Back to home page

Melayu Memang Macam Tu...

27 November 2007 • 27 Komen Cetak Chenta!
Saya tidak tahu entah berapa zilion kali saya terbaca dan terdengar di sana-sini akan ayat seperti, "Inilah Melayu. Suka sangat hiburan. Macam mana nak maju!", atau pun "Melayu memang macam tu..percaya benda-benda tahyul. Sia-sia jadi orang Islam.", dan sebagainya.

Itu antara ayat-ayat yang pernah tertanam dalam kepala saya dan pernah juga sekali-sekala lidah ini menghamburkannya satu ketika dahulu. Namun manusia semakin dewasa. Sekarang saya akan lebih berhati-hati, malah tidak akan lagi berhujah menggunakan ayat-ayat sedemikian.

Dalam tulisan ini saya akan menjelaskan mengapa kata-kata seperti itu tidak berapa tepat. Jangan ulangi kesilapan seperti yang pernah saya lakukan itu kerana anda akan kelihatan tidak matang dalam berhujah. Itu persepsi saya.

Sebenarnya saya mahu menulis tentang perkara ini sudah agak lama, tetapi terbantut. Hari ini saya membaca wawancara TIME bersama Stephen King. Lalu tercetuslah idea untuk menulisnya kembali.

Wawancara TIME dan Stephen King

Walaupun wawancara itu sebenarnya lebih bertujuan untuk bertanyakan tentang projek terbaru Stephen King, tetapi ada beberapa bahagian di dalam wawancara tersebut yang merupakan satu komentar sosial beliau terhadap budaya semasa Amerika yang sekarang ini berita-berita yang disiarkan telah ditepukan dengan kisah artis dan hiburan, 24/7!

Membaca mukadimah temubual itu akan membuatkan kita tertanya-tanya mengapa Stephen King mencadangkan Britney Spears dan Lindsay Lohan sebagai TIME Person of the Year. Jika membaca sedikit jauh, maka sebenarnya itu cumalah satu sindiran pedas terhadap TIME dan media massa di Amerika.

Ini antara 2 perenggan temuabual tersebut yang penuh dengan unsur-unsur sarkastik:

I think there ought to be some serious discussion by smart people, really smart people, about whether or not proliferation of things like The Smoking Gun and TMZ and YouTube and the whole celebrity culture is healthy. We’ve switched from a culture that was interested in manufacturing, economics, politics – trying to play a serious part in the world – to a culture that’s really entertainment-based. I mean, I know people who can tell you who won the last four seasons on American Idol and they don’t know who their f------ Representatives are.
The difference is that Britney is now famous for being famous. Her sales have gone down with almost every album, bigger and bigger jumps, so that nobody really cares about her music anymore. They care about the tabloid headlines and whether or not she's wearing panties. I mean, is this an issue that the American public needs to turn its brainpower on? Britney Spears' lingerie, or lack thereof?
Saya rasa, seperti muaknya orang-orang kita membaca kisah perkahwinan Siti dan Datuk K satu ketika dahulu, mungkin begitu jugalah muaknya Stephen King membaca kisah Britney Spears memakai panties atau tidak, yang hangat disensasikan di Amerika (malah di UK).

Tetapi ada satu perkara yang common di antara media kita dan media mat saleh; kedua-duanya semakin jahil akan prioriti berita yang patut diketengahkan.

Melayu Memang Macam Tu?

Akademi Fantasia pernah hangat satu ketika dahulu. Maka terjadilah Kesan Bandwagon dalam industri hiburan Malaysia. Akademi Fantasia dikuti oleh Malaysian Idol, Audition, Who Will Win, Protege dan sebagainya.

Oleh kerana secara jumhur kelihatan hanya wajah-wajah Melayu sahaja yang mendominasi rancangan-rancangan yang diklasifikasikan oleh mata saya sebagai 'rancangan-hiburan-yang-melahirkan-mee-segera-gedik', maka masyarakat Melayu yang prihatin kepada nasib bangsa dan agamanya mula memberikan pandangan, nasihat dan komentar ke atas apa yang sedang berlaku dewasa ini.

Walaupun ia sesuatu yang baik, tetapi majoriti tidak melihatnya dari sudut yang lebih luas dan holistik. Mereka hanya menyalahkan bangsa Melayu sebagai bangsa yang sukakan hiburan, bangsa yang suka menjadi anak wayang dan malas pula belajar, bangsa yang suka membazir duit dengan menghantar undi SMS, malah hingga dijatuhkan hukum bahawa Melayu adalah antara bangsa paling layu di dunia ini, hanya semata-mata trend di Malaysia kebelakangan ini menunjukkan lebih ramai bangsa Melayu yang meminati rancangan melahirkan mee-segera-gedik itu.

Pendek kata, segala yang buruk-buruk dituding ke atas pundak orang Melayu. Kalau Hang Tuah tahu kamu buat lagu tu, mahu ditikamnya kamu dengan keris saktinya itu!

Melihat Ke Luar

Kenapa kita tidak melihat seketika ke luar. Adakah hanya bangsa Melayu sahaja yang meminati rancangan-rancangan hiburan tersebut? Adakah hanya akhbar-akhbar nasional berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian sahaja yang kadang-kala menyiarkan gosip menggelegak artis tip top tanahair di muka depannya?

Jika Berita Harian pernah memuatkan berita Mawi putus tunang dengan Ina di bahagian muka hadapan (dan bahagian atas pula), maka apakah British Broadcasting (BBC) tidak pernah memaparkan gosip panas artis di muka hadapannya? Berita tentang Paris Hilton masuk penjara pernah menjadi berita panas yang paling banyak dibaca di BBC News.

Jika RTM pernah sanggup menemubual Nik Aziz [1], semata-mata untuk meminta pandangannya tentang kes Mawi dan Ina putus tunang, maka adakah berita panas dan sensasi artis Barat tidak pernah mendominasi Fox News dan MSNBC?

Lihat dua video di bawah ini. Kadang-kala, saya berharap agar ada pengacara rancangan di Malaysia seberani pengacara MSNBC yang bernama Mika Brzezinski itu!



INA - MAWI @ RTM




Mika Brzezinski on Paris Hilton @ MSNBC



Di negara kita, ada 3 jenis golongan.
  1. Golongan yang betul-betul minat AF dan sewaktu dengannya, sampai sanggup bergolok-gadai untuk top-up kredit.
  2. Golongan yang tak faham tentang kenapa ada orang yang minat pada rancangan tersebut.
  3. Golongan yang sangat anti kepada peminat rancangan-rancangan gedik tersebut.
Perkara yang sama terjadi baik di Malaysia atau di mana-mana sahaja. Saya ada beberapa kenalan Amerika dan Irish yang terdiri dari 3 golongan ini. Maka, tidak betullah jika kita mengatakan hanya orang-orang Melayu sahaja yang sukakan hiburan.

Bagi saya, semua bangsa, malah majoriti manusia suka membaca berita-berita yang bersifat gosip dan hiburan. Tetapi berapa banyak dos hiburan yang kita sumbat dalam otak, maka itu yang membezakan di antara jumlah pil tidur yang diambil oleh seseorang yang mahu bunuh diri dan seseorang yang mengambilnya kerana susah mahu tidur malam. Apapun, sila jangan tipu saya dengan menafikan anda tidak tahu Ina Naim sudah berkahwin dengan siapa sekarang. Tipu dosa, masuk neraka!

Pengaruh Hantu dan Tahyul Dalam Masyarakat Melayu

Tadi saya sudah menjelaskan mengapa agak kurang bijak untuk membuat suatu kesimpulan umum untuk menuduh Melayu begini dan begitu dari aspek hiburan. Sekarang mari kita lihatnya dari sudut hantu dan tahyul.

Hantu, tahyul, bomoh, dan sebagainya adalah salah satu lagi perkara yang sering kita kaitkan dengan orang Melayu. Seolah-olah hanya Melayu sahaja yang suka percaya benda-benda sedemikian. Seolah-olah juga kepercayaan kepada benda-benda ini menyebabkan orang Melayu susah hendak maju.

Sekali lagi, kita perlu memandang ke luar, untuk menjenguk ribuan bangsa-bangsa lain yang ada di dunia ini. Kita lihat sahaja bangsa British, satu bangsa yang paling maju di dunia pada saat ini. Beberapa dekad lalu, empayar yang dibina oleh bangsa British pernah mendominasi kira-kira 1/4 dari populasi dunia. Ini bangsa yang pernah melahirkan Isaac Newton dan berdozen-dozen rakyatnya pernah menerima anugerah Nobel. Jadi anda fikir bangsa ini tidak seperti bangsa Melayu kita yang meminati perkara-perkara berkaitan hantu dah tahyul?

Biar saya beritahu bahawa pada sambutan Halloween bulan lepas, begitu banyak rancangan televisyen di UK yang menyiarkan cerita, filem dan dokumentari berkaitan hantu dan tahyul. Malah rancangan selama 1 jam, yang bertujuan untuk menyeru hantu di rumah-rumah kosong melalui permainan Papan Ouija turut ditayangkan di beberapa buah rangkaian secara live selama beberapa malam. Hatta walaupun bukan di musim Halloween, akan sentiasa sahaja ada rancangan mencari hantu yang disiarkan pada setiap malam.

Ketika saya pergi ke UK, pernah sekali saya mengikuti rombongan mencari hantu. Rombongan berharga 5 pound ini (jika tidak silap), yang diadakan pada waktu malam, telah membawa saya ke tempat-tempat yang didakwa sebagai keras di sekitar bandar Edinburgh. Kemuncak rombongan itu adalah memasuki satu penjara yang didakwa dihuni oleh poltergeist. Katanya, kita mungkin akan dicakar oleh poltergeist itu. Mujur saya tidak kena cakar. Kalau tidak, boleh saya jadikan perenggan ini supaya menjadi lebih seram. Apapun, itu kisah tahyul bangsa UK. Klik sini untuk meninjau lagi ketahyulan bangsa yang gah ini.

Kalau kita beralih pula ke Ireland, di sini ada Ghost Bus Tour. Ingin saya tekankan bahawa Ghost Bus Tour ini bukanlah dijalankan oleh organisasi tok-tok bomoh yang ada di Ireland ini. Sebaliknya ia adalah idea Dublin Bus yang merupakan syarikat korporat profesional yang menjadi nadi penggerak utama perkhidmatan bas awam di Dublin ini. Nampaknya, syarikat juga sudah berfikiran tahyul!

Eh, tunggu dulu! Bram Stoker, iaitu pengarang novel Drakula yang suka menghisap darah anak dara sunti itu juga adalah orang Dublin.

Sekarang jelas bahawa apabila datang bab hantu dan tahyul ini, semua bangsa pasti akan ada kisahnya yang tersendiri. Sila jangan sentiasa menyalahkan Melayu, seakan-akan menampakkan bangsa kita terlalu lekeh sebab sangat suka mengambil tahu hal tepi kain hantu pocong, langsuir, pontianak dan hantu susu. Hanya semata-mata saya membaca MASTIKA, itu tidak bermakna saya kolot.

Setiap Bangsa Itu Unik

Sekarang ini, apabila ada kawan-kawan saya yang mengatakan 'Melayu begitu dan begini', kadang-kala saya akan berkata kepadanya bahawa lihat dulu sama ada 'penyakit' yang ada pada bangsa kita itu khas dan unik pada orang Melayu sahaja atau ia adalah sesuatu yang bersifat global.

Adakah betul orang Melayu itu memang kaki dengki? Tidak betul. Sifat dengki adalah sifat mazmumah yang ada pada semua manusia. Kamu fikir sifat dengki ini tidak ada pada bangsa Arab, Amerika dan Masai? Jika hanya Melayu sahaja yang ada sifat dengki ini, maka mengapa terdapat dengki dalam 7 Deadly Sins? Bangsa apa yang banyak menganut Kristian? Maka hentikan dakwaan bahawa memang sifat orang Melayu suka dengki antara satu sama lain. Dengki bukan sifat orang Melayu, tetapi sifat orang yang hatinya kotor dengan bintik-bintik hitam!

Dahulu saya pernah fikir bahawa Melayu ini bangsa yang tidak menepati masa. Kalau janji sentiasa lambat, sehingga timbul istilah Janji Melayu. Saya fikir itu penyakit orang-orang Melayu. Rupa-rupanya orang Irish juga ada penyakit ini, sehingga budak-budak Melayu di sini membuat pula isitilah Janji Irish sebagai parodi kepada Janji Melayu. Tetapi saya fikir sikap tidak menepati masa ini mungkin tidak begitu global. Masyarakat Jepun dikenali dengan sikap mereka yang sangat menepati masa itu. Sehingga rancangan televisyen mereka ada yang diset pada waktu seperti 7.27 malam (dan bukan 7.30 malam). Apabila tepat detik 7.27 malam itu, pasti muncul rancangan yang dijanjikan itu.

Jadi anda lihat dan kaji sendiri. Setiap bangsa ada kelemahan dan kelebihan masing-masing. Kadang-kala kelemahan itu bersifat unik pada bangsa itu sahaja, dan kadang-kadang juga ia terdapat pada bangsa-bangsa yang lain. Malah ada di kalangan sesuatu bangsa juga mungkin terdapat perbezaan kualiti yang tersendiri; bangsa A yang tinggal di X, berbeza sifatnya dengan bangsa A yang tinggal di Y.

Kita ambil contoh. Lihat negara Iraq. Bangsa Arab yang tinggal di Fallujah adalah sedikit berbeza dengan bangsa Arab yang tinggal di kawasan lain dalam Iraq. Bangsa Arab Fallujah dikatakan bangsa yang paling tegas, garang dan cergas. Mereka tidak suka dikongkong dan berada di bawah penjajahan. Sebab itu, bandar Fallujah ini adalah bandar yang paling membuatkan askar-askar British sakit kepala untuk menawannya kerana tentangan yang sangat kuat oleh penduduk di situ. Hatta ketika Saddam Hussain masih berkuasa, beliau sebenarnya tidak dapat memegang kuasa di situ secara total. Jadi, jika anda ada kawan Arab dari Fallujah, jangan cuba-cuba cari pasal dengan mereka!

Lihat pula bangsa Jawa. Ibu saya orang Jawa. Ketika saya kecil, saya agak malu untuk mengangkat tangan jika ada cikgu bertanya, "Siapa orang Jawa di sini?". Saya sendiri juga tidak tahu mengapa rakan-rakan saya sewaktu kecil seakan mengejek anak-anak Jawa. Nakal sungguh mereka waktu itu!

Hari ini, saya agak gembira kerana ibu saya berbangsa Jawa. Setelah saya besar, baru saya tahu bahawa Jawa adalah satu bangsa yang penuh dengan lemah-lembut dan sopan-santun. Malah, sangat menghormati tetamu. Jika anda pergi menziarahi mana-mana rumah rakan berbangsa Jawa, dan keluarga itu pula masih lagi kuat mengamalkan budaya orang-orang Jawa, yang kebiasaannya banyak terdapat di Banting dan Batu Pahat, maka pasti anda akan terkejut dengan layanan mereka.

Kalau boleh, apa sahaja makanan yang ada di dapur itu hendak mereka keluarkan untuk beri anda makan. Malah, kalau anda membawa anak bersama, dan anak anda itu pula tiba-tiba sangat suka bermain dengan permainan yang ada di rumah yang anda ziarahi itu, silap-silap haribulan tuan rumah akan suruh anda ambil terus permainan itu.

Sebab itulah, dari sembang-sembang bersama Pakcik Abu Muhammad, ada dia memberitahu saya bahawa Sheikh Muhammad Alawi al-Maliki paling suka pergi ke Tanah Jawa kerana layanan orang-orang Jawa yang sangat baik dan penuh adab.

Ini kelebihan orang-orang Jawa. Malangnya generasi Jawa hari ini (termasuk saya) semakin melupakan adat Jawa yang penuh dengan kesantunan itu. Itu belum lagi masuk bab boleh bertutur dalam Jawa atau tidak!

Penutup

Jika anda boleh faham ini semua ini, maka InsyaAllah kita akan lebih menghargai kepelbagaian bangsa yang ada, lalu akan muncul sifat saling hormat-menghormati di antara satu sama lain.

Oleh yang demikian, lain kali jika kita mahu mengkritik sesuatu tentang Melayu, maka sila fikir dahulu sama ada kelemahan itu unik kepada bangsa Melayu sahaja atau pun ia dikongsi sama dengan bangsa-bangsa yang lain.

Sekali-sekala belajar juga tentang bangsa lain. Selama ini anda mungkin memiliki impresi bahawa bangsa Arab adalah kasar dan kurang adab. Barangkali dengan anda mendalami kelemahan dan kekurangan bangsa Arab dari pakcik berasal dari Yaman, yang duduk selang beberapa buah rumah, mungkin silap-silap haribulan pakcik itu berkenan dengan anda lalu menikahkan anda dengan anak daranya yang cantik jelita itu. Siapa tahu!

Sewaktu mengakhiri artikel yang agak panjang lebar ini, saya tersenyum mengenangkan beberapa orang kawan-kawan saya yang berbangsa Arab dan Pakistan, yang sekali-sekala akan meminta saya memperkenalkan beberapa orang gadis Melayu kepadanya. Mereka mahu kahwin gadis Melayu. Katanya, gadis Melayu, terutama yang bertudung, is gentle and cute!

Maka anak dara di luar sana, tutuplah auratmu selalu jika mahu nampak gentle and cute.

Wallahu 'alam.
"Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenali."
(Surah al-Hujurat. Ayat 13)


Nota Kaki

[1] RTM pun sudi juga untuk meminta pandangan dan nasihat Nik Aziz. Jadi jangan tuduh bukan-bukan pada mereka, lagi-lagi sudah nak dekat pilihanraya ini. /* sarcasm inside. */

27 Komen Tambah Komen↴

salam...

"Jika anda pergi menziarahi mana-mana rumah rakan berbangsa Jawa, dan keluarga itu pula masih lagi kuat mengamalkan budaya orang-orang Jawa, yang kebiasaannya banyak terdapat di Banting dan Batu Pahat, maka pasti anda akan terkejut dengan layanan mereka."

itu baru org2 biasa dari kalangan bangsa jawa...hmm, bagaimana pula dgn ulama dari bangsa jawa sendiri...bukan sebarang layanan mereka berikan kepada tetamu yang berkunjung...

bukan sahaja pelbagai hidangan makanan(serius, memang banyak betul lauk-pauk),...malah juga meminta maaf kepada tetamu,dengan penuh adab dan kesantunan.. andai ada apa2 yg kurang (walaupun pd hakikatnya tiada apa yang kurang)...

tika malam tiba dan tetamu pun dah nak melelapkan mata, punyalah mereka prihatin agar kebajikan tetamu terjaga, cukup bantal sbgnya...berkali-kali dihantar org suruhan utk memastikan tetamu mereka cukup serba-serbi yang dikehendaki...sampai tetamu pun naik malu sebab perhatian yang mereka berikan sungguh luar biasa...

dari manakah mereka mewarisi adab sedemikian rupa...tidak lain tidak bukan dari para ulama dahulu yang ikhlas dalam dakwah mereka...begitu besar sekali peranan ulama' dahulu membawakan islam, sekaligus akhlak yang mulia kepada seantero nusantara...mereka sebenarnya membawa tamadun...benar2 mereka membuat apa yang dibuat oleh junjungan mulia iaitu Rasulllah s.a.w....

kita di zaman ini melupakan peranan dan jasa ulama terdahulu, tak pasal2 pula menuduh amalan sekian-sekian sbg bid'ah huhu...tahukah kita akan besarnya hikmah amalan2 tersebut...

diceritakan oleh ayah saudara saya akan kisah yg berlaku di felda di johor tempat beliau menetap kini,ketika itu konfrontasi indonesia ke atas tanah melayu sungguh hangat sekali...tentera indonesia ditanamkan dalam pemikiran mereka bahawa tanah melayu perlu diperangi...maka dihantarkan tentera utk menyerang tanah melayu...tentera2 ini mendarat di kawasan perkampungan felda tersebut di johor (dengan menggunakan peyung terjun)...

kebetulan malam mereka turun itu adalah malam jumaat, dan memang menjadi amalan penduduk kampung felda tersebut utk membaca yasin dari rumah ke rumah...alkisah tentera tadi..yang memang sedang berkobar2 mahu menyerang org tanah melayu, mendengar sayup2 bacaan yasin...terdetik dalam hati mereka, eh, mereka ini org islam seperti kami jua...maka tidak jadilah mereka menyerang org tanah melayu...dan menyesal lah mereka kerana seolah2 ditipu dengan kerajaan indonesia ketika itu...

amalan yang dibuat ulama dahulu, adalah dengan matlamat menyatukan umat...

wallahuA'lam bissowab

orang jepun hipokrit. bila memuji bukan bererti suka, bila minta maaf tak bererti rasa bersalah, bila buat baik dan mesra belum tentu nak berkawan.

orang jepun gatal. dari budak sekolah sampai orang dewasa yang bekerja suka berdiri depan majalah-majalah lucah dekat kombini (convenience store).

orang jepun lelaki tak reti jaga kesihatan sebab sanggup merokok demi untuk dilihat macho dan kelelakian. sanggup bina bilik merokok, dan merokok beramai-ramai menghirup asap rokok sendiri dan orang lain.

orang melayu pun sama.

situasi seperti ini berlaku apabila kita hanya berada di kelompok masyarakat yang sama. Jika kita tidak berjalan-jalan ke luar negara atau berkenalan dengan bangsa lain, pemikiran kita akan terbatas dengan bangsa kita sendiri sahaja.

yang penting, kita kena berfikiran terbuka mengenai bab ini :)

Wa'alaikumussalam None. Best juga cerita ayah saudara tu. Hmm..tapi sebenarnya amalan membaca Yaasin ni bukan sahaja satu amalan yang terbatas di kalangan orang-orang Islam nusantara sahaja. Kalau tak percaya, boleh tanya mana-mana rakan yang berasal dari Pakistan atau India.

Saya pernah juga join Pakistan Muslim buat majlis bacaan Yasin. Tapi bila masuk bahagian mereka baca tahlil, rasa lain sikit le. Sebab lenggok lagu tahlil dia agak lain dari Melayu punya ;).

MFR, orang putih pun ramai aje yang "bila memuji bukan bererti suka, bila minta maaf tak bererti rasa bersalah, bila buat baik dan mesra belum tentu nak berkawan". Jadi, janganlah cepat kembang hidung jika ada orang putih yang puji kita. Memang lidah mereka sentiasa basah dengan pujian.

Hafiz, InsyaAllah dengan mengenali bangsa lain, kita boleh mengurangkan prejudis terhadap bangsa-bangsa yang lain :)

salam,

bab tahyul nih.. hari tu kan orang peru ada duk mandrem pemain bola brazil supaya kalah ngan peru... habis dicucuk patung kaka, ronaldinho segala...

apa-apa bangsa pun sama... tak de yang superior dari yang lain... memasing ada sikap buruk dan jugak kelebihan...

err.. tak nak ulas pasal yang selalu disebut sebaris dengan perkataan melayu ni...
"janji melayu..."

Assalamualaikum...
Secara jujur saya ingin mengatakan yang saya tidak tahu Ina Naim berkahwin dengan siapa. Mungkin saya ada terbaca atau terdengar berita mengenainya. Setelah difikirkan dengan mendalam, yang saya ingat Ina Naim berkahwin dengan seorang penyanyi kumpulan nasyid. Betul ke? Adakah ini melayakkan saya dikategorikan di luar kumpulan 'Melayu memang macam tu'?

Merujuk kepada topik utama perbincangan, saya setuju dengan pandangan hafiz238. Sebab itulah ada peribahasa (atau mungkin lagu dendangan Kopratasa) 'Jauh perjalanan, luas pemandangan, bertambah pengalaman'. Dan itulah seruan Allah supaya kita mengenali ras yang berbeza yang diciptakanNya.

BanjarRakai

kepada sedare mfrstudio,

walaupun demikian itu hanyalah budaya sebahagian kecil yg dipaparkan kepada kita oleh dorama dan kartunx2 nye. Atau orang sebut "subculture bukannye main culture yg kite gunakan untuk sindir". Aisey Hiro Nakamura (watak kegemaranku tidak pula menunjukkan level of "pervertness dalam drama bersiri Heroes).

Orang kata kerana nila setitik rosak susu sebelenga. Tapi sekurang-kurangnye pakar pengkaji tu tahu kerosakkan pada susu tersebut bukan disebabkan kualiti susu tetapi nila. Jadi usahlah kita menjadi golongan yang suka memandang rendah akibat perbuatan sebahgian bangsa mereka yang kita rasa tak patut.

Cuba bayangkan bagaimanalah agakanya para daie para sufi para wali dulu berdakwah ke Tanah Melayu ini . Datangnya dari Hadra Maut.. Datangnya dari China. dan pelbagai tempat lain lgi.
Kalaulah para pendakwah hanya berdakwah menggunakan satu seni sahaja (Tawel apa maksud style dalam Bahasa). Maka jawhar atau mutiara dakwah itu akan luntur serinya.


Heheh brother Tawel. itu adalah adab kita di arena antarabangsa. Bagaimana pula kalau dikatakan pasal Umat Islam. Selalu kita berbicara Umat Islam lemah, alpha lalai. Kalau isu sebegitu bagaiaman pula ya?

Ringkasnya setiap bangsa dan budaya mempunyai 'nature' yang berbeza. Ambil dan pandang dari sudut positif. Contohnya orang Arab bermulut manis walau kasar perwatakannya. Sangat menghormati tetamu. Konklusi, setiap sesuatu itu dari Allah; nature dan budaya. Bila kita pandang dengan pandangan positif ( nak kira yang negatif tak cukup jari pula kan ) hati pun gembira, dada pun lapang dan saling menghargai.

Salam Encik Tawel,

Sungguh-sungguh saya tidak tahu Ina Naim berkahwin dengan siapa. Kahwinnya pun tidak saya tahu.
Sungguh tak tipuu...

Berbalik kepada topik perbincangan, majoritinya Melayu memang begitu, terutama sekali yang kelas pertengahan yang merupakan majoriti penduduk Malaysia ini.

Kalau mengikut ukuran Tawel ya saya ini nampak tidak matang, tetapi saya katakan begini kerana hakikatnya memang itu yang menjadi tumpuan dan fokus kebanyakan orang Melayu (selain dari menyibukkan diri dengan urusan-urusan pembaziran duit seperti beli rumah besar, kereta besar, alat solek, aksesori, alat elektronik dll yang dalam definisi ini tidak penting mana dalam kehidupan kerana kita tahu kehendak manusia tiada batasnya) di zaman ini.

Keluar dari topik ini, saya nampak betapa peranan media yang memberi fokus kepada isu-isu picisan dan membuatkan masyarakat tidak lagi beri tumpuan pada perkara atau isu yang lebih produktif.

Apa yang media sediakan, hanya itulah yang mereka nampak.

Dan disebabkan itu yang mereka nampak, maka bertambahlah ketidakpedulian mereka terhadap perkara-perkara lain yang begitu jarang diperbincangkan secara terbuka di dalam media massa terutama isu-isu pendidikan, ekonomi dan juga politik.

Pa'chik, 'mandrem' tu apa? Macam voodoo ke? Haha..pertama kali dengar rasanya.

BanjarRakai dan Azila, tak tahu dia kahwin dengan siapa? Baguslah tu =). Memanglah anda Melayu yang lebih special. Dia kahwin dengan Suhaimi, bekas penyanyi nasyid In-Team.

Azila, tentang sifat Melayu yang semakin menuju ke arah pembaziran duit, budaya consumerism dan mungkin juga tentang peningkatan masalah sosial di kalangan Melayu, apa kata baca artikel Aftershocks of the "Me" Decade. Moga-moga kita dijauhkan dari Me Decade ini.

Alqasam, betullah. Orang Arab memang bermulut manis. Bila fikir balik baru perasan. Ish2..

Yondie, style dalam BM = gaya, lagak, cara. Ikut konteks ayat la ;). You brought a good point man; difference between culture and subculture.

Jadi boleh ke kalau kita kata moral sesuatu bangsa itu semakin musnah apabila masalah itu cuma masalah terpencil yang datang dari aliran subculture, bak contohnya, punk, ska, skinhead, gothic dan sebagainya.

Merujuk kepada komen Azila, memang penting bagi media massa untuk memaparkan apa yang penting kepada masyarakat. Kalau sentiasa papar kisah artis dan hiburan sahaja, maka bangsa Malaysia akan jadi bangsa hiburan. Kalau paparkan artikel dan rencana yang berat sebelah, maka bangsa Malaysia akan menjadi bangsa yang tidak kritis dalam berfikir. Yang mana kedua-dua sebab ini membuatkan saya semakin menjauhi berita-berita di Utusan dan Berita Harian.

Sedangkan kisah mitos kalau diulang-ulang boleh buat orang percaya yang kisah mitos itu benar, maka apatah lagi berita-berita yang macam tu. Baca artikel ini: Four Myths Government and Media Use to Scare Us About 'Dictators'.

merujuk pada respon yondie. anda silap jika anda sangka saya menaip semua sifat buruk orang jepun itu atas kerana terpengaruh dengan drama atau anime jepun.Lebih-lebih lagi drama amerika yang jahil tentang jepun.

saya menulis sifat jepun itu berdasarkan pengalaman sepanjang berada di jepun ini, yang sebelum saya datang ke sini saya terpengaruh dengan pandangan stereotaip orang melayu di malaysia yang sering sebut orang jepun itu baik dan sebagainya.

setelah bercampur gaul dengan masyarakatnya dan menghadapi pelbagai ujian di jepun ini termasuk ditangkap polis,ke mahkamah, duduk di wad hospital jepun dan suka duka di universitinya, saya boleh senaraikan 1001 kehodohan masyarakat jepun.

orang jepun sendiri sudah mula bimbang tentang keruntuhan masyarakat depa.

memang betul jepun juga ada 1001 sifat yang baik dan boleh diteladani.

begitu juga dengan orang melayu. alangkah dangkalnya bila ada orang melayu sendiri menyebut bangsa mereka dengan sifat-sifat buruk, padahal mereka itu yang buruk kerana terperangkap dalam komuniti melayu yang buruk.

setelah berkawan dengan pelbagai jenis melayu, aku dapati ada 23 kumpulan melayu berlainan sifat, tingkah laku, budaya fikir dan pendirian agama.

kalau di rantau panjang klang dulu, memang aku selalu dengar orang jawa malu dikenali jawa. Dan aku juga selalu dengar kehebatan dan kelebihan orang jawa lebih-lebih lagi dari dr fadhilah kamsah. kawan-kawan jawa aku di klang telah buat dialek perak aku hilang 100% sebab bercampur dalam komuniti depa selama 8 tahun. Hinggalah aku ke taiping, baru aku dapat semula identiti perak aku sikit.

bercakap soal jawa hebat ini tak ada bezanya dengan artikel di kakiblog yang sebut orang kelantan bijak.Sebab orang kelantan jarang kenal orang jawa,maka depa taktau tokoh nusantara yang hebat-hebat banyak dari jawa. Padahal aku yakin orang kedah, perak, negeri sembilan, dan negeri lain ada kehebatan yang tak ada pada komuniti melayu lain. Melayu bukan sejenis, melayu ada macam-macam fesyen macam orang cina atau india juga.

Rupanya, ada juga yang tak tahu Ina Naim kahwin dengan siapa. Saya pun, tahu secara tidak sengaja. Saya terbaca dalam Utusan kalau tak silap, bukannya saya ke Google dan mencari "Ina Naim kahwin dengan siapa?" ^_^

Bercakap pasal tahyul, hantu, "belaan", tak dapat dinafikan perkara macam ni masih wujud di dalam masyarakat Melayu. Cuma, mungkin tidak sekuat golongan Melayu 'lama'. Saya masih ingat, semasa arwah nenek saya meninggal, ada orang menyediakan satu bekas (seperti mangkuk), diisi di dalamnya dengan nasi, telur, dan beberapa lagi benda lain yang saya pun tak berapa pasti. Kemudian bekas itu diletak jauh-jauh di dalam hutan belakang rumah, kononnya supaya "belaan" arwah nenek saya pergi jauh-jauh. Saya anggap itu cuma amalan orang-orang lama. Rasanya orang moden(golongan muda) sekarang ni sudah tidak mengamalkan perkara macam tu lagi.

"Janji Melayu". Satu lagi istilah yang entah dari mana datangnya. Padahal, bukannya orang Melayu sahaja yang datang lambat atau tidak menepati masa. Disebabkan penggunaannya yang diterimapakai oleh ramai orang tanpa mengetahui hakikat sebenar, sampai sekarang istilah itu masih digunakan. Selalu juga, apabila ada apa-apa perjumpaan, mesti ada orang cakap, "takpe lambat sikit, orang lain pun bukannya datang awal pun. Biasalah, janji Melayu.." Harap-harap, istilah ini dapat dikurangkan penggunaannya (lebih baik kalau jangan guna lansung) dalam kehidupan seharian. Sebabnya kalau kita selalu guna, akan menimbulkan tanggapan negatif terhadap masyarakat Melayu itu sendiri; orang Melayu ni tak tepati masa. Kita juga yang terasa malu nanti.

Akhir sekali, terima kasih saudara Tawel untuk satu lagi artikel yang menarik. Cheers mate!

PiE

Ina Naim dah mengandung pun sekarang:P

Kadang-kadang (tak semua) kalau kita ingin menyelami cara hidup bangsa/kaum lain, kita harus 'masuk' dengan cara mereka, baru mereka akan 'mengiktiraf' kita. susah juga kalau begitu. Allah tak pandang paras rupa, bangsa dan kedudukan kita, apatah lagi kita ni manusia. Apa pun, tak kenal maka tak cinta.

mia_sarah

Mia_sarah, nak saya kenalkan dengan kawan saya yang Pakistan tu ke? Tak kenal maka tak cinta ;)

Tak mengapalah encik Tawel, susah-susah saja. Kalau dah cinta susah pulak;p

Cakap pasal orang orang Melayu, saya dengar banyak juga sarjana barat ingin menjatuhkan orang melayu kita dengan mengatakan kita malas, begitu dan begini.Apa yang mereka kata itu kurang tepat sekali. Saya rasa orang melayu bukan malas, cuma dia akan jadi rajin dengan perkara-perkara yang dia minat sahaja. Rajin itu kan subjektif walaupun memang tak dapat dinafikan ramai juga melayu yang malas membaca.

Pelik bin ajaib juga apabila dilihat di institsi2 pengajian tinggi pelajar melayu lebih banyak mengecewakan pensyarah daripada pelajar bangsa lain. Untuk melahirkan melayu yang cemerlang harus bermula dari dalam perut ibu. Jadi, kesimpulannya, melayu kita kena ada KNOWLEDGE! wallahualam.

mia_sarah

Salam,

Another thought provoking article. Thank you, looking forward to your next piece.

SH

Assalamu`alaikum.

Oh yeah, saya tertarik membaca pandangan² yang diutarakan oleh oleh Sensei dan juga pengomen² yang lain. Maka saya pun nak tumpang sekaki menyetujui apa yang diutarakan. Biar saya coba menyenaraikannya:

(1) Mengenai "budaya SMS" yang turut menjangkiti budaya Barat dan bukannya kita sahaja. Saya setuju sesangat. Saya rasa kita nampak macam kita saja yang kena penyakit ni dan rasa kita ni dah "teruk sangat dah, takdak dah bangsa lain kat dunia ni yang lagi teruk daripada kita" sebab negara kita ni kecik, masyarakat tak besar, tak ramai, jadi mestilah nampak sangat kalau kelompok sekecil ini ada berlaku kepincangan, kan?

Oh ya, di negara seberang kita, terdapat program realiti undi pakai SMS yang bertajuk PILDACIL (Pemilihan Da`ie Cilik). Rancangan ini mempertandingkan budak² kecik sebagai pendakwah, tak tahulah apa yang perlu dipersembahkan kepada penonton, tapi yang paling tak tahan tu, johan dipilih pakai undian SMS jugak! Ya ampun!!! Pendakwah kanak²? Diundi pakai SMS? Kalau di Malaysia ada "Mufti Termuda", di sana lagi dahsyat, ada "Ustaz Ekspres (SMS) Termuda".

Teringat pula babak dalam KIAMAT SUDAH DEKAT 2 (sinetron Indonesia), seorang budak yang berwajah "komersial", teringin nak berguru dengan seorang pelukis (belajar melukis la), tapi pelukis tu sebaliknya mencadangkan budak itu supaya masuk rancangan nyanyian kerana "suara kamu mungkin bagus. Nanti aku hantar SMS supaya kamu menang!"...
.
.
.
(2) Berkaitan orang Jepun. Terima kasih pada mfrstudio kerana mendedahkan mengenai apa yang saya cuma tahu (dan wasangka) daripada manga dan anime. Oh, mereka pun suka porno ya? Patutlah banyak anime yang diselitkan unsur sebegini, apakah ianya untuk memuaskan gelora nafsu golongan ini?[/persepsi negatif berdasarkan anime dan manga]

Kepada Y0nd13: Hiro Nakamura (dari siri HEROES) tu aneh. Dia ni nama ja orang Jepun, tapi minat komik Amerika dan siri macam Star Trek, pun dari Amerika. Kenapa dia begitu?

Di stesen ntv7, sempena cuti sekolah, ditayangkan siri anime yang banyak menunjukkan unsur "lucah yang ringan", pada waktu tengah hari! Hmmm... kenapa? Kenapa?
.
.
.
(3)Berkaitan baca Yasin. Di kawasan rumah saya, ada beberapa orang pekerja dari Bangladesh atau Myanmar (hoho, tak pasti, nampak sama ja! Ni macam stereotaip orang Barat terhadap orang Asia di mana mereka gambarkan semua orang Asia bermata sepet!), mereka rajin juga ikut baca Yasin di surau pada setiap malam Jumaat, tapi mereka semua bawa surat Yasin sendiri (tulisan tak sama dengan mashaf kita kot!).

Kepada none: Wow, saya kagum dengan cerita mengenai tentera Indonesia tak jadi ganyang kita sebab dengar orang baca Yasin. Teringat pula keadaan kita dengan Indonesia sekarang. Khabarnya media mereka suka memburukkan negara kita dan menimbulkan kemarahan rakyat mereka terhadap kita. Maka hadapan Kedutaan Malaysia di sana pun seringlah menjadi sasaran demonstrasi, heheh...
.
.
.
(4) Berkaitan tahyul. Hah, macam Sensei ceritakan bukti² ketahyulan masyarakat Barat. Dengan siri BUFFY THE VAMPIRE SLAYERnya, THE GHOST WHISPERERnya, raya Halloweennya, Krismas pun tahyul gak (tunggu Santa Claus), tu tak menampakkan ketahyulan "bangsa maju" ini ka?

Oh tidak, kita mesti ajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris supaya kita maju![/sarcasm]

Seorang menteri kita (tak perlu sebut yang mana, tapi dia ini bukannya PM) selain membela bahasa Inggeris dalam S&M, turut memperlekehkan pula bahasa Arab dengan mempersoalkan di manakah kedudukan bangsa Arab di dunia pada zaman ini. Oh ke situ pulak!

Oh maaf, termelalut!

Cakap fasal cerita hantu, saya memang anti la dengan cerita hantu yang berunsur seram. Tapi suka pula kalau cerita hantu tu berunsur komedi. Macam filem GHOSTBUSTERS dulu. Ha, sekarang kita pun bakal ada filem a la GHOSTBUSTERS kita sendiri.

Coba ke sini:
http://www.antoofighter.com/
(bukan mempromosi, sekadar berkongsi...). Mereka juga ada laman blogspot, jadi bak kata Saiful Apek, "Check it out!".

Oh, Apek tak ada dalam filem ni, tapi ada Awie, dan Radhi OAG pulak jadi hero! Sekali tonton trailernya, nampak macam pasukan Power Rangers pun ada jugak!

Owh, maaf termelalut lagi! Mari kita ke poin saya yang berikutnya.
.
.
.
(5) Dalam banyak² isu yang anda bangkitkan, ada satu lagi perkara negatif yang sinonim dengan orang Melayu yang anda tidak nyatakan di sini, iaitu berniaga. Maksud saya ialah, apabila ada orang kita mula berniaga, orang kita juga yang bukannya tak menyokong tetapi memperlekehkan, malah ada yang seolah "mendoakan" kegagalan perniagaan orang Melayu.

Dialog yang saya dengar antara pasangan suami-isteri yang berpengalaman meniaga dengan seorang tukang gunting rambut ketika saya menemani adik saya menggunting rambut menyatakan bahawa:
- Kalau ada orang bukan Melayu buka kedai baru, kita selalu kata "Hari ni buka kedai, esok boleh buat rumah batu (mewah) la dia tu!"
- Kalau ada orang Melayu buka kedai baru, kita selalu kata "Hari ni buka kedai, esok gulung tikar la dia tu!"

Peh, ayat power tu! Kan secara tak langsung menjadi suatu "doa" tu, kan?

Hoho, renungkan, dan nafikan kalau tak benar... ;)
.
.
.
(6) Saya setuju dengan kata² Sensei pada perenggan keempat bahagian penutup; Gadis Melayu yang bertudung memang gentle & cute! Yes, saya sokong! Othman Hamzah, Jamal Abdillah dan Mawi pun sokong (melalui lagu GADIS MELAYU tu, heh!)

Erm, tapi, saya tak sokong kalau gadis Melayu diperkenalkan kepada orang Arab dan Pakistan. Tolonglah! Kasihankan masa depan gadis² itu nanti apabila berada di tangan mereka. Rujuklah semula kes² yang melibatkan perkahwinan sebegini, hehehe...

Saladin Convoy, saya tak boleh tengok Awie berlakon filem hantu komedi. Hehe, jadi fobia pula lepas tengok Zombie Kampung Pisang. PS: Zombie Kampung Pisang = rip off filem Shaun of the Dead.

salam,

yes it is certainly a sad state of affairs. the epidemic has spread in malaysia too as we are increasingly becoming celebrity obsessed. there are many aspects of the west that we should embrace and emulate, why do we choose to embrace the ones that are "undesirable"?

setiap bangsa itu unik.tahyul atau tidak setiap anak bangsa melayu tak kira jawa pun ada saka.......itu adalah warisan yang kita dapat zaman berzaman dari nenek moyang

Tanpa Nama

Assalamualaikum wbt

Mr. Tawel yg disegani.
Org Arab x takut hantu tau...anak2 berkeliaran main kat bawah umah kul 2 pagi....:)

momo chan

slm Mr. Tawel yg sgt sy segani...

hmmm...
sy sgt2x setuju dgn artikel ni...
saya org kelantan, pernah bersekolah di selangor (lebih baik saya ktkan, Klang, spesifiknya, Kg. Jawa, Klang), dan sekarang ini, kini berada di bumi Jordan...

dulu2x,
pengetua saya dan beberapa org yg sy knal sbg konon2 pemotivasi yg bagus sering berkata, orang Kelantan ni, pengecut, suka nyorok blakang, highly inferior, x suka tanya soalan klu ada ceramah2x...dan lots of -ve words more...

dan, lpas tu,
moving to Klang, sekolah ni ramai bdak2 dr serata Msia,
bcmpur la sket2 ngn orang Jawa sekitar,
dan, saya dapati, damn! those old folks talk nothing more than just lying...

tp, inferior dan -ve minded byk lg tertumpu kpd bangsa saya, bangsa encik dan bangsa penduduk majoriti rakyat Malaysia...

dan, apabila saya keluar dari Malaysia,
saya dapati, itu semua hanyalah tidak lain bahkan mitos2 semitosisnya....

Janji Melayu? Ahhhh....
lmbat pon, sejam dua,
Janji Arab? Hah, ambik! sehari dua, bahkan selalunya, seminggu dua!

Orang fikir, bangsa Melayu sukakan hiburan, dan pemalas, tapi, sepanjang berurusan secara rasmi dgn org2 Arab di sini, sy dapati, kebanyakannya, (atau lebih baik saya katakan, klu x pun, sekali dua je) mereka ni akan buat kerja secara sempoi2x sesempoi yang boleh disempoikan...malah, perempuan2 (golongan muda) di sini saya kira kbykannya lebih "GANAZ" pakaian mereka dari bangsa Melayu, wlupon ramai rakyat Malaysia akan ada satu tanggapan bhw, wujudnya "Islamic Environment" dan penutupan aurat secara hebat di neg2 arab ini...

jd, sy kira, sudah pasti juga wujudnya manusia2 bbangsa omputih yg x seperti digambarkan oleh gambaran perdana rakyat Malaysia...

tp, tidak pula saya katakan yg bangsa Arab adalah bngsa yg teruk secara total...

Masing2x ada kelebihan masing2x....
yang lebih penting, kita buka minda kita, bukan? Saya thu, ramai yg pd mulany berkata "bangsa Melayu itu ini" hnylah utk memotivasikan org Melayu itu sdiri...
ttp, seperti di mana2 bhgn d dunia ini, communication breakdown sering blaku dan apa yg tjd adalah sblikny,

usaha penanaman sikap2 +ve ke dalm diri btukar kpd penanamam fikiran2 yg -ve

firman Allah yg bmaksud,
"dan tidaklah ak ciptakan kamu lelaki dan perempuan, berpuak2 dan berlainan bangsa melainkan untuk kamu saling mengenali"

maka, kenalilah sesama kita....
(perh, pnjgnyer~~)

H2

@MR H2 yang janganlah sogan-sogan dengan eden, terima kasih atas perkongsian. Pergh, memang panjang!

Tapi cuma saya tak pasti kalau orang berkata "bangsa Melayu itu ini", maka tujuannya hanya sekadar untuk menaikkan motivasi.

Sebab saya pernah terbaca satu artikel (tapi tak ingat di mana) yang mengatakan bahawa masa penjajah British datang Malaya dulu, mereka turut melancarkan beberapa penjajahan bersifat psikologi. Antaranya dengan menanamkan dalam otak Melayu bahawa Melayu lemah, tak boleh buat itu ini, dan sebagainya.

Maka saya terfikir juga kalau apa yang dibuat oleh British itu akhirnya membentuk satu budaya yang unik bagi masyarakat Melayu sahaja, iaitu: "Orang-orang Melayu memang suka mengaitkan sifat-sifat yang negatif dengan bangsanya sendiri, seolah-olah bangsa lain tak buat."

hrmmm...

berkenaan motivasi tu,
sungguh, ada juga yang mahu memotivasikan golongan2 yg kurang motivasi ni, contoh yg sy berikan diatas, semacam pengetua saya itu sebenarnya merungut akan kepasifan pelajar2 (ini hanya sebagai satu contoh) dan mereka ini konon2nya mahu belajar budaya positif bangsa lain...

dan, tidak saya nafikan berkenaan dengan agenda penjajah yang menanamkan sikap negatif sedemikian dalam pemikiran masyarakat...
sebab itulah mereka hanya memberikan pendidikan untuk menjadikan masyarakat Melayu hanya tahu membaca dan menulis sahaja dan paling hebat pun bila mereka besar menjadi kerani, bukan?

tapi, ramai je yg saya dgr pd dasarnya berupa teguran akan sikap ini...cuma, bg sy, yg teruknya mereka ini apabila menjadi radikal dgn pendirian bhw Bangsa Melayu Teruk! Haprak! Mudah Lupa! Ops! Maaf, tersilap taip.

Malah ada yang tidak akan mengambil orang melayu sendiri bekerja. Itu tidak saya nafi.

p/s:En Tawel orang Jawa? Cuba cari dalam internet ini, bahasa Jawa nombor berapa kedudukannya dalam kepenggunaan bahasa yang paling meluas. Hehe. Seharusnya en. berbangga akan fakta itu.

(masih panjang lagikah?~~hehe)

H2

Mak aje orang Jawa. Tapi kalau tak tahu ngomong Jawa, mau bangga apa? Hehe :D

Salam..
saudara, saya rasa pandangan saudara ada kebenaran tp pandangan umum masyarakat juga tidak salah..jikalau saudara kaji atau perhatikan secara analitikal, saudara pasti terima kata-kata tersebut.
Saudara ada berkata:

"Walaupun ia sesuatu yang baik, tetapi majoriti tidak melihatnya dari sudut yang lebih luas dan holistik. Mereka hanya menyalahkan bangsa Melayu sebagai bangsa yang sukakan hiburan, bangsa yang suka menjadi anak wayang dan malas pula belajar, bangsa yang suka membazir duit dengan menghantar undi SMS"

memang anda menyatakan ia kurg tepat, tetapi apa org2 ramai atau org lama katakan mengenai bangsa melayu adalah secara keseluruhan atau kebanyakannya. memg bangsa lain juga minat hiburan, us, uk, jepun, eropah - mereka memg minat hiburan. kadang2 lebih fanatik dr kita. ya, itu semua akui, tapi mereka fanatik, dalam masa yg sama mereka ada arah tujuan dlm hidup tidak seperti remaja melayu yg leka dgn hiburan. walaupun kt usa berlambak program hiburan, tp lihat perkembangan sains, matematik, teknologi dan ilmu, turut sama berkembang. tp KEBANYAKAN bangsa melayu terutama anak2 muda sentiasa leka, tidak minat belajar, sukakan hiburan.
kemudian cuba lihat bentuk tv realiti yg ada kt negara2 maju, cuba bandingkan dgn program yg wujud kt malaysia yg selalunya yg berebut2 adalah org melayu. program realiti tv kt malaysia kebanyakannya tak generate thinking skills dan physical skills, spt MI, AF, Audition, Bintang RTM, Mentor, Juara Lagu dan bermacam2 lagi program meminta org ramai jd penyanyi. bukan menolak hiburan, tetapi lambakannya terlalu memberi kesan teruk. cuma yg elok sedikit adalah explorace. org melayu juga yg join benda tu. kalau di US, ada American Idol dan program nyanyian lain, tp ada juga the Apprentice, american inventor,survivor(wlpn pakainan sgt xsopan) dan bbrpe lg yg keluar dr kepompong hiburan kosong.
itu soal hiburan, tp soal perniagaan, bagaimana org yg terliabt meng-alibaba-kan projek bumiputera kt kaum cina hnya kerana keuntungan jgka pendek. mereka ni org melayu. soal dengki ni, byk kes kita dgr, ni bukan benda yg palsu tp kes pernah terjadi. mmg setiap bangsa ada sifat dengki, tp kes ini berlaku kt org melayu byk skali, jaringan perniagaan seperti kaum cina jarang berlaku kpd peniaga melayu. byk dengki-mendengki yg wujud. padahal kerjasama lebih baik dari dengki.lg satu kbykn org melayu ni xsabar dlm berniaga, ini kita nampak, kdg2 bila kaya sekejap mereka lupa, terus membeli rumah, terus beli kereta besar. ini banyak berlaku. tanyalah sahabat sebangsa anda yg melayu. cuba tanya kwn cina, bagaimana mereka berniaga, mereka ada strategi, wlpn mgkn ada org mgtkn mereka agk tamak, tp mereka bijak berniaga dan tidak malas ditambah networking yg amat baik.

sopan-santun:
ada yg kata melayu ni sopan santun. saya setuju, tp dalam masa yg sama sy juga akui org melayu selalu bersifat tidak mesra dengan org yg asing dgnnye. jika anda berada di UK, anda boleh ditegursapa oleh mana2 mat saleh di sana wlpn anda tak kenal. dan mereka cukup polite wlpn kebnykn mereka kaki judi dan kaki arak. ini fakta, jepun juga begitu, memg ada kata mereka duduk jepun tau cmne life org jepun, tp mereka beradab dpn org lain. bukan soal jipokrit, tp menghormati dan mesra dgn org lain. hipokrit adalah bila kita dgn sengaja berlakon utk menyelamatkan diri kita dr sesuatu kesusahan atau persepsi buruk masyarakat tntg diri kita.sama juga di UK, mereka bukan kata diri mereka baik, tp mereka polite dgn org luar kerana itu budaya mereka.anda mungkin menganggap saya menjunjung bangsa lain banding dgn bangsa sndiri.ttp saya tidk berckp atas dasaremosi tpfakta. spy kita sama2 bermuhasabah.

senang cerita, kebykan sikap2 buruk dr bangsa lain yg kita jdkan budaya di sini, walhal budaya ilmu org putih kita tak follow. itu yg mgkn saudara tak nampak.
ini sekadar pandangan saya, maaf jika terkasar dan mengguris mana2 pihak,juz something that i want to share with.

kawan

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.