Back to home page

Sepanyol XXVI: Istana Charles V

18 Jun 2005 • 0 Komen Cetak Chenta!
Kerajaan terakhir Islam Bani Umaiyyah di Granada tumbang pada 1492. Empayar Bani Umaiyyah ini wujud sejak tahun 711. Renaissance bermula di Itali pada abad ke-14 (para sejarawan Barat dakwa, tapi kita dakwa ia bermula di Cordoba pada abad ke-8).

Renaissance di Itali dipengaruhi oleh tamadun Islam di Sepanyol. Sekarang mari tanam dalam otak kita bahawa Islam membawa kemajuan, dan bukan kemunduran.


Salah satu tiang yang menyokong binaan ini. Memang besar. Ia tipikal dalam mana-mana binaan di Eropah yang terkena penangan Renaissance.


Kalau kalian pernah ke Al-Hambra, pasti akan berjumpa dengan Istana Charles V. Ia terletak berhampiran dengan Istana Nasrid. Binaan ini bukanlah tinggalan kerajaan Islam Granada. Sebaliknya ia ditambah selepas Al-Hambra berjaya ditawan oleh puak Krisitian. Sebab itu kalau perhatikan betul-betul, binaan ini tidak ada langsung sebarang ukiran-ukiran Islamik, di samping ia banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur Renaissance yang berkembang di Itali.

Istana ini dibina ketika pemerintahan Raja Charles V yang bermula pada tahun 1533. Siapa Charles V ini? Dialah Raja Sepanyol dari tahun 1519-1558. Dia juga cucu kepada Ferdinand II dari Aragon (turut dikenali sebagai Ferdinand V) dan Isabella dari Castile. Kisah tentang Ferdinand dan Isabella ini akan diceritakan pada pos yang lain. Kita akan melihat bagaimana Ferdinand II dan Isabella berjaya menawan Al-Hambra.

Charles V tidak menyiapkan habis pun binaan ni. Separuh jalan, dia hilang minat. Cuma pada penghujung abad ke-20, barulah istana ini disempurnakan sepenuhnya. Apapun, yang menjadi arkitek binaan ini ialah Pedro Machuca, yang telah belajar bersama-sama Michelangelo di Itali. Ingat, bahawa Michelangelo adalah salah seorang tokoh zaman Renaissance.


Islam datang dalam keadaan asing, dan pergi dalam keadaan asing juga. Beruntunglah mereka yang asing itu. Gambar diambil di bahagian ruang legar Istana Charles V. Biasanya di sini diadakan festival muzik dan tarian Granada.


Apa yang ada pada hari ini di sini? Ada 2 buah muzium - Muzium Kesenian di tingkat atas dan Muzium Al-Hambra di tingkat bawah. Nak masuk? Kenalah bayar .Tapi saya tak masuk pun sebab kesuntukan masa. Tapi jika kita datang dari European Union (EU), percuma sahaja masuk. Rugi-rugi. Jadi, bagi budak-budak yang belajar di UK dan Ireland, jangan lupa masuk bila datang ke sini. Tunjukkan sahaja bukti yang anda menetap di EU. Kalau rasa leceh, bayar sahaja EURO 1.50.
---

P.S. Saya takut pembaca keliru pula dengan nama Ferdinand ni. Sejarah menyaksikan banyak Ferdinand. Sekurang-kurangnya ada 13 raja yang berkongsi nama 'Raja Ferdinand'. Yang nombor II, III, dan sebagainya. Di sini saya tekankan tentang Ferdinand II dari Aragon yang juga turut dikenali sebagai Ferdinand V.

0 Komen Tambah Komen↴

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.