Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label al-quran. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label al-quran. Papar semua catatan

    Peluang Belajar Secara Percuma di Sekolah Tahfiz

    12 Julai 2011 • 14 Komen
    Tadi saya menerima panggilan telefon daripada Ustaz Fauzi, iaitu ustaz lama saya yang kini menjadi pensyarah di KUIS. Beliau baru sahaja membuka sekolah tahfiz di Kampung Baru dan Semenyih dan bertanyakan kalau ada sesiapa yang mahu belajar di situ.

    Oleh kerana saya pun buat masa ini tidak tahu sesiapa yang berminat, maka saya panjangkan pertanyaan beliau itu di sini:

    1. Untuk siapa?
    Kepada 4 golongan sahaja; iaitu anak yatim, faqir, miskin dan mua'alaf. Umur dari 10-14 tahun.

    2. Adakah sebarang bayaran yang perlu dibayar?
    Semuanya percuma. Malah jika pelajar tahfiz itu menunjukkan prestasi yang cemerlang, mereka akan berpeluang untuk dihantar belajar ke luar negara dan ditanggung percuma sepenuhnya.

    Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada Ustaz Fauzi di nombor 019-6455765.

    Oh ya, dan ustaz ini juga kool serta mesra orang muda!

    Ustaz Fauzi yang sedang memandang ke arah mana entah itu di kala kami semua sibuk memandang kamera. Di Glasgow, 2005.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Buku 2: Hipotesis

    13 Disember 2009 • 8 Komen
    Agak jarang membeli buku kebelakangan ini. Gamaknya ada kaitan dengan kesan hipotesis yang saya tweet lebih setahun lalu:

    "99% daripada manusia yang rajin beli buku, tidak akan membacanya sehingga habis. Manakala 80% daripada baki 1% itu sekadar membacanya ala kadar."


    Kalau mahu, gelarlah ia hipotesis kangkung kerana tiada bukti empirik buat masa ini. Tiadalah saya marah adanya.

    Tapi sebelum hendak dikangkung sebegitu rupa, kepada kau-kau berkenaan yang rajin sangat beli buku: Ada atau tidak sekurang-kurangnya 1 buah buku yang dibeli bermusim dahulu - dengan pengecualian terhadap material seperti kamus, ensiklopedia, buku rujukan, manual dan sewaktu dengannya[1]- yang masih belum dilumat isinya dari kulit ke kulit? Atau jika kau baca kesemuanya, boleh atau tidak kau fahamkan kepada orang lain akan isi-isi penting sebuah buku yang selamat kau khatam pada tahun lepas?

    Jangan buat lawak: Buku seperti Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih, Harry Potter dan Twilight, tak masuk pot dalam hipotesis liar itu. Kau juga jangan angau sendiri dengan mendabik dada kerana membaca paling kurang 24 buah buku setahun, tetapi bila ditanya apakah ia, majoritinya dari spesis fiksyen tulen.

    Apa pun, definisi membazir ini mudah sahaja. Beli tapi tak guna, maka itulah membazir. Namun tidak seperti kau memborong baju dan kasut berpeti-peti, tiada siapa akan menuduh kau terjelopok di dalam lubang konsumerisme apabila kau membeli buku berkati-kati tapi tak habis dibaca. Sebabnya, ia adalah pembaziran termulia di atas muka bumi ini [2].

    Rugi, bila beli tapi tak baca! Ruginya macam sekadar membelek sahaja 3 course dinner yang kau pesan di Burj al-Arab. Dalam nada yang lebih provokatif: Ruginya macam kau kahwin tapi tak tidur sama.
    ---

    Ada Buku 3. Dulu sudah ada Buku 1.

    Nota Kaki

    ^[1] Bukan semua buku yang dibeli harus dibaca dari depan sampai belakang. Sir Francis Bacon mengungkapkannya dalam bait yang lebih baik:
    Some books are to be tasted, others to be swallowed, and some few to be chewed and digested: that is, some books are to be read only in parts, others to be read, but not curiously, and some few to be read wholly, and with diligence and attention.

    ^[2] Jenis yang paling mulia di kalangan pembaziran termulia ini adalah apabila buku yang dibeli itu adalah al-Quran. Tapi ini bergantung kepada situasi. Contoh:
    • Beli al-Quran yang sangat mahal dan cantik untuk hantaran kahwin. Namun sesudahnya, langsung tidak disentuh.
    • Sedekahkah al-Quran untuk surau atau masjid yang mana jumlah al-Quran yang sedia ada itu sendiri sudah berkali-kali ganda berbanding purata jemaah yang hadir. Lagi baik kau sedekah sahaja kepada masjid/surau itu dalam bentuk duit. Kalau mereka rasa al-Quran tidak cukup, pandai-pandailah mereka beli.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Belajar Membaca al-Quran Dalam Masa 23 Jam

    04 September 2008 • 21 Komen
    Seperti biasa, bila Ramadhan menjuihkan anak bulannya, kita tetiba mendapat aura untuk membaca al-Quran sebanyak yang mungkin. Carian tentang 'Quran' paling kerap berlaku pada bulan yang permulaannya rahmah, pertengahannya keampunan dan penghujungnya adalah pelepasan dari api neraka.

    Gambar statistik carian al-QuranSumber dari Google Insights. Keputusan ini hanya melibatkan carian di Google.com sahaja. Puncak paling tinggi yang ditandakan dengan bulatan merah, berlaku pada awal permulaan Ramadhan.


    Orang dewasa yang masih merangkak-rangkak membaca al-Quran pun sedikit-sebanyak mahu turut sama menambahkan pahala. Ada 2 sebab utama mengapa lidah mereka masih perlu merangkak di kala kaki sudah pun pandai berlari:
    • Pertama kerana semasa kecil dahulu ibu bapa kurang menekankan didikan agama kepadanya;
    • Kedua pula kerana sudah tidak pernah membacanya lagi sesudah mereka menyantap pulut kuning sewaktu majlis khatam al-Quran di sekolah rendah dahulu.

    Apa pun, yang lepas sudahlah. Sekurang-kurangnya mereka ini ada azam untuk memperbaiki bacaan al-Quran. Ini sudah tentu jauh lebih bagus dari anak dara yang tiba-tiba mahu melancarkan semula bacaan al-Quran kerana majlis perkahwinannya itu nanti akan diserikan dengan majlis khatam al-Quran yang harus disertainya.

    Namun bagaimana sebenarnya mereka yang masih merangkak ini, mahu menjadikan bacaan al-Quran mereka lebih lancar dan betul pula tajwidnya?

    Cara terbaik sudah tentunya berguru dengan orang yang lebih arif dan pakar. Cuma masalahnya sifat kita sebagai manusia ini, semakin tua, semakin tinggi ego kita. Bila ego tinggi, segan juga sebenarnya untuk meminta tunjuk ajar tentang perkara-perkara asas dalam agama.

    Jadi untuk mengurangkan ketebalan muka, mungkin ada yang akan belajar membaca al-Quran melalui tutorial VCD. Saya sebenarnya sangat skeptikal dengan kaedah VCD jika ia tidak disertakan dengan proses pembelajaran dari 'the real teacher'. Seorang kenalan mak saya, yang pada mulanya bersemangat mahu belajar al-Quran dari mak saya, tiba-tiba membatalkan hasratnya kerana katanya dia sudah membeli satu set VCD belajar membaca al-Quran.

    Hal ini membuatkan saya musykil. VCD apakah yang mampu meyakinkannya untuk berguru dengan Ustaz VCD yang sudah tentu tidak dapat menyemak bacaannya nanti. Saya meng-Google untuk mencari mana-mana kedai siber yang menjual VCD belajar membaca al-Quran. Saya jumpa beberapa produk. Ada buatan Malaysia dan Indonesia.

    Dari Malaysia, ada satu produk yang mampu mengajar kita membaca al-Quran dalam masa 24 jam. Dari Indonesia pula, ada produk yang menjanjikan bisa (boleh) membaca al-Quran dalam masa 1 jam walaupun seseorang itu masih belum lagi mengenal huruf. Produk Indonesia lebih dahsyat! Situasi ini mengingatkan saya kepada buku Sams Teach Yourself CSS in 24 Hours yang pernah saya beli.

    belajar al-quranBoleh Membaca al-Quran Dalam Masa 24 Jam?

    Belajar x Dalam Masa y Jam

    Berdasarkan tajuk, buku itu seakan-akan menjamin saya mahir CSS dalam masa 24 jam. Namun sebenarnya ia bersifat hiperbola - ia sekadar satu sensasi untuk melariskan jualannya. Setelah khatam, saya mendapati jika buku itulah yang menjadi guru saya sepanjang masa, maka CSS saya akan selamanya melukut di peringkat beginner.

    Apa yang saya tahu, di samping membaca banyak tutorial dan artikel tentang CSS di internet, saya juga perlu menelaah beberapa lagi buku-buku lain untuk membolehkan saya memahaminya di peringkat advanced. Kesemua ini memerlukan masa yang jauh lebih lama dari 24 jam!

    Lalu saya menyedari bahawa tiada satu pun ilmu yang kita boleh menguasainya dalam masa x jam/hari/bulan/tahun. Mengatakan bahawa sesuatu ilmu itu boleh kita kuasai dalam tempoh masa yang tertentu adalah sesuatu yang tidak wajar. Ini ibarat kita mengatakan bahawa kuantiti ilmu bagi sesuatu bidang itu adalah bersifat tetap dan tidak merangsang kita secara pra-sedar untuk mendalami ilmu yang kita pelajari itu sedalam yang boleh. Penggalian ilmu, tak kiralah ilmu berkaitan Islam atau pun bukan, adalah berlaku sepanjang hayat.

    Saya boleh faham jika syarikat yang menghasilkannya memberikan alasan 'untuk tujuan pemasaran'. Ada benarnya juga hujah ini. Para pembeli berkemungkinan besar akan membeli produk yang bernama 'Belajar Membaca al-Quran Dalam Masa 24 Jam' berbanding 'Belajar Membaca al-Quran' atau pun 'Belajar Mengaji Bersama Ustaz Daud'.

    Namun cuba fikir elok-elok. Katakan kita masuk ke sebuah kedai. Di kedai itu ada menjual 2 jenis produk minuman teh pengurus badan. Produk teh A membawa slogan 'Kini anda boleh langsing dalam masa 30 hari!' Slogan produk teh B pula 'Kini anda boleh langsing dalam masa 20 hari!' Kedua-dua produk A dan B ini mempunyai tanda harga yang sama. Maka yang mana satu kita akan beli? A atau pun B?

    Situasi ini sama seperti produk VCD belajar membaca al-Quran itu. Setelah lebih kurang 4 tahun saya belajar membaca al-Quran sewaktu berada di sekolah agama (rendah), barulah saya boleh membaca al-Quran dengan lancar dan tidak terlalu lintang-pukang tajwidnya. Jika masa yang sebegitu lama boleh dikontotkan menjadi 24 jam, maka apa pula yang menghalangnya dari dikontotkan lagi menjadi 23 jam, 15 jam dan 10 jam? Produk dari Indonesia itu membawa mesej bahawa dengan usaha dan fokus, kita sebenarnya boleh belajar al-Quran dalam masa 1 jam sahaja!

    Maka berhati-hatilah dengan apa jua jenis produk yang menjamin anda boleh melakukan atau belajar perkara x dalam masa y jam/hari/bulan. Produk-produk yang bernama sedemikian boleh memberi maklumat yang salah kepada pembeli. Mengapa? Kerana bukan semua orang mempunyai kemahiran belajar dan menyerap maklumat yang sama.

    Walaubagaimana pun, dalam kes belajar membaca al-Quran ini, saya tetap juga menggalakkan agar membeli tutorial dalam bentuk VCD bagi sesiapa yang masih di tahap merangkak. Dengan syarat, jangan lupa juga untuk berguru dengan orang yang lebih arif dari kita.

    Sebagai penutup, semoga di era yang mana wujudnya sebilangan umat Islam yang lagaknya seperti para imam mujtahid, kita hanya boleh berharap agar tiada buku Belajar Berfatwa Dalam Masa 24 Jam yang bakal diterbitkan suatu hari nanti!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Pegang Al-Quran Tanpa Wudhuk

    19 April 2006 • 17 Komen
    Saya perhatikan, begitu banyak tulisan-tulisan yang membincangkan tentang hukum menyentuh Al-Quran tanpa wudhuk. Selalunya ia akan membawa kepada kekeliruan dan kecelaruan fiqh bagi orang awam. Perdebatan untuk 'menghalalkan' memegang mushaf Al-Quran tanpa wudhuk ini hanya akan menambahkan lagi isu remeh dalam dunia Islam yang sudah pun bertimbun-timbun.

    Oleh kerana saya sedar hampir 100% yang datang ke blog ini adalah orang awam - dan tiada para Imam mujtahid atau ulama besar yang melawat blog ini, maka adalah lebih mudah dan selamat untuk saya menulis bahawa: Hukum menyentuh Al-Quran tanpa wudhuk adalah haram. Inilah pegangan dari keempat-empat mazhab - baik mazhab Hanafi, mazhab Maliki, mazhab Shafi'i dan juga mazhab Hanbali. Pendapat yang membolehkan memegang Al-Quran tanpa wudhuk dalam keadaan tidak darurat, maka ia bukanlah dari pendapat majoriti ulama.

    Maka saya menyeru agar perdebatan yang tidak signifikan itu dihentikan. Berdebat pada perkara yang menjadi ijmak ulama adalah perbuatan yang sangat membuang masa - lebih-lebih lagi bagi orang awam seperti kita semua. Allahu 'alam.

    Bagi yang faham Bahasa Inggeris, boleh baca artikel sokongan:

    ¶ Teruskan membaca entri ini »