Back to home page

Ombak Jahat

21 Oktober 2006 • 7 Komen Cetak Chenta!
Ramadan hampir ke penamat. Dan sekali-sekala saya membelek-belek mata saya. Ada sesetengah ulama kata bahawa kita boleh menilai hati melalui mata. Cinta pandang pertama bermula dari mata dan jatuh ke hati - barangkali memang ada hubungan kompleks di antara mata dan hati.

Hati yang suci dan bersih akan terbias kejernihannya pada mata kita. Jika mata kita kering dan susah untuk mengalirkan air mata, maka itu adalah tanda kerasnya hati. Fenomena ini dipanggil jumudul 'ayn ataupun mata jumud / mata beku / mata statik dan terjemahan yang sewaktu dengannya. Seseorang yang memiliki rasa belas kasihan dan lembut pula hatinya akan mempunyai mata yang kelihatan berkaca-kaca.

Dan saya melihat-lihat lagi mata saya bak gaya seorang suri rumah yang mahu membeli ikan. Adakah ia kering atau sebaliknya. Kalau kering, mungkinkah hati ini sudah keras. Jikalau tampak berkaca, adakah benar mata saya ini ikhlas menangis kerana takutkan azab-Nya dan rindukan pula syurga-Nya. Seorang penyair pernah menukilkan:
Bersengkang mata bukan kerana-Mu tiada guna;
Titisan air mata bukan rindu-Mu hanya dosa.

(Dari Ya Ayyuhal Walad, Imam al-Ghazali)

Ilmu Yang Penting

Saya berpegang dengan kuat dan yakin bahawa ilmu tasawwuf adalah antara ilmu terpenting untuk kita selamat di dunia dan di akhirat. Mungkin ada orang berpendapat bahawa ilmu tasawwuf ini hanya lebih relevan untuk bekalan akhirat, dan ia tidak dapat menyelesaikan masalah-masalah besar dalam dunia ini. Tetapi bagi saya, kerana jahil dalam ilmu tasawwuf inilah yang menyebabkan masyarakat dunia ini, sama ada Islam atau bukan Islam, mengalami satu keadaan yang dinamakan social degradation: yang kuat menindas yang lemah, yang kaya tak mahu menolong yang miskin, sifat tamak dan rakus dalam mengejar harta dunia menyebabkan kita sanggup main kotor, beri rasuah dan banyak lagi. Apa sahaja masalah yang berlaku dalam dunia ini sebenarnya berpunca dari hati manusia itu sendiri.

Jika seorang pemerintah memiliki ilmu tasawwuf yang baik, maka percayalah bahawa kebajikan rakyat akan terjaga, dan rakyat pula tidak akan memberontak. Mari kita lihat biografi Umar bin Abdul Aziz yang merupakan salah seorang khalifah Bani Umaiyyah. Majoriti ulama meletakkan beliau sebagai Khalifah ar-Rasyiddin yang kelima selepas Saidina Ali. Dan saya pula begitu kagum dengan perwatakan beliau. Sangat-sangat kagum.

Kita sedia maklum tentang golongan Khawarij, iaitu satu golongan pemberontak yang tujuannya adalah untuk menumbangkan khalifah yang dilantik. Khawarij sentiasa merancang strategi dan menunggu peluang terbaik untuk menunaikan objektifnya. Tetapi apa yang ironinya, golongan Khawarij ini menunda segala aktiviti jahat mereka sewaktu Umar bin Abdul Aziz berkuasa. Sebabnya? Mereka sendiri berasa segan dan malu untuk menjatuhkan Umar bin Abdul Aziz dek kerana sifat mulia dan penuh adab yang ditunjukkan oleh beliau. Kamu fikir bagaimana ini berlaku? Adakah ini kerana ilmu fiqh, atau ilmu tajwid, atau ilmu mantik, atau lain-lain ilmu lagi, yang dimiliki oleh khalifah yang agung lagi mulia ini? Ini tidak lain tidak bukan adalah disebabkan oleh kefahaman tasawwuf yang dimiliki oleh Umar Abdul Aziz. Apabila berita tentang pemergiannya pada 25 Rejab 101H diberitahu kepada Hasan al-Basri, beliau berkata: "Aduhai, lelaki yang terbaik di dunia sudah meninggal dunia."

Imam Ghazali yang begitu hebat ilmunya, sehingga digelar Hujjatul Islam, dan ketika zamannya pula beliau digelar sebagai Imam Shafi'i Kedua kerana kehebatan ilmu fiqhnya, secara tiba-tiba berubah haluan menjadi seorang ulama sufi yang agung. Di tengah-tengah kemuncak kejayaan akademik beliau, sehingga dapat menjadi salah seorang pengajar di Akademi Nizamiyyah di Baghdad, Allah telah menakdirkan beliau untuk mengikuti jalan para ulama sufi. Imam Ghazali menjadi takut kalau-kalau amalannya rosak kerana tidak punya sifat ikhlas. Maka beliau bersara dari Nizamiyyah dan kemudian bermusafir ke Jerusalem dan kemudian ke Damascus untuk mensucikan hatinya. Selama 10 tahun beliau mengasingkan diri di Damascus, dan pada akhirnya lahirlah kitab Ihya Ulumuddin yang dipandang tinggi oleh para ulama kita sehingga ke hari ini.

Pelajarilah Tasawwuf

Kita sudah mendapat gambaran betapa pentingnya ilmu tasawwuf ini. Nak belajar ilmu tasawwuf bukan bermakna kita wajib memasuki tarikat, tetapi tarikat itu adalah salah satu jalan untuk memahiri ilmu yang sangat penting ini. Dan trend sekarang ini pula ada sesetengah golongan yang menyesatkan ulama sufi dan golongan tarikat. Bukan semua sufi itu sesat saudara..yang sesat itu cuma sufi celup yang merepek dan merapu.

Selain itu, awal-awal lagi saya sudah beritahu bahawa saya tidak ada apa-apa kaitan dengan mana-mana tarikat. Tetapi malangnya blog ini pernah dituduh sesat kerana menyebarkan ajaran sufi dan tarikat. Dan ditambah lagi amplitud kesesatan tersebut dengan menuduh blog ini membawa fahaman Nur Muhammad, padahal tak pernah sekali pun saya menyentuhnya, dan tambahan pula konsep Nur Muhammad itu adalah perkara furu' yang diperselisihkan di kalangan ulama. Hentikanlah sesat-menyesat dan kafir-mengkafir pada perkara-perkara ranting.

Apa pun, blog ini akan terus memfokuskan pada isu-isu berkaitan tasawwuf. Mudah-mudahan, ia akan dapat membantu saya untuk mencari hakikat diri yang sebenar. Ilmu tasawwuf bukan ilmu yang satu dua hari belajar, kemudian kita sudah boleh mahir selok-beloknya. Tetapi bak kata Imam Mawlud yang mengarang puisi Matharat al-Qulub, bahawa adalah mustahil untuk membebaskan diri kita secara total dari segala penyakit-penyakit hati ini. Dan ini sudah tentu bermakna bahawa penyucian itu adalah proses sepanjang hidup. Selagi kita bernafas, maka selagi itulah proses itu berjalan.

Kadang-kadang saya terkenang kata-kata ahli-ahli jemaah tabligh yang pernah berdakwah kepada saya. Kata mereka, "Kami keluar 3 hari, 40 hari, sebenarnya bukan sebab nak tunjuk kami ni pandai. Tapi kami keluar, kami cerita tentang kehebatan Allah pada manusia, itu semua adalah untuk mengingatkan diri kami sendiri." Allahu Akbar. Blog ini sebenarnya adalah untuk mengingatkan diri saya sendiri yang kadang-kala lalai dan terbabas dari landasan-Nya. Doakan saya agar diberikan kekuatan mencari hakikat diri ini.

Saya tidak mampu untuk berbuat seperti Imam Ghazali - bermusafir dan beruzlah 10 tahun lamanya. Namun demikian, proses penyucian hati ini akan tetap menjadi misi utama saya, tetapi saya kadang-kala sangat sedih kerana terdapat banyak faktor-faktor penghalang untuk saya mencapainya. Entah bila faktor-faktor itu akan pergi. Hanya Allah yang tahu, dan masa akan menjadi pembolehubahnya. InsyaAllah.

Masa Yang Pantas

Sebenarnya saya sedang terlibat dalam satu projek (tapi taklah sebesar mana). Dan oleh kerana ia baru sahaja mahu bermula, maka begitu banyak masa perlu saya dedikasikan kepadanya. Oleh itu saya akan bercuti seketika dari arena blogging. Mungkin dalam sebulan lebih. Oleh itu, sementara menunggu saya menulis semula, maka blog ini akan diisi dengan artikel kopi-dan-pasta (copy paste la tu). Tapi janganlah tak lawat blog ni pula. Datanglah sekali-sekala untuk bagi Salam Aidilfitri ke, ingatkan saya untuk puasa enam ke. Hehe :). Tapi saya rasa, saya patut membereskan janji saya yang ini terlebih dahulu.

Mudah-mudahan Allah memberikan saya kekuatan bagi menjalankan projek ini, tetapi pada masa yang sama, saya turut boleh memastikan deen saya terjaga. Kadang-kadang kita selalu mendengar orang cakap yang mereka tak cukup masa. Pejam celik, sudah sampai Ramadan yang berikutnya. Rasanya masih segar di ingatan ketika abang sulung saya membawa saya menaiki motor RXZ untuk membeli baju raya sewaktu kecil. Pantas sungguh masa berjalan, tetapi masih banyak lagi cita-cita kita yang tidak terlaksana. Pejam celik lagi, tengok-tengok kita dah terus pejam dalam kubur.

Mengapa masa berlalu begitu cepat? Sebab sudah nak kiamatkah? Atau mungkinkah ini disebabkan maksiat yang kita lakukan? Kita memerlukan barakah dalam masa, seperti mana kita memerlukan barakah dalam rezeki yang kita cari. Jika masa kita ada barakah, pasti masa yang kita lalui akan terasa lebih panjang dan kita akan punya lebih banyak masa untuk melakukan banyak perkara. Saya cukup pelik lagi hairan apabila membaca biografi para ulama, yang mana mereka dapat menulis berhelai-helai halaman pada malam hari, dan pada waktu yang sama mereka melakukan solat sunat, membaca Al-Quran dan sebagainya. Guru kepada Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin [baca biografi], iaitu Almarhum Sheikh Muhammad Alawi al-Maliki al-Hasani [baca kisah beliau], boleh menulis 150 halaman muka surat dalam masa satu malam. Ini sudah ajaib. Saya nak membaca 150 muka surat satu malam pun memang boleh hujan emas esok pagi. Silap-silap, sampai Subuh pun saya tak habis baca lagi. Apakah rahsia para ulama kita ini sebenarnya.

Mungkin ini adalah kerana disiplin mereka dalam mengatur ibadah mereka. Memetik kata-kata Sidi Ahmad al-Zarruq, iaitu seorang ulama Sufi dari Morocco: "Aturlah ibadah kamu dan kamu akan mendapati masamu menjadi panjang disebabkan barakah yang ada padanya." Oleh itu, mari kita sama-sama update, upgrade dan atur ibadah kita. Mudah-mudahan kita dapat membereskan banyak urusan dunia ini tetapi pada masa yang sama masih memiliki masa untuk berzikir mengingati Allah.

Ombak Jahat

Jadi apa sebenarnya Ombak Jahat seperti mana yang tertera pada bahagian tajuk kali ini? Lihat video klip di bawah, dan nanti tahulah. Selamat menyambut Syawal yang bakal menjelma dalam masa beberapa hari sahaja lagi. Makan ketupat tu, ingat-ingatlah saya yang dah masuk tahun keempat tak makan ketupat, nasi himpit, lemang, bla bla... Eid Mubarak! Maaf zahir dan batin andai selama ini terdapat kata-kata sindiran dan kutukan yang saya lakukan :)

Oh ya, selamat mencari anak bulan bagi SMS dan Anak Alam. Kalau nampak, mari la kongsi di sini!


Ombak jahaaaat!! Dik, jangan jauh-jauh sangat dik!

7 Komen Tambah Komen↴

Menyentuh tentang Tabligh, saya dapat lihat bermacam-macam contoh yang baik dan buruk...tapi, saya harus akui bahawa, saya dapat lihat banyak yang baik. Mertua saya sendiri, seorang yang istiqamah dengan jamaah ni, dan tak pernah sekalipun saya nampak beliau ponteng dari solat malam dan membaca Quran, hatta masa pegi jalan-jalan ke rumah saudara-mara sekalipun...mungkin kita boleh pertimbangkan ia untuk mentarbiyyah hati ang saban hari semakin keras ini..

Betul tu abang Walikard. Tapi baik atau buruk bukan kerana sesuatu jemaah tu. Ini semua adalah kerana kelemahan diri mereka sendiri sebagai makhluk-Nya yang lemah. Penganut agama Islam juga ada yang baik, dan ada yang tak baik.

Selamat hari raya (yang terakhir di Ireland) cik Mardiah..hehe :) Saya tak ada guru le..payah beno nak cari guru2 mursyid kat sini..tak macam kat UK. InsyaAllah ada rezeki mungkin berguru satu hari nanti.

Selamat Ari Raye...sume...

Alhamdulillah kita masih lagi sambut dan jumpa lagi ramadhan & aidilfitri

Tanpa Nama

Lama tak singgah fetihanum. Mana pergi? :)

:)...aah...lama benar tak singgah...keja makin banyak...project bertambah...nak surf hembusan ni pun dah jadi limited ...anyway...thanx for this blog...gave a lot info to me..:)..

Tanpa Nama

pon x nampak sebab hujan that night, plus busy bertakbir.

Tanpa Nama

Dalam rakaman sharahan al Sheikh Mohammad Fuad Kamaluddin atas tajuk "Tasawud" adalah baik dan segar.

Walaubagaiman pun dalam rakaman di masa 56.04 itu beliau telah sebut
"kerusi al ghazali" dan ada unsur SINDIRIN .

seperti kita sedia maklum, hanya ada 1 kerusi al ghazali di dalam dunia akademik iaitu Kerusi Al Ghazali dalam Pemikiran Islam {sebanr Distinguised Al Ghazali Chair in Islamic Thought yang pernah di sadang oleh Professor Dr Syed Muhammad Naquib alAttas.

sesiapa yang mengikuti al Sheikh Mohd Fuad Kamaluddin dan kenal beliau sila bertanya kepnapa SINDIRAN ini?

Beliau juga menyentuk mereka yang berkelulusan PhD.

{bagaimana dengan eg. al Sheikh Dr Mohd Afifi alAkiti saorang pensharah Melayu di Universiti Oxford?}


{sila rujuk rakaman MP3 "tasawuf" di masa 56.04min itu}

[semua Sheikh2 Traditional iaitu belajar secara berGuru dan juga
Sheikh2 ahli akademik yang TULEN ada tempat masing2 dan perlu di hormati jangan sindir].


Saya akhiri dengan doa semoga al Sheikh Mohd Fuad Kamaluddin di kurnia kelimuan lebih tinggi.

Tanpa Nama

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.