Back to home page

Belum Sampai Ajal

26 Februari 2009 • 21 Komen Cetak Chenta!
Sewaktu botol susu masih kerap diulit di genggaman, saya nyaris-nyaris ditegur oleh Izrail sebanyak tiga kali.

Pertama kerana kecuaian. Sedang saya ralit dipangku oleh kakak yang paling saya manja padanya, tiba-tiba pangkuan itu terlerai. Maka jatuh menjunamlah saya ke dalam parit yang letaknya sangat bersebelahan dengan tempat kakak melabuhkan punggungnya. Lumpur parit yang kehitaman telah melumuri kulit putih saya dengan sederas bersin. Segerombolan lumpur itu pula berjaya melolosi mulut; dan saya pun kecungapan.

Kakak pula hanya mampu mengebilkan dua kelopak matanya kerana dia sibuk tergamam cuak. Mujurlah mulutnya masih punya kudrat untuk melaungi ibu di dalam rumah. Jiran terdekat, iaitu Wak Suradi sekeluarga, agak jauh rumahnya. Saya mungkin menjadi bahan berita akhbar pada keesokan hari jika ibu -- iaitu satu-satunya orang dewasa yang ada di rumah pada waktu itu -- lambat menyelamatkan saya.

Kali kedua pula adalah kurang dramatik berbanding yang pertama, namun plotnya hampir sama: Saya terjatuh lagi ke dalam parit. Cuma bezanya, kali ini saya tidak dapat mengawal badan akibat terlalu asyik bercangkung di tepi parit sambil tangan saya memukul-mukul permukaan airnya dengan sebatang lidi halus. Seperti yang pertama juga, saya hampir lewat diselamatkan.

Kes ketiga pula agak berbeza; ia berkaitan dengan apa yang saya makan. Ketika kecil, ada beberapa bulan di mana ibu tidak punya cukup wang untuk membelikan saya susu tepung lembu yang lazim dinikmati oleh bayi-bayi manusia. Daya kekreatifan ibu tiba-tiba menjadi aktif: Akibatnya susu pekat berjenama Dutch Lady yang menjadi antara rencah teh tarik, telah dijadikan gizi alternatif.

Susu pekat ini harus ditambahkan dengan sedikit air bagi mengurangkan kelikatannya. Saya masih ingat lagi sewaktu di sekolah rendah, keluarga saya ada membela dua ekor kucing yang bernama Putih dan Hitam. Mereka berdua ini sangat suka meminum susu pekat yang telah dicairkan seperti apa yang pernah saya nikmati dahulu.

Diet bidaah seperti itu lama-kelamaan menjadikan perut saya gendut. Saya ada gambar ketika saya gendut. Sekilas pandang terhadap gambar tersebut, kegendutan saya nampak seperlima daripada kegendutan perut kanak-kanak mangsa kebuluran Afrika yang sering kita lihat di media massa. Seperti juga mereka, saya sekadar gendut; dan tiadalah saya berisi apatah lagi gemuk. Kegendutan ini menjadi ciri fizikal saya yang sangat unik ketika kecil, sehinggakan Gendut ternobat sebagai antara nama timangan saya. Ada jiran yang berterusan memanggil saya Gendut sehingga sekarang. Baru-baru ini, apabila saya mengirim SMS kepada kakak dengan menggunakan nombor telefon saya yang baru, dibalasnya dengan pertanyaan "Ni siapa? Gendut ke?".

Kegendutan yang berpunca daripada diet susu pekat Dutch Lady ini pada mulanya dilihat sebagai satu lelucon. Namun semakin hari ia menjadi semakin tidak kelakar apabila saya makan tetap makan, minum tetap minum, tetapi keluarnya hampir tidak pernah: Saya sembelit. Ibu membawa saya berjumpa doktor, lalu diberikan ubat. Kesannya, penghijrahan keluar segala apa yang telah lama tersimpan di dalam badan itu, akhirnya lancar mengikut sunnah manusia yang normal.

Apabila susu pekat masih terus menjadi diet utama saya, sembelit itu datang lagi dan kali ini ia lebih kronik. Sehinggalah pada suatu hari, saya pengsan lalu terkulai layu. Badan saya menjadi biru. Ahli keluarga ada yang menangis-nangis kerana menyangka saya sudah pun pergi dulu. Sangkaan itu nyata merapu kerana saya masih terus bernafas walau sudah lebih dua dekad tragedi itu berlalu.

Bila dan Bagaimana Kita Mati?

Kisah saya yang nyaris-nyaris mati sewaktu kecil, tidak pernah saya tahu melainkan setelah ibu menceritakannya kepada saya. Pengalaman peribadi ini -- walau saya tiada langsung memori tentangnya -- makin mengukuhkan kepercayaan saya bahawa kita tidak akan mati kalau belum sampai ajal. Bahkan bagaimana kita mati itu pun sudah ditentukan Allah sejak azali lagi.

Realiti tersebut memang sudah terlalu masyhur di benak kita. Untuk betul-betul yakin pula, sebenarnya tidaklah terlalu memerlukan kita untuk memiliki keimanan di tahap wali. Kekadang ketidakyakinan ini telah membantutkan beberapa perkara yang kita mahu cuba di dalam hidup.

Saya mengenali seseorang yang pada mulanya bersungguh-sungguh mahu mendapatkan lesen kereta. Hujahnya agar mudah menuju destinasi tanpa perlu menyusahkan suami. Bila lesen sudah di tangan, hatinya tiba-tiba berubah. Kini katanya dia takut memandu kereta kerana risau mati kemalangan.

Alasan ini ada benarnya. Bukan Malaysia namanya jika tiada kemalangan maut yang sangat mengerikan pada setiap hari. Hishamuddin Rais, pernah sekali membayangkan bahawa jalan raya di Malaysia ketika tibanya musim-musim perayaan, adalah lebih maha bahaya daripada medan pertempuran di Fallujah sewaktu berlangsungnya misi Bush untuk mencari WMD di Iraq.

Namun setelah hampir RM 1000 dilaburkan untuk mendapatkan lesen kereta, kemudian enggan memandu sampai bila-bila kerana gusar mati kemalangan, maka ini jelas berkait-rapat tentang kekaburannya terhadap konsep ajal dan musibah. Buatlah apa jua untuk mengelak daripada memandu, namun kalau Allah kata bahawa nyawa akan dicabut melalui kemalangan jalan raya, maka ia wajib berlaku. Contoh, kita tumpang kereta kawan, kemudian dilanggar lori balak; lalu mati semua yang ada di dalam kereta.

Mungkin saya perlu menenteramkannya dengan memberikan statistik bahawa lebih ramai manusia yang mati disebabkan sakit jantung, kanser dan strok berbanding kemalangan jalan raya. Dengan itu mudah-mudahan dia akan lebih menjaga pemakanannya.

Kebarangkalian untuk mati kerana sakit jantung ialah 1/5, kanser 1/7, strok 1/24 dan
kemalangan motokar 1/84. Statistik ini benar bagi negara Amerika Syarikat pada tahun 2004.


Selain itu, mengukuhkan kepercayaan kepada konsep 'tak akan mati kalau belum sampai ajal', amatlah penting terutamanya di kalangan masyarakat kita yang cenderung berkereta [1]. Apabila ditanya kepada mereka yang memiliki kereta dan motosikal tentang mengapa memandu bersendirian [2] ke tempat kerja sedangkan kalau bermotosikal ia akan jadi lebih cepat, jimat, dan mesra alam; rata-rata menjawab bahawa 'motosikal tidak selamat dan mudah ditimpa kecelakaan'.

Jawapan cliché seperti itu buat saya naik musykil. Benarkah mereka lebih cenderung berkereta kerana ia lebih selamat? Kalau melihat kepada statistik kemalangan bagi setiap tahun di negara kita, penunggang motosikal memang paling banyak ditimpa musibah jalan raya. Fakta ini semestinya telah membenarkan dakwaan mereka itu.

Atau mungkinkah juga faktor ego turut ada peranannya? Menurut ibu saya [3], sehari selepas harga minyak naik dalam jumlah yang sangat besar pada bulan Jun 2008 yang lepas, bunyi deruman enjin-enjin kereta yang dipandu melintasi jalan di hadapan rumah, agak kurang berbanding hari-hari sebelumnya. Ini bermaksud, mereka yang kerap menggunakan kereta sebelum ini, telah kembali kepada motosikal demi menjimatkan duit minyak.

Nah, jika keselamatan yang lebih diutamakan, bukankah lebih rasional jika kereta terus dipandu walaupun harga minyak melambung tinggi? Apabila harga minyak murah, kita mengatakan bahawa menunggang motosikal itu berbahaya. Sebaliknya apabila harga melambung, mengapa kita boleh pula memperjudikan nyawa dengan bermotosikal, yang sebelum itu didakwa sebagai sangat berisiko tinggi?

Adakah dengan memilih untuk mengutamakan penggunaan kereta dan bukannya motosikal, maka kita berasa bahawa darjat kehidupan sudah lebih tinggi berbanding mereka yang bermotosikal? Mungkinkah ini semua adalah manifestasi kepada suatu fenomena di negara kita bahawa kenderaan terlalu melambangkan status dan ego penggunanya?

Kadang-kala untuk memenuhi ego memiliki kereta yang jauh lebih selamat itu, saya secara peribadi pernah mengetahui individu yang sanggup berhutang dengan along untuk dijadikan bayaran deposit pembeliannya. Benar, berdasarkan angka statistik, motosikal tidak selamat berbanding kereta. Namun kalau sudah sampai berhutang dengan along, ini memang sahih tidak selamat sekeluarga, lagi tiada tenteram hidup dalam jangkamasa yang panjang. Akibatnya dia sekeluarga terpaksa lari ke kampung setelah rumahnya disimbah cat merah, di samping diganggu dengan ugutan-ugutan lain yang mengharukan.

Maka mari kita merenung semula perkara asas berkaitan takdir. Apabila kita sudah mengambil langkah-langkah keselamatan sewaktu menunggang motosikal, patuh kepada segala undang-undang; lalu jika kita kemalangan juga, maka memanglah itu sudah satu suratan takdir. Andai Allah sudah menetapkan bahawa kita mati dengan sebab musibah motosikal, maka gunakanlah kereta sekerap mana sekali pun, bila tiba detiknya, kita akan tetap mati dengan sebab motosikal juga.

Kapal terbang dikatakan sebagai alat pengangkutan paling selamat di dunia, namun ia masih boleh terhempas! Justeru itu apa yang penting, berhati-hatilah ketika berada di jalan raya. Bahkan, 96% daripada kecederaan dan kematian daripada kemalangan adalah hasil kegagalan manusia itu sendiri ketika berada di atas jalan raya [4]. Bukan sebab kereta, bukan sebab motosikal; sebaliknya sikap kita yang macam sial di jalan raya, yang selalu mengakibatkan kemalangan di pihak anda dan pihak lain yang tidak berdosa.

Saidina Khalid bin al-Walid, merupakan seorang sahabat Rasulullah, telah terlibat dalam begitu banyak peperangan untuk menegakkan Islam sewaktu hidupnya. Semua orang bersetuju bahawa medan perang adalah satu wilayah yang sangat berbahaya dan penuh dengan kematian.

Oleh yang demikian, bukankah sesuatu yang amat ganjil apabila Khalid bin al-Walid telah meninggal dunia di atas katil kerana sakit, dan bukannya dek kerana dibelah pedang, ditusuk lembing mahu pun ditembusi anak panah? Menangis beliau ketika sakit terlantar di atas katil kerana hajatnya untuk mati syahid tidak kesampaian.

Kita pasti wajib bernafas selagi ajal belum sampai.

Al-Fatihah kepada anak jiran saya yang meninggal dunia kerana demam denggi pada tahun lepas. Bua pengetahuan, anaknya ada 4 orang. 2 orang diserang denggi; seorang lelaki dan seorang perempuan. Si anak lelaki kena lebih teruk, namun takdir Allah memutuskan bahawa si anak perempuan untuk dijemput pergi.
---

Nota Kaki

^ [1] Kereta tetap tidak boleh dinafikan kepentingannya. Ia adalah suatu komoditi yang memudahkan kita melakukan perjalanan jauh dalam masa yang lebih pantas. Walaupun begitu, kebergantungan yang terlalu tinggi terhadap penggunaan kereta peribadi untuk ke mana sahaja akan merencatkan pertumbuhan industri pengangkutan awam di sesebuah negara seperti bas, keretapi dan trem.

Apabila nisbah kereta:penduduk bagi sesebuah kawasan semakin meningkat, nilai matematik ini wajib dilihat sebagai amaran bahawa keadaan trafik di tempat tersebut akan menjadi semakin sesak, dan ia boleh lumpuh jika tiada tindakan susulan.

Tiada negara maju di dunia ini yang selekeh khidmat pengangkutan awamnya melainkan di Amerika. Itu pun kini Amerika baru menggelabah untuk memperbaikinya. Negara membangun seperti Malaysia, amat kurang orang politiknya yang sedar tentang betapa pentingnya untuk memajukan sektor yang amat kritikal ini. Sila baca tulisan saya yang berkaitan: Halangan #3: Bahana Konsumerisme dan Individualisme. Tulisan ini adalah tentang halangan-halangan yang menyebabkan basikal sukar dibudayakan di Malaysia.

^ [2] Kata kunci di sini ialah "bersendirian". Ini bermaksud di dalam artikel ini, saya menyentuhnya dalam konteks pengguna kereta yang sering memandu seorang diri sahaja.

^ [3] Betul atau tidak, saya tidak dapat memastikannya kerana saya tidak berada di Malaysia pada masa itu. Namun secara normal, sepatutnya begitulah natijah kenaikan besar-besaran harga minyak dunia.

^ [4] Panduan Pembelajaran Kurikulum Pendidikan Pemandu, diterbitkan oleh JPJ.

21 Komen Tambah Komen↴

Post yang menarik.. Pantang maut sebelum ajal. tepat dengan tulisan ni. Orang tengah main bola pom boleh mati
http://www.youtube.com/watch?v=tm8EXGDZcZo

pandangan saya bagi kematian...
kematian bkn ditentukan tuhan semata-mata,
manusia juga mempengaruhi kematian...
analoginya... seperti satu titisan hujan yang mahu jatuh diatas sebuah kereta yang bergerak laju... keljuan jatuhan itu harus mempuyai peluang dgn kelajuan kereta itu juga (kamiran atau intergrasi), jika kelajuan nya x selari maka kejadian "titis hujan jatuh diatas bumbung kereta yg laju" tidak terjadi...

walaubagaimana pon, kuasa tuhan adalah segalanya...
yang baik di katakan sbg miracle manakala yg diaanggap buruk dikatakan sbg sial...

salam..
lama jugak anda tidak update blog anda..
menunggu-nunggu saya..
perihal hampir ajal itu...
saya ada juga pengalaman saya....
sewaktu kecil..
saya disahkan mempunyai darah beku di kepala...
lalu diperlukan untuk dibedah untk mengeluarkannya....
xke hampir kepada ajal tuh???????

perihal kereta.....
bapa sy sdah 5 tahun tidak membawa sy dengan motornya...
skarang kereta shj,,,
dan the worst nightmare...
MINYAK!

assalamualaikum sensei!
tak kalah kalau bab lama menyepi dari blogging ye. hehe

cakap pasal mati syahid, teringat dgn satu cerita dekat madinah. ada orang tu terjun dari bangunan tingkat berapa entah, tapi tinggi gila la. alasan dia sebab nak mati dekat madinah (boleh tak? =/) tapi ditakdirkan lepastu dia tak mati pun. cuma patah riuk segala sampai jadi OKU sampai bila2. huhu

cuba tak nak bayang cara mati macam mana yang paling dasyat =(

erm, menurut Wikitravel, Malaysia mempunyai jaluran lebuhraya yang sangat mantap. Dan, menurut perhatian, orang Arab mempunyai gaya memandu yang sangat menggila dan entah apa-apa. Er, lebuhraya usahkan disebut.

Erm, tapi, yang hairannya, itulah, apakah ini kerana kecuaian sistem pendidikan pemanduan di Malaysia atau apa? Jalanraya di Malaysia sangat berbahaya. Aiseh.

Tapikan Tawel, ingin mengelakkan kecelakaan bukan hanya bermaksud mengelakkan kematian. Kalau terlibat dalam kemalangan tapi tak mati, lagi susah. Kalau mati, susah sakit dalam alam barzakh. Tapi, kalau tak mati, masa nak tunggu sampai azab alam barzakh itupun ada azab alam dunia. Kaki patah sini tangan patah sana. Bukan?

Salam.
Nota kaki nombor 4 tu macam tanda ada orang tengah ambil lesen je?
Maklumlah, adalah pulak manusia yang saja sengal-sengal baca buku Panduan Pembelajaran Kurikulum Pendidikan Pemandu untuk memenuhkan masa lapang? Hehe...

Sikit pedas bila baca perenggan minyak naik, kereta kurang. Memang tiba-tiba saya rajin naik KTM. Hehe. Tapi itu pun sama lambat macam naik kereta laju-laju lepas tu tersekat dalam jam. Huh.
Point saya disini? Tak ada pun.

Ok2. Saya setujulah kalau dah takdir, tengah main buaian pun boleh kiok tapi, bila fikir-fikir balik, peratusan patah riuk sana-sini lebih tinggi kalau kemalangan masa naik motor sebab "terbuka" sangatlah. Kalau kiok terus takpe, terus mati. Ni tak.
Menahan sakit, slow and -painfully- steady. Ishk.
Kalau hidup, berbaloilah juga. Walaupun mungkin ada kesan tinggalan sejarah. Kalau tak? Abeh boreh (buek bubur) yo...

Ha... Syukur awak selamat. Pantang maut sebelum ajal.
Ada cadangan. Tukar nama nak?
Gendut Sensei? Sempena awak selamat. Hehe...
Ok2...gurau je...
Hehehe...
:P

ajal tu xakan awal dan xkn pula dlewatkan...

mm..knape kalo mnum susu dutch lady tu jd kmbung perut ek?
ade alasan saintifik?

cerita yg menarik dan lucu..huhu...
tp tersirat dgn seribu satu (ayat lazim) mkna dan erti kematian...

Salam Tawel...

Ooo.... dah balik ke sarang rupanya. Patutlah lama tak menulis.

Erm... Ajal, kalau dah sampai masanya, masa tidur pun Izrail akan datang mengheret roh keluar dari badan.

Ada tak statistik yang menunjukkan penunggang* motosikal lelaki lebih banyak kemalangan berbanding penunggang perempuan? (*penunggang, bukan pembonceng ye!)

Pssttt... gendut masa kecil ye? Kak su menjangkakan bila dah kawin nanti Tawel akan mengulangi sejarah lama, tapi mungkin bukan di sebabkan sembelit minum susu Dutch Lady lagi, tapi kerana tak mampu menolak hidangan masakan isteri yang enak-enak... ;)

betul la kete lg slamat dr moto...
sy slalu je sakit ati ngan moto yang menyelit dgn lajunye mse 'jam'
tak pk keselamatan sndr...
huhu

Salam. Tawel, kamu benar mengingatkan saya pada masa yang tepat. Baru sahaja memasang niat mengambil lesen kereta kerana membayangkan yang diri ini mudah saja tercampak jika menaiki motosikal. Tambahan, mengikut logik akal kereta yang beroda empat pasti mempunyai kestabilan yang lebih tinggi berbanding motosikal yang beroda dua.

Mati itu pasti, masa dan tempat saja kita tak tahu. Kenapa la boleh lupa konsep ni. Aih...

PS: Gendut? :D

salam. lame x memberi komen. i shared similar story regarding terjatuh dlm parit. well, for me, it was lubang takungan darah sembelihan kerbau. yucks, huhu. yeah, and alhamdulillah, belum sampai ajal, my dad managed to catch my legs, cause i was head down. huhu. second time, my sister, terjatuhkan i from kerusi, die tengah dukung, i cried only for few seconds, then terus senyap, my mom started panicking, bwk hospital, cuak2. sekali tu, i woke up slumberly from my sleep ang gigles, nasib baik x sempat admit, kalu x kene plak dok hosptal x pasal2. :D

Assalamualaikum Tawel setelah lama tidak bertemu di blogospera ini. Lama betul berhibernasi.

Tak sangka betul dalam stastistik kematian itu boleh ada sebab kematian yang diakibatkan oleh sengatan tebuan, sedangkan yang mati akibat patukan ular tak ada pula. Sudahlah Abqori amat takutkan ular. Waktu balik ke Malaysia hari itu pun, satu-satunya yang amat-amat Abqori harapkan adalah janganlah bertembung dengan ular-ular ini.

Sebut fasal sembelit, ada tak siapa-siapa yang tahu ubat sembelit yang paling berkesan di Bumi Anbiya ini? Siapa-siapa yang tahu nama ubat itu, tolonglah beritahu ya.

Abqori rasa entri Padang Jawa itu eloklah diberi nafas baru dengan meletakkan gambar-gambar yang bersangkut-paut dengan tempat berkenaan. Seronok membacanya. Rasa nak terus terbang ke Malaysia dan singgah sebentar di Jalan Mat Raji untuk membeli kad topup untuk simkad Celcom Abqori yang sudah hampir tiga bulan tak ditopup. Risau betul nanti nombor itu mati.

Apa-apa pun ajal dan maut tetap di tangan Tuhan. (baca : kekuasaan Tuhan. Takwil lah perkataan itu sementara orang-orang Wahabi belum sedar bahawa mereka juga masih menyebut-nyebutnya.)

assalamualaikum... betl, kalau belum ajal mmg takkan mati.. sorg pesakit sy tu, budak lelaki umur 8 tahun, datang ke hospital dah tinggal nyawa2 ikan, berbulan2 duduk icu, badan bengkak tak ada rupa dah... hujung2 jari kaki & tangan semua dah gangrene..harapan tu 50-50.. tp alhamdulillah..umur dia panjang.. skrg dah bleh bangun berlari mcm budak2 lain..

tp masa kecik2 dulu encik tawel dgn parit mcm tak boleh dipisahkan.. he he

anonymously anonymous

refreshing...:)
welcome home

Salam semua dan terima kasih kepada yang membaca dan memberikan komen! Hehe maaf lambat luluskan dan mungkin tak dapat balas semua komen yang ada.

@Sarah Alia Sarim, eh dahsyat tu ada darah beku di kepala. Macam mana boleh ada? Jatuh ke? Harap-harap bukan sebab selalu letak kepala dalam peti ais dah la ye. Hehe gurau saja.

@Kaamyl Fauzi, ye memang lama menyepi. Eh tapi bila tukar nama ni. Mana dulu yang 'laysat bikameelah' tu? (Eh betul ke eja?). Hehe. Err jadi orang tu sebenarnya cuba 'bunuh diri' la kan? Ish, ish..

@Harizh, sebenarnya sikap kita di jalan raya yang jadi penentu. Ini antara komplen orang putih bila mereka melancong ke Malaysia.

@susu dan biskut, eh saya baca saja apa-apa buku! Hakhak! Eh pedas ke? Siapa isi minyak lebih, maka dia akan terasa lajunya!

@j_hafiz, heh tak pasti pula apa sebab saintiknya. Mungkin kesannya lebih kuat sebab saya kecil lagi masa tu agaknya.

@suara, aiseh apa ni nak ada pembezaan statistik kemalangan penunggang lelaki dan perempuan. Sexisme betul la! Hehe. Tapi seenak mana pun hidangan isteri saya tu nanti, pantang gendut sebelum masanya.

@noorena, kenapa mudah tercampak? 'Ringan sangat ke?' :D

@mardiah, hehe salam juga Kak Mardiah. Lama tak nampak. Eh tapi Kak Mardiah ni macam hampir senasib dengan saya saja. Tapi mujurlah masih tetap hidup sampai sekarang :)

@Abqori, wa'alaikumussalam. Proses hibernisasi ni akan berlangsung dalam tempoh yang agak lama lagi. Huhu. Eh tapi kena ingat juga yang statistik tu untuk Amerika. Mungkin juga tak ada sebab di sana tak banyak ular berbisa. Hehe kenapa mahu ubat sembelit? Kalau petua dari Bumi Anbiya tu saya tak pasti la pula. Tapi biasanya yang saya perasan, kalau banyak minum neskopi dan makan benda pedas, memang senang sahaja ia meluncur keluar esoknya! Tapi ini khusus dan unik untuk saya sahajalah rasanya. Aduh tentang Padang Jawa tu, memang hamba ingin buat seperti yang dicadangkan. Namun kena tunggu idea, inspirasi dan masa untuk datang yang sikit payah.

@Anonymously anonymous, memang betul saya dan parit macam tak dapat dipisahkan. Bila saya dah besar dan bersekolah rendah, seingat saya sekurang-kurangnya 3 kali saya jatuh parit gara-gara memanjat pokok jambu batu yang tumbuh tegak merentasi parit tu. Hehe.

@Bubble, eh okairi nasai!

Kak su nak kan statistik tu sbb nak tunjuk kat abg (my hubby) yg penunggang wanita lebih cermat memandu motosikal berbanding dgn lelaki... mana tahu kot-kot dia benarkan kak su menunggang motor semula ke... :D

Pantang gendut sblm masanya ye? Haha... tak pe. Bila sampai masa tu, rasanya kegendutan tu payah nak direversekan kembali... walaupun selepas cirit birit. ;)

Apabila tiba ajalmu, takkan dilewatkan ataupun dipercepatkan walau sesaat. stand by lah dgn amalan buat bekalan

Assalamu 'Alaikum....


Subhanallah, izinkan hamba yang ini menulis sepatah dua patah kata, demi sebuah niat untuk menjalin silaturahmi dengan akhii dan ukhtii yang mengunjungi blog ini. Sebagai pribadi biasa saya ucapkan terima kasih kepada pengelola blog ini, yang senantiasa menulis tentang nilai-nilai keislaman.

Aslkm,helo,erm nice blog ler,erm nk ajak tuan rmh atau sesape je dtg ke kenduri blog sye ni di http://chipmunk18.blogspot.com ,n jgn lupe linkkn blog ni yer,ok bye

salamullahialaik..!!

manfaat post ni..konklusinya.."manusia tidak bisa melarikan diri walau ke dlm lubang cacing daripada ajal nya...." bagi mata kasar ana yg rabun la..

ana nk mintak satu request bley tak?? buat post yg manfaat tntng qiamat dan imam mahadi..isu bab imam mahadi berdo'a yg mineral dan minyak tiada di dunia ini lagi..tyme perang BESAR umat islam ngan kaum kafirin.. manusia pakai pedang, anak panah ngan tembok. x pakai senjata pistol etc.

serius aku/ana mntk ni..kasi kesedaran kiamat diambang kita..wallahua'lam..

[13 may..tragedi bumbung sekolah ,bmbg jalan kaki tercabut dan bumbung2 lain krn hujan lebat tanda Allah ksi peringatan..insaf!!]

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.