Back to home page

Sepanyol XXXVI: Wa laa Ghalib Illallah [2]

08 Julai 2005 • 0 Komen Cetak Chenta!

Kali ini ia lebih jelas. Namun, titik yang sepatutnya ada pada huruf ghain telah hilang. Jadi jangan salah faham. Bukan huruf 'ain ye.


Sistem feudal amat prolifik di bahagian Eropah Barat dari kurun ke-9 hingga kurun ke-15. Ia adalah sistem dua hala di antara Tuan Tanah (Lord) dan Penyewa Tanah (Vassal). Sebenarnya tak berapa tepat nak terjemahkan Vassal kepada Penyewa Tanah. Oleh itu, Vassal dan Lord akan digunapakai.

Dalam sistem feudal, kita sendiri sudah maklum - Vassal beri servis kepada Lord, dan Lord akan melindungi Vassal. Inilah seringkas-ringkas penerangan tentang sistem feudal. Kalau tak faham juga, saya sendiri tak tahu nak kata apa.

Dalam kes kerajaan Islam Granada, sebenarnya telah berlaku sistem feudalisme. Oleh kerana Granada menjadi satu-satunya bandar Islam terakhir yang tinggal di Sepanyol [1], maka Sultan Muhammad al-Ahmar terpaksa membuat perjanjian feudalisme dengan Raja Ferdinand III. Memang Sultan al-Ahmar tidak suka. Tetapi beliau terpaksa. Keselamatan rakyatnya mesti dijaga. Kalau tidak pasti nasib Granada akan sama seperti bandar-bandar Islam lain di wilayah Andalusia. Oleh itu, Sultan Muhammad Al-Ahmar menjadi Vassal dan Raja Ferdinand III menjadi Lord.
LORD: Raja Ferdinand III
VASSAL: Sultan Muhammad Al-Ahmar

Senang cerita, Granada yang menjadi bandar terakhir milik Islam di Sepanyol bukanlah satu bandar yang merdeka. Ia adalah sebuah negeri Vassal yang terikat dengan sistem feudal. Granada mesti patuh kepada kerajaan Kristian yang sudah menawan semula hampir keseluruhan Sepanyol pada waktu itu.

Oleh kerana sudah menjadi satu kewajiban bagi Vassal memberikan servis kepada Lord, maka Raja Ferdinand telah meminta Sultan Muhammad Al-Ahmar menyediakan pasukan tentera bagi membantu tentera Kristian menawan sepenuhnya Seville yang masih lagi dalam pegangan Islam pada tahun 1248. Saya berpendapat ia berlaku dalam 10 tahun selepas perjanjian feudalisme kerana Sultan Muhammad Al-Ahmar memulakan pembinaan istana di Al-Hambra pada 1238. Apa pun, maafkan jika saya tersilap kerana saya bukanlah seorang pengkaji sejarah.

Suka atau tidak suka, mahu atau tidak mahu, Sultan Muhammad Al-Ahmar terpaksa mengalah. Jika tidak, Granada pasti diserang oleh Kristian juga. Maka berangkatlah pasukan tentera Islam ke Seville bagi membantu armada Kristian di sana. Akhirnya Seville tumbang. Kejatuhan Seville adalah harga kebebasan Granada.

Walaupun kepulangan Sultan Muhammad Al-Ahmar disambut dengan kegembiraan dan sorakan rakyatnya, namun dalam hatinya hanya Allah yang tahu. Kesedihan Sultan Muhammad Al-Ahmar diukir [2] pada dinding-dinding istana Nasrid - Wa Laa Ghalib Illallah, Tiada yang berkuasa selain Allah - berulang-ulang kali.

Kepada rakan-rakan yang akan pergi ke Al-Hambra, carilah ukiran tulisan ini. Tidak susah. Kalian akan jumpanya berulang-ulang kali. Kadang-kadang, kalian tidak akan jumpanya secara individu seperti contoh 2 keping gambar yang saya sertakan sebelum ini. Lakukan sedikit usaha. Kalian akan jumpanya juga pada baris-baris puisi Islamik yang menjadi hiasan istana Nasrid ini. Cuba lihat contoh gambar di bawah ini. Cari ayat Wa Laa Ghalib Illallah.

Lagi satu, cuba baca semula pos Istana Nasrid dan lihat gambar yang kelima. Ada jumpa tak ayat Wa Laa Ghalib Illallah?


Ada jumpa tak ayat tu dalam gambar ini?


Wa Laa Ghalib Illallah akan kekal terukir di Al-Hambra. Sudah hampir 800 tahun ia di situ. Ia akan terus di situ sehinggalah Hari Kiamat.

Wa Laa Ghalib Illallah - ia juga pada akhirnya menjadi slogan dinasti Nasrid. Walaupun menjadi sebuah negeri Vassal, ia masih mampu bertahan selama lebih 200 tahun. Bukan itu sahaja, malah umat Islam di Granada berjaya mencipta tamadun yang agung di sana!

Nota Kaki

[1] Barangkali ia bandar Islam terakhir yang masih belum DIANCAM ketika itu. Pada 1238, Seville yang juga terletak di wilayah Andalusia, masih belum jatuh sepenuhnya ke tangan Kristian. Ia jatuh pada 1248. Cordoba pula pada 1236.

[2] Jangan lupa bahawa ketika ini Istana Nasrid masih lagi dalam proses pembinaan. Sebab itu Sultan Muhammad Al-Ahmar berpeluang mengabadikan Wa La ghalib Ilallah pada banyak bahagian istana Nasrid. Kalimah itu juga telah diukir oleh waris-waris Sultan Muhammad Al-Ahmar.
----

P.S. Dengan ini, berakhirlah pos tentang Granada. Segala puji bagi Allah yang memberikan saya kekuatan untuk menyiapkannya sehinggalah ke saat ini.

0 Komen Tambah Komen↴

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.