Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label sultan. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label sultan. Papar semua catatan

    Sepanyol XXXIV: Sesudah Sultan Itu Pergi

    03 Julai 2005 • 0 Komen

    Kota ini bukan lagi milik Islam.


    Apakah nasib orang-orang Islam di Sepanyol setelah Sultan Muhammad XI pergi melarikan diri ke Morocco? Kita sudah tahu bahawa Granada adalah bandar terakhir milik Bani Umaiyyah di Sepanyol. Walaupun Granada mampu bertahan selama lebih 200 tahun (1238-1492), tetapi ia berdiri dalam keadaan yang uzur dan sakit.

    Waktu itu adalah zaman kemerosotan Bani Umaiyyah di Sepanyol. Waktu itu juga, bandar-bandar lain di sekitar Andalusia seperti Cordoba, Toledo, dan Seville sudahpun ditawan semula pihak Kristian.

    Oleh itu, bila Granada juga ditawan, ia menandakan tamatlah legasi Bani Umaiyyah di situ. Sepanyol bukan lagi milik Islam sehinggalah ke hari ini. Majoriti umat Islam yang menjadi orang buangan di dalam negara mereka sendiri, telah melarikan diri ke benua Afrika yang terletak di bawah Sepanyol secara geografi.

    Namun demikian, proses emigrasi ini tidaklah berlaku sejurus selepas Islam tumbang di sana. Pada mulanya, umat Islam masih boleh tinggal lagi di Sepanyol. Sebelum proses Inquisisi bermula [1], orang-orang Islam masih lagi dibenarkan mengamalkan agama masing-masing, berkerja, memasuki tentera, memiliki tanah, bercucuk-tanam dan sebagainya.

    Tapi setelah bermulanya Inquisisi, perkara menjadi terbalik. Orang-orang Islam telah dirobek hak mereka sebagai rakyat dan akibatnya kehidupan menjadi semakin sukar. Akhirnya mereka terpaksa juga melarikan diri. Oleh itu, pada awal abad ke-17, hampir kesemua survivor peristiwa 1492 telah dihalau secara paksa oleh kerajaan Kristian Sepanyol.

    Nota Kaki

    [1] Inquisisi di Sepanyol ketika itu dilaksanakan di atas perintah raja. Inquisisi tersebut adalah berkaitan dengan polisi penukaran agama rakyat Sepanyol yang beragama Islam dan Yahudi kepada agama Kristian. Ia penting bagi memastikan keturunan Kristian Sepanyol tidak ada yang terdiri dari orang-orang Islam dan Yahudi yang menukar agama mereka kepada Kristian. Mereka inginkan "cleanliness of blood".
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXII: Dan Sultan Itu Menangis

    02 Julai 2005 • 1 Komen
    Kerajaan terakhir itu tumbang ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad XII*, iaitu pada tahun 1492. Ingatlah tahun itu. Tahun itu Kristian semakin melebarkan lagi sayapnya. Pada tahun itulah Christopher Columbus dihantar ke Amerika. 10 tahun sebelum ia tumbang, berbagai-bagai masalah dalaman berlaku. Ia bermula akibat permusuhan berterusan beberapa golongan keluarga bangsawan - terutama sekali Zegris dan Abencerages. Perpecahan semakin meretak dan meletuslah perang saudara.

    Pada masa itu juga, orang-orang Kristian semakin bertambah kuat selepas perkahwinan di antara Raja Ferdinand II (dari Aragon) dan Ratu Isabella (dari Castille). Aragon dan Castille adalah 2 buah kerajaan Kristian yang sangat kuat pada waktu itu. Orang-orang Kristian dari Castille telah mula menyerang Granada - mereka ingin menawan satu Sepanyol.

    Usaha demi usaha Sultan Muhammad XII lakukan. Baginda bertahan selama 10 tahun. Pernah sekali baginda membuat perjanjian damai (secara sulit) dengan Raja Ferdinand. Baginda menghantar menterinya, Abul Qasim Abdul Malik untuk berjumpa Raja Ferdinand. Kristian bersetuju. Akhirnya, sebuah perjanjian rahsia yang mengandungi 15 perkara ditandatangan.

    Namun, walaupun ia sebuah perjanjian rahsia, ia akhirnya terbongkar juga ke telinga para rakyat dan askar. Berita itu tersebar luas. Rakyat jelata tidak berpuas hati dengan tindakan sultan. Ini kerana pada perkara ke-15 menyatakan bahawa:
    Kota Granada akan dibiarkan merdeka selama 1 tahun. Selepas 1 tahun, pihak Kristian akan menawannya...

    Sultan itu takutkan pemberontakan dari rakyatnya sendiri yang tidak berpuas hati itu. Maka sultan itu menyerahkan Al-Hambra kepada pihak Kristian. Raja Ferdinand kemudiannya telah meminta Mandhurah (seorang paderi di Sepanyol ketika itu) untuk masuk terlebih dahulu ke kota Granada dan kemudian meletakkan palang salib di bahagian menara tertinggi istana Al-Hambra, di samping membuang segala syiar-syiar Islam yang ada di situ.

    Berita ini semakin mengejutkan rakyat jelata. Mereka kelihatan sangat sedih dan marah. Apabila Raja Ferdinand tiba, Sultan Muhammad XII menyerahkan kunci istana Al-Hambra dan berkata kepada Raja Ferdinand:
    Wahai raja yang agung! Kami kini adalah orangmu dan meletakkan kepercayaan negeri ini ke atasmu kerana ia telah menjadi takdir Allah. Kami yakin kami akan menerima layanan yang lembut dan baik darimu.

    Selepas itu, Sultan Muhammad XII meninggalkan Raja Ferdinand untuk melarikan diri ke Morocco. Saudara-mara, keluarga, barangan peribadi dan hartanya telah pun dihantar terlebih ke sana. Sementara itu, palang salib kelihatan bersinar-sinar di atas menara Al-Hambra. Raja Ferdinand dan puak-puaknya berbondong-bondong memasuki Istana Al-Hambra.

    Apabila Sultan Muhammad XII sampai ke puncak sebuah bukit yang berdekatan dengan Istana Al-Hambra, baginda memalingkan muka ke arah Granada. Memori-memori keagungan Al-Hambra bermain di fikirannya.Dan sultan itu akhirnya menangis. Ibunya yang ada pada masa itu berkata:
    Apabila engkau tidak dapat menyelamatkan negaramu walaupun engkau telah menjadi seorang askar yang gagah berani, kini apa gunanya untuk mengalirkan air mata seperti seorang wanita?

    Dan sultan itu terus menangis...


    Mungkinkah di bukit sana sultan itu menangis?

    ---
    * Turut dikenali sebagai Boabdil dan Abu Abdullah. Baginda adalah Sultan terakhir kerajaan Islam Granada.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »