Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label jalan-jalan. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label jalan-jalan. Papar semua catatan

    Sepanyol: Epilog

    26 Ogos 2005 • 4 Komen

    Selamat tinggal! Ada rezeki kaki saya akan ke sini lagi. Gambar di ambil berdekatan dengan Masjid Cordoba.


    Maka tamatlah sudah kisah tentang Sepanyol ini. Alhamdulillah :) Lega rasa. Tapi semalam tiba-tiba teringat yang saya terlupa untuk ceritakan tentang pengalaman saya berjumpa, berbual dan tinggal sebumbung dengan seorang pemuda berbangsa Isreal semasa di Madrid. Hmm..tengoklah nanti-nanti kalau ada kelapangan, akan diceritakan.

    Apa pula nak tulis lepas ni ye? Entah le..tengoklah dulu. Kalau nak tulis pasal tempat lain pun, mungkin bukan tentang tempat-tempat di Eropah. Tapi di mana? Tengoklah dulu.. Tapi yang penting, pos bersifat travelogue akan diberhentikan dan akan disambung bila saya melawat ke tempat-tempat yang signifikan untuk saya ceritakan kepada sesiapa sahaja yang mahu membaca dan melihatnya.

    Apapun, saya ingin berehat buat beberapa ketika. Ingin menjamu suasana musim panas yang sudah semakin menyembunyikan dirinya. Apakah saya masih punya waktu? Lihat kalendar dan jenguk ke langit. Wahai musim panas, sila jangan lari dahulu.

    spain map
    Bandar-bandar yang telah dilawati: Barcelona, Cordoba, Granada, Seville, Madrid dan Toledo. Gambar ihsan dari Lonely Planet.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXXVI: Gambar Masjid Lama

    23 Ogos 2005 • 2 Komen
    Ada 2 masjid lama sahaja yang saya jumpa di Toledo. Pertama: Mezquita del Cristo de la Luz atau dalam bahasa Inggeris dipanggil Mosque of Christ of the Light. Kedua: Mezquita de las Cornerias.

    Mezquita del Cristo de la Luz


    Inilah dia masjidnya.



    Bentuk senibinanya pasti mengingatkan kita pada Masjid Cordoba. Boleh rujuk pos dulu-dulu tentang Cordoba.


    Entah kenapa ada perkataan "Christ" pula di situ apabila diterjemahkan. Saya pun bingung. Tapi apa yang penting ia bukan nama asal masjid tersebut. Ia mendapat nama apabila kuda yang ditunggang oleh Alfonso VI ketika Toledo tumbang pada tahun 1085, terjatuh berdekatan dengan masjid ini.

    Cuma apa yang pasti, pada asalnya ia adalah sebuah gereja Visigothic. Kemudian ia ditukar menjadi sebuah masjid apabila Islam datang. Dan apabila Toledo jatuh ke tangan Kristian, ia telah ditukar menjadi sebuah gereja. Sebenarnya tidak banyak sejarah yang diketahui tentang masjid ini. Jadi saya pun tidak dapat mengulas dengan lebih panjang. Tapi apa yang penting, masjid ini telah dibina dalam tahun 1,000.


    Sebatang palang Kristian di atas masjid ini. Perhatikan juga pada bahagian bawah gambar terdapat inskripsi tulisan Arab - barangkali ia adalah dari ayat-ayat suci Al-Quran.



    Pelik betul dengan gambar ni. Berkali-kali tangkap tapi tetap ada kesan gegar.


    Nak masuk ke dalam masjid ini kena bayar EUR 1.50. Tapi saya tak masuk sebab ia dah tutup - malam saya melawat Toledo adalah Christmas Eve. Jadi kebanyakkan kedai dan tempat melawat ditutup lebih awal dari biasa.


    Masuk kena bayar!

    Mezquita de las Tornerias

    Masjid yang ini pun tidak banyak sejarah yang diketahui. Saya pun tak dapat jumpa sejarahnya. Tetapi memang agak sukar untuk mencari masjid ini kerana senibinanya yang hampir sama dengan bangunan-bangunan lain. Kena perhatikan betul-betul baru dapat berjumpa.

    Masjid ini percuma sahaja untuk masuk. Tak perlu bayar. Tapi saya tak masuk juga sebab ia sudah ditutup lebih awal.


    Memang susah nak bezakan masjid ini dengan bangunan-bangunan lain.



    Masuk percuma sahaja!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXXV: Sejarah Bandar Toledo

    18 Ogos 2005 • 2 Komen
    Untuk bercerita tentang sejarah sesebuah bandar bukanlah satu kerja yang mudah. Tetapi untuk memampatkan sejarah sesebuah bandar di dalam tulisan yang serba ringkas adalah satu kerja yang lebih memeritkan. Maka, saya saya rasa cukuplah kalau saya mempersembahkan sejarah Toledo dalam inti yang sangat mudah, ringkas dan senang difahami.


    Toledo adalah sebuah bandar yang kaya dengan binaan bangunan-bangunan lama.


    Toledo adalah sebuah bandar yang sangat tua. Ia sudah wujud sebelum zaman Roman lagi. Pada mulanya, ia diperintah oleh orang Barbarian sebelum ia diambil-alih pula orang-orang Visigoth [1]. Maka ia telah menjadi satu bandar Visigothic yang utama.

    Selepas satu peperangan yang bernama Perang Guadalete pada tahun 711, orang-orang Visigoth telah meninggalkan bandar Toledo, dan ini menjadikan Toledo di bawah tampuk pemerintahan Islam pada tahun 712 sehinggalah tahun 1085. Zaman pemerintahan ini menyaksikan kemakmuran bandar Toledo yang tidak pernah disaksikan sebelumnya.

    Namun demikian, pada 25 May 1085, Alfonso VI dari Castille telah menawan bandar ini - dengan itu, berakhirlah dominasi Islam di bandar ini. Namun demikian, orang-orang Islam masih lagi dapat tinggal di bandar ini sehinggalah tahun 1492.

    Bandar Toledo adalah bandar pertembungan di antara 3 agama yang memiliki kebudayaannya yang tersendiri. Islam, Kristian dan Yahudi dapat duduk sebumbung bersama-sama. Mereka hidup dalam aman-damai dan sama-sama menyumbang ke arah kekayaan dan kepelbagaian budaya di bandar ini. Kesannya masih lagi dapat dilihat pada hari ini - iaitu pada senibina bangunannya.

    Malah, pernah sekali saya terjumpa satu loket unik yang dijual di kedai cenderamata. Pada loket itu terdapat ukiran bulan sabit, bintang David dan palang Kristian. Kata penjual di kedai itu, ia adalah simbolik kepada sejarah bandar ini.


    Tengok gaya macam orang Red Indian.



    Di sebuah kawasan tinggi.


    Dikatakan juga bahawa Toledo adalah bandar Hebrew pertama di Sepanyol. Dianggarkan terdapat dalam 12,000 orang-orang Yahudi yang tinggal di Toledo pada waktu itu. Namun demikian, pada kurun ke-14 (tahun 1300-an), masalah mula timbul di antara orang-orang Yahudi dan Kristian. Akhirnya pada tahun 1492, Raja Katolik telah menyingkirkan orang-orang Yahudi dari Toledo. Tidak lama selepas itu, nasib yang sama turut menimpa orang-orang Islam.

    Begitulah serba-ringkas tentang sejarah Toledo. Beberapa perkara lagi yang perlu diketahui tentang bandar ini ialah bandar ini terkenal dengan hasil buatan alatan dan senjata besinya, terutama sekali hasil buatan pedangnya yang bermutu tinggi. Dikatakan seni pembuatan pedang ini telah diperkenalkan oleh orang-orang Arab, dan seni itu terus berkembang sehinggalah ke hari ini.

    Apa pun, kalau nak beli cenderahati, belilah di Toledo kerana ia jauh lebih murah dari di tempat-tempat lain di Sepanyol (Rasa menyesallah pula beli banyak cenderahati di tempat lain sebab di sini memang murah).


    Dalam hidup kita, selalu ada persimpangan - yang baik dan yang buruk. Berhati-hatilah dalam membuat pilihan.

    Nota Kaki

    [1] Visigoth adalah ahli-ahli dari sayap barat kumpulan Goth yang telah meninggalkan Rome dan kemudian telah membentuk satu kerajaan di kawasan Sepanyol dan selatan Perancis. Goth yang dimaksudkan di sini ialah "orang-orang German yang telah menyerang Empayar Rome sewaktu zaman awal Era Kristian".
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXXIV: Stesen Keretapi Toledo

    15 Ogos 2005 • 0 Komen

    Stesen Keretapi Toledo.


    Stesen keretapi ini sangat klasik dan unik. Ia dikatakan menyerupai stesen-stesen keretapi di bandar-bandar kecil yang dibina di Amerika Syarikat sekitar abad ke-19. Stesen Keretapi Toledo ini telah dibina pada tahun 1920.

    Saya tiba di stesen keretapi ini pada satu pagi yang agak dingin. Suhu di sini pada waktu tersebut adalah sekitar 10 darjah celcius. Oleh kerana lokasi pekan Toledo yang berhampiran dengan Madrid, maka kami membuat keputusan untuk tolak hari sahaja. Malam ini kami akan pulang semula ke Madrid.

    Oleh kerana pada waktu kami pergi, stesen keretapi ini masih lagi dalam proses menaiktaraf, maka kami terpaksa turun di satu stesen sebelum stesen Toledo. Kemudian, ada bas yang akan membawa kami untuk meneruskan perjalanan ke Toledo. Dan kami diturunkan di hadapan stesen keretapi Toledo.

    Walaupun ia merupakan stesen keretapi utama pekan Toledo, namun udara persekitarannya amat tenang. Hanya ada 2 ubah kaunter sahaja yang dibuka. Ia mungkin disebabkan Toledo adalah sebuah bandar yang tidak terlalu sibuk, maka stesen ini turut terkena tempias ketenangan Toledo itu sendiri.

    Saya sukakan stesen ini. Ia dibina dengan tangan dan hati yang sukakan kepada keindahan sebuah senibina lama dan antik.


    Sebuah jam yang sudah tidak berfungsi lagi.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXXIII: Atocha Dibom, Kami Terselamat

    13 Ogos 2005 • 0 Komen

    Nasib baik kami tak naik keretapi ini.


    Memang nasib baik. Allah masih panjangkan usia saya. Kalaulah keretapi itu yang saya naik, mesti dah jadi arwah sekarang ini. 191 orang mati dalam kejadian letupan di Stesen Keretapi Atocha tersebut. Alhamdulillah.

    Namun demikian, sebenarnya saya tidak berada di stesen tersebut pada waktu kejadian pengeboman itu. Jadi di manakah saya?

    Sebenarnya pada waktu itu saya berada di Dublin. Pengeboman itu berlaku pada 11 Mac 2004. Saya pergi ke Sepanyol pula pada bulan Disember 2004. Jadi saya terselamatlah kan? :)

    Gambar itu dicedok dari Reno Gazette-Journal. Mengikut apa yang saya baca, kes pengeboman di Madrid ini dilakukan oleh rangkaian pengganas Al-Qaeda. Ada teori lain mengatakan pihak ETA. Buatlah penilaian sendiri.

    Sejak kes pengeboman di London baru-baru ini, kes Atocha hidup semula. Mungkin sebagai satu pengingat bahawa aktiviti pengganas kini sudah mula berpindah ke Eropah pula.


    Gambar ini diambil bukan di Sepanyol, tapi di London. Stesen King's Cross adalah salah satu stesen yang dibom dalam kejadian letupan di London baru-baru ini.


    Sebenarnya, saya sendiri jadi bingung mengapakah kawalan sekuriti di stesen keretapi Atocha begitu hebat. Malah sehingga memerlukan askar-askar bersenjata untuk mengawalnya. Malah, sistem kawalan keselamatannya hampir menyerupai seperti apa yang ada di lapangan terbang. Beg-beg yang dibawa akan diimbas terlebih dahulu sebelum boleh dibawa masuk ke dalam keretapi. Hal ini tidak berlaku di stesen-stesen keretapi yang lain.

    Sewaktu ingin pulang ke Barcelona, saya turut menggunakan kemudahan keretapi sebagai pilihan. Maka, stesen keretapi Atocha dilawati sekali lagi. Oleh kerana bosan menunggu keretapi yang masih lambat lagi tiba, saya telah pergi ke kedai yang berdekatan dan membeli 2 buah majalah - iaitu Times dan Newsweek. Memang itu sahajalah yang boleh dibeli kerana bahan bacaan yang lain kesemuanya di dalam bahasa Spanish.

    Cadang saya, ingin beli Newsweek sahaja. Tetapi hati ingin juga membeli Times kerana ia memaparkan George W. Bush sebagai Man of the Year 2004. Saya membelinya bukanlah kerana saya pro-Bush, tetapi kerana ingin benar mengetahui mengapakah Bush dinobatkan sebagai tokoh tahun 2004 oleh majalah Times.

    Di dalam majalah Newsweek edisi Disember 27/Januari 3 itulah secara tidak sengaja ia telah menjawab persoalan-persoalan saya. Saya terbaca:
    "They killed me and every Spaniard."

    (A handwritten message left outside Madrid's Atocha rail station after the March 11 bombings that killed 191 people)

    Oh, begitu ceritanya! Patutlah kawalan begitu ketat sekarang. Mungkin sebagai langkah berjaga-jaga sempena kedatangan Krismas semalam.

    Apa pun, keretapi yang meletup dalam gambar di atas, memiliki bentuk yang begitu seiiras dengan keretapi yang membawa saya ke bandar Toledo - kira-kira 40 minit perjalanan menaiki keretapi dari Stesen Keretapi Atocha.


    Rangkaian keretapi bawah tanah Metro.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXXII: Islam di Madrid

    10 Ogos 2005 • 0 Komen
    Saya sendiri tidak pernah mengetahui bahawa kota Madrid ini berkongsi sebahagian kecil dari sejarah gilang-gemilang tamadun Islam di Sepanyol. Namun, sejarah Islam di Madrid tidaklah begitu diketahui oleh ramai orang. Lebih-lebih lagi, Madrid adalah sebuah tempat yang terletak jauh dari wilayah Andalusia.

    Diceritakan bahawa seorang Amir Cordoba, Muhammad Bin Abdul Rahman telah mengarahkan kerja-kerja pembinaan yang pertama di Madrid. Orang-orang Arab waktu itu telah membina kubu dan dinding bagi mempertahankan diri dari serangan orang-orang Kristian. Orang-orang Kristian telah menyerang secara konsisten selama hampir 300 tahun. Serangan berterusan ini menerangkan kepada kita mengapa Madrid tidak memiliki sebarang monumen-monumen Islam berbanding kota-kota Islam lain di Sepanyol.

    Akhirnya pada tahun 1085, Madrid jatuh juga ke tangan pihak Kristian. Alfonso VI adalah panglima yang berjaya menawan Madrid dari pihak Islam. Kebanyakkan binaan-binaan bercirikan Islam dan Arab telah dirobohkan, termasuklah masjid. Dan ini menerangkan lagi kepada kita mengapa begitu sedikit binaan-binaan Islam yang ada di Madrid, yang mana saya sendiri pun tidak tahu apakah tinggalan Islam di Madrid. Kalau tak silap, saya ada terbaca tentang satu lorong di Madrid yang tersimpan banyak tinggalan orang-orang Moorish. Tapi entah di mana. Ada sesiapa yang tahu?

    Ini ada beberapa keping gambar berkaitan Madrid:


    Di Parque del Buen Retiro.



    Palacio Comunicaciones



    Seorang pakcik yang ingin melintas jalan.



    Sebuah papan tanda jalan.



    Di sebuah taman utama Madrid - Parque del Retiro. Di sini ramai orang datang jalan-jalan waktu petang.

    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXXI: Hollywood & Sandwich

    07 Ogos 2005 • 0 Komen
    Entri kali ini sebenarnya sekadar ingin memaparkan gambar 2 buah kedai - Planet Hollywood dan Planet Sandwich. Kedai ini terletak sebelah-menyebelah sahaja, dan memiliki logo perniagaan yang hampir sama. Kemungkinan besar, Planet Sandwich diwujudkan selepas Planet Hollywood. Mungkin ini taktik licik dari syarikat Planet Sandwich untuk menarik pelanggan.


    Sandwich atau Hollywood?


    Sepanjang di Madrid, saya sekadar memakan kebab (kebab lagi?). Kawan saya kata, "Kau kenapa asyik makan kebab je ni masa kat sana? Dah takde benda lain ke nak makan?"

    Sebenarnya, saya tak kisah tentang makanan. Asal halal, itu dah cukup baik. Hehe.. Cuma satu perkara baru yang saya lihat di sini, tapi tidak ada di tempat lain. Kedai-kedai kebab di kota Madrid banyak yang jual arak. Boleh dikatakan hampir semua. Lebih tepat lagi kalau kedai-kedai kebab itu dipanggil sebagai 'bar'. Bar yang saya jumpa sepanjang saya hidup tidak ada satu pun yang menjual kebab. Di Madrid rupanya saya bertemu dengan pengalaman tersebut.

    Kedai yang saya singgah di Madrid untuk menjamu kebab pun ada beberapa botol arak yang diletakkan di atas sebuah rak. Alamak, saya memang tidak perasan pada mulanya. Bila dah nak habis kebab tu, baru ternampak botol-botol arak yang masih berisi.

    Kedai itu memang tidak nampak seperti bar langsung - malah ia adalah tipikal kedai-kedai kebab yang biasa kita jumpa di UK dan Ireland. Kalau tak silap, ada juga beberapa poster yang terukir kalimah ayat-ayat suci. Pekerjanya juga saya pasti Muslim.

    Cuma saya rasa terkilan. Mengapakah di dalam sebuah kedai yang menghidangkan makanan halal, tetapi ada tersimpan botol-botol arak. Saya tidak tahu apa tujuan pemilik kedai itu menghiaskan kedainya dengan susunan botol-botol arak. Adakah untuk dijual, ataupun kegunaan sendiri.

    Apa yang pasti, mereka yang menjual, membeli, membuat, dan apa-apa sahaja perbuatan yang berkaitan dengan arak, sudah pasti akan mendapat dosa juga.

    Dengan penuh tanda tanya, saya meninggalkan kedai itu setelah habis menjamu sebiji kebab.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXX: Madrid

    01 Ogos 2005 • 0 Komen

    Ukiran seekor beruang yang sedang cuba mengambil buah strawberry. Ia adalah ikon bandar Madrid. Gambar diambil di Puerta del Sol (Gerbang Matahari). Puerta del Sol adalah tempat yang popular di Madrid. Perumpamannya adalah seperti Piccadilly Circus di London.


    Oleh kerana waktu itu adalah musim sejuk dan Madrid pula terletak di tengah Sepanyol dan jauh pula dari laut, maka suhu di Madrid tidak sesuam di Granada dan Seville. Perjalanan Seville-Madrid pula adalah lebih cepat berbanding Granada-Seville walaupun dari segi geografi, Granada adalah lebih hampir kepada Madrid berbanding Seville. Boleh klik sini untuk melihat kedudukan Madrid secara relatif kepada bandar-bandar utama yang lain.


    Tidak pernah sekalipun saya menaiki bas sepanjang berada di Madrid.


    Sebenarnya, saya tidak berapa suka kota Madrid. Saya tidak tahu mengapa. Saya lebih sukakan bandar Barcelona walaupun Madrid adalah ibu kota negara Sepanyol. Saya merasakan bahawa udara persekitaran Barcelona adalah lebih riang. Itu sekadar persepsi saya sahaja.

    Apapun, berdasarkan kajian ahli sejarah, Madrid telah dihuni manusia sejak zaman Paleolitik lagi. Semasa proses carigali di Sungai Manzanares, mereka telah menjumpai kapak dan alatan kecil milik manusia zaman Paleolitik [1], dan juga koleksi seramik millik manusia zaman Neolitik[2].


    Di sebatang jalan yang berdekatan dengan Stadium Bernabeu. Gambar diambil ketika lampu isyarat sedang merah.


    Nota Kaki

    [1] Zaman Paleolitik turut digelar dengan Zaman Batu Lama. Ia dikatakan bermula sejak 2 juta tahun dahulu dan berakhir dalam 40,000 hingga 10,000 tahun dahulu. Zaman ini diikuti dengan zaman Mesolitik.

    [2] Zaman Neolitik turut dikenali sebagai Zaman Batu Baru. Kemunculan kebudayaan Neolitik paling awal telah dijumpai kira-kira 8,000 tahun dahulu di Syria, Iraq, dan juga tenggara Anatolia.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXIX: Bandar Bosan

    17 Julai 2005 • 0 Komen
    Bagi saya, Seville ini agak bosan. Tiada apa yang menarik sangat di sini. Mungkin tarikan utama di sini adalah bullfight. Mungkin sahaja..saya sendiri tidak pasti sebab tidak pergi pun melihat perlawanan di antara matador dan lembu itu.

    Konsep melawat di sini adalah street-by-street. Bosan sungguh! Senibina bangunan yang dijumpai pula agak tipikal dengan mana-mana struktur bangunan yang ada di Eropah secara umum. Entahlah. Rasanya lebih seronok kalau melawat bandar Banting! Jadi, kalau melawat Sepanyol, tak rugi pun kalau tak melawat Seville kalau rasa nak jimatkan kos melancong. Oleh sebab itu, saya pun malas nak tulis panjang-panjang.

    Cukuplah kalau pos berkaitan Seville diakhiri dengan 2 keping gambar.


    Sebuah bazaar yang diwujudkan sempena menyambut kedatangan Krismas. Banyak peralatan-peralatan tipikal untuk menyambut Krimas yang dijual.



    Satu lagi gambar di depan Gothic Cathedral. Sebenarnya lokasi gambar ini sama sahaja seperti gambar dalam pos yang pertama.



    Kereta kuda yang terdapat berdekatan dengan Gothic Cathedral.

    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXVIII: Soul of Andalucia

    13 Julai 2005 • 0 Komen
    Ada apa dengan Seville? Mengikut epik lama, Hercules adalah pengasas bandar ini. Dikatakan juga bahawa Seville adalah bandar ke-4 terpadat di Sepanyol selepas Madrid, Barcelona dan Valencia. Ia turut digelar dengan nama Soul of Andalucia.


    Di hadapan Gothic Cathedral pada suatu senja.


    Pada tahun 1147, pusat pemerintahan dan ibu kota wilayah Andalusia telah dipindahkan dari Cordoba ke Seville. Seperti yang dijelaskan dalam Wa Laa Ghalib Illallah [2] pada pos yang sebelum ini, Sultan Muhammad Al-Ahmar telah membantu orang-orang Kristian untuk menawan Seville pada 1248. Jarak di antara 1147 hingga 1248 (iaitu 99 tahun sahaja) kemungkinan besar menjelaskan mengapa kurang ditemui tinggalan-tinggalan Islam di sana.

    Lebih-lebih lagi, jangka masa 99 tahun itu bukannya satu tempoh yang aman. Umat Islam di Seville tidak henti-henti berjuang menentang Kristian yang masih tidak jemu-jemu berjuang untuk menawan Seville. Pada tahun ia ditawan (iaitu 1248), kira-kira 300,000 orang Islam yang menjadi majoriti populasi di situ telah lari meninggalkan Seville. Setelah ia ditawan, banyak masjid-masjid dirobohkan dan kemudiannya digantikan dengan gereja.

    Sebagai contoh yang paling jelas, perhatikan gambar pertama dalam pos ini. Gambar itu diambil di kawasan luar Gothic Cathedral [1]. Ia dikatakan di antara Cathedral yang terbesar di dunia [2]. Ia didirikan di atas tapak sebuah masjid utama Seville. Walaupun masjid itu sudah tidak wujud lagi pada hari ini, namun 2 bahagian asal masjid itu masih lagi kekal sehingga ke hari ini, iaitu:

    1) Court of Oranges
    Maaf. Saya rasa saya terlepas pandang bahagian ini. Jadi saya tidak ada koleksi gambar di Court of Oranges. Kalau ingin melihat juga, boleh klik sini.

    2) Menara Giralda
    Menara ini dibina pada tahun 1163 dan siap pada 1184. Pada mulanya, saya sendiri menyangka bahawa menara ini telah dibina oleh orang-orang Kristian. Sekali pandang memang begitu. Tapi nampaknya sangkaan saya salah. Ia sebenarnya adalah sebuah menara masjid utama Seville. Walaupun mereka meruntuhkan masjid utama, tetapi menara ini terus dibiarkan hidup.

    Pada tahun 1586, fungsinya telah ditukarkan menjadi sebuah menara loceng. Binaan senibina Moorish yang asal telah diubahsuai untuk memperlihatkan unsur-unsur Renaissance padanya. Jadi, kita tidak akan menyangka bahawa menara itu pada asalnya telah dibina oleh orang-orang Islam jika dilihat sepintas lalu.

    Di bawah ini adalah perbandingan kedudukan menara Giralda dan Gothic Cathedral. Boleh juga klik sini untuk melihat gambar menara Giralda dari dekat.


    Kedudukan menara Giralda dan Gothic Cathedral. Menara Giralda terletak di sebelah kiri. Sekali pandang senibinanya tidak ada langsung ciri-ciri Arab.

    Dah Tak Bingung Lagi

    Memang saya sendiri agak bingung pada mulanya - mengapa saya tidak berjumpa dengan sebarang monumen Islam sedangkan Seville dikenali sebagai Soul of Andalucia. Atau mungkin juga kerana saya yang tidak mencarinya dengan betul. Tapi setelah berjaya mengetahui sebabnya, saya akhirnya faham. Sebenarnya saya telah terlepas pandang beberapa fakta yang telah saya sebutkan sebelum ini.

    Apa pun, saya tidak bercadang untuk menulis panjang tentang Seville. Insya-Allah, pos yang akan datang adalah yang terakhir untuk Seville. Ia sekadar sebuah pos yang biasa sahaja dan tidak memeningkan otak anda.


    Pokok oren, bulan penuh dan cathedral. Gambar ini diambil berdekatan dengan menara Giralda.

    Nota Kaki

    [1] Cathedral dan gereja sama sahaja maksudnya. Gothic dalam konteks ini bermaksud "sesuatu yang berkaitan dengan lukisan, binaan, ukiran dan kesenian yang banyak terdapat di Eropah Utara dari kurun ke-12 hingga kurun ke-15."

    [2] Antara cathedral terbesar di dunia ialah:
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXVII: Selamat Tinggal Granada

    11 Julai 2005 • 1 Komen

    Stesen Keretapi Granada. Klasik dan unik.


    Sedih pula mahu meninggalkan Granada. Belum puas lagi bermain di sini. Tapi apakan daya.. Keretapi ke Seville (turut disebut Sevilla) bertolak jam 11.45 pagi. Walaupun waktu itu adalah musim sejuk, tetapi di Granada suhunya agak panas. Saya mula berasa tidak selesa disebabkan pakaian yang saya pakai adalah agak tebal.

    Keretapi yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba juga. Jika tidak silap, perjalanan Granada-Seville memakan masa 2 jam. Apabila saya masuk ke dalam kabin dan mencari tempat duduk yang sudah ditetapkan, tiba-tiba saya menyedari bahawa ada satu keluarga yang nampaknya berbangsa China, telah mendominasi tempat yang sepatutnya saya duduki.

    Saya melihat kembali tiket sepintas lalu. Apakah saya tersalah masuk kabin? Saya akhirnya yakin dengan diri saya. Nombor tempat duduk mereka memang betul, cuma tersalah kabin. Jadi saya pun memberitahu mereka bahawa mereka tersilap kabin. Dengan lafaz 'Sorry' dan sebuah senyuman, mereka meninggalkan tempat itu.

    Segala-galanya OK pada keretapi itu, cuma satu sahaja - tempat duduknya yang tidak best! Ia adalah dari jenis yang saling menghadap orang di hadapan kita. Cuma ada sebuah meja sahaja yang menjadi pemisah. Tak semua tempat duduk dalam keretapi itu begitu. Hanya sedikit sahaja.

    Kalau tidak silap, cuma ada 8 tempat duduk sahaja yang begitu dalam satu-satu kabin, dan saya telah melabuhkan punggung saya di atas 1 dari 8 kerusi itu. Kawan saya yang 2 orang itu pula menerima nasib yang sama. Apa yang beza cuma mereka duduk di bahagian lain, tapi masih lagi di dalam kabin yang sama - mereka duduk di sebelah saya tetapi dijarakkan oleh sebuah laluan kecil.

    Benci sungguh! Tempat duduk seperti itu sebenarnya tidak memberikan privacy kepada penumpangnya. Saya fikir mungkin syarikat keretapi Sepanyol ingin menjadikan rakyatnya lebih bersosial, maka dibuatnya fesyen begitu. Aduh-aduh. Saya sebenarnya begitu mengantuk. Ikutkan hati, mahu sahaja saya melelapkan mata yang kuyu ini. Tetapi bila sudah duduk begitu, takut-takut juga kalau-kalau air liru basi tumpah meleleh di hadapan seseorang yang tidak saya kenali sewaktu saya enak dibuai mimpi nanti.

    Saya berfikir-fikir kembali. Saya rasa nak tidur juga kerana mengikut kebiasaan, saya memang jarang tidur keluar air liur basi :p. Tapi akhirnya niat itu saya batalkan sahaja kerana yang duduk di sebelah saya adalah seorang wanita. Dan dua orang lagi yang duduk di hadapan saya juga adalah wanita. Ketiga-tiganya masih muda dan berbangsa Spanish. Saya kira mereka berusia dalam awal 20-an.

    Ini membuatkan saya semakin bertambah segan untuk memejamkan mata. Kalaulah terkeluar air liur basi.. Akhirnya saya membuat keputusan untuk membaca buku sahaja sepanjang perjalanan Granada-Seville. Tidak pernah sekali pun saya menegur, apatah lagi berbual dengan anak-anak gadis Spanish tersebut kerana saya tahu akibatnya nanti adalah seperi ayam berbual dengan itik.

    Dengan fikiran itu berenang-renang di otak, dan buku di tangan sebagai teman, akhirnya roda keretapi yang saya naiki itu berjaya juga bergolek di atas landasan stesen keretapi Seville setelah 2 jam berkerja.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXVI: Wa laa Ghalib Illallah [2]

    08 Julai 2005 • 0 Komen

    Kali ini ia lebih jelas. Namun, titik yang sepatutnya ada pada huruf ghain telah hilang. Jadi jangan salah faham. Bukan huruf 'ain ye.


    Sistem feudal amat prolifik di bahagian Eropah Barat dari kurun ke-9 hingga kurun ke-15. Ia adalah sistem dua hala di antara Tuan Tanah (Lord) dan Penyewa Tanah (Vassal). Sebenarnya tak berapa tepat nak terjemahkan Vassal kepada Penyewa Tanah. Oleh itu, Vassal dan Lord akan digunapakai.

    Dalam sistem feudal, kita sendiri sudah maklum - Vassal beri servis kepada Lord, dan Lord akan melindungi Vassal. Inilah seringkas-ringkas penerangan tentang sistem feudal. Kalau tak faham juga, saya sendiri tak tahu nak kata apa.

    Dalam kes kerajaan Islam Granada, sebenarnya telah berlaku sistem feudalisme. Oleh kerana Granada menjadi satu-satunya bandar Islam terakhir yang tinggal di Sepanyol [1], maka Sultan Muhammad al-Ahmar terpaksa membuat perjanjian feudalisme dengan Raja Ferdinand III. Memang Sultan al-Ahmar tidak suka. Tetapi beliau terpaksa. Keselamatan rakyatnya mesti dijaga. Kalau tidak pasti nasib Granada akan sama seperti bandar-bandar Islam lain di wilayah Andalusia. Oleh itu, Sultan Muhammad Al-Ahmar menjadi Vassal dan Raja Ferdinand III menjadi Lord.
    LORD: Raja Ferdinand III
    VASSAL: Sultan Muhammad Al-Ahmar

    Senang cerita, Granada yang menjadi bandar terakhir milik Islam di Sepanyol bukanlah satu bandar yang merdeka. Ia adalah sebuah negeri Vassal yang terikat dengan sistem feudal. Granada mesti patuh kepada kerajaan Kristian yang sudah menawan semula hampir keseluruhan Sepanyol pada waktu itu.

    Oleh kerana sudah menjadi satu kewajiban bagi Vassal memberikan servis kepada Lord, maka Raja Ferdinand telah meminta Sultan Muhammad Al-Ahmar menyediakan pasukan tentera bagi membantu tentera Kristian menawan sepenuhnya Seville yang masih lagi dalam pegangan Islam pada tahun 1248. Saya berpendapat ia berlaku dalam 10 tahun selepas perjanjian feudalisme kerana Sultan Muhammad Al-Ahmar memulakan pembinaan istana di Al-Hambra pada 1238. Apa pun, maafkan jika saya tersilap kerana saya bukanlah seorang pengkaji sejarah.

    Suka atau tidak suka, mahu atau tidak mahu, Sultan Muhammad Al-Ahmar terpaksa mengalah. Jika tidak, Granada pasti diserang oleh Kristian juga. Maka berangkatlah pasukan tentera Islam ke Seville bagi membantu armada Kristian di sana. Akhirnya Seville tumbang. Kejatuhan Seville adalah harga kebebasan Granada.

    Walaupun kepulangan Sultan Muhammad Al-Ahmar disambut dengan kegembiraan dan sorakan rakyatnya, namun dalam hatinya hanya Allah yang tahu. Kesedihan Sultan Muhammad Al-Ahmar diukir [2] pada dinding-dinding istana Nasrid - Wa Laa Ghalib Illallah, Tiada yang berkuasa selain Allah - berulang-ulang kali.

    Kepada rakan-rakan yang akan pergi ke Al-Hambra, carilah ukiran tulisan ini. Tidak susah. Kalian akan jumpanya berulang-ulang kali. Kadang-kadang, kalian tidak akan jumpanya secara individu seperti contoh 2 keping gambar yang saya sertakan sebelum ini. Lakukan sedikit usaha. Kalian akan jumpanya juga pada baris-baris puisi Islamik yang menjadi hiasan istana Nasrid ini. Cuba lihat contoh gambar di bawah ini. Cari ayat Wa Laa Ghalib Illallah.

    Lagi satu, cuba baca semula pos Istana Nasrid dan lihat gambar yang kelima. Ada jumpa tak ayat Wa Laa Ghalib Illallah?


    Ada jumpa tak ayat tu dalam gambar ini?


    Wa Laa Ghalib Illallah akan kekal terukir di Al-Hambra. Sudah hampir 800 tahun ia di situ. Ia akan terus di situ sehinggalah Hari Kiamat.

    Wa Laa Ghalib Illallah - ia juga pada akhirnya menjadi slogan dinasti Nasrid. Walaupun menjadi sebuah negeri Vassal, ia masih mampu bertahan selama lebih 200 tahun. Bukan itu sahaja, malah umat Islam di Granada berjaya mencipta tamadun yang agung di sana!

    Nota Kaki

    [1] Barangkali ia bandar Islam terakhir yang masih belum DIANCAM ketika itu. Pada 1238, Seville yang juga terletak di wilayah Andalusia, masih belum jatuh sepenuhnya ke tangan Kristian. Ia jatuh pada 1248. Cordoba pula pada 1236.

    [2] Jangan lupa bahawa ketika ini Istana Nasrid masih lagi dalam proses pembinaan. Sebab itu Sultan Muhammad Al-Ahmar berpeluang mengabadikan Wa La ghalib Ilallah pada banyak bahagian istana Nasrid. Kalimah itu juga telah diukir oleh waris-waris Sultan Muhammad Al-Ahmar.
    ----

    P.S. Dengan ini, berakhirlah pos tentang Granada. Segala puji bagi Allah yang memberikan saya kekuatan untuk menyiapkannya sehinggalah ke saat ini.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXV: Wa laa Ghalib Illallah [1]

    05 Julai 2005 • 1 Komen
    Sekali pandang, pengunjung yang boleh memahami tulisan Arab akan menyangka bahawa ukiran-ukiran yang terdapat pada bahagian dinding itu membawa maksud Wa Laa Ilaaha Illallah, atau dalam bahasa Malaysia: Tiada Tuhan Selain Allah.

    Hal ini terjadi kepada diri saya sendiri dan juga kepada 2 orang kawan saya itu. Mungkin kerana kesuntukan masa, kami tidak begitu ambil pusing tentang ukiran itu. Bukan sekali dua kami menjumpainya. Berulang-ulang kali dalam bentuk ukiran yang berbeza. Begitu banyak. Oleh kerana saya agak berminat dalam hal-hal begini, maka saya telah mengambil gambar ukiran-ukiran tersebut.

    Setelah saya balik semula ke Dublin dan melihatnya di dalam komputer, saya kini punya banyak peluang dan masa untuk memperhatikan dan menganalisis ukiran itu dengan lebih terperinci. Barulah saya perasan bahawa ukiran itu bukan bertulis Wa Laa Ilaaha Illallah - ia sebaliknya bertulis Wa Laa Ghalib Illallah.

    Apakah maksudnya?

    Sebagai seorang individu yang tidak pernah mempelajari bahasa Arab secara formal, saya telah bertanya kepada dua orang rakan saya yang lebih faham dan arif tentang selok-belok bahasa Arab. Orang pertama yang saya tanya ialah Wanzu. Tapi Gild turut menjawabnya. Gild yang jawab dahulu walaupun saya lebih menjuruskan pertanyaan itu kepada Wanzu.

    Gild kata, 'Ghalib' bermaksud 'Biasa'. Wanzu juga menjawab, Ghalib bermaksud Biasa. Tapi menurut Wanzu lagi, Ghalib juga boleh membawa maksud: 'Yang Menang/Yang Berkuasa'.

    Wanzu kemudian memberi contoh kata-kata Saidina Ali ra: "Alhaq bila nizhom sayuGHLIBUhu albathil bin nizhom" [1]. Wanzu kata lagi, di dalam Al-Quran, boleh rujuk Surah Ar-Rum ayat 2 dan 3.

    Saya juga ada bertanya kepada Abdul Mageed. Abdul Mageed adalah seorang yang berbangsa Berber dari Algeria yang kini menetap di Tallaght, Dublin. Tetapi, selalu juga datang ke South Circular Road untuk bersolat di Dublin Mosque. Oleh kerana rumah saya terletak betul-betul berhadapan dengan Dublin Mosque, maka selalu juga Abdul Mageed bertandang ke rumah saya. Sebenarnya lebih tepat saya katakan bahawa dia adalah rakan Sani yang merupakan rakan serumah saya. Satu rumah kami sudah sedia maklum yang Sani ini jenis yang suka bawa tetamu ke rumah.

    Jauh pula saya melencong. Baiklah, berbalik kepada Abdul Mageed tadi. Saya bertanya kepadanya apakah maksud 'Ghalib' memandangkan dia adalah seorang yang memang berlidah Arab asli.

    Jawabnya: "If you fight with me, and you win, that's mean you're 'ghalib'. You're more powerful than me".

    Setelah memahami maksud Ghalib ini, saya merumuskan bahawa Wa Laa Ghalib Illallah bermaksud: Tiada Yang Berkuasa Selain Allah. Setelah melakukan sedikit kajian, saya telah menjumpai sejarah di sebalik ukiran tersebut. InsyaAllah akan saya beritahunya di dalam entri yang berikutnya - Wa Laa Ghalib Illallah episod 2

    Perhatikan betul-betul. Cuba cari perkataan Wa Laa Ghalib Illallah. Maaf kalau tak nampak. Gambar yang ini memang kurang jelas. Kalau nak lihat yang lebih jelas, nantikan pos selepas ini.


    Nota Kaki

    [1] Ia bermaksud: Kebenaran yang tiada disiplin/sistem/perancangan akan dikalahkan oleh kebatilan yg bersistem.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXIV: Sesudah Sultan Itu Pergi

    03 Julai 2005 • 0 Komen

    Kota ini bukan lagi milik Islam.


    Apakah nasib orang-orang Islam di Sepanyol setelah Sultan Muhammad XI pergi melarikan diri ke Morocco? Kita sudah tahu bahawa Granada adalah bandar terakhir milik Bani Umaiyyah di Sepanyol. Walaupun Granada mampu bertahan selama lebih 200 tahun (1238-1492), tetapi ia berdiri dalam keadaan yang uzur dan sakit.

    Waktu itu adalah zaman kemerosotan Bani Umaiyyah di Sepanyol. Waktu itu juga, bandar-bandar lain di sekitar Andalusia seperti Cordoba, Toledo, dan Seville sudahpun ditawan semula pihak Kristian.

    Oleh itu, bila Granada juga ditawan, ia menandakan tamatlah legasi Bani Umaiyyah di situ. Sepanyol bukan lagi milik Islam sehinggalah ke hari ini. Majoriti umat Islam yang menjadi orang buangan di dalam negara mereka sendiri, telah melarikan diri ke benua Afrika yang terletak di bawah Sepanyol secara geografi.

    Namun demikian, proses emigrasi ini tidaklah berlaku sejurus selepas Islam tumbang di sana. Pada mulanya, umat Islam masih boleh tinggal lagi di Sepanyol. Sebelum proses Inquisisi bermula [1], orang-orang Islam masih lagi dibenarkan mengamalkan agama masing-masing, berkerja, memasuki tentera, memiliki tanah, bercucuk-tanam dan sebagainya.

    Tapi setelah bermulanya Inquisisi, perkara menjadi terbalik. Orang-orang Islam telah dirobek hak mereka sebagai rakyat dan akibatnya kehidupan menjadi semakin sukar. Akhirnya mereka terpaksa juga melarikan diri. Oleh itu, pada awal abad ke-17, hampir kesemua survivor peristiwa 1492 telah dihalau secara paksa oleh kerajaan Kristian Sepanyol.

    Nota Kaki

    [1] Inquisisi di Sepanyol ketika itu dilaksanakan di atas perintah raja. Inquisisi tersebut adalah berkaitan dengan polisi penukaran agama rakyat Sepanyol yang beragama Islam dan Yahudi kepada agama Kristian. Ia penting bagi memastikan keturunan Kristian Sepanyol tidak ada yang terdiri dari orang-orang Islam dan Yahudi yang menukar agama mereka kepada Kristian. Mereka inginkan "cleanliness of blood".
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXIII: Terima Kasih Washington Irving

    3 Komen
    Kalaulah tidak kerana Allah memberikan hidayah kepada Washington Irving untuk menulis tentang keajaiban Al-Hambra, mungkin istana yang megah ini sudah lama pupus. Selepas ditawan oleh tentera Kristian, banyak perubahan-perubahan yang dilakukan oleh mereka.


    Washington Irving menghabiskan masanya selama 1 tahun di dalam ruangan yang terdapat papan tanda ini. Ada sesiapa yang faham Spanish? Kalau faham, silalah terjemahkan ye :)


    Mula-mula sekali ia dijadikan sebuah mahkamah Kristian. Kemudian, berek-berek tentera dan gereja turut didirikan di atas tanah Al-Hambra. Seperti mana yang berlaku di bandar-bandar lain di wilayah Andalusia, cucu Raja Ferdinand dan Ratu Isabella, iaitu Raja Charles V adalah mahkluk yang paling banyak mengubah struktur binaan pada istana tersebut. Ia dilakukan semata-mata untuk mewujudkan pemandangan Renaissance di situ.

    Tapi yang paling teruk adalah ketika abad ke-18 dan sebahagian abad ke-19. Istana Al-Hambra yang memuatkan senibina Moorish yang agung dibiarkan dan diabaikan oleh pemerintah Sepanyol. Ia dihuni oleh para peminta sedekah dan juga golongan pencuri dan penyamun.

    Bila Napoleon Bonaparte datang bersama-sama askarnya ke Sepanyol [1], makin tragis nasib yang dideritai oleh istana Al-Hambra. Napoleon telah melakukan banyak kerosakan pada istana itu. Pernah sekali dia meletupkan dua buah menara semata-mata untuk menyelamatkan dirinya. Begitulah nasib istana itu. Ia semakin parah dari hari ke hari.

    Mujurlah pada tahun 1870, Istana Al-Hambra telah diisytiharkan sebagai sebuah monumen negara. Maka sejak itu, proses pemeliharaan dan pemuliharaannya giat dijalankan sehingga hari ini. Malah, kaedah saintifik turut digunakan untuk mengembalikan semula keajaiban senibina Moorish tersebut. Ini semua adalah jasa seorang penulis Amerika, Washington Irving.

    Beliau telah mengarang sebuah buku yang bertajuk Tales of the Alhambra yang menceritakan tentang keagungan istana itu. Proses menyiapkan buku itu dilakukan di dalam sebuah ruang istana yang kosong. Ia telah ditulis pada tahun 1829. Saya sendiri pun tidak pernah memegang buku itu, apatah lagi membacanya. Tapi orang kata, buku itu memang bagus. Ia laksana sebuah epik romantik yang akan kekal membuktikan kepada dunia bahawa pernah wujud sebuah tamadun dan empayar Islam yang agung di bumi Sepanyol. Boleh baca review buku itu di sini.

    Terima kasih Washington Irving!

    Nota Kaki

    [1] Napoleon Bonaparte adalah seorang Emperor Perancis yang sangat genius. Kekuatan tentera dan militari yang dipimpinnya waktu itu dikatakan mampu menawan segenap benua Eropah, tetapi masih tidak mampu untuk menakluki Great Britain. Napoleon dan para askarnya telah menawan Granada dari tahun 1808-1812.


    Kalau tak silap, ini adalah ruangan di mana terdapatnya papan ukiran nama beliau itu. (Rujuk gambar atas)
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXII: Dan Sultan Itu Menangis

    02 Julai 2005 • 1 Komen
    Kerajaan terakhir itu tumbang ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad XII*, iaitu pada tahun 1492. Ingatlah tahun itu. Tahun itu Kristian semakin melebarkan lagi sayapnya. Pada tahun itulah Christopher Columbus dihantar ke Amerika. 10 tahun sebelum ia tumbang, berbagai-bagai masalah dalaman berlaku. Ia bermula akibat permusuhan berterusan beberapa golongan keluarga bangsawan - terutama sekali Zegris dan Abencerages. Perpecahan semakin meretak dan meletuslah perang saudara.

    Pada masa itu juga, orang-orang Kristian semakin bertambah kuat selepas perkahwinan di antara Raja Ferdinand II (dari Aragon) dan Ratu Isabella (dari Castille). Aragon dan Castille adalah 2 buah kerajaan Kristian yang sangat kuat pada waktu itu. Orang-orang Kristian dari Castille telah mula menyerang Granada - mereka ingin menawan satu Sepanyol.

    Usaha demi usaha Sultan Muhammad XII lakukan. Baginda bertahan selama 10 tahun. Pernah sekali baginda membuat perjanjian damai (secara sulit) dengan Raja Ferdinand. Baginda menghantar menterinya, Abul Qasim Abdul Malik untuk berjumpa Raja Ferdinand. Kristian bersetuju. Akhirnya, sebuah perjanjian rahsia yang mengandungi 15 perkara ditandatangan.

    Namun, walaupun ia sebuah perjanjian rahsia, ia akhirnya terbongkar juga ke telinga para rakyat dan askar. Berita itu tersebar luas. Rakyat jelata tidak berpuas hati dengan tindakan sultan. Ini kerana pada perkara ke-15 menyatakan bahawa:
    Kota Granada akan dibiarkan merdeka selama 1 tahun. Selepas 1 tahun, pihak Kristian akan menawannya...

    Sultan itu takutkan pemberontakan dari rakyatnya sendiri yang tidak berpuas hati itu. Maka sultan itu menyerahkan Al-Hambra kepada pihak Kristian. Raja Ferdinand kemudiannya telah meminta Mandhurah (seorang paderi di Sepanyol ketika itu) untuk masuk terlebih dahulu ke kota Granada dan kemudian meletakkan palang salib di bahagian menara tertinggi istana Al-Hambra, di samping membuang segala syiar-syiar Islam yang ada di situ.

    Berita ini semakin mengejutkan rakyat jelata. Mereka kelihatan sangat sedih dan marah. Apabila Raja Ferdinand tiba, Sultan Muhammad XII menyerahkan kunci istana Al-Hambra dan berkata kepada Raja Ferdinand:
    Wahai raja yang agung! Kami kini adalah orangmu dan meletakkan kepercayaan negeri ini ke atasmu kerana ia telah menjadi takdir Allah. Kami yakin kami akan menerima layanan yang lembut dan baik darimu.

    Selepas itu, Sultan Muhammad XII meninggalkan Raja Ferdinand untuk melarikan diri ke Morocco. Saudara-mara, keluarga, barangan peribadi dan hartanya telah pun dihantar terlebih ke sana. Sementara itu, palang salib kelihatan bersinar-sinar di atas menara Al-Hambra. Raja Ferdinand dan puak-puaknya berbondong-bondong memasuki Istana Al-Hambra.

    Apabila Sultan Muhammad XII sampai ke puncak sebuah bukit yang berdekatan dengan Istana Al-Hambra, baginda memalingkan muka ke arah Granada. Memori-memori keagungan Al-Hambra bermain di fikirannya.Dan sultan itu akhirnya menangis. Ibunya yang ada pada masa itu berkata:
    Apabila engkau tidak dapat menyelamatkan negaramu walaupun engkau telah menjadi seorang askar yang gagah berani, kini apa gunanya untuk mengalirkan air mata seperti seorang wanita?

    Dan sultan itu terus menangis...


    Mungkinkah di bukit sana sultan itu menangis?

    ---
    * Turut dikenali sebagai Boabdil dan Abu Abdullah. Baginda adalah Sultan terakhir kerajaan Islam Granada.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXI: Ferdinand oh Ferdinand...

    26 Jun 2005 • 2 Komen
    Saya terpaksa mengarang pos ini untuk mengelakkan kekeliruan dalam pos yang akan datang. Seperti yang saya terangkan sebelum ini, ada banyak raja yang berkongsi nama 'King Ferdinand'. Sekurang-kurangnya ada 13 raja yang menggunakan nama itu.

    Cuma dalam menceritakan topik berkenaan pembukaan dan penutupan kerajaan Islam di Granada, ada dua Ferdinand yang paling relevan, iaitu:

    1) Raja Ferdinand III dari Castile (1199-1252)

    Beliau berperang dengan pengasas dinasti Nasrid di Granada (Sultan Muhammad Al-Ahmar) dan juga turut memulakan pembinaan Al-Hambra. Tetapi, Raja Ferdinand III gagal untuk menawan Granada walaupun telah berjaya menumbangkan kerajaan Islam di Seville dan Cordoba. Sebenarnya tidak berapa tepat apabila dikatakan 'gagal menawan Granada'. Sebaliknya telah berlaku satu perjanjian bersifat feudal di antara Sultan Muhammad Al-Ahmar dan Raja Ferdinand III. Saya akan menerangkan tentang perjanjian ini nanti.

    2) Raja Ferdinand II dari Aragon (1452-1516).

    Juga dikenali sebagai Raja Ferdinand V. Beliau berkahwin dengan Ratu Isabella dari Castile. Beliau berperang dengan raja terakhir dinasti Nasrid, iaitu Sultan Muhammad XI (dikenali sebagai Baobdil di kalangan rakyat Sepanyol. Baobdil ini asalnya dari nama Abu Abdullah). Charles V yang turut menjadi raja di Sepanyol adalah cucu kepada Ratu Isabella dan Raja Ferdinand II.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXX: Istana Nasrid [3]

    25 Jun 2005 • 0 Komen

    Istana Singa

    Tidak ada sebarang singa di sini. Mungkin mendapat nama disebabkan terdapat sebuah kolam pancutan air yang terdapat ukiran patung singa. Dikatakan pada kolam itu terdapat ukiran nama-nama pahlawan yang terlibat dalam perang jihad. Malangnya, saya tidak pula dapat melihatnya kerana pengunjung tidak dibenarkan mendekati kolam tersebut. Ada nampak tak tali yang menghalang tu?


    Perhatikan kolam tersebut yang terletak di tengah-tengah.


    Istana Singa adalah kawasan peribadi istana tersebut. Senang cerita ia adalah sebuah kawasan kediaman. Di sinilah sultan menghabiskan masanya bersama keluarga. Tiada sebarang urusan rasmi dan protokol diraja di sini. Kenapa pula perlu diwujudkan tempat ini?

    Berdasarkan riwayat sejarah (maaf, saya tak dapat kesan sumber hadith tersebut), Nabi Muhammad s.a.w sering dilawati oleh para sahabatnya. Suatu hari, baginda sedang bermain dengan cucunya. Tiba-tiba datang sahabat ke rumah baginda, dan tanpa meminta izin, mereka terus masuk ke dalam bilik di mana Nabi Muhammad sedang bermain dengan cucunya di atas lantai ketika itu. Situasi itu tidak berapa disenangi oleh Nabi dan sahabatnya.

    Maka sejak itu, Nabi Muhammad menasihatkan tentang betapa pentingnya untuk membina sebuah tempat yang khas untuk ahli keluarga sahaja, iaitu tempat di mana para pelawat tidak dibenarkan masuk begitu sahaja.


    Cuba kira ada berapa banyak patung-patung singa?

    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXIX: Istana Nasrid [2]

    24 Jun 2005 • 1 Komen

    Istana Comares

    Ia merupakan bahagian kediaman rasmi diraja. Istana Comares merupakan produk utama Sultan Yusuf I dan anaknya, Sultan Muhammad V. Hiasan dan dekorasi dinding adalah idea dari Sultan Yusuf I. Sebenarnya, Sultan Yusuf I ingin menimbulkan rasa kagum di kalangan para pelawatnya. Terbukti memang kagum para pelawat - ini termasuklah saya sendiri walaupun ia sudah berusia beratus-ratus tahun.

    Namun demikian dikatakan Sultan Yusuf I tidak sempat melihat hasil keseluruhan Istana Comares dan anaknya Sultan Muhammad V pula telah menyiapkan usaha ayahnya itu.

    Terdapat binaan dan ruangan lain yang mengelilingi Istana Comares:

    1) Patio del Cuarto Dorado (Patio of the Gilded Room)
    Entah apa maksudnya di dalam Bahasa Malaysia. Saya pun tak tahu nak terjemahkan. Cari sendirilah ye. Rujuk bahagian glosari di bawah.

    Patio of the Gilded Room (PGR) adalah salah satu binaan yang menyambungkan Mexuar dan Istana Comares. Ada satu kolam air di patio ini. Dikatakan ia dibina pada 1943 dengan menyalin rekabentuk kolam yang terdapat di Taman Daraxa. Sila rujuk pos Satu Lanskap Taman.

    Akhirnya saya mengetahui juga sejarah kolam pancutan air di dalam pos Satu Lanskap itu. Ia dibina dalam sekitar tahun 1526-1538, iaitu sewaktu Istana Charles V masih lagi dalam proses pembinaan.


    Kolam air di PGR


    2) Gilded Room
    Jika tidak silap, gambar di bawah ini diambil di Gilded Room. Ruangan ini akan dijumpai selepas kita sampai ke PGR. Oleh yang demikian pelawat akan berjumpa ruangan ini berdasarkan urutan berikut:

    Mexuar > PGR > Gilded Room


    Gilded Room juga merupakan sebahagian dari Istana Comares.


    3) Patio de los Arrayanes (The Patio of the Myrtles)
    Di sini terdapat sebuah kolam berbentuk segiempat di bahagian tengahnya. Ia berukuran 34 x 7.10 meter.


    Kolam ini menerima air dari 2 buah sumber pancutan air. Yang pertama pada bahagian kiri bawah gambar (tak nampak semua). Yang satu lagi pada bahagian hujung satu lagi.



    Di belakang saya adalah Hall of the Boat. Di depan pula adalah kolam.


    4) Sala de la Barca (Hall of the Boat)
    Di sini kalian tidak akan jumpa walau satu bot pun walaupun jika diterjemahkan ia bermaksud Dewan Bot. Tapi cuba lihat bahasa asalnya dalam Spanish. Perhatikan perkataan "Barca". Ia sebenarnya berasal dari bahasa Arab yang bermaksud "Barakah".

    Tapi lama-kelamaan orang-orang Spanish panggil Barca yang secara literal bermaksud Bot dalam Spanish. Bila diterjemahkan dalam English, mereka ambil bulat-bulat tanpa mengetahui sejarah asal perkataan Barca itu. Sabar sahaja la!


    Pintu masuk untuk ke Hall of the Boat.


    Pada mulanya ruangan ini kecil sahaja. Tapi kemudian ia telah diperbesarkan oleh Sultan Mohammad V. Pernah berlaku satu kebakaran di sini pada tahun 1860.

    5) Salon de los Embajadores (Hall of Ambassadors)
    Merupakan salah satu bilik paling penting di Istana Comares. Di sinilah terletaknya takhta diraja. Untuk masuk ke sini, pelawat perlu melalui Hall of the Boat terlebih dahulu.

    Dinding dewan ini ditulis sepenuhnya dengan inskripsi-inskripsi yang memuji Allah, pembesar negara, motto Dinasti Nasrid (akan saya tulis kemudian) dan ayat-ayat dari kitab suci Al-Quran.


    Sebuah pintu atau sebuah jendela? Tak pasti pula...

    Glosari perkataan

    Patio
    • An outdoor space for dining or recreation that adjoins a residence and is often paved.
    • A roofless inner courtyard, typically found in Spanish and Spanish-style dwellings.
    Gilded
    • To cover with or as if with a thin layer of gold.
    • To give an often deceptively attractive or improved appearance to.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXVIII: Istana Nasrid [1]

    22 Jun 2005 • 0 Komen
    Memang menakjubkan! Kata-kata itu adalah kesimpulan kepada keindahan Istana Nasrid. Keindahannya pernah dinukilkan oleh seorang pelawat Arab:
    Seperti sebuah pasu perak yang berisi batu-batu zamrud.
    Dimulakan oleh pengasas Dinasti Nasrid, Sultan Muhammad Al-Ahmar, sebuah tempat yang pada mulanya cuma dihuni oleh tinggalan kubu lama, ia akhirnya berubah wajah. Perubahan itu kemudian disambung oleh waris-waris Sultan Muhammad Al-Ahmar sesudah baginda meninggal dunia.

    Dekorasi pada binaan Istana Nasrid dikatakan dibina dari bahan yang agak kurang mutunya - ia mungkin satu simbolik yang mengingatkan kita tentang kehidupan manusia di dunia yang fana ini. Secara mudah, Palacios Nazaries (Istana Nasrid*) dibahagikan kepada 3 buah bahagian utama yang berbeza:
    1. Bahagian Mexuar
    2. Palacio de Comares (Istana Comares)
    3. Palacio de los Leones (Istana Singa)
    Bahagian-bahagian itu juga mempunyai ciri-ciri yang sangat berbeza. Contohnya, Istana Comares memang direka berdasarkan seni dan rekabentuk Islam. Istana Singa pula terdapat pengaruh senibina Kristian padanya. InsyaAllah akan saya terangkan dalam pos yang akan datang mengapa boleh termasuk pengaruh Kristian tersebut.

    Bahagian Mexuar

    Ia merupakan bahagian separa-umum. Di sini selalunya diadakan perkara-perkara berkaitan sistem perundangan dan urusan dalam negara. Bahagian di sini sebenarnya agak suram. Tidak banyak cahaya yang masuk.


    Sebuah inskripsi Arab yang terdapat pada bahagian Mexuar.

    Gambar pada pos Petikan Buku juga diambil di bahagian Mexuar.
    ---

    *Sepatutnya lebih tepat diterjemahkan sebagai Istana-istana Nasrid kerana Palacios membawa maksud lebih dari satu.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »