Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Halangan #2: Cuaca Panas

    18 Jun 2008 • 19 Komen
    Ini Halangan #2. Mulakan membaca dari Halangan #1.


    Gambar kartun dan payung.Saya selalu sangat menjadikan isu kepanasan Malaysia sebagai 'bapa segala alasan' untuk tidak berbasikal. Maka saya adalah contoh Melayu yang mudah lupa, kerana saya terlupa bahawa cuaca di Malaysia ini bukannya panas terik 24 jam.

    Saya juga bukannya tak ingat, tetapi lupa kepada suatu fakta bahawa beberapa dekad lampau, kita boleh melihat ramai siswa-siswi yang berbasikal dan berjalan kaki dari kawasan-kawasan perumahan di Petaling Jaya untuk menghadiri kuliah di Universiti Malaya.

    Di zaman saya bersekolah dahulu, tidak pernah sekali pun panas dijadikan isu. Kalau hujan, memang pernah. Sewaktu berada di tingkatan 1 dan 2, saya bersekolah sesi petang. Jarak di antara rumah dan sekolah adalah sejauh kira-kira 3 kilometer. Oleh kerana kelas bermula jam 1:15 petang, maka biasanya saya bergerak pada jam 12:30 tengahari, iaitu waktu matahari sedang terconggok tegak di langit. Sepanjang saya bertemankan basikal untuk ke sekolah, saya masih belum pernah pula diwahyukan sebarang berita budak yang pengsan diserang strok haba kerana berbasikal di waktu tengahari buta. Kalau pengsan terkena histeria, memang selalu.

    Berbasikal di waktu tengahari terutamanya, memang lebih senang membuatkan si pengayuh berpeluh. Namun tidaklah sampai berpeluh-peluh seperti orang baru habis maraton. Peluh ini akan mengering tidak berapa lama kemudian. Masalah kulit semakin hitam juga tidaklah menjadi sesuatu yang merungsingkan saya memandangkan di waktu itu, krim pemutih Fair & Lovely sudah pun berada di pasaran tempatan. Apabila kelas saya tamat pada jam 6:50 petang pula, aktiviti berbasikal pulang pada waktu yang tidak panas ini adalah ibarat riadah di petang hari.

    Sesudah saya berada di Ireland, barulah saya sedar bahawa rakyat di sini lebih berhak untuk menyalahkan cuaca sebagai alasan untuk tidak berbasikal. Keadaan di sini sebenarnya lebih tidak ideal; terutamanya ketika musim luruh, musim sejuk, awal musim bunga dan akhir musim panas, yang berlangsung kira-kira 7 bulan lebih lamanya. Ini pun belum tentu lagi kerana keadaan cuaca di sini lebih sukar untuk diduga berbanding hati seorang wanita. Contohnya pada musim panas tahun lepas, saya lebih banyak melihat awan mendung berbanding sinaran matahari. Britain yang sudah lama tidak dilanda banjir pun tiba-tiba diserang banjir kilat pada musim panas yang lepas.

    Pada waktu-waktu yang tidak ideal tersebut, 3 keadaan ini akan selalu berlaku - hujan yang lama dan kerap, suhu yang sangat sejuk dan tiupan angin yang kuat. Faktor-faktor penolak ini lebih menakutkan berbanding faktor suhu yang panas. Silap ambil perhatian bahawa keadaan di Ireland ini adalah serupa seperti di United Kingdom.

    HUJAN, SEJUK & ANGIN

    Hujannya yang lama dan kerap - walaupun tidak selebat hujan Malaysia yang sering datang dengan guruh dan petir itu - menjadikan jalan raya di sini sentiasa basah. Jalan yang basah adalah berbahaya kepada pengguna jalan raya, lebih-lebih lagi bagi kenderaan bertayar dua umpama basikal. Hujan juga akan membuatkan pakaian dan kasut si pengayuh lebih basah berbanding basah akibat berpeluh dek kerana mengayuh basikal ketika pukul 12:30 tengahari di Malaysia.

    Suhunya yang sejuk pula memerlukan penunggang basikal memakai baju yang lebih tebal berbanding mereka yang menaiki kereta, bas dan trem. Memakai baju yang berlapis-lapis ini sebenarnya adalah sangat tidak menyelesakan dan menyusahkan. Malah keadaan yang maha sejuk ini juga boleh membuatkan si pengayuh basikal cepat berasa pening kepala. Apabila suhu di malam harinya berada di bawah 0 darjah celcius, maka pada esoknya akan wujudlah lapisan ais tipis di beberapa tempat di atas jalan rayanya. Hal ini sudah tentu berbahaya kepada mereka yang berbasikal di waktu pagi. Pengalaman ini menyedarkan saya bahawa berbasikal pada suhu yang sangat sejuk adalah lebih hebat azabnya berbanding berbasikal di bawah kebahangan matahari yang terik di sebuah negara yang terletak di Garisan Khatulistiwa.

    Bagaimana pula halnya dengan faktor penolak yang ke-3, iaitu angin? Sepanjang saya lahir dan membesar di Malaysia, sangat-sangat jarang saya merasai tiupan angin yang sangat kencang seperti di sini. Anginnya yang kuat membuatkan saya terpaksa mengerahkan lebih tenaga untuk memastikan basikal terus maju bergerak. Pernah beberapa kali basikal saya terhenti akibat ditiup angin dari arah yang berlawanan. Anginnya yang datang secara melintang pula pernah juga beberapa kali membuatkan saya hampir terlungkup mencium tar di jalan. Kehadiran angin juga akan menambahkan lagi kesejukan yang sudah sedia ada itu. Kalau saya naik fed up untuk berbasikal sepanjang berada di sini, maka faktor angin inilah yang boleh dijadikan alasan kuatnya.

    Segala pengalaman-pengalaman ini membuatkan saya berani kata bahawa jika cuaca adalah isunya, maka ketahuilah wahai manusia sekalian bahawa berbasikal di kota Dublin (dan juga bandar-bandar lain di UK) adalah lebih menyeksakan berbanding di Malaysia. Barangsiapa yang mengatakan sebaliknya, maka manusia ini belum pernah merasai apa yang penunggang basikal di sini rasa.

    Budaya berbasikal dan tidak ketinggalan juga budaya berjalan kaki oleh rakyat di sini tetap berlaku sepanjang tahun, tanpa mengira musim. Kalaulah saya sentiasa dan akan sentiasa menyalahkan faktor cuaca Malaysia yang panas, mungkin saya akan tetap menghidupkan enjin motosikal pada jam 7 pagi yang masih dingin, untuk keluar membeli sebungkus nasi lemak sotong, beberapa biji kuih donat dan karipap di warung Mak Som yang jauhnya sepanjang tiga kali bacaan surah Al-Fatihah sekiranya kita berbasikal.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Tanya Tawel: Mahu berbasikal, tapi..

    15 Jun 2008 • 10 Komen
    Ummuhanah bertanya:
    Akak teringin la naik basikal pergi kerja. Tapi macam mana ye? Ada tak basikal yang boleh angkut anak-anak akak ni, beg-beg sekolah, bakul susu, buku-buku, handbag, payung dan kekadang kena bawa bakul yang penuh berisi bekalan makanan. Hmm, banyak benda sampingan yang perlu dibawa ke tempat kerja weh. Basikal boleh bawa ke?

    Lagi satu, pelana dia kecik dik. Tak berdaya menampung kaum wanita yang banyak mengalami perubahan fizikal. Mahu lenguh pinggang eden nak sampai kat tempat kerja. Kesian..naik kereta juga best. Walau pun harga minyak buat akak senak perut, akak sabar.


    Tawel menjawab:
    Secara teknikal, basikal biasa yang sering digunakan di Malaysia memang tak boleh memberikan khidmat sedemikian. Rim dan tayarnya tidak mampu menanggung bebanan sebanyak itu. Tapi kalau motosikal, insyaAllah boleh. Hal ini pernah berlaku di negara China. Tapi pastikan akak Ummuhanah ada skill merempit yang syumul supaya senang meloloskan diri dari kepungan JPJ.

    gambar motosikal di ChinaKlik gambar untuk membesarkannya.

    Jika akak Ummuhanah serius untuk berbasikal, maka penyelesaian masalah ini adalah dengan membeli basikal tandem:

    Gambar basikal tandem.Beginilah rupa basikal tandem.


    Berapa besar pun keluarga Ummuhanah, jangan risau, basikal tandem ini ada yang datang dengan 10 tempat duduk. Lebih banyak dari tempat duduk kereta weh!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Halangan #1: Kenderaan Melambangkan Status

    14 Jun 2008 • 18 Komen
    Tulisan ini mempunyai 2 bahagian. Baca bahagian pertama. Ini bahagian kedua. Bahagian kedua mempunyai 5 pecahan. Halangan-halangan ini tidak disusun berdasarkan sebarang keutamaan.


    Angan-anganku di suatu masa
    Basikal kan ku tukar kereta

    Tapi kekasihku tidak setuju

    Mungkinkah dia rasa cemburu

    [Sudirman - Hidup Sederhana (Basikal Tua)]



    Saya tidak pernah sekali pun curang kepada basikal sepanjang berada di kota Dublin kerana di sini status seseorang itu tidak terlalu dinilai pada jenis kenderaan yang sering digunakannya. Di sini, tiada siapa yang akan memandang jelek sekiranya basikal menjadi alat pengangkutan utama kita. Malah tiada siapa juga yang akan melemparkan pandangan menghina sekiranya kita tidak memiliki sebuah kereta sehingga ke akhir hayat.

    Paradigma yang positif ini mewujudkan suatu masyarakat yang tiada perasaan rendah diri sekiranya mereka memilih untuk berbasikal. Oleh sebab itu ada juga para profesor di sini yang dengan gembiranya berbasikal ke universiti walaupun sebenarnya mereka ini memiliki kereta.

    Kenderaan sememangnya melambangkan darjat dan status seseorang itu, namun cara ia dimanifestasikan di Malaysia adalah agak negatif. Kita terlalu memandang rendah kepada orang dewasa yang mengayuh basikal. Mereka ini dianggap sebagai orang miskin dan gagal dalam hidup. Halangan ini hanya boleh dirobohkan sekiranya kita memekakkan telinga kepada apa yang orang mahu kata. Oleh kerana halangan ini bersifat psikologi yang berkaitan dengan ego manusia, maka saya tertanya-tanya adakah mentaliti kenderaan melambangkan status ini akan lenyap sekiranya sistem pengangkutan awam kita menjadi efisien seperti di negara-negara maju, yang mana rakyatnya hampir boleh ke mana sahaja dengan menaiki kenderaan awam?

    Mentaliti yang negatif ini sebenarnya mula terbentuk semenjak di zaman sekolah lagi. Apabila berada di tingkatan 4, ramai pelajar sekolah yang mula curang kepada basikal kerana mereka sudah terlalu teringin untuk menunggang motosikal. Kata sebilangan mereka, bermotosikal ke sekolah dapat meningkatkan karisma diri dan lebih mudah mendapat awek. Sesudah tamat SPM pula, ramai ibu bapa yang mahu anaknya mengambil lesen kereta. Apabila anaknya ini berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading, ibu bapa yang agak berkemampuan pula, tidak keberatan untuk membelikan kereta untuk memudahkan anaknya bergerak ke sana-sini.

    Hal ini membentuk suatu budaya yang tidak sihat: Kita diajar supaya memiliki motosikal dan kereta secepat yang mungkin kerana inilah cara bagaimana untuk seseorang itu menzahirkan kejayaan dalam hidupnya. Mereka yang masih lagi menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan komuter untuk ke tempat kerja, apatah lagi berbasikal, dihukum sebagai kabilah yang masih tidak pandai memburu duit untuk membeli kenderaan sendiri.

    Lalu terjadilah peer pressure yang mempengaruhi kita untuk turut memiliki kenderaan sendiri memandangkan rakan di tempat kerja yang lain sudah semakin ramai yang berkereta, walaupun pada hakikatnya ramai juga di antara mereka ini masih belum pun beranak-pinak. Akibatnya masyarakat kita jarang melihat pengangkutan awam itu sebagai satu kemudahan yang perlu digunakan sekerap yang boleh. Sebaliknya kita melihat ia sebagai halangan yang perlu dibuang jauh-jauh apabila kita sudah mampu membeli kereta. Saya sering mendengar alasan "Dah tak pandai naik bas" yang dilontarkan oleh orang-orang yang sudah biasa berkereta ke tempat kerja.

    Hal ini menyebabkan gerakan bagi menuntut supaya kerajaan memperkasakan sistem pengangkutan awam di Malaysia sukar untuk membuahkan hasil. Kita hanya agresif membangkitkan soal keberkesanan pengangkutan awam hanya apabila timbul isu kenaikan harga minyak. Kalau rakyat sendiri tidak komited untuk menggunakan pengangkutan awam, maka apa yang boleh diharapkan dari kerajaan?

    Sebab itu apabila harga minyak di Malaysia naik sebanyak 30 sen pada tahun 2006 dan penjimatan subsidi sebanyak RM 4.4 bilion itu dikatakan mahu digunakan untuk menaiktaraf dan memperbaiki sistem pengangkutan awam negara, apa sebenarnya yang telah kerajaan lakukan dalam masa dua tahun ini? Rakyat kurang memberikan tekanan kepada kerajaan dalam hal ini.

    Saya pernah diketawakan oleh seorang rakan berwarganegara British apabila saya bertanya kepadanya bila dia akan mengambil lesen memandu. Waktu itu dia berusia 21 tahun dan masih lagi merupakan seorang pelajar. Kejadian saya diketawakan itu berlaku di hadapan rumahnya yang berada di East London. Rupa-rupanya remaja di UK tidaklah begitu ghairah untuk mengambil lesen kereta dan motosikal setelah mereka tamat sekolah menengah. Keberkesanan sistem pengangkutan awam di United Kingdom sebenarnya tidak memerlukan rakan saya ini untuk menjalin sebarang hubungan cinta dengan kereta. Malah apabila rakan saya ini berkahwin nanti dan belum lagi beranak-pinak, adalah tersangat logik baginya untuk masih tidak memiliki kereta.

    Situasi yang kontras berlaku di Malaysia. Menziarahi rumah keluarga kekasih buat kali pertama dengan menaiki kapcai mungkin satu tindakan yang tersangat tidak bijak, lebih-lebih lagi jika keluarga itu agak berada. Jika Kancil yang dibawa oleh lelaki berkenaan, mungkin tiada apa-apa halangan. Jika Mercedes yang dipandunya, maka kita selaku jirannya harus mempersiapkan telinga untuk mendengar bagaimana ibu perempuan ini akan bersyarah tentang jejaka yang menziarahi rumahnya semalam.

    Kita harus mengubah mentaliti ini sekarang. Kenderaan seharusnya dilihat sebagai alat untuk memudahkan kita bergerak dan bukannya sebagai neraca untuk menimbang status seseorang itu. Orang yang sering berbasikal dan menggunakan perkhidmatan awam bukan semuanya loser. Entah-entah mereka ini lebih banyak duitnya memandangkan mereka tidak perlu membayar ansuran bulanan kereta dan membeli minyak. Mana tahu juga duit yang dijimatkan ini mereka gunakan untuk melabur dalam mana-mana saham yang halal? Golongan yang suka melabur ini memahami bahawa aset seperti kereta memiliki nilai yang semakin meyusut dari tahun ke tahun.

    Sesungguhnya basikal tidak pernah menilai darjat seseorang yang ingin hadir dalam hidupnya. Maka basikal wajib dilihat sebagai sebuah alat pengangkutan yang harus digunakan oleh mereka yang berpendapatan rendah atau pun besar. Sebab itulah basikal tetap menjadi pujaan hati di kebanyakan negara-negara kaya yang terdapat di Eropah, mahu pun di negara yang miskin seperti Cuba. Bagaimana rakyat Cuba boleh tiba-tiba jatuh cinta kepada basikal?

    Apabila Kesatuan Soviet roboh pada tahun 1991, Cuba sebagai sebuah negara berfahaman sosialis, juga merupakan sebuah negara tropika yang suhu kepanasannya lebih kurang Malaysia ini, telah terjejas teruk ekonominya. Aktiviti import dan eksportnya berkurangan sehingga 80 peratus; KDNK-nya merudum. Ramai rakyatnya jatuh miskin secara tiba-tiba.

    Krisis ekonomi yang melanda ini juga menyebabkan Cuba semakin sukar untuk mengimport minyak mentah dan senario ini tentunya sungguh mengerikan kerana pergantungannya yang agak tinggi kepada teknologi yang berasaskan tenaga minyak. Krisis ekonomi ini kemudian membawa kepada krisis makanan yang akhirnya menyebabkan setiap rakyat Cuba secara purata kehilangan berat badan sebanyak 13 kilogram.

    Kekurangan minyak telah memandulkan banyak kenderaan-kenderaan berenjin di Cuba. Bas-basnya pula sudah tidak boleh lagi gah menderum di jalanan. Sistem pengangkutan awamnya lumpuh dan ini membuatkan rakyat sukar bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Bagi menyelesaikan masalah ini, kerajaan Cuba telah mengagihkan berjuta-juta basikal buatan China kepada rakyatnya. Di sinilah bermulanya bibit-bibit cinta rakyat Cuba kepada basikal. Akhirnya, aktiviti berbasikal telah sebati dalam diri masyarakat Cuba dan sekarang ini jumlah basikal telah pun mengatasi jumlah kenderaan bermotor.

    Cuba beransur-ansur bangkit dari mimpi ngerinya. Malaysia boleh belajar banyak perkara daripada pengalaman Cuba menangani krisis ekonomi, tenaga dan makanannya. Andainya dikau mengerti wahai kita semua (dan pak menteri sekalian).
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Bercinta Dengan Basikal

    08 Jun 2008 • 24 Komen
    Tulisan ini mempunyai 2 bahagian. Ini bahagian pertama. Baca bahagian kedua.



    Di kala harga minyak dunia yang semakin mengerikan, idea berbasikal adalah sesuatu yang genius. Kalaulah cadangan ini pertama kali dipopularkan di Malaysia oleh para pencinta alam (ehem, seperti saya) dan bukannya oleh Shahidan Kassim[citation needed], maka idea tersebut pasti tidak akan mendapat persepsi yang buruk, dan lebih malang lagi ia telah dijadikan bahan lawak oleh manusia yang naik minyak setiap kali harga minyak naik di Malaysia.

    Ketika di zaman sekolah dahulu, saya mempunyai sebuah basikal untuk saya bergerak ke sana-sini. Saya sayang basikal saya dan basikal itulah kekasih saya. Malangnya apabila saya mula mengenali kapcai bernama Honda 70cc sewaktu berada di tingkatan 2, saya semakin curang kepada kekasih saya. Lama-kelamaan, hubungan kami yang erat itu terputus. Beberapa tahun berlalu, saya betul-betul tidak menyangka jodoh saya bersama basikal masih panjang. Kami sekali lagi dipertemukan di kota Dublin. Rupa-rupanya basikal tidak pernah pun menyimpan dendam terhadap saya. Maka sepanjang tinggal di sini, basikal dengan gembiranya telah menumpahkan khidmat dan baktinya kepada saya. Saya menangis terharu.

    Sedihnya apabila saya sesekali pulang bercuti ke Malaysia, tabiat buruk saya yang suka bermain kayu tiga itu berulang kembali. Sepanjang bercuti, tidak pernah sekali pun kaki ini mengayuh pedal basikal. Untuk bergerak ke sana-sini, saya lebih suka meminjam motor kapcai Yamaha milik abang saya. Saya cuba menyimpan rahsia ini serapi yang mungkin kerana jika basikal yang berada di Dublin itu tahu tentang skandal ini, pasti gugur hatinya.

    Namun bak kata orang tua-tua, "Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga." Rahsia yang terbongkar ini menyebabkan basikal betul-betul merajuk dengan saya. Basikal tetap enggan memberikan kemaafan walaupun saya membawanya bersiar-siar di tepi terusan yang berdekatan dengan rumah saya. Buat pengetahuan, terusan ini adalah tempat yang paling digemarinya di kota Dublin ini. Kata basikal, suasana di terusan ini romantik dan boleh menenangkan hati yang resah.

    Akhirnya, saya tiada pilihan lain kecuali menjualnya kepada kawan saya pada harga 55 Euro berserta kuncinya sekali. Kini segala pengalaman pahit manis saya bersama basikal hanya tinggal satu kenangan. Sehingga kini, hidup saya masih bersendirian tanpa kehadiran sebuah basikal. Namun, saya tetap keliru siapakah yang patut dipersalahkan dalam tragedi ini. Jika di sini, sayalah sebenarnya yang terhegeh-hegeh memujuk basikal supaya menjadi kekasih saya. Namun di Malaysia, basikal saya tolak jauh-jauh pula.

    Setelah melakukan muhasabah diri, akhirnya saya diberikan petunjuk oleh Allah. Sebenarnya apabila berada di Malaysia, ada 5 halangan yang menyebabkan cinta saya kepada basikal beralih arah dengan begitu mudah. Saya akan menceritakan apakah halangan-halangan ini kepada sesiapa yang masih sudi membaca luahan hati yang tidak seberapa ini.

    Saya percaya sekiranya saya dapat merobohkan sekurang-kurangnya satu halangan, maka saya akan lebih bersemangat untuk pergi ke pasar, kedai, masjid, rumah jiran dan menghantar anak penguin saya ke tadika dengan menggunakan basikal. Jika kelima-lima halangan ini berjaya dirobohkan, maka tidak mustahil saya akan berbasikal untuk ke tempat kerja (dengan syarat jaraknya tidak melebihi 5 km).

    Saya cenderung untuk berbasikal bukan semata-mata kerana mahu menjimatkan petrol, tetapi lebih kepada untuk mengurangkan pencemaran dan kepanasan dunia yang semakin membimbangkan ini. Malah, saya juga mahu mengelakkan badan saya yang tidak berapa sasa ini daripada diselaputi oleh lemak-lemak yang tidak diundang. Saya tidak mahu gemuk, kerana menurut satu kajian yang sedikit kontroversi, mereka yang gemuk atau pun obese ini, pernah dijadikan sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada berlakunya Kesan Rumah Hijau!

    Insya-Allah bersambung di bahagian ke-2.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Poster Motivasi: Edisi Minyak

    05 Jun 2008 • 9 Komen
    Bila harga minyak naik, jiwa jadi sedih dan kacau. Mudah-mudahan 3 poster motivasi yang saya siapkan di bawah ini boleh membantu. Klik setiap gambar untuk membesarkan saiznya.


    Gambar poster Peluang diambil oleh Drs Khalil Idham Lim. Kelihatan kereta berbaris panjang bagi mengambil peluang untuk mengisi minyak di stesen minyak Petronas kawasan Parit Buntar sebelum kenaikan harga petrol yang mendadak.


    Gambar poster Kejayaan diambil oleh Dil. Selamat tinggal RM 1.92 seliter. Sabarlah.. Barang yang lepas jangan dikenang kerana kalau dikenang meracunlah diri.


    Gambar poster Nikmat adalah ihsan mSTAR Online. Azhan Sharom menunjukkan botol berisi minyak bagi setiap ringgit yang dibelanjakan. Kuantiti botol kiri berdasarkan harga lama manakala yang kanan pula jika mengikut harga baru.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Krisis Minyak dan Krisis Air

    04 Jun 2008 • 8 Komen
    Kalau saya ada kereta berkuasa udara, saya akan ketawakan manusia yang berebut-rebut mengisi minyak sebelum kenaikan harganya dalam beberapa jam lagi. Saya juga tak akan layan mana-mana manusia yang mahu membasuh otak saya untuk percaya bahawa kenaikan harga minyak di Malaysia adalah gara-gara Barisan Nasional memerintah Malaysia.

    Maaf, otak saya sudah pun dibasuh terlebih dahulu oleh Hishamuddin Rais sejak dahulu kala lagi, melalui dua buah artikelnya. Ini dia:


    1) Tamadun Harga Minyak @ 15/8/2005:
    Tamadun yang sedang kita alami hari ini adalah tamadun yang berasaskan bahan bakar petroleum. Lihatlah di kiri dan kanan kita - semua produk dihasilkan oleh petrol. Tenaga leterik, kereta, bahan perabut, bahan perumahan, plastik dalam pelbagai bentuk dan paling penting makanan yang terletak di atas meja makan kita juga adalah hasil dari bahan bakar petroleum.

    Saya berani berkata, melalui data-data yang baru muncul bahawa tamadun petroleum ini telah sampai ke zaman akhir. Sama seperti tamadun zaman batu dan tamadun di zaman besi ianya akan juga berakhir. Tamadun zaman arang batu dan tamadun kuasa wap - semuanya berlangsung tidak lebih dari 200 tahun. Bahan bakar petroleum - yang menjadi asas tamadun kita ini - telah bersama kita selama 150 tahun lebih. Riak-riak untuk berakhir telah muncul.

    2) Barisan Nasional dan Barisan Rakyat bengong dalam hal minyak @ 5/1/2008
    Mengikut pandangan parti Keadilan jika United Malay National Organisation telus dalam memberikan perincian perbelanjaan dan pendapatan dari syarikat Petronas maka harga minyak akan dapat ditampung. Jika tidak ada pembaziran dari duit jualan minyak maka harga minyak akan terus dapat di subsidi.

    Parti Keadilan tidak sedar dalam masa tidak lebih dari 10 tahun bahan bakar minyak di persisiran laut kita akan habis. Untuk berhujah, kita anggaplah mereka dapat mengambilalih kerajaan. Dalam penggal ke-3 pentadbiran Barisan Rakyat minyak habis. Barisan Rakyat adalah satu pentadbiran yang telus, tidak rasuah dan jujur. Bila minyak habis mereka juga tidak dapat tidak akan menaikkan harga minyak. Ini hukum yang saintifik. Jadi cakap-cakap harga minyak hendak diturunkan itu adalah bohong dan tidak mungkin dapat dilakukan.

    Krisis minyak sedang berlaku. Kita tunggu krisis berikutnya yang jauh lebih mengerikan jika kita masih bersikap sambil lewa terhadap alam sekitar:

    Klik gambar untuk paparan yang lebih besar.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »