Kedatangan para jemaah adalah jauh lebih ramai dari waktu hujung minggu, padahal hari itu adalah hari berkerja. Kebanyakkan yang hadir pula adalah berbangsa Pakistan. Pada awalnya saya kira ada jemaah tabligh yang datang menziarahi kota Dublin dalam kumpulan yang agak berbondong-bondong.
Tekaan saya melencong. Sebenarnya ada orang meninggal dunia. Terus saya teringat, semalam selepas waktu Isyak, Imam Yahya, iaitu Imam Dublin Mosque ada beritahu yang esok ada solat jenazah selepas waktu Zuhur.
Solat jenazah tersebut dilakukan sejurus selepas solat Zuhur. Saya duduk berdekatan pintu masuk. Maka terpampanglah keranda yang dibawa di hadapan mata saya dengan jelas. Kayu keranda itu dibuat dari kayu yang bermutu tinggi saya kira. Tapi isinya hanyalah sebuah jasad kaku yang akan mereput dalam beberapa hari lagi.
Banyak kali juga saya melakukan solat jenazah di Dublin Mosque. Entah kenapa kali ini sangat memberi kesan kepada saya. Mungkin disebabkan tazkirah yang diberikan oleh seorang Brother Pakistan sebelum solat jenazah bermula. Tazkirah itu berlangsung kira-kira 5 minit - dilakukan untuk mengisi kesenggangan masa sementara menunggu saudara terdekat Allahyarham tiba.
Tazkirah Brother Pakistan
Brother Pakistan itu adalah sahabat baik kepada si mati. Katanya, kawannya yang meninggal itu berusia dalam 38 tahun. Dia mendapat "chest pain" secara tiba-tiba dan kemudian pengsan. Isterinya menelefon ambulans. Allahyarham yang mungkin masih hidup ketika itu telah dikejarkan ke St James Hospital. Di hospital, doktor mengesahkan bahawa dia sudah lagi tiada.Allahyarham baru sahaja berkahwin kira-kira setahun yang lepas. Menurutnya lagi, kawannya itu sangat baik dan warak. "He is a very pious man.", kata Brother Pakistan itu. Ramai jemaah di Masjid Clonskeagh yang suka kepada Allahyarham.
Maka saya tidaklah hairan mengapa begitu ramai yang hadir untuk melakukan solat jenazah. Apabila saya keluar dari masjid pula, kelihatan juga kelibat orang-orang Irish yang sudah semestinya beragama Kristian, yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir. Allahyarham nampaknya mempunyai hubungan baik sesama Islam dan juga bukan Islam.
Merujuk kepada tazkirah Brother Pakistan itu semula, Allahyarham semasa hidupnya telah membeli sebuah rumah. Namun Allahyarham berasa tidak gembira dengan rumah barunya kerana ia dibeli melalui proses riba. Namun atas daya kesungguhan Allahyarham, akhirnya Allahyarham dapat juga membebaskan dari cengkaman riba tersebut. Allahyarham berasa begitu gembira selepas itu.
Itu sahaja setakat yang saya ingat tazkirah Brother tu. Ringkas tapi amat menyentuh jiwa. Sesudah solat jenazah selesai, keranda berisi si mati dibawa keluar. Ramai orang yang berebut-rebut untuk turut sama mengangkat keranda itu, walaupun sekejap. Tiba-tiba saya teringat kata-kata Ustaz Fauzi yang datang ke Dublin pada musim panas yang lalu. Katanya, ada fadhilat besar bagi mereka yang mengangkat keranda. Tetapi saya tidak ingat pula apa fadhilatnya. Ada sesiapa yang ingat? Oleh itu, saya pun turun serta sama mengangkat keranda itu dalam 5 saat sahaja. Walaupun sekejap, dan hanya menggunakan sebelah tangan sahaja, saya berasa puas.
Dua Berita Kematian
Hari Khamis itu saya mendapat 2 berita kematian. Pada awal pagi Khamis itu, saya menelefon ibu saya di Malaysia. Saya nak tanya sama ada baju kurung Melayu baru untuk saya sudah dipos atau pun belum. Ibu saya pula awal-awal memberitahu bahawa isteri Pak Lah telah meninggal dunia. Walaupun agak terkejut, namun ia tidak langsung memberikan kesan mendalam ke atas diri saya - tidak begitu mengingatkan saya bahawa saya juga akan pergi satu hari nanti. Mungkin kerana kematian adalah sesuatu yang lazim berlaku setiap hari. Maka saya jadi lali.Tapi, berita kematian yang kedua - iaitu saudara yang saya ceritakan dalam entri ini, begitu memberikan kesan. Mungkin kerana saya turut serta dalam solat jenazah dan diceritakan pula tentang kehidupan baik si arwah secara sepintas lalu. Maka sebab itulah kita ini digalakkan untuk pergi melawat saudara kita yang meninggal dunia dan seterusnya mengiringinya ke tanah perkuburan. Supaya kita boleh ambil pengajaran dari sebuah kematian.
Apa pun, takziah kepada Pak Lah dan juga si arwah yang saya solatkan jenazahnya itu.
Kita Akan Tinggalkan Dunia Ini
Siapa yang tidak ada perasaan cintakan dunia ini walaupun sedikit? Saya pun ada dan mungkin juga anda pun ada. Kadang-kadang ingin saya lepaskan tarikan dunia ini secara total. Ingin saya menjadi seperti Ibrahim bin Adham - zuhud segala-galanya, hidupnya di dunia adalah untuk akhirat. Tetapi saya sedar. Allah tidak menciptakan semua orang sama, dan dunia tidak akan berfungsi jika semua manusia ingin menjadi ahli zuhud yang melepaskan dunia secara total.Saya yakin Allah telah menentukan jalan yang harus saya lalui dan saya telah pun memilihnya, dan sedang pula melaluinya. Jalan yang saya pillih memerlukan kekuatan iman dan keyakinan yang teguh. Dan saya kira saya perlu mengurangkan beberapa tarikan dunia yang sangat mempesonakan ini. Dan saya sedar, untuk melepaskan tarikan-tarikan itu, ia bukanlah satu usaha sekelip mata - ia perlu dilakukan sedikit demi sedikit. Mungkin 10 tahun, mungkin 20 tahun atau mungkin 30 tahun. Saya tidak tahu.
Lelaki yang meninggal itu seperti yang saya ceritakan berusia kira-kira 38 tahun. Masih muda dan bertenaga. Fikirkan wahai sahabatku, siapa boleh jamin kita masih hidup esok?
Mungkin ada beberapa insan yang dapat mengetahui bila dia akan meninggalkan dunia ini. Biasanya ia berlaku kepada orang-orang yang Allah cinta dan kasih, seperti Sheikh Abu Hassan al-Shadhili.
Bila kita mati, tiada apa yang akan kita bawa. Hanya amal soleh, sedekah jariah, dan anak-anak yang sentiasa mendoakan ibu bapanya.
Kisah Sheikh Abu Hassan al-Shadhili
Kisah tentang Sheikh Abu Hassan telah diceritakan dalam kitab Rihlah oleh Ibnu Battutah. Rihlah menceritakan perjalanan Ibnu Batuttah merentasi Barat dan Timur. Sewaktu Ibnu Batuttah berada di Iskandariah, Mesir, beliau telah berjumpa dengan Sheikh Yaqut al-Habashi yang merupakan anak murid kepada Sheikh Abu Abbas. Sheikh Abu Abbas ini pula merupakan anak murid kepada Sheikh Abu Hassan Al-Shadhili (dirujuk sebagai Abu Hassan selepas ini).Sheikh Yaqut menceritakan kepada Ibnu Battutah bahawa Abu Hassan pergi menunaikan haji setiap tahun. Kebiasannya beliau akan memilih bahagian atas Mesir sebagai laluannya. Sampai di Mekah, Abu Hassan akan berpuasa dan melakukan ibadat tanpa jemu semasa bulan Rejab dan bulan-bulan berikutnya sehinggalah tibanya musim haji. Beliau juga pasti akan melawat kubur Nabi Muhammad saw di Madinah. Kemudian beliau akan pulang ke tempat asalnya.
Namun demikian pada satu tahun (iaitu tahun terakhir beliau mengerjakan haji), beliau telah berkata kepada pembantunya, "Bawa juga bersama kamu kapak kecil, bakul, kapur barus, dan segala yang perlu untuk mengebumikan orang mati." Pembantunya bertanya, "Kenapa begitu wahai Tuanku?" Abu Hassan menjawab, "Kamu akan tahu di Humaithira."
Humaithira pada hari ini terletak di padang pasir Aidhab, iaitu satu tempat di bahagian atas Mesir. Terdapat telaga air yang payau rasanya di situ. Dubuk juga banyak berkeliaran di kawasan tersebut.
Apabila mereka sampai di Humaithira, Sheikh Abu Hassan telah mengambil wudhuk yang sempurna, dan melakukan solat 2 rakaat. Pada sujudnya yang terakhir, Allah telah mengambil nyawanya. Sheikh Abu Hassan telah dikebumikan di situ juga. Sewaktu Ibnu Battutah berada di Humaithira, beliau berkesempatan melawat kubur Sheikh Abu Hassan.
Menurut Ibnu Battutah, pada batu nisannya, tercatat nama Sheikh Abu Hassan dan dapat dikesan susur galur keturunannya sehinggalah ke Hasan bin Ali r.a, iaitu salah seorang cucu kesayangan Nabi Muhammad saw.
Semoga Allah mematikan kita dalam Iman dan Islam. Amin. ¶ Teruskan membaca entri ini »