Back to home page

Taliban Untuk Malaysia. Takbir!!

29 Mei 2008 • 17 Komen Cetak Chenta!
Sama ada ekau sokong Pak Lah kerana memperkenalkan Islam Hadhari, atau sama ada ekau sokong kuat sama Khir Toyo yang mengatakan Selangor yang baru ini angkuh kerana mengharamkan sebarang program Islam Hadhari, atau pun ekau nak jadi Encik Yes-Man kepada Hassan Ali yang mendakwa Islam Hadhari itu lebih banyak membawa kekeliruan pada masyarakat, eden cuma nak ekau tahu satu benda sahaja.

Jadi apa bendanya? Ketiga-tiga hamba suruhan Allah itu, termasuklah juga individu dan organisasi lain yang hebat bersurah tentang pro dan kontra Islam Hadhari ini, tidak pernah sedar bahawa beberapa cara pemikiran Taliban adalah penyelesaian kepada permasalahan manusia. Malah berdasarkan pemerhatian eden, negara yang sedang eden tumpang ini, Ireland, dan juga jirannya iaitu United Kingdom, cara pemikiran Taliban itu sudah pun lama menjalari dasar pemerintahannya.

Takbir!!

Eden sebenarnya terkejut apabila mengetahui akhbar Malay Mail pernah mendakwa MB Selangor sebelum ini, Khir Toyo, pernah mahu mengTalibankan Selangor. Ini gara-gara usaha beliau untuk menghududkan waktu operasi pub dan disko sehingga jam 12 tengah malam sahaja, berbanding jam 3 pagi seperti mana yang masih berlaku sehingga sekarang.

Malah dua tahun lampau pun eden pernah tersedak terkeluar kahak hijau apabila Menteri Pelancongan ketika itu mahu waktu operasi pusat hiburan, kelab malam, pub dan restoran di bandar-bandar utama supaya dilanjutkan sehingga jam 5 pagi. Hujahnya, keadaan sedia ada tidak mampu menarik minat pelancong untuk datang:
Bandar raya seperti Kuala Lumpur sangat 'malap' pada waktu malam, tiada aktiviti hiburan, mereka (pelancong asing) tidak tahu buat apa selepas jam 12 malam, pusat membeli-belah pun tutup jam 10 malam.

Bertuahnya negara Malaysia yang tidak pro kepada ideologi Taliban ini. Eden yang di sini, dan ramai juga sahabat handai eden di UK, mati kutu di waktu malam sebab setiap hari bila tiba pukul 6, banyak kedai dan pasaraya yang ditutup.

Takbir!!

Sebenarnya jika eden mahu berbicara tentang arak di sini, ekau boleh naik pelik. Ini memandangkan Ireland adalah sebuah negara yang dikenali dengan rakyatnya yang kaki minum. Arak adalah budaya mereka, seperti mana anime dan manga adalah budaya kepada bangsa Jepun. Sebut sahaja Irish, akan terimbau pub-pubnya yang subur melata itu. Sebut pub, akan teringatlah pula kepada arak berjenama Guinness, yang kilangnya itu kira-kira 7 minit berbasikal dari rumah eden. Kilang ini adalah antara kilang arak terbesar di dunia dan ia merupakan tarikan nombor 1 kepada pelancong asing yang melawat ke sini.

Namun dari segi pengawalan jualan dan waktu operasi pub dan diskonya, mereka tetap lebih Taliban dari negara kita yang kini mengamalkan dasar Islam Hadhari yang diyakini mampu memberikan pencerahan kepada ummah. Bouncers kelab malamnya pun memang sangat tegas dan mereka sentiasa bersedia untuk menendang keluar sesiapa sahaja di bawah umur 18 tahun yang cuba memasuki teritori yang dipeliharanya itu.

Kira-kira 5 tahun dahulu, Menteri Keadilan Ireland yang bernama Michael McDowell telah mengemukakan usul bagi menyelesaikan masalah ketagihan arak yang semakin memberikan kesan negatif kepada masyarakat. Beliau seolah-olah berlagak menjadi polis moral apabila sudah mula sibuk mahu menjaga gaya peminuman arak rakyatnya. Macamlah rakyat Ireland ini bodoh sangat sehingga tidak tahu untuk menilai apa yang baik dan buruk untuk dirinya.

Akibatnya kini had masa pembukaan pub-pub di Ireland pada malam hari berkerja adalah sehingga jam 11.30 malam sahaja (12.30 malam bagi malam Sabtu dan Ahad). Malah arak tidak boleh dijual di mana-mana pada Hari Krismas dan Good Friday. Ini semua sudah jauh lebih teruk dari ciri-ciri Taliban seperti yang dicanang oleh Malay Mail itu sebab setahu eden di Malaysia, belum pernah lagi ada larangan menjual arak pada hari-hari perayaan.

Apabila Michael McDowell diganti oleh Brian Lenihan pada tahun lepas, belum pun sampai setahun memegang kuasa, keTalibanan Menteri Keadilan yang baru ini jauh lebih mengerikan. Pada awal tahun 2008, Brian Lenihan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengkaji peningkatan penjualan alkohol di pasaraya, kedai kemudahan dan stesen minyak, di samping turut mengkaji semula undang-undang yang membenarkan pub beroperasi lebih masa, dan juga keberkesanan hukuman ke atas peminum arak bawah umur.

Takbir!!

Kepelikan eden semakin menjadi-jadi apabila negara seTaliban Ireland ini, begitu keras dan ketat undang-undangnya dalam hal penjualan rokok, dan apatah lagi arak kepada pembeli di bawah usia 18 tahun. Pernah seorang kawan eden yang berwajah baby face, berusia 19 tahun, tidak dibenarkan langsung membeli sekotak rokok di sebuah kedai kemudahan ala-ala 7-Eleven berdekatan rumah eden. Hanya setelah kawan eden ini menunjukkan IDnya, maka barulah tuan kedai yang kerek itu menjual rokok kepadanya.

Lalu bagaimana pula halnya dengan negara kita Malaysia yang anti-Taliban? Menjual rokok pada budak-budak sekolah, yang kekadang masih berpakaian seragam sekolah adalah amalan biasa bagi ramai pekedai. Kedai kemudahan 7-Eleven yang banyak di negara kita itu pun selamba badak saja menjual arak kepada remaja Islam dan bukan Islam di bawah umur 18 tahun. Eden tidak rasa 7-Eleven yang bertaburan di negara kelahirannya, iaitu Amerika, akan mengambil ringan dalam hal-hal seperti ini.

Baru-baru ini pula eden membaca laporan bahawa Ireland menduduki tangga ke-6 dalam Indeks Keamanan Global 2008. Lagi pelik eden dibuatnya. Bagaimana negara yang mengamalkan dasar Taliban ini boleh menjadi antara 10 negara paling aman di dunia, sedangkan negara kita yang terlalu fobia dengan istilah Taliban berada di tangga ke-38? Puas eden berfikir sebabnya, namun akhirnya eden membuat kesimpulan bahawa kekalahan kita ini mesti gara-gara ancaman gagasan Kerajaan Langit oleh Ayah Pin! Situasi kerajaan dalam kerajaan adalah tidak bagus. Selagi Ayah Pin tidak ditangkap, kita sentiasa dalam bahaya.

Hah apa pun, kalau ekau ini kaki minum dan mahu pula datang melawat ke sini, berhati-hatilah kerana pasukan polis negara Ireland Darul Taliban ini pernah menjadikan kesalahan berkaitan tabiat meminum arak sebagai musuh nombor satunya.

Takbir!!

Fenomena yang sama juga berlaku di UK. Walaupun dari aspek Indeks Keamanan Global, kita di hadapan UK, yang mana ini mungkin disebabkan penglibatan mereka dalam perang di Iraq, namun jangan kita lupa bahawa UK adalah antara negara paling maju dan moden di dunia. Mana-mana negara membangun akan sering menjadikan UK sebagai model dan rujukan.

Sebenarnya satu ketika dahulu, undang-undang berkaitan waktu operasi pub dan kelab malam di UK bukanlah seperti sekarang. Semenjak Perang Dunia Pertama sehinggalah tahun 2005, pub dan kelab malam di Britain dan Wales terutamanya, wajib ditutup pada pukul 11 malam. Waktu penutupan ini sudah tentu lebih Taliban daripada waktu tamat operasi yang pernah dicadangkan oleh Khir Toyo.

Pada tahun 2005, Parlimen UK telah meluluskan rang undang-undang yang membenarkan mana-mana pub dan kelab malam bagi memohon lesen operasi 24 jam. Mengapakah boleh datang idea ini dan diluluskan pula? Ini kerana itu adalah antara janji manifesto Parti Buruh (Labour Party) dalam pilihan raya umum di UK. Parti Buruh memenangi pilihan raya tersebut dan Tony Blair selaku pemimpin tertinggi parti tersebut, telah berusaha keras bagi memastikan idea kontroversi itu terpahat sebagai satu rang undang-undang kerajaan.

Seperti mana juga kes Brian Lenihan yang keTalibanannya lebih terserlah berbanding bekas penyandangnya, hal yang sama juga berlaku kepada Gordon Brown. Baru sebulan mengambil kuasa dari Tony Blair, Brown yang juga dari Parti Buruh ini telah mengeluarkan cadangan bersifat Taliban bagi mengubah semula undang-undang yang membenarkan pub dan kelab malam di Britain beroperasi 24 jam sehari. Ideanya, tempoh 24 jam ini wajar dihududkan.

Akan wujudkah pemimpin Malaysia beragama Islam yang mahu
mencontohi keTalibanan pemerintahan Gordon Brown?



Walaupun pada akhirnya cadangan itu tidak dilaksanakan, namun Brown masih berusaha menjadi polis moral bagi memastikan rakyat jelatanya lebih sopan, beradab dan tidak ganas, yang mana kesemua ciri-ciri fitrah manusia ini semakin terhakis gara-gara pengaruh negatif arak dalam masyarakat. KeTalibanan Perdana Menteri Britain yang baru ini semakin meluat dipandang rakyat apabila kerajaan pimpinannya telah membatalkan projek pembinaan super kasino di Manchester. Nampaknya corak pemikiran Perdana Menteri di negara paling berpengaruh di dunia ini juga sudah dirasuki hantu Taliban.

Apa yang ironinya, bapa mertua Tony Blair juga sebenarnya bersifat Taliban seperti Gordon Brown. Beliau adalah antara yang menentang keras cadangan kerajaan yang meluluskan lesen operasi 24 jam kepada pengusaha pub. Amat menyedihkan apabila keTalibanan bapa mertua Tony Blair tidak berjaya dicerna oleh anak menantunya. Apo boleh buat jang. KeTalibanan tak dapat diwarisi dari seorang ayah mertua yang 'bertaqwa'.

Takbir!!

Maka sekarang ini ekau nampak tak bahawa ideologi Taliban dalam isu berkaitan arak dan disko ini, diamalkan oleh negara yang antara paling aman di dunia, dan juga dipraktikkan oleh negara yang antara paling maju di dunia.

Sebelum eden tutup coretan ini, eden mahu tanya juga sampai bila ekau mahu faham bahawa tak ada arak dalam pesawat MAS pun tidak mengapa. Tujuan utama orang beli tiket kapal toghobang adalah kerana mereka nak bergerak dari Destinasi A ke Destinasi B dengan cepat dan mudah. Dan perkara utama yang mereka pertimbangkan ketika membeli tiket adalah kompeni mana yang beri tambang lebih murah. Bukan kompeni mana yang ada hidang arak paling murah, bagus, sedap, lazat, nikmat dan masyuk.

Ini seperti mana ekau makan kat warung mamak. Sama ada warung mamak itu buka siaran gusti WWF atau pun kartun Usop Sontorian, ekau tak akan kisah sangat sebab tujuan utama ekau datang situ adalah untuk isi perut ekau yang kempis itu. Tapi ekau akan marah dan bengang sangat-sangat jika warung mamak itu kotor, lalat berterbangan di sana-sini, makanan tak sedap, dan harganya pula mahal, walaupun di kala ekau sedang makan, restoran mamak itu ada menayangkan rancangan gusti WWF yang memang ekau sudah minat sejak zaman dulu kala lagi.

Gambar pesawat MASMampukah MAS menjadi pesawat bebas arak?


Maka oleh sebab itu, adakah ekau pernah dengar mana-mana syarikat penerbangan yang bersaing dengan menggunakan isu arak sebagai strategi? Tak ada! Strategi utama mereka adalah perang harga. Siapa yang bagi harga lebih murah, itu yang akan dipilih. Arak cumalah satu faktor picisan. Tak ada penumpang akan mengamuk sakan jika tiada arak dalam pesawat, sekiranya tambang yang mereka bayar itu berpatutan dan layanan yang diberikan juga bagus.

Aduhai, cukuplah syarahan eden serba sedikit tentang psikologi pengguna dan pembeli ini. Esok lusa, apabila ekau naik kapal toghobang MAS, laungkan 'takbir' pada pramugara dan pramugari Islam yang menuangkan arak pada penumpangnya. Jangan tersalah laung 'take beer', sudahlah. Itu eden tak tanggung sebab walaupun kita akan ditanya oleh Malaikat Munkar dan Nankir apabila kita mati nanti, namun kubur ekau dan eden tetap lain-lain.

Eh ekau kalau pernah duduk di mana-mana negara moden dan maju yang ada terselit juga unsur-unsur Taliban di dalam pemerintahannya, beritahulah pada eden dan yang lain. Kita kena buktikan bahawa Taliban is the future.

Takbir!!

17 Komen Tambah Komen↴

ketahuilah pemikiran jumud itu adalah apabila mengkehendaki kebebasan tanpa had, dan apabila menegakkan nilai dan moral insani dilihat suatu yang picisan tapi tidak pada yang tidak insani dilihat elegan dan elit.

kita yakin islam, kita amal islam, kita bangga islam, kita sebar islam.

kita tegas dengan perjuangan islam, kita tegas dengan apa yang diperjuangkan islam, kita tegas untuk islam diperjuangkan.

kita tak malu mengatakan islam sebagai solusi. kita tak malu menggunakan islam sebagai solusi. kita tak malu buktikan islam adalah solusi dengan kita sebagai umat islam sebagai orang-orang yang memberi solusi pada krisis umat.

kita yakin segala yang diharamkan islam adalah apa yang menyelamatkan maruah manusia. kita yakin hudud islam lebih baik dari liberal barat. kita yakin syariah islam lebih baik dari sivil barat. kita yakin islam membawa rahmah, dan kita bukti islam membawa rahmah. kita buat apa yang kita kata.

nescaya kita sentiasa sedar kitalah taliban (pelajar) untuk the forgotten lessons .kita rendah diri kita, sebab kita taliban (pelajar) bukannya sensei (guru).kita tak bongkak nak jadi sensei, tapi bila dah jadi sensei, kita tak laksanakan apa yang kita ajar pada para taliban dulu.

hari semalam kita kata kilang arak kena tutup di bumi Allah, tapi hari ini kita cabar siapa-siapa ada bukti yang mengatakan kita mahu tutup kilang arak bila dapat kuasa.

kita tetap taliban, tak kan jadi sensei.

Sobonanyo eden tertarik hati sekali dengan entri Sensei kali ini. Teraso eden yang negara kita itu perlukan banyak lagi perubahan. Memang nampak sangat Islam Hadhari itu hanyalah sesuatu yang hanya mahu mengelabui mata rakyat. Raso eden, pemimpin-pemimpin negara yang kononnya nak mengHadharikan negara kita itu, perlu luangkan sedikit masa mereka untuk membaca entri ekau ini Sensei. Bagi mereka sedar yang Islam itu sentiasa relevan likulli zamanin wa makan.

Eden tak puas hati sungguh dengan kenyataan Khir Toyo bila dia cakap,

''Mereka (Pas) tak tutup kilang arak dan ladang babi seperti mereka janjikan kepada rakyat sebelum ini kerana kedua-dua perkara itu diharamkan dalam Islam. Sebaliknya, mereka hari ini haramkan Islam Hadhari yang merupakan salah satu usaha yang diterapkan untuk pembangunan umat Islam,''.

Fikirlah sendiri apa sebab eden tak puas hati. Kawan eden pernah sekali tengok orang terludah pada selipar sendiri dengan segala kahak hijaunya, kemudian dia pakai selipar itu dan buat tak tahu saja. Samada dia buat-buat tak tahu atau benar-benar tak tahu, itu kawan eden dan eden tak tahu. Tapi gelinya bukan main, jang oi!

Tentang MAS itu, eden ingat lagi ketika eden naik kapal terbang untuk ke Mesir dulu. Ado pramugari bawa air untuk dihidangkan. Adalah juga arak di situ. Eden dengan kawan eden raso geli yang amat sangat waktu itu. Lalu, dengan selambanya eden dengan kawan eden tanya dia, “Kak , kicap ke tu?”
Kata dia, “Prosedur, adik.”, sambil tersenyum tersipu-sipu.

Eden tengah taroddud lagi samada tahun ini eden nak balik Malaysia atau tidak. Tengah cari tiket yang paling murah sekarang. Harap eden, kalau dapat naik MAS, eden tak nak drama eden yang terlampau dengan pramugari di atas berulang lagi. Takut eden. Udahlah terbang di atas udara. Terapung-apung. Takutnya. Kalau jatuh macammana?

di Australia pun heboh dengan masalah arak (dan masalah yang berkaitan dengan arak; pergaduhan dahsyat tanpa sebab setiap Friday dan Saturday Night, pengederan ecstacy dll) yang makin kronik. alkohol dah menjadi agenda besar Kevin Rudd dan menteri-menteri. kerajaan dan pihak yang prihatin cuba campur tangan dan dah penat berkempen (cukai alcopop, cawan percuma bertanda aras berapa banyak alkohol patut diminum, t-shirt kempen percuma dll) tapi mereka ni pelik lagi keras kepala; masih juga nak minum. siap tulis "surat kepada editor" kenapa rakyat Australia (orang muda khasnya) tidak patut dihalang daripada minum alkohol (dengan hujah yang sangat tidak kukuh). tapi bila fikir balik, mereka ni bukan Muslim.. padanlah. tapi kita ni yang Muslim (Malaysia), kenapa berperangai lebih kurang (kadang-kadang lebih sudu dari kuah) macam mereka ni?
bebepa hari lepas, Mt Isa (Queensland) dicerobohi oleh orang-orang Nothern Territory yang melarikan diri ke situ untuk minum. Sebabnya, alkohol di-ban di NT. herm.. teringin juga, satu hari nanti, nak tengok berita Singapura atau Thailand dicerobohi kaki botol dari Malaysia kerana pengaharaman arak peringkat nasional. =]

p/s:
harap dapat tolong check berita tentang pencerobohan Mt Isa. sebabnya dengar berita sambil masak; takut tersalah dengar.
satu lagi, minta tolong editkan mana-mana yang boleh kerana saya ada megabyte constraint; komen mungkin tidak menyampaikan mesej dengan sepenuhnya dan sebetulnya.

Tanpa Nama

oh, izinkan saya tambah satu lagi. kenapa saya rasa MAS betul-betul mengeksploitasi wanita? kenapa saya rasa mak cik Qantas dan kakak Jet Star pun tidak seseksi dan make-up mereka pun tidak setebal pramugari MAS? kenapa mereka (non-Muslim) lebih tertutup daripada kita (Muslim)? kenapa kebaya dan tidak kebarung atau lebih baik lagi, baju kurung? kalau ada kecemasan, adakah pakaian mereka membantu atau lebih manyusahkan?

p/s:
tiba-tiba teringat keluhan para isteri yang bimbang apabila suami mereka naik MAS. tak tahulah Air Asia macam mana. lebih decent rasanya..
oh, maaf jika komen ini tidak relevan dengan tajuk artikel.

Tanpa Nama

@Izudin Abqori, walaupun eden menyokong kuat cadangan penutupan kilang arak tu, tapi eden rasa tak bijak dan tak berhikmah kalau benda ni dibuat terburu-buru. Mesti ada perancangannya. Benda yang dah wujud sejak sekian lama, jangan terus dicantas bila dapat kuasa sebab kilang arak ini beroperasi secara sah mengikut undang-undang Malaysia. Kita tidak berbincang tentang pusat pelacuran dan perjudian haram.

Ini bukan zaman Nabi yang mana bila sahaja Allah perintahkan arak diharamkan sepenuhnya, terus umat Islam pecahkan tong-tong arak. Yang sedang minum pun terus dimuntahkan arak tu. Malah perintah pengharaman arak ni pun turun di Madinah, yang mana kita sendiri faham bahawa ayat-ayat yang turun di Madinah ini memang banyak berkaitan dengan hukum syariat, setelah ayat-ayat yang turun di Mekah lebih banyak membicarakan tentang pengukuhan akidah Islam.

Jadi kalau kita nak menggesa penutupannya, maka berikan juga cadangan supaya penutupan itu berjalan dengan bijak. Contoh, kalau tutup, apa akan jadi dengan kilang itu? Dirobohkan, atau dibiarkan sahaja begitu?

Jika dirobohkan, apakah pelan pembangunan yang akan dijalankan di situ bagi memastikan ekonomi dan nilai hartanah kawasan sekitarnya tidak terjejas? Buat rumah, buat pasaraya, buat stadium, buat kolej, buat kilang lain?

Jika dibiarkan sahaja, maka sekiranya Pakatan Rakyat kalah pada PRU akan datang, adakah kilang arak ini akan dibuka semula?

Jika mahu kilang ini ditutup, cadangkan juga cara bagaimana pekerja-pekerja kilang arak ini boleh mencari makan di tempat lain, yang gajinya setara dengan yang sedia ada. Ini jangan diabaikan, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi dunia yang sangat tidak stabil.

Ini antara benda-benda yang perlu dibincangkan dan difikirkan. Gesa tutup, gesa juga, tapi jangan lupa berikan alternatif dan pelan transformasi yang bijak.


@Carrotcake, kenapa ekau susah sangat nak faham? Makcik Qantas dan kakak Jet Star tidak seseksi pramugari MAS kerana mereka lebih Taliban dari kita. Eden cuma harap ekau tak baca artikel ni sambil ekau masak.

Menarik.

Sebenarnya eden (tiru bahasa rasmi di sini) ada beberapa perkara yang berlegar tapi hanya sekadar komen ringkas.

Islam itu bukan sekadar satu semangat, ianya perlu kepada ilmu, disiplin ilmu dan manhaj. Ana merujuk kepada apa yang kami belajar dulu. Semasa era menjadi pelajar di Mesir, kita dihimpun dengan hamasah dan ilmu namun kita tidak berdepan dengan realiti. Apabila pulang, pelajar manapun kita belajar untuk memantapkan ilmu, method ilmu dan praktikal. Tentunnya kita tidak mahu menyanggah Sunnah dan hukum.

Ok, ringkasnya apa yang ana dapat observe dari fenomena politik tanah air samada bagi mereka yang cenderung kepada politik, politik kepartian atau tidak hanya satu sahaja. Perlu amat kepada pengukuhan displin ilmu asli turath/klasik, muasir/kontemporari yang mantap.

Contohnya samada ada pilihanraya atau tidak kita perlu tahu ilmu feqh siasah, feqh daulah (kenegaraan), feqh awlawiyat (keutamaan), feqh waqie( realiti/praktikal/semasa). Bukan kerana pilihanraya atau senario politik tanah air sahaja, namun keperluan ummah Islam mematangkan diri dan pergerakan sesuai dengan susur galur SalafunaSoleh disamping membantu Syahadtul Haq yang kita sayang dan cinta. Lailahaillah. Sudah tentu tidak perlu disentuh lagi semuanya kerana hanya untuk Redha Allah.

Samada kita sangat tidak suka akan politik atau sebaliknya bukan isunya. Natijah kefahaman akan menghasilkan tindakan hikmah dan penuh bijaksana.

Bukan isunya ana ulangi disebabkan tsunami politik baru-baru ini. Keputusan hanya sekadar satu musabab (penyebab), sedang isu-isu yang lahir selepas itu merupakan cabaran bagi Muslim di Malaysia.

Allahua'lam.

Tanpa Nama

Menarik!

Kita ni kan suka meniru budaya orang, terutamanya kalau yang datang dari Barat? Kenapa agaknya kita tak tiru perangai keTALIBANan mereka ya? Kenapa kita boleh nampak Islam di Barat sungguhpun "sunyi" daripada Muslim?

Dari sudut yang hampir serupa pula, kita sekarang ni mungkin sedang bergerak ke arah yang lebih baik. Sekarang polis dan jururawat Muslimah dah boleh pakai tudung. Baru² ni, kat RTM pun dah boleh pakai tudung (biarpun stesen JOM HEBOH sendiri dah bertahun dah buat benda ni)!

Satu ketika nanti, saya harap anggota polis lelaki dibenarkan simpan janggut pula. Sekurangnya ada nipis sikit pun jadilah. Tak acilah, simpan misai boleh, simpan janggut langsung tak boleh.

Lepas tu, satu hari nanti, Insya Allah, ada la hamba Allah yang akan mengTalibankan MAS. Dan seterusnya orang zimmi pun paham dengan sepenuhnya konsep Islam.

Daaaan... semoga orang Malaysia sedar, tak semua benda perlu dipolitikkan! ;)

...bersambung...

...sambungan...

Cuma, yang sedihnya, masih ada pulak "champion" dari kalangan orang Islam (liberal?) sendiri dari dalam negara kita ni yang sinis dengan apa saja berbentuk Islam. Yang terkini yang aku ingat, kes baju seragam (kurung) budak perempuan sekolah kita yang kelihatan seksi.

Orang² Islam sebegini ramai, berpendidikan tinggi (dari Barat?), dan sangat berpengaruh (ada blog dan sebagainya). Tulisan mereka menjadi sandaran orang Islam (yang sekepala) dan juga orang bukan Islam yang tak puas hati dengan beberapa cadangan Islamik yang berbunyi keTALIBANan. Boleh terlihat menerusi ruangan komentar di laman² blog mereka.

Ada sampai isu istilah "kafir" pun mereka nak persoalkan penggunaannya. Huui, zaman sekarang ni orangnya yang "bijak" ramai sangat! Aku doakan mereka yang ikhlas berjuang ni, bersabar dan istiqamah dalam apa yang mereka buat. Di samping itu, mungkin juga kita boleh pakat² cari metode yang bagaimana yang kita boleh pakai untuk menarik lagi mereka kepada kita, bukan kepada mereka yang pseudo-Islamik (baca: LIBERAL) ini.

Namun, Insya Allah, kebenaran pasti akan tertegak jua, dan kemenangan pasti berpihak kepada kita. Semoga geng² ini boleh ditangani, dan Islam akan menang.

Takbir!!! =D

@convoy, link "istilah "kafir" pun mereka nak persoalkan penggunaannya", rasanya ada silap tu sebab tak letak url dalam href=" ".

Tu pasal link tu = link artikel ni.

salam..lama weh tak masuk blog anda...kursus punya pasal !

tetiba je jumpa tawel sensei edisi nogori sombilan...bukan kah ekau orang selangor ??

tak kisah mengtaliban tau mengqaidakan...yang penting menepati kehendak Islam..takbir !

Saya cukup bersetuju dgn beberapa pandangan tawel dalam entri ni...hal nak bertegas dalam arak-marak atau waktu operasi pub mahupun kelab malam menunjukkan Kerajaan Malaysia ni agak pondan...lembek dan takut-takut campur bimbang.lepas tu ditunjukkan pula operasi pihak berkuasa menyerbu dan menangkap pengunjung dan pengusaha pub dan kelab malam..atas pelbagai kesalahan...bayar denda sikit, esok lusa buat baliiikk....sampai bila ??patutnya kerajaan boleh bertegas dalam hal ini...sebab yang ditangkap tu melayu Islam pun berlambak. Inilah bahana dalam negara yang majoriti umat islam tapi tidak tertegak undang-undang Islam...yang dirujuk ialah common law ciptaan kuffar barat...jadi jalan penyelesaian yg dipilih tidak menatijahkan hal yang kita inginkan...malah keadaan semakin teruk dan parah...tengok saja kes siti fatimah...saya rasa kita orang islam patut tampar muka kita sendiri!

CARILAH ISLAM UNTUK APA SAJA PENYELESAIAN...KERANA ITULAH SEBAIK-BAIK JALAN

Tanpa Nama

Offtopic:

Sensei, mau tanya sedikit, di tanah UK sane dan negara-negara rasanya ade minuman dipanggil . Non-alcoholic beer. Saya tak pasti ni benar ke tak. Apakah hukum meminumnya kerana menurut sumber ia tidak memabukkan bahkan boleh jadi pemanas badan untuk melawan kesejukkan di sana.

P/S: Tanya sebab tak tau dan tak pernah melihatnya.

Haha, gomen nasai, Sensei-san (lingkup Bahasa Jepun!). Waktu klik preview, dia tak naik amaran pun mengatakan ada masalah tag tak lengkap ka apa ka, tu yang hantam klik publish terus tu!

Ini dia URL yang dimaksudkan itu. Harap kali ni boleh la mengkliknya... ;)

Tambahan: Ini ada kisah menarik mengenai mufti termuda VS. novelis muda (kedua²nya pernah mengelirukan aku dengan fahaman masing²)... B-)

@Yondie, memang ada. Salah satu tujuan non-alcoholic beer ni katanya untuk merawat ketagihan arak. Tapi istilah 'non-alcoholic beer' is an oxymoron. Majoriti non-alcoholic beer ni ada sedikit alkohol dalam tu.

Kalau yang ada alkohol ni, memang sah haram. Non-alcoholic beer ni hanya harus diminum kalau betul-betul bebas alkohol dan peminumnya tak anggap dirinya sedang minum 'arak sebenar' waktu dia minum. Tapi ulama pun tak galakkan minum non-alcoholic beer ni sebab namanya pun dah boleh bawa fitnah.


@Convoy, mari kita lihat sama ada novelis tua dan mufti tua yang lain akan ikut sama dalam 'pertempuran' tersebut.

assalamualaikum, dah lama jadi pembaca senyap, hari ni nak bertanya;

ape beza non-alcoholic beer dengan sparkling?

p.s - mungkin dah tiba masa nya kamu kamu yang pernah/sedang menyaksikan ketalibanan di luar negara pulang ke tanah air diri untuk menjawab tuntutan mentalibankan negeri sendiri, mungkin?

Tanpa Nama

Wa'alaikumussalam Jaed.

Setakat yang saya tahu, Sparkling cumalah sejenis wine. Wine dan beer = jenis-jenis minuman beralkohol yang datang dari sumber yang berlainan. Wine dari anggur dan beer dari barli.

@mfrstudio, baru saya tahu Taliban itu maknanya pelajar. Atau saya yang silap faham?

Beberapa perenggan terakhir mengingatkan saya pada persoalan ini: Berapa RM yang diperlukan bagi sebuah perahu layar untuk bergerak daripada A ke B yang berjarak 100km jika 1km perjalanan menggunakan 1 liter minyak? Oh ya, lupa. 1 liter minyak = RM10. (Diingatkan bahawa ini hanyalah soalan suka-suka, tiada kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah pengsan)

Boleh aje jawab dengan menggunakan logik akal. Tapi kalau lah pihak kapal toghobang MAS memilih untuk ber'matematik' bagi menyelesaikan soalan ini, silakan. Orang matematik selalunya berfikir tentang untung dan rugi. Bercakap tentang untung dan rugi... antara senyuman + layanan yang dapat diberikan secara percuma dan arak yang memerlukan RM, mana agaknya lebih untung? Dan jangan lupakan aspek dunia & akhirat dalam perkiraan untung rugi itu ya.

Orang MAS, jangan ambil pendapat saya ini bulat-bulat ya. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. :)


PS: Setia menunggu kehadiran hantu Taliban di Malaysia.

Assalamu'alaikum

@Jaed
Tambahan kepada penerangan En. Tawel. Term sparkling tu merujuk kepada penambahan Carbon Dioksida [CO2]ke dalam minuman. Penambahan CO2 ini akan memberikan sifat "fizzy" dan menjadikan kelihatan lebih jernih (nampak bercahaya).

Oleh itu, sparkling wine = haram.
Sparkling mineral water = halal.

ada juga sparkling juice (eg: grape juice), yang mana saya tak pasti adakah ia perahan anggur ataupun perahan anggur yang telah diperam (baca: wine).

Kesimpulannya, ke"halal"an sparkling bergantung kepada air apa yang di"sparkling"kan.

Wallahu a'lam

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.