Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label bahasa. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label bahasa. Papar semua catatan

    Politik dan Bahasa

    30 Mei 2010 • 16 Komen
    Seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini, saya suka bereksperimentasi dengan bahasa. Tapi ada ramai orang yang tidak suka bila bahasa kita ditambah-tambah dengan istilah baru.

    Kadang-kadang, mereka ini tidak suka hanya kerana pencipta istilah baru itu duduk dalam parti politik yang tidak mereka gemari. Namun inilah yang sebenarnya berlaku di negara kita: Bahasa adalah sesuatu yang sering dipolitikkan.

    Bila Najib memperkenalkan perkataan 'glokal' yang berasal dari 'global' dan 'lokal', ramai orang marah-marah padanya. Kita berspekulasi bahawa istilah 'glokal' semata-mata diwujudkan untuk kepentingan politik Najib. Demi politik, Najib telah merosakkan bahasa. Ini apa yang rata-rata pejuang bahasa rasa.

    Namun mana dia pejuang bahasa yang mempersoalkan apabila Pak Samad Said membuat bidaah bahasa apabila beliau memperkenalkan istilah 'catakserukin' yang merupakan gabungan 'Cakap tak serupa bikin'?

    Istilah ini mula-mula diperkenalkan di dalam satu majlis politik anjuran Pakatan Rakyat; maka jelas istilah ini bersifat politik. Ia bukan lagi satu spekulasi. Lalu mengapa tiada seorang pun pejuang bahasa yang bising-bising?

    Kenapa Najib Razak tak boleh, tapi Pak Samad Said boleh? Adakah kerana beliau merupakan Sasterawan Negara? Jika ya, bukankah ini akan merencatkan perkembangan bahasa kerana kita seolah-olah hanya membenarkan golongan elit bahasa sahaja yang berhak untuk mencipta sebarang istilah baru?


    Mukadimah puisi 'Pemimpin Catakserukin'.


    Sebelum ini, bila Mahathir menggunakan istilah 'bajet' dan bukannya 'belanjawan', pun ramai orang marah-marah menuduh Mahathir sebagai perosak bahasa. Mengapa perlu meminjam lagi daripada Bahasa Inggeris? Bukankah kita sudah ada istilah yang jauh lebih 'Melayu' bunyinya di dalam kamus kita?

    Namun, belum pernah lagi saya dengar cerita-cerita pejuang bahasa yang mempertikaikan mengapa para penulis muda kita di luar negara telah bersetuju untuk sama berpayung di bawah kumpulan yang dinamakan Grup Karyawan Luar Negara.

    Logo GKLN.


    Kenapa grup? Walaupun perkataan ini memang termaktub di dalam Kamus Dewan, namun bukankah ada banyak lagi perkataan lain yang lebih 'Melayu' bunyinya seperti kumpulan, gabungan, pertubuhan, persatuan, atau sekurang-kurangnya kelab (Eng: club)?

    Jika anda pejuang bahasa yang adil lagi saksama, maka anda akan menerima apa sahaja istilah baru yang masuk ke dalam bahasa ibunda kita. Kalau ia tidak sesuai lagi janggal, maka bukan anda yang menolaknya, tetapi pengguna bahasa itu sendiri yang akan mengenepikannya sendiri secara beransur-ansur.

    Contohnya ketika era lewat 90-an di waktu orang kita baru mahu kenal apa itu internet, kita telah menggunakan istilah 'hiperangkai' sebagai terjemahan kepada 'hyperlink'. Namun oleh kerana istilah ini terlalu janggal di telinga dan lidah, kita telah menolaknya secara perlahan-lahan. Kini, istilah 'pautan' telah memupuskan 'hiperangkai'.

    Cuba bayangkan anda hidup di zaman ketika istilah 'buku' (Eng: book) mula dipopularkan. Anda bermati-matian menentang 'buku' kerana 'kitab' sudah ada pun sedia ada di dalam bahasa kita. Ditakdirkan Allah, usia anda panjang: Anda hidup sehingga hari ini.

    Maka pasti anda akan malu apabila kesudahannya, orang kita sudah selesa dan terbiasa menggunakan 'buku'. Bahkan, etimologi 'kitab' itu sendiri kini sudah berubah apabila ia hanya merujuk kepada bahan bacaan yang lebih bersifat keagamaan sahaja.

    Demikianlah ceritanya.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Dakyah Bahasa yang Saya Anuti

    12 November 2008 • 36 Komen
    Rukun dalam sebuah dakyah bahasa yang saya cipta dan anuti ada 2 perkara:

    1) Eja setiap perkataan dengan betul walau serojak mana pun ia

    Gambar tulisan pelbagai bahasaSejak mula menulis blog, saya berusaha memastikan setiap perkataan dieja dengan betul. Malah saya turut membuat entri khas bertajuk Skemakan Tajwid Bahasa Malaysia Anda bagi menyebarkan dakyah yang saya anuti itu.

    Pernah sekali tulisan saya bertiangkan bahasa rojak dalam entri Bila Bahasa Kahwin Campur. Walaupun Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris telah berkhalwat di dalam karya eksperimentasi tersebut, namun saya tetap mengeja sekalian perkataannya dengan betul dan sahih.

    Di internet khususnya, antara sebab utama mengapa kita wajib mengeja dengan betul adalah kerana ia memudahkan proses penyampaian dan pemindahan ilmu di kalangan para penutur bahasa yang berbeza.

    Jika dibandingkan dengan Babel Fish, saya mendapati Google Translate adalah bidaah terbaik dan terpenting dalam aspek bahasa di era internet ini. Google Translate telah memudahkan proses pemahaman saya terhadap beberapa teks berbahasa Arab, Perancis dan Jepun yang pernah saya selisihi.

    Semestinya, terjemahan komputer tidaklah setepat mana. Namun dengan berbekalkan sejemput common sense, educated guess dan logik, kita hampir sahaja boleh memahami keseluruhan isi kandungannya. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan pertukaran bahasa penting dunia; misalnya daripada Spanish kepada English. Sepanjang pemerhatian saya pula, proses terjemahan itu semakin mantap dari masa ke semasa.

    Pada waktu ini, fungsi terjemahan melibatkan Bahasa Malaysia masih belum ada di Google Translate. Bahasa Indonesia baru-baru ini sudah ada. Namun saya mendapati fungsi terjemahan Bahasa Indonesia juga sudah boleh dikira bagus. Contohnya lihat blog Hembusan ini apabila ia diterjemahkan daripada Bahasa Indonesia kepada Inggeris.

    Di samping itu, Google Translate turut memiliki fungsi untuk mencadangkan terjemahan yang lebih baik (perhatikan Suggest a better translation):

    Terjemahan kepada artikel Mengapa Dewan Rakyat Unik?


    Maka sebagai persediaan, saya menyeru anda agar mengeja setiap perkataan dengan betul. Demi proses penyebaran maklumat dan ilmu merentasi bahasa, bermulalah dari sekarang.

    Sila eja tiada, bukan xde. Sila eja saya, bukan sy atau sayer. Sila eja makan, bukan mkn. Makan apabila diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris akan menjadi eat; tetapi kalau mkn, mahu diterjemahkan sebagai apa?

    Selain ejaan, tanda baca juga harus digunakan dengan betul. Contohnya ayat seperti:
    nama saya tawel... saya suka makan karipap.sedap tau! Awak suka tak???
    wajib ditulis seperti ini:
    Nama saya Tawel. Saya suka makan karipap. Sedap tau! Awak suka tak?
    Sepanjang saya berblog, seingat saya sudah ada 2 orang penutur bukan Bahasa Malaysia yang cuba mencerna (iaitu: bukan sekadar melihat) isi kandungan blog ini. Pertama oleh Lost Fish:
    ... Back to point. I think I've finally found a blog worth reading that I'm really interested in following, and even more surprised (at myself) that it's in Malay! Apparently my grasp of Malay isn't that terrible. I could not only see the quality of writing and the command of the language (in the written form in the least) in your posts but I could understand what was written and I would like to believe that I could follow some of the train of thought or at least grasp some of what was trying to be communicated. And without much difficulty! ...
    What language is this, I am trying to translate.

    Pengajarannya, setiap tulisan yang kita hasilkan berkemungkinan besar boleh diambil manfaatnya oleh orang yang tidak sebahasa dengan kita. Justeru, bantu mereka dengan mengeja setiap kalimah dengan betul.

    Khalas!

    2) Gunakan istilah-istilah baru bersifat organik di dalam penulisan tidak formal

    Menulis blog telah memberikan saya ruang untuk melakukan eksperimentasi bahasa. Ruang ini tidak mungkin saya gapai jika saya menulis di akhbar atau majalah yang sudah tentu terikat dengan gaya penulisan formal.

    Seraya itu tiadalah saya malu tersipu-sipu untuk mengembleng istilah-istilah baru dan popular seperti poyo, skodeng, masyuk, cikai, kantoi, usha dan sebagainya di blog ini. Istilah sengal yang lazimnya dikaitkan dengan masalah otot pula, baru-baru ini saya gunakannya sebagai satu kata sifat [1]. Tujuan saya menggunakan istilah-istilah tersebut adalah kerana sifat kelahirannya yang organik.

    Untuk memahami apakah erti 'organik' ini, lebih mudah untuk kita melihat maksud 'makanan organik'. Makanan organik adalah makanan yang dihasilkan secara fitrah; ia tidak memerlukan agen luaran yang tidak asli. Maka 'ayam organik' bermaksud ayam yang dibesarkan tanpa pengaruh hormon tambahan. 'Sayuran organik' pula tumbuh tanpa perlu diberi baja sintetik dan disembur dengan pestisid.

    Dalam konteks 'istilah organik', maksudnya ia hadir dalam kelompok masyarakat, tanpa perlu untuk kita meminjam istilah-istilah asing. Acapkali kita sendiri pun tidak pasti dari mana ia datang, bagaimana ia wujud dan mengapa semakin ramai orang memilih untuk menggunakannya.

    Apa yang sedang saya utarakan ini sebenarnya adalah berkaitan dengan etimologi. Tanpa perlu untuk kita memahami panjang lebar apakah itu etimologi, maka cukuplah dengan saya mendefinisikannya sebagai satu cabang ilmu tentang asal-usul perkataan dalam sesebuah bahasa.

    Dengan memahami etimologi, kita akan lebih menghargai kewujudan istilah-istilah baru dalam bahasa kita; sama ada ia bersifat organik atau pun dipinjam daripada bahasa lain. Para mujahid dan mujahidah bahasa yang sinikal terhadap penggunaan istilah poyo, skodeng, masyuk, cikai, kantoi, usha dan sebagainya dalam pertuturan seharian, sebenarnya telah bersifat sangat tidak realistik. Hujah tipikal mereka: Istilah-istilah tersebut tiada dalam Kamus Dewan.

    Benar ia tiada di dalam Kamus Dewan. Namun sejak bila pula kamus menentukan istilah apa yang hendak manusia gunakan di dalam bahasa sesebuah bangsa? Kamus itu sifatnya sekadar untuk mengumpulkan istilah-istilah yang bergentayangan di dalam masyarakat. Maksudnya, mesti ada istilah dahulu sebelum terbitnya kamus:
    "Kita kena faham bahawa kamus adalah merakam semua istilah yang terapung atau berada dalam masyarakat. Tetapi DBP menasihatkan istilah mana yang sesuai dalam suasana rasmi dan mana yang tidak sesuai." - Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Abdullah, DBP dan Kemandulan Minda.
    Selain itu, kamus turut berperanan untuk menyelaraskan ejaan piawai bagi sesebuah istilah [2]. Contohnya jika 'skodeng' akan dimuatkan ke dalam Kamus Dewan edisi berikutnya, maka bagaimana mahu mengejanya? Skodeng, sekodeng atau skoding?

    Kamus wujud apabila sistem tulisan wujud. Sistem tulisan pula adalah antara ciri sebuah masyarakat bertamadun. Oleh sebab itu kesemua tamadun-tamadun awal dunia mempunyai sistem tulisannya yang tersendiri: Tamadun Mesir dengan sistem tulisan heiroglif, Tamadun Lembah Indus dengan skrip Indus dan Tamadun Sumeria dengan cuneiform.

    Dengan kata lain, sebelum manusia membentuk tamadun, mereka tiada sistem tulisan, tiada kamus dan tiada badan-badan bahasa untuk memantau istilah yang digunakan oleh masyarakat. Lalu sebelum terbentuknya itu semua, siapakah yang menentukan hidup mati sekalian perbendaharaan kata di dalam bahasa tersebut?

    Jawapannya tidak lain tidak bukan; iaitu masyarakat itu sendiri. Mereka lah yang menentukan istilah-istilah yang sifatnya datang dan pergi itu. Proses primitif ini masih berlaku pada dunia moden hari ini dan akan terus berlaku sehinggalah ke hari kiamat.


    Mengapa sesebuah istilah bertahan dan pupus?

    Sesebuah istilah bertahan apabila masyarakat tetap menggunakannya. Istilah 'syurga' dan 'neraka' yang masing-masing berasal daripada 'swarga' dan 'naraka' di dalam Sanskrit, adalah antara yang masih kekal kita gunakan. Istilah tersebut mula wujud semenjak fasa Bahasa Melayu Kuno yang berlaku ketika Alam Melayu masih lagi di bawah pengaruh Hindu.

    Apabila bahasa kita memasuki fasa Bahasa Melayu Klasik yang berlaku setelah Islam menebarkan sayapnya di Nusantara, istilah 'jannah' dan 'jahanam' mula dipopularkan. Namun sehingga sekarang apabila kita berbicara tentang konsep kehidupan sesudah mati, istilah 'neraka' dan 'syurga' yang jauh lebih berusia itu adalah yang paling relevan di hati penutur Bahasa Malaysia.

    Jika Bahasa Inggeris mengalami zaman puncaknya ketika era Shakespeare, maka bahasa kita pula meniti zaman emasnya ketika fasa Bahasa Melayu Klasik. Di era inilah munculnya karya-karya sastera Melayu terbaik seperti Sejarah Melayu, Bustanus Salatin dan Hikayat Amir Hamzah. Untuk memahami seni karya tersebut dalam acuannya yang asli adalah agak merumitkan. Ia memiliki struktur ayat yang janggal kepada penutur moden dan dihiasi pula dengan banyak istilah yang sudah tidak kita gunakan lagi.

    Apa yang cuba saya sampaikan ialah bahasa sentiasa berevolusi. Lenggok bahasa yang digunakan pada hari ini akan jauh berbeza daripada apa yang bakal digunakan oleh manusia pada tahun 2500. Sebahagian istilahnya pula akan pupus pada tahun tersebut apabila masyarakat beransur-ansur tidak menggunakannya lagi.

    Katakanlah istilah 'skodeng' dan 'poyo' pertama kali digunakan ketika fasa Bahasa Melayu Kuno; lalu ditakdirkan bangsa kita memilih untuk terus menuturkannya. Tentu tidak rasional apabila manusia yang hidup beratus-ratus tahun selepas itu untuk mempersoalkan penggunannya.

    Maka begitu jugalah dalam konteks kita pada hari ini. Apabila penutur Bahasa Malaysia semakin mempopularkan istilah 'skodeng' dan 'poyo', maka lama-kelamaan istilah itu sendiri akan jadi serasi dengan kita. Bila sudah serasi ia akan dimasukkan ke dalam kamus untuk diberikan definisi yang tepat dan ejaan yang piawai.

    Pada 500 tahun yang akan datang, penutur Bahasa Malaysia di waktu itu akan menganggap 'skodeng' dan 'poyo' adalah antara khazanah istilah di dalam bahasa yang mereka tuturkan itu. Silap-silap haribulan pada tahun tersebut, ia juga akan dilabelkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai sesuai digunakan untuk urusan formal.

    Di samping itu, mereka juga akan terlepas pandang kepada suatu hakikat bahawa semasa sekalian istilah itu mula terapung di dalam masyarakat, mereka yang menuturkannya telah sewenang-wenangnya dilabel sebagai pelacur bahasa. Para penuduh ini sebenarnya adalah pejuang bahasa yang sangat tidak realistik kerana mereka lupa bahawa segala istilah wujud melalui 2 cara.

    Pertama: Melalui peminjaman daripada bahasa asing. Ketahuilah bahawa masa yang berlalu akan menyebabkan sekalian istilah-istilah baru yang dipinjam itu akan menjadi serasi dan diterima. Jika tidak serasi, masyarakat sendiri akan menolaknya.

    Hari ini kita gusar tentang penjajahan Bahasa Inggeris di dalam bahasa kita. Konon-kononnya imperialisme bentuk baru. Namun dalam masa yang sama kita masih selamba badak menggunakan istilah-istilah seperti almari, limau, garpu dan jendela yang terang-terang berasal daripada Bahasa Portugis. Eh mat, kenapa engkau masih menggunakan istilah-istilah tersebut? Bukankah ia sebuah syiar imperialisme Bahasa Portugis kepada bahasa kita yang berlaku sepanjang mereka terconggok di Melaka beratus tahun nan lampau?

    Apabila Islam datang ke Tanah Melayu, bukankah para pedagang dan pendakwah berbangsa Arab juga telah melakukan imperialisme ke atas bahasa kita? Bukan sikit-sikit penjajahan yang dilakukan oleh Bahasa Arab ini. Pada hari ini, jarang orang mengkritik seorang ustaz yang menggunakan 'ana' dan 'anta' di dalam ceramahnya. Sebaliknya seorang guru Bahasa Inggeris yang sesekali tersasul dengan 'I' dan 'You' bila bercakap, sering dilihat sebagai orang Melayu yang mahu jadi mat saleh.

    Sebagai nota tambahan, ana, anta, You dan I ada terdapat di dalam Kamus Dewan. Begitulah adanya.

    Kedua pula adalah secara organik: Sepertimana yang dihuraikan sejak awal tadi, ia langsung tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur bahasa asing. Bahasa kita perlu lebih diperkayakan lagi dengan istilah-istilah organik.

    Penutup

    Untuk sesebuah bahasa itu terus berkembang, tidak pupus dan terus dituturkan, maka kita wajib bersifat liberal. Jangan takut untuk bereksperimentasi dengan istilah-istilah organik dan pinjaman. Jika kita terlalu keras dalam proses kemasukan istilah baru, maka silap haribulan bahasa kita akan senasib seperti Latin yang sudah pupus itu. Bahasa yang sudah pupus tidak menerima kemasukan kosa kata yang baru.

    Salah satu kekuatan Bahasa Inggeris adalah dari sudut etimologinya. Ia membuat pinjaman bahasa-bahasa asing dengan begitu meluas sekali; termasuklah dari Bahasa Malaysia. Bahkan bila difikirkan, kadang-kala cara bahasa tersebut memperkayakan dirinya adalah agak aneh dan melucukan.

    Ungkapan D'oh yang sering dijerit oleh Homer dalam siri kartun The Simpson telah dimasukkan ke dalam Oxford English Dictionary.

    Google pula sekarang bukan sekadar satu jenama, ia adalah kata kerja!

    Istilah w00t yang popular di kalangan geek, di samping sinonim dengan permainan komputer Counter-Strike, telah memenangi Merriam-Webster's Word of the Year 2007 dan telah pun dimasukkan ke bahagian Open Dictionary-nya. W00t juga berkemungkinan besar akan dimasukkan ke kamus edisi cetaknya.

    Khalas!


    Nota Kaki

    ^ [1] Ia merujuk kepada entri Harian Metro yang Sengal dan Setiap Negara Ada Akhbar Sengal yang Tersendiri.

    ^[2] Antara ejaan yang dianggap piawai oleh kita:
    • Celupar; padahal celopar;
    • War-war atau pun uar-uar; padahal wara-wara. (Wara-wara berasal dari perkataan Jawa)
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Nama Barat Saya Ialah Ray

    20 Mei 2008 • 23 Komen
    Apa ada pada nama? Kredit Jack Dorsey


    Beberapa tahun dahulu, setelah saya menyedari bahawa orang-orang putih ini sangat sukar untuk menyebut, apatah lagi untuk ingat nama sebenar saya, maka saya memutuskan untuk memBaratkan nama saya. Lalu saya memilih 'Ray' kerana bunyinya agak hampir dengan nama sebenar saya, di samping ia turut membawa maksud yang baik iaitu sinaran (sebenarnya ada banyak lagi makna ray).

    Agenda pemBaratan nama saya ini sangat berjaya kerana sesudah itu, tiada seorang pun di antara mereka yang bertanya soalan seperti, "Sorry, what's your name again?" Hal ini sedikit sebanyak telah meruntuhkan dinding komunikasi di antara saya dan mereka.

    Apabila saya mula menulis blog kira-kira 3 tahun lebih yang silam, saya menggunakan kata ganti diri 'aku'. Kemudian apabila saya berhasrat untuk menjadikan blog ini lebih bersifat mainstream, dan tidak seolah-olah hanya ditujukan kepada kawan dan kenalan saya, maka 'aku' telah diubah menjadi 'saya'. Saya tidaklah pula tahu sama ada agenda ini berjaya atau pun tidak. Cuma apa yang saya percaya, istilah 'saya' adalah lebih selamat digunakan berbanding 'aku' kerana kita tidak akan tahu 100% bahawa pelawat yang membaca tulisan kita itu sebaya, lebih muda atau pun lebih tua daripada kita.

    Jangan lupa bahawa kita tidak menggunakan kata ganti diri pertama 'aku' ketika bersembang dengan orang yang lebih tua. Kalau di Sabah dan Sarawak, itu mungkin lain ceritanya kerana menurut cikgu Bahasa Malaysia saya yang pernah bertugas di sana, kalau anak muridnya mahu ke tandas, mereka dengan santainya berkata, "Cikgu, aku mahu ke tandas."

    Kemudian sepanjang saya menulis di blog ini, saya menjumpai dan dilawati oleh para bloggers yang tidak menggunakan 'saya' mahupun 'aku'. Sebaliknya mereka menggunakan istilah ana, anta, anti, antum, akhi, akhina, ukhti, termasuklah juga kaifahaluk, ahlan wa sahlan, ukhuwwah fillah dan sebagainya. Ini sedikit sebanyak membuatkan saya berasa sedikit janggal kerana saya tidak membesar dalam istilah-istilah tersebut. Saya bukan budak lepasan sekolah agama dan tidak pula mengambil mana-mana pengajian bahasa Arab. Walaupun saya ada juga sesekali menggunakannya dalam beberapa konteks tulisan saya, namun jika ia digunakan secara meluas, saya berpendapat ia boleh menjadi satu dinding komunikasi untuk menarik pembaca baru seperti saya.

    Namun demikian, adalah penting juga untuk menjadi diri sendiri dalam setiap tulisan yang kita hasilkan. Walaupun saya secara peribadinya tidak menggalakkan mana-mana blogger untuk mengArabkan kata ganti nama diri, namun jika ana, anta, anti dan antum sudah sebati dalam diri, sehingga dalam perbualan harian pun itulah yang digunakan, maka teruskanlah. Namun jika di dunia realiti, istilah 'aku' dan 'saya' yang selalu dilafazkan, maka agak kurang bijak untuk membahasakan diri sebagai 'ana' apabila menulis.

    Ingat, membina sebuah blog yang membincangkan isu-isu Islam tidak semestinya bermaksud bahawa kita perlu juga mengArabkan kata ganti nama diri kita.

    Pada akhirnya ia lebih bergantung kepada siapa tulisan itu hendak disasarkan. Jika kumpulan sasarannya adalah mereka yang tidak mengambil pengajian Islam, bukan juga lepasan sekolah agama mahupun Timur Tengah, maka istilah 'saya' atau sekurang-kurangnya 'aku' adalah lebih mesra sifatnya. Begitu jugalah sebaliknya.

    Ini semua penting bagi merobohkan sedikit dinding komunikasi yang boleh menghalang terbentuknya titik persefahaman di antara satu sama lain.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    A₁L₁L₁E₁Y₄C₃A₁T₁S₁ == N₁I₁Z₁₀A₁R₁

    29 April 2008 • 8 Komen
    Siapa Nizar? Nizar adalah Menteri Besar Perak yang baru. Siapa Alleycats? Alleycats adalah satu kumpulan muzik dari Malaysia yang membawa lagu-lagu bertema pop balada. Sepintas lalu, tiada persamaan ketara antara mereka. Rambut mereka mungkin sama hitam, tapi fesyennya lain-lain. Sebenarnya, Nizar dan Alleycats itu walaupun aspirasi dan medan perjuangan mereka berlainan, namun dari segi pendekatan, mereka ada sekurang-kurangnya satu persamaan. Apa dia? Bahasa.

    Oh ya di samping itu juga, secara Scrabblenya, A₁L₁L₁E₁Y₄C₃A₁T₁S₁ == N₁I₁Z₁₀A₁R₁ = 14 mata. Ini sekadar satu trivia sahaja sebelum kita sembang hal yang mungkin agak berat bagi sesetengah orang.

    KUMPULAN ALLEYCATS

    Abang saya yang seorang itu minat sungguh dengan Alleycats. Semua album-album Alleycats dia ada. Walaupun saya tidak hidup di zaman keemasan Alleycats, namun gara-gara selalu mendengar lagu mereka yang sering diputarkan oleh abang saya itu, akhirnya saya bolehlah juga dikira sebagai peminat Alleycats. Walaupun kumpulan ini sudah berusia lebih 30 tahun dan penyanyi utamanya sudah pun meninggal dunia baru-baru ini, namun lagu-lagu mereka masih berhantu kepada orang-orang Melayu.

    Loga dan David Arumugam


    Ini sesuatu yang menarik untuk difikirkan memandangkan kumpulan Alleycats adalah satu-satunya pemuzik bukan Melayu yang berjaya mencuri hati pendengar Melayu yang tua mahu pun yang muda dengan begitu berkesan sekali. Saya tidak fikir suara Loga dan David Arumugam yang serak berlemak itu akan memberi kesan yang sama kepada orang-orang Melayu khususnya, dan Malaysia amnya, sekiranya lagu-lagu Tamil atau Inggeris adalah pentas perjuangan mereka.

    Dengan kata lain, Alleycats dekat kepada hati para pendengar Melayu kerana bahasa yang menjadi medium komunikasi mereka adalah sama. Bahkan ketika kali pertama saya mendengar lagu-lagu mereka sewaktu saya kecil, tertipu saya dibuatnya kerana menyangka Alleycats adalah sebuah kumpulan muzik Melayu.

    MOHAMAD NIZAR

    Apabila saya membaca profil Ir Mohamad Nizar Jamaludin, sukar rasanya untuk tidak bergosip dengan beberapa rakan saya tentang alangkah bagusnya jika Nizar ini boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia satu hari nanti.

    Tidaklah sesuatu yang ajaib jika Nizar petah berbahasa Cina memandangkan beliau memang ada darah tersebut. Apabila beliau boleh juga berbahasa Tamil, maka itu adalah satu bonus yang menjadikannya orang paling layak menyandang jawatan politik paling tinggi di negeri Kejo Yeop Kejo selepas berlabuhnya tirai PRU12.

    Pengetahuan Nizar dalam dua bahasa ibunda kepada bangsa kedua dan ketiga terbesar di Malaysia ini pastinya akan lebih memudahkan beliau berkomunikasi dengan rakyat. Kalau saya orang India, mesti saya terkesima gembira sambil tersengih-sengih apabila Nizar berbual-bual dengan saya dalam bahasa Tamil. Tidak hairanlah beliau pernah memukau hadirin yang majoritinya berbangsa Cina dalam sebuah forum yang diadakan di Dewan Dou Mu, Ipoh.

    Di sinilah letaknya persamaan Nizar dan Alleycats. Jika Alleycats sangat sinonim dengan bangsa Melayu kerana perjuangannya berpentaskan lagu-lagu Melayu, maka Nizar juga mampu meraih sokongan kuat dari semua bangsa di Perak melalui faktor bahasa juga, tetapi dengan beberapa syarat jugalah seperti adil dan bebas rasuah, kerana realiti politik tidak sama seperti dunia hiburan.

    BAHASA SEBAGAI AGEN PERPADUAN

    Saya tidak percaya budak-budak sekolah yang belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris boleh menjadikan mereka lebih bijak dalam subjek berkenaan. Pelajar sekolah di Finland yang dinobatkan sebagai antara golongan pelajar paling pintar di dunia, tidak mempelajari subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya bahasa ibunda mereka, Finnish, digunakan.

    Wall Street Journal ada melaporkan tentang keadaan pelajar sekolah di sana dan ia menunjukkan bahawa bahasa Inggeris tidak memainkan peranan yang penting sama sekali. Apa yang relevan adalah teknik dan polisi, yang mana banyak di antaranya akan membuatkan kita berfikir sejenak tentang hala tuju sistem pendidikan negara kita:
    High-school students here rarely get more than a half-hour of homework a night... ...Finnish educators believe they get better overall results by concentrating on weaker students rather than by pushing gifted students ahead of everyone else. The idea is that bright students can help average ones without harming their own progress...

    ..In most countries, education feels like a car factory. In Finland, the teachers are the entrepreneurs... ...While many U.S. parents worry about enrolling their toddlers in academically oriented preschools, the Finns don't begin school until age 7, a year later than most U.S. first-graders...

    Sebab itu bagi saya, daripada mengajar budak-budak sekolah subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris, alangkah bagusnya jika mereka ini diajarkan bahasa Tamil dan Mandarin. Dengan cara ini, semua bangsa yang ada di Malaysia ini akan boleh bercakap sekurang-kurangnya empat bahasa. Kalau budak sekolah agama, mereka akan tahu juga bahasa Arab, dan ini menjadikan lima bahasa.

    Seandainya ini berlaku, hebat rakyat Malaysia dipandang dunia sebab tiada lagi mana-mana negara setakat ini yang mana majoriti rakyatnya boleh faham dan/atau bertutur dalam sekurang-kurangnya empat bahasa! Taiko-taiko pendidikan di UK juga pasti akan terpegun kerana mereka sendiri juga sedang berusaha memastikan pelajar sekolahnya mempelajari bahasa kedua seperti Mandarin:
    The current dominance of the English language poses "serious" economic and political disadvantages for the UK, the study claims... ...Spanish, Mandarin and Arabic are all languages of the future.

    Bagi situasi di Malaysia pula, ia lebih membawa kepada perpaduan kaum. Satu-satunya sebab mengapa keluarga John sangat disenangi oleh orang-orang kampung saya adalah kerana mereka sekeluarga mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih dan baik sekali. Sebab itu apabila saya berbual dengan anak lelaki dan perempuan mereka yang lebih kurang sebaya dengan saya, perbualan itu (hatta perbualan yang pertama kali) menjadi sangat mesra seolah-olah saya sedang berbual dengan rakan berbangsa Melayu. Mujur saya tidak jatuh hati pada anak perempuannya yang lawa itu.

    Akuilah bahawa kita sebenarnya suka jika orang bangsa lain tahu cakap bahasa kita. Saya pernah tersengih-sengih bila melihat seorang mat saleh menyanyi lagu Renjis-renjis Dipilis sambil memetik gitar kapoknya. Dan saya juga rasa bangga apabila ada Pak Arab yang boleh berkecek Melayu Kelate dengan fasih. Malah saya juga mudah mesra dan suka dengan beberapa orang-orang Arab dan Pakistan di sini yang sesekali menegur saya dalam Bahasa Melayu. Inilah psikologi first impression.

    Maka akuilah bahawa begitu jugalah sebaliknya. Orang Cina dan India juga akan jadi lebih rapat dengan orang Melayu jika kita boleh bercakap dalam bahasa ibunda mereka dengan fasih. Kita selalu mahukan agar orang Cina dan India memahami adat dan budaya orang-orang Melayu, namun saya sendiri tidak nampak usaha-usaha pragmatik yang dijalankan bagi merangsang orang-orang Melayu supaya memahami adat dan budaya bangsa lain.

    Saya percaya hal ini boleh dilakukan melalui bahasa. Bahasa itu tingkap budaya. Seperti mana yang kita tahu, cerita-cerita rakyat seperti Pak Pandir, Lebai Malang, Mat Jenin, Sang Kelembai, dan sebagainya, banyak mendokumentasikan budaya-budaya Melayu dalam cara yang tidak formal. Maknanya jika bangsa lain membacanya, mereka secara tidak langsung akan lebih memahami bangsa Melayu itu sendiri.

    Saya ada satu soalan yang sesekali dilontarkan kepada diri sendiri dan berusaha menjawabnya tanpa perlu berkhalwat dengan Sheikh Google: "Berapa banyak watak daripada cerita-cerita rakyat bangsa Cina dan India yang aku tahu?" Tak terjawab aku dibuatnya! Ini baru cerita-cerita rakyat, belum masuk bab prosa klasik.

    Jangan harapkan agar orang lain memahami kita sekiranya kita sendiri tidak berusaha untuk memahami orang lain.

    BAHASA DAN DAKWAH

    Nabi Muhammad sallahu alayhi wassalam apabila berjumpa dan berdakwah kepada pelbagai suku Arab, Baginda akan bertutur dalam dialek yang digemari oleh suku tersebut. Maka tidak hairanlah apabila Al-Quran itu sendiri diturunkan dalam 7 jenis qiraat, iaitu tujuh cara bacaan yang berbeza.
    Ubai bin Ka'ab meriwayatkan bahawa satu hari Malaikat Jibril datang bertemu Rasulullah sallahu alayhi wassalam, lalu berkata Jibril kepada Baginda: "Allah telah memerintahkan engkau supaya membacakan Al-Quran kepada para pengikutmu dalam satu dialek." Baginda menjawab: "Aku memohon ampun kepada Allah. Pengikutku tidak mampu menerimanya."

    Jibril datang buat kali yang kedua lalu berkata, "Allah telah memerintahkan engkau supaya membacakan Al-Quran kepada para pengikutmu dalam dua dialek." Baginda menjawab, "Aku memohon ampun kepada Allah. Pengikutku tidak mampu menerimanya."

    Jibril datang buat kali yang ketiga lalu berkata, "Allah telah memerintahkan engkau supaya membacakan Al-Quran kepada para pengikutmu dalam tiga dialek." Baginda menjawab, "Aku memohon ampun kepada Allah. Pengikutku tidak mampu menerimanya."

    Jibril kemudian datang lagi buat kali yang keempat dan berkata, "Allah telah memerintahkan engkau supaya membacakan Al-Quran kepada para pengikutmu dalam 7 dialek, dan mana satu pun dialek yang mereka ikut, mereka akan tetap betul."

    (Hadith Sahih Muslim, Buku 4, Hadith 1789)

    Pengajaran yang kita boleh ambil ialah jika dua pihak menggunakan bahasa yang sama, maka ia akan memudahkan proses komunikasi dakwah itu sendiri, bahkan dapat pula merapatkan jurang perbezaan budaya antara satu sama lain. Allahyarham Imam Zaki Badawi yang pernah bertugas sebagai Imam di Masjid Besar London, sering menyeru imam-imam masjid yang bertaburan di UK agar memberikan khutbah dalam bahasa Inggeris:
    I was horrified that none of the other imams could speak English. I was amazed that they didn't understand anything about other religions and were so unfamiliar with western culture.

    Sebenarnya ini antara kisah benar perkembangan Islam di negara 'kuffar' pada hari ini. Contoh yang paling dekat dengan saya berlaku di Masjid Dublin. Orang-orang yang kuat pengaruhnya di masjid tersebut ada di antaranya yang telah hidup lebih 10 tahun di sini. Namun, penguasaan bahasa Inggeris mereka agak mengecewakan. Mereka terlalu mengagung-agungkan bahasa Arab, baik dalam khutbah Jumaat mahu pun majlis ilmunya, sedangkan jemaah yang datang bukan semuanya tahu Arab. Pernah satu Ramadhan dahulu, majoriti majlis ilmu yang diadakan selepas Asar telah disampaikan dalam bahasa Arab sepenuhnya (dan tiada terjemahan langsung).

    Pernah ada seorang brother Melayu yang menegur polisi tidak bertulis masjid berkenaan, dan kemudian jawab salah seorang orang kuat masjid itu, "You should learn Arabic. This is the language of the Jannah!" Ironi sungguh jawapan yang dilontarkan oleh orang kuat masjid tersebut yang sering melaung-laungkan slogan 'kembali kepada Al-Quran dan Sunnah' dan menganggap pula jemaah mereka sebagai Salafi tulen bak golongan Salafus soleh. Adakah mereka ini tidak pernah mengetahui bahawa golongan nenek moyang mereka yang datang berdagang di Nusantara ini, telah berjaya membawa sinar Islam di sini kerana mereka berusaha keras untuk mempelajari budaya dan bahasa penduduk tempatan?

    Hai entahlah Labu. Apa pun yang pasti, daripada dengar lagu Sampaikan Salam Cintaku oleh Alleycats, lebih afdal rasanya jika gegendang telinga itu digegarkan juga dengan lagu Cing Ai Ching Ai oleh Raihan.

    Terima kaseyyy kerana membaca sehingga habis!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Balada Sebuah Kesedaran

    28 Januari 2008 • 20 Komen
    ~ Dengan apresiasi kepada Allah and His Messenger in Our Lives oleh Sheikh Hamza Yusuf ~
    ---

    Mengembalikan sistem khilafah Islam adalah ibarat kita mahu mengubah dunia; kita tidak tahu hendak mulakan dari titik mana dan bagaimana. Mahu tumbangkan pemimpin Islam dan orang bawahannya yang korup, tamak dan bacul dahulukah? Mahu mengubah sistem kapitalis yang tidak berpihak kepada negara-negara Islam yang miskin dahulukah? Mahu hancurkan Amerika, Israel dan konco-konconya dahulukah? Untuk mengubah perkara-perkara ini dan sebagainya, ia banyak bergantung kepada pelbagai faktor.

    'Kita' juga adalah agen kepada perubahan tersebut. Setakat yang saya tahu, 'kita' adalah faktor yang paling senang untuk diubah memandangkan kita belum tentu lagi mampu mengubah korupsi dan kebejatan sosial yang berlaku di sekeliling kita. Jika kita gagal mengubah diri sendiri ke arah yang lebih baik dari semalam, maka impian si Mat Jenin adalah lebih mudah untuk dilaksanakan kalaulah dia tidak mati terjatuh dari pokok kelapa di kala dirinya sedang leka dan asyik tersenyum menganyam angan-angannya. Jika begitu adanya, simpan sahaja hasrat untuk mengubah sebarang sistem yang gagal di sekeliling kita.

    Proses mengubah diri ini memerlukan 'kita' memiliki satu kemahiran yang bernama kesedaran.

    Kesedaran adalah sesuatu yang tidak dipunyai oleh seorang anak kecil berumur 2 tahun yang mana ia menyebabkannya berfikir menutup muka dengan tangannya bermaksud dia sudah berjaya menyembunyikan diri dari ibunya. Kesedaran adalah sesuatu yang mengingatkan monyet di hutan untuk menyorokkan pisang di belakang badannya dan hanya akan memakannya apabila monyet-monyet yang lain tidak melihatnya.

    Kesedaran adalah sebutir permata yang dimiliki oleh generasi Salafus Soleh yang hidup di sekitar 3 kurun pertama Islam dan ia lenyap dalam majoriti Muslim hari ini. Dalam tulisan ini, kesedaran untuk memperindahkan akhlak adalah isunya.

    MUKJIZAT BAHASA AL-QURAN

    Allah bijak menyusun pencaturannya. Nabi Musa memiliki mukjizat untuk menukar tongkatnya menjadi ular kerana di zamannya manusia senang teruja dalam hal-hal sihir dan mistik. Nabi Isa pula dianugerahkan mukjizat untuk menghidupkan orang yang sudah mati kerana di waktunya ilmu perubatan adalah sesuatu yang menjadi kegilaan. Maka Nabi Muhammad dianugerahkan Al-Quran selaku mukjizat paling besar yang dimiliki oleh Baginda.

    Pada waktu itu walaupun bangsa Arab sedang berada dalam keadaan jahiliah, tetapi mereka adalah jaguh dari segi sastera dan linguistik. Kehebatan mereka bukan di tahap jaguh kampung kerana mereka dengan beraninya memberikan gelaran 'ajam, yang bermaksud 'buta bahasa' kepada bangsa Parsi dan Greek. Istilah 'ajam masih kekal digunakan sehingga sekarang, cuma kini ia lazimnya merujuk kepada sesiapa yang tidak tahu bertutur dalam lidah Arab.

    Jadi apabila Al-Quran turun, mereka begitu terpana dan terkesima dengan keajaiban bahasa yang terdapat di dalamnya. Hatta golongan Musyrikin yang masih lagi tidak mahu memeluk Islam, kadang-kala akan mencuri-curi dengar bacaan Al-Quran yang Nabi baca ketika Baginda bersolat.

    Namun di zaman ini, mukjizat keindahan linguistik Al-Quran tidak boleh lagi dijadikan senjata utama untuk mengajak manusia kepada Islam. Walaupun keindahan bahasa Al-Quran telah terbukti berjaya menarik ramai musuh-musuh besar Islam di zaman Nabi seperti Umar al-Khattab, namun di hari ini saya ragu-ragu bahawa George W. Bush akan lembut hatinya kepada Islam apabila dia mendengar bacaan Surah Taha[1] oleh Sheikh Sa'ad al-Ghamidi di dalam iPodnya[2].

    Jadi, apa yang indahnya bahasa Arab sehingga ia berjaya menarik Umar kepada Islam tetapi berkemungkinan besar gagal mempengaruhi Bush?

    Di dalam setiap hasil sastera sesebuah bahasa, sama ada novel, puisi, pantun, syair, prosa, gurindam dan sebagainya, pasti akan ada kecacatan bahasa di sana-sini. Kecacatan ini orang-orang sastera menggelarkannya sebagai baris lemah. Baris lemah wujud apabila sesuatu ayat dalam sesebuah hasil sastera masih belum cukup sempurna yang mana sebenarnya ia masih boleh diperbaiki lagi.

    Dalam karya-karya sastera terbaik yang dikarang oleh William Shakespeare sekali pun, baris lemah tetap wujud, cuma ia tidaklah sebanyak yang terdapat dalam karya-karya yang digarap oleh penulis setahun jagung. Untuk memahami apakah baris lemah ini, kita lihat contoh ayat yang tidak memiliki kecacatan tersebut, iaitu To be or not to be; that is the question yang terdapat di dalam Hamlet. Kita tidak mungkin dapat mengungkapkan To be or not to be; that is the question dalam cara yang lebih indah dan maha sempurna.

    Apa pula contoh ayat yang mengandungi baris lemah? Ia banyak terdapat di dalam tulisan saya di blog ini. Pakar bahasa Melayu yang hakiki akan mampu untuk mengolah semula ayat-ayat saya untuk mengurangkan bilangan baris-baris lemah.

    Al-Quran mengandungi 6236 ayat dan tiada satu pun yang mengandungi baris lemah. Ini menjadi salah satu punca mengapa tiada seorang manusia pun yang mampu mendatangkan sesuatu yang lebih baik dari Al-Quran. Maka sebab itu apabila Musailamah al-Kadzaab yang mengaku dirinya sebagai Nabi, cuba membawa surah yang sama seperti Al-Quran, dia gagal melakukannya, padahal dia adalah antara bangsa Arab yang sangat fasih dan petah dalam berbahasa.

    Hanya dengan keindahan ayat-ayat Allah itu sahaja, dan tanpa memerlukan penjelasan yang panjang lebar tentang apa itu Islam, cahaya iman berjaya menembusi hati-hati golongan Musyrikin waktu itu. Sebab itu seorang sahabat Nabi bernama Uthman bin Mad'ud pernah berkata:
    Rasulullah sallahu alayhi wassalam begitu bersungguh-sungguh dan tidak jemu mengajak aku masuk kepada Islam. Akhirnya aku pun mengalah dan memeluk Islam. Namun iman tidak pernah langsung memasuki hatiku sehinggalah aku mendengar ayat[3]:



    Harus diingat bahawa iman memasuki hati sahabat Nabi ini bukan kerana tertarik dengan keindahan akhlak Rasulullah, sebaliknya keindahan bahasa Arab itulah yang benar-benar membuka hatinya kepada iman walaupun dia sudah pun Islam di kala itu.

    Namun bagaimana pulakah caranya di zaman dahulu, golongan 'ajam yang tinggal di luar jazirah Arab boleh tertarik kepada Islam?

    Apabila Islam mula tersebar di luar Tanah Arab, keindahan bahasa Al-Quran sudah tidak begitu lagi relevan untuk memancing manusia kepada Islam. Bagaimana kita mampu untuk menghargai sebuah keindahan yang tidak kita ketahui hujung dan pangkalnya? Keindahan potret Mona Lisa hanya dapat dihayati dengan sebenar-benarnya oleh seorang pencinta seni yang sejati. Keindahan kalkulus hanya dapat dinikmati oleh seorang pencinta matematik yang hakiki.

    Demikian jugalah dengan keindahan al-Quran. Ia hanya dapat dirasai oleh mereka yang sungguh-sungguh arif dalam bahasa Arab (menjadi orang Arab tidak bermakna seseorang itu sudah mahir dalam bahasa Arab dan majoriti Arab hari ini juga sebenarnya perlu belajar bahasa Arab).

    Maka, akhlak para pendakwah yang merantau di tanah 'ajam memainkan fungsi yang lebih kritikal dalam proses penyebaran Islam di seluruh dunia. Kita ambil contoh bagaimana Islam dibawa masuk ke dalam wilayah Nusantara oleh para pedagang Arab[4]. Apabila pedagang Arab ini melakukan urus niaga dengan penduduk tempatan, mereka tidak melakukannya semata-mata untuk tujuan duniawi. Mereka tidak menipu dalam urusan jual beli. Mereka lebih mengutamakan harga yang berpatutan daripada membuat keuntungan. Apabila ada pelanggan yang tidak mampu untuk membayar hutang kepada pedagang Arab ini, mereka dimaafkan dengan mudah kerana kemaafan dari Allah adalah jauh lebih berharga[5].

    Dengan kata lain, para pedagang yang sekaligus menjadi pendakwah ini telah menterjemahkan al-Quran dalam bentuk yang mudah difahami oleh penduduk tempatan yang tidak tahu sama sekali berbahasa Arab. Akhlak adalah satu-satunya terjemahan universal bagi Al-Quran.

    SEBUAH KESEDARAN

    Mengkritik seorang pemimpin sebagai tidak berakhlak, rendah moral, firaun dan sebagainya, bukanlah sesuatu yang dikeji jika ia terbukti benar. Malah, begitulah sebenarnya interaksi dua hala yang patut berlaku dalam sesebuah kerajaan. Jangan jadi rakyat yang memejamkan mata apabila kecurangan berlaku dalam pemerintahan. Pemimpin pula perlu mencontohi sifat Saidina Umar yang bersyukur apabila ada rakyat yang mahu membetulkan kesilapannya dengan mata pedang[6].

    Fitnah dan kecelaruan timbul apabila kita sentiasa mencari kesalahan orang lain tetapi melupakan kekurangan diri sendiri. Kita menuduh kerajaan sebagai zalim dan tidak bertimbang rasa kepada rakyat, tetapi saya pernah juga berhadapan beberapa kali dengan segelintir manusia yang tidak jauh bezanya dengan sifat kerajaan yang didakwanya itu. Kita bersemangat mahu menegakkan negara Islam, tetapi perintah Nabi yang menyuruh kita berbuat baik, berlemah-lembut dan bertimbang-rasa sesama manusia kita abaikan. Di mana hilangnya akhlak kita?

    Apabila saya membaca buku The Islamist dan menonton filem Rendition, saya menjadi semakin sukar untuk menolak kata-kata Sheikh Muhammad al-Ya'qoubi dalam Advice To Seekers. Katanya:
    "...we need to change [the] direction of Islam in the West. And the way to change it is to bring it from a level of activism to a level of intellectualism. That is to say we need to bring the ummah to [the] higher intellectual level, where the concern of the ummah is the study of the deen and the deliberation on knowledge. Knowledge that belongs to Islamic civilization, knowledge that stems from the Book of Allah, the sunnah of the Prophet sallahu alayhi wassalam and the way of the ulama'.

    Not the level of activism because activism is now stemming from a void, from nothing. Just from anger. The level of Islamic activities now is based on anger, frustration, complaints. It should stem from [the] understanding of our legacy. And no ummah, no nations in the world would succeed if it abandons its history, its legacy..."


    Secara ringkasnya, perjuangan Islam kini kadang-kala lebih bersifat aktivisme yang lahir dari rasa kecewa, meluat dan sakit hati kepada sistem-sistem yang gagal di sekeliling kita. Tutup mata seketika dan cuba renungkan berapa ramai agaknya pejuang Islam hari ini yang benar-benar sudah khatam sekurang-kurangnya perkara-perkara asas dalam ilmu tauhid, fiqh, tasawwuf dan sirah?

    Di samping menambah dan mengamalkan lagi ilmu tentang deen, maka mari juga kita lahirkan kesedaran untuk memperbaiki akhlak kerana ia adalah alat paling penting untuk menjernihkan banyak salah faham tentang Islam dewasa ini.

    Bukankah saya sudah nyatakan tadi bahawa "akhlak adalah satu-satunya terjemahan universal bagi Al-Quran". Terjemahan ini dengan mudahnya dapat difahami dengan baik oleh bangsa British mahu pun bangsa Masai.

    Rasulullah bersabda, "Aku diutus hanyalah demi menyempurnakan akhlak yang baik"[7]. Kurangkan sifat berkira semasa manusia, tanamkan sifat ihsan, dan semaikan akhlak yang murni, baik di dunia online[8] mahu pun offline.

    Anda mahu mengubah dunia? Anda mahu Islam kembali gemilang? Silakan. Namun sedarkan diri anda bahawa yang paling penting, yang paling mudah, tetapi sering diabaikan adalah mengubah diri sendiri.

    Kemudian sepanjang kita mencari penyelesaian ke atas masalah kemurungan ummah hari ini, kita akan mendapat satu lagi kesedaran bahawa kita tidak mampu aktif untuk berjuang dalam semua perkara. Maka di sinilah pentingnya pengkhususan dalam perjuangan kita sebagai khalifah Allah. Cari satu sahaja benda yang boleh kita perjuangkan untuk Islam, tidak perlu banyak-banyak. Namun dalam masa yang sama itu tidak bermaksud kita tidak perlu ambil tahu dalam perkara-perkara yang tidak kita pilih.

    Apa pun jenis perjuangan Islam yang dipelopori, ia mestilah dilandasi dengan ilmu dan jangan pula kita sempitkan konotasi 'perjuangan Islam' itu semata-mata dengan memperjuangkan sebuah negara Islam. Tidak semua orang mampu mendukung aspirasi tersebut. Jadi realistik. Bahkan, Islam sendiri memerlukan perjuangan dalam pelbagai lapangan. Berbakti kepada kedua ibu bapa adalah berjuang di jalan Allah juga.

    Biar pun perjuangan kita itu kecil dan tidak setanding dengan perjuangan untuk menegakkan sebuah negara Islam, tetapi saya kira semua orang ada peranannya yang tersendiri untuk memastikan bumi ini menjadi tempat yang lebih selesa dan selamat untuk didiami oleh manusia; tanpa mengira agama, bangsa dan jantina. Kepada yang masih mencari-cari apa yang ingin diperjuangkannya:
    Do one thing and do it well because we don't want to become jack of all trades and master of none!
    ---

    NOTA KAKI:

    [1]^Saidina Umar al-Khattab terus memeluk Islam setelah adiknya, iaitu Fatimah, membacakan Surah Taha kepadanya.

    [2]^Ya, Bush adalah pengguna iPod:
    http://www.youtube.com/watch?v=Gb7iOvS7Akc

    [3]^Surah an-Nahl, 90.

    [4]^Ketika di sekolah menengah, mungkin kita ada belajar tentang teori kemasukan Islam ke Alam Melayu Nusantara. Ia melalui 3 cara; dari Arab, China dan India. Ketiga-tiga teori ini masing-masing ada bukti yang menyokongnya. Namun saya berpendapat bahawa Islam di Nusantara lebih kuat dipengaruhi oleh para pedagang dari Tanah Arab yang tinggal di kawasan Hadhramaut, Yaman. Sebabnya?

    Pertama, kawasan Hadhramaut memiliki ramai keturunan Nabi sallahu alayhi wassalam. Keturunan Nabi yang ada di Nusantara ini juga sebenarnya adalah cucu-cicit kepada pedagang-pedagang Arab dari Hadhramaut yang datang ke tanah air kita beratus-ratus tahun yang lampau dan ia boleh disahkan melalui salasilah keluarga mereka. Malah seperti di Nusantara juga, penduduk Arab di Hadhramaut ini turut memegang mazhab Shafi'i dalam urusan fiqh seharian.


    Klik gambar untuk paparan peta taburan mazhab yang lengkap.

    Kedua, walaupun terdapat sub-teori yang mengatakan bahawa pedagang Arab itu sebenarnya adalah dari Mesir, dan bukan dari Hadhramaut, namun saya mengemukan pula Teori Kain Pelikat. Kain pelikat yang selalu digunakan oleh lelaki Muslim di Malaysia dan Indonesia adalah sesuatu yang sering dipakai oleh penduduk Arab di Hadhramaut. Jarang-jarang sebenarnya kita melihat orang Arab memakai kain pelikat. Walaupun lelaki Arab Mesir juga kadang-kala dilihat memakainya, namun menurut ustaz saya yang pernah belajar di Hadhramaut dan tinggal pula di Mesir, orang Arab Mesir biasanya memakai kain pelikat selepas mereka selesai berjimak dan bukannya untuk mendirikan solat.

    [5]^Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, maka pada Hari Kiamat nanti Allah akan menaunginya di bawah naungan Arasy, yang mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali adalah naungan-Nya.
    (Hadis riwayat Imam Tirmidzi)

    [6]^Sewaktu Saidina Umar al-Khattab baru diangkat menjadi Khalifah ar-Rasyidin yang kedua, seorang sahabat berkata, yang lebih kurang, "Wahai Umar, jika engkau tidak betul, akan aku betulkan engkau dengan pedangku!" Lalu Umar pula menjawab, "Alhamdulillah kerana ada di kalangan umat Muhammad yang mahu membetulkan kesalahan aku dengan pedangnya".

    (Jika ada sebarang sumber yang mengandungi perbualan ini, sila beritahu saya. Saya tidak ingat tajuk dan pengarang bukunya kerana ia tiada pada saya)

    [7]^Hadith riwayat Imam Al-Bukhari, Al-Hakim dan Al-Baihaqi daripada Abu Hurairah.

    [8]^Walaupun internet menyediakan ruang anonymity, namun itu tidak bermakna kita boleh memaki-hamun, mengeluarkan kata-kata kesat, malah lebih teruk lagi melakukan fitnah!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Skemakan Tajwid Bahasa Malaysia Anda

    05 September 2007 • 28 Komen
    Yang kurik itu kundi
    Yang merah itu saga
    Yang cantik itu budi
    Yang indah itu bahasa


    Baru-baru ini saya meletakkan ini di blog saya:



    Selepas itu, ada pembaca baru blog ini membuat komen:



    Lalu saya tersenyum sendirian bila memikirkan entah berapa kali orang kata saya skema disebabkan gaya tulisan saya yang tidak selari dengan arus tulisan bahasa SMS.

    Saya tidak tahu siapa yang patut dipersalahkan dalam hal ini. Semenjak saya berkecimpung dalam dunia internet pada lewat tahun 1998 sehinggalah sekarang, gaya tulisan kebanyakkan orang-orang kita di internet masih lagi tidak berubah. Hancur dan cacamarba! Tajwid, nahu dan susunan bahasa kita yang molek hilang entah ke mana.

    Yang menghancurkannya adalah orang-orang Melayu sendiri yang mana Bahasa Melayu Bahasa Malaysia adalah bahasa ibunda yang keluar dari lidah mereka semenjak kecil lagi. Namun apabila saya membaca tulisan dan artikel berbahasa Malaysia yang dihasilkan oleh orang-orang Cina dan India, saya tertanya-tanya satu soalan: "Bangsa mana yang lebih banyak makan sambal belacan sebenarnya?"

    Saya tidak merujuk kepada gaya penulisan blog anak-anak muda, remaja-remaji Melayu kebosanan yang menulis di blog MySpace atau Friendster. Saya juga tidak merujuk tentang tulisan seseorang yang menceritakan tentang hari ini dia makan apa, tentang berapa banyak balak hot yang telah mereka dating dan juga bukan blog peribadi yang menceritakan pengalamannya menonton kartun Naruto bersama rakan sebilik.

    Tetapi saya merujuk kepada web/blog berbahasa Malaysia yang memiliki nilai-nilai ilmiah, tidak kira dari apa topik sekalipun; politik, agama, sosial, komputer dan sebagainya. Saya melihat mereka mempunyai isi yang baik untuk disampaikan, namun apabila melihat tatabahasa dan ejaan yang lintang-pukang, jangan harap saya mahu percaya apa yang ditulis. Tulisan yang baik, jika tidak dipersembahkan dengan cara yang betul, ia akan hilang kredibilitinya. Kita tidak membeli buku, kitab dan majalah yang cacat ejaan dan bahasanya.

    Perhatikan gaya tulisan para pengunjung di SunniForum. SunniForum didominasi oleh mereka yang kebanyakkannya berbangsa Pakistan dan India. Kemudian bandingkan dengan forum-forum Islam berbahasa Malaysia yang semakin membiak seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

    Saya bawakan isu ini kerana sudah sekian lama saya agak malas untuk membaca blog dan forum yang mana orang-orang Melayu mendominasi di situ. Ini bukan masalah jati diri sebagai orang Melayu, tetapi cuma mata saya rasa tercemar bila melihat betapa jauhnya kita dari zaman Tun Sri Lanang dan Raja Ali Haji, yang mana ia merupakan zaman gemilang dan kemuncaknya bahasa kita.

    Okay, saya tidak menyeru anda supaya menulis dengan menggunakan lenggok bahasa prosa klasik yang sudah pupus itu. Cuma mahu anda tahu, mereka menulis dengan ejaan dan tatabahasa yang betul dan piawai pada zaman mereka.

    Saya selalu mengunjungi Digg, 9Rules, Reddit dan Slashdot. Ini semua laman web yang berbahasa Inggeris. Saya menjadi pelik di waktu zaman awal-awal saya melangkah kaki di situ. Seolah-olah saya berada di sebuah planet lain. Majoriti komen-komen pengunjung di situ begitu cantik susunan ayat dan ejaan perkataannya. Digg sebagai contoh, turut mempunyai spell checker bagi memastikan ejaan yang tepat. Pengguna di situ pula selalunya akan rasa annoying apabila melihat ada manusia durjana yang melakukan penderaan ke atas bahasa Inggeris.

    Fungsi semakan ejaan yang terdapat dalam laman Digg.


    Saya cuma berteori bahawa mereka yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama, begitu sangat menekankan aspek ejaan dan tatabahasa dalam setiap artikel, blog, dan komentar yang mereka hasilkan. Saya banyak menghantar e-mel di dalam bahasa Inggeris. Majoriti mereka yang saya e-mel akan membalasnya tanpa ada sebarang kecacatan dan pencemaran pada bahasa Inggeris yang mereka gunakan. Ini mungkin disebabkan memang sikap mereka sendiri yang tidak suka melihat bahasa ibunda mereka dipersembahkan dengan cara yang begitu lekeh dan haprak.

    Teknologi internet juga semakin banyak membantu pada hari ini. Kini sebelum saya menghantar apa juga e-mel dalam bahasa Inggeris, saya pasti akan menyemak ejaan saya secara automatik menggunakan spell checker yang terdapat di dalam Firefox yang boleh dimuat turun secara percuma.

    Tugas Dewan Bahasa dan Pustaka

    Ok Dewan Bahasa dan Pustaka. Jika anda membaca entri ini, maka timbang-timbangkan untuk mengupah beberapa orang programmer tempatan untuk membuat satu perisian web percuma yang boleh menyemak ejaan dalam Bahasa Malaysia. Jadi apabila saya menulis artikel, saya boleh menggunakan perisian web itu untuk mencari ejaan yang tidak betul di sana-sini. Ini akan menjimatkan banyak masa saya kerana tidak perlu bagi saya untuk membaca sebanyak dua kali artikel yang saya siapkan itu.

    Apa yang lebih penting, perisian ini di samping mampu menyemak ejaan, ia juga mesti boleh menukarkan secara automatik beberapa perkataan seperti, sy menjadi saya, xde menjadi tidak ada, xleh menjadi tidak boleh, dan sebagainya. Kalau tidak, jangan salahkan saya jika generasi 10-20 tahun akan datang, mengeja organisasi bahasa terpenting di Malaysia sebagai dewn bahse n pustake di dalam karangan SPM mereka. (Nota kepada bakal programmer yang *mungkin* bakal diupah oleh DBP: Jangan lupa buat juga public API. Ini penting supaya mana-mana laman web boleh mengakses database ejaan Bahasa Melayu tersebut).

    Oh ya sebelum itu, mengapa kamus online rasmi DBP (dan juga laman web rasminya sekali) sangat tidak mesra pengguna? Saya memerlukan masa selama 2 minit untuk betul-betul faham bahawa laman ini yang saya cari di internet adalah kamus online rasmi DBP. Dan mengapa juga browser window saya ini sentiasa resizing setiap kali saya tekan butang 'cari' dan ketika membuat pilihan pada radio button itu?

    Malah mengapa juga url laman itu begitu susah hendak ingat? Saya dan ramai pengguna lain tidak memiliki otak dan memori bionik.

    Apa kata tukar url yang kompleks ini:
    http://202.184.84.13/kamus/perkamusan/dbp_ka_rujukan_kamus_dbp.aspx

    supaya menjadi sesuatu yang lebih mudah diingati seperti:
    http://kamus.dbp.gov.my

    Hai..kasihan bahasaku. Ia sedang tenat, tetapi masih lagi bernyawa.


    Penutup


    Tatabahasa tulisan yang sangat rancu, disumbat pula dengan kopi dan pasta yang keterlaluan, dan dihiasi dengan fenomena echo chamber, adalah kombo 3-dalam-1 yang sangat berbahaya kepada institusi bahasa tempatan, bahkan kepada daya intelek orang-orang Islam dan Melayu itu sendiri. Kombo pembunuh inilah menyebabkan saya semakin menjauhi laman-laman web berbahasa Melayu.

    Maafkan saya Laksamana Hang Tuah! Jangan tikam saya dengan Taming Sari andai dirimu menyangka diri ini sudah belot dan telah menjadi tali barut kepada orang-orang Putih. Saya masih sayang bangsa saya. Saya yakin tak akan Melayu hilang di dunia.

    Cuma bahasanya sahaja yang mungkin hilang. Jadi, sila tikam dan cucuk mereka yang tidak reti dan tidak betah menggunakan bahasa Malaysia yang betul pada tempatnya. Andainya dikau mengerti..


    JALAN-JALAN
    1 - Bahasa Intan Bahasa Kaca oleh Ustaz Hasrizal
    2 - Bahasa Esemes oleh Kak Nisah Haron
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Bila Bahasa Kahwin Campur

    09 Mei 2007 • 12 Komen
    First things first, mungkin ini buat kali pertama, dan mungkin tidak akan ada lagi entri seumpama ini yang mana saya sewenang-wenangnya menggunakan bahasa rojak Melayu + English. Saya memang jenis yang tidak suka, malah anti kepada manusia yang sekejap guna bahasa orang putih, sekejap guna bahasa Melayu dalam bentuk yang cacamarba. But as people say, sometimes there are rules that are meant to be broken. I wanna see how fun it will be if I break that particular rules of writing. I'm not going to torment the rules. I'm just going to bend them gently and lightly without hurting the delicate linguistic feelings of any DBP supporters and sympathisers who follow this humble blog.

    So let us straight to the main point. This post is about blogging and life in this cyber world. Saya sudah pun berblogging selama 2 tahun lebih. Kadang-kadang macam tak percaya saya dah tulis macam-macam. I can't really recall what triggered my desire to enter the realm of blogosphere. Tapi bila saya pandang semula ke belakang, mungkin disebabkan pengaruh kawan-kawan. Orang ada blog, kita pun nak ada blog. Orang menulis, kita pun nak menulis. The same set of rules apply to the real world; orang beli kereta, kita pun nak beli kereta, jiran tukar langsir baru, sofa baru, kita pun nak juga. Saya tak nafikan bahawa memang minat saya yang suka menulis yang menjadikan blog ini survive sekian lama, tapi saya rasa pengaruh kawan adalah jauh lebih besar. In this case, I'd partly blame the Bad Apple Syndrome.

    Dalam Bad Apple Syndrome, kalau kamu ada sebiji epal busuk (bad apples), dan kamu letakkan di dalam bakul yang mengandungi, let's say 20 good apples, tak lama selepas itu kita akan tengok yang 20 good apples tu pun akan turut busuk dalam kadar yang lebih cepat. Unfortunately, if you do it vice versa, 1 good apple cannot reverse 20 bad apples back into 20 good apples. This is what we say "One bad apple ruins it for the rest of us". Sebab itu kalau kita sebagai ibu bapa, salah satu perkara yang kita perlu tahu dalam memastikan anak-anak kita baik, adalah dengan memahami konsep Bad Apple Syndrome ini. Make sure they don't play and mix too much with the bad children out there. Dan telah berkata Imam al-Haddad di dalam kitabnya The Lifes of Man,

    The most corrupting influence on children is other children.

    Okay, let me make it crystal clear. I'm not saying the people who gave me some sort of aura in this blogging stuffs are bad. In fact they are a bunch of good people. Saya hanya cakap betapa mudahnya untuk kita terpengaruh kepada banyak benda di sekeliling kita. Influence of others on us is a classical phenomenal. Some influence is just so-so, but some are powerful enough to change the way we behave physically, psychologically, and spiritually, and the way we perceive this fleeting world. This powerful influences are two types; the influence of satan and the influence of awliya'. The latter is the most powerful. Jadi, banyakkan bergaul dengan orang-orang soleh supaya rentak hidup kita pun boleh terikut-ikut seperti mereka.

    Apa pun, thanks to them, I learn a lot of stuffs from blogging. Plus, in this way, I have met many new and nice peoples across the globe who share the same interests as I do. Cuma apa yang sedihnya, ramai di antara mereka yang telah pun quit dari dunia blogging. Their blogs are dead, but the owners are still walking on this earth.

    Jangan tanya saya mengapa. As one of the unspoken ethics in the blogosphere universe tells us, it is considered rude if you ask any blogger out there about why they quit or why they don't post too often. Mereka lebih tahu apa yang mereka perlu tumpukan dalam hidup. Some people is blogging for money (but no splogging please). Jenis yang ini kita akan tengok kekerapan update blog mereka. Ada juga yang blogging sebab sengaja mahu share tips dan ilmu dengan orang lain. In this case, kadang-kadang berlaku konflik sama ada blog kita itu bersifat personal atau pun profesional. I define my blog as largely personal, but some readers define it differently. However I still don't really understand what makes a personal blog, personal.

    Maafkan saya juga kerana disable chatter box. Bukan saya tak gemar berbalas-balas mesej dengan para pelawat. Cuma saya rasa, chatter box akan mengurangkan produktiviti. The same goes to your IM, Friendster, MySpace. Leave them now because they are highly counter-productive to your precious life. As you grow older (and insyaAllah wiser), you don't really have time for that arguably notorious popularity-booster agents. Therefore, before you take a couple of years to fully enlighten how fruitless that things are, why don't you realise it today?

    I had written a 100-meter-long article regarding Friendster, but one thing that I did not mention there is I feel sick when I observed how young people are easily deluded by Friendster. Dude, trust me. If you really want to seek popularity there, make sure you do it comprehensively until Google really recognise you because you are not Marge Simpsons:





    You are nobody unless your name Googles well. Kepada yang terlepas pandang, beberapa ayat dalam perenggan ini mempunyai nada sinis dan sarkastik.

    Apa pun, insyaAllah saya akan terus menulis. I do not want to quit. I know I don't update regularly. I am a slow walker, but I never walk back. And I better focusing on a specific niche that interests me the most, in biweekly (or maybe triweekly) update. A biweekly update ensures consistency (istiqamah) and ISO 9001-quality in my poor style of writings. Besides I do not like to bombard my readers with a knowledge-overloaded syndrome. Niche guarantees success in your blog. The same goes with your life because man is always on a journey to find his niche in life. Therefore hit the road and get a life by finding your correct niche.

    Dan saya juga berharap agar rakan-rakan bloggers saya istiqamah menulis di samping meningkatkan lagi kualiti penulisan sedia ada. Apa yang anda tulis tak semestinya perlu memberikan impak yang besar kepada dunia blog, terutama sekali dalam dunia blog di Malaysia. Saya rasa, seorang blogger sudah melakukan sesuatu yang terbaik jika dia saling mengingatkan satu dua rakan bloggernya.

    Dan jangan putus asa, atau lemah semangat bila blog kita tak ada ramai pengunjung. Certain niche of the blog memang ramai pelawat, setengahnya pula memang ciput sangat bilangan pelawat. Jangan bandingkan kuantiti trafik sebuah blog yang memuatkan kisah-kisah Akademi Fantasia musim 1, 2, 3, 4, 5 dan benda-benda lagha, dengan sebuah blog yang memuatkan tazkirah dan nasihat agama. Tanya diri sendiri, Allah akan lebih suka sebuah blog yang bagaimana? Tentu sekali sebuah blog yang bermanfaat di dunia dan di akhirat.

    Dan maksud bermanfaat di sini tak bermakna mesti sebuah blog agama yang cakap pasal fiqh, perjuangan Islam dan isu Palestin. Ini kena faham betul-betul. Blog bisnes, blog komputer, blog motivasi, blog sastera, dan sebagainya, yang tidak berlawanan dengan syariat Allah maka ini juga blog yang bermanfaat. Anda akan dapat tengok perbezaan ketara sebuah blog bisnes yang dikendalikan oleh orang yang faham agama dengan yang tidak faham agama.

    Saya pernah ambil keputusan untuk quit blogging setelah dilanda al-Fatrah yang agak dahsyat satu ketika dahulu. Bukan senang nak menulis dalam keadaan al-Fatrah. Nak buat sesuatu kerja pun rasa payah semacam. Even though that al-Fatrah has nothing to do with blogging, but I think I'm gonna become a big loser if I can't bounce back. If I become a big loser, then I won't have any motivational and adventurous real-life stories of mine to be told to my future kids. Thanks to Allah, my motivation and focus is growing steadily. May He, The Almighty, let me climbing the Everest again.

    Life is like riding a bicycle. To keep your balance you must keep moving." (Albert Einstein)

    Saya rasa, setiap orang akan datang zaman al-Fatrahnya, no matter how happy they may look kerana al-Fatrah adalah sesuatu yang dimanifestasikan di hati. Al-Fatrah datang kerana Allah menarik rezeki kegembiraan yang diberikan kepada kita. Bila datang waktu sedih, waktu duka, selalunya manusia yang optimistik akan buat dua perkara.
    Pertama dengan dia melihat orang lain yang lebih menderita dan lebih susah dari dirinya. Dengan itu dia akan jadi manusia yang lebih bersyukur kepada Pencipta.

    Kedua
    pula adalah dengan dia melihat betapa besar dan luasnya alam semesta ini, seperti pergi duduk dan lepak-lepak layan jiwang di tepi pantai sambil membandingkan dirinya dengan laut yang luas itu. Saya rasa saya dari jenis kedua. Cuma saya tidaklah layan jiwang di tepi pantai (but I love to!).

    Saya lebih suka memikirkan tentang alam angkasa. Betapa luasnya angkasa membuatkan saya menyedari betapa kerdilnya diri saya ini, dan akhirnya saya memahami bahawa semua orang ada masalah masing-masing, dan masalah hidup saya ini tidaklah begitu signifikan jika dibandingkan dengan keluasan alam ini.

    Jikalau ada orang tanya mana saya mahu pergi sekarang, saya jawab saya mahu pergi ke Alaska untuk melihat aurora. The stories and mysteries of heaven never cease to amaze me.

    From my blog stats, I know I got some kind of loyal readers. Some are vocal and some are lurkers (istilah yang bermaksud orang yang baca blog dan forum, tapi tak participate dalam commenting. Mereka hanya suka membaca, tapi tak suka beri komen sebab dia rasa dah tiada apa-apa yang patut ditambah, atau apa yang nak dicakap sudah pun dicakapkan). I appreciate both species.

    In a nutshell, you all should be breathing a wind of change here sooner or later. Insya-Allah. And expect no more bahasa rojak stuffs because it has no fun at all. Anyway, let us find our own way to gain Allah's pleasure regardless how old or young we are. Perjuangan kita untuk mencari keredhaan Allah adalah perjuangan sepanjang hayat. Jangan bimbang terasa tua untuk berjuang. As Mark Twain put it satirically,

    Age is an issue of mind over matter. If you don't mind, it doesn't matter.

    I stop my ranting here. Silence is golden. Kalau ada masa, sila undi poll di bawah ini.


    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Language of Paradise

    16 Mac 2006 • 14 Komen
    Bahasa Arab dianggap bahasa yang tertua di dunia. Bahasa Arab diklasifikasikan sebagai bahasa 'Sematic' atau Sematic language kerana kata akar bahasa ini kebanyakannya terbina daripada 3 konsonan atau triliteral (3 huruf). Bahasa Sematic yang masih tinggal tidak banyak dan kebanyakannya tidak lagi dipertuturkan oleh mana-mana kaum di atas muka bumi ini. Yang masih wujud dan utuh mungkin bahasa moden Hebrew (itupun perkembangannya hanya selepas pembinaan negara haram Zionis), Amharic (yang merupakan dialek kaum-kaum peribumi di Ethiopia dan Iraq) serta bahasa Malta. Antara bahasa Sematic yang kaku perkembangannya termasuklah bahasa klasik Hebrew (Biblical Hebrew), Akkadian, Syriac dan bahasa asal Ethiopia.

    Sejak zaman Jahiliyyah lagi, bahasa Arab telah mencapai kelas tersendiri dan sangat dibanggakan oleh bangsa Arab. Individu yang paling fasih pertuturan dan bahasanya biasanya akan diangkat menjadi 'Sayyid' atau ketua kabilah. Golongan 'Syu'araa' atau penyair menempah kasta tersendiri dalam tangga sosial bangsa Arab. Bahkan syair-syair terbaik digantung di dinding Ka'abah sehingga terbitlah gelaran 'mu'allaqat' atau 'The Hanging Ode'. Antara yang menjuarai kesusasteraan Arab ketika itu termasuklah Zuhair, Labid, 'Antara dan Al-Harith.

    Baca seterusnya di blog Mugharrib...

    -------------------------
    SEGMEN PENDEK:
    Baru-baru ni saya demam agak teruk. Virus jenis baru menyerang agaknya. Budak rumah saya dah ramai yang kena. Jangkit-menjangkiti. Nak baik pula makan masa yang agak lama. Saya pun baru aje pulih. Sekarang ni badan masih rasa lemah. Bila demam ni, tiba-tiba dapat la ilham nak tulis artikel pendek tentang Selesema Burung. Sebelum saya stop, jom kita sama-sama mengenali satu lagi tokoh yang disegani dalam dunia Islam, iaitu Sheikh Muhammad Ya'qoubi.

    Secara ringkas, beliau ni masih hidup lagi. Berasal dari Syria. Keturunan Nabi dari sebelah Saidina Hasan. Keluarga beliau memang ramai yang jadi ulama terbilang. Umur baru 40 lebih. Muda lagi..tapi ilmu dan kewarakannya, Masya-Allah!! Saya harap dapat berjumpa dengan beliau satu hari nanti. Tapi malangnya, duduk di sini memang tidak begitu memungkinkan saya berjumpa beliau. Ada sesiapa yang pernah berjumpa beliau? Kalau yang pernah jumpa tu, mesti tahu betapa hebatnya beliau dari segi ilmu dan akhlak.

    Boleh baca profil beliau di sini. Atau pun mendengar ceramah dari beliau yang disampaikan bersama-sama Sheikh Hamza Yusuf - Advice To Seekers.
    "This is one of the miracles of my father that everyone can see. It was his du'ah for me, his blessing, and his company that opened the way for me to be where I am now." [Sheikh Muhammad Ya'qoubi]
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXV: Wa laa Ghalib Illallah [1]

    05 Julai 2005 • 1 Komen
    Sekali pandang, pengunjung yang boleh memahami tulisan Arab akan menyangka bahawa ukiran-ukiran yang terdapat pada bahagian dinding itu membawa maksud Wa Laa Ilaaha Illallah, atau dalam bahasa Malaysia: Tiada Tuhan Selain Allah.

    Hal ini terjadi kepada diri saya sendiri dan juga kepada 2 orang kawan saya itu. Mungkin kerana kesuntukan masa, kami tidak begitu ambil pusing tentang ukiran itu. Bukan sekali dua kami menjumpainya. Berulang-ulang kali dalam bentuk ukiran yang berbeza. Begitu banyak. Oleh kerana saya agak berminat dalam hal-hal begini, maka saya telah mengambil gambar ukiran-ukiran tersebut.

    Setelah saya balik semula ke Dublin dan melihatnya di dalam komputer, saya kini punya banyak peluang dan masa untuk memperhatikan dan menganalisis ukiran itu dengan lebih terperinci. Barulah saya perasan bahawa ukiran itu bukan bertulis Wa Laa Ilaaha Illallah - ia sebaliknya bertulis Wa Laa Ghalib Illallah.

    Apakah maksudnya?

    Sebagai seorang individu yang tidak pernah mempelajari bahasa Arab secara formal, saya telah bertanya kepada dua orang rakan saya yang lebih faham dan arif tentang selok-belok bahasa Arab. Orang pertama yang saya tanya ialah Wanzu. Tapi Gild turut menjawabnya. Gild yang jawab dahulu walaupun saya lebih menjuruskan pertanyaan itu kepada Wanzu.

    Gild kata, 'Ghalib' bermaksud 'Biasa'. Wanzu juga menjawab, Ghalib bermaksud Biasa. Tapi menurut Wanzu lagi, Ghalib juga boleh membawa maksud: 'Yang Menang/Yang Berkuasa'.

    Wanzu kemudian memberi contoh kata-kata Saidina Ali ra: "Alhaq bila nizhom sayuGHLIBUhu albathil bin nizhom" [1]. Wanzu kata lagi, di dalam Al-Quran, boleh rujuk Surah Ar-Rum ayat 2 dan 3.

    Saya juga ada bertanya kepada Abdul Mageed. Abdul Mageed adalah seorang yang berbangsa Berber dari Algeria yang kini menetap di Tallaght, Dublin. Tetapi, selalu juga datang ke South Circular Road untuk bersolat di Dublin Mosque. Oleh kerana rumah saya terletak betul-betul berhadapan dengan Dublin Mosque, maka selalu juga Abdul Mageed bertandang ke rumah saya. Sebenarnya lebih tepat saya katakan bahawa dia adalah rakan Sani yang merupakan rakan serumah saya. Satu rumah kami sudah sedia maklum yang Sani ini jenis yang suka bawa tetamu ke rumah.

    Jauh pula saya melencong. Baiklah, berbalik kepada Abdul Mageed tadi. Saya bertanya kepadanya apakah maksud 'Ghalib' memandangkan dia adalah seorang yang memang berlidah Arab asli.

    Jawabnya: "If you fight with me, and you win, that's mean you're 'ghalib'. You're more powerful than me".

    Setelah memahami maksud Ghalib ini, saya merumuskan bahawa Wa Laa Ghalib Illallah bermaksud: Tiada Yang Berkuasa Selain Allah. Setelah melakukan sedikit kajian, saya telah menjumpai sejarah di sebalik ukiran tersebut. InsyaAllah akan saya beritahunya di dalam entri yang berikutnya - Wa Laa Ghalib Illallah episod 2

    Perhatikan betul-betul. Cuba cari perkataan Wa Laa Ghalib Illallah. Maaf kalau tak nampak. Gambar yang ini memang kurang jelas. Kalau nak lihat yang lebih jelas, nantikan pos selepas ini.


    Nota Kaki

    [1] Ia bermaksud: Kebenaran yang tiada disiplin/sistem/perancangan akan dikalahkan oleh kebatilan yg bersistem.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »