Back to home page

Balada Sebuah Kesedaran

28 Januari 2008 • 20 Komen Cetak Chenta!
~ Dengan apresiasi kepada Allah and His Messenger in Our Lives oleh Sheikh Hamza Yusuf ~
---

Mengembalikan sistem khilafah Islam adalah ibarat kita mahu mengubah dunia; kita tidak tahu hendak mulakan dari titik mana dan bagaimana. Mahu tumbangkan pemimpin Islam dan orang bawahannya yang korup, tamak dan bacul dahulukah? Mahu mengubah sistem kapitalis yang tidak berpihak kepada negara-negara Islam yang miskin dahulukah? Mahu hancurkan Amerika, Israel dan konco-konconya dahulukah? Untuk mengubah perkara-perkara ini dan sebagainya, ia banyak bergantung kepada pelbagai faktor.

'Kita' juga adalah agen kepada perubahan tersebut. Setakat yang saya tahu, 'kita' adalah faktor yang paling senang untuk diubah memandangkan kita belum tentu lagi mampu mengubah korupsi dan kebejatan sosial yang berlaku di sekeliling kita. Jika kita gagal mengubah diri sendiri ke arah yang lebih baik dari semalam, maka impian si Mat Jenin adalah lebih mudah untuk dilaksanakan kalaulah dia tidak mati terjatuh dari pokok kelapa di kala dirinya sedang leka dan asyik tersenyum menganyam angan-angannya. Jika begitu adanya, simpan sahaja hasrat untuk mengubah sebarang sistem yang gagal di sekeliling kita.

Proses mengubah diri ini memerlukan 'kita' memiliki satu kemahiran yang bernama kesedaran.

Kesedaran adalah sesuatu yang tidak dipunyai oleh seorang anak kecil berumur 2 tahun yang mana ia menyebabkannya berfikir menutup muka dengan tangannya bermaksud dia sudah berjaya menyembunyikan diri dari ibunya. Kesedaran adalah sesuatu yang mengingatkan monyet di hutan untuk menyorokkan pisang di belakang badannya dan hanya akan memakannya apabila monyet-monyet yang lain tidak melihatnya.

Kesedaran adalah sebutir permata yang dimiliki oleh generasi Salafus Soleh yang hidup di sekitar 3 kurun pertama Islam dan ia lenyap dalam majoriti Muslim hari ini. Dalam tulisan ini, kesedaran untuk memperindahkan akhlak adalah isunya.

MUKJIZAT BAHASA AL-QURAN

Allah bijak menyusun pencaturannya. Nabi Musa memiliki mukjizat untuk menukar tongkatnya menjadi ular kerana di zamannya manusia senang teruja dalam hal-hal sihir dan mistik. Nabi Isa pula dianugerahkan mukjizat untuk menghidupkan orang yang sudah mati kerana di waktunya ilmu perubatan adalah sesuatu yang menjadi kegilaan. Maka Nabi Muhammad dianugerahkan Al-Quran selaku mukjizat paling besar yang dimiliki oleh Baginda.

Pada waktu itu walaupun bangsa Arab sedang berada dalam keadaan jahiliah, tetapi mereka adalah jaguh dari segi sastera dan linguistik. Kehebatan mereka bukan di tahap jaguh kampung kerana mereka dengan beraninya memberikan gelaran 'ajam, yang bermaksud 'buta bahasa' kepada bangsa Parsi dan Greek. Istilah 'ajam masih kekal digunakan sehingga sekarang, cuma kini ia lazimnya merujuk kepada sesiapa yang tidak tahu bertutur dalam lidah Arab.

Jadi apabila Al-Quran turun, mereka begitu terpana dan terkesima dengan keajaiban bahasa yang terdapat di dalamnya. Hatta golongan Musyrikin yang masih lagi tidak mahu memeluk Islam, kadang-kala akan mencuri-curi dengar bacaan Al-Quran yang Nabi baca ketika Baginda bersolat.

Namun di zaman ini, mukjizat keindahan linguistik Al-Quran tidak boleh lagi dijadikan senjata utama untuk mengajak manusia kepada Islam. Walaupun keindahan bahasa Al-Quran telah terbukti berjaya menarik ramai musuh-musuh besar Islam di zaman Nabi seperti Umar al-Khattab, namun di hari ini saya ragu-ragu bahawa George W. Bush akan lembut hatinya kepada Islam apabila dia mendengar bacaan Surah Taha[1] oleh Sheikh Sa'ad al-Ghamidi di dalam iPodnya[2].

Jadi, apa yang indahnya bahasa Arab sehingga ia berjaya menarik Umar kepada Islam tetapi berkemungkinan besar gagal mempengaruhi Bush?

Di dalam setiap hasil sastera sesebuah bahasa, sama ada novel, puisi, pantun, syair, prosa, gurindam dan sebagainya, pasti akan ada kecacatan bahasa di sana-sini. Kecacatan ini orang-orang sastera menggelarkannya sebagai baris lemah. Baris lemah wujud apabila sesuatu ayat dalam sesebuah hasil sastera masih belum cukup sempurna yang mana sebenarnya ia masih boleh diperbaiki lagi.

Dalam karya-karya sastera terbaik yang dikarang oleh William Shakespeare sekali pun, baris lemah tetap wujud, cuma ia tidaklah sebanyak yang terdapat dalam karya-karya yang digarap oleh penulis setahun jagung. Untuk memahami apakah baris lemah ini, kita lihat contoh ayat yang tidak memiliki kecacatan tersebut, iaitu To be or not to be; that is the question yang terdapat di dalam Hamlet. Kita tidak mungkin dapat mengungkapkan To be or not to be; that is the question dalam cara yang lebih indah dan maha sempurna.

Apa pula contoh ayat yang mengandungi baris lemah? Ia banyak terdapat di dalam tulisan saya di blog ini. Pakar bahasa Melayu yang hakiki akan mampu untuk mengolah semula ayat-ayat saya untuk mengurangkan bilangan baris-baris lemah.

Al-Quran mengandungi 6236 ayat dan tiada satu pun yang mengandungi baris lemah. Ini menjadi salah satu punca mengapa tiada seorang manusia pun yang mampu mendatangkan sesuatu yang lebih baik dari Al-Quran. Maka sebab itu apabila Musailamah al-Kadzaab yang mengaku dirinya sebagai Nabi, cuba membawa surah yang sama seperti Al-Quran, dia gagal melakukannya, padahal dia adalah antara bangsa Arab yang sangat fasih dan petah dalam berbahasa.

Hanya dengan keindahan ayat-ayat Allah itu sahaja, dan tanpa memerlukan penjelasan yang panjang lebar tentang apa itu Islam, cahaya iman berjaya menembusi hati-hati golongan Musyrikin waktu itu. Sebab itu seorang sahabat Nabi bernama Uthman bin Mad'ud pernah berkata:
Rasulullah sallahu alayhi wassalam begitu bersungguh-sungguh dan tidak jemu mengajak aku masuk kepada Islam. Akhirnya aku pun mengalah dan memeluk Islam. Namun iman tidak pernah langsung memasuki hatiku sehinggalah aku mendengar ayat[3]:



Harus diingat bahawa iman memasuki hati sahabat Nabi ini bukan kerana tertarik dengan keindahan akhlak Rasulullah, sebaliknya keindahan bahasa Arab itulah yang benar-benar membuka hatinya kepada iman walaupun dia sudah pun Islam di kala itu.

Namun bagaimana pulakah caranya di zaman dahulu, golongan 'ajam yang tinggal di luar jazirah Arab boleh tertarik kepada Islam?

Apabila Islam mula tersebar di luar Tanah Arab, keindahan bahasa Al-Quran sudah tidak begitu lagi relevan untuk memancing manusia kepada Islam. Bagaimana kita mampu untuk menghargai sebuah keindahan yang tidak kita ketahui hujung dan pangkalnya? Keindahan potret Mona Lisa hanya dapat dihayati dengan sebenar-benarnya oleh seorang pencinta seni yang sejati. Keindahan kalkulus hanya dapat dinikmati oleh seorang pencinta matematik yang hakiki.

Demikian jugalah dengan keindahan al-Quran. Ia hanya dapat dirasai oleh mereka yang sungguh-sungguh arif dalam bahasa Arab (menjadi orang Arab tidak bermakna seseorang itu sudah mahir dalam bahasa Arab dan majoriti Arab hari ini juga sebenarnya perlu belajar bahasa Arab).

Maka, akhlak para pendakwah yang merantau di tanah 'ajam memainkan fungsi yang lebih kritikal dalam proses penyebaran Islam di seluruh dunia. Kita ambil contoh bagaimana Islam dibawa masuk ke dalam wilayah Nusantara oleh para pedagang Arab[4]. Apabila pedagang Arab ini melakukan urus niaga dengan penduduk tempatan, mereka tidak melakukannya semata-mata untuk tujuan duniawi. Mereka tidak menipu dalam urusan jual beli. Mereka lebih mengutamakan harga yang berpatutan daripada membuat keuntungan. Apabila ada pelanggan yang tidak mampu untuk membayar hutang kepada pedagang Arab ini, mereka dimaafkan dengan mudah kerana kemaafan dari Allah adalah jauh lebih berharga[5].

Dengan kata lain, para pedagang yang sekaligus menjadi pendakwah ini telah menterjemahkan al-Quran dalam bentuk yang mudah difahami oleh penduduk tempatan yang tidak tahu sama sekali berbahasa Arab. Akhlak adalah satu-satunya terjemahan universal bagi Al-Quran.

SEBUAH KESEDARAN

Mengkritik seorang pemimpin sebagai tidak berakhlak, rendah moral, firaun dan sebagainya, bukanlah sesuatu yang dikeji jika ia terbukti benar. Malah, begitulah sebenarnya interaksi dua hala yang patut berlaku dalam sesebuah kerajaan. Jangan jadi rakyat yang memejamkan mata apabila kecurangan berlaku dalam pemerintahan. Pemimpin pula perlu mencontohi sifat Saidina Umar yang bersyukur apabila ada rakyat yang mahu membetulkan kesilapannya dengan mata pedang[6].

Fitnah dan kecelaruan timbul apabila kita sentiasa mencari kesalahan orang lain tetapi melupakan kekurangan diri sendiri. Kita menuduh kerajaan sebagai zalim dan tidak bertimbang rasa kepada rakyat, tetapi saya pernah juga berhadapan beberapa kali dengan segelintir manusia yang tidak jauh bezanya dengan sifat kerajaan yang didakwanya itu. Kita bersemangat mahu menegakkan negara Islam, tetapi perintah Nabi yang menyuruh kita berbuat baik, berlemah-lembut dan bertimbang-rasa sesama manusia kita abaikan. Di mana hilangnya akhlak kita?

Apabila saya membaca buku The Islamist dan menonton filem Rendition, saya menjadi semakin sukar untuk menolak kata-kata Sheikh Muhammad al-Ya'qoubi dalam Advice To Seekers. Katanya:
"...we need to change [the] direction of Islam in the West. And the way to change it is to bring it from a level of activism to a level of intellectualism. That is to say we need to bring the ummah to [the] higher intellectual level, where the concern of the ummah is the study of the deen and the deliberation on knowledge. Knowledge that belongs to Islamic civilization, knowledge that stems from the Book of Allah, the sunnah of the Prophet sallahu alayhi wassalam and the way of the ulama'.

Not the level of activism because activism is now stemming from a void, from nothing. Just from anger. The level of Islamic activities now is based on anger, frustration, complaints. It should stem from [the] understanding of our legacy. And no ummah, no nations in the world would succeed if it abandons its history, its legacy..."


Secara ringkasnya, perjuangan Islam kini kadang-kala lebih bersifat aktivisme yang lahir dari rasa kecewa, meluat dan sakit hati kepada sistem-sistem yang gagal di sekeliling kita. Tutup mata seketika dan cuba renungkan berapa ramai agaknya pejuang Islam hari ini yang benar-benar sudah khatam sekurang-kurangnya perkara-perkara asas dalam ilmu tauhid, fiqh, tasawwuf dan sirah?

Di samping menambah dan mengamalkan lagi ilmu tentang deen, maka mari juga kita lahirkan kesedaran untuk memperbaiki akhlak kerana ia adalah alat paling penting untuk menjernihkan banyak salah faham tentang Islam dewasa ini.

Bukankah saya sudah nyatakan tadi bahawa "akhlak adalah satu-satunya terjemahan universal bagi Al-Quran". Terjemahan ini dengan mudahnya dapat difahami dengan baik oleh bangsa British mahu pun bangsa Masai.

Rasulullah bersabda, "Aku diutus hanyalah demi menyempurnakan akhlak yang baik"[7]. Kurangkan sifat berkira semasa manusia, tanamkan sifat ihsan, dan semaikan akhlak yang murni, baik di dunia online[8] mahu pun offline.

Anda mahu mengubah dunia? Anda mahu Islam kembali gemilang? Silakan. Namun sedarkan diri anda bahawa yang paling penting, yang paling mudah, tetapi sering diabaikan adalah mengubah diri sendiri.

Kemudian sepanjang kita mencari penyelesaian ke atas masalah kemurungan ummah hari ini, kita akan mendapat satu lagi kesedaran bahawa kita tidak mampu aktif untuk berjuang dalam semua perkara. Maka di sinilah pentingnya pengkhususan dalam perjuangan kita sebagai khalifah Allah. Cari satu sahaja benda yang boleh kita perjuangkan untuk Islam, tidak perlu banyak-banyak. Namun dalam masa yang sama itu tidak bermaksud kita tidak perlu ambil tahu dalam perkara-perkara yang tidak kita pilih.

Apa pun jenis perjuangan Islam yang dipelopori, ia mestilah dilandasi dengan ilmu dan jangan pula kita sempitkan konotasi 'perjuangan Islam' itu semata-mata dengan memperjuangkan sebuah negara Islam. Tidak semua orang mampu mendukung aspirasi tersebut. Jadi realistik. Bahkan, Islam sendiri memerlukan perjuangan dalam pelbagai lapangan. Berbakti kepada kedua ibu bapa adalah berjuang di jalan Allah juga.

Biar pun perjuangan kita itu kecil dan tidak setanding dengan perjuangan untuk menegakkan sebuah negara Islam, tetapi saya kira semua orang ada peranannya yang tersendiri untuk memastikan bumi ini menjadi tempat yang lebih selesa dan selamat untuk didiami oleh manusia; tanpa mengira agama, bangsa dan jantina. Kepada yang masih mencari-cari apa yang ingin diperjuangkannya:
Do one thing and do it well because we don't want to become jack of all trades and master of none!
---

NOTA KAKI:

[1]^Saidina Umar al-Khattab terus memeluk Islam setelah adiknya, iaitu Fatimah, membacakan Surah Taha kepadanya.

[2]^Ya, Bush adalah pengguna iPod:
http://www.youtube.com/watch?v=Gb7iOvS7Akc

[3]^Surah an-Nahl, 90.

[4]^Ketika di sekolah menengah, mungkin kita ada belajar tentang teori kemasukan Islam ke Alam Melayu Nusantara. Ia melalui 3 cara; dari Arab, China dan India. Ketiga-tiga teori ini masing-masing ada bukti yang menyokongnya. Namun saya berpendapat bahawa Islam di Nusantara lebih kuat dipengaruhi oleh para pedagang dari Tanah Arab yang tinggal di kawasan Hadhramaut, Yaman. Sebabnya?

Pertama, kawasan Hadhramaut memiliki ramai keturunan Nabi sallahu alayhi wassalam. Keturunan Nabi yang ada di Nusantara ini juga sebenarnya adalah cucu-cicit kepada pedagang-pedagang Arab dari Hadhramaut yang datang ke tanah air kita beratus-ratus tahun yang lampau dan ia boleh disahkan melalui salasilah keluarga mereka. Malah seperti di Nusantara juga, penduduk Arab di Hadhramaut ini turut memegang mazhab Shafi'i dalam urusan fiqh seharian.


Klik gambar untuk paparan peta taburan mazhab yang lengkap.

Kedua, walaupun terdapat sub-teori yang mengatakan bahawa pedagang Arab itu sebenarnya adalah dari Mesir, dan bukan dari Hadhramaut, namun saya mengemukan pula Teori Kain Pelikat. Kain pelikat yang selalu digunakan oleh lelaki Muslim di Malaysia dan Indonesia adalah sesuatu yang sering dipakai oleh penduduk Arab di Hadhramaut. Jarang-jarang sebenarnya kita melihat orang Arab memakai kain pelikat. Walaupun lelaki Arab Mesir juga kadang-kala dilihat memakainya, namun menurut ustaz saya yang pernah belajar di Hadhramaut dan tinggal pula di Mesir, orang Arab Mesir biasanya memakai kain pelikat selepas mereka selesai berjimak dan bukannya untuk mendirikan solat.

[5]^Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, maka pada Hari Kiamat nanti Allah akan menaunginya di bawah naungan Arasy, yang mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali adalah naungan-Nya.
(Hadis riwayat Imam Tirmidzi)

[6]^Sewaktu Saidina Umar al-Khattab baru diangkat menjadi Khalifah ar-Rasyidin yang kedua, seorang sahabat berkata, yang lebih kurang, "Wahai Umar, jika engkau tidak betul, akan aku betulkan engkau dengan pedangku!" Lalu Umar pula menjawab, "Alhamdulillah kerana ada di kalangan umat Muhammad yang mahu membetulkan kesalahan aku dengan pedangnya".

(Jika ada sebarang sumber yang mengandungi perbualan ini, sila beritahu saya. Saya tidak ingat tajuk dan pengarang bukunya kerana ia tiada pada saya)

[7]^Hadith riwayat Imam Al-Bukhari, Al-Hakim dan Al-Baihaqi daripada Abu Hurairah.

[8]^Walaupun internet menyediakan ruang anonymity, namun itu tidak bermakna kita boleh memaki-hamun, mengeluarkan kata-kata kesat, malah lebih teruk lagi melakukan fitnah!

20 Komen Tambah Komen↴

salam, sangat setuju, tapi still rase sgt susah utk maintain berakhlak dengan akhlak rasulullah. especially, waktu berhadapan dgn pelbagai karenah manusia ni. sbg contoh; sbg doktor junior, perkara yang paling mencabar akhlak dan perasaan ialah berhadapan dengan kerenah nurse2 (bukan semua). Memang selalu rase naik angin and kadang2 tu, kalau dah x tahan sgt, mmg burst jugaklah. tapi lepas tu, bile reflect balik, rase menyesal, sbb takut sikap dan tindakan kita tadi dikaitkan dengan Islam. Especially muslimah, sebab pakai tudung, every little aspect of our behaviour and appearance can be used to reflect upon our religion. So it is our responsiblity to uphold and potray the real teachings of Islam through our good and modest behaviour, insyaAllah. (Sebagai peringatan kpd diri sendiri insyaAlah- skarang ni, kalau tension dgn nurse, buat senyap je, sbb kalu kite marah2 pun, nanti kite jugak sakit hati, and name Islam jugak yg tercemar,isk..isk)

Tanpa Nama

salam tawel, sesungguhnya ini tulisan yang sangat aku suka darimu.

kerana:

1) aku telah tulis surat terbuka agar akhlak menjadi rujukan untuk kita mengenalpasti identiti makhluk di alam maya:

"Ini penting kerana di dalam internet kita sukar untuk memastikan identiti sesiapa. Boleh jadi orang yang puji dan puja tulisan kita di internet adalah sebenarnya syaitan yang bertopeng manusia. Maka salah satu cara untuk umat Islam dikenali adalah dengan akhlaknya. Jika nanti syaitan itu terpaksa berakhlak supaya identiti syaitannya tak dapat dikesan, maka damailah alam maya ini. Sekurang-kurangnya di dalam komuniti melayu dan Islam yang kecil dalam ruang maya yang luas ini dapat kita bentukkan komuniti berakhlak. Jika syaitan manusia pun terpaksa berakhlak untuk berkomuniti dengan kita, maka tercapailah kesempurnaan akhlak, dan tercegahlah huru-hara dan fitnah."

sumber:klik

2) aku pernah sindir orang yang suka cari salah orang tapi lupa tentang dirinya, dalam komik cincai aku:

http://i22.tinypic.com/65bm0z.jpg

http://i23.tinypic.com/34fh5b8.jpg

3) aku juga berharap orang muda dapat fokus pada perjuangan yang MAMPU kita lakukan berdasarkan kecenderungan dan bakat kita. sebab kita tak mampu cover semua tugas.

"Perjuangan generasi baru juga perlu fokus. Bagaimana tugasan dan fokus dapat dikenalpasti, tentunya dua kaedah perlu dilaksanakan di peringkat awal lagi, iaitu mengenal Allah dan mengenal diri.Mengenal Allah akhirnya dapat mempersiapkan iman, dapat mempersiapkan niat, dapat mempersiapkan semangat dan dasar perjuangan. Mengenal diri membawa kepada persiapan menjalankan peranan atas fokus yang ada pada diri. seorang yang Allah kurniakan kelebihan bercakap, boleh fokus pada peranan bercakap. Kelebihan menulis, boleh fokus pada peranan menulis.Kelebihan berfikir, boleh fokus kepada peranan berfikir. Itu sebahagian contoh fokus yang umum dan rata-rata manusia memiliki kelebihan dan fokus itu dalam pakej yang luas seperti seorang yang boleh bercakap itu juga punya kelebihan menulis dan berfikir.Akan tetapi, fokus yang lebih teliti jika berjaya digali dalam diri, maka manusia itu dapat meletakkan dirinya pada perjuangan yang lebih jelas. Seperti atas semua pakej fokus yang dikenalpasti, akhirnya seoarng manusia itu cenderung menjadi doktor, maka profession doktor diambil sebagai fokus dan medan perjuangan hidupnya. Begitu juga fokus yang akhirnya dikenalpasti membawa seseorang menjadi seorang jurutera, maka berjuruteralah semampu daya. Begitu juga pada kecenderungan peniaga, petukang, petani, nelayan, guru, polis mahupun bomba."

sumber: klik

dan atas sebab 3 perkara di atas, aku sukakan tulisan kau ni tawel. kau merangkumi 3 isi itu dengan huraian yang kemas, santai, indah.

terima kasih.

salam,
Alhamdulillahi robbil 'alamin, wassolatu wassalamu 'ala sayyidil mursalin; sayyidina wa habibina wasyafi'ina Muhammad wa 'ala aalihi wasihbihi wassallim

benar akhina tawel, malahan juga sebenarnya keris yg merupakan senjata org Melayu adalah berasal dari tradisi arab Hadhramaut...

p/s : marilah membaca buku 'Ahlul Bait (Keluarga) Rasulullah s.a.w dan Kesultanan Melayu' karangan Tun Suzana Tun Hj Othman dan Hj Muzaffar

wassalamu'alaikum warahmatullah

syia nak leave comment simple je.. 'seronok baca..banyak belajar bende baru' :)

Wa'alaikumussalam dan terima kasih kepada mereka yang meninggalkan komen.

Kak Mardiah, moga tabah menjadi doktor junior :)

MFR, moga kau berjaya bentuk geng wartawan yang menjejak para ulama tanah air untuk mendokumentasikan segala pendapat dan pandangan mereka tentang isu-isu semasa!

Kepada none, tak tahu pula cerita tentang asal usul keris yang digunakan oleh orang Melayu kita. Sebarang sumber rujukan amat dihargai ;)

Syia, terima kasih juga atas komen yang rasanya buat kali pertama di sini. Datang-datanglah selalu ke blog yang jarang-jarang update ini..hehe.

1) Akhlak dalam segala sudut. Cumanya orang kita sekarang ni bila sebut akhlak saja suka sentuh adab sopan, bercakap lemah lembut dsb. Ketahuilah Sayidina Abu Bakr itu berakhlak dalam lembutnya, Sayidina Umar juga berakhlak dalam ketegasannya. Moga kita sama2 jadi orang yg berakhlak.

2) Jom kita sama-sama doakan moga George W Bush itu mendapat hidayah dan memeluk Islam

3) Sepanjang lebih 5 tahun ana berada di Mesir, tak pernah terlihat seorang pun orang Mesir memakai kain pelekat ataupun ada menjemurnya di ampaian (kot-kot malu nak pakai kat luar kan). Pergaulan dgn rakyat Mesir mendapati kata-kata kononnya orang Mesir hanya memakai kain pelekat selepas bersama dgn isteri adalah mitos semata. Wallahu A'lam

Tanpa Nama

Kalau ikut Sidi Hakim Murad dalam Islam & The New Millenium, aktivisme zaman sekarang perlu fokuskan:

- informed leadership
- dakwah bercorak welfare ala Ikhwan
- dakwah in the west through sufism and arts

ps: kain pelikat wujud sejak bila eh? mungkin islamisasi besar-besaran byk berkait dgn hadramaut, tapi yang terawal tu... aku rasa hujah paling kuat ialah dari Cina

Salam Tawel,

Penulisan yang cukup simple dan mantap. Just want to share my 10p opinion. Saya setuju dengan pandangan Tawel yang kesedaran diri tu memang teramat penting. It is a turning point in a someone's life. Tetapi yang menjadi persoalannya ialah bagaimana kita hendak menyedarkan orang lain?
Tidak dinafikan akhlak memainkan peranan penting dalam dakwah Islami. Namun begitu degan keadaan hari ini, degan hanya berbekalkan akhlak yang baik tidak cukup untuk mengubah dunia. Kita perlu menyampaikan Islam itu sendiri secara lisan kepada umat manusia.

Terima kasih.

Aljofree, sebab saya tak pernah pun sampai Mesir, apatah lagi tinggal di sana selama beberapa tahun, maka saya bertaklid kepada ustaz saya saja..hehe.. Mungkin satu mitos. Saya tak teringat pula nak tanya lebih-lebih tentangnya pada ustaz saya tu. Mungkin dia mendapat tahu apabila berbual-bual dengan penduduk tempatan Mesir.

Sama ada lelaki Arab Mesir yang memakai kain pelikat itu hanya khusus di beberapa kawasan tertentu sahaja, atau pun mereka hanya memakainya di rumah sahaja, itu mungkin memerlukan penyelidikan yang lebih lagi.

Bangku, TQ untuk rumusan info dari artikel tu. Kain pelikat tak pasti la pula aku bila wujudnya.

Muzaji, saya minta maaf kalau tersalah faham pada artikel ini. Saya tidak mencadangkan bahawa fokus kita hanya pada akhlak sahaja. Secara ringkasnya, saya mencadangkan untuk mengikut pendekatan yang diutarakan oleh Martin Luther King Jr dalam artikel saya yang bertajuk Bila Saddam Digantung Leher.

Sedikit lari dari tajuk. Idea dan pemikiran Martin Luther King Jr banyak yang bernas. Amerika memerlukan pemimpin yang memiliki ideologi seperti beliau dan dalam kehangatan pilihanraya di Amerika sekarang, nampaknya Barack Obama kelihatan menghampirinya. Tapi secara peribadi, saya melihat Ron Paul juga tidak jauh bezanya dari Barack Obama. Cuma dia tidak mendapat liputan seluas Obama. Salahkan Bandwagon Effect!

Mari berharap Obama (dan bukannya Hillary Clinton) menjadi Presiden Amerika yang berikutnya, walaupun sebenarnya saya lebih menyukai Ron Paul!

Kita yang Melayu ni selalu inferiority complex. Kalau boleh semua benda nak diberi pada bangsa lain. Keris orang Arab punyalah. Kain pelikat orang India, orang Arab punyalah. Apa lagi nak diberi pada orang?

Cuba tanya bebudak zaman sekarang siapa orang yang membuka KL? Rata2 akan jawab Yap Ah Loy. Padahal dungunya orang kita tak membaca sejarah bahawa Yap Ah Loy itu kapitan KL yang ke-3. maknanya dah ada kapitan satu dan kapitan dua. Tapi fakta sebenar pembukaan KL dilakukan oleh Sutan Puasa, seorang yang berketurunan Madailing.

Kenapa kita suka beralah tanpa usul periksa? Kehilangan identiti dan tradisi yang diwarisi tanpa penyelidikan tajribi dan cuma secara taklidi (dengan maaf kerana penyelewengan grammar Arab) lah puncanya.

Btw, kain pelikat nama Melayu. izar nama Arabnya dan nabi pun ada sehelai izar hijau yang disuakinya. maka tidak timbul memakai pelikat bukan sunnah Rasul. di India, dipanggil mundu atau dhoti, di bangladesh dipanggil lunggi atau lunghi.

Bangunkan bangsa berper'adab'an.

Tanpa Nama

bagus, bagusss... good artikel, walaupun akak dah lama tak datang sini... pengisian dan peringatan tawel sentiasa fresh... all the best!!... bila cakap tentang kesedaran ni... asalnya disebabkan oleh keterlupaan... manusia, memang mudah lupa... dan tidak mudah untuk jadi yang sentiasa beringat... bila diingatkan, baru tersedar kembali, lucky kalau dapat sedar kembali... paling haru, kalau terus tak sedar-sedar lagi, walau berlaki-kali diingatkan... terus jadi orang yang rugi.. haiii nauzubillah...

Salaam sensei dan yg lain2,

Sangat sedih kalau memerhatikan keadaan dunia sekarang, baik di negara2 "orang islam" atau yg sebaliknya. Kerakusan manusia2 ini (baik yg "muslim" atau bukan) dalam mengejar materiali duniawi lebih2 lagi yg memegang tampuk kuasa akan memusnahkan bukan saja diri mrk, atau apa yg mrk tangani, tetapi juga persekitaran mrk, termasuklah org2 yg hanya mendiamkan diri memerhatikan perbuatan2 mrk ini. Maka perjuangan menentang mrk yg melakukan kerosakan di atas mukabumi ini menjadi WAJIB kepada semua manusia yg mengaku beragama ISLAM.

Landasan perjuangan berteraskan islam, tidak boleh tidak pasti memerlukan pejuang itu sendiri seorang yg betul2 kuat keislamannya. Mrk yg betul2 islam adalah mrk yg kuat imannya. Nah, inilah asas perjuangan yg berteraskan islam itu. Akhlak dan sebagainya itu, cumalah apa yg lahir dari IMAN yg kuat. Seandainya hanya akhlak dan apa2 yg lahir itu diberi keutamaan (ingatkah lagi kpd kempen "menerap nilai2 islam", "bersih cekap amanah", dsb. Apa hasilnya sekarang dan di mana silapnya?), nescaya ia hanya sekadar menempel menutupi kebusukan dalaman, seumpama membungkusi sebiji buah yg busuk, atau menyoleki sebuah wajah yg hodoh... yg hakikatnya buah itu tetap busuk walau seelok manapun bungkusannya, atau wajah itu tetap hodoh walau secantik manapun solekannya.

Sesungguhnya, islam itu akan kembali semula menguasai dunia... tetapi fitrahnya, tanpa asas dan landasan ini, tidak akan tertegak islam itu dlm kehidupan, apa lagi sebuah negara. Jika tertegaknya dlm sebuah negara, nescaya dgn mudah akan runtuh semula, kerana lemahnya asas ini. Belajar saja lah dari sejarah... keruntuhan empayar islam contohnya.

Ringkasnya, kesedaran dan perjuangan itu bermula dari diri kita sendiri, kemudian kepada keluarga dan seterusnya persekitaran kita... iaitu menguatkan asas (foundation, baca: IMAN), sebelum bercita2 untuk mendirikan rumah (baca: NEGARA ISLAM).

Wassalaam...

Tanpa Nama

Inasni, terima kasih untuk komen yang baru pertama kali rasanya di blog saya ini. Di artikel ini, awal-awal lagi saya sudah menyatakan bahawa "Dalam tulisan ini, kesedaran untuk memperindahkan akhlak adalah isunya". Saya cuma memfokuskan kepada kesedaran akhlak sahaja dalam entri ini.

Moga-moga membaca juga artikel saya, Bila Saddam Digantung Leher, terutama sekali di beberapa perenggan akhir, yang mana ia telah diringkaskan oleh sahabat saya dalam 4 poin:

1)kezaliman dipastikan berlaku.
2)berunding dgn pihak penzalim
3)muhasabah diri
4)bertindak menghapuskan kezaliman

salam wbt. menarik baca. dan banyak pula komen yg bukan shj komen, tetapi turut menambah sedikit sebanyak daripada sumber yg lain. insyaallah niat dan kesungguhan anda diberkati Allah s.w.t.

Tanpa Nama

Maaf sensei, bukan maksudku memperkecilkan artikel yg dipapar... cuma sekadar memberi pendapat. Begitu banyak usaha2 dilakukan lebih2 lagi kebelakangan ini untuk menegakkan kembali islam, tapi semua sekadar usaha...

Kalau adapun yg kelihatan berjaya, siang2 lagi dah di"ketuk" oleh musuh2 islam, baik yg zahir maupun yg "tersembunyi" (baca: "orang islam" yang bertuhankan selain Allah, secara sedar ataupun tidak). Dek lemahnya iman, mrk2 ini dgn mudah tunduk tak berdaya...

Memang benar, keindahan dan kesempurnaan akhlak itu menjadi tanda pada keimanan... tetapi jangan menghabiskan segala usaha dan tenaga dengan meninggalkan apa yang lebih utama dan penting... sekadar ingatan.

Di artikel tsb, sensei ada menyatakan tentang kezaliman di atas kezaliman. Dari segi bahasa, zalim itu bermaksud "meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya." Mungkin juga menghabiskan (meletakkan?) usaha dan tenaga pada perkara2 sia2 atau remeh-temeh itu juga merupakan satu kezaliman? Wallahu'alam. Walau apapun, berpesan2 itu merupakan natijah dari akhlak yg baik. Dan ingatlah, kezaliman yang teramat sangat dan tidak diampunkan adalah meletakkan sesuatu (objek, idol, wang, materiali, dsb.) sebagai atau sebaris dgn ILAH selain Allah SWT.

Wassalaam...

Tanpa Nama

Sensei, hamba paling tertarik dengan ayat PALING akhir tu.

Sebab memang itu masalah atau DILEMA WANITA.. err.. maksud hamba, DILEMA HAMBA sekarang ini.

Sebab hamba ini seolah seorang "wannabe", tercari² sesuatu. Heh, bukanlah tercari² "matlamat hidup" (sebab hamba tahu matlamat hidup hamba selaku MUSLIM), tapi tercari² dalam sudut apa hamba bisa menyumbang.

Akibat tercari² inilah, hamba rasa macam dah terkena dengan sindrom "jack-of-all-trades-master-of-none" ni. Macam nak ambil tau semua, tapi akhirnya satu habuk pun tak membantu.

Kenalan hamba dari Indonesia pula memberi pepatah begini untuk menerangkan diri hamba, iaitu "semakin pintar seseorang, semakin banyak yang dia nggak tahu".

Waduh, kok bisa gini sich?

Lagi satu, hamba pernah pergi kaunseling (waktu masih di kampus), periksa aptitud hamba, dan berdasarkan keputusan, KONONNYA hamba "seswai" untuk bekerja dalam suatu profesion yang sebenarnya hamba TAK LAYAK dari segi akademik (tak cukup pointer nak memohonnya). Ulala!

Maka hamba mencuba menjadi realistik (dan meneruskan sahaja dalam bidang pengajian yang hamba "ter"ambil). Tapi tetap juga hamba berasa hamba dan bidang yang hamba ambil ini tidak "serasi". Maka, terkial²lah hamba menyudahinya.

Namun hamba tak boleh terlalu lama "berkelana" begini. Akan tiadalah orang akan menghormati hamba seandainya berterusan begini. Malah setiap kata² hamba akan dipandang enteng oleh orang lain jika mereka tahu siapa hamba sebenarnya.

Yeha, memang benarlah ini BALADA SEBUAH KESEDARAN.

Beruntunglah mereka yang SEDAR peranan mereka dan TAHU untuk memainkannya.

Dan rugilah orang macam hamba, kalau berterusan begini, huhu...

Apahal pun, terima kasihlah kerana "mengejutkan" hamba dengan "hartikel karun" ini. Masih mencari juga nih. Doakanlah sesama kita no? =))

Macam kenal Raihhh ni. Raihhh Gayung yang datang rumah hari tu ke?

Inasni, tidak rasa pun artikel diperkecilkan. Saya cuma bertujuan untuk mengelakkan salah faham inasni atau pun pembaca-pembaca yang lain :)

Convoy, insyaAllah akan hamba doakan tuan hamba juga ;)

Salam..minta izin di"link"kan isu ini dlm blog saya (yang baru lahir.. :))
boleh?

Tanpa Nama

Tawel Sensei kata:

Blogger baru rupanya. Apa pun, terkial-kial tu biasalah :)

P.S. Laman Muslim Wake Up! yang ada Cek Dulian letak di bahagian Islam Inside tu kena jaga-jaga sikit. Laman tu mempromosikan Islam Liberal.


Cekdulian balas:

**ohoho…faham..faham..saya dah buang benda alergik tu. :)lepas ni kalau ada yang tak betul lagi..tegur2 lah ya. masyeh..masyehh.. ^_^

Tanpa Nama

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.