Back to home page

Pusara Di Pilihan Raya

14 Februari 2008 • 20 Komen Cetak Chenta!
Jika diukur dari segi kesedaran, maka sebenarnya pengundi hanya ada 3 jenis sahaja. Sama ada mereka manusia, hantu atau pun zombie:
  • Pengundi bertaraf manusia - mereka adalah pengundi yang menggunakan intelek dan kebijaksanaan anugerah Ilahi semasa proses memangkah kertas undi. Peratusan pengundi ini agak sedikit. Syabas kepada pengundi jenis ini.

  • Pengundi Hantu - mereka adalah pengundi yang benar-benar sudah berada di alam Barzakh, tetapi nama mereka masih kekal di dalam daftar pengundi. Kewujudan mereka adalah satu enigma yang menggugat ketelusan dan kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Contoh yang menimbulkan tanda-tanya.

  • Pengundi Zombie - mereka biasanya adalah pengundi yang terjatuh dalam perangkap psikologi yang dinamakan Kesan Bandwagon (Bandwagon Effect). Mereka juga biasanya tidak menerima maklumat yang cukup tentang kelebihan dan kekurangan setiap parti/wakil yang bertanding, yang mana ia biasanya terjadi disebabkan sifat media yang berat sebelah. Pengundi Zombie biasanya membentuk kumpulan majoriti pengundi di mana-mana sahaja berlangsungnya pilihan raya.


Jika pihak pembangkang di Malaysia amat risau tentang kewujudan Pengundi Hantu, namun saya pula lebih risau tentang Pengundi Zombie. Intelek mereka ketika mengundi adalah separa sedar; tidak mati dan tidak pula hidup. Mereka memangkah Parti ABC kerana kawan mereka juga memilih Parti ABC. Mereka cenderung ke arah Parti XYZ kerana arus media perdana sentiasa memaparkan keburukan Parti ABC sahaja.

Seperti juga komputer zombie yang mana sistem pengoperasiannya adalah di bawah kekuasaan hackers, maka pilihan yang dibuat oleh Pengundi Zombie juga biasanya hanya dipengaruhi oleh sebelah pihak yang lebih dominan sahaja.

Seperti mana juga makhluk zombie yang tidak faham sama sekali mengapa mereka perlu memakan otak manusia untuk terus hidup, maka Pengundi Zombie juga tidak faham sama sekali bahawa mengundi tanpa mendapat maklumat yang adil tentang kesemua pihak yang bertanding adalah racun kepada sistem demokrasi.

JIKA ADA PENGUNDI ZOMBIE

Proses menyedarkan Pengundi Zombie ini adalah sesuatu yang agak rumit. Selagi mereka sendiri tidak berusaha untuk mendapatkan maklumat tentang wakil/parti yang akan dipilihnya nanti, maka selagi itulah mereka kekal hidup di alam Zombie.

Saya tidak tahu berapa banyak Pengundi Zombie yang sedang membaca tulisan ini. Jika anda baru sahaja sedar bahawa anda sebenarnya adalah Pengundi Zombie dan mahu pula kembali ke pangkal jalan, maka ini nasihat saya: "Selidik siapa calon yang bakal anda undi nanti, tidak kira apa pun parti yang mereka wakili." Buktikan bahawa bangsa Malaysia lebih berkesedaran daripada bangsa Amerika, seperti yang pernah saya petik kata-kata Stephen King dahulu:
I mean, I know people who can tell you who won the last four seasons on American Idol and they don’t know who their fu**ing Representatives are.

Saya bukan mencadangkan anda untuk menyelidik apakah hobi, warna kegemaran, makanan kegemaran, tinggi, berat badan, dan sebagainya tentang calon-calon pilihan raya yang bakal bertanding di kawasan anda nanti. Sebaliknya, selidik dan kajilah apa yang telah mereka sumbangkan kepada masyarakat.

Mungkin di ambang pembubaran Parlimen yang bakal berlaku tidak lama lagi, maka agaklah sukar dan tidak sempat untuk kita menyelidik segala-galanya tentang seseorang calon pilihanraya itu. Maka di saat ini, ingin saya memberitahu bahawa Google adalah kawan baik yang kita ada. Saya mencadangkan supaya anda menggoogle moral dan akhlak calon berkenaan.

Kata kuncinya? "______ skandal seks", "_______ rasuah", "_______ korupsi", dan sebagainya. Isikan tempat kosong dengan nama calon yang anda ingin google itu. Kemudian, gunakan intelek anda untuk menentukan sama ada patut atau tidak untuk memangkah calon tersebut.

MORAL DAN AKHLAK PEMIMPIN

Di dalam sesebuah negara yang terdiri dari pelbagai lapisan bangsa dan agama ini, mungkin kita tidak boleh jadi terlalu syadid dalam isu kontroversi seperti "Bolehkah kita mengundi calon yang bukan Islam?" Saya berfikiran mudah. Jika Calon A yang beragama Islam, tetapi buruk akhlaknya dan tidak tahu pula buat kerja, dan Calon B yang bukan Islam, tetapi bermoral tinggi dan molek pula prestasinya, maka saya tidak akan teragak-agak untuk memilih Calon B.

Saya menekankan bahawa moral dan akhlak adalah aset terpenting bagi seseorang pemimpin kerana jika pemimpin itu baik, maka rakyatnya akan baik. Jika pemimpin itu adil, maka rakyatnya akan adil. Pemimpin adalah simbol ikutan utama rakyat. Maka sebab itu salah satu strategi dakwah Rasulullah dan pendakwah di zaman lampau adalah dengan menyebarkan mesej Islam kepada para pemimpin dan orang-orang besar terlebih dahulu. Pernah dengar tentang surat-surat yang Rasulullah utuskan kepada Heraclius, Khosrau II, Negus (Raja Abyssinia), Muqawqis, al-Mundhir bin Sawa (Gabenor Bahrain) dan Harith Gassani?

Kira-kira 2 bulan lepas pula, saya membaca sebuah artikel yang bertajuk A Question of Blame When Societies Fall dan semenjak itu saya menjadi sungguh paranoid apabila membaca berita-berita keruntuhan moral dan pencemaran alam sekitar. Mungkin ini masanya pemimpin negara kita untuk betul-betul memantapkan pembangunan rohani rakyatnya dan juga berusaha untuk mengurangkan pencemaran alam.

gambar keruntuhan tamadun moral
Eh, tapi kenapa ya parti-parti politik di negara kita tidak begitu berminat untuk membuat manifesto yang mampu mengurangkan kesan-kesan pencemaran di Malaysia? Padahal manifesto seperti itu mampu mempengaruhi undi rakyat-rakyat di negara maju seperti US dan UK dalam angka yang sangat signifikan.

Apa pun, jangan biarkan masa depan agama, bangsa dan negara kita ditentukan oleh Pengundi Zombie dan Pengundi Hantu yang akan bergentayangan dengan banyaknya di pilihan raya akan datang. Pilihan raya bukan pusara untuk mereka! Shooh shooh, pergi masuk balik dalam kubur.

---
TENGOK-TENGOK


6 Jangan Untuk Politik


---
NOTA: Ini bukan artikel politik untuk membasuh otak sesiapa. Jika mahu komen, pastikan jangan ada unsur-unsur mencarut dan maki-hamun. Komen dari anonymous yang bersifat provokasi, berkemungkinan besar tidak akan dilayan. Terima kasih!

20 Komen Tambah Komen↴

alhamdulillah..nasihat yg baik untuk anak2 muda yang bakal keluar mengundi buat pertama kali..mereka boleh pilih untuk masuk pengundi kategori mana

Tanpa Nama

(Hee.. yang pertama)

Tak ramai pemimpin yang buat manifesto tentang pencemaran sebab rakyat Malaysia kan dah biasa dengan sikap "Tak Apa".

Begitu juga dengan pengundi-pengundi zombie, "tak apalah kalau orang tu menang, dia kan dari parti XXXXX". Hehe.

Buatlah pilihan yang paling tepat. Cuma sekali je dalam 5 tahun. Hehe.

assalamua'laikum. nak copy & paste artikel ni kat yahoogroups boleh x?

Tanpa Nama

Terima kasih farhan dan zyedz untuk pandangan yang diberikan :)

Kak Mardiah, tidak ada masalah.

tapikan tetap syia cakap jujur syia malas nak mengundi.. pengundian kat Malaysia bagi syia tak telus lagi lepastu syia rase parti pembangkang cam tak nampak kredibiliti.. masalahnye.. cam mana nak buat pilihan bile senarai pilihan pun smue macam tak boleh di percayai ? :)

Salam .. artikel yang sememangnya sentiasa fresh dari tawel sensei.. kepada kawan2 undilah dengan bijaksana bukannya dengan perasaan.. saya nak komen sikit mengenai akhlak seorang pemimpin... pernah saya bertanyakan kepada ustaz saya mengenai hal ini dan ustaz saya mengatakan sekiranya kita hendak memilih seorang pemimpin sesama muslim pilihlah seseorang yang mempunyai ciri2 kepimpinan, dan sekiranya bakal pemimpin itu adalah antara seorang muslim dan bukan muslim jadi hendaklah kita memilih yang muslim walaupun akhlaknya tidak sebaik yang bukan muslim kerana 'sebaik2 orang kafir itu adalah seburuk2 orang muslim'. Terdapat juga dalam surah 'Ali Imran ayat 28 yang bermaksud 'Janganlah orang2 yang beriman menjadikan orang kafir sebagai pemimpin melainkan orang2 yang beriman.... hingga akhir ayat'. WAllahu'alam.
Saya tidak arif dalam bidang ini apatah lagi nak mensyarahkan/ menafsir Al-Quran mahupun kritik. Saya sekadar berkongsi apa yang telah saya pelajari. Sila betulkan saya jika saya salah.
Keep up the good work sensei.
Selamat mengundi semua :)
wassalam

budaktakpandai

Tanpa Nama

Ish ish..macam tu la pula kesnya. Tapi biasalah dalam politik ni. Jarang kita dapat jumpa yang betul-betul telus.

Apapun kalau semua yang bertanding nampak dah tak boleh dipercayai lagi, maka choose the lesser of two evils. :)

Saya boleh paham kot kenapa ada lg masyarakat yg xnak ngundi, terutamanya dgn sistem kebobrokan pilihanraya yg sedia ada.

Tp bila dihujahkan satu pihak tidak berkredibiliti, maka tidak layak memerintah adalah bg sy xboleh dijadikan hujah langsung. Ini kerana kita perlu melihat apa yg ingin diperjuangkan (misi, visi dan content), lebih daripada memperhujahkan apa yg dilihat oleh mata dan aspek luaran orang yg berkata cth, aspek pemakaian, untuk menentukan layak atau tidak mereka memimpin.

Dalam kes ini, sy tidak mengkategorikan akhlak spt perlakuan maksiat, rasuah dan sebagainya sebagai aspek luaran kerana ia jelas menzahirkan pendirian seseorg.

Personally, saya rasa mengundi adalah kewajipan setiap individu kerana siapa yg bakal memerintah berkait rapat keatas hak2 saya sebagai rakyat berdaulat. Maka, sy tidak akan memperjudikan masa depan sy, hak saya, kepada undi2an mereka termasuklah 3 golongan pengundi2 yg kita tahu diatas. Saya perlu mengundi!

Khalas, apa2 pun, ini pendapat saya semata.

Tanpa Nama

Budaktakpandai, terima kasih atas komen. Tapi saya percaya bahawa kata-kata ustaz dan juga ayat al-Quran itu, memerlukan huraian dan perdebatan yang sangat panjang lebar, di samping perlu juga melihat keadaan semasa dan di mana kita sedang berada.

Sebagai contoh, bagaimana pula dengan pesan Nabi yang melarang kita daripada mengamanahkan sesuatu perkara pada yang bukan ahlinya? Malah sejarah juga pernah menyaksikan ramai pemimpin bukan Islam yang bermoral tinggi, dan sejarah juga pernah menyaksikan kewujudan para pemimpin beragama Islam yang kejam dan bersifat diktator.

Sebagai misalannya, saya lebih rela jika Abraham Lincoln menjadi Perdana Menteri Malaysia berbanding Saddam Hussein. Dan di antara Lincoln dan Mahatma Gandhi, saya memilih Gandhi.

Rose, selamat mengundi! :)

Terima kasih Tawel Sensei berkenaan info Bandwagon Effect. Ilmu baru yang dapat dikutip hari ini.

Saya akan lebih bertenaga dengan segala "vitamin" yang Tawel Sensei hadiahkan. Terima kasih.

Pengundi Zombie ini tiada ubatnya. Kalau dilihat dari filem Barat, hukumnya tembak dengan senapang gajah. Pastikan saudara-mara kalian tidak terjangkit dengan virus Zombie ini. hehe..

P.s: pertama kali menitik komentar sejak sekian purnama merahsiakan jejak. haha..

Tanpa Nama

Kasihmu diterima! Terima kasih atas komen yang pertama ;)

Salaam semua,

Hmm... demam pilihanraya gamaknya...

Ada satu lagi jenis pengundi yang sensei tak sebut iaitu pengundi mati, iaitu pengundi yang hidup dan layak tapi tidak mendaftar atau melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi. Termasuk juga dalam golongan ini seperti jenis lalang, melentok ke mana angin bertiup tanpa melakukan apa-apa untuk mengubahnya.

Buat syia,
Maaf kiranya agak kasar, tetapi kerana sikap "malas-nak-mengundi" anda, anda telah mengakibatkan mereka yang tidak layak, menjadi pemegang teraju kepemimpinan tanpa anda melakukan apa-apa. Perumpamaannya seperti anda rela membiarkan seorang yang tidak mempunyai lesen menerbangkan pesawat memandu kapalterbang yang akan anda naiki.
Fikirkanlah, mungkin kerana satu undi anda itu dapat mengubah suasana yang tidak anda kehendaki itu...
Ataupun cuba pula anda bergerak lebih aktif, menyedarkan orang lain tentang "kredibiliti" yang anda fikir layak untuk seseorang calon/wakil...
Ingatlah, sunnah alam tetap berlaku samada anda bersikap aktif (dengan berusaha melakukan sesuatu untuk berlakunya sunnah itu) ataupun pasif (menerima apa saja tanpa melakukan apa-apa pun).

Buat budaktakpandai,
Ayat di dalam surah yang anda petik itu (al-Imran:28) secara penuhnya bermaksud
"Janganlah orang-orang mu'min mengambil orang-orang kafir sebagai wali dengan meninggalkan orang-orang mu'min. Barangsiapa berbuat demikian, nescaya lepaslah ia dari pertolongan Allah, kecuali kerana (siasat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu dari diri (siksa)-Nya. Dan hanya kepada Allah kembali (kamu)".
Saya bukan seorang yang ahli, tetapi perkataan yang digunakan di sini ialah "mu'min" - bermaksud orang-orang yang beriman; agak spesifik dengan golongan ini.
Mungkin saudara perlu memberi penekanan berkenaan ciri-ciri mu'min itu. Sebagai contoh: adakah termasuk golongan ini orang Islam yang terang-terang membenarkan kemaksiatan berlaku (dengan memberi lesen judi dan arak contohnya)? Ataukah termasuk golongan ini orang Islam yang terang-terang meninggalkan hukum Allah SWT (dengan meninggikan hukum buatan manusia contohnya)? Bagaimana pula mereka yang mengucap dua kalimah syahadah, tetapi dengan sedar atau tidak (jahil atau bodoh) mengambil ilah yang lain selain Allah SWT?
Mungkin sensei boleh membuat artikel tentang ini kemudian... ;-)
Mungkin saudara perlu bertanya lebih lanjut dengan ustaz tadi, bolehkah kita menjadikan golongan tadi, ataupun orang fasiq atau jahil atau munafiq sebagai wali? Jika tidak... apa yang sepatutnya kita lakukan?

Suasana politik sekarang ni diberikan penekanan tentang generalization saja. Contohnya, tidak kira siapa yang menjadi calon atau wakil, yang penting undi parti. Perlu diingat, pengundian cara ini memberi kuasa kepada sesiapa yang "own the party"; bukannya calon/wakil yang kita pilih untuk mewakili kita, yang sepatutnya peka tentang masalah dan kebajikan setempat yang diwakilinya. Penekanan cara ini adalah satu cara melahirkan "pengundi zombie" yang sensei terangkan dalam artikel di atas.

Sedihnya, penularan fenomena "zombie" ini juga berlaku kepada anak-anak muda yang bakal mewarisi negara ini. Penularan yang amat berleluasa sekali seperti sogokan bermacam-macam propaganda dan hiburan melalui media massa dan media prima agar "zombie-zombie" ini terus leka dan khayal dari realiti sekeliling mereka... di samping menekankan masalah pemimpin dan kepemimpinan itu hanya untuk orang-orang politik! Maka lahirlah golongan yang "ambik-tak-kisah" dengan MASALAH BESAR ini, dengan aneka ragam alasan yang cuba mereka berikan...

Buat renungan semua, wassalaam...

Tanpa Nama

assalamualaikum....
cerita pasal pilihan raya pula.... saya nak jadi pengundi yang paling rasional dan boleh menilai yang mana patut diundi auatu tidak... rasanya selain pengundi mati, boleh juga masukkan lagi satu kategori pengundi iaitu
pengundi serba-salah: yang mendaftar sebagai pemilih, tetapi tak pernah mahu menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengundi atas alasan; tersepit antara dua persimpangan dan tak tahu mana yang terbaik dan serba salah. kalau undi yang sedia ada, dalam hati setuju yg lain. nak undi yang lain, kang tak fasal2 kena buang kerja @ kena tukar @ ditarik balik biasiswa... jadi akhirnya memilih menjadi rakyat yang memegang prinsip sebagai pihak yang berkecuali.

kedua pengundi tidur: daftar pemilih, tapi tak keluar mengundi.. katanya tak tahu menahu tentang keadaan semasa sambil berkata "politik tak penting, tak payahlah susah2 nak balik kampung semata-mata untuk mengundi. buat penat je... undi tak undi, hidup kita tetap sama, tiada yang berubah. dalam kata lain, pengundi jenis ini tak sedar kepentingan pilihanraya dan siapa kerajaan, yang penting keperluan sendiri lengkap...

Tanpa Nama

Salam.

Waduh, terkezut membaca tajuk ni. "Pusara". Dok terbayang ada mangsa korban pada hari pilihanraya, macam kat Pakistan nun. Rupanya lain skop entri ni, hah!

Oh ya, hamba setuju dengan pembahagian kategori tu. Zombie tu memang bahasa "lembut" bagi "hidup segan mati tak mau", hahah!

Depa ni sama la dengan golongan yang tak mengundi, konon "boikot" la tu. Setuju dengan nama yang diberi oleh inasni; Pengundi MATI, hah!

Ada satu lagi pulak jenis pengundi, tak pasti dia ni nak masuk kategori mana, tapi dia jenis yang merosakkan undi. Dia pi pangkah semua.

Ada la pelbagai alasan, ada yang macam pengundi MATI tadi, "boikot"

Ada pula yang mendapati dirinya berada di kawasan yang dia tak suka dengan semua calon yang bertanding. Jadi dia tak tahu nak pilih yang mana satu lesser evil sebab dua²nya bagi dia sama taraf keevilannya.

Kasian kan orang camtu?

Oh, ada pulak yang tak dapat mengundi sebab bertugas. Dia dah daftar, tapi hari mengundi, dia terpaksa bertugas, kawasan mengundinya pulak nun jauh di tempat lain, ha, yang ni pulak kategori pengundi apa ya?

Apahal pun, terpaksalah bertahan menonton TV pada musim pilihanraya ni. Terutamanya di stesen rasmi tu. Kempennya, ya ampun, memualkan. Anda beruntung tak perlu menonton TV, hahah!

Selamat Mengundi!

Makin dekat dengan pilihanraya makin banyak jugalah popupx2 dlm pidgin saya yg menyeru supaya mengundi parti yg kita sedia maklum. Tak undi parti tesebut membuktikan kita ni, lemoh iman ,, or tak cukup Iman dan sebagainya. Sian saya dala memikirkan dilema ini.

Tawel Sensei,

Just wondering sahaja, mengapakah konsep politik di tanah air kita lebih kepada konsep "vote for the party not for the person itself". Pada hemat saya, saya lebih menyukai system pengundian ala Amerika. (Maaf lah yer pembaca blog bukannye saya suke kekejaman mereka) tapi yang menarik , dua individu dari parti yang sama boleh bertanding antara satu sama lain.

Perkara ini boleh dikatakan sebagai killng two birds with one stone as each individual candidates can improve their manifest , legacy blax3 while building the image of the party that where they belongs. (Skandal, rasuah, konspirasi tu topik lain. )

P/S: Brother nanti ngundi pakai Undi Poslah eh. hehe kalau lah Undi Pos leh taruk gpg encryption tak jadilah undi tu undi rosak/hantu/hilang/silap parti

Oh apa? Undi pos? Tengoklah kalau SPR boleh buat 128-bit encryption pada kertas undi pos tu ;)

Yondie, sebabnya di Amerika, apabila Ron Paul (dari Parti Republikan) yang sangat menentang Patriot Act yang dicipta oleh Bush (yang juga dari Parti Republikan), maka Ron Paul tidak akan dituduh sebagai pengkhianat parti.

Jadi jawapan kepada persoalanmu itu ialah, politik kita masih belum matang. Ahli politik kita masih sukar untuk menerima hakikat bahawa "mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik."*

Pinjam kata-kata blogger sultanmuzaffar.

Haha, pihak tentera pula bukannya boleh mengundi sendiri, sebaliknya pihak atasan yang "tolong undikan" untuk mereka. Bayangkan berapa banyak undi "percuma" yang mereka sudah sumbangkan pada pihak tertentu?

Ya, sistem politik kita belum matang, biarpun orang kita, pada hemat hamba, peratusan "sedar" politiknya mungkin lebih tinggi daripada di Amerika.

Agaknya benarlah sistem politik kita bersikap `asobiah?

Ai, mujur tak jadi rakyat Amerika. Mereka dibenci seluruh dunia. Muslim di sana pun terkena tempiasnya bila orang dunia kata "Hancoq Amerika", sebab mereka pun rakyat Amerika yang cintakan negara Amerika juga.

Mujur lagi tak jadi rakyat Amerika yang penuh dilema. Nak sokong siapa calon Presiden ni, ramai sangat! Nak cari "the lesser evil" mesti jadi lagi susah. Padahal parti cuma ada dua ja, hah! Parti Keldai dan Parti Gajah (betulkan kalau hamba tersalah lambang bendera mereka, heh!).

Dulu rasa macam sokong gak Barack Hussein Obama Jr tu. Ada sorang blogger Muslim Amerika, memang sokong sesungguh hati dia ni. Tapi sekarang hamba rasa macam dia ni Pro-Israel, macam yang lain la pulak, ohoho...

Convoy:

"Haha, pihak tentera pula bukannya boleh mengundi sendiri, sebaliknya pihak atasan yang "tolong undikan" untuk mereka." [citation needed]

Nak citation ka? Hoho, citation rasmi memang tiada, tapi secara mulut-ke-mulut la, dari orang yang bekerja sendiri sebagai tentera, atau (orang awam) yang bekerja dengan tentera.

Pernah terjadi, sorang ahli politik kita, punya jawatan tinggi la, dia sepatutnya kalah, tapi dimenangkan dengan undi tentera. Inipun tiada citation jugak ni. Jangan marah... ;)

Masukkan ja dalam kategori "hearsay"... erm... eh, betul ka ek?

amat neutral,tahniah. sila lawati laman saya :
http://bayu-subuh.blogspot.com/

Tanpa Nama

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.