Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Malas.. Dan Apa yang Paling Popular Tahun 2008?

    11 Disember 2008 • 32 Komen
    Okay, saya sedang malas. Apabila saya berasa malas, saya lebih gemar membiarkan blog ini senyap. Ini lebih baik daripada saya menghidangkan anda menu kopi-dan-pasta. Mudah-mudahan dengan senyap itu, saya juga dapat mengelakkan diri daripada terjerumus dalam kancah echo chamber:
    Echo chamber is a colloquial term used to describe a group of media outlets that tend to parrot each other's uncritical reports on the views of a single source, or that otherwise relies on unquestioning repetition of official sources.
    Namun setelah memantau di Blog Search, saya mendapati apa yang saya ingin kongsikan ini masih belum dibuat oleh mana-mana blog berbahasa Malaysia, maka tiadalah saya malu-malu kucing untuk melakukan entri kopi-dan-pasta pada kali ini.

    Terimalah Google Zeitgeist 2008 edisi Malaysia. Ini adalah tentang carian paling popular di Malaysia pada tahun 2008:

    Paling cepat meningkat
    1. malaysiakini
    2. facebook
    3. harakah
    4. tv3
    5. malaysia today
    6. rapidshare
    7. blogspot
    8. youtube
    9. malaysian insider
    10. beijing 2008
    Rujuk #7: Maaf pengguna Wordpress ;)


    Paling Popular
    1. youtube
    2. yahoo
    3. friendster
    4. utusan
    5. mp3
    6. google
    7. games
    8. map
    9. lyrics
    10. myspace
    Rujuk #6: Eh, siapakah gerangannya yang selalu men-google "Google" di Google?


    Carian di Google News
    1. ibiden asia
    2. anwar ibrahim
    3. datuk seri
    4. olympic badminton results
    5. chua soi lek
    6. malaysian election results
    7. malaysia budget 2009
    8. malaysia new cabinet
    9. permatang pauh election
    10. gamuda bhd

    Selebriti
    1. anwar ibrahim
    2. barack obama
    3. lim kit siang
    4. chua soi lek
    5. mahathir mohamad
    6. miley cyrus
    7. lee chong wei
    8. tony pua
    9. hannah montana
    10. siti nurhaliza

    Destinasi pelancongan tempatan
    1. terengganu
    2. pulau tioman
    3. genting highland
    4. port dickson
    5. melaka
    6. penang
    7. pulau perhentian
    8. bukit tinggi
    9. sunway lagoon
    10. selangor

    Jenama kereta
    1. perodua nautica
    2. toyota rush
    3. proton mpv
    4. proton blm
    5. honda city
    6. proton saga
    7. grand livina
    8. honda accord
    9. myvi
    10. honda civic

    Lihat juga keputusan untuk negara lain, contohnya negara jiran kita iaitu Singapura. Oh, alangkah saya tidak tahu bahawa orang Singapura paling gemar makan nasi ayam.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    10 Ungkapan Sepanjang 2008 yang Mesti Anda Tahu

    03 Disember 2008 • 14 Komen
    2008 semakin menutup tirainya. Pada tahun ini wajah Malaysia banyak diwarnai dengan segala rencam isu sosio-politik yang kelakar, misteri, haru-biru, mengecewakan dan boleh bikin panas.

    Setelah memerhati dan menapis, maka saya berpendapat inilah 10 ungkapan kata-kata berkaitan senario sosio-politik negara sepanjang tahun 2008, yang tidak wajar untuk kita melupakannya.


    1. I am the man in the tape. (Chua Soi Lek)

    Apa yang buat saya paling ingat adalah kerana skandal seks itu terdedah pada 1 Januari 2008. Mungkin beliau terlupa bahawa kementerian di bawah jagaannya sering menyeru masyarakat agar setia kepada pasangan dan jangan 'makan luar'.

    // Lihat video berkaitan



    2. Ini satu ombak baru. (Samy Vellu)

    Ayat ini adalah rumusan terbaik kepada natijah Pilihan Raya Umum ke-12. Walaupun ayat itu nampak biasa sahaja, namun apabila ia diucapkan oleh Samy Vellu, segala-galanya akan jadi unik dan menceriakan hari seseorang. Oh ya, jangan lupa juga untuk membaca beberapa lagi kata-kata Samy Vellu yang tidak dapat dipastikan sama ada ia fakta atau mitos.

    // Lihat video berkaitan



    3. Kami nak Idris, natang. (Penyokong Idris Jusoh)

    Perbalahan berlaku apabila Pak Lah mahu mengekalkan Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu. Namun Yang di-Pertuan Agong pula mahukan Ahmad Said. Err kejap. 'Natang'? Siapa natang tu? Yang di-Pertuan Agong ke?

    // Lihat video berkaitan


    4. Korek, korek, korek. (VK Lingam)

    Atau pun yang sebenarnya adalah corect, correct, correct. Ayat berkenaan adalah sebahagian daripada perbualan telefon yang menjadi antara skandal terbesar dalam bidang kehakiman negara selepas Krisis Perlembagaan Malaysia 1988.

    Namun sampai sekarang, rata-rata rakyat masih lagi tidak tahu kesimpulan hakiki isu video VK Lingam ini. Siapakah dalang sebenarnya?

    // Lihat video berkaitan


    5. Cakap sekarang siapa Babi Negara!? (Khairy Jamaluddin)

    Inilah dia akibatnya bila api dilawan api. Ahli Parlimen Rembau ini (UMNO) menggunakan akronim PKR kepada Projek Khinzir Raksasa yang merujuk kepada projek ternakan babi bersepadu di Selangor. Mahfuz Omar (PAS) pula kemudiannya mengatakan bahawa yang sebetulnya ialah Projek Babi Negara, atau PBN.

    // Lihat video berkaitan



    6. Insya-Allah tidak lama lagi kita tetap bertapak di Putrajaya. (Anwar Ibrahim)

    Ini adalah kata-katanya yang mutakhir ketika Kongres PKR ke-5 yang berlangsung baru-baru ini berkenaan misi penuh misteri beliau untuk menawan Parlimen.

    16 September tiada apa terjadi. Kemudian diajaknya Pak Lah untuk melakukan sidang Parlimen tergempar pada 23 September untuk mendedahkan nama-nama ahli Parlimen yang akan melompat itu; namun Pak Lah menolaknya. Lalu apabila Parlimen dibuka semula pada 13 Oktober, tiba-tiba pula nampak macam sudah tak jadi. Kalau tak jadi, kata tak jadi; tiada orang terus menanti. Bukankah itu lebih baik?

    // Lihat video berkaitan


    7. Kita tidak minta, kita tidak mencari; dia hantar. Serupa you juga kalau orang [bagi] sedekah, you tak nak terima ke sedekah? (Zul Hassan)

    Ini adalah tentang skandal 'sedekah seks' yang melibatkan beberapa anggota kerajaan negeri Perak. Yup, sebenarnya seks memang boleh jadi satu sedekah sekiranya yang memberinya itu adalah dari pasangan yang sah. Cuma dalam kes ini, wanita China itu bukan isteri beliau!

    // Lihat video berkaitan


    8. Wallahi, wabillahi, watallahi. (Saiful Bukhari)


    Inilah dia sumpah laknat yang paling menggemparkan negara sehingga beliau tersasul-sasul sepanjang majlis di Masjid Wilayah. Sumpah ini dibuat sehari sebelum hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh yang ditandingi oleh Anwar Ibrahim.

    Namun selepas bersumpah, cerita tentang Saiful lenyap macam asap dalam tempoh yang agak lama lah juga; sehingga timbul cakap-cakap orang bahawa Saiful telah lumpuh, mendapat penyakit kelamin malah telah pun meninggal dunia gara-gara dimakan sumpah. Namun beliau menafikannya.

    // Lihat video berkaitan


    9. I can tell you the food is worst err..maybe similar to dog food. (Teresa Kok)

    Siapa dan apa pun budaya kita, sikap merendah-rendahkan makanan jangan dilakukan. Tindakan Teresa yang pada mulanya mahu menyaman Utusan Malaysia kerana menyebarkan fitnah, akhirnya telah memakan diri sendiri apabila rakaman berita TV3 telah mengantoikannya.

    Melainkan anda dihidangkan lauk basi dan nasi bercampur pasir seperti mana yang diterima oleh Allahyarham Ahmad Boestamam, maka tak payahlah bising sangat tentang isu makanan andaikata anda ditahan di bawah ISA (moga-moga dijauhkan!).

    // Lihat video berkaitan


    10. Saya rasa Samy Vellu yang beri anugerah ini kepada saya. (Shah Rukh Khan)

    Ini tentang isu penganugerahan darjah kebesaran yang membawa pangkat Datuk kepada Shah Rukh Khan. Hoho, Ali Rustam punya kerja, Samy Vellu juga yang dapat nama dahulu! Namun jangan risau, nama Ali Rustam masih tetap disebutnya.

    // Lihat video berkaitan
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sebenarnya, Michael Jackson Tak Pasti Lagi Peluk Islam

    25 November 2008 • 29 Komen
    Buat masa sekarang, dimaklumkan bahawa berita Michael Jackson masuk Islam adalah sekadar satu gosip sensasi semata-mata. Khabar angin ini pertama kali dipopularkan oleh akhbar tabloid sengal berbahasa Inggeris paling laris di dunia, iaitu The Sun. Untuk mengetahui bagaimana sengalnya The Sun ini, sila baca entri saya yang bertajuk Setiap Negara Ada Akhbar Sengal yang Tersendiri.

    Berita ini kemudiannya digemakan di sana-sini oleh media pelbagai jenis dan bahasa, termasuklah akhbar-akhbar tempatan seperti Harakah Daily, Kosmo dan Berita Harian. Proses penggemaan ini sekadar mengulang-ulang isi laporan The Sun. Kesemua media yang mewara-warakan khabar berkenaan GAGAL melaporkan reaksi Michael Jackson sendiri tentang khabar angin tersebut.

    Hanya Michael Jackson sahaja yang tahu agama yang sedang dianutinya sekarang. Maka selagi tiada kata putus darinya, kita wajib menganggap segala berita beliau masuk Islam ini adalah sekadar gosip semata-mata. Berita gosip hanya layak masuk di tabloid dan bukannya di akhbar-akhbar berkredibiliti seperti Harakah dan Berita Harian.

    Sebab itu sehingga sekarang saya masih tidak melihat berita pengIslaman Michael Jackson di CNN mahu pun BBC! Di BBC, berita terkini tentangnya adalah berkenaan kes saman anak Raja Bahrain ke atasnya. Tak ada pun berita beliau masuk Islam. Ia tiada bukan kerana BBC tidak melaporkan isu sensasi artis. Sebaliknya laporan berita yang dikeluarkan oleh BBC, walau sesengal dan sesensasi mana pun ia, wajib disertai dengan fakta dan bukti.

    Kepada para blogger, jika mahu menyebarkan berita tersebut sila nyatakan ia masih lagi satu KHABAR ANGIN, dan bukannya FAKTA. Penat ooo dengar khabar angin ni selama bertahun-tahun.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Dakyah Bahasa yang Saya Anuti

    12 November 2008 • 36 Komen
    Rukun dalam sebuah dakyah bahasa yang saya cipta dan anuti ada 2 perkara:

    1) Eja setiap perkataan dengan betul walau serojak mana pun ia

    Gambar tulisan pelbagai bahasaSejak mula menulis blog, saya berusaha memastikan setiap perkataan dieja dengan betul. Malah saya turut membuat entri khas bertajuk Skemakan Tajwid Bahasa Malaysia Anda bagi menyebarkan dakyah yang saya anuti itu.

    Pernah sekali tulisan saya bertiangkan bahasa rojak dalam entri Bila Bahasa Kahwin Campur. Walaupun Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris telah berkhalwat di dalam karya eksperimentasi tersebut, namun saya tetap mengeja sekalian perkataannya dengan betul dan sahih.

    Di internet khususnya, antara sebab utama mengapa kita wajib mengeja dengan betul adalah kerana ia memudahkan proses penyampaian dan pemindahan ilmu di kalangan para penutur bahasa yang berbeza.

    Jika dibandingkan dengan Babel Fish, saya mendapati Google Translate adalah bidaah terbaik dan terpenting dalam aspek bahasa di era internet ini. Google Translate telah memudahkan proses pemahaman saya terhadap beberapa teks berbahasa Arab, Perancis dan Jepun yang pernah saya selisihi.

    Semestinya, terjemahan komputer tidaklah setepat mana. Namun dengan berbekalkan sejemput common sense, educated guess dan logik, kita hampir sahaja boleh memahami keseluruhan isi kandungannya. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan pertukaran bahasa penting dunia; misalnya daripada Spanish kepada English. Sepanjang pemerhatian saya pula, proses terjemahan itu semakin mantap dari masa ke semasa.

    Pada waktu ini, fungsi terjemahan melibatkan Bahasa Malaysia masih belum ada di Google Translate. Bahasa Indonesia baru-baru ini sudah ada. Namun saya mendapati fungsi terjemahan Bahasa Indonesia juga sudah boleh dikira bagus. Contohnya lihat blog Hembusan ini apabila ia diterjemahkan daripada Bahasa Indonesia kepada Inggeris.

    Di samping itu, Google Translate turut memiliki fungsi untuk mencadangkan terjemahan yang lebih baik (perhatikan Suggest a better translation):

    Terjemahan kepada artikel Mengapa Dewan Rakyat Unik?


    Maka sebagai persediaan, saya menyeru anda agar mengeja setiap perkataan dengan betul. Demi proses penyebaran maklumat dan ilmu merentasi bahasa, bermulalah dari sekarang.

    Sila eja tiada, bukan xde. Sila eja saya, bukan sy atau sayer. Sila eja makan, bukan mkn. Makan apabila diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris akan menjadi eat; tetapi kalau mkn, mahu diterjemahkan sebagai apa?

    Selain ejaan, tanda baca juga harus digunakan dengan betul. Contohnya ayat seperti:
    nama saya tawel... saya suka makan karipap.sedap tau! Awak suka tak???
    wajib ditulis seperti ini:
    Nama saya Tawel. Saya suka makan karipap. Sedap tau! Awak suka tak?
    Sepanjang saya berblog, seingat saya sudah ada 2 orang penutur bukan Bahasa Malaysia yang cuba mencerna (iaitu: bukan sekadar melihat) isi kandungan blog ini. Pertama oleh Lost Fish:
    ... Back to point. I think I've finally found a blog worth reading that I'm really interested in following, and even more surprised (at myself) that it's in Malay! Apparently my grasp of Malay isn't that terrible. I could not only see the quality of writing and the command of the language (in the written form in the least) in your posts but I could understand what was written and I would like to believe that I could follow some of the train of thought or at least grasp some of what was trying to be communicated. And without much difficulty! ...
    What language is this, I am trying to translate.

    Pengajarannya, setiap tulisan yang kita hasilkan berkemungkinan besar boleh diambil manfaatnya oleh orang yang tidak sebahasa dengan kita. Justeru, bantu mereka dengan mengeja setiap kalimah dengan betul.

    Khalas!

    2) Gunakan istilah-istilah baru bersifat organik di dalam penulisan tidak formal

    Menulis blog telah memberikan saya ruang untuk melakukan eksperimentasi bahasa. Ruang ini tidak mungkin saya gapai jika saya menulis di akhbar atau majalah yang sudah tentu terikat dengan gaya penulisan formal.

    Seraya itu tiadalah saya malu tersipu-sipu untuk mengembleng istilah-istilah baru dan popular seperti poyo, skodeng, masyuk, cikai, kantoi, usha dan sebagainya di blog ini. Istilah sengal yang lazimnya dikaitkan dengan masalah otot pula, baru-baru ini saya gunakannya sebagai satu kata sifat [1]. Tujuan saya menggunakan istilah-istilah tersebut adalah kerana sifat kelahirannya yang organik.

    Untuk memahami apakah erti 'organik' ini, lebih mudah untuk kita melihat maksud 'makanan organik'. Makanan organik adalah makanan yang dihasilkan secara fitrah; ia tidak memerlukan agen luaran yang tidak asli. Maka 'ayam organik' bermaksud ayam yang dibesarkan tanpa pengaruh hormon tambahan. 'Sayuran organik' pula tumbuh tanpa perlu diberi baja sintetik dan disembur dengan pestisid.

    Dalam konteks 'istilah organik', maksudnya ia hadir dalam kelompok masyarakat, tanpa perlu untuk kita meminjam istilah-istilah asing. Acapkali kita sendiri pun tidak pasti dari mana ia datang, bagaimana ia wujud dan mengapa semakin ramai orang memilih untuk menggunakannya.

    Apa yang sedang saya utarakan ini sebenarnya adalah berkaitan dengan etimologi. Tanpa perlu untuk kita memahami panjang lebar apakah itu etimologi, maka cukuplah dengan saya mendefinisikannya sebagai satu cabang ilmu tentang asal-usul perkataan dalam sesebuah bahasa.

    Dengan memahami etimologi, kita akan lebih menghargai kewujudan istilah-istilah baru dalam bahasa kita; sama ada ia bersifat organik atau pun dipinjam daripada bahasa lain. Para mujahid dan mujahidah bahasa yang sinikal terhadap penggunaan istilah poyo, skodeng, masyuk, cikai, kantoi, usha dan sebagainya dalam pertuturan seharian, sebenarnya telah bersifat sangat tidak realistik. Hujah tipikal mereka: Istilah-istilah tersebut tiada dalam Kamus Dewan.

    Benar ia tiada di dalam Kamus Dewan. Namun sejak bila pula kamus menentukan istilah apa yang hendak manusia gunakan di dalam bahasa sesebuah bangsa? Kamus itu sifatnya sekadar untuk mengumpulkan istilah-istilah yang bergentayangan di dalam masyarakat. Maksudnya, mesti ada istilah dahulu sebelum terbitnya kamus:
    "Kita kena faham bahawa kamus adalah merakam semua istilah yang terapung atau berada dalam masyarakat. Tetapi DBP menasihatkan istilah mana yang sesuai dalam suasana rasmi dan mana yang tidak sesuai." - Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Abdullah, DBP dan Kemandulan Minda.
    Selain itu, kamus turut berperanan untuk menyelaraskan ejaan piawai bagi sesebuah istilah [2]. Contohnya jika 'skodeng' akan dimuatkan ke dalam Kamus Dewan edisi berikutnya, maka bagaimana mahu mengejanya? Skodeng, sekodeng atau skoding?

    Kamus wujud apabila sistem tulisan wujud. Sistem tulisan pula adalah antara ciri sebuah masyarakat bertamadun. Oleh sebab itu kesemua tamadun-tamadun awal dunia mempunyai sistem tulisannya yang tersendiri: Tamadun Mesir dengan sistem tulisan heiroglif, Tamadun Lembah Indus dengan skrip Indus dan Tamadun Sumeria dengan cuneiform.

    Dengan kata lain, sebelum manusia membentuk tamadun, mereka tiada sistem tulisan, tiada kamus dan tiada badan-badan bahasa untuk memantau istilah yang digunakan oleh masyarakat. Lalu sebelum terbentuknya itu semua, siapakah yang menentukan hidup mati sekalian perbendaharaan kata di dalam bahasa tersebut?

    Jawapannya tidak lain tidak bukan; iaitu masyarakat itu sendiri. Mereka lah yang menentukan istilah-istilah yang sifatnya datang dan pergi itu. Proses primitif ini masih berlaku pada dunia moden hari ini dan akan terus berlaku sehinggalah ke hari kiamat.


    Mengapa sesebuah istilah bertahan dan pupus?

    Sesebuah istilah bertahan apabila masyarakat tetap menggunakannya. Istilah 'syurga' dan 'neraka' yang masing-masing berasal daripada 'swarga' dan 'naraka' di dalam Sanskrit, adalah antara yang masih kekal kita gunakan. Istilah tersebut mula wujud semenjak fasa Bahasa Melayu Kuno yang berlaku ketika Alam Melayu masih lagi di bawah pengaruh Hindu.

    Apabila bahasa kita memasuki fasa Bahasa Melayu Klasik yang berlaku setelah Islam menebarkan sayapnya di Nusantara, istilah 'jannah' dan 'jahanam' mula dipopularkan. Namun sehingga sekarang apabila kita berbicara tentang konsep kehidupan sesudah mati, istilah 'neraka' dan 'syurga' yang jauh lebih berusia itu adalah yang paling relevan di hati penutur Bahasa Malaysia.

    Jika Bahasa Inggeris mengalami zaman puncaknya ketika era Shakespeare, maka bahasa kita pula meniti zaman emasnya ketika fasa Bahasa Melayu Klasik. Di era inilah munculnya karya-karya sastera Melayu terbaik seperti Sejarah Melayu, Bustanus Salatin dan Hikayat Amir Hamzah. Untuk memahami seni karya tersebut dalam acuannya yang asli adalah agak merumitkan. Ia memiliki struktur ayat yang janggal kepada penutur moden dan dihiasi pula dengan banyak istilah yang sudah tidak kita gunakan lagi.

    Apa yang cuba saya sampaikan ialah bahasa sentiasa berevolusi. Lenggok bahasa yang digunakan pada hari ini akan jauh berbeza daripada apa yang bakal digunakan oleh manusia pada tahun 2500. Sebahagian istilahnya pula akan pupus pada tahun tersebut apabila masyarakat beransur-ansur tidak menggunakannya lagi.

    Katakanlah istilah 'skodeng' dan 'poyo' pertama kali digunakan ketika fasa Bahasa Melayu Kuno; lalu ditakdirkan bangsa kita memilih untuk terus menuturkannya. Tentu tidak rasional apabila manusia yang hidup beratus-ratus tahun selepas itu untuk mempersoalkan penggunannya.

    Maka begitu jugalah dalam konteks kita pada hari ini. Apabila penutur Bahasa Malaysia semakin mempopularkan istilah 'skodeng' dan 'poyo', maka lama-kelamaan istilah itu sendiri akan jadi serasi dengan kita. Bila sudah serasi ia akan dimasukkan ke dalam kamus untuk diberikan definisi yang tepat dan ejaan yang piawai.

    Pada 500 tahun yang akan datang, penutur Bahasa Malaysia di waktu itu akan menganggap 'skodeng' dan 'poyo' adalah antara khazanah istilah di dalam bahasa yang mereka tuturkan itu. Silap-silap haribulan pada tahun tersebut, ia juga akan dilabelkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai sesuai digunakan untuk urusan formal.

    Di samping itu, mereka juga akan terlepas pandang kepada suatu hakikat bahawa semasa sekalian istilah itu mula terapung di dalam masyarakat, mereka yang menuturkannya telah sewenang-wenangnya dilabel sebagai pelacur bahasa. Para penuduh ini sebenarnya adalah pejuang bahasa yang sangat tidak realistik kerana mereka lupa bahawa segala istilah wujud melalui 2 cara.

    Pertama: Melalui peminjaman daripada bahasa asing. Ketahuilah bahawa masa yang berlalu akan menyebabkan sekalian istilah-istilah baru yang dipinjam itu akan menjadi serasi dan diterima. Jika tidak serasi, masyarakat sendiri akan menolaknya.

    Hari ini kita gusar tentang penjajahan Bahasa Inggeris di dalam bahasa kita. Konon-kononnya imperialisme bentuk baru. Namun dalam masa yang sama kita masih selamba badak menggunakan istilah-istilah seperti almari, limau, garpu dan jendela yang terang-terang berasal daripada Bahasa Portugis. Eh mat, kenapa engkau masih menggunakan istilah-istilah tersebut? Bukankah ia sebuah syiar imperialisme Bahasa Portugis kepada bahasa kita yang berlaku sepanjang mereka terconggok di Melaka beratus tahun nan lampau?

    Apabila Islam datang ke Tanah Melayu, bukankah para pedagang dan pendakwah berbangsa Arab juga telah melakukan imperialisme ke atas bahasa kita? Bukan sikit-sikit penjajahan yang dilakukan oleh Bahasa Arab ini. Pada hari ini, jarang orang mengkritik seorang ustaz yang menggunakan 'ana' dan 'anta' di dalam ceramahnya. Sebaliknya seorang guru Bahasa Inggeris yang sesekali tersasul dengan 'I' dan 'You' bila bercakap, sering dilihat sebagai orang Melayu yang mahu jadi mat saleh.

    Sebagai nota tambahan, ana, anta, You dan I ada terdapat di dalam Kamus Dewan. Begitulah adanya.

    Kedua pula adalah secara organik: Sepertimana yang dihuraikan sejak awal tadi, ia langsung tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur bahasa asing. Bahasa kita perlu lebih diperkayakan lagi dengan istilah-istilah organik.

    Penutup

    Untuk sesebuah bahasa itu terus berkembang, tidak pupus dan terus dituturkan, maka kita wajib bersifat liberal. Jangan takut untuk bereksperimentasi dengan istilah-istilah organik dan pinjaman. Jika kita terlalu keras dalam proses kemasukan istilah baru, maka silap haribulan bahasa kita akan senasib seperti Latin yang sudah pupus itu. Bahasa yang sudah pupus tidak menerima kemasukan kosa kata yang baru.

    Salah satu kekuatan Bahasa Inggeris adalah dari sudut etimologinya. Ia membuat pinjaman bahasa-bahasa asing dengan begitu meluas sekali; termasuklah dari Bahasa Malaysia. Bahkan bila difikirkan, kadang-kala cara bahasa tersebut memperkayakan dirinya adalah agak aneh dan melucukan.

    Ungkapan D'oh yang sering dijerit oleh Homer dalam siri kartun The Simpson telah dimasukkan ke dalam Oxford English Dictionary.

    Google pula sekarang bukan sekadar satu jenama, ia adalah kata kerja!

    Istilah w00t yang popular di kalangan geek, di samping sinonim dengan permainan komputer Counter-Strike, telah memenangi Merriam-Webster's Word of the Year 2007 dan telah pun dimasukkan ke bahagian Open Dictionary-nya. W00t juga berkemungkinan besar akan dimasukkan ke kamus edisi cetaknya.

    Khalas!


    Nota Kaki

    ^ [1] Ia merujuk kepada entri Harian Metro yang Sengal dan Setiap Negara Ada Akhbar Sengal yang Tersendiri.

    ^[2] Antara ejaan yang dianggap piawai oleh kita:
    • Celupar; padahal celopar;
    • War-war atau pun uar-uar; padahal wara-wara. (Wara-wara berasal dari perkataan Jawa)
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Mengapa Dewan Rakyat Unik?

    15 Oktober 2008 • 26 Komen
    Pada masa kini, Dewan Rakyat ada seramai 222 orang ahli parlimen (Member of Parliament, MP). Di United Kingdom, Dewan Rakyat mereka dipanggil House of Commons; yang mana buat masa ini ia dianggotai oleh seramai 646 orang ahli.

    Kadang-kadang saya melihat Dewan Rakyat kita ada sedikit unik berbanding House of Commons. Dalam kebanyakkan kes, kedua-duanya memang banyak yang sama. Ini gara-gara kita sekadar mengadaptasi sistem pentadbiran yang diwariskan oleh British setelah mereka angkat kaki secara rasmi pada 1957.

    Parlimen kita unik bukan kerana ia tidak menyiarkan liputan penuh perbahasan secara langsung, tetapi adalah dari segi rekabentuk dewannya. Kalau kita melihat perbahasan di House of Commons buat kali yang pertama, kita mesti tertanya-tanya, "Eh, macam ini ke Parlimen UK?"

    Perhatikan gambar dari video perbahasan di House of Commons ini:


    Sempoi sungguh dewannya! Mereka sekadar duduk sebelah-sebelah dan tiada tempat khusus bagi setiap MP. Jarak bagi setiap barisan kerusi di antara satu sama lain adalah agak rapat. Yang di-Pertua Dewan juga duduk sangat berdekatan dengan ahli dewan. Ia kelihatan tidak begitu formal tetapi dalam masa yang sama tetap berprestij.

    Mereka juga tiada meja. MP Malaysia kalau tak ada meja, memang pening kepala mereka. Cakap sikit, ketuk meja. Cakap sikit, ketuk meja. Lain kali Dewan Rakyat perlu menggantikan meja dengan gendang bongo agar sedap sikit bunyi yang dihasilkan. Apa pun, ini bukanlah sifat buruk yang khusus kepada MP Malaysia sahaja. Saya yakin, kalaulah para MP di House of Commons ini turut dibekalkan dengan meja, pasti akan diketuknya juga apabila perdebatan menjadi semakin panas.

    House of Commons yang lebih kecil berbanding Dewan Rakyat (walaupun hakikatnya jumlah MP mereka lebih besar) ini, hanya boleh memberikan tempat duduk kepada 427 orang sahaja. Ingat, jumlah keseluruhan MP ialah 646 orang. Jadi bila tempat sudah penuh, para MP yang datang lambat harus berdiri di bahagian yang berdekatan dengan pintu masuk dewan, atau di mana-mana yang mereka boleh selit:

    Perhatikan yang berdiri itu. Dari video ini.


    Walaupun demikian, bukan semua perbahasan akan membuatkan dewannya sesak. Ada di antaranya yang sengal seperti ini:

    Sidang ini sebenarnya dilakukan pada waktu malam.


    Dengan kata lain, rekabentuk House of Commons adalah sangat praktikal. Ia dibina dengan satu fakta bahawa setiap sesi perbahasan tidak semestinya akan atau wajib dihadiri oleh seluruh ahlinya. Lalu, mengapa mesti membazirkan wang untuk menyediakan tempat duduk yang khusus untuk setiap MP?

    Apabila setiap MP tidak dibekalkan dengan mikrofon di tempat duduk masing-masing, ia juga boleh memupuk semangat perbahasan yang sihat. Ia mengurangkan kebarangkalian untuk terpanculnya suara murahan dan membuang masa yang tiba-tiba menyampuk dari kejauhan sewaktu sesi pembentangan usul sedang berlaku; yang kadang-kala sampukan ini tidak diketahui siapa yang menuturkannya.

    Mikrofon di depan mata akan menyebabkan semua orang mahu bercakap tanpa menunggu giliran dan mengikut sunnah-sunnah Parlimen. Bila semua mahu bercakap, siapa pula yang mahu mendengar? Dan bila semua orang sudah bercakap secara serentak, mustahil sesebuah perbahasan itu akan mempunyai sebuah kesimpulan yang baik dan bernas.

    Inilah dia kebaikannya apabila memberikan dua buah mikrofon sahaja yang diletakkan di bahagian meja besar House of Commons; satu untuk wakil pencadang dan satu untuk wakil pembangkang. Mana-mana ahli Parlimen lain yang ingin bertanya dan mencelah semasa sesi soal-jawab, mereka perlu berdiri terlebih dahulu dan kemudian mengajukannya tanpa bantuan mikrofon.

    House of Commons juga dibina dengan menggunakan satu hakikat bahawa dua orang yang berdebat tidak boleh dipisahkan dengan jarak yang sangat jauh. Perbahasan bukan sekadar pada lidah, tetapi ia juga melibatkan bahasa badan yang mustahil untuk ditangkap sekiranya mereka yang berdebat itu duduk amat berjauhan. Sebab itulah bagi mana-mana MP yang ingin membentangkan sesuatu usul di House of Commons, mereka perlu pergi ke meja yang terdapat di bahagian tengah dewan tersebut dan bukan sekadar melafazkannya dari kerusi yang didudukinya.

    Sesungguhnya, jika diukur dari aspek rekabentuk Parlimen Malaysia, kita punya memanglah lebih canggih berbanding apa yang UK miliki. Ini kerana mereka punya bangunan Parlimen sudah agak berusia. Kita punya pula masih muda; tak sampai setengah abad lagi pun usianya.

    Tapi yang muda itulah yang sudah bocor bumbungnya. Nak baiki bumbung Parlimen yang bocor pun, paling kurang sudah memakan RM 12 juta beb! Kayo pakcik kayo! Ooops silap, kayo kroni JKR kayo!

    Bangunan Parlimen UK pernah dijilat api pada tahun 1834. Kemusnahan yang terjadi telah membuatkan bangunan itu dibina semula secara berterusan dalam jangka masa 30 tahun. Maka sekiranya bangunan Parlimen Malaysia hangus musnah dijilat air, maka inilah nasihat saya kepada para kontraktor yang akan mendapat projek untuk membinanya semula:
    Rekalah Dewan Rakyat dengan meminta bantuan pakar psikologi. Tanya dia 2 perkara: Pertama, mengapa manusia berdebat? Kedua, bagaimana keadaan persekitaran boleh mempengaruhi perjalanan sesebuah debat.
    Arakian begitulah yang dimaklumkan.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Pangkat Datuk Untuk Artis: Satu Penilaian Semula

    12 Oktober 2008 • 13 Komen
    1. Nak tahu betapa susahnya untuk dianugerahkan pangkat Sir (setaraf Datuk) oleh Kesultanan British? Mari tengok beberapa anugerah yang telah diterima oleh penyanyi dari Britain yang saya minat ini, Yusuf Islam:
    • 2003 - World Social Award untuk kerja-kerja kemanusiaan bagi membantu kanak-kanak dan mangsa peperangan;
    • 2004 - Man for Peace Award kerana usaha berterusan menyampaikan mesej keamanan dan menentang keganasan;
    • 2005 - Honorary Doctorate oleh University Gloucestershire kerana servisnya dalam bidang pendidikan dan bantuan kemanusiaan;
    • 2007 - Mediterranean Prize for Peace kerana usaha beliau meningkatkan keamanan dunia;
    • 2007 - Honorary doctorate (LLD) oleh University of Exeter sebagai satu pengiktirafan dalam kerja-kerja kebajikannya dan meningkatkan kefahaman di antara dunia Islam dan Barat.
    Punya dahsyat anugerah yang diperolehi ini, namun sehingga sekarang masih lagi tidak mendapat taraf Sir. Sebab itu bila Salman Rushdie menjadi Sir, saya berdoa dan berharap agar Yusuf Islam akan mendapat Sir juga suatu hari nanti.


    2. Saya tidak kisah kalau yang hendak diberi pangkat Datuk itu, bukannya rakyat tempatan. Asalkan dia telah melakukan sumbangan yang besar kepada Malaysia atau pun masyarakat dunia amnya.

    Bono, iaitu ketua kumpulan rock U2 dari Ireland, telah dianugerahkan knighthood oleh Kesultanan British kerana penglibatan aktifnya dalam membasmi kemiskinan dan AIDS di Afrika. Cuma beliau tidak boleh dipanggil Sir secara undang-undang kerana beliau adalah Irish, bukannya British.

    Apa pun pokoknya di sini, knighthood itu diperolehi bukan kerana Bono U2 ini popular di seantero dunia, sebaliknya disebabkan beliau menggunakan muzik dan popularitinya untuk menjadikan bumi ini tempat yang lebih selesa dan aman untuk didiami.


    3. Saya juga tidak kisah kalau ada artis yang menerimanya. Cuma biarlah nampak jelas apa sumbangannya. Ya, di samping merujuk kepada Shah Rukh Khan, saya juga merujuk kepada Datuk Siti Nurhaliza. Apa yang telah Kak Siti ini buat sebenarnya? Adakah kerana pernah menjadi Duta PBSM? Lalu apa cerita tentang status dutanya pada hari ini? Bak mirip lagu Cindai, "Sekadar bertanam tebu di pinggir bibir kah?"

    Atau adakah juga kerana Kak Siti telah berjaya membawa nama Malaysia sehingga ke Royal Albert Hall di London? Ini lagi saya pelik, sebab sepanjang pemerhatian saya yang tidak dilakukan secara saintifik ini, lebih ramai warga UK yang mengenali Raihan berbanding Siti.

    Benar, ada artis yang menerima pangkat keramat itu lebih kerana penglibatannya dalam industri hiburan itu sendiri. Ini seperti mana yang berlaku kepada Tan Sri P. Ramlee. Namun saya melihat, memberikan sebarang gelaran kenamaan kepada golongan artis perlu dilakukan dengan berhati-hati. Pemilihan wajib menimbangkan juga faktor sumbangan seseorang artis itu dalam arena selain hiburan; bukannya memilih kerana lebih disebabkan faktor popularitinya semata-mata.

    Ini kerana artis adalah seseorang yang jatuh bangunnya ditentukan oleh golongan yang pro dan anti kepadanya. Kadang-kadang sifat anti ini tidak begitu kuat dizahirkan, contohnya seperti P. Ramlee. Kadang-kala, golongan anti itu amat kuat di peringkat akar umbi, contohnya seperti yang berlaku kepada Siti dan Mawi. Mereka memang popular, namun usah dicakap betapa antinya golongan yang betul-betul anti kepada mereka ini. Maka inilah yang menyebabkan timbulnya perbalahan apabila taraf Datuk diberikan kepada golongan artis hanya kerana dek popularitinya sahaja.

    Popular ini juga sesuatu yang berubah-ubah. Hari ini mungkin popular, namun 10 tahun lagi belum tentu. Bandingkan populariti kumpulan lawak Senario yang mencipta nama melalui Sinaran Pasport Kegemilangan, 10 tahun dahulu dan sekarang. Mawi yang sangat popular pada 2-3 tahun lepas juga semakin pudar bintangnya.

    Oleh sebab itulah para Sultan, Raja dan Yang Dipertua, perlu berhati-hati memberikan pangkat Datuk kepada artis yang masih muda usianya. Ini kerana jika bintangnya semakin malap dan mungkin terus padam cahayanya pada 10, 20 atau 30 tahun yang akan datang, apa justifikasi untuk si fulan ini terus membawa pangkat Datuk pada pangkal namanya?

    Bekas ahli kumpulan The Beatles yang sangat popular itu, Paul McCartney, hanya mendapat pangkat Sir ketika berusia 55 tahun; bukannya ketika The Beatles sedang berada di puncak. Bahkan, Paul McCartney yang menerima knighthood kerana servisnya dalam bidang muzik ini, telah melakukan servis itu secara berterusan dan bukannya semata-mata bergantung kepada kepopularannya ketika masih bersama The Beatles. Bahkan juga, beliau merupakan aktivis pejuang hak asasi haiwan.

    Persoalannya, berapa ramai para Datuk di Malaysia yang sekurang-kurangnya pernah terfikir menjadi aktivis untuk membina sebuah dunia yang lebih baik, aman dan selamat berbanding semalam? Semoga para Datuk di Malaysia tidak sekadar berfikir untuk merebut projek-projek kerajaan, sepertimana yang sering digosipkan dari warung kopi di tepi jalan, sehinggalah ke Starbucks Bukit Bintang.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Setiap Negara Ada Akhbar Sengal yang Tersendiri

    09 Oktober 2008 • 11 Komen
    Dalam tulisan gua, oooops saya, yang lepas, ada satu komen yang berbunyi:
    Wah tak sangka ya. Harian Metro dikatakan sengal oleh anda. Kami di sini amat sukakan Harian Metro sebagai hiburan selain mendapat apa-apa maklumat yang best-best.
    Komen ini membuatkan saya teringat kepada satu babak yang paling lucu, yang dikatakan antara yang paling memorable dalam sitkom satira politik British yang bertajuk Yes Minister:
    Jim Hacker: Don't tell me about the press. I know exactly who reads the papers: The Daily Mirror is read by people who think they run the country; The Guardian is read by people who think they ought to run the country; The Times is read by people who actually do run the country; the Daily Mail is read by the wives of the people who run the country; the Financial Times is read by people who own the country; The Morning Star is read by people who think the country ought to be run by another country; and The Daily Telegraph is read by people who think it is.

    Sir Humphrey: Prime Minister, what about the people who read The Sun?

    Bernard: Sun readers don't care who runs the country, as long as she's got big t*ts.
    Terima kasih kepada YouTube, kerana di sana ada terdapat babak yang dimaksudkan ini:




    Apa yang perbualan satira ini cuba sampaikan ialah
    1. Setiap akhbar mempunyai sasaran uniknya yang tersendiri;
    2. Bagaimana cara kita berfikir di masa hadapan akan bergantung kepada jenis bahan bacaan yang selalu kita baca pada hari ini.
    Oleh kerana majoriti pembaca blog ini mungkin tidak pernah langsung mendengar nama akhbar-akhbar tersebut, maka mungkin satira yang terdapat di dalam perbualan tersebut adalah agak non-sense dan sukar untuk ditangkap. Contohnya, jika lu, ooops anda, tak pernah baca The Sun (bukan Malaysia mari), maka anda tak akan faham apa yang lawaknya dengan ayat "Sun readers don't care who runs the country, as long as she's got big t*ts". Tak mengapa, saya akan terangkan.

    Saya pernah sekali membaca The Sun. Kalau saya nak bagi orang Malaysia faham apakah ciri-ciri utama akhbar ini, saya mengibaratkannya sebagai gabungan majalah Mangga dan Harian Metro, cuma lebih ganas. Pelarisnya adalah berita sensasi picisan, gosip artis, isu seks dan gambar perempuan seksa-seksi yang ada sehingga menayangkan t*ts-nya tanpa tapisan seurat benang.

    The Sun memang super sengal. Tapi sekali itu sahajalah saya baca. Itu pun bukan saya beli. Tahu-tahu ia sudah ada di atas sofa di bahagian ruang tamu. Mana saya tahu surat khabar itu begitu sifatnya! Walaupun ia sengal, namun ke muka terakhir juga saya membeleknya. Astaghfirullah, astaghfirullah, astagfirullah. Patutlah gua, ooops saya, makin rabun.

    Jadi apa yang Bernard kata dalam ayat itu sebenarnya adalah satu sindiran kepada masyarakat UK yang suka sangat membaca The Sun sampai seolah-olah tak kisah apa nak jadi pada negara sendiri. Itulah dia akhbar yang paling popular di UK selepas News of the World yang diterbitkan pada setiap hari Ahad. Hah, ini akhbar apa pula? Wartawan News of the World lah yang mendedahkan kegiatan pelacuran yang dilakukan oleh genius Matematik, Sufiah Yusuf, yang kita semua kenal.

    Kali pertama saya membaca akhbar ini yang dibeli oleh kawan saya, terkejut mat yeh saya dibuatnya kerana aksi-aksi panas Sufiah dipampangkan tanpa tapisan. Ah sudah, ini akhbar al-tabloid al-picisan mirip The Sun rupanya! Rabun lagi saya jadinya. Nak hentikan baca susah pula sebab ini berita memang panas.

    Kawan saya itu pun jahil tentang sifat akhbar ini. Dia pun baru membeli akhbar itu buat kali pertama. Tujuannya adalah untuk mendapatkan goodies percuma yang disisipkan bersama. Buat pengetahuan, akhbar dan majalah di sini memang selalu memberikan goodies.

    Walaupun dua akhbar yang paling popular di UK adalah bersifat super sengal, namun bangsa ini tetap maju. Inilah dia 2 akhbar yang tersenarai dalam Top 10 akhbar paling laris di dunia:


    Sebab itu saya kata bahawa saya tidak akan poyo dengan memandang rendah kepada para peminat Mastika dan Harian Metro, terutamanya yang berbangsa Melayu. Tapi orang-orang Melayu juga jangan lupa bahawa bangsa British ini bangsa yang rajin membaca. Mereka layan The Sun dan News of the World, tetapi mereka juga layan bahan-bahan bacaan ilmiah dan bermutu yang lain. Jangan silap di sini, wahai Melayu.

    Jangan lupa juga bahawa selaku umat Islam, kita tidak akan maju sekiranya dosa-dosa kita terlalu banyak. Berhati-hatilah kerana ada sesetengah bahan bacaan pengubat kesengalan yang boleh menarik pahala dan menambahkan pula dosa kita.

    Now.. how many wives of the people who run the country will read Hembusan? Kui kui kui.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Harian Metro Yang Sengal

    07 Oktober 2008 • 18 Komen
    Gua kalau nak baca berita skandal seks, isu anak muda runtuh akhlak, promosi (secara tak sengaja) laman 18SX Melayu, orang kena bunuh, orang kena samun dan tipu, gua memang cari Harian Metro.

    Gua seperti lu orang juga, ada masa-masa sengalnya. Gua juga tak akan poyo seperti sesetengah orang yang merumuskan bahawa antara sebab bangsa Melayu mundur adalah kerana terlalu sangat mengulit bahan bacaan ala-ala Mastika dan Harian Metro. Sebab gua dah kata dulu, Melayu tak semestinya macam tu.

    Bila gua cakap yang gua sedang sengal, ini bermakna gua sedang malas nak baca dan fikir benda-benda berat. Ini bermaksud, gua dalam fasa menerima bulat-bulat apa yang gua baca tanpa gua mahu mempertikaikan isinya.

    Tapi hari ini, lu buat gua marah dan kecewa betullah! Gua datang laman web lu untuk sengal-sengal, tapi apa yang lu tepek di muka depan hari ini buat gua tengok lu sangat-sangat ketinggalan zaman sebab lu mensensasikan benda yang lapok.

    Gua tak kisah lu nak sumbat akhbar lu dengan berita-berita sengal, tapi lu janganlah sodok berita yang tak tepat kepada pembaca. Gua tahu yang keuntungan akhbar lu adalah berkadar langsung kepada berita-berita sengalnya. Tapi sesengal mana pun berita itu, lu tolonglah suruh para editor, wartawan dan jurnalis lu supaya buat kerja sekolah betul-betul.

    Lu kata dalam tulisan yang menjadi berita utama lu hari ini (7/10/2008) bahawa:
    Taktik licik terbaru sindiket penipuan Internet dikesan menggunakan nama jutawan yang juga pengasas perisian Microsoft, Bill Gates, bagi memerangkap mangsa sindiket itu melalui e-mel...
    Maka lu dah kantoi dengan gua. Untuk pengetahuan lu, emel scam (sebenarnya lebih menjurus kepada hoax) ini sudah lama wujud semenjak tahun 2004 lagi. Ini bukan taktik licik terbaru. Gua pun dah banyak kali dapat.

    Malah, Bill Gates yang ada aset sebanyak USD 58 bilion ini, lu panggil dia jutawan? Adeh, abang Bill Gates tu dah la pening kepala sebab Vista tak laku, lu lagi nak buat dia kecik hati dengan menggelarkannya sekadar jutawan.

    Gua tahu tujuan lu adalah untuk menyedarkan orang ramai supaya berhati-hati di internet. Sebab itu lu sanggup telefon awek bernama Norhafizah untuk mengesahkan kesahihannya. Tapi gua pelik sebab lu punya jurnalis tak ada kemahiran meng-google yang baik untuk mengkaji kisah yang selanjutnya. Kalau lu drebar bas, gua tak pelik.

    Eh satu lagi. Itu gambar mamat tengah tengok monitor komputer yang gua curi dari berita lu itu, adakah itu pekerja lu? Kalau dia pekerja lu, lu tolong nasihatkan dia agar beralih ke GMail yang lebih bagus spam filter-nya. Bila kurang spam, lu pun akan kurang diserang oleh rantaian emel scam dan hoax.

    Aduh, kecewalah gua dengan lu Harian Metro. Lu dah buat gua tertulis blog pada hari ini dan lu dah buat gua terguna kata ganti nama gua/lu yang gua mahu gunakan dalam entri yang akan datang. Gua dah tak caya sama lu lagi.

    Apapun lu jangan risau dengan golongan-golongan elit intelek yang selalu mengkritik lu, sebab gua berspekulasi bahawa pasaran akhbar untuk orang-orang yang sengal seperti gua di Malaysia ini akan bertambah besar dalam tahun-tahun yang mendatang. Jika tidak, masakan Berita Harian dan Utusan Malaysia juga semakin mensensasikan berita-berita yang sengal-mengal? Eh, betul ke teori gua ni?

    Apa pun, lu teruskan sahaja usaha lu. Bila lu makin maju, lu akan buat banyak duit. Bila buat banyak duit, lu boleh menambahkan lagi bilangan Melayu glokal, bahkan lu juga mudah-mudahan boleh membantu lebih ramai Melayu yang masih berada di bawah. Bila lu dah buat begini, golongan elit intelek itu akan terduduk senyap. Kui kui kui.

    Terima kasih Harian Metro dan teruskan usaha lu! Walaupun gua kecewa dengan apa yang lu buat, namun gua akan tetap melawat laman web lu sebab lu lah satu-satunya pengubat kesengalan gua yang kesepian ini.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Gambar Sambutan Ramadhan Serata Dunia

    22 September 2008 • 18 Komen
    Saya adalah antara peminat ruangan The Big Picture dari laman Boston.com. Bahkan saya melanggan feed ruangan tersebut.

    Entri terbaru The Big Picture memuatkan 35 keping gambar tentang sambutan Ramadhan di banyak tempat di seluruh dunia. Kalau tak tengok gambar-gambar tu memanglah rugi. Ini sekadar 3 keping gambar yang ada di sana. Perhatian: Gambar yang saya muatkan di blog ini adalah bersaiz kecil dan rendah kualitinya berbanding di sana.

    Seorang kanak-kanak sedang menyediakan juadah berbuka puasa di Masjid Memon, Karachi, Pakistan.


    Kanak-kanak Palestin yang cacat penglihatan sedang membaca al-Quran dalam tulisan Braille di sebuah sekolah agama di Ramallah.


    Waktu maghrib 17 Ramadhan di Masjid Faisal, Islamabad, Pakistan.


    Blog ini akan berehat seketika. Insya-Allah akan bersambung kembali sekurang-kurangnya dua minggu setelah berlalunya 1 Syawal (tapi tak tentu lagi, bergantung kepada pelbagai faktor. Mungkin juga lebih lama). Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri tak lama lagi! Andai ada tersilap kata dan terkasar bahasa, maafkanlah daku ini.

    Saya dedikasikan lagu ini buat pembaca blog saya yang baru mahu pun lama :)


    Raihan & NowSeeHeart - Satu Pagi Di Hari Raya



    KEMASKINI:
    Terima kasih kepada sesiapa yang buat dedikasi Aildilfitri untuk saya di ruangan komen. Saya tak mungkin dapat membalas dan mengucapkan terima kasih bagi setiap dedikasi. Namun kalau identitinya saya ketahui, insya-Allah saya akan balas sama ada di blog masing-masing, atau pun menerusi e-kad, tetapi bukan di ruangan komen di bawah ini :)

    Sebenarnya kalau boleh, saya nak juga buat dedikasi menerusi Radio IKIM. Tapi memandangkan saya jauh dan tiada pula kabel besar dan gugusan kroni di stesen radio berkenaan, maka terpaksalah daku kuburkan cita-cita ini. Okeh terima kasih sekali lagi.

    P.S. Pembaca senyap blog ni pun janganlah malu-malu kucing nak hantar dedikasi!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Anwar Ibrahim dan FDI 1 Trilion

    20 September 2008 • 21 Komen
    Kini ekonomi dunia sedang demam. Lantas sukar untuk saya percaya apabila Anwar Ibrahim mengatakan jika Pakatan Rakyat berjaya menggulingkan Barisan Nasional, maka akan ada sejumlah besar pelaburan langsung asing (FDI) yang bakal mengalir ke dalam Malaysia:
    Dalam sidang akhbarnya semalam, Anwar turut mengumumkan bahawa lebih USD 1 trillion pelaburan asing menanti untuk memasuki pasaran negara jika politik, kehakiman negara, media, polis, peraturan Bank Negara diperbaiki...

    ...Jika Pakatan Rakyat memerintah, kemasukan USD 1 trillion pelaburan asing akan menjana aktiviti ekonomi yang aktif dalam negara, sekaligus membantu pertumbuhan ekonomi negara yang boleh membawa kesejahteraan kepada rakyat. Ini yang sebenarnya rakyat kehendaki.
    Ya, 1 trilion. 1 trilion ialah nombor 1 yang diikuti dengan 12 sifar di belakangnya (1, 000, 000, 000, 000). 1000 juta = 1 bilion. 1000 bilion = 1 trilion.

    Angka ini terlalu besar dalam keadaan ekonomi dunia yang sedang meracau. Kalau pun ia sedang tak meracau, saya masih susah nak percaya. Belanjawan 2009 yang baru dibentangkan pun hanya diperuntukan sebanyak RM 207.9 bilion. Itu RM, bukan USD. Jika 5 kali belanjawan berikutnya menggunakan peruntukan sebanyak itu pun, nilainya masih lagi tidak dapat mengatasi USD 1 trilion. Sungguh tidak rasional apabila FDI melebihi belanjawan negara dalam jumlah yang sangat besar.

    Bahkan dalam tulisan Agenda Ekonomi Malaysia: Gagasan Pembangunan yang ditulis oleh Pak Anwar sendiri, ada menyebut bahawa:
    Pelaburan asing di Malaysia merudum ke RM14.69 bilion tahun lepas dari RM17.09 bilion pada tahun 2004, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan PBB di dalam Laporan Pelaburan Dunia 2006.
    Nilai pelaburan asing pada dua tahun yang berbeza itu, jika dicampurkan pun, masih lagi jauh dari nilai USD 1 trilion yang mungkin masuk sekiranya Pakatan Rakyat berjaya meraih kuasa. Nilai FDI pada USD 1 trilion adalah terlalu besar bagi sebuah negara, yang mana ia adalah hampir bersamaan dengan nilai FDI Global pada tahun 2007.

    Pada akhir tahun 2009, nilai ini adalah anggaran kos yang perlu ditanggung oleh Kementerian Kewangan Amerika untuk menaja misi perang di Iraq yang sudah pun memasuki tahun ke-5.

    Pada tahun lepas pula, The New York Times menganggarkan kos total peperangan di Iraq adalah sekitar USD 1.2 trilion. Di bawah adalah gambarajah daripada laporan tersebut untuk membolehkan kita melihat betapa besarnya nilai USD 1.2 trilion itu:

    Kos tahunan yang Amerika belanjakan untuk Perang Iraq jika dibandingkan dengan perbelanjaan-perbelanjaan yang lain. Klik gambar untuk paparan yang lebih besar.


    Segala fakta-fakta ini membuatkan saya tertanya-tanya sama ada lidah Pak Anwar tersasul, atau sengaja bluffing, atau penulis Harakah itu telah tersalah taip, atau dia tersilap dengar dan faham. Apa yang pasti, salah satunya mungkin betul.

    KEMASKINI:
    Ini komen saya dalam tulisan Hembusan Ditipu Harakah oleh Hasbullah:
    Anwar main psikologi di sini. Bila Anwar sebut ada pelabur yang "mewakili aset yang berjumlah USD 1 trilion", hal ni seolah-olah boleh buat orang-orang kampung faham bahawa pelaburan akan masuk sebanyak USD 1 trilion.

    Pengarang Harakah yang sepatutnya boleh lebih faham sikit-sikit tentang ekonomi berbanding orang biasa pun, boleh tertipu!

    Sekarang giliran saya pula nak main psikologi. Saya ada aset sebanyak USD 50 bilion. Tak banyak, cuma kurang USD 8 bilion saja berbanding Bill Gates. Saya mahu melabur di Malaysia. Jadi sekarang, ada sesiapa yang terfaham yang saya nak melabur sebanyak USD 50 bilion di Malaysia?
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Makin Panjang, Makin Banyak Ikan Emas

    13 September 2008 • 31 Komen
    Di kala ini, saya sedang menyiapkan satu artikel yang agak panjang. Menghasilkan tulisan yang berjela-jela di internet sebenarnya adalah sesuatu yang wajar dipertimbangkan. Apatah lagi kalau berazam untuk menjadi seorang novelis atau cerpenis maya. Ini memandangkan cara seseorang membaca di internet adalah tidak sama seperti mana mereka membaca bahan bercetak.

    Secara purata, pengguna internet paling-paling hanya akan membaca 28% daripada apa yang ditulis. Lagi panjang kita tulis, lagi sedikit mereka baca; yang selebihnya mereka sekadar melihatnya sepintas lalu (scan). Hanya sebahagian kecil sahaja yang akan membaca perkataan demi perkataan dari awal sehingga akhir. Ini bermaksud, peluang untuk kita syok sendiri bagi setiap tulisan yang kita hasilkan di internet adalah amat tinggi.

    Tragedi ini berlaku kerana internet ada terlalu banyak gangguan. Maklumat yang melimpah-ruah di internet kadang-kadang menjadi satu sumpahan kepada internet itu sendiri. Sedang kita membaca artikel, tiba-tiba tangan menggatal hendak klik sana-sini tanpa sempat menghabiskan dan menghadam betul-betul apa yang sedang dibaca. Akibatnya, info yang sedang kita hendak kutip itu tidak dapat diserap sepenuhnya.

    Ini berbeza kalau kita membaca buku. Di dalam buku, tiada widget dan gadget. Di dalam buku, tiada perkataannya yang boleh diklik. Ketika membaca buku, kita tidak akan hirau untuk mengetahui siapa sedang online di YM, kita tidak kisah berapa banyak emel baru yang masuk, dan bagi yang masih ada Friendster, kita tidak akan peduli untuk login ke sana untuk mengetahui berapa banyak komen/testimonial baru yang diterima.

    Buku (dan juga bahan bercetak yang lain) itu sifatnya monogami; bila kita membacanya, kita hanya akan fokus pada buku itu sahaja. Blog, wiki, forum dan sebagainya yang terdapat di internet ini pula, menggoda tumpuan kita agar berpoligami dengan bahan bacaan yang lain (termasuk juga audio dan video) secara serentak. Internet sebenarnya membuatkan kita cenderung untuk tamak meraih maklumat yang berada di dalamnya, tetapi bila sudah dapat, maklumat itu sekadar dibaca ala kadar dan kemudian kita melompat ke sana-sini untuk menagih maklumat yang lain.

    Suatu ketika dahulu saya juga ada penyakit yang sedemikian. Belum habis membaca yang ini, saya melompat kepada yang itu. Sehinggalah akhirnya saya dikhabarkan bahawa sifat suka melompat-lompat ini lama-kelamaan boleh membuatkan fokus seseorang itu hanya bertahan paling maksimum selama 9 saat sahaja, iaitu sama seperti ikan emas.

    Akibatnya, kita bakal mendapat satu habit yang menyukarkan kita untuk menumpukan perhatian kepada apa yang sedang kita lakukan, baik di dunia maya mahu pun di alam nyata (contoh ketika belajar di dalam kelas). Habit ini pula malangnya dibentuk tanpa kita sedari.

    Walaupun tulisan yang panjang tidak begitu digalakkan, namun perlu diakui bahawa tulisan yang pendek tidak mampu mengupas sesuatu isu dengan mendalam dan berwibawa. Saya mendapati ada 4 perkara yang sekiranya dilakukan oleh pemilik blog atau laman yang mempunyai artikel yang panjang lebar, maka ia dapat membantu saya dan mungkin juga ramai yang lain untuk memberikan tumpuan yang lebih jitu kepada apa yang hendak disampaikan.

    Ingat 4 Perkara

    1) Jangan gunakan warna font cerah di atas latar belakang yang gelap. Blog Sosialis Kanan adalah the worst offender di kalangan blog yang saya ikuti:


    Setiap kali saya membaca blog tersebut, saya perlu mematikan style (kalau di Firefox, View --> Page Style --> No Style) agar ia jadi sekadar begini:

    Bagi hasil tulisan yang memerlukan tumpuan yang tinggi dari pembacanya, maka dalam kebanyakkan kes, sila gunakan font berwarna gelap (contohnya hitam) dan latar belakangnya pula adalah berwarna putih.


    2) Jangan guna saiz font yang kecil. Kalau boleh, gunakan saiz font yang sekurang-kurangnya seperti di dalam blog ini. Ingat, bukan semua pembaca terdiri dari anak-anak muda yang masih kuat matanya. Dan bukan semua orang tahu bagaimana untuk mengawal saiz font secara manual melalui browser yang mereka gunakan.


    3) Nyahkan shoutbox dari blog atau laman anda. Di samping membuka ruang seluas-luasnya untuk pencacai, pemfitnah dan spammers untuk bermaharajalela (cuba bayangkan apa akan jadi jika anda tak dapat akses ke blog dalam jangka waktu yang lama, dan blog anda itu pula popular?), widget ini juga adalah antara elemen utama yang boleh mencuri tumpuan seseorang dari apa yang sedang dibacanya.

    Malah masa yang anda gunakan untuk berurusan dengan mereka yang menjerit di shoutbox itu, sebenarnya lebih produktif jika ia disalurkan untuk menghasilkan tulisan yang baru. Jika mereka benar-benar mahu berurusan dengan anda, maka mereka boleh menggunakan emel.


    4) Lagu/zikir/selawat/bacaan al-Quran yang terpasang secara automatik adalah annoying. Bila saya pergi ke blog anda, perkara pertama yang saya mahu lakukan adalah membaca apa yang anda tulis; bukannya mencari butang STOP yang kekadang entah di mana letaknya.

    Ingat, ada ramai pembaca yang boleh hilang tumpuan jika mereka mendengar muzik, hatta al-Quran sekalipun. Dan kalau pun mereka tak akan hilang tumpuan, bukan semua orang minat nak mendengar lagu-lagu nasyid jiwang yang terpasang secara automatik di blog anda. Maksudnya, selera manusia tidak sama. Jadi cara paling selamat, jangan buat autoplay.



    Itu sahaja di antaranya. Maka bantulah saya dan ramai yang lain agar mereka semua tidak mempunyai tumpuan seperti ikan emas. Lebih banyak ikan emas di blog anda, bermakna lebih besar peluang anda untuk syok sendiri. Justeru itu, kurangkan populasi mereka!

    Jika anda boleh membaca artikel ini dari awal hingga habis, maka ketahuilah bahawa anda mempunyai fokus di tahap super! Persoalannya, ada berapa banyak ikan emas yang sedang berenang-renang di sini?
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Belajar Membaca al-Quran Dalam Masa 23 Jam

    04 September 2008 • 21 Komen
    Seperti biasa, bila Ramadhan menjuihkan anak bulannya, kita tetiba mendapat aura untuk membaca al-Quran sebanyak yang mungkin. Carian tentang 'Quran' paling kerap berlaku pada bulan yang permulaannya rahmah, pertengahannya keampunan dan penghujungnya adalah pelepasan dari api neraka.

    Gambar statistik carian al-QuranSumber dari Google Insights. Keputusan ini hanya melibatkan carian di Google.com sahaja. Puncak paling tinggi yang ditandakan dengan bulatan merah, berlaku pada awal permulaan Ramadhan.


    Orang dewasa yang masih merangkak-rangkak membaca al-Quran pun sedikit-sebanyak mahu turut sama menambahkan pahala. Ada 2 sebab utama mengapa lidah mereka masih perlu merangkak di kala kaki sudah pun pandai berlari:
    • Pertama kerana semasa kecil dahulu ibu bapa kurang menekankan didikan agama kepadanya;
    • Kedua pula kerana sudah tidak pernah membacanya lagi sesudah mereka menyantap pulut kuning sewaktu majlis khatam al-Quran di sekolah rendah dahulu.

    Apa pun, yang lepas sudahlah. Sekurang-kurangnya mereka ini ada azam untuk memperbaiki bacaan al-Quran. Ini sudah tentu jauh lebih bagus dari anak dara yang tiba-tiba mahu melancarkan semula bacaan al-Quran kerana majlis perkahwinannya itu nanti akan diserikan dengan majlis khatam al-Quran yang harus disertainya.

    Namun bagaimana sebenarnya mereka yang masih merangkak ini, mahu menjadikan bacaan al-Quran mereka lebih lancar dan betul pula tajwidnya?

    Cara terbaik sudah tentunya berguru dengan orang yang lebih arif dan pakar. Cuma masalahnya sifat kita sebagai manusia ini, semakin tua, semakin tinggi ego kita. Bila ego tinggi, segan juga sebenarnya untuk meminta tunjuk ajar tentang perkara-perkara asas dalam agama.

    Jadi untuk mengurangkan ketebalan muka, mungkin ada yang akan belajar membaca al-Quran melalui tutorial VCD. Saya sebenarnya sangat skeptikal dengan kaedah VCD jika ia tidak disertakan dengan proses pembelajaran dari 'the real teacher'. Seorang kenalan mak saya, yang pada mulanya bersemangat mahu belajar al-Quran dari mak saya, tiba-tiba membatalkan hasratnya kerana katanya dia sudah membeli satu set VCD belajar membaca al-Quran.

    Hal ini membuatkan saya musykil. VCD apakah yang mampu meyakinkannya untuk berguru dengan Ustaz VCD yang sudah tentu tidak dapat menyemak bacaannya nanti. Saya meng-Google untuk mencari mana-mana kedai siber yang menjual VCD belajar membaca al-Quran. Saya jumpa beberapa produk. Ada buatan Malaysia dan Indonesia.

    Dari Malaysia, ada satu produk yang mampu mengajar kita membaca al-Quran dalam masa 24 jam. Dari Indonesia pula, ada produk yang menjanjikan bisa (boleh) membaca al-Quran dalam masa 1 jam walaupun seseorang itu masih belum lagi mengenal huruf. Produk Indonesia lebih dahsyat! Situasi ini mengingatkan saya kepada buku Sams Teach Yourself CSS in 24 Hours yang pernah saya beli.

    belajar al-quranBoleh Membaca al-Quran Dalam Masa 24 Jam?

    Belajar x Dalam Masa y Jam

    Berdasarkan tajuk, buku itu seakan-akan menjamin saya mahir CSS dalam masa 24 jam. Namun sebenarnya ia bersifat hiperbola - ia sekadar satu sensasi untuk melariskan jualannya. Setelah khatam, saya mendapati jika buku itulah yang menjadi guru saya sepanjang masa, maka CSS saya akan selamanya melukut di peringkat beginner.

    Apa yang saya tahu, di samping membaca banyak tutorial dan artikel tentang CSS di internet, saya juga perlu menelaah beberapa lagi buku-buku lain untuk membolehkan saya memahaminya di peringkat advanced. Kesemua ini memerlukan masa yang jauh lebih lama dari 24 jam!

    Lalu saya menyedari bahawa tiada satu pun ilmu yang kita boleh menguasainya dalam masa x jam/hari/bulan/tahun. Mengatakan bahawa sesuatu ilmu itu boleh kita kuasai dalam tempoh masa yang tertentu adalah sesuatu yang tidak wajar. Ini ibarat kita mengatakan bahawa kuantiti ilmu bagi sesuatu bidang itu adalah bersifat tetap dan tidak merangsang kita secara pra-sedar untuk mendalami ilmu yang kita pelajari itu sedalam yang boleh. Penggalian ilmu, tak kiralah ilmu berkaitan Islam atau pun bukan, adalah berlaku sepanjang hayat.

    Saya boleh faham jika syarikat yang menghasilkannya memberikan alasan 'untuk tujuan pemasaran'. Ada benarnya juga hujah ini. Para pembeli berkemungkinan besar akan membeli produk yang bernama 'Belajar Membaca al-Quran Dalam Masa 24 Jam' berbanding 'Belajar Membaca al-Quran' atau pun 'Belajar Mengaji Bersama Ustaz Daud'.

    Namun cuba fikir elok-elok. Katakan kita masuk ke sebuah kedai. Di kedai itu ada menjual 2 jenis produk minuman teh pengurus badan. Produk teh A membawa slogan 'Kini anda boleh langsing dalam masa 30 hari!' Slogan produk teh B pula 'Kini anda boleh langsing dalam masa 20 hari!' Kedua-dua produk A dan B ini mempunyai tanda harga yang sama. Maka yang mana satu kita akan beli? A atau pun B?

    Situasi ini sama seperti produk VCD belajar membaca al-Quran itu. Setelah lebih kurang 4 tahun saya belajar membaca al-Quran sewaktu berada di sekolah agama (rendah), barulah saya boleh membaca al-Quran dengan lancar dan tidak terlalu lintang-pukang tajwidnya. Jika masa yang sebegitu lama boleh dikontotkan menjadi 24 jam, maka apa pula yang menghalangnya dari dikontotkan lagi menjadi 23 jam, 15 jam dan 10 jam? Produk dari Indonesia itu membawa mesej bahawa dengan usaha dan fokus, kita sebenarnya boleh belajar al-Quran dalam masa 1 jam sahaja!

    Maka berhati-hatilah dengan apa jua jenis produk yang menjamin anda boleh melakukan atau belajar perkara x dalam masa y jam/hari/bulan. Produk-produk yang bernama sedemikian boleh memberi maklumat yang salah kepada pembeli. Mengapa? Kerana bukan semua orang mempunyai kemahiran belajar dan menyerap maklumat yang sama.

    Walaubagaimana pun, dalam kes belajar membaca al-Quran ini, saya tetap juga menggalakkan agar membeli tutorial dalam bentuk VCD bagi sesiapa yang masih di tahap merangkak. Dengan syarat, jangan lupa juga untuk berguru dengan orang yang lebih arif dari kita.

    Sebagai penutup, semoga di era yang mana wujudnya sebilangan umat Islam yang lagaknya seperti para imam mujtahid, kita hanya boleh berharap agar tiada buku Belajar Berfatwa Dalam Masa 24 Jam yang bakal diterbitkan suatu hari nanti!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    7 Font Islamik yang Anda (Mungkin) Tak Tahu

    25 Ogos 2008 • 18 Komen
    Dalam komputer saya ada beberapa font dari jenis Dingbat yang bercirikan kesenian Islam. Font-font Islamik ini banyak membantu saya dalam beberapa perkara dan projek yang saya siapkan.

    Contohnya, tulisan Muhammad Rasulullah pada bahagian akhir video Solla 'Alaikallah sebenarnya adalah karakter "[" dari font AGA Islamic Phrases. Tulisan Alhamdulillah yang ini pula adalah karakter "+" dari font yang sama.

    Maka dalam entri ini saya kongsikan 7 font Islamik yang saya ada, tapi anda mungkin tak ada dan tak tahu. Gambar-gambar bagi setiap font yang ada di sini cuma sebahagian kecil daripada koleksi lengkap font tersebut.


    1) AGA Islamic Phrases

    aga islamic phrase font

    2) Mohammad RasoolAllah

    mohammad rasool Allah font

    3) Besmellah 1

    besmellah 1 font

    4) Besmellah 2

    besmellah 2 font

    5) Besmellah 3

    besmellah 3 font

    6) Besmellah 5

    besmellah 5 font

    7) SHia

    Peringatan: Font SHia adalah font yang ada terselit unsur-unsur Syiah di dalamnya. Namun tidak semua karakternya ada kaitan dengan Syiah; contohnya seperti gambar di bawah ini. Maka pilih dan tapislah dengan berhati-hati.

    shia font


    Perisian ini pula boleh membantu anda untuk view, install & organize fonts:
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Di Keheningan Malam

    06 Ogos 2008 • 27 Komen

    Fi lailatin min al Layali - Muhammad al-Husayn


    Download lagu ini.



    في ليلة من الليال
    لست أدري ما اعتراني
    ظلمةٌ تغمرني يا رب


    Di suatu malam dari sekian malam,
    Aku tidak tahu apa yang terjadi padaku,
    Kegelapan menyelubungi diriku, wahai Tuhan.


    الأرض ضاقت والسماء
    وقلبي ما عرف الضياء
    والدمع بات يبكي يا إلهي


    Bumi dan langit ku rasakan sempit,
    Hatiku tidak menjumpai cahaya,
    Dan air mataku sentiasa bercucuran, wahai Tuhanku.


    عصيت والذنب كبير
    وإني في حزني أسير
    مقيد بالذنب يا رب

    Aku ingkar dan dosaku bertimbun,
    Sesungguhnya aku di dalam penjara kesedihan,
    Dirantai oleh dosa-dosaku, wahai Tuhan.


    فهل يستحق يا إلهي
    العفو مجرماً
    مقرٌّ بالذنوب يا إلهي

    Akan layakkah, wahai Tuhanku,
    kemaafan diberikan kepada si pesalah,
    yang sering berbuat dosa, wahai Tuhanku?


    أنت الذي خلقتني
    رحمتني ورزقتني
    دوماً يا رب قد كنت معي

    Engkau yang menciptakanku,
    Mengasihiku dan memberikanku rezeki,
    Wahai Tuhan, Engkau sentiasa mendampingiku,


    لكنني نأيت عنك
    نسيت ما قد كان لك
    وسرت في طريقي يا إلهي

    Namun aku pula menjauhi-Mu,
    Aku melupai apa yang ada pada-Mu,
    Dan aku mengikuti jalanku sendiri, wahai Tuhanku.


    واليوم يا رب أعود
    من ظلمة خلف الحدود
    فالقلب منكسر وطرفي حائر


    Pada hari ini wahai Tuhan, aku kembali
    daripada kegelapan di belakang sempadan,
    Hatiku berkecai dan jalanku mengelirukan,


    وأنا الغريق فلا أرى
    إلا سواك لي منقذاً
    لا ملجأ ولا منجى إلا أنت
    يا إلهي

    Aku yang kelemasan tidak melihat sesiapa
    melainkan Engkau untuk menyelamatkanku,
    Tiada tempat berpaling, tiada penyelamat kecuali Engkau, wahai Tuhanku!



    Pada suatu hari, seorang lelaki berjumpa dengan seorang sahabat Rasulullah sallahu alayhi wassalam yang bernama Abdullah bin Mas'ud radiallahu 'anh dan berkata:
    Wahai Ibn Mas'ud, nasihatilah aku dengan sesuatu yang dapat meredakan kegelisahanku. Buat masa ini, jiwaku tidak tenteram, fikiranku kusut-masai, tidurku tidak nyenyak dan seleraku tiada.

    Abdullah bin Mas'ud kemudian menjawab:
    Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat. Pertama, ke tempat orang yang sedang membaca Al Quran; tidak kira sama ada kamu ikut membacanya atau kamu sekadar mendengar bacaan orang lain.

    Kedua, kamu menghadiri majlis ilmu yang boleh mengingatkanmu kepada Allah.

    Ketiga, kamu cari suatu waktu yang sunyi, contohnya di waktu malam, dan ketika itu kamu bangun melaksanakan ibadah kepada Allah serta memohon kepada-Nya agar diberikan ketenangan dan kedamaian hati kepadamu.

    Jika selepas melakukan kesemua ini, jiwamu masih juga tidak tenteram, bermohonlah kepada Allah agar digantikan hatimu dengan yang lain kerana hati yang kamu miliki sekarang ini bukan lagi milikmu.

    ---
    Nota Sampingan
    1) Perenggan yang ke-7 mungkin tak berapa tepat terjemahannya.

    2) Melodi lagu Fi lailatin min al Layali ini adalah adaptasi daripada lagu Hallelujah yang pertama kali dipopularkan oleh Leonard Cohen pada tahun 1984. Generasi hari ini mungkin pertama kali mendengar lagu Hallelujah (versi yang dimodenkan) menerusi filem animasi Shrek.


    Hallelujah - Shrek


    Ada ke mana-mana penyanyi nasyid yang nak guna melodi Silent Night pula lepas ni?

    3) Terima kasih kepada Ustaz Aljoofre atas sedikit pembetulan.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »