Back to home page

Oops!... Salman Rushdie Did It Again?

07 Julai 2007 • 20 Komen Cetak Chenta!
Saya mengisytiharkan kepada umat Islam
di serata dunia bahawa pengarang novel
The Satanic Verses - yang mana ia bertentangan
dengan ajaran Islam, Rasulullah dan al-Quran -
dan semua yang terlibat di dalam
proses penerbitannya yang menyedari
akan isi kandungannya,
adalah dijatuhkan hukuman mati.

(Fatwa Ayatollah Khoemini yang disiarkan melalui Radio Tehran.
Sumber BBC, Arkib berita 14 Februari 1989)



18 tahun dahulu ketika saya merupakan seorang kanak-kanak naif yang comel dan masih lagi mengesat hingus yang meleleh keluar dari hidung di baju, Salman Rushdie sudah pun bikin panas dunia Islam dengan menghasilkan novel The Satanic Verses. Saya masih kecil ketika itu, berusia lingkungan 6 tahun dan saya tiada walau satu idea pun tentang kekecohan yang berlaku. Walaupun saya sudah tahu membaca waktu itu, tetapi saya rasa bermain sorok-sorok dengan kawan sekampung adalah lebih menyeronokkan dari saya membaca akhbar untuk mengambil tahu apa yang Salman Rushdie sudah buat sehingga Pakcik Suradi naik angin.

Apabila saya berjaya melangkah masuk ke sekolah rendah, nama Salman Rushdie dan kejahatannya sekali-sekala disebut oleh ustaz dan ustazah yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam.

Sehingga saya berada sekolah menengah, saya masih lagi tiada idea sama sekali apakah kejahatan dan fitnah terhadap Nabi Muhammad saw, yang terkandung di dalam novel syaitan tersebut. Kementerian Dalam Negeri telah pun mengharamkan novel itu dari dijual di Malaysia, dan perkara yang sama juga turut berlaku di negara-negara Islam yang lain. Jadi dari mana saya boleh mendapat info tentangnya?

Pengharaman buku tersebut lama kelamaan memadamkan api kontroversi yang lebih hebat bahangnya di United Kingdom, India, Pakistan dan Iran. Kaedah pengharaman ini betul-betul berjaya waktu itu. Namun pada hari ini kaedah ini akan gagal dengan adanya gudang Amazon.

Fatwa hukuman bunuh yang dikeluarkan oleh Ayatollah Khomeini pada Hari Valentine 1989 membuatkan Salman Rushdie terpaksa menyorokkan diri di United Kingdom dan mempunyai 30 buah alamat rumah yang berbeza-beza selama 9 tahun. Dua faktor ini; pengharaman buku dan fatwa hukuman bunuh oleh Iran, telah membataskan pergerakan dan aktiviti harian Salman Rushdie.

Akhirnya nama beliau berserta kontroversi yang tercetus semakin dilupakan dan saya yakin majoriti generasi remaja Islam hari ini yang berusia hingga lewat 10-an, mungkin pertama kali mendengar nama Salman Rushdie apabila baru-baru ini Ratu Elizabeth mahu menganugerahkan pangkat Sir kepada beliau.

Ingatan saya yang semakin malap terhadap Salman Rushdie tiba-tiba menjadi cerah pada tahun 2005. Ada 2 peristiwa yang berlaku. Pertama, saya terjumpa dan kemudiannya membelek-belek novel The Satanic Verses di sebuah kedai buku di Dublin. Dan yang kedua pula, apabila beliau datang melawat dan memberikan ceramah di Trinity College untuk mempromosikan bukunya, Shalimar the Clown.

Saya memang mahu masuk ke dalam dewan kuliah tempat Salman Rushdie memberikan ucapannya itu, tetapi nasib tidak menyebelahi saya. Saya datang awal sebenarnya, tetapi tunggu kawan punya pasal, akhirnya kami tidak dibenarkan masuk. Katanya dewan sudah penuh. Wah, hebat sungguh penangan Salman Rushdie sampai penuh dewan yang boleh memuatkan 700-800 orang itu. Sudahlah mahu masuk perlu bayar 2 Euro.

Hingga hari ini saya masih lagi tertanya-tanya, adakah betul dewan sebesar itu boleh penuh. Selalunya jarang-jarang dewan sekangkang king-kong itu boleh penuh apabila ada penceramah luar yang datang. Atau mungkin juga bodyguard Salman Rushdie sudah beritahu awal-awal kepada penjaga pintu masuk dewan supaya tidak membenarkan mana-mana Muslim datang menghadiri ceramah Salman Rushdie. Buat pengetahuan, kami yang mahu turut serta mendengar celoteh Salman Rushdie terdiri dari 5 orang; 3 lelaki dan 2 perempuan. Dan perempuan itu bertudung. Mungkin itu sebabnya, wallahu 'alam.

Sekarang kita akan masuk ke dalam isu sebenar. Wajarkah Salman Rushdie dibunuh, dan wajarkah beliau mendapat pengiktirafan Sir?

Hukuman Bunuh Ke Atas Salman Rushdie

Wajarkah fatwa hukuman bunuh ke atas beliau itu dilakukan? Untuk menentukan wajar atau tidak, saya bukan seorang mufti. Saya cuma mahu berikan situasinya. Fatwa tahun 1989 ini dikeluarkan oleh Ayatollah Khomeini dari Iran. Dan 4 bulan selepas fatwa kontroversi ini dikeluarkan, Khomeini meninggal dunia. Istinbat fatwa ini juga mungkin ada dipengaruhi oleh unsur-unsur fiqh Syiah, yang semestinya tidak boleh dijadikan panduan dan ikutan oleh umat Islam yang berpegang kepada aliran Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Dan setahu saya, hukuman bunuh ke atas Salman Rushdie ini bukanlah satu hukum ijmak yang dipersetujui oleh majoriti para ulama serata dunia. Saya juga tidak tahu sama ada fatwa oleh Khomeini ini dikeluarkan setelah isu ini diperhalusi sedalam-dalamnya atau pun dibuat secara tergesa-gesa tanpa melihat isu dan impak fatwa tersebut dalam aspek yang lebih holistik. Kita sendiri juga tidak tahu apakah dalil-dalil al-Quran dan as-Sunnah yang digunapakai oleh Khomeini dalam beliau membuat fatwa hukuman mati itu. Dan jika ada, adakah dalil-dalil itu selari dengan apa yang dipersetujui oleh ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah?

Kita ambil contoh peristiwa Perang Badar yang perlaku pada bulan Ramadan tahun ke-2 Hijrah. Salman Rushdie mungkin hina tarafnya di sisi Allah. Jika pun dia hina di sisi Allah, lebih hina lagi golongan kafir Quraish yang mengangkat pedang terlebih dahulu bagi mengisytiharkan perang terhadap Rasulullah dan orang-orang Islam Madinah di dalam Perang Badar. Di dalam Sahih Bukhari, ada dicatatkan bahawa orang kafir Quraish yang terbunuh adalah seramai 70 orang dan yang dapat ditawan juga adalah 70 orang. Apa yang Nabi buat kepada 70 orang tawanan kafir ini?

Nabi tidak melayan mereka seperti mana tahanan ISA dilayan di Kem Kamunting, tidak seperti mana tahanan di Guantanamo Bay dilayan, dan tidak seperti mana tentera Amerika melayan tahanan perang Iraq yang dikurung di penjara Abu Ghraib. Akan tetapi Rasulullah menyuruh umat Islam melayan tahanan kafir Quraish ini dengan baik. Di bahagian dunia mana kita dapat mencari manusia semulia Rasulullah ini?

Mari kita selongkar kitab Sirah Nabawiyyah Ibnu Hisham yang di dalamnya ada menceritakan pengalaman Abu Aziz bin Umair yang merupakan salah seorang tahanan Perang Badar. Kata Abu Aziz bin Umair:
Aku ditawan oleh keluarga Ansar. Jika tiba waktu makan siang atau makan malam, mereka memberikan aku sepotong roti sedangkan mereka sendiri terpaksa makan kurma, kerana mereka telah diperintahkan oleh Rasulullah untuk berbuat baik terhadap semua tawanan perang.

Setiap kali mereka memperolehi sepotong roti, mereka akan memberikannya kepada aku, sehingga aku menjadi malu atas layanan baik yang mereka lakukan. Maka aku kembalikan roti itu kepada mereka. Namun roti itu tetap diberikan kembali kepada aku.

Tahanan Perang Badar tidak dibunuh, malah akan dibebaskan dengan 2 syarat. Pertama dengan membayar wang tebusan yang bernilai di antara 1000 - 4000 dirham, bergantung kepada taraf sosio-ekonomi tahanan tersebut. Jika tidak mampu membayar sama sekali wang tebusan ini, setiap di antara mereka diwajibkan untuk mengajarkan 10 orang kanak-kanak Islam ilmu menulis dan membaca sehinggalah mereka menjadi pandai. Zaid bin Thabit adalah salah seorang kanak-kanak Islam yang pandai menulis dan membaca dek kerana diajar oleh orang-orang kafir Quraish yang menjadi tawanan perang tersebut.

Kamu tahu siapa Zaid bin Thabit ini? Beliau merupakan penulis peribadi Rasulullah. Setiap kali ada wahyu yang turun, Baginda akan mengarahkan Zaid bin Thabit untuk menulisnya (ada lagi beberapa sahabat lain yang diarahkan oleh Rasulullah untuk menulis wahyu yang diturunkan). Lihat, penulis wahyu Al-Quran yang mulia seperti Zaid bin Thabit ini mendapat ilmu menulis dan membaca dari orang-orang kafir!

Sekarang kita bandingkan Salman Rushdie dengan tawanan Perang Badar. Katakan anda dapat menangkap Salman Rushdie, apa mahu buat padanya? Bunuh? Kasi potong? Atau kita manipulasi kemahiran bahasa dan sastera yang ada padanya? Sekarang kita masing-masing tentukan sendiri kewajaran hukuman bunuh ke atas beliau itu. Hatta jika mengikut hukum hudud yang sebenar, orang-orang Islam yang murtad tidaklah serta-merta dijatuhkan hukuman bunuh. Tetapi mereka diberikan beberapa peluang dan diberikan ruang masa untuk berfikir, mudah-mudahan dia akan kembali kepada Islam semula. Dan jika hukum hudud itu hendak dilaksanakan, ia mesti dilaksanakan oleh pemerintah dan bukannya oleh orang-orang biasa.

Setiap kesalahan wajib dibicarakan dan hukuman yang dijatuhkan tanpa sebarang pembicaraan adalah satu jenayah syariah. Fatwa yang dikeluarkan oleh bekas pemimpin Syiah itu amat berbahaya kerana ia seolah-olah memberikan lesen dan lampu hijau kepada sesiapa sahaja, pada bila-bila masa, untuk membunuh Salman Rushdie dan mereka yang bersengkongkol dengannya. Akibatnya, Hitoshi Igarashi, iaitu penterjemah novel The Satanic Verses ke dalam bahasa Jepun telah mati ditikam pada bulan Julai 1991.

Sekarang beritahu saya, undang-undang hudud dan enakmen syariah mana yang membenarkan umat Islam menjatuhkan hukuman mati kepada orang lain sewenang-wenangnya? Hukum qisas juga tidak sah di sini kerana Salman Rushdie tidak membunuh sesiapa. Beberapa bulan yang lalu, saya ada melihat satu video yang mungkin tidak ramai yang sanggup melihatnya.

Video ini memaparkan bagaimana seorang budak yang baru hendak masuk alim baligh telah disuruh oleh askar-askar Taliban untuk menyembelih hidup-hidup (dan dia menurutinya!) seorang lelaki yang didakwa menjadi perisik kepada Amerika. Jika pun lelaki tersebut adalah perisik kepada Amerika, maka atas dasar apa bagi kita umat Islam, satu umat yang dimuliakan oleh Allah, mahu mencabut nyawa orang sewenang-wenangnya? Ini pemikiran yang berbahaya!

Kita mahu generasi Islam di masa hadapan berfikir menggunakan otak dan akal, dan bukan menggunakan perut dan nafsu. Jika Salman Rushdie meminta maaf kepada umat Islam, maka maafkan dia. Renung kembali peristiwa Perang Badar, maka kita akan memperolehi ilmu pemaaf seperti Nabi. Dendam berusia 18 tahun jika tidak dimaafkan akan menghasilkan permusuhan yang lebih dahsyat suatu hari nanti.

Wajarkah Salman Rushdie Mendapat Pangkat Sir?

Salman Rushdie menimbulkan kontroversi kedua selepas 18 tahun isu The Satanic Verses. Ada garis perbezaan jelas di antara kontroversi pertama dan kedua, yang pertama ia ditimbulkan oleh Salman Rushdie sendiri. Gelombang kedua pula bukan berpunca dari Salman Rushdie, sebaliknya tercetus gara-gara Ratu Elizabeth mahu memberikan anugerah Knighthood kepada Salman Rushdie.

Jika Salman Rushdie mendapat Knighthood maka beliau akan mendapat pangkat Sir (pangkat Dame diberikan kepada perempuan). Pangkat Sir ini lebih kurang sama sahaja taraf dan darjatnya jika dibandingkan dengan pangkat Datuk di Malaysia, cuma Sir mendapat pengiktirafan yang lebih meluas di mata masyarakat dunia. Saya mencari-cari sebab mengapa Salman Rushdie hendak diberikan anugerah yang dipandang hebat ini. Apakah sumbangan beliau kepada masyarakat di United Kingdom secara khususnya, dan dunia secara amnya?

Pada pendapat saya, Salman Rushdie layak mendapat pangkat Sir. Saya telah buat satu kenyataan yang kontroversi dan izinkan saya membuat justifikasi ke atas kenyataan saya ini. Sila jangan bunuh saya.

Pemilihan Salman Rushdie sebagai calon Knighthood bukan dipilih sendiri oleh Ratu Elizabeth. Ratu Elizabeth telah mewakilkan beberapa buah organisasi untuk mencari individu-individu berkelayakan untuk dianugerahkan Knighthood. Dalam kes Salman Rushdie, organisasi tersebut adalah English Pen.

Saya memandang Salman Rushdie sebagai musuh Islam, tetapi ini tidak bermakna saya boleh suka-suka hati melaksanakan fatwa Ayatollah Khoemini itu. Saya benci dengan fitnah yang ditulisnya di dalam buku The Satanic Verses, saya kesal kerana beliau dilahirkan sebagai seorang Muslim tetapi tidak hidup sebagai seorang Muslim yang tulen, dan saya jadi bertambah pelik apabila perkahwinan keempatnya dengan seorang model India-Amerika, Padma Lakshmi telah dijalankan di dalam tradisi agama Hindu. Bagi saya, Salman Rushdie adalah seorang individu yang mengalami krisis agama di dalam dirinya dan beliau lebih banyak menggunakan akal dan rasional, berbanding wahyu Allah, di dalam kehidupan sehariannya.

Mengiktiraf Kebolehan Musuh

Kadang-kala dalam hidup ini kita perlu berpijak pada realiti dan mengakui apa yang hak. Saya benci untuk mengatakan ini, tetapi saya perlu mengatakan bahawa Salman Rushdie adalah antara tokoh yang hebat dalam bidang sastera. Beliau cuma tersalah bawa ilmu, dan jika beliau kembali ke pangkal jalan, he is perfect.

Saya tidak kira semua orang-orang kafir yang hidup di atas muka bumi ini, prejudis dan benci kepada Islam. Jika semua orang-orang kafir itu anti-Islam, mustahil Kongres Amerika boleh melantik Keith Ellison menjadi gabenor pertama beragama Islam di Amerika Syarikat. Dengan cara yang sama juga, saya yakin English Pen bertindak profesional dalam memilih Salman Rushdie untuk mendapat Knighthood setelah mengkaji dan memerhatikan kebolehan dan kemahirannya di dalam bidang sastera.

Be a cool Muslim. Jangan asyik mahu panas baran. Berdemonstrasi tidak ada salahnya, tetapi jangan sampai berlebih-lebihan. Silap-silap nanti jadi macam dahulu hingga memusnahkan harta benda awam, malah sampai membakar kedutaan Denmark dan Norway di Syria dalam isu gambar kartun Rasulullah. Inikah yang Islam mahu?

Salman Rushdie layak mendapat Sir disebabkan kerja-kerja sastera yang dilakukannya, tidak lebih dari itu. Dan gambar di bawah ini menunjukkan teks yang terdapat di dalam senarai para penerima Knighthood 2007:



Ahmed Salman Rushdie, Author. For services to Literature. Inilah baris ayat yang hampir-hampir atau mungkin mencetuskan kontroversi seperti mana isu gambar kartun Nabi oleh akhbar Denmark, Jylland-Postens.

Masih tidak boleh menerima hakikat kehebatan Salman Rushdie dari segi sastera? Masih mahu buat demonstrasi ganas di jalanan? Silakan. Tetapi sebelum itu, kita lihat bagaimana orang-orang Kristian melawan kembali segala tohmahan yang dibuat oleh Dan Brown dalam novel The Da Vinci Code.

Jika The Satanic Verses mengguris hati umat Islam, maka The Da Vinci Code pula mengguris hati umat Kristian. Walaupun Dan Brown menegaskan bahawa karya itu cuma satu fiksyen, tetapi orang-orang Kristian tetap bimbang dan tidak suka dengan apa yang Dan Brown lakukan itu. Tetapi adakah mereka buat seperti mana apa yang segilintir umat Islam lakukan dalam kes Salman Rushdie dan dalam isu 12 kartun Nabi?

Tidak sama sekali! Strategi perang orang-orang Kristian ialah 'intelek lawan intelek', maka lahirlah beberapa buah buku bagi menangkis dakyah-dakyah Dan Brown. Ini apa yang kita mahu. Kita berhujah bahawa The Satanic Verses itu adalah buku yang memfitnah Rasulullah dan memutarbelitkan sirah nabawiyyah, tetapi setelah 18 tahun buku itu dikarang, mana dia buku yang dihasilkan oleh umat Islam untuk menyerang kembali isi-isi fitnah di dalam The Satanic Verses? Mana counter-literature kita?

Penutup

Apapun, Salman Rushdie telah melakukan banyak perkara yang mengguris hati umat Islam. Saya tidak ada sebab untuk berterima kasih kepadanya, dan jika pun ada, saya hanya akan berterima kasih kepadanya kerana beliau antara individu yang menentang Racial and Religious Hatred Act 2006 oleh Parlimen Britain. Walaupun akta ini ada baiknya, iaitu ia melindungi seseorang dari dimusuhi dan dibenci semata-mata disebabkan bangsa atau agamanya, tetapi pada masa yang sama juga ia akan menyebabkan kitab-kitab suci seperti Al-Quran dan Bible diharamkan di UK.

Saya berfikir sekali lagi.. mungkin tiada sebab sama sekali untuk saya berterima kasih kepada Salman Rushdie. Tindakannya menentang akta itu hanyalah disebabkan kecenderungannya kepada freedom of expression. Salman Rushdie adalah seorang manusia yang percaya bahawa apa sahaja yang kita nak cakap, cakapkan sahaja. Tidak hairan beliau telah menyakitkan hati umat Islam sedunia. Beliau perlu sedar bahawa some things are better left unsaid.

Apabila saya melihat Salman Rushdie mendapat pangkat Sir, saya hanya ada satu impian. Mudah-mudahan, Yusuf Islam yang banyak melakukan kerja-kerja kebajikan, terutamanya dalam bidang keamanan sejagat, juga akan dianugerahkan pangkat Sir oleh Ratu Elizabeth suatu hari nanti. Amin.

20 Komen Tambah Komen↴

saya sangat bersetuju dengan pendapat kamu bahawa hujah patut dilawan dengan hujah, bukan dengan pedang atau senapang. sastera dilawan dengan sastera, falsafah dilawan dengan falsafah.

Tanpa Nama

ok, aku takkan bunuh kau tawel.

aku setuju apa yg ko katakan bahawa serangan novel salman rushdie wajar dilawan setaraf dgn serangannya, iaitu tulis buku atau novel atau artikel juga. aku setuju ko kata, intelek lawan intelek.

sebab tu bila aku tengok segelintir peminat-peminat demonstrasi bila melatah tentang sebuah filem yang didakwa menghina nabi nuh, aku minta dia lawan dengan filem juga. tapi mereka tak suka, tak cukup marah mungkin pada mereka. mereka suka tunjuk marah.

macam entri sebelum ni, kita dah tau yang bila diikutkan marah, maka kita tewas.

aku komen artikel ni

Salam.

Aku macam takut nak komen di artikel terbaru hang ni. Ada yang amat kontra dengan pendirian aku. walau apa pun, aku hanya mahu cakap apa yang kita sama.

Tentang anugerah Knighthood kepada Salman, aku rasa PAS di Malaysia ni tak layak pun nak kecam kerajaan Britain kerana hal tu. itu hak mereka. Lagipun apa sangatlah dengan pangkat yang diperolehi dari kerajaan kapir, lainlah kalau Salman Rushdie dianugerahkan di Malaysia atau lain-lain negara Islam. Mungkin ada kesan-kesan tertentu jugak tapi apa sangatlah kesannya kita di Malaysia?

Tak payahlah ditarik balik pangkat tersebut.

Aku juga tertarik dengan pendapat seorang pembikin filem kot, yang cina tu... aku dah tak ingat dia punya nama. ini bukan berkenaan dengan salman ni, cuma boleh main-main kias kot.

Dalam rancangan melodi, beliau ada kata, filem kita diangkat di luar negara bukanlah kerana kualiti yang ada, cuma kerana mereka mahu menghancurkan budaya dan agama kita di sini dengan menaikkan filem yang menentang budaya dan agama kita seperti Gubra dan Sepet.

Aih, orang Yahudi dan Nasara takkan berpuas hati selagi kita tak ikut dia. Inilah yang kita boleh tengok sekarang.

Jadi, rasanya, cukup buat bolayan aje lerr, atau kalau power, buat seperti saranan hang, buat karya yang menentang Salman, jangan emosi-emosi sudah. Yang emosi-emosi itu jangan marahkan diorang pulak. ajar mereka mengikut saluran yang betul.

@muhammad fakhrul razi: Terima kasih sebab tidak bunuh aku :) Kau tiba-tiba buat aku teringat kat kontroversi filem The Messenger yang diharamkan di Malaysia, tapi aku tengok filem ni beberapa kali Islamic Society buat tayangan untuk educate non-Muslim pasal Islam.

@faqir: "Tak payahlah ditarik balik pangkat tersebut."
Umat Islam mengamuk sebab bila Ratu Elizabeth bagi pangkat tu pada Salman Rushdie, seolah-olah Ratu Elizabeth menyokong dan mempertahankan Rushdie. Masalahnya di sini, UK sejak dahulu lagi dah bagi suaka politik pada Salman.

Sebenarnya aku tak melihat tindakan UK beri perlindungan kepada Salman disebabkan pentadbiran UK bersetuju dengan apa yang Salman buat, seballiknya memang dah jadi polisi UK untuk beri suaka politik kepada sesiapa yang layak, contohnya dalam kes Salman Rushdie, dia dijatuhkan hukuman bunuh tanpa ada sesi pembicaraan di mahkamah.

Macam tu juga dengan penerima-penerima suaka politik yang lain, ada di antaranya dari negara-negara Islam sendiri seperti Algeria, Morocco, Egypt, Somalia, Chad, dan lain-lain lagi. Baca: Political asylum.

Penulisan yg baik dan menyuntik minda pembaca. Hukum terhadap salman ni, patut dibicarakan di mahkamah negara islam, dan jika sabit kesalahan, perlu diminta bertaubat dan dihuraikan kekeliruannya, kemudian jika tidak mahu bertaubat juga baru dibunuh.

Menyentuh jawapan terhadap bukunya tu, dah ada dah. Cuba carik buku sh ahmad deedat dalam menolak buku tersebut dan mengapa ia tidak sesuai sama sekali untuk dijadikan sebuah karya sastera inggeris yg bermutu. Seingat ana juga, Queen yg memberikan anugerah tu jugak dikutuk oleh salman dalam buku sastera "masterpiece"nya tu.

Tentang tindakan PAS tu ana tak mau komen benar atau salah, wajar atau layak atau tidak, kerana ia melibatkan isu siasah. Namun ia sekurang2nya menyuntik kembali kesedaran ummat Islam, bagaimana Islam harini dihina, dan yg menghinanya dihormati dunia. Kerajaan UK tentu sekali tak tersentuh dengan perhimpunan tersebut, tapi biarlah ummat Islam yg disentuh.

Tanpa Nama

this reminds me of ka'ab bin zuhayr, a famous poet in his time, used to lampoon the prophet s.a.w and got threatened to be killed.

in the end, he went up to the prophet s.a.w and repented and inpromtu praising the prophet s.a.w right at that moment when he embraced Islam.

but what's sad is that salman rushdie's not even sorry for what he did. at least not yet. i'm sure for an intellect like him, if not then, he should have now known what's coming for him and the effects he'd done for islam. he's been given this chance for all these years.

if not, all i can conclude is that he's just an ignorant.

in contrary, isn't what he's doing is actually working against islam? -in all aspects we can think of. so the 'law' can be implemented on him right?

though he's good at his field, surely this matter(controversy) should be considered too before given recognition to him, no?

it's just like rubbing it in the face for the muslims. since it's almost the same as the cartoon controversy, let's imagine, the cartoonist who drew the prophet s.a.w being given the recognition. it's not right at all.

thinking about this, it's giving me the impression that the '1.5 billion muslims in this world, is nothing'. dunt you feel like that too?

god knows best.

Tanpa Nama

Seperti biasa, ada yang setuju dan ada yang tidak setuju..biasalah tu :)

Pasal hukum bunuh kat salman rushdie tuh, sebenarnya memang betul tak patut dilakukan oleh orang awam. Kerana kita tak layak buat macam tu. Tawel dah bagi hujjah dari segi sikap kita terhadap orang yang buat kesalahan dan saya juga setuju atas prinsip:

"We punish to preach, not preach to punish"

Cuma, kalau sayalah, saya akan consider juga 'level of threat' yang dilakukan oleh salman rushide melalui penulisan-penulisan atau sebarang perkara yang dilakukan oleh beliau.

Pertama, dari segi ancaman direct kepada Islam. Adakah ianya mengancam perkara tahsiniyyat sahaja? atau hajjiyyat sahaja? atau sudah mengancam perkara-perkara dharuriyyat?

Kedua, mengambil kisah daripada sirah nabawiyyah. Rasulullah s.a.w ada dalam sesetengah keadaan bersikap tegas dan menghukum mereka yang boleh memudaratkan ORANG LAIN.
Perkara ini dapat dilihat dengan jelas diteruskan oleh khalifah pertama, Abu Bakar dalam menangani orang2 yang murtad dan nabi-nabi palsu selepas kewafatan Rasul tercinta.


Mengenai anugerah sir tuh, saya tak kisah sangat dan memang TERSANGAT LAYAK salman rushdie diberikan gelaran itu (tawel, kalau ada orang nak bunuh saya, saya tumpang sembunyi sama-sama ek... :D).

Tapi, kenapa sedemikian? hehe..mcm dikata olh saudara faqir, apakah sangat nilai sesuatu yang diberikan oleh orang kafir? Mari kita amik contoh perkara-perkara lain yang jelas:

1. Bush jadik president Amerika
2. Pelakon filem 'censored'diberi anugerah atas keberanian meng'censored' kan dirinya

Basically, saya sendiri akan nilai apakah jenis anugerah dan dari manakah ia datang

(lama tak merepek, so panjang sket..:D)

@alJoofree: Ini ke?

@Anonymous: I got this from Wikipedia:

Though Rushdie publicly apologized, the fatwa was not revoked. Khomeini explained:
"Even if Salman Rushdie repents and becomes the most pious man of all time, it is incumbent on every Muslim to employ everything he has got, his life and wealth, to send him to Hell."

What concern me, the way people behave towards Salman. They want to kill him by their own hands. This is quite problematic.

@SwordofDeen: Mari sama2 nyorok :D.

Masalahnya Umat islam sangat sensitif dgn isu Rasulullah dan Al-quran.Memanglaa bole ditentang dengan hujah2 tapi kite bukan menentang aliran songsang ke sesat ke.Just read the book if u have the chance and read the review.If we are "orang lama" we will understand.InsyaALLAH!

Tanpa Nama

Bagi saya mengambil sikap melawan secara intelek itu peranan ulama dan pakar, bagi pemimpin jika mereka ada kekuatan mereka perlu meminta salman di ekstradisi utk dibicarakan.

Tapi apakah ada pemimpin negara islam sekarang mempunyai kuasa sedemikian seperti kuasa yang dimiliki oleh Amerika yang membolehkan mereka menuntut tahanan dari sesebuah negara utk di sumbat di Guantenamo.

Salman rushdi menerima anugerah yang direka oleh barat, banyak anugerah yang mereka reka untuk diberi kepada sesuatu hasil seni bedasarkan kepada falsafah estetika barat.

Apakah tiada negara Islam yang mampu mencipca sebuah anugerah yang direka mengikut piawaian falsafah estetika Islam yang sama atau lebih tinggi tarafnya dari anugerah nobel yang mereka cipta.

Tanpa Nama

Saya tidak mengatakan tentangan kita dengan hujah semata-mata. Saya juga tidak mengondem demonstrasi. Demonstrasi adalah satu kebebasan yang tidak perlu disekat. Apa yang saya cakap, Demonstrasi + Intelek. Demonstrasi yang tidak merosakkan harta benda awam.

Buat demonstrasi yang berlandaskan akal yang masih waras, dan bukan melaung-laung slogan "Bunuh Salman Rushdie", seolah-olah sistem syariah kita menghalalkan untuk bunuh sesuka hati orang-orang yang tidak satu kepala dengan kita.

Lihat apa yang Sheikh Ahmed Deedat kata dalam Can You Stomach the Best of Rushdie?:

"Despite all my anger, sorrow and bitterness i still plead with my fellow Muslims in travail - "Stop crying", "Don't wail!", "No more protest marches or book burning!" All our visible signs of pain and anguish are giving the enemies of Islam gleeful sadistic pleasures. I say, STOP IT! Turn the Tables!"

Assalamualikum!
Wahai saudara2 ku yang dikasihi ALLAH.Memanglaa sume hujah2 2 bole pakai.Sebenarnya cube perati dari sudut sensitiviti agama.Kenapa britain sebok2 nak kasik sir kat si polan 2.SENSITIVITI agama.Die nak tengok orang islam nie masih sensitif tak isu agama lagi.Kalu dah tak marah biaukan aje maknanya orang islam dah tak kisah pada agama lagi biarlaa die nak hina quran ke hina nabi ke hina islam ke itu dulu punye cerita dah lepas lepas laa kan bukak buku baru.Maknanya islam bukan yang teragung yang lebey penting wat hal masing2 kan?Nak bersatu wat ape kubur masing2 kan.MEMANG betul orang kapir nye anugerah memang tak payah amik tau tapi tempat di mana kepada siapa dan bagaimana ITULAH ISUNYA.
ALLAH MAHA MENGETAHUI SESUNGGUHNYA MANUSIA KEADAANYA LAPAR DAN DAHAGA DAN ALLAH ADALAH SEBAIK2 PEMBERI NIKMAT!

Tanpa Nama

Waalaikumusalam encik Anonymous.

Dan saya tertanya-tanya juga. Seperti yang didedahkan Ahmed Deedat, Salman ada tulis benda yang tidak baik juga berkenaan Queen Elizabeth dalam The Satanic Verses. Mengapa pula Queen Elizabeth tetap menganugerahkan Knighthood kepada Salman?

Demontrasi adalah satu cara bagi org awam utk menunjukkan sensitiviti mereka, dalam dunia moden hak berdemontrasi adalah suatu yang tidak boleh dihalang, tapi yang lebih penting dari itu kita perlu menekankan akhlaq dalam berdemontrasi.

Tapi hari ini demontrasi hanya jd tempat lepas geram, perlu dijelaskan org awam Islam tiada hak utk membunuh, kerana itu tugas penguasa, ringkasnya begini

1) Penguasa -
Menuntut supaya org seperti salman rushdi di ekstradisi utk dibicarakan di negara Islam

2) Ulama dan cerdik pandai -Menjawab hujah2 orang seperti salman rushdi

3) Org awam -
Perlu ada sensitiviti dengan cara yang berakhlaq, bukan mengikut rasa marah, boleh berdemontrasi,

Tanpa Nama

kadang2 pen"demo" pon tak tahu sapa salman rushdie..

saya tak mahu membunuh dan dibunuh :D

saya kira ini satu post yang berani kerana pastinya ada golongan yang akan bersetuju dan ada yang akan melabel anda dengan bermacam2 tanggapan. Dari konteks ilmu, anda mempunyai point2 yang bernas dan boleh diterima, mungkin anda telah membuat kajian yg mendalam sebelum publish post yang baik ini.
Akibat ilmu saya yang cetek, saya memilih untuk berkecuali buat masa ini.

Tanpa Nama

Assalamualaikum..

Sebenarnya, saya pun tak pandai sangat nak berhujat nih cuma saya ada sedikit je pendapat yang nak dikongsi bersama..
Pada pendapat saya la kan, penganugerahan itu cumalah untuk mengaburi mata masyarakat Islam terhadap isu-isu yang lebih besar seperti di Palestin, di Iraq dan sebagainya..
Apa salahnya kalau ada dikalangan bijak pandai kita yang mengarang buku pasal keindahan agama kita ni sampai orang bukan Islam pun berminat nak baca barulah secara tidak langsung kita dapat berdakwah dan secara langsung si Salman tu boleh la sedar sikit apa yang dia tulis tu salah dan menimbulkan kemarahan umat Islam..
Si Salman tu dia tak membaca buku-buku yang ditulis oleh penulis Islam la yang jadi macam tu tuh, nak bukak al-Quran lagi la jauh panggang dari api..
Kan lebih elok kalau kita sama-sama berdakwah untuk menambahkan umat Islam dan bukannya sibuk nak buang masa melaungkan ketidakpuasan hati kita..

Tanpa Nama

saya menyokong penuh fatwa yang dikeluarkan oleh Ayatollah Khoemini.Fatwa ini telah menyebabkan semua orang berfikir banyak kali untuk mengeluarkan artikel/buku yang menghina islam..

Tanpa Nama

@Syed Amir Syohib, sebenarnya adalah lebih bagus dan afdal kalau sesiapa boleh menghormati budaya, adat dan agama orang lain dengan tidak terlalu dipengaruhi oleh unsur-unsur 'fear'.

Golongan bukan Islam pada hari ini, 'menghormati' Muslim lebih berdasarkan kerana mereka takut kepada sesetengah ekstrimis di kalangan orang Islam. Situasi ni tak bagus untuk jangka masa panjang dan ia sekadar menambahkan prejudis yang sudah sedia ada.

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.