Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Alchemist of Happiness - Ep 1

    31 Januari 2007 • 20 Komen
    Imam al-Ghazali (waktu tua) yang muncul di dalam filem ini. Filem ini menampilkan beliau di dalam tiga lingkungan umur yang berbeza; kanak-kanak, dewasa, dan tua.


    Al-Ghazali: The Alchemist of Happiness merupakan sebuah filem dokumentari yang diarahkan oleh Ovidio Salazar yang berasal dari California. Beliau yang sudah pun berkecimpung selama lebih 20 tahun dalam pembikinan filem dan rancangan dokumentari, seperti Faces of Islam yang ditayangkan di BBC, kali ini bakatnya diuji lagi dan dipersembahkan di dalam The Alchemist of Happiness yang telah pun diterbitkan pada tahun 2004, dan ia mendapat banyak pengiktirafan di beberapa festival filem antarabangsa.

    Ovidio Salazar (berbaju hijau) yang turut membintangi filem dokumentari ini.


    Inti utama filem ini adalah berdasarkan riwayat hidup sebenar Imam al-Ghazali, ataupun nama sebenarnya Abu Hamid Muhammad al-Ghazali (1058-1111 M), iaitu seorang tokoh pemikir Islam yang sangat terkenal sehingga namanya bergema-gema di ruang lingkup dunia Barat, terutamanya yang melibatkan bidang falsafah dan epistemologi. Dalam dunia Islam pula, rata-rata golongan awam mengenali beliau melalui kitab-kitab tasawufnya seperti Ihya Ulumuddin (Kitab Bimbingan Mukmin adalah versi ringkasan Ihya Ulumuddin yang dilakukan oleh Sheikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi dari Damsyik) dan Ayyuhal Walad al-Muahib (Wahai Anakku Sayang) .

    Namun, bagi mereka yang betul-betul mengkaji sejarah dan latar hidup beliau, maka mereka akan mendapati bahawa Imam Al-Ghazali ini bukan sahaja pakar dalam ilmu tasawwuf, malah fiqh, aqidah, falsafah, mantik, dan sebagainya. Tidak hairanlah beliau juga diberi nama timangan Imam Shafi'i Kedua, di samping gelaran yang selalu kita dengar: Hujjatul Islam. Di samping itu beliau merupakan salah seorang tokoh mujaddid (pembaharuan) kurun ke-5 Islam tanpa ada khilaf di kalangan para ulama tentang taraf mujaddid beliau ini [1].

    Beliau dilahirkan di Tus yang terletak di wilayah Khurasan negara Parsi (hari ini ia terletak di bahagian utara negara Iran) pada tahun 450H/1058M. Sewaktu di Tus dan Nishapur, pengajian beliau lebih tertumpu kepada fiqh dan syariah, dan kemudian beliau mula mengembara dan berguru ke serata pelusuk dunia Islam; ke Baghdad, Damsyik, Jerusalem, Kaherah, Iskandariah, Mekah dan Madinah. Guru kepada Imam al-Ghazali yang paling terkenal ialah Imam al-Haramain al-Juwaini [2] yang dianggap sebagai ulama terkemuka dunia Islam waktu itu. Dan ironinya, Imam al-Ghazali juga merupakan legasi dan anak murid beliau yang paling hebat dan cerdas, malah dikatakan juga bahawa kehebatan Imam al-Ghazali telah pun mengatasi gurunya yang sangat masyhur itu.

    Kawasan ini terletak di Tus, iaitu tempat kelahiran Imam al-Ghazali, dan juga tempat kembalinya beliau sesudah bermusafir bertahun-tahun. Di sini terdapat memorial Imam al-Ghazali. Malangnya, kubur sebenar Imam al-Ghazali tidak dapat dipastikan di mana lokasinya pada hari ini.


    The Alchemist of Happiness memaparkan riwayat hidup Imam al-Ghazali melalui 3 kaedah utama yang saling diselang-selikan sepanjang filem ini berlangsung selama lebih kurang 80 minit.

    Pertama adalah melalui teknik lakonan yang dibintangi oleh para pelakon berbangsa Iran. Dalam kes ini, Ghorban Nadjafi berlakon sebagai Imam al-Ghazali. Kesemua dialog di antara watak-watak utama yang lain seperti Nizam al-Mulk dan Ahmad al-Ghazali (iaitu adik Imam al-Ghazali), di samping watak-watak kodi, adalah di dalam bahasa Parsi secara total. Filem ini juga turut dibintangi oleh seorang aktres Iran, Mitra Hajjar, yang memegang watak sebagai isteri Imam al-Ghazali. Namun demikian, tidak wujud sama sekali sebarang dialog di antara Imam al-Ghazali dan isterinya di dalam filem ini. Mereka sekadar berkomunikasi melalui bahasa badan, terutama sekali melalui lenggok mata.

    Saya kira, ini mungkin untuk mengelakkan sebarang kontroversi yang mungkin timbul. Namun demikian, adalah lebih molek jika Mitra Hajjar menutup auratnya dengan lebih sempurna di dalam filem ini, terutama sekali pada bahagian rambut, memandangkan beliau memegang watak sebagai isteri kepada seorang ulama besar dunia.

    Teknik kedua pula adalah melalui kaedah naratif atau pun penceritaan. Robert Powell, yang merupakan aktor TV dan filem UK yang terkenal, telah dipilih untuk menjadi ‘suara’ kepada Imam al-Ghazali. Teks kepada ‘suara’ ini diambil daripada autobiografi yang ditulis oleh Imam al-Ghazali sendiri iaitu, al-Munqidh min al-Dalal (Penyelamat dari Kesesatan), yang menceritakan perjalanan hidupnya, yang akhirnya membawa beliau memfokuskan kepada ilmu tasawwuf.

    Teknik ketiga pula adalah dengan cara menemubual tiga tokoh penting Islam di Barat, iaitu Hamza Yusuf, T.J. Winter (iaitu Abdul Hakim Murad), dan juga Seyyed Hossein Nasr, di samping beberapa lagi individu lain. Ruang lingkup teknik ini lebih menuju ke arah analisis kritikal kehidupan Imam al-Ghazali. Di sinilah penonton akan dapat melihat bagaimana tokoh-tokoh yang ditemubual itu cuba untuk membawa kerelevanan idea-idea Imam al-Ghazali untuk dihidupkan semula di abad ke-20 ini, iaitu abad yang menyaksikan dunia yang lebih mengelirukan dan membejatkan berbanding dahulu. Oleh itu, salah satu tema utama filem ini ialah ‘Al-Ghazali adalah ubat kepada dunia yang sedang tenat pada hari ini’.

    Nota Kaki

    [1] Rujuk Haul Imam al-Haddad oleh Abu Muhammad.

    [2] Imam al-Haramain al-Juwaini berasal dari kawasan Juwain (di bahagian Afghanistan moden). Diberi gelaran al-Haramain kerana beliau pernah mastautin di Mekah selama 4 tahun sebelum menetap di Madinah; Imam al-Haramain bermaksud Imam Dua Tanah Haram, iaitu Mekah dan Madinah (ramai ulama yang berpendapat bahawa seseorang mestilah sekurang-kurangnya bermastautin 4 tahun sebelum boleh menisbahkan dirinya dengan sesuatu tempat atau kawasan). Antara karya beliau yang paling terkenal ialah Nihaya al-matlab fi diraya al-madhab yang berjumlah 15 jilid kesemuanya. Kitab ini membincangkan tentang dalil-dalil dalam mazhab Shafi’i.
    ---

    Insya-Allah bersambung di episod 2..
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Doa Awal Tahun Baru

    20 Januari 2007 • 22 Komen
    Ada orang pandang serong pada umat Islam yang membaca Yasin sebanyak 3 kali dan doa awal tahun apabila tibanya tahun baru Islam. Katanya, Rasulullah sallahu alayhi wassalam tak pernah buat. Eh, memang betul pun Rasulullah tak pernah buat. Tapi apakah dengan kita membaca Yasin sebanyak 3 kali itu, dan kemudian membaca doa awal tahun, maka kita telah pun melakukan bida'ah yang sesat, yang seterusnya membawa kita ke neraka?

    Eh, sabar. Rileks. Jangan terburu-buru untuk menghantar orang ke neraka. Tanyalah terlebih dahulu kepada mereka yang buat amalan begitu. Adakah mereka mengi'tikadkan amalan tersebut adalah datang dari Rasulullah dan wajib dilakukan apabila tibanya tahun baru Islam? Jika mereka jawab ya, maka kita beritahu mereka elok-elok bahawa sebenarnya Rasulullah tak pernah buat begini. Jika mereka jawab tidak, maka tiada apa-apa masalah. Berdoa amat digalakkan. Membaca Al-Quran sebelum berdoa akan menjadikan doa kita itu lebih mustajab.

    Kalau kamu nak kata ini amalan bida'ah yang boleh membawa seseorang ke neraka, maka silalah bida'ahkan juga wirid-wirid Al-Mathurat yang dikumpulkan oleh Imam Hasan al-Banna itu. Ada Rasulullah pernah suruh umatnya baca kesemua zikir-zikir tu pada setiap pagi dan petang, sebanyak sekian-sekian kali berserta kaifiat-kaifiatnya yang tertentu?

    P.S. Saya tak baca Yasin sebanyak 3 kali mahupun membaca doa tahun baru apabila masuknya tahun baru Islam beberapa jam yang lepas. Tapi rileks la..perkara kecil aje ni. Tak payah besar-besarkan sangat.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Dosta Mi Je Allah Moj

    10 Januari 2007 • 6 Komen
    yusuf islam
    Saya tiada meriam-meriam yang mengaum.


    Syukur. Akhirnya dapat juga saya cari lirik asal Allah is Enough For Me oleh Aziz Alili, iaitu Dosta Mi Je Allah Moj. Lirik asalnya adalah dalam bahasa Bosnia. Punyalah susah saya nak mencarinya.

    Dan inilah dia:



    Kad u jami osvanu
    i tamnice dopa'nu
    Jusuf lijepi uzdahnu
    Dosta mi je Allah moj!

    Tiridžije žeđ nose
    kofu praznu donose
    nad jamu se nadnose.
    Dosta mi je Allah moj!

    Dokaz i san usnije,
    prođu teške godine
    do teobe njezine.
    Dosta mi je Allah moj!

    Eto dana radosnog
    i mog babe kaharnog
    i devleta rahatnog.
    Dosta mi je Allah moj!

    Svaka noć sad dan rodi
    Allah muku providi,
    svemu kraj se nahodi.
    Dosta mi je Allah moj!

    Hasta traži dermana,
    asker svoga sultana,
    ašik dragog insana.
    Dosta mi je Allah moj!


    Lagu ni sebenarnya dimuatkan dalam album Yusuf Islam (tahun 2000) yang bertajuk I Have No Cannons That Roar . Album ni dirakamkan sebagai satu dedikasi istimewa kepada Dr Irfan Ljubijankic (bekas Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Bosnia) yang terbunuh pada penghujung peperangan etnik di Bosnia, apabila helikopter yang dinaikinya telah ditembak oleh peluru roket tentera Serbia.

    Beberapa bulan sebelum beliau terbunuh, beliau telah berjumpa dengan Yusuf Islam di London dengan membawa satu kaset, yang didalamnya terkandung satu lagu yang digubah oleh Dr Irfan Ljubijankic sendiri, yang bertajuk "I Have No Cannons That Roar". Memandangkan Yusuf Islam adalah seorang ahli muzik merangkap aktivis keamanan sejagat, maka Dr Irfan berharap agar Yusuf Islam boleh melakukan sesuatu ke atas lagu itu, demi membantu rakyat Bosnia yang ditindas oleh Serbia.

    Berita terbunuhnya Dr Irfan menjadi pemangkin utama Yusuf Islam untuk menghasilkan album I Have No Cannons That Roar - satu album dedikasi kepada Dr Irfan, dan juga satu album yang memberikan harapan kepada penduduk Bosnia waktu itu. Dari 6 orang penyanyi yang menjayakan album ini, 4 orang daripadanya memiliki darah Bosnia, iaitu Aziz Alili, Dino Merlin, Senad Podojak, Burhan Saban. Dan dari 11 lagu yang ada, 7 adalah dalam bahasa Bosnia. Lagu-lagu berbahasa Bosnia ini dikatakan amat popular di waktu Bosnia terjebak di dalam peperangan etnik.

    Apa yang uniknya, lagu-lagu yang berbahasa Bosnia ini begitu enak pada telinga dan lembut pada hati, walaupun kita tidak memahami sama sekali lirik lagu-lagu tersebut. Mungkin kesannya sama sebagaimana orang yang tidak faham bahasa Malaysia mendengar nasyid-nasyid alunan Raihan. Apapun, mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah pula maksud lirik lagu di atas itu? Oleh sebab saya pun tak faham bahasa Bosnia, maka saya letakkan sahaja versi Allah is Enough For Me oleh Zain Bikha:

    Allah is Enough For Me
    (A story of Prophet Yusuf)

    When he was placed in the well
    or locked in the dungeon
    betrayed by his own flesh and blood
    convicted of what he did not
    handsome Yusuf sighed
    Allah is enough for me!

    Taken in as a slave
    made to work night and day
    resisting all temptation
    Allah is enough for me!

    Until the king had a dream
    Many hard years had gone by
    patience and repentance
    Allah is enough for me!

    Till...the fortunate day
    there he sees his father
    in the land of content
    Allah is enough for me!

    Handsome Yusuf cried
    Allah is enough for me!

    Every night brings a new day
    Allah alleviates all pain
    Everything has its end
    Allah is enough for me!

    Everything has its end
    Allah is enough for me!
    Allah is enough for me!


    Amat memuaskan hati sesudah kita tahu serba sedikit makna dan juga latar belakang sesuatu lagu itu. Jadi, mari saya tanya kepada para peminat nasyid di luar sana. Apakah sejarah lagu nasyid Demedim Mi yang dipopularkan oleh Zain Bikha, dan juga Allahu oleh Raihan dan juga Sami Yusuf?

    Kesimpulan Utama

    Kalau baca Al-Quran, tapi tak faham maksud, dan tak faham pula serba sedikit sebab turunnya sesuatu ayat (asbabun nuzul), maka kuranglah asyik dan nikmat ketika membacanya. Tetapi, tetap juga diberikan pahala oleh Allah. Insha-Allah. Semoga kita menjadi setabah dan secekal Nabi Yusuf alayhi salam.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »