian bagi soalan itu, saya akan memberitahunya.

    Saya sendiri sebenarnya masih tergamam dalam senyum tentang soalan tersebut. Bagi saya, "Some Muslim must have extraordinary imagination!" Macam inilah ya jawapan peribadi saya (kalau nak jawapan ilmiah kena tunggu dan bersabar):
    Saudara, masa Nabi Isa turun nanti, kita semua dah tak ada pening-pening nak fikir mana satu mazhab yang Baginda akan ikut. Saudara janganlah fikir sangat apabila Nabi Isa mengimamkan solat Subuh nanti, Baginda akan baca doa qunut atau tidak. Tu semua tak relevan langsung nak difikirkan sekarang. Entah kita ini sempat atau tidak untuk bertemu dengan Nabi Isa.

    Kita sebenarnya mesti fikir tentang zaman kita ini - bukan fikir terlalu jauh tentang masa depan. Zaman yang mana macam-macam fitnah berlaku dalam dunia Islam. Pergi fikir macam mana umat Islam boleh mententeramkan perang di antara pihak Sunni dan pihak Syiah di Iraq sekarang ini. Cuba juga fikir bagaimana seorang Sunni Muslim tergamak mengebom masjid kepunyaan Syiah di sana? Fikir di mana silapnya sehingga berlaku semua ini. Fikir juga dari mana datangnya fahaman "kalau kau tak sehaluan dengan aku, maka kau adalah Kafir!

    Inilah yang paling penting untuk kita buat. Bila umat Islam dah bersatu, barulah senang kerja Nabi Isa a.s. untuk memerangi dan seterusnya memusnahkan Dajjal. Dajjal tak dapat dibunuh dengan senang kalau umat Islam sendiri saling berbunuhan. Yang kamu pergi fikir Nabi Isa nanti mazhab apa bila turun apa halnya?
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Bila Lelaki Tersandung

    01 April 2006 • 33 Komen
    gambar lelaki laut pantai
    Minggu lepas, seorang kawan saya cakap: "Tawel, kau bagi sikit nasihat kat aku ni." Alamak!! Ini bukan satu kerja gampang bagi seorang lelaki. Sudah lah agak lama juga tak jumpa dengannya dan kemudian dia meminta nasihat pula.

    Oleh kerana saya ini jenis yang tidak betah sangat bertazkirah secara lisan kepada orang-orang yang ingin mendapatkan kaunseling atau nasihat dari saya secara personal, maka saya pun jawab acuh tak acuh sahaja.

    Kenapa Saya Bersifat Acuh Tak Acuh?

    Sebab saya ini lelaki. Apabila lelaki diminta memberikan nasihat, selalunya mereka tidak dapat memberikan nasihat tersebut dengan baik. Lelaki bukanlah satu makhluk yang hebat dari segi penggunaan dan manipulasi bahasa jika mahu dibandingkan dengan wanita. Dalam sehari, apabila wanita ingin menyampaikan isi hatinya, secara purata mereka menggunakan tiga kali ganda jumlah perkataan berbanding lelaki. Sebagai contoh, bila seseorang lelaki membawa kereta ke workshop sebab masalah enjin rosak, lelaki itu mungkin guna 300 patah perkataan sahaja untuk menceritakan sedikit sebanyak masalah keretanya itu kepada tauke workshop.

    Tapi, wanita pula berkemungkinan tinggi untuk menggunakan 900 patah perkataan (3x300). Lelaki adalah makhluk yang ringkas dan mudah. Kalau lelaki tersebut cakap "Enjin kereta ini susah betul nak hidup pada waktu pagi. Cuba tauke check apa problem dia.", maka si wanita pula akan kata:
    Saya pelik la tauke dengan kereta saya ni. Baru beli 4 bulan dah buat perangai. Susah nak start time pagi-pagi. Selalu saya lambat pergi kerja. Kekadang tu saya mintak tolong my hubby dan anak sulung saya yang tingkatan 2 tu untuk tolak kereta ni. Anak saya tu dah la sekolah petang. Kesian jugak sebab kena bangunkan dia pagi-pagi untuk tolak kereta. Tapi bagus jugak, kalau tidak memang liat anak saya tu nak bangun pagi solat Subuh. Maklumlah, sebab saya ni kena keluar awal. Kalau tidak jalan jam. Bukan tauke tak tahu jalan kat KL ni. Kalau sistem pengangkutan awam kita tip-top, dah lama saya jual kereta yang asyik meragam ni. Baby kecik pun tak meragam macam kereta ni.

    Tauke nak tahu, ada pernah sekali tu sampai 100 meter tolak baru la kereta ni start. Tauke check apa-apa yang patut ya. Tapi janganlah charge mahal-mahal sangat. Dah la harga minyak naik 30 sen. Kalau tauke charge mahal-mahal, saya tak mahu lagi datang sini.

    Inilah hakikat perbezaan di antara lelaki dan wanita. Wanita adalah satu makhluk yang suka dan gemar bercakap tidak kira masa dan tempat. Bila lelaki bersama lelaki, adalah sesuatu yang normal dan tidak pelik jika mereka berdua lebih banyak diam dari bercakap. Tapi apabila kita nampak wanita bersama wanita, dan mereka ini tidak banyak bercakap, dan lebih banyak membisu, maka kita boleh buat tekaan yang mereka berdua ni mungkin sedang berselisih faham.

    Mereka ini mungkin bergaduh berebutkan seorang pakwe kacak yang baru sahaja lulus sesi ujian rancangan Akademi Fantasia. Namun demikian, apabila kita ternampak dua orang gadis yang merupakan sahabat baik, dan sedang pula study bersama-sama di library, janganlah kita mengatakan yang mereka ini sedang berselisih faham, hanya kerana mereka asyik diam dan study sahaja dalam library tu.

    Maka atas sebab yang sama jugalah, apabila wanita yang sudah berumahtangga berhadapan dengan sesuatu masalah, kebanyakkan lebih suka menceritakan masalah itu kepada teman wanitanya juga - dan bukan kepada suaminya. Kadang-kadang teman yang dipilihnya itu adalah teman yang biasa-biasa sahaja, iaitu bukan teman yang akrab. Nak buat macam mana...suami pun bila diceritakan masalah macam nak tak nak sahaja dengar.

    Dan apabila lelaki ada masalah, biasanya mereka ini tak suka bercerita kepada sesiapa tentang masalah itu. Kalau pun mereka bercerita, mereka akan memilih isterinya sahaja, dan mungkin juga beberapa teman lelaki yang akrab yang sangat-sangat mereka percayai. Lelaki adalah sejenis makhluk secretive. Bila mereka ada masalah, mereka tidak bertindak seperti wanita yang menceritakan masalah itu kepada teman-teman wanita dengan penuh emosi dan linangan air mata - dan ini menerangkan mengapa kaum wanita ini suka betul membawa tisu di dalam beg tangannya. Tidak pernah saya melihat wanita keluar tanpa membawa pek tisu.

    Mengumpat

    Lelaki ini bersifat praktikal. Mereka lebih suka menggunakanya fizikal mereka terlebih dahulu. Mereka suka guna otot dan tidak suka guna otak. Sebab itu lelaki ini suka bergaduh bila tak puas hati pada seseorang. Kebanyakkan wanita pula suka mengumpat kalau rasa tak puas hati, contohnya bila mereka melihat teman sekerja beli kereta BMW atau pun apabila melihat jiran sebelah rumah menambah koleksi madu baru. Dosa mengumpat ini dosa besar. Hanya orang yang diumpat boleh mengampun orang yang mengumpat dirinya. Kebanyakkan yang suka mengumpat pula adalah wanita, tetapi ini tidak bermakna lelaki tidak suka mengumpat.

    Mengumpat ini kadang-kala menjadi hobi pula di kalangan sesetengah kita. Kata-kata seperti: "Eh, jom umpat si Kiah tu. Aku dengar dia nak kahwin dengan Datuk K. Aku dengar macam-macam cerita la pasal diorang tu. Ala, tapi tak cukup korum la nak gosip-menggosip ni. Jom la panggil lagi sorang dua", jelas menunjukkan bahawa industri mengumpat ini lebih seronok dilakukan kalau lebih banyak mulut yang menyertai. The more the merrier! Nak masuk neraka biar ajak member sama.

    Mengumpat ini salah satu dosa besar. Berdasarkan hadith dari Rasulullah saw, lebih ramai wanita yang akan masuk neraka, walaupun pada hakikatnya golongan wanita adalah yang paling mudah masuk ke Syurga. Oleh itu, walaupun sudah terbukti dari sudut anatomi, fisiologi dan psikologi bahawa wanita ini memang lebih suka bercakap berbanding lelaki, tetapi rumusan para saintis ini tidaklah boleh dijadikan alasan untuk menolak hadith-hadith yang menggalakan umat Islam supaya lebih banyak diam dan menjaga lidah.

    Lelaki dan Fizikal

    Lelaki yang bermasalah akan pergi memancing, basuh kereta, panjat pokok kelapa, tebas semak-samun yang ada di belakang rumah dan sebagainya. Dengan melakukan aktiviti-aktiviti seperti ini, mereka sering-kali mendapat pencahayaan idea dan ilham tentang bagaimanakah modus operandi yang perlu dilakukan bagi meng 'settle' kan masalah mereka itu.

    Allah telah menciptakan otak wanita dan lelaki agak berbeza, terutama sekali pada bahagian language center. Wanita ada language centers pada kedua-dua belah otak kiri dan kanan. Lelaki pula hanya ada satu language center (kalau tak silap saya, lelaki punya language center terletak di bahagian otak kiri).

    Jadi apabila berlaku kecederaan pada bahagian otak kiri lelaki, mereka kemungkinan besar tidak boleh lagi mengucapkan I LOVE YOU pada isterinya - iaitu lelaki ini akan jadi bisu. Sebaliknya, kalau wanita mendapat kecederaan di bahagian otak yang sama, mereka berkemungkinan besar masih boleh membebel seperti biasa kepada anak-anak dan juga suaminya - iaitu si wanita ini tidak bisu!

    Apa Kaitan Otak Dengan Masalah Kawan Saya?

    Oleh kerana kaunseling dan nasihat bukanlah first option yang akan dipilih lelaki bagi meleraikan kekusutan masalah mereka, maka begitu jugalah selalunya dengan si lelaki yang diminta memberikan nasihat itu. Lelaki adalah makhluk yang tak suka cakap banyak. Mereka adalah makhluk yang suka melakukan sesuatu yang bersifat fizikal - dan bukannya bersifat lisan seperti mana yang wanita lakukan. Mereka lebih suka bertindak dari bercakap.

    Maka atas sebab itu, saya telah mengedit gambar yang saya selitkan pada artikel pada kali ini (iaitu saya telah melakukan sesuatu bersifat fizikal). Seperti mana quote yang ada pada gambar itu: "Stumbling is not falling." Maka itulah nasihat terbaik yang dapat saya berikan kepada kawan saya itu. Quote itu sebenarnya saya pinjam dari Malcolm X.

    Nasihat

    Kita jatuh, kita gagal, semuanya ada hikmah. Stumbling is not falling. Tersandung bukan jatuh! Ada sesuatu yang Allah nak kita belajar dari ketentuan takdir-Nya ke atas kita. Yang naik akan turun, dan yang turun akan naik. Begitulah lumrah alam sejak dulu sampai sekarang. Mungkin dulu kau pernah berada di tempat yang tinggi, maka kali ini Allah nak letak kita di tempat yang bawah sikit. Mungkin dengan begitu, maka Allah telah menyelamatkan kau dari sifat bangga diri dan lupa daratan kepada orang-orang yang berada di bawah. Itulah nasihat aku kepada kau, dan juga tidak lupa pada diri aku.

    Inilah nasihat dari seorang lelaki kepada lelaki. Ringkas dan padat. Tapi jangan tanya saya macam mana cara nak nasihatkan lelaki lembut (semalam seorang kawan saya yang lain tanya macam mana cara nak nasihatkan kawan lelaki dia yang agak lemah-lembut dan suka kepada kaum sejenis). Lemah-lembut di sini adalah lemah-lembut yang lain.

    Setakat ini, saya telah mendapat tiga kali pengalaman menyeramkan dengan lelaki-lelaki yang suka kepada kaum sejenis ini. Dan oleh kerana saya ini juga tidak belajar tentang psikologi lelaki lemah-lembut, maka menasihatkan lelaki jenis ini akan menjadikan situasi lebih parah. Dan tolong jangan tanya saya macam mana cara nak nasihatkan lelaki atau perempuan yang suka kepada kaum sejenis kerana saya bukannya pakar. Kalau lelaki dan perempuan yang normal, boleh la saya tolong sikit-sikit.

    Nasihat Lain

    Oleh sebab sekarang ini kita dah tahu yang wanita ni jenis yang banyak cakap (maka dengan itu menjadikan mereka ini insan yang kuat membebel di rumah), maka kepada para suami dan bakal suami, bersabarlah dengan isteri anda. Bebelan mereka itu sebentar sahaja. Dengarkan sahaja apa yang ingin mereka kata. Tapi jangan sesekali lawan cakap mereka. Biarkan mereka bercakap dan membebel sepuas-puasnya (Gaya cakap macam dah kahwin aje).

    Atau kalau anda mahu jadi sarkastik, maka ada baiknya anda rakamkan bebelan isteri anda itu dengan iPod. Bila isteri anda dah OK, anda bagi mereka dengar semula rakaman bebelannya itu. Tapi pastikan isteri anda tu dah betul-betul OK. Kalau tidak, saya tidaklah bertanggungjawab kalau mereka membebel semula, dan anda pula terpaksa membuat rakaman buat kali kedua.

    Kepada anak-anak muda dan remaja (mahu pun yang dah tua) di luar sana, bersabarlah juga dengan karenah ibu anda kalau-kalau ibu anda itu jenis yang kuat membebel. Sifat wanita memang begitu. Mereka meluahkan perasaan melalui perkataan. Tak pernah lagi saya jumpa wanita yang tidak suka berbual dan membebel (saya maksudkan adalah wanita yang tidak bisu). Dengan bercakap, mereka akan berasa semakin lega.

    Hargailah ibu anda sementara dia masih hidup. Jangan lawan cakap ibu, takut-takut jadi anak derhaka. Dengarkan sahaja bebelan mereka yang mungkin berlangsung selama 10 minit bagi setiap sesi, 3 kali seminggu. Apalah sangat nak dibandingkan dengan kepayahan yang ibumu tanggung ketika kamu berada dalam rahimnya selama 9 bulan 10 hari yang juga bersamaan dengan 403 200 minit (iaitu 40320 kali sesi bebelan ibumu, kalau setiap sesi panjang nya adalah 10 minit). Tapi janganlah pula bila dah masuk sesi ke-40321 kamu nak melawan pula. Haram tetap haram. Konsep hormat ibu bapa tidak sama seperti konsep equivalent trade macam yang kita tengok dalam Full Metal Alchemist. Jangan jadi anak derhaka! Tak cium bau Syurga nanti.

    Kalau dah pernah melawan cakap ibumu yang suka membebel tu, maka sekarang juga, anda pergi telefon mak kat kampung. Pergi tanya khabar mereka. Jangan bila sudah bertemu si jantung hati di kota Kuala Lumpur atau pun di pekan Meru, kamu jadi lupa untuk telefon orang tua di kampung. Kesian mereka. Walau pun zaman sekarang ni zaman internet, nak berhubung dengan ibu bapa pun pakai telefon dan SMS sahaja, ini tidaklah melayakkan anda untuk balik ke kampung setahun sekali sahaja apabila tibanya hari raya, atau pun bila orang tua kita tu dah hampir nak ditanam di tanah perkuburan.

    Cukuplah setakat ini ya. Panjang pula jadinya. Kepada kawanku itu, semoga Allah memberikan kekuatan kepadamu untuk melalui ujian tersebut dengan gagah dan cekal. Doakan aku juga dan rakan-rakan seIslam kita yang lain. Perkara lain, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Mawlid Nabi yang bakal tiba tidak lama lagi. Kalau tak tahu bila, pergilah semak kalendar Islam ya. Mari kita penuhkan sambutan Mawlid Nabi kali ini dengan program-program kerohanian, majlis kesyukuran, dan sebagainya.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »