Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Sepanyol XVIII: Jalan Elvira

    30 April 2005 • 0 Komen
    Sebenarnya sebelum kami pergi ke tempat peninjaun tersebut (sila rujuk pos sebelumnya), kami telah mengambil kira keadaan dan situasi perut kami. Sejak pukul 12 tengahari tadi, hanya kebab dari Rambla Rawa (sila rujuk pos Rambla Rawa) yang menjadi santapan. Selepas itu, sehinggalah tiba di Granada ini, tiada satu apa pun yang kami makan. Jadi, perut mesti diisi terlebih dahulu.

    Kami sebenarnya secara tidak sengaja terjumpa dengan kedai makan halal di Granada ini ketika tersesat mencari-cari tempat peninjauan itu. Niat yang kami pasang, makan biskut sahaja sudah cukuplah sebagai pengalas perut malam itu. Tapi, sebab sudah terjumpa, nafsu kami terhadap biskut itu sudah terpadam - ibarat api yang disimbah air.

    Aku ternampak satu papan tanda yang bertulis Rasheed Ahmed Comida Pakistani. Aku jangka di situ ada jual kebab halal. Kami memasuki lorong kecil yang menuju ke kedai itu. Lorong ini tidaklah sebesar mana, tetapi ia sudah cukup bagi membolehkan sebuah lori ikan kecil melaluinya. Jalannya pula dibuat daripada susunan batu-batu bersaiz sederhana. Lorong ini sebenarnya agak malap. Hanya lampu-lampu jalan yang berwarna kuning menjadi penerang lorong ini. Kalau kedai-kedai yang ada di sini sudah pun ditutup, pasti makin gelap dan sunyilah lorong ini. Kami sekadar berharap kedai-kedai itu tidak ditutup awal.


    Di sinilah kami memakan kebab pakcik Pakistan itu. Sedap!


    Di bahagian hulu jalan ini, pengunjung dapat berjumpa dengan beberapa buah kedai halal. Tapi aku tidaklah pula pasti adakah ia akan berterusan sehingga ke penghujung lorong ini. Lorong itu agak panjang sehingga aku tidak dapat melihat penghujungnya.

    Kedai itu seperti yang dijangka. Memang kedai kebab. Kedai kebab itu dimiliki oleh seorang lelaki berbangsa Pakistan. Aku bertanya kepadanya sama ada dia boleh atau tidak berbicara dalam bahasa Inggeris. Dia menjawab: 'Bolehlah sikit-sikit'.

    Maka kami pun memesan makanan dalam bahasa Inggeris. Agak murah kebab yang dijual di Sepanyol ini. Baik di Barcelona dan di Granada. Kalau tidak silap, satu kebab biasa berharga 3 Euro (RM 14.50). Aku beli 2 kebab special. Satu makan malam ini, dan satu untuk esok pagi.

    Kebab yang dimasak oleh pakcik itu agak berbeza. Ada telur goreng yang turut menjadi inti kebab itu. Tidak pernah aku makan kebab yang ada telur goreng ini. Kami menunggu dengan penuh sabar. Tapi aku rasa, pakcik itu masak kebab agak lambat. Mungkin itu sekadar perasaan. Maklumlah, dah lapar. Kami menunggu dengan penuh sabar.

    Sewaktu menunggu itu, kami melihat ada beberapa orang yang memasuki kedai itu. Tapi nampaknya, mereka semua bukanlah mahu memesan makanan. Mereka nampaknya ada urusan dengan pakcik itu. Aku tidaklah tahu apakah gerangan urusan itu kerana mereka berbual dalam Spanish. Kami terus menunggu dan menunggu buat beberapa minit lagi. Kemudian ada seorang gadis remaja yang memasuki kedai itu.

    Berdasarkan tingkah-laku dan perbualannya dengan pakcik Pakistan itu, aku kira dia adalah anak kepada pakcik itu. Aku menolak kemungkinan dia adalah isteri pakcik itu kerana gadis itu kelihatan masih belasan tahun. Pakcik itu pula kelihatan seperti awal 50-an.

    Bosan menunggu, aku keluar dari kedai itu untuk melihat-lihat lorong itu. Waktu itulah aku menyedari yang kami berada di Jalan Elvira. Perkataan 'Jalan Elvira' diukir cantik pada beberapa kepingan mozek yang dilekatkan pada dinding sebuah bangunan. Ada 3 buah kedai lain yang ada di sekitar Rasheed Ahmed Kebab. Kelihatannya seperti kedai runcit. Aku tidak masuk kerana pemilik kedai itu nampaknya sudah mahu menutup perniagaannya pada hari itu.

    Setelah kebab siap dimasak, kami makan di situ juga. Selesai makan, kami bertanya kepada pemilik kedai itu di manakah kedudukan kami di dalam peta bandaraya Granada. Alamak, dia tidak faham pula pertanyaan kami. Memanglah dia sekadar 'boleh sikit-sikit' berbahasa Inggeris. Pakcik itu kemudiannya memanggil anak perempuannya yang ada berdekatan dengannya. Kami harap anaknya itu dapat berbahasa Inggeris dengan baik.

    Bapa borek, anak rintik. Lagi teruk dari bapanya. Satu apa pun dia tak faham Inggeris. Aku mengambil jalan lain. Aku menunjukkan peta bandaraya Granada dan cuba membuat bahasa isyarat: 'Di manakah kami di dalam peta ini?'

    Aku terasa seperti sedang berlakon pula dihadapannya. Kalau tidak ada 2 kawan aku yang lain itu, tentu aku sudah tersipu-sipu malu. Tapi akhirnya, berjaya juga kami setelah aku teringat nama jalan kami berada ini. Aku bertanya 'Elvira?' sambil menunjukkan peta itu. Dia faham. Tapi dia macam tidak faham baca peta pula.

    Memang banyak masalah. Kira-kira 3 minit, barulah kami faham dan dia pun faham kami. Setelah kami tahu kedudukan tepat kami, kami keluar untuk pergi ke tempat peninjauan itu.


    Kedai halal berdekatan.



    Juga sebuah kedai halal.



    Kedai halal juga.

    Kalau lapar di Granada, carilah Jalan Elvira.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XVII: Malam Di Granada

    11 April 2005 • 0 Komen

    Hostal Alcazaba

    Inilah merupakan satu-satunya hostel yang paling baik antara yang pernah ditiduri. Sewa yang murah, bilik tidur yang paling selesa, pemiliknya yang sangat peramah, mudah dicari, dan mudah untuk pergi ke tempat-tempat lain dari sini. Aku mencadangkan sesiapa yang ingin ke Granda untuk memilih hostel ini. Aku tidak dibayar untuk promosi ini!

    Mengikut kata tuan punya hostel itu, ada 2 tempat yang patut dikunjungi apabila tiba waktu malam tiba di Granada. Dua tempat yang dicadangkannya itu terletak di atas bukit. Dengan berbantukan peta bandar Granada, dia menjelaskan dengan penuh semangat. Lidahnya fasih membutirkan bahasa Inggeris. Sekali-sekala, pelat Spanishnya tersembur keluar juga.

    Pemandangan Malam


    Di sebatang jalan utama yang menghala ke Al-Hambra.


    Kata-katanya itu berasas. Di tempat yang pertama, pengunjung dapat melihat hampir keseluruhan bandar Granada. Granada ditinjau dari atas pada waktu malam ibarat kelip-kelip kaku yang hinggap di atas batu.

    Semuanya OK, tidak terjejas dan ia tidak diceroboh (Tidak tiru Khir Toyo :p) di sini. Cuma satu yang tidak OK. Tempat peninjauan ini sebenarnya cuma sebuah bahu jalan yang sedikit luas berbanding biasa. Cuma kami bertiga di situ. Keadaan di sini agak gelap. Sekali-sekala kegelapan itu disimbahi dengan cahaya lampu kenderaan-kenderaan yang muncul sekali-sekala. Bunyi anjing-anjing bergaduh, atau mungkin juga sedang berpeleseran dan berpacaran dapat didengari jika ia diamati dengan teliti. Kadang-kala, terdapat beberapa orang lelaki mencurigakan yang berjalan melalui jalan yang agak curam itu. Keadaan di sini agak doooooodggy...

    Kami kemudiannya berkonflik dalam diri sama ada untuk naik ke atas lagi (untuk ke tempat kedua itu) atau pun tidak. Untuk pergi ke tempat itu, kami perlu mendaki lagi jalan yang curam. Jika kami berjaya sampai di sana, kami dapat melihat kota Al-Hambra dari jauh. Peluang seumur hidup ini agak rugi jika diabaikan.


    Beberapa puluh meter tempat peninjauan yang pertama.


    Tapi akhinya kami membuat keputusan untuk tidak pergi ke sana. Bagi kami, lebih rugi lagi jika kami kehilangan paspot, dompet yang di dalamnya tersimpan matawang Euro, kad ATM dan kad kredit. Kami tidak mahu menerima pengalaman seumur hidup yang ini demi mendapatkan peluang seumur hidup yang terdapat di atas bukit sana.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XVI: Sampai Di Granada

    02 April 2005 • 0 Komen
    Perjalanan Cordoba-Granada menaiki bas mengambil masa 2 jam 30 minit. Oleh itu kami sampai di sana dalam lingkungan 6.00 petang. Oleh kerana pada waktu itu musim sejuk, keadaan sudah pun gelap.

    Kali ini tidak sukar untuk mendapatkan maklumat tempat hostel kami menginap. Pada mulanya kami menyoalnya menggunakan Spanish. Kami seolah-olah agak yakin dengan struktur tatabahasa yang kami gunakan itu. Keyakinan kami itu kemudiannya dibalasi oleh wanita muda itu dengan satu jawapan yang agak laju dan lancar di dalam Spanish. Kami tak faham.

    Kami lalu membuang ego untuk berbahasa Spanish. Akhirnya perkataan-perkataan Inggeris yang ringkas dan umum digunakan. Agak berbaloi. Rupa-rupanya juruinfo wanita itu amat petah dan lincah berbahasa Inggeris. Setelah maklumat yang dikehendaki diperoleh, kami terus mengambil bas untuk menuju ke hostel yang sudah pun ditempah awal.

    Lelaki Korea

    Sedang kami menunggu bas, kami disapa oleh seorang pelancong Korea yang sedang belajar di England dan mengambil ijazah bahasa Inggeris. Katanya, dia melancong seorang diri. Dia agak berani pada pandangan aku. Dia menegur kami terlebih dahulu kerana menyangka kami ingin ke hostel yang sama dengannya. Dia tidak berapa pasti jalan untuk pergi ke hostelnya. Menurut katanya, inilah kali pertama dia melancong seorang diri. Sepanyol adalah negara Eropah kedua yang pernah dijejakinya selepas England. Dia memang agak berani.

    Kami berbual-bual kosong sepanjang perjalanan di dalam bas. Sembang itu terpaksa diputuskan kerana kami sudah hampir sampai ke hentian yang patut kami turun. Sebelum berpisah, dia sempat meminta e-mel aku. Dia kata dia ingin ke Dublin. Mungkin Ireland menjadi negara ketiga di Eropah yang bakal dipijak oleh kakinya itu.

    Tersilap Pencaturan

    Selepas Granada, kami akan menghala ke Seville. Dua malam akan dihabiskan di sana. Apa yang silapnya cuma jangkamasa kami di Granada. Granada banyak tempat-tempat bersejarah dan menarik untuk dilawati. Esok, keretapi ke Seville bertolak pukul 11.45 pagi. Sekarang hampir pukul 7 malam. Tolak waktu tidur dan lain-lain, cuma ada dalam 9 jam untuk melawati bandar Granada yang lebih besar dan maju dari Cordoba ini. Memang silap besar.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »