Back to home page

Sepanyol XXXII: Dan Sultan Itu Menangis

02 Julai 2005 • 1 Komen Cetak Chenta!
Kerajaan terakhir itu tumbang ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad XII*, iaitu pada tahun 1492. Ingatlah tahun itu. Tahun itu Kristian semakin melebarkan lagi sayapnya. Pada tahun itulah Christopher Columbus dihantar ke Amerika. 10 tahun sebelum ia tumbang, berbagai-bagai masalah dalaman berlaku. Ia bermula akibat permusuhan berterusan beberapa golongan keluarga bangsawan - terutama sekali Zegris dan Abencerages. Perpecahan semakin meretak dan meletuslah perang saudara.

Pada masa itu juga, orang-orang Kristian semakin bertambah kuat selepas perkahwinan di antara Raja Ferdinand II (dari Aragon) dan Ratu Isabella (dari Castille). Aragon dan Castille adalah 2 buah kerajaan Kristian yang sangat kuat pada waktu itu. Orang-orang Kristian dari Castille telah mula menyerang Granada - mereka ingin menawan satu Sepanyol.

Usaha demi usaha Sultan Muhammad XII lakukan. Baginda bertahan selama 10 tahun. Pernah sekali baginda membuat perjanjian damai (secara sulit) dengan Raja Ferdinand. Baginda menghantar menterinya, Abul Qasim Abdul Malik untuk berjumpa Raja Ferdinand. Kristian bersetuju. Akhirnya, sebuah perjanjian rahsia yang mengandungi 15 perkara ditandatangan.

Namun, walaupun ia sebuah perjanjian rahsia, ia akhirnya terbongkar juga ke telinga para rakyat dan askar. Berita itu tersebar luas. Rakyat jelata tidak berpuas hati dengan tindakan sultan. Ini kerana pada perkara ke-15 menyatakan bahawa:
Kota Granada akan dibiarkan merdeka selama 1 tahun. Selepas 1 tahun, pihak Kristian akan menawannya...

Sultan itu takutkan pemberontakan dari rakyatnya sendiri yang tidak berpuas hati itu. Maka sultan itu menyerahkan Al-Hambra kepada pihak Kristian. Raja Ferdinand kemudiannya telah meminta Mandhurah (seorang paderi di Sepanyol ketika itu) untuk masuk terlebih dahulu ke kota Granada dan kemudian meletakkan palang salib di bahagian menara tertinggi istana Al-Hambra, di samping membuang segala syiar-syiar Islam yang ada di situ.

Berita ini semakin mengejutkan rakyat jelata. Mereka kelihatan sangat sedih dan marah. Apabila Raja Ferdinand tiba, Sultan Muhammad XII menyerahkan kunci istana Al-Hambra dan berkata kepada Raja Ferdinand:
Wahai raja yang agung! Kami kini adalah orangmu dan meletakkan kepercayaan negeri ini ke atasmu kerana ia telah menjadi takdir Allah. Kami yakin kami akan menerima layanan yang lembut dan baik darimu.

Selepas itu, Sultan Muhammad XII meninggalkan Raja Ferdinand untuk melarikan diri ke Morocco. Saudara-mara, keluarga, barangan peribadi dan hartanya telah pun dihantar terlebih ke sana. Sementara itu, palang salib kelihatan bersinar-sinar di atas menara Al-Hambra. Raja Ferdinand dan puak-puaknya berbondong-bondong memasuki Istana Al-Hambra.

Apabila Sultan Muhammad XII sampai ke puncak sebuah bukit yang berdekatan dengan Istana Al-Hambra, baginda memalingkan muka ke arah Granada. Memori-memori keagungan Al-Hambra bermain di fikirannya.Dan sultan itu akhirnya menangis. Ibunya yang ada pada masa itu berkata:
Apabila engkau tidak dapat menyelamatkan negaramu walaupun engkau telah menjadi seorang askar yang gagah berani, kini apa gunanya untuk mengalirkan air mata seperti seorang wanita?

Dan sultan itu terus menangis...


Mungkinkah di bukit sana sultan itu menangis?

---
* Turut dikenali sebagai Boabdil dan Abu Abdullah. Baginda adalah Sultan terakhir kerajaan Islam Granada.

1 Komen Tambah Komen↴

kata2 ibu sultan tersebut amat berbisa..

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.