Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel Sensei • Hubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label fiqh. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label fiqh. Papar semua catatan

    Hukum Pegang (juga Peluk) Babi & Anjing

    27 Ogos 2007 • 52 Komen
    Hendak ku diam, mereka bertanya. Hendak ku lari, mereka mengejar. Itu masalah e-mel. Sentiasa ada yang akan bertanya itu dan ini memandangkan kos menghantar sedozen e-mel adalah jauh lebih murah dari menghantar sekeping poskad. Kadang-kadang, mahu sahaja saya bersetuju dengan idea Bill Gates untuk mengenakan bayaran bagi setiap e-mel yang dihantar.

    Tapi jika tidak dijawab e-mel, orang ingat kita ini sombong. Hai.. Jika anda dapat menyelesaikan kod tempoh hari, pasti akan sekurang-kurangnya tahu mengapa saya mengeluh. Jadi apa soalan yang mereka tanya itu?

    Ia selalunya tentang banyak isu yang berlegar-legar di internet. Tentang ada satu golongan tu yang mendakwa solat hajat sebagai bidaah sesat, boleh ke baca Yasin malam Nisfu Syaaban, dan macam-macam lagi. Soalan-soalan begini memang saya tidak layan sangat. Tapi cuma ada satu soalan sahaja yang saya agak terpanggil untuk memberikan pendapat, iaitu tentang kisah seorang pelajar perempuan, 22 tahun, jurusan vet, yang bergambar sambil peluk-peluk manja dengan anjing dan babi. Dengan menggoogle, saya menjumpai profile MySpace gadis itu. Dia menggunakan nama E-ma.

    Reaksi

    Lihat gambar ini dulu bagi yang masih belum lihat.
    Gambar 1, Gambar 2, Snapshot MySpace

    Saya membaca respon ramai orang tentang isu ini. Ada sesetengahnya menghentam habis si E-ma ini. Ada yang lain pula menyebelahi dia. Ada yang lebih alim, memberitahu pula bahawa apa yang dia buat itu tidaklah berdosa. Jadi apa pula reaksi saya?

    Saya berpendapat bahawa isu yang dibangkitkan adalah berpunca dari kejahilan kita sendiri yang tidak tahu banyak perkara-perkara asas dalam fardu ain, terutama sekali dalam bab najis. Tidak berdosa jika bergambar sambil berpeluk-pelukan dengan anjing dan babi. Cuma ia perlu disamak sahaja memandangkan ia najis berat. Jadi bagi mereka yang menuduh E-ma telah melakukan sesuatu yang menyalahi syarak, perlulah meminta maaf kepadanya.

    Ini pula saya ambil di ruangan profile MySpace beliau. Katanya:
    who am i??? im a vet student from UPM, serdang....a Shah Alam girl with a dream to help those suffered animal,to be respected,to skim the cream in this field and to love these kind of cute creatures....i dont want to bring sumone to book ( those senders) but i love to clear the things out and to tell people out there (especially to those who lack in knowledge about halal and haram) what vet is and how we especially Muslim handle any case that involved the "Najis Mughalazah" thing. i dont blame them because this is not their profession....ya, for human being, we just learn deeper about any kind of stuff if only we have to...well, anything that is good came from Allah and anything bad came from ourselves...so people outhere, if you want to judge other people, please full up your mind with knowledge first,k.


    Surat Kepada E-ma

    Okay okay. Saya tahu saya tidak ambil vet. Tapi saya tahu bagaimana seorang vet berkerja. Dan saya juga tahu awak suka tolong binatang yang sakit. Malah awak juga suka binatang-binatang yang comel.

    Saya juga seperti awak. Bahkan, salah satu laman yang selalu saya lawat memaparkan haiwan-haiwan yang comel setiap hari. Pernah dalam hati saya menyimpan keinginan untuk membela anjing setelah melihat begitu banyak anjing-anjing comel yang melata di bumi Ireland ini, terutama sekali jenis Chihuahua seperti Tinkerbell yang dimiliki oleh Paris Hilton. Atau sekurang-kurangnya saya boleh peluk mereka selalu seperti yang awak lakukan. Saya selalu ceritakan ini kepada kawan saya.

    Berdekatan dengan rumah saya pula, ada seekor anjing berwarna putih yang sangat comel. Bila saya lalu di situ pasti saya akan menjengok-jengok anjing itu yang saya namakan ia Putih. Jika Putih ada, dia akan menyalak kepada saya. Lalu saya akan berhenti dan bercakap-cakap seketika dengannya. Saya tidak pasti pula jika Putih faham apa yang saya bicarakan memandangkan tuannya sudah pasti bercakap English atau mungkin Gaelic dengannya. Tetapi saya yakin dalam hati bahawa Putih memahami saya.

    Maafkan saya kerana tidak tahu nama tepat spesis tersebut. Tetapi jika awak bertanya bagaimana rupanya, saya katakan bahawa fizikalnya seperti Chewbacca dalam filem Star Wars, cuma warna bulunya sahaja yang berbeza. Bulu Chewbacca berwarna coklat keperangan, Putih pula berwarna putih.

    Kemudian saya berfikir semula, walaupun tidak haram bagi saya menyentuh dan memeluk mana-mana anjing selalu, dan tidak pula perlu bagi saya untuk melakukan samak jika saya dan anjing berada dalam keadaan yang kering, tetapi sesuatu perkara yang taboo dalam masyarakat tempat saya membesar, perlulah juga saya berikan keutamaan.

    Ini kerana saya tidak mahu membawa kekeliruan dan kekacauan jiwa pada teman-teman saya yang mungkin masih kurang arif dalam bab-bab fiqh najis ini. Jadi, jika pun saya mahu memegang dan memeluk anjing, saya pastikan tiada rakan-rakan Muslim yang berdekatan, melainkan rakan saya itu benar-benar faham apa yang saya buat. Walaupun jika kawan saya itu adalah Tok-tok Arab bermazhab Maliki yang memiliki sedikit keringanan dalam berurusan dengan anjing dan babi, saya akan tetap berfikir panjang untuk melakukan satu perkara yang dianggap taboo bagi sesetengah masyarakat. Apatah lagi untuk menangkap gambar saya berpelukan dengan anjing dan babi dan kemudian dijadikan tatapan umum di internet.

    Saya tahu awak sudah faham segala isu-isu teknikal dalam masalah najis ringan, pertengahan dan berat. Tapi awak cuma masih belum faham selok-belok taboo dan faux pas.

    Faux Pas
    Faux pas adalah pelanggaran undang-undang sosial tidak bertulis, tetapi diterima pakai dalam sesebuah masyarakat, yang mana kadang-kala peraturan itu berbeza-beza dari satu budaya ke budaya yang lain. Satu perkara yang dianggap biasa dan tiada celanya dalam Masyarakat A, mungkin dianggap taboo dan buruk dalam konteks masyarakat B, lalu menjadikan faux pas dalam Masyarakat B, tetapi tidak dalam Masyarakat A.

    Contohnya, lihat gambar di bawah ini yang berkaitan dengan isu seorang pelajar UIA yang menganggap sekolah agama sebagai sesuatu yang lekeh. Saya tidak ingin membawakan isu tersebut, cuma mahu awak melihat gaya dia ketika bergambar. Perhatikan tangannya yang membuat V dalam keadaan telapak tangannya menghadap ke badan.

    gambar nurhayati uia

    Sekali pandang, tiada apa masalahnya dengan gambar tersebut. Sekadar memaparkan seorang anak dara sunti yang keriangan setelah mendakwa mendapat 'pencerahan' yang tidak pernah dialaminya sebelum ini. Tetapi sebenarnya, apa yang dia buat itu; membuat V dalam keadaan telapak tangan menghala ke arah badan, adalah satu faux pas bagi masyarakat di Ireland dan UK. Masyarakat Ireland dan UK memandangnya sama sama seperti 'the finger' lebih-lebih lagi jika ia digerak-gerakkan menghala ke arah atas. Tetapi bagi masyarakat Malaysia dan lain-lain, itu cuma gambar biasa yang tidak memberikan sebarang offence kepada sesiapa. Ia tidak faux pas di Malaysia dan kebanyakkan negara-negara lain.

    Ketahui di mana kita berada
    Apa yang saya ingin tekankan kepada awak, sikap dan tingkahlaku kita memang perlu berpandukan hukum. Tetapi jika pun sesuatu perkara itu halal hukumnya, maka itu tidak bermakna kita boleh buat sesuka hati tanpa memikirkan keadaan orang lain di sekeliling kita. "Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak". Itu ajaran orang tua kita.

    Kita orang Melayu yang tinggal di Malaysia. Budaya kita memandang anjing dan babi sebagai haiwan yang jijik. Maka hormati budaya ini. Jangan buat orang lain rasa offended hanya disebabkan hukum mengatakan halal. Awak mahu tangkap gambar dengan apa-apa sahaja haiwan yang cute seperti anjing, babi, hatta biawak dan anakonda sekali pun tidaklah salah dan berdosa. Tetapi, simpan sahaja gambar itu baik-baik dalam komputer dan tidak perlu ditunjukkan secara umum untuk memberitahu secara subconscious, "Kawan-kawan semua, lihatlah aku telah bergambar dengan babi." Dan sekarang awak telah menjadi selebriti internet.

    Fahami faux pas dan belajar budaya kita. Ada sesetengah perkara yang halal boleh membuatkan orang lain rasa offended. Saya bagi satu contoh lain. Mari saya tanya awak, apakah batas aurat di antara lelaki dan perempuan yang mahram, sebagai contoh aurat di antara seorang gadis dengan abangnya (bukan abang suami, tetapi abang sedarah sedaging)?

    Jawapannya adalah di antara pusat dan lutut sahaja. Tapi itu tidak bermakna kakak saya boleh suka-suka hati dalam rumah dengan memakai seluar sahaja (dan tidak memakai baju dan coli) ketika saya dan ahli keluarga yang lain turut berada dalam rumah. Kalau pun kakak saya buat juga, adakah dia buat sesuatu yang haram? Ia halal, tetapi ia taboo.

    Atau juga dalam contoh yang lain, kita memijak duit atau berdiri di atasnya. Sekali pandang, tiada apa yang salahnya, apatah lagi berdosa. Tetapi jika awak duduk di Thailand dan melakukan seperti apa yang saya sebutkan itu, sah anda akan kena pelangkung dengan buku lima orang-orang Siam. Wajah Raja Siam diukir di atas wang kertas dan siling Thailand. Masyarakat Siam memandang tinggi dan sangat memuliakan raja. Memijak duit Thailand bermaksud menghina raja mereka. Akan tetapi, jika anda duduk di UK dan memijak Pound Sterling yang memiliki ukiran Ratu Elizabeth, ia tidaklah begitu menjadi satu isu yang agak besar.

    Atau juga adakah berdosa jika saya memijak buku (yang tiada ayat-ayat suci)
    ? Semua orang tahu tiada dalam hukum fiqh yang mengatakan haram pijak buku. Oleh itu, saya boleh sahaja memijak buku-buku yang saya gunakan waktu SPM dahulu. Tetapi adakah tindakan samberono memijak buku ini boleh diterima dalam budaya dan masyarakat kita, hatta dalam konteks masyarakat global, sedangkan ia bukanlah sesuatu yang berdosa?

    Di sinilah pentingnya adab. Oleh itu, fahami taboo dan faux pas betul-betul.

    Maka cuba aplikasikan situasi-situasi tersebut dalam persoalan seseorang bergambar berpelukan dengan anjing dan babi, dan kemudian dijadikan tatapan umum dalam ruang lingkup masyarakat yang memandangnya sebagai sesuatu yang taboo.

    Semoga awak menjadi vet Muslim yang berjaya. Sampaikan salam saya kepada anjing dan babi itu. Saya mewakili sekalian manusia di atas muka bumi ini ingin meminta maaf kepada mereka kerana kadang-kadang manusia melihat mereka dengan penuh kejijikan dan kehinaan.

    Adat bersendikan hukum, hukum bersendikan syarak,
    Syarak mengata, adat menurut.


    Yang sentiasa meminati Chihuahua,
    Tawel Sensei
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Wahhabi 9 - Ikut Dalil Yang Sahih!

    18 Disember 2006 • 21 Komen
    Antara hujah para pemuka Wahhabi adalah: "Kita dalam beramal mesti mengikut dalil-dalil yang sahih dari sumber Al-Quran dan hadith". Hujah mereka itu betul 100%. Tetapi apa yang menjadi masalah adalah bagaimana hujah tersebut diaplikasikan dalam kehidupan sehari-hari. Tahu dalil sahaja tanpa punyai ilmu untuk menggunakannya adalah ibarat seseorang yang mengambil ubat sendiri tanpa perlu berjumpa doktor. Kalau ubat Panadol ok lagi, tapi kalau masuk bab Botox, ingat boleh suka-suka sumbat dalam badan?

    Saya ambil contoh dalam isu qadha solat fardu. Apabila seseorang itu tidak melakukan solat fardu atas sebab tertidur atau terlupa, maka dia wajib mengqadha solat yang tertinggal itu. Tiada berlaku khilaf ulama dalam hal ini. Ini berdasarkan dalil-dalil dari hadith sahih [1] [2]. Namun demikian, wujud satu permasalahan lain. Adakah wajib atau tidak untuk qadha solat fardu yang sengaja ditinggalkan atas sebab malas, atau sebab-sebab lain yang tidak begitu darurat?

    Sebelum itu, biar saya jelaskan terlebih dahulu bahawa meninggalkan solat fardu dengan sengaja adalah berdosa hukumnya. Kamu main bola, dan tiba-tiba azan Asar berkumandang. Lepas selesai azan, kamu teruskan main bola hinggalah tiba waktu Maghrib. Kamu tidak buat solat Asar sebab rasa leceh nak kena bersihkan badan terlebih dahulu. Maka kamu pun berniat untuk qadha sahaja solat Asar itu. Dalam kes ini, memanglah kamu sengaja cari pasal. Dan kalau kamu rasa tidak berdosa kerana meninggalkan solat (untuk diqadhakan pada waktu yang lebih sesuai), maka sebenarnya kamu ada masalah yang besar sebagai seorang umat Islam.

    Ijmak Ulama Dalam Isu Qadha Solat

    Dimaklumkan bahawa ijmak para ulama dalam isu qadha solat, sama ada solat itu ditinggalkan atas sebab terlupa atau tertidur, ataupun disebabkan kemalasan, adalah wajib qadha [3]. Dan ijmak ini dipegang oleh 4 mazhab muktabar - iaitu mazhab Hanafi, Hanbali, Shafi'i, dan Maliki - yang mana 4 mazhab ini sahajalah yang diiktiraf oleh ahlus sunnah wal jamaah pada hari ini. Dan ketahuilah bahawa Sheikh Muhammad Amin al-Kurdi [4], di dalam kitabnya Tanwirul Qulub fi Mu`amalati 'Allamil-Ghuyub ada menyatakan bahawa "Dan antara yang wajib dipegang ialah bahawasanya para imam itu semuanya `udul, dan sesiapa yang bertaqlid kepada seseorang daripada mereka mendapat kejayaan... dan yang masyhur di antara mereka ialah Abu Hanifah, Malik, asy-Syafi`i dan Ahmad r.'anhum, dan kesemua mereka adalah atas hidayah Allah. Taqlid kepada salah seorang dari mereka adalah fardu/wajib [5].

    Dalam kes qadha solat fardhu yang sengaja ditinggalkan, tidak wujud sebarang dalil spesifik yang menyatakan kewajiban qadha. Nah, jadi dalam isu ini, bagaimana kita mahu beramal dengan dalil yang sahih? Kalau kita sekadar merujuk kepada dalil dalam nota kaki [1] [2] itu, memanglah mudah jawapannya. Tiada qadha bagi solat fardu yang sengaja ditinggalkan. Tapi begitukah pemahaman para ulama kita? Maka di sinilah penting bagi kita untuk merujuk kepada mereka yang ahlinya.

    Maka, kaedah qiyas digunakan oleh para ulama untuk menyelesaikan permasalahan ini. Berkata Imam Nawawi, "Jika mengqadha solat adalah wajib bagi mereka yang terlupa/tertidur, maka sudah pastilah ia menjadi lebih layak ke atas mereka yang meninggalkan solat fardu dengan sengaja". Dan Imam Nawawi berkata lagi dalam al-Majmu', "Para ulama telah pun mencapai ijmak bahawa sesiapa yang tidak melakukan solat fardu dengan sengaja (tanpa sebab) mesti mengqadhanya" [6]. Hanya ada segelintir ulama sahaja yang membuat kesimpulan yang bertentangan dengan ijmak ulama ini, dan mereka antaranya ialah Imam Abu Daud al-Dhahiri, Ibnu Hazm, Ibnu Qayyim, dan Ibnu Taimiyyah.

    Kenapa Tidak Berpegang Kepada Ijmak?

    Perbincangan kali ini bukannya untuk mengupas secara mendalam tentang perbahasan dalil-dalil yang digunakan dalam mencari hukum menqadha solat fardu yang sengaja ditinggalkan. Apa yang mahu ditekankan ialah bagaimana segelintir umat Islam berurusan dengan sesuatu perkara/isu/hal yang sudah pun menjadi ijmak ulama. Dengan kata lain, pada hal-hal yang sudah pun beres diperbincangkan sedalam-dalamnya oleh para ulama kita.

    Dalam kes ini, sudah terang lagi bersuluh bahawa ijmak ulama ialah wajib qadha solat fardu yang sengaja ditinggalkan. Tetapi, mengapakah terdapat umat Islam yang begitu bersungguh-sungguh mahu menekankan hukum yang berlainan daripada ijmak? Mereka menjaja sana-sini bahawa tidak wajib qadha solat fardu yang sengaja ditinggalkan, malah ada yang melabelkan hukum tersebut sebagai bida'ah sesat kerana tidak terdapat dalil tentangnya, dan lain-lain lagi. Mengapa mahu bising-bising tentang perkara yang sudah lama settle?

    Ijmak sesuatu hukum dibuat apabila tiada dalil-dalil yang jelas dan nyata dari Al-Quran dan hadith. Bila hukum sudah pun dipersetujui oleh para ulama secara ijmak, maka apakah perlu bagi kita (terutamanya orang awam), untuk memperbahaskan isu itu semula? Apa relevannya? Dan apa pula faedahnya? Dan perkara ini adalah antara sebab mengapa fahaman Wahhabi berbahaya kepada umat Islam, lebih-lebih lagi dalam perkara akidah. Contohnya, ijmak para ulama ahlus sunnah wal jamaah mengatakan bahawa Allah itu sifatnya tidak bertempat [7]. Tetapi malangnya, golongan Wahhabi ini suka buat onar yang menafikan ijmak ulama itu. Dijaja sana-sini bahawa Allah itu tempatnya di langit. Apo kono ni jang oii? Mengapa tak habis-habis mahu menimbulkan masalah yang sebenarnya bukan satu masalah pun?

    Bila kami cakap kamu suka bawa isu remeh-temeh, kamu marah. Tapi itulah hakikatnya. Dan bila bidasan ke atas hujah-hujah puak Wahhabi yang dangkal ini dilakukan, dituduhnya kita pula sebagai pemecah-belah umat. Apabila yang si penyerang (iaitu puak Wahhabi) menuduh kita sebagai pemecah-belah umat, bagi saya mereka ini ada sesuatu yang tak kena. Kiasan bagi hal ini adalah seperti kita menuduh rakyat Palestin sebagai bangsa yang jahat apabila mereka mempertahankan diri dari serangan zalim puak Zionis. Tapi saya tak kata Wahhabi itu seperti Zionis. Kamu jangan salah faham. Saya kiaskan hal ini dari aspek respond dan reaksi sahaja.

    Apa Itu Ijmak

    Sheikh Abdul Wahhab Khallaf (meninggal dunia di Kaherah pada tahun 1956), adalah seorang ulama fiqh yang pernah memegang jawatan profesor di Fakulti Undang-undang di Universiti Kaherah, dan juga pengarang kitab 'Ilm usul al-Fiqh yang menjadi rujukan meluas dalam dunia Islam moden, telah mendefinisikan maksud ijmak sebagai: "Persetujuan di kalangan semua mujtahid pada sesuatu masa selepas wafatnya Rasulullah sallahu 'alayhi wassalam, tentang sesuatu hukum atau pun keadaan."

    Dan apabila sesuatu hukum itu telah menjadi ijmak, maka adalah wajib bagi umat Islam untuk mengikutnya dan haram pula melanggarnya. Dan para mujtahid yang lahir selepas persetujuan ijmak itu dicapai tidak boleh membuat hukum yang berlainan daripadanya kerana ijmak adalah hukum syariat yang qat'i, dan ia tidak boleh diperselisihkan mahupun dimansuhkan [8].

    Oleh itu, janganlah kita termakan hujah-hujah puak Wahhabi seperti "Marilah kita berbincang secara ilmiah", "Tak salah kalau tak ikut ijmak sebab kita ada dalil yang sahih" dan lain-lain lagi. Jangan buang masa berdebat dengan mereka dalam hal ini, mahu pun hal-hal khilafiyyah yang lain. Kalau mereka mahu menang, bagi sahaja kemenangan kepada mereka. Mengalah bukan bererti kalah, tetapi mengalah itu adalah strategi terbaik untuk mengurangkan kehampasan umat Islam hari ini.

    Sebagai kesimpulan, janganlah kita mengeksploitasi ijmak ulama ini sebagai alasan untuk kita meninggalkan solat sewenang-wenangnya (untuk diqadhakan pada waktu lain). Dan satu lagi kesimpulan, bagi pendakwah yang betul-betul serius di luar sana, tolonglah fahami kehendak zaman ini. Hari ini, ancaman utama kepada umat Islam bukannya pasal kayu kokka dan yang sewaktu dengannya. Jadi, yang Mufti Perlis bising-bising tentang kayu kokka pada awal-awal perlantikannya itu apo kono?

    Sollallahu 'alayhi Muhammad.

    Nota Kaki

    [1] "Sesiapa dari kamu tidak solat kerana tertidur atau terlupa, maka tunaikanlah ia apabila kamu ingat..." (Hadith dari Anas bin Malik r.a. dari Sahih Bukhari dan Muslim).

    [2] Tiada kecuaian ketika waktu tidur, kecuaian hanya berlaku pada waktu sedar. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang terlupa solat atau tertidur hendaklah menunaikannya apabila dia teringat, kerana Allah telah berfirman: "Dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku." (Hadith dari Qatadah r.a dari Sahih Muslim)

    [3] Do we have to make up missed prayers? oleh Sheikh Amjad Rasheed.

    [4] Sheikh Muhammad Amin al-Kurdi: Adalah salah seorang ulama Al-Azhar yang masyhur. Juga dikenali sebagai Muhammad Amin bin Fath Allah al-Irbali al-Kurdi. Beliau berbangsa Kurdish yang dilahirkan di Arbil, Iraq. Merupakan seorang ulama Shafi'i dan juga antara ulama besar dalam tarikat Naqshabandi. Di samping itu, beliau juga turut belajar ilmu syariah dan ilmu-ilmu lain di Universiti al-Azhar. Hasil dari pembelajaran itulah, lahirnya kitab Tanwirul Qulub fi Mu`amalati 'Allamil-Ghuyub, satu kitab yang menyentuh tentang pokok-pokok akidah, fiqh Shafi'i, dan tasawwuf. Beliau meninggal dunia di Kaherah pada tahun 1331 Hijrah bersamaan 1914 Masihi. Semoga Allah merahmati ruhnya.

    [5] Taqlid - Pandangan Ulama I

    [6] Rujuk [3]

    [7] Di mana Allah?

    [8] 'Ilmu usul al-Fiqh oleh Sheikh Abdul Wahhab Khallaf, dicedok dari The Reliance of Traveller oleh Sheikh Nuh Ha Mim Keller, halaman 23.

    ---

    Jalan-Jalan

    1) Kokka... Mengapa Disyirikkan?
    2) Sejarah bandar Tarim, Yaman. Ep 1 | Ep 2 | Ep 3



    History of Tarim: Part 1
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Ibadah Paling Best

    15 September 2006 • 12 Komen
    Gambar kucing tidurDalam banyak-banyak ibadah, ibadah apa yang paling mudah dilakukan? Atau dengan kata lain, ibadah apa yang paling best?

    Ramai orang malas nak buat ibadah. Sebenarnya, mereka bukan malas. Cuma mereka tak faham konsep ibadah. Mereka fikir ibadah itu hanya solat, puasa, baca Al-Quran, dan perkara-perkara yang sewaktu dengannya.

    Ada juga yang lebih bijak (bijak sikit aje). Otak mereka ini agak maju berbanding mereka yang menganggap ibadah itu cuma solat, zakat, dan seumpamanya.

    Biasanya kita dapat melihat contoh ini dengan mudah di kalangan artis tanah air. Mereka buat konsert amal yang mana di dalamnya begitu banyak hal-hal yang bercanggah dengan Islam, dan lepas penat-penat menyanyi, si artis ini akan kata: "Terima kasih kepada yang datang ke konsert amal malam ini. Semoga derma yang anda salurkan melalui pembelian tiket konsert ini dibalas kebaikan dari Allah." Ya, dengan kata lain si penyanyi dan yang datang ke konsert itu telah menganggap konsert itu sebagai satu ibadah. Ini bukan lagi trend mengurangkan rasa berdosa, tapi trend langsung tak rasa berdosa!

    Huh, padahal dalam konsert amal tu begitu ramai umat Islam yang tak solat dek kerana leka tengok si penyanyi itu menjayakan konsert amal. Kenapa jadi macam ni? Ini kerana umat Islam telah menyalahgunakan konsep 'ikhlas' dalam ibadah.

    'Saya buat konsert amal ini ikhlas kerana Allah'. Itu kata-kata lazim mereka. Nak buat sesuatu ibadah ni, pastikan kita betul-betul tahu konsep ikhlas dan faham, yang mana keduanya saling berkait-rapat. Kalau orang tu betul-betul faham, InsyaAllah dia akan ikhlas dalam melakukan ibadah. Tapi kalau orang tu ikhlas, tetapi dia tak faham apa yang dia lakukan, takut-takut ibadah yang dilakukan itu berlawanan dengan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah sallahu alayhi wassalam.

    Contoh: Awang baru habis SPM dan dia nak cari kerja. Katanya dia ikhlas berkerja untuk membantu keluarganya. Tiba-tiba dia ternampak iklan kerja kosong di 7-Eleven. Tanpa fikir panjang, dia pun apply kerja dan diterima. Esoknya dia mula kerja.

    Kalau orang yang faham, dia tidak akan kerja di 7-Eleven. Sebabnya? 7-Eleven itu ada jual arak. Jadi, orang yang faham tidak memilihnya kerana dia akan dapat share di neraka akibat penjualan arak itu. Oleh itu, bagi orang yang faham dan ikhlas ini, dia akan cuba mencari kerja lain yang benar-benar halal. Awang pula ikhlas tapi tak faham bahawa dengan jadi cashier di 7-Eleven pun dia akan dapat share seperti dosa orang meminum arak (iaitu jika dia terlibat dalam transaksi jual-beli arak).

    Pastikan anda benar-benar faham sebelum membuat sesuatu ibadah.

    Ibadah yang Best

    Jadi, apakah ibadah yang paling best tu? Jawapan mungkin berbeza-beza mengikut individu. Tapi bagi saya, ibadah paling best adalah tidur. Ya, t.i.d.u.r = TIDUR. Sebab ia begitu mudah dilakukan. Tidur tergolong dalam kategori Ibadah Umum. Solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya pula adalah Ibadah Khusus. Saya hanya nak sentuh tentang ibadah umum sahaja.

    Apa jua perkara yang kita lakukan dalam kehidupan seharian kita - seperti makan, tidur, main bowling, mandi, gosok gigi, dan sebagainya - adalah satu jenis ibadah jika ia dilakukan mengikut cara yang dianjurkan oleh Islam. InsyaAllah akan mendapat pahala. O{leh itu, jangan tunggu dah tua baru nak buat ibadah. Umur 17 tahun pun dah boleh buat ibadah banyak-banyak.

    Tidur adalah satu perkara yang manusia lakukan setiap hari. Tak payah mak suruh pun, pasti kita akan tidur. Kita tak main bowling setiap hari. Kalau tak mandi satu hari pun manusia masih boleh hidup. Tak makan satu hari pun masih boleh survive. Tapi kalau tak tidur satu hari, alamat susahlah kita nak fokus dalam apa yang kita lakukan.

    Sebab apa saya kata tidur itu ibadah paling best? Tanya diri sendiri...kamu suka tidur tak? Orang dewasa tidur secara purata dalam 6 jam sehari. Ia bersamaan dengan 1/4 hari. Kalau kamu mati umur 60 tahun, maka kamu tidur 15 tahun sepanjang kamu hidup!! Tak ke rugi kalau 15 tahun kita tidur, tapi selama 15 tahun itu lah tidur kita tidak menjadi satu ibadah?

    Nak tidur bukan susah sangat. Asal ada tempat pasti kita boleh tidur. Di atas lantai, dapur, bawah pokok, dan di dalam bas. Bantal, tilam dan katil cuma satu bonus sahaja. Oleh itu, kita mesti jadikan tidur kita satu ibadah. Ikhlaskan tidur kita kerana Allah. Tapi kalau ikhlas sahaja, mana cukup. Oleh itu, mari kita fahamkan adab-adab tidur. Mudah-mudahan tidur kita selama 15 tahun itu (kalau mati umur 60 lah) akan jadi satu ibadah. InsyaAllah.

    Adab-adab Tidur

    1. Bersuci (berwudhu') dan bersiwak (gosok gigi) sebelum tidur.
    2. Sebelum tidur, hendaklah terlebih dahulu bertaubat dari segala dosa, bersih hati terhadap sekalian kaum Muslimin, tidak menyimpan dendam pada orang lain, dan tiada berazam untuk melakukan maksiat apabila bangun dari tidur nanti.
    3. Hendaklah jangan terlalu mengambil berat sangat tentang keadaan tempat tidurnya supaya ia empuk dan lembut.
    4. Jangan cuba tidur dengan segera selagi mata belum mengantuk dan jangan cuba memaksa-maksa mata untuk tidur, kecuali jika ia berniat untuk senang bangun beribadat di tengah malam.
    5. Hendaklah tidur mengadap kiblat.
    6. Hendaklah membaca doa-doa sebelum tidur. Antaranya membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq, dan an-Nas.
    7. Hendaklah mengingati mati ketika mahu tidur.
    Dipetik dari Kitab Bimbingan Mu'minin oleh Imam al-Ghazali. Adab-adab tidur ini telah diringkaskan dari teks yang asal. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang adab-adab tidur, carilah kitab tersebut, atau apa-apa sahaja kitab yang relevan. Allahu 'alam.

    P.S. Sebenarnya, entri ini adalah untuk pos Tidurlah Adikku Sayang.

    Jalan-Jalan

    Betul ke roti High5 ni? Ish... [Download PDF]
    Brother Abu Muhammad pun ada juga sembang pasal tidur: Wirid Tidur
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Meminta Dalil - Ia Bukti Kejahilan Anda!

    24 Ogos 2006 • 15 Komen
    Artikel asal boleh dibaca di sini.
    ---

    Dengan nama Allah. Segala puji hanya untuk-Nya, Tuhan dan Pelindung kami, dan moga dicurahkan keamanan dan kesejahteraan kepada Utusan terakhir-Nya.

    Komentar ini tidak berniat untuk menghina sesiapa. Kami sayang semua saudara se-Islam yang mencintai Allah dan Rasulullah sallahu 'alayhi wasalam, dan yang berkerja dengan ikhlas untuk deen ini, tanpa mengira apa pun pegangan yang mereka pilih. Jika kata-kata ini kelihatan agak kasar bagi sesetengah pihak, maka ia semata-mata bertujuan bagi menyampaikan maksud dengan lebih jelas dan tepat, lebih-lebih lagi di zaman yang penuh mencabar ini.

    Tulisan ringkas ini ditulis berikutan satu permasalahan hukum fiqh yang telah diajukan kepada saya. Si penyoal ingin juga mengetahui dalil-dalil yang digunakan tentang sesuatu hukum. Saya menyedari bahawa si penyoal itu sebenarnya berniat untuk membandingkan dalil daripada individu-individu yang telah mereka tanya, dan kemudian membuat kesimpulan sendiri tentang pandangan yang manakah lebih kuat.

    Saya berpendapat bahawa mengemukan segala dalil dari pandangan mazhab Hanafi tentang soalan tersebut kepada orang awam adalah satu tindakan yang kurang sesuai. Saya akan cuba untuk menerangkan sebab-musababnya.

    Saya memberitahu hukum fiqh tersebut berdasarkan pandangan mazhab Hanafi, dan kemudian saya berkata: "Apa jua fatwa, jika ia datang dari salah satu empat mazhab yang dipegang oleh ahlus sunnah wal jamaah, adalah datang dari studi, kajian, dan ijtihad oleh ratusan ulama terbilang dari ummah ini, yang mana mereka telah memberi sumbangan besar bagi menyemak semua hukum-hakam dalam mazhab masing-masing. Mereka adalah pakar dalam segala disiplin ilmuan Islam. Ramai di antara mereka yang menghafaz lebih seratus ribu buah hadith junjungan Nabi kita. Para ulama mazhab Hanafi yang berjaya mencapai darjat kehormat ini kebanyakannya adalah Hafiz Hadith.

    Bukan itu sahaja, bahkan mereka adalah golongan yang mempunyai tahap kesolehan dan ketaqwaan yang begitu tinggi kepada Allah - ia boleh dibuktikan melalui biografi mereka. Maka kita harus menerima dengan gembira segala keputusan yang mereka beri tanpa perlu meyoal apakah dalil-dalil yang digunakan. Dan kita tidak akan pandang kepada golongan yang tidak mengakui autoriti para ulama terbilang ummah ini serta asyik mahu mengkaji dalil bagi setiap hukum. Padahal golongan ini tiada langsung latihan asas dalam lapangan keilmuan Islam, atau pun pernah mempelajari mana-mana kitab muktabar dengan guru yang berkelayakan.

    Adalah satu perkara yang mengarut apabila orang awam sentiasa bertanyakan dalil. Ia seperti seseorang yang tidak pernah belajar subjek sains GCSE[1] berdebat tentang teori relativiti[2] dengan seorang profesor fizik. Atau pun seperti seseorang yang tiada langsung ilmu asas biologi atau kimia yang berdebat dengan seorang doktor pakar tentang ubat manakah yang paling tepat bagi merawat sesuatu penyakit.

    Orang sebegini pasti akan diketawakan! Apakah anda fikir akan ada mana-mana profesor yang akan melayannya? Profesor itu tidak akan membuang masa untuk berbincang dengannya. Orang yang begini, kalau dia betul-betul ingin memberikan pandangan tentang fizik teoritikal, harus terlebih dahulu mengambil GCSE selama dua tahun, kemudian membuat A-Levels[3] selama dua tahun, kemudian mengambil ijazah (3 tahun), kemudian buat ijazah lanjutan (1-2 tahun), kemudian mengambil PhD (3-5 tahun). Dan akhirnya barulah dia boleh duduk semeja berbincang dengan profesor!

    Begitu jugalah dengan seseorang yang tidak pernah belajar langsung kurikulum asas dalam bidang fiqh, tetapi dengan berani mencabar para ulama fiqh yang terbilang, yang menjadi salaf dan khalaf ummah ini. Padahal si fulan ini tiada langsung kemahiran asas bagi memahami atau pun menilai sesuatu dalil.

    Anda fikir mengeluarkan pandangan berkaitan hukum-hakam itu lebih mudah berbanding mengeluarkan pandangan dalam fizik teoritikal?

    Meminta dalil bagi setiap hukum itu sendiri sudah cukup menjadi dalil jelas kejahilan anda dalam proses melakukan ijtihad.

    Apakah anda fikir bahawa cara mengetahui dalil-dalil bagi setiap hukum itu adalah sekadar diberitahu sepotong ayat Al-Quran atau pun hadith? Tugas kamu sebagai orang awam atau pun seorang budak mentah yang baru sahaja berjinak-jinak dalam bidang keilmuan Islam bukannya untuk mengetahui segala dalil bagi setiap hukum-hakam. Tetapi tugas kamu cukup sekadar mengetahui hukum bagi sekian-sekian perkara, berdasarkan salah satu daripada empat mazhab yang diterima oleh ahlus sunnah wal jamaah pada hari ini, dan pada masa yang sama harus sedar bahawa semua hukum-hakam itu dibuat berdasarkan ilmu dan kajian yang mendalam dari pelbagai jenis sumber.

    Jika kamu sudah betul-betul berminat untuk mengetahui dalil-dalil bagi hukum itu ini, maka sila mulakan langkah yang pertama untuk belajar ilmu Islam yang mulia ini. Kamu sangat-sangat dialukan! Untuk mendapatkan tahap ilmu paling asas pun sudah memerlukan tempoh pembelajaran serius selama 5-8 tahun. Ini baru yang asas; ia tidak termasuk tempoh untuk melakukan pengkhususan!

    Percayalah kepada saya, dalil-dalil itu ada dan wujud dalam setiap mazhab. Begitu banyak kitab-kitab rujukan muktabar mazhab Hanafi yang membincangkan dengan begitu terperinci setiap hukum yang ada, dan ia ditulis oleh ulama-ulama hadith dan fiqh yang sangat berwibawa. Jangan malu-malu untuk berjumpa mereka pada bila-bila masa jika anda ingin melihat dalil-dalil bagi sesuatu hukum yang dikeluarkan. Tetapi bagi individu yang tidak terlatih, seperti anda, pasti tidak akan dapat faham hasil tulisan dan kitab peringkat tinggi ini. Ia seperti mana pelajar sains GCSE yang membaca artikel kajian dalam bidang fizik kuantum, atau pun membaca jurnal perubatan yang begitu kompleks. Kamu pasti tidak akan dapat faham langsung apa yang dibaca, malah akan makin keliru.

    Inilah masanya untuk kamu merendah diri. Jika kamu pelajar GCSE, kamu hanya perlu belajar perkara asas, dan terima sahaja apa yang guru kamu ajarkan. Bertahun-tahun lepas itu, apabila kamu sudah makin pintar, dan makin rajin mencari ilmu, kamu mungkin akan dapat membincangkan teori-teori yang sangat kompleks dan kemudian membuat rumusan sendiri.

    Malangnya, sebagai sebahagian daripada bida'ah zaman moden yang patut diperbetulkan, telah wujud satu fahaman yang menjalari umat, yang mana ia menolak keempat-empat mazhab, dan memberikan dorongan kepada orang awam bagi menyoal setiap hukum - dengan itu mereka dapat membuat pendapat sendiri dan mencanai jalan sendiri! (Ini sebenarnya adalah sunnah seorang penyanyi Amerika, Frank Sinatra, yang menanyi "I did it my way'", tapi ni sudah tentu bukan sunnah para ulama salaf). Jika kamu percaya bahawa pelajar GCSE boleh mengeluarkan pendapat dalam teori kuantum, maka ahlan wa sahlan!

    Kamu harus diberikan amaran bahawa apa yang kamu lakukan ini adalah haram, iaitu mengeluarkan fatwa tanpa memiliki kelayakan. Jika semua orang secara automatik berkelayakan untuk mengeluarkan/memilih hukum sendiri, ia akan membawa kepada kemusnahan dan kekacauan dalam bidang perundangan syariah. (Oh ya, hanya kerana kamu berbangsa Arab atau tahu berbahasa Arab, itu tidak menjadikan kamu seorang mufti secara automatik!). Setiap bidang ilmu ada kurikulum dan kaedah masing-masing. Perundangan Islam dan kaedah mengeluarkan hukum-hakam adalah salah satu disiplin ilmu yang memerlukan masa bertahun-tahun untuk menguasainya.

    Sebagai contoh, untuk menjadi seorang peguam, kamu mestilah memiliki keputusan A-level yang cemerlang, kemudian ambil ijazah Perguaman. Malah selepas itu kamu perlu lulus Bar examinations[4]. Itu masih tak cukup! Kamu kemudian perlu menghabiskan masa bertahun-tahun bersama-sama dengan seorang peguam sebelum kamu boleh menjalankan bisnes sendiri. Pada waktu ini, kamu baru setakat menjadi peguam junior. Selepas itu berapa tahun lagi yang diperlukan untuk membuat kajian dan mengumpul pengalaman yang diperlukan sebelum kamu boleh menjadi salah seorang QC, atau hakim tinggi?

    Cukup ganjil apabila ada orang yang menganggap dirinya sudah layak untuk mengeluarkan hukum setelah dia membaca beberapa potong ayat dari Al-Quran dan juga versi rumusan kitab Sahih Bukhari! Ini semua sebenarnya adalah refleksi kepada kejahilan kita yang teramat sangat. Kamu tidak pernah masuk sekolah Undang-undang dan kamu pula begitu teringin untuk mengeluarkan hukum??

    Kamu adalah pelajar sains GCSE dan kamu pula ingin masuk bersama dalam perbincangan sesama profesor?

    Merendah dirilah! Kalau kamu mahu berbincang isu-isu dalam hukum-hakam Islam, maka pergi cari para ulama yang menjadi pewaris Nabi, dan duduk bersama mereka, dan belajar dengan mereka. Tirulah juga sifat-sifat mulia yang ada pada mereka, termasuk juga ilmu yang para ulama ini miliki - mudah-mudahan kamu dapat menerima cahaya yang ada pada ilmu Islam yang mulia ini.

    Jika kamu telah menghabiskan usiamu mempelajari perubatan atau kejuruteraan, atau pun sibuk dalam bidang perniagaan sehingga tiada masa untuk mendalami ilmu Islam, dan kini apabila tiba masa tua, kamu pun berazam untuk menjadi lebih 'religious' - kamu pun selalu berkunjung ke masjid dan lain-lain lagi. Tapi tolonglah, jangan fikir kamu boleh buat crash-course dalam deen ini dengan sekadar membaca Fiqh al-Sunnah atau pun Tafsir al-Mawdudi, dan kemudian kamu fikir kamu sudah sampai tahap untuk berdebat dengan para ulama. Tolong biarkan perkara berkaitan deen kepada mereka yang telah menyimpan masa muda untuknya dan telah mengorbankan masa bertahun-tahun untuk mempelajari disiplin ilmu Islam yang sangat luas ini.

    Seorang daripada guru saya selalu berkara: "This is the deen, not teen (fig)!!"[5] Kamu sedang berurusan dengan ilmu Islam! Ini bukan benda main-main yang boleh diperbincangkan sesuka hati oleh orang awam. Ini datang dari budaya Barat yang menjadikan seseorang itu angkuh - mereka percaya bahawa mereka boleh memberikan pandangan dalam segala isu, dari teologi kepadalah hukum fiqh. Hakikat sebenarnya, kamu tidak berada pada kedudukan untuk menilai dalil-dalil yang ada, dan kemudian membuat kesimpulan sendiri akan pandangan manakah yang lebih kuat atau rajih.

    Saya masih ingat satu perbualan saya dengan seorang remaja berusia 18 tahun, jambang dan misainya dicukur rapi, memakai jeans dan jaket kulit, di bahagian luar sebuah masjid di kawasan saya. Remaja ini mula mengamalkan Islam dengan baik sejak dua tahun yang lepas. Dia dengan agak serius menerangkan kepada saya tentang bagaimana dia menilai dalil-dalil yang dikemukakan dari mazhab-mazhab yang berlainan tentang sesuatu isu, dan kemudian dia sudah boleh membuat rumusan akan pandangan manakah yang lebih kuat! Walau pun si remaja ini tidak tahu satu pun perkataan dalam bahasa Arab, namun itu tidak membuatkannya berputus asa - pastinya dia akan mendapatkan bahan rujukan yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris!

    Malangnya, si remaja ini tiada idea sama sekali betapa kompleksnya proses mengeluarkan hukum, dan juga betapa luasnya perbincangan di antara mazhab tentang sesuatu isu. Apakah dia tidak sedar bahawa dia juga sekadar bertaklid buta kepada apa jua ulama bentangkan kepadanya tentang sesuatu isu? Dia sendiri tidak pernah menyemak sama sekali sumber maklumat yang dijadikan hujah, iaitu kitab-kitab rujukan dalam keempat-empat mazhab - dia tidak melihat apakah yang diperbincangkan dalam keempat-empat mazhab tentang isu tersebut. Sudah diketahui umum bahawa kamu tidak boleh mengeluarkan hukum dalam mazhab Hanafi berdasarkan teks dari mazhab Shafi'i, dan sebaliknya. Ini kerana ia selalu memberikan pandangan kurang tepat tentang mazhab yang lain - kamu sebenarnya kena menelaah teks dari mazhab yang kamu ingin kaji, dan bukannya mengambil teks dan kitab yang ditulis oleh mazhab Shafi'i untuk menilai hukum-hakam dalam mazhab Maliki.

    Saya akan berikan anda satu contoh mudah yang selalu dijumpai pada hari ini. Kita akan melihat bagaimana terdapat sesetengah umat Islam yang berfikir bahawa mereka telah pun melakukan 'ijtihad' yang sangat hebat, dan melakukan kesimpulan sendiri berkenaan sesuatu hukum (setelah menyedari bahawa semua empat mazhab telah salah sejak 1424 tahun lamanya). Isu ini adalah berkaitan tentang di manakah sepatutnya meletakkan tangan semasa berdiri dalam solat.

    Hari ini agak mudah untuk melihat umat Islam yang meletakkan tangan di atas dada atau leher ketika berdiri dalam solat. Sebenarnya, kaedah sekian lama yang diamalkan lebih seribu tahun adalah meletakkan tangan di bahagian sedikit atas-atau-sedikit bawah dari paras pusat. Dan inilah cara yang dipersetujui dalam keempat-empat mazhab - dan bukannya di atas dada (kecuali bagi wanita mengikut pandangan mazhab Hanafi), dan sama sekali bukan di atas leher! (Sesetengah ulama mazhab Maliki berpendapat adalah sunnah untuk menyengetkan sedikit kedudukan tangan ke bahagian sisi badan).

    Namun demikian para Imam Mujtahid muda abad ke-21 lebih cerdik. Bagi mereka, kesemua pakar dalam empat mazhab tidak pernah buka kitab Fiqh al-Sunnah, satu kitab penting bagi yang ingin menjadi mujtahid! Malah kitab ini juga banyak terjemahannya bagi mujtahid yang jahil bahasa Arab! Kamu buka dan selak bab yang membincangkan: "Sunnah dalam Solat, Kedudukan Tangan" (jilid 1, halaman 132) dan kamu akan jumpa hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi yang menunjukkan bahawa Rasulullah sallahu alayhi wasalam bersolat dengan meletakkan tangannya di atas dada. Imam al-Tirmidhi mengatakan hadith ini hasan. Kamu juga akan dapat membaca hadith serupa yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaima dalam kitab Sahih Ibnu Khuzaima, yang mana beliau menarafkan hadith ini sahih.

    Nah, itu dia! Mujtahid muda ini telah pun membereskan kerjanya! Sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat hadith sahih tentangnya. (Padahal tak tahu pun siapa Ibnu Khuzaima ni...tapi macam penting aje orangnya!). Keempat-empat mazhab - Hanafi, Shafi'i, Maliki, dan Hanbali - telah salah. Dan selepas itu, si mujtahid muda ini kelihatan bersolat di masjid dengan meletakkan tangannya tinggi di atas dada, dan melihat dengan pandangan menghina kepada mereka yang 'bertaqlid membabi-buta' kepada mazhab.

    Sekarang kita akan melihat dengan mendalam akan 'dalil-dalil' yang diberikan dalam Fiqh al-Sunnah itu. Dan satu penemuan mengejutkan telah ditemui.

    Pertama sekali, bagi mereka yang betul-betul belajar kitab al-Jaami oleh Imam al-Tirmidhi, pasti akan sedar bahawa al-Tirmidhi TIDAK pernah sama sekali menyentuh hadith yang mana Rasulullah meletakkan tangannya di atas dada ketika solat! Apatah lagi menilainya sebagai hasan!! Ini adalah kesalahan yang sangat serius bagi pengarang Fiqh al-Sunnah.

    Kesilapan besar nombor dua: Walau pun Ibnu Khuzaima ada membawakan hadith tersebut dalam kitabnya, beliau TIDAK PERNAH menganggapnya ia sahih. Sebenarnya, Ibnu Khuzaima tidak langsung membuat sebarang komen tentang status hadith yang beliau muatkan di dalam kitabnya. Namun demikian, bagi sesiapa yang faham metodologi yang digunakan oleh Ibnu Khuzaima, pasti akan dapat melihat petunjuk-petunjuk yang boleh dijadikan inferens untuk menolak hadith ini sebagai hasan, apatah lagi sahih. Pertama, beliau tidak meletakkan hadith tentang meletakkan tangan di atas dada di bahagian awal bab (yang mana ini adalah kaedah lazim beliau dalam memberi isyarat tentang status hadith di dalam setiap bab). Kedua, beliau meletakkan hadith tersebut di bahagian akhir bab, yang mana ia menandakan kedaifannya.

    Sekarang, mari pula kita lihat sanad hadith ini yang menunjukan bahawa terdapat Mu'ammal ibnu Ismail, yang mana majoriti ulama hadith mengatakan bahawa dia adalah periwayat yang lemah, dengan menekankan bahawa beliau seorang yang tidak kuat daya ingatan! Imam Bukhari sendiri mengatakan belliau adalah 'munkar al-hadith', bermaksud hadith yang datang darinya adalah ditolak sama sekali! Terdapat kritikan yang lebih dalam tentang sanad hadith ini, tetapi kita tidak akan membincangkan dengan lebih dalam buat masa ini.

    Sekarang kita sudah pun nampak apa masalah sebenar. Mujtahid muda sebenarnya bukanlah seorang mujtahid sama sekali! Dia sekadar membaca satu bab dari Fiqh al-Sunnah dan menerima bulat-bulat dan bertaqlid apa yang dibacanya, tetapi telah merasakan dirinya telah membuat satu ijtihad mantap! Bayangkan berapa banyak lagi kesilapan ilmiah dalam kitab itu, dan kitab ini telah menjadi antara kitab paling popular di kalangan Muslim! Kesalahan yang dikorek dari kitab itu adalah begitu serius. Salah seorang dari guru saya pernah mengatakan bahawa kesalahan fakta dalam kitab Fiqh al-Sunnah itu bukannya kesilapan kecil yang kadang-kala akan dapat kita jumpa dalam tulisan-tulisan para ulama. Tetapi ia adalah bukti kejahilan mutlak pengarangnya, dan ia tidak boleh dimaafkan.

    Pada akhirnya nanti, realitinya kamu akan tetap menjadi muqallid, sama ada kamu sedar atau tidak. Untuk mengikut siapa adalah terpulang kepada kamu: sama ada pengarang Fiqh al-Sunnah, atau al-Albani, atau pun salah satu dari mazhab yang empat. Akhir sekali, mempelajari dan mengetahui dalil-dalil bagi hukum-hakam bukannya sesuatu yang salah, tapi ia mesti disesuaikan dengan konteks dan tempatnya.

    Sebarang komen boleh dibuat tentang isu ini, tetapi cukuplah bagi saya dengan apa yang telah diutarakan. Berdoalah kepada Allah agar Dia melindungi kita semua dalam payungan rahmat-Nya dan membimbing kita ke arah kebenaran dalam apa jua perkara. Semoga Dia memberikan kekuatan bagi kita untuk melakukan amalan yang dapat menggembirakan-Nya. Dan moga keamanan serta rahmat dicurahkan ke atas Rasulullah sallahu alayhi wasalam, ahli keluarganya, dan para sahabat Baginda. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekian alam.


    Ditulis oleh:
    Hamba kepada ilmu yang mulia,
    Ridhwan ibnu Muhammad Saleem, [bio]
    Damascus, Ramadhan 1424 H

    Diterjemahkan oleh:
    Tawel-Sensei,
    hembusan.blogspot.com
    30 Rejab 1427 H


    Nota Kaki

    [1] GCSE adalah singkatan bagi General Certificate of Secondary Education. Ia adalah peperiksaan yang diambil oleh pelajar sekolah berusia 14-16 tahun di Britain, Wales dan Northern Ireland.
    [2] Teori relativiti diperkenalkan oleh Albert Einstein.
    [3] A-Levels, singkatan Advanced Level adalah salah satu peperiksaan yang digunakan untuk memasuki sesebuah universiti. Kalau di Malaysia, ia setaraf STPM.
    [4] Bar examinations adalah peperiksaan bertulis yang wajib dilalui sebelum seseorang itu mendapat lesen untuk menjadi seorang peguam.
    [5] "This is the deen, not teen (fig)!!" Teen merujuk kepada pokok tiin. Rujuk Surah at-Tiin. Kata-kata ini mungkin diucapkan oleh guru beliau yang bernama Sheikh Muhammad al-Yaqoubi memandangkan gurunya ini turut fasih berbahasa Inggeris.

    ---

    Bacaan Tambahan

    1. "Refutation of those who follow other than the four legal schools" ("radd 'ala man ittaba'a ghayr al madhahib al arba'ah"), by Imam Ibn Rajab al-Hanbali (Arabic)

    2. "Non-madhabism: The most dangerous innovation threatening the Islamic Law" ("La madhhabiyyah: akhtar al-bid'ah tohaddidu al-sharee'ah al-islamiyyah"), by Shaykh Dr. Muhammad
    Said Ramadhan al-Buti (Head of the dept. of Sharee'ah, University of Damascus) (Arabic)

    3. "The legal status of following a madhhab", by Justice Shaykh Taqi 'Uthmani (Chief Qadi of Pakistan ) (English)

    4. "The Four Madhhabs", by Shaykh Abdul-Hakeem Murad (English)

    5. "Benefits of the sciences of jurisprudence" ("fawaa'id 'uloom al-fiqh"), introduction to "'ilaa ul-sunan", by Shaykh Kayranwi (Arabic)

    6. "Meaning of the saying of the Muttalibi Imam: 'If a hadith is authentic, then it is my madhhab'", ("ma'na qawl al-imam al-muttalib: itha sahha al-hadith fa huwa madhhabi"), by Shaykh ul-Islam, Imam Taqi ul-Deen al-Subki (Arabic)

    7. "Fatwa Concerning the Obligation of Following Rightly Guided Scholars", by Shaykh Murabit al-Haajj and Shaykh Hamza Yusuf (Arabic/English)

    Nota dari Penterjemah:

    1. Terjemahan ini tidak boleh dianggap sebagai satu terjemahan rasmi. Namun demikian, saya telah melakukan pemeriksaan berulang-kali bagi memastikan terjemahan dilakukan setepat mungkin. Jika anda menemui bahagian terjemahan yang kurang tepat berbanding artikel yang asli, silalah kemukakan kepada saya.

    2. Terjemahan ini dilakukan dengan membuat sedikit penambahan dan pengurangan pada sesetengah ayat, tetapi ia tidaklah menjejaskan dan mencacatkan maksud artikel yang asli.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    10 - Proses Mensahihkan Hadith

    02 Mei 2006 • 0 Komen
    Imam mujtahid adalah tidak sama seperti orang awam dari segi tahap penguasaan ilmu Al-Quran dan hadith, atau pun juga dari aspek mengeluarkan hukum-hakam dalam Islam. Perbezaan di antara orang awam dan para Imam mujtahid juga dapat dilihat melalui kaedah yang digunakan dalam menentukan kesahihan sesuatu hadith.

    Bagi orang awam yang ingin mencari dan menentukan taraf sesuatu hadith, biasanya mereka akan meneliti sama ada hadith tersebut wujud dalam kitab Sahih Bukhari, Sahih Muslim, atau pun kitab-kitab Sunan hadith yang lain seperti Sunan Abu Daud dan Sunan al-Tirmidhi. Dengan kata lain, orang awam sekadar bertaqlid kepada hadith-hadith yang ada dalam kitab-kitab hadith tersebut. Atau pun juga, apabila ada ulama hadith yang mengatakan hadith sekian-sekian adalah sahih, maka orang awam juga akan mengatakan hadith itu sahih - ini juga taqlid.

    Namun demikian, seorang imam mujtahid tidak melakukan perkara ini. Mereka tidak bertaqlid kepada mana-mana ulama hadith. Mereka menentukan sendiri (berijtihad) apakah taraf hadith yang digunakan untuk mengeluarkan hukum-hakam dalam Islam. Oleh itu, jika ada mana-mana hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, atau Imam Muslim dan lain-lain periwayat hadith, yang kelihatan bertentangan dengan hadith-hadith yang digunakan oleh imam mujtahid mutlak (sebagai contoh Imam Abu Hanifah dan Imam Shafi'i), sebenarnya ia tidaklah boleh dijadikan hujah konkrit bagi menolak hadith yang digunakan oleh para imam mujtahid tersebut. Mengapa?

    Seperti mana wujudnya khilaf dalam proses pengeluaran hukum fiqh, begitu jugalah yang berlaku dalam menentukan taraf sesuatu hadith. Walau bagaimanapun, kita mestilah sedar bahawa khilaf di antara mazhab secara perbandingannya adalah kecil - tetapi jangan lupa bahawa khilaf tersebut tetap wujud. Di kalangan para ulama hadith pula, kaedah yang digunakan bagi menentukan dan menilai isnad sesuatu hadith juga ada sedikit berbeza. Perbezaan yang sedikit inilah yang menjadi jawapan mengapa para ulama hadith membuat penilaian yang berbeza pada hadith yang sama.

    Kepentingan Memahami Konsep Ini

    Kita mestilah sedar bahawa seorang imam mujtahid tidak boleh bertaqlid kepada ijtihad ulama lain tentang taraf sesuatu hadith. Oleh itu, ijtihad ulama hadith hari ini - sebagai contoh mereka mengatakan ada hadith daif di dalam Sahih Bukhari, atau pun mereka memberikan taraf maudhuk kepada hadith hasan di dalam kitab Sunan al-Tirmidhi - sebenarnya ia tidaklah boleh dijadikan hujah bagi kita untuk menolak hadith-hadith tersebut. Ulama hadith yang terdahulu berijtihad mengikut kaedahnya yang tersendiri bagi menentukan taraf sesuatu hadith.

    Konsep ini perlulah difahami dengan sempurna bagi sesiapa yang ingin menjadi ulama hadith. Zaman kini, para ulama hadith adalah tidak setaraf dengan para ulama hadith zaman silam - sama ada dari segi penguasaan ilmu sains hadith atau pun tahap hafazan hadith. Oleh itu, pakar hadith zaman sekarang perlulah lebih berhati-hati dalam usaha menilai semula taraf sesuatu hadith.

    Bab-bab yang berikutnya akan memberikan contoh-contoh khilaf yang wujud dalam proses menentukan kesahihan sesuatu hadith. Nantikan sambungannya. InsyaAllah. Sila juga baca bab-bab yang sebelumnya:
    1. Mengapa Perlu Bermazhab?
    2. Memahami Al-Quran & Sunnah
    3. Kriminal Dalam Ijtihad
    4. Kriminal Dalam Ijtihad II
    5. Kehandalan Para Imam Mujtahid
    6. Kehandalan Para Imam Mujtahid II
    7. Jangan Pandai-Pandai Ijtihad
    8. Taqlid Kepada Mazhab
    9. Taqlid Kepada Mazhab II
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Pegang Al-Quran Tanpa Wudhuk

    19 April 2006 • 17 Komen
    Saya perhatikan, begitu banyak tulisan-tulisan yang membincangkan tentang hukum menyentuh Al-Quran tanpa wudhuk. Selalunya ia akan membawa kepada kekeliruan dan kecelaruan fiqh bagi orang awam. Perdebatan untuk 'menghalalkan' memegang mushaf Al-Quran tanpa wudhuk ini hanya akan menambahkan lagi isu remeh dalam dunia Islam yang sudah pun bertimbun-timbun.

    Oleh kerana saya sedar hampir 100% yang datang ke blog ini adalah orang awam - dan tiada para Imam mujtahid atau ulama besar yang melawat blog ini, maka adalah lebih mudah dan selamat untuk saya menulis bahawa: Hukum menyentuh Al-Quran tanpa wudhuk adalah haram. Inilah pegangan dari keempat-empat mazhab - baik mazhab Hanafi, mazhab Maliki, mazhab Shafi'i dan juga mazhab Hanbali. Pendapat yang membolehkan memegang Al-Quran tanpa wudhuk dalam keadaan tidak darurat, maka ia bukanlah dari pendapat majoriti ulama.

    Maka saya menyeru agar perdebatan yang tidak signifikan itu dihentikan. Berdebat pada perkara yang menjadi ijmak ulama adalah perbuatan yang sangat membuang masa - lebih-lebih lagi bagi orang awam seperti kita semua. Allahu 'alam.

    Bagi yang faham Bahasa Inggeris, boleh baca artikel sokongan:

    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sambut Birthday Nabi

    09 April 2006 • 17 Komen

    Lyric for this chapter can be found here.


    Mawlid Nabi, Birthday Nabi, dan juga Maulidur Rasul membawa erti yang sama sahaja. Tulisan ringkas saya kali ini sekadar ingin membantu menjernihkan fikiran sesiapa sahaja yang sudah terkeliru dengan dakwaan "Menyambut Maulidur Rasul adalah satu bida'ah". Penuduhan di sini sudah tentulah merujuk kepada bida'ah yang sesat atau pun dipanggil sebagai bida'ah dhalalah.

    Saudara seIslamku, berhati-hatilah dalam menjatuhkan hukum bida'ah pada sesuatu perkara. Bila anda mengatakan bahawa saudara seIslam telah melakukan bid'aah, maka ketahuilah bahawa anda sebenarnya telah mengatakan bahawa saudara kita itu akan dimakan oleh api Neraka. Jangan main-main saudara! Nabi saw pun tak mahu lihat umatnya dijilat api Neraka.

    Oleh kerana saya masih tidak menyentuh isu bid'aah secara spesifik, maka saya tidak ingin lagi mengulas panjang tentangnya. Saya ingin membawa pendapat Dr Yusuf al-Qardawi tentang sambutan Maulid Nabi. Kata beliau:
    "Actually, celebrating the Prophet's birthday means celebrating the birth of Islam.......We need all these lessons and such celebrations are a revival of these lessons and values. I think that these celebrations, if done in the proper way, will serve a great purpose, getting Muslims closer to the teachings of Islam and to the Prophet's Sunnah and life". [1]

    Dan ini pula pendapat Ibnu Taimiyyah berkenaan Maulid Nabi seperti mana yang ditulis dalam kitabnya bertajuk Iqtida' Al Sirat Al Mustaqeem (halaman 266):
    "Likewise, what some people have innovated, in competition with the Christians in celebrating the birth of Jesus, or out of love and veneration of the Prophet, that the predecessors didn't do, even though there is a reason for it, and there is nothing against it."[2]

    Jadi Boleh Sambut atau Tidak?

    Sudah tentulah boleh. Walau pun ada pihak terutamanya yang berfahaman Wahhabi, yang mengatakan ia adalah bida'ah yang sesat, pandangan tersebut sebenarnya bukanlah datang dari pandangan ahlus sunnah wal Jamaah.

    Pemahaman Wahhabi tentang konsep bida'ah dalam Islam sebenarnya sangat sempit dan berlawanan dari apa yang telah disepakati oleh para ulama kita. Sebab itulah mereka ini pernah mengatakan bahawa menutupi bahagian dinding Raudhah di Masjid Nabawi dengan kain adalah satu perkara bida'ah. Maka mereka menghalang penggantian kain baru bagi menggantikan kain lama yang sudah sampai tahap koyak-rabak [3]. Pemahaman konsep bida'ah seperti ini adalah tersangat ekstrim. Maka anda tidak perlu hairan kalau mengetahui ada rakyat Arab Saudi yang menganggap tali pinggang keledar sebagai satu bida'ah. [4]

    Pandangan Peribadi Saya

    Saya tahu bahawa kadang-kala ada perkara yang lagha dan haram yang diselitkan dalam sambutan Maulidur Rasul. Dan ini sudah tentulah berlawanan dengan sunnah. Akan tetapi, menyalahkan sambutan Maulid Nabi hanya kerana wujud perkara lagha dan haram di dalamnya, adalah satu perkara yang tidak adil.

    Kalau dalam majlis sambutan Maulidur Rasul ada dijemput wanita untuk menyanyi, kamu janganlah nak tuduh sambutan itu salah dan sesat. Sebaliknya, pihak penganjurlah yang kita kena persalahkan. Kita sebenarnya kena beri pendidikan Islam sepanjang hayat kepada golongan manusia seperti pihak penganjur sambutan tersebut yang masing kurang ilmunya, hatta pada perkara-perkara yang asas dan simple.

    Sebagai contoh lain, kalau dalam kenduri kahwin ada acara karaoke dan joget lambak sampai subuh, kita nak salahkan yang mana? Kenduri atau joget lambak? Kita umat Islam mestilah tahu apa yang prioriti dan apa yang bukan.

    Bulan ini bulan baik. Maka marilah kita bersama-sama mengurangkan aktiviti bida'ah ya :) Konsep bida'ah ini memang salah satu syariat Islam. Tapi jadilah umat Islam yang bijak dalam menjatuhkan hukum bida'ah yang sesat dalam sesuatu perkara. Ingat pesan saya - bila kamu kata seseorang itu buat bida'ah, maka kamu dah halalkan api Neraka untuknya. Berhati-hati.

    Nota Kaki

    [1] Sila rujuk Mufti Islam Online Fatwa Committee, Date 19/Apr/2001, Fatwa ID: 34150. URL asal bagi fatwa tersebut pada ialah: http://islamonline.net/fatwa/english/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=34150

    Tetapi nampaknya url tersebut akan re-direct ke url lain yang tidak spesifik. Saya kira ia satu perubahan teknikal. Saya menjumpai semula rujukan pendapat penuh Dr Yusuf Qardawi di sini. Saya sediakan dua lagi back-up link kalau-kalau url di Islam Online itu berubah lagi. Rujuk INI dan INI.

    [2] Untuk membaca lebih banyak pendapat-pendapat ulama terbilang yang menyokong Maulid Nabi, sila rujuk artikel Fatawa of the Rightly Guided Imams on Mawlid yang diambil dari majalah The Muslim Magazine. Perhatikan juga bahawa pada petikan kata-kata Ibnu Taimiyyah dalam bahasa Inggeris tersebut, istilah 'innovated' digunakan. 'Innovated' berasal dari perkataan 'innovate', iaitu mengadakan sesuatu yang baru - atau pun dalam bahasa Arab disebut bida'ah. Maka dalam hal ini, jelaslah bahawa Ibnu Taimiyyah juga tidak menganggap Maulid Nabi sebagai bida'ah dhalalah.

    [3] Rujuk kitab Tarikh al-Madhahib al-Islamiyya oleh Almarhum Imam Muhammad Abu Zahra. Beliau merupakan bekas Sheikhul Azhar dan juga pakar dalam bidang 'usul. Ringkasan isi penting berkaitan Wahhabbi dalam kitab tersebut telah dilakukan oleh Sheikh Gibril F Haddad.

    [4] Berhati-hati dengan laman web Muslim WakeUp kerana laman ini sebenarnya mempromosikan Islam Liberal. Amina Wadud yang menjadi imam wanita dalam solat Jumaat dan sekaligus menjadi contoh terbaik kalau nak menunjukkan bida'ah dhalalah, mendapat publisiti yang 'sangat baik' di laman Muslim WakeUp. Saya memetik artikel dari laman tersebut, iaitu, The Seatbelt as Bid'ah (Religious Innovation) and the Destruction of Muslim History kerana melihat tiada sebarang unsur promosi Islam Liberal di dalamnya.

    ---
    Artikel Tambahan:
    - Mengapa Mencintai Rasulullah?
    - Menyambut Perayaan Maulidur Rasul.

    Al-Joofre ada membuat satu artikel bersiri tentang Sambutan Maulid Nabi:
    Siri 1 | Siri 2 | Siri 3 | Siri 4 | Siri 5 | Siri 6 | Siri 7 | Siri 8 | Siri 9 | Siri 10 | Siri 11 | Siri 12 | Siri 13 | Siri 14 | Siri 15 | Siri 16 | Siri 17 | Siri 18 | Siri 19 | Siri 20
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Portal Astora Jabat

    25 Mac 2006 • 37 Komen
    Sudah beberapa purnama saya tidak menjenguk Portal Astora Jabat. Tapi hari ini saya telah melawatnya. Bila dah lawat, terasa ingin berkongsi sesuatu pula - walaupun saya tidak berniat untuk update blog ini dalam masa terdekat.

    Saya petik beberapa komen dari ahli-ahli forum di sana:
    1- Saya tidak meyakini hadis tetapi saya tetap yakin Nabi Muhamad saw itu seorang rasul Allah. Saya sentiasa cuba memahami sunnah baginda saw dan saya tidak ada masalah menerimanya. Bagi saya hadis dan sunnah adalah dua perkara yang berbeza, walaupun ASWJ telah memudahkan kedua-dua menjadi satu.

    2-
    Hi poyang, quran terpelihara, hadis tidak. so jika anybody quote from quran, tentulah boleh dipercayai. kalau from hadis susahlah sebab yang mengumpulnya bukan maksum. if human is not perfect, tentu kesilapan boleh berlaku. yg pentingnya ialah ensure that hadis itu selari dgn quran, jangan menyeleweng dari the spirit of quran.

    3-
    sori bro neutral, saya bukan anti hadis. kalau saya anti hadis, Imam Bukhari pun anti hadis jugak lah. sebab dia pun banyak menapis hadis-hadis yang tak betul sebelum memuatkan dalam bukunya. Saya percaya Nabi Muhamad's role as an example. dan hadis yang sahih. tapi yang tak sahih tu banyak! jgn cepat melabelkan orang. hadis tentang melabelkan orang pun ada. tak baca?
    Saya ingin menulis panjang tentang hal ini. Malangnya masa tidak mengizinkan. Cukuplah buat masa ini bagi saya menyatakan bahawa golongan Islam Liberal (seperti Pakcik Astora Jabat) dan anti-hadith wajib kita tentang. Tolak apa-apa sahaja yang datang dari mereka. Tapi kalau apa yang mereka utarakan adalah sama seperti yang disepakati oleh para ulama ahlus sunnah wal-jamaah, maka kita harus terima. Kita mesti tolak yang batil dari mereka.

    Kita selaku ahlus sunnah wal jamaah wajib percaya pada Al-Quran dan hadith (bukan sekadar terima Al-Quran dan tolak hadith). Kita tidak memerlukan penilaian semula hadith, seperti mana yang dikokokkan oleh Kassim Ahmad, iaitu Bapa Anti-Hadith Malaya. Para ulama yang mengumpulkan hadith, dan kemudian membahagikan pula hadith-hadith tersebut kepada sahih, hasan, maudhuk, daif dan sebagainya, tidaklah melakukan satu kerja main-main. Mereka telah mencipta satu disiplin ilmu hadith yang sangat tinggi, yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana bangsa pun sebelum itu.

    Sejak kurun ke-7 Islam lagi, para ulama ahlus sunnah wal jamaah telah bersepakat bahawa sesahih-sahih kitab selepas Al-Quran ialah kitab hadith sahih yang ditulis oleh Imam Bukhari dan Muslim. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ibnus Sholah dalam kitabnya Muqaddimah fi 'Ulumil Hadith. Ijmak ulama dalam hal ini juga tidak dibuat sekadar melepaskan batuk di tangga. Tolonglah yakin dengan ijmak ulama. Siapalah kita ini kalau hendak dibandingkan dengan mereka yang sudah tentu lebih alim, warak, dan bertaqwa kepada Allah.

    Janganlah kita hendak menentang ijmak ulama dengan menyatakan: "Mereka juga manusia biasa. Boleh buat silap". Ya, mereka memang boleh buat silap. Tapi jangan lupa juga yang kita ini pun manusia yang boleh buat silap. Tapi ilmu kita tidak setinggi dan sehebat mereka. Dan ijmak itu pula dibuat melalui perbincangan dan muzakarah sesama mereka - ia bukan kesimpulan dari seorang ulama sahaja. Kita ini yang baca Al-Quran pun masih merangkak-rangkak, hadith pula sekadar baca versi terjemahan, kalau tahu bahasa Arab pula jenis Arab rojak dan bukan pula Arab fuhshah, maka janganlah nak jadi hero buat ijtihad untuk menentang pendapat majoriti. Jadi, janganlah kita menolak hadith. Hadith itu salah satu sumber perundangan Islam.

    Mengapa Ia Berlaku?


    Bagi saya, hal ini berlaku kerana semakin berleluasanya slogan yang menganjurkan umat Islam membuka semula pintu ijtihad. Mereka dakwa umat Islam makin jumud dan mundur kerana menutup pintu ijtihad.

    Inilah fitnah akhir zaman. Terlalu ramai sangat nak jadi imam mujtahid. Mujurlah tiada rancangan televisyen seperti Akademi Mujtahid atau pun Mujtahid Idol. Kalau tidak makin parah jadinya. Ketahuilah bahawa para ulama ahlus sunnah wal jamaah tidak pernah pun menutup pintu ijtihad. Pintu ijtihad dibuka setiap masa sehinggalah hari kiamat. Yang menjadi persoalan adalah siapa yang layak memasuki pintu tersebut. Bukan semua budak lepasan sekolah menengah boleh buat bidang perubatan. Hanya yang benar-benar layak sahaja boleh memasukinya. Kalau pun ada budak lepasan SPM yang buka klinik perubatan (iaitu menjadi doktor tidak bertauliah dan tanpa lesen), anda berani nak pergi jumpa dia?

    Begitu juga dengan ijtihad. Slogan yang menganjurkan keterbukaan ijtihad tidak boleh kita sebar-sebarkan kepada orang awam. Jadi saya minta tolong pada anda yang baca artikel ini supaya menerima pendapat ulama yang mewajibkan orang awam untuk bertaqlid. Jangan nak kata bertaqlid ini haram. Kita bertaqlid kepada mazhab maksudnya kita bertaqlid kepada ulama yang mahir dan berkebolehan untuk mengeluarkan fatwa.

    Kalau nak kata haram juga, maka anda janganlah marah pula kepada pakcik Astora Jabat kalau dia tak mahu bertaqlid kepada ijmak ulama yang mengatakan bahawa azab kubur itu wujud dan wajib diyakini oleh semua umat Islam. Dan janganlah pula nak melenting bila Astora Jabat berijtihad bahawa rambut wanita bukan aurat. Dan janganlah pula nak melatah bila Zainudin Idris menulis dalam majalah Al-Islam (iaitu majalah yang dikepalai oleh Astora Jabat), yang mana beliau berijtihad bahawa anggota yang wajib ditutup (aurat) hanyalah dua kemaluan sahaja (qubul dan dubur) sama ada lelaki atau perempuan.

    Jadi anda telah dapat lihat betapa bahayanya kalau kita menyeru orang awam dan juga orang yang cetek ilmu supaya tidak bertaqlid kepada mazhab, sebaliknya membuat ijtihad sendiri. Kesimpulan: Mari kita tentang fahaman Islam Liberal yang cuba diresapkan oleh Astora Jabat dan konco-konconya ke dalam masyarakat Malaysia khususnya.

    ---
    JALAN-JALAN:
    - Majalah Q-News. Laman web ini memang best sebab pelawat boleh baca back issue majalah Q-News (tapi tak semua ada). Majalah ini ada dijual di Malaysia. Tapi kena pandai-pandai cari. Saya pun tak pasti di mana ada jual. Ada sesiapa yang tahu?
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    9 - Taqlid Kepada Mazhab II

    25 Februari 2006 • 18 Komen
    Kita telah pun memahami maksud sebenar kata-kata Imam Abu Hanifah, iaitu: "Adalah haram bagi mereka yang tidak mengetahui dalil-dalil ku untuk menyatakan pandanganku sebagai satu fatwa". Bab kali ini akan memperjelaskan pula kata-kata Imam Shafi'i: "Apabila sesuatu hadith itu sahih, maka itulah mazhab ku".

    Hari ini, kata-kata Imam Shafi'i sering dimanipulasi oleh sesetengah golongan yang sering mengkritik mazhab yang empat. Golongan ini cuba menerangkan bahawa apabila seseorang berjumpa dengan mana-mana hadith sahih yang bertentangan dengan pandangan mazhab yang diikuti, maka hadith sahih itu mestilah diberikan keutamaan dan mazhab perlu ditolak. [1]

    Sebenarnya, mereka sangat jahil tentang maksud sebenar kata-kata tersebut. Seperti mana Imam Abu Hanifah, Imam Shafi'i juga tidak menujukan kata-katanya itu kepada orang awam - sebaliknya hanya kepada para ulama yang setaraf dengannya. Para ulama terbilang menjelaskan bahawa:
    Kata-kata Imam Shafi'i tersebut ditujukan kepada ulama yang berkemampuan untuk membezakan hadith-hadith yang hasan atau tidak hasan, dan hadith-hadith yang memansuhkan atau yang dimansuhkan. Malah, mereka juga berkemampuan untuk mengeluarkan hukum dari dalil-dalil yang ada secara kolektif, mengikut kaedah fiqh yang ada. [2]

    Salah satu sebab mengapa kesimpulan ini dibuat adalah kerana Imam Shafi'i dikenali sebagai seorang ulama yang tidak memahami sesuatu dalil dari Al-Quran dan hadith dari sudut luaran sahaja. Rumusan-rumusan oleh Imam Shafi'i seringkali berdasarkan maksud tersirat dalil-dalil yang diketahuinya.

    Oleh itu, jelaslah kini bahawa Imam Shafi'i hanya menujukan kata-katanya itu kepada seseorang yang mampu berijtihad yang setaraf dengannya. Malah, kalau pun golongan yang mampu berijtihad ini ingin mendakwa bahawa Imam Shafi'i telah terlepas pandang beberapa hadith sahih, mereka mestilah benar-benar yakin bahawa Imam Shafi'i memang tidak tahu hadith sahih tersebut atau pun tidak tahu bahawa taraf sesuatu hadith itu sebenarnya adalah sahih. Dan hal ini hanya boleh dilakukan dengan mentelaah semua kitab-kitab Imam Shafi'i dan juga kitab-kitab lain yang dikarang oleh anak-anak murid beliau. Syarat-syarat ini sebenarnya adalah amat sukar untuk dipenuhi pada hari ini.

    Namun demikian, untuk mendakwa bahawa Imam Shafi'i terlepas pandang mana-mana hadith sahih adalah satu perkara yang agak mustahil. Ia turut diakui mustahil oleh Imam Nawawi kerana ilmu pengetahuan Imam Shafi'i adalah sangat luas dan dalam [3].

    Dalam bab Kehandalan Para Imam Mujtahid, kita telah pun mengetahui pandangan seorang anak murid Imam Shafi'i iaitu Imam Ahmad Bin Hanbal, tentang jumlah hadith yang perlu diketahui sebelum seseorang itu boleh bergelar ulama fiqh. Dalam kes ini, Imam Ahmad Bin Hanbal, tanpa perlu dipersoalkan lagi, telah mengiktiraf kefaqihan Imam Shafi'i sebagai seorang ulama memandangkan Imam Shafi'i adalah guru kepadanya. [4]

    Ibnu Khuzayma yang dikenali sebagai 'Imam Segala Imam' kerana kehebatannya dalam jumlah hadith yang dihafaznya, telah ditanyakan soalan: "Apakah engkau tahu sebarang hadith sahih yang tidak dimuatkan oleh Imam Shafi'i di dalam kitab-kitabnya?" Ibnu Khuzayma menjawab, "Tidak". [5] Imam Dhahabi pula berkata, "Imam Shafi'i tidak pernah membuat satu kesilapan dalam ilmu hadith". [6]

    Maka jelaslah bahawa kata-kata Imam Shafi'i itu membawa pengertian yang logik dan bermakna hanya apabila ia ditujukan kepada para ulama yang setaraf dengan beliau.

    InsyaAllah bersambung dalam bab Proses Mensahihkan Hadith. Bab ini sebenarnya sangat panjang, dan ia akan dipecahkan kepada beberapa sub-bab.

    Sila baca bab-bab yang lepas supaya anda jadi lebih faham:
    1. Mengapa Perlu Bermazhab?
    2. Memahami Al-Quran & Sunnah
    3. Kriminal Dalam Ijtihad
    4. Kriminal Dalam Ijtihad II
    5. Kehandalan Para Imam Mujtahid
    6. Kehandalan Para Imam Mujtahid II
    7. Jangan Pandai-Pandai Ijtihad
    8. Taqlid Kepada Mazhab

    Nota Kaki

    [1] Kalaulah pendapat golongan ini hendak diterima, maka cuba pertimbangkan hadith sahih Nabi pulang dari Khaibar yang telah pun diperjelaskan dalam bab Kriminal Dalam Ijtihad II.

    [2] Rujuk Sheikh al-Islam Taqi al-Din al-Subki's, Ma'naa Qawl al-Imam al-Muttalibi Idhaa Sahha al-Hadithu Fahuwa Madhhabi; Ibn al-Salah's Adab al-Mufti wa al-Mustafti; dan jilid pertama al-Majmu': Sharh al-Muhadhdhab oleh Imam Nawawi.

    [3] Rujuk bahagian Nota Al-Maqasid, Nawawi's Manual of Islam yang diterjemahkan oleh Sheikh Nuh Ha Mim Keller.

    [4] ibid.

    [5] Abu Zakariya ibnu Yahya ibnu Sharaf An-Nawawi, Abu Ishaq al-Shirazi, dan Taqi al-Din al-Subki. al-Majmu': Sharh al-muhadhdhab.

    [6] Tajuddin al-Subki. Tabaqaat al-Shaafiyya al-Kubra. Diedit oleh Abdul Fattah Muhammad al-Halu dan Mahmud Muhammad al-Tanahi.

    ---
    KOMEN YANG PERLU DIBERIKAN PERHATIAN!
    Dalam bab Taqlid Kepada Mazhab, seorang pembaca yang bernama Ustzul telah memberikan satu komen. Sekali lagi beliau telah memberikan komen ke atas bab tersebut. Sila baca komen tersebut, dan juga komen saya ke atas komen beliau. KLIK SINI
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    8 - Taqlid Kepada Mazhab

    04 Februari 2006 • 13 Komen
    Beritahu saya apa yang anda faham dengan kenyataan Imam Shafi'i yang berikut: "Apabila sesuatu hadith itu sahih, maka itulah mazhab ku." Adakah ia bermaksud apabila anda berjumpa dengan mana-mana hadith sahih yang kelihatan bertentangan dengan pandangan ulama dari mazhab Shafi'i, maka anda harus mengabaikan mereka, dan ikut sahaja hadith tersebut, kerana anda menyangka para ulama mazhab Shafi'i jahil tentang hadith itu? Awas saudaraku!

    Mari kita lihat firman Allah swt di dalam Surah An-Nisa', ayat 83, yang bermaksud: "....kalaulah mereka merujuknya kepada Rasulullah saw dan kepada orang-orang yang berkelayakan dari kalangan mereka, maka tentulah orang-orang yang tugasnya mencari kebenaran dapat mencari (kebenaran itu) ..."

    Pertimbangkan ayat "orang yang tugasnya mencari kebenaran", atau di dalam bahasa Arabnya alladhina yastanbitunahu, merujuk kepada golongan yang mampu membuat inferens dan kesimpulan daripada dalil-dalil Al-Quran dan hadith. Dalam bahasa Arab, proses ini dipanggil istinbat. Dari perkataan istinbat inilah terbitnya perkataan yastanbitunahu.

    Seseorang yang sudah mencapai tahap ini sudah boleh mengeluarkan kesimpulan dari dalil-dalil yang ada. Mereka ini adalah golongan yang tidak perlu bertaqlid kepada mana-mana ulama. Taqlid di sini bermaksud mengikut kesimpulan para ulama lain tanpa mengetahui dalil-dalil yang digunakan oleh ulama tersebut. Inilah peraturan yang diperjelaskan dalam kitab-kitab yang menerangkan kaedah-kaedah fiqh - peraturan ini dinamakan Laysa li al-'alim an yuqallid. Maksudnya, 'Seorang alim (iaitu seorang imam mujtahid yang sudah boleh beristinbat seperti yang dirujuk dalam ayat Al-Quran di atas) tidak boleh sekadar mengikut begitu sahaja pandangan para ulama yang lain' [1]. Dengan kata lain, adalah tidak dibenarkan bagi seseorang mujtahid untuk mengikut imam mujtahid yang lain, melainkan dia tahu dalil-dalil yang digunakan, dan dia mesti bersetuju dengan dalil-dalil tersebut.

    Imam Mujtahid yang utama (iaitu pengasas mazhab yang empat) telah melatih beberapa para ulama yang sudah sampai tahap mampu beristinbat. Contohnya, Imam Shafi'i melatih Imam Muzani. Imam Abu Hanifah pula melatih Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad ibnu al-Hasan al-Shaybani. Pada para pelajar yang seperti inilah Imam Abu Hanifah menujukan kata-katanya: "Adalah haram bagi mereka yang tidak mengetahui dalil-dalil ku untuk menyatakan pandanganku sebagai satu fatwa" [2] dan "Haram bagi seseorang untuk memberikan pendapatku sebagai satu fatwa, melainkan dia tahu dari mana aku mengambil dalil-dalilnya." [3]

    Hari ini telah wujud golongan yang suka mencari masalah, dengan memetik kata-kata Imam Abu Hanifah tersebut secara sambil lewa, seolah-olah kata-kata Imam Abu Hanifah itu ditujukan kepada orang awam - padahal ia ditujukan kepada para pelajarnya yang terlatih. Jika adalah menjadi sesuatu yang haram bagi seorang tukang kayu, nelayan, jurutera, doktor dan sebagainya, untuk melakukan sebarang amal ibadah, sebelum mereka menguasai keseluruhan Al-Quran dan ribuan hadith, di samping turut mahir dalam kaedah-kaedah fiqh untuk memahami Al-Quran dan hadith dan juga untuk menggabungkan dalil-dalil yang ada secara komprehensif, maka mereka hanya ada 2 pilihan - sama ada meletakkan jawatan mereka sebagai jurutera, doktor dan sebagainya, atau pun meninggalkan agama mereka.

    Imam Abu Hanifah sendiri tahu betapa peritnya mencari ilmu. Maka, oleh kerana itulah beliau menujukan kata-katanya yang sering disalah faham itu hanya kepada anak-anak muridnya yang mampu beristinbat. Beliau tidak menujukannya kepada orang awam. Sesiapa yang memetik kata-kata Imam Abu Hanifah ini kepada orang-orang awam, untuk meyakinkan mereka bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi orang awam yang sekadar bertaqlid membabi buta kepada segala rumusan dan kesimpulan yang dibuat oleh para ulama, patut berhenti dan berfikir buat seketika betapa gila kerja ini!

    Apakah mereka ini tidak tahu bagaimana Imam Abu Hanifah menghabiskan seluruh usianya mencari ilmu, dan kemudian menulis kitab-kitab yang menyimpulkan hukum-hukum fiqh yang beliau istinbatkan dari Al-Quran dan hadith. Beliau menulisnya supaya orang awam dapat menjadikannya panduan dan ikutan - iaitu supaya orang awam bertaqlid kepada beliau yang lebih mahir dalam perkara keagamaan.

    Hari ini wujud golongan yang marah tidak tentu fasal kepada orang awam yang bertaklid kepada mazhab. Ini sesuatu yang tidak wajar. Kita telah bertaqlid kepada mazhab yang empat dari generasi ke generasi. Apakah menjadi satu dosa bertaqlid kepada manusia yang sudah benar-benar mahir dalam bidangnya? Kalau benar bertaqlid ini haram mutlak, maka silalah beritahu saya apakah dalil-dalil dari Al-Quran dan hadith yang mengatakan syarat sah mandi junub cuma:
    1. Niat; dan
    2. Meratakan air ke seluruh badan.
    Boleh anda jawab soalan ini sekarang tanpa perlu terkial-kial nak selak Al-Quran dan kitab-kitab hadith? Kalau anda diberi masa 24 jam, belum tentu anda mampu mencari kesemua dalil-dalilnya. Kalau anda tidak boleh menjawab soalan tersebut secara spontan, ini bermakna anda telah pun bertaqlid dan anda telah pun melakukan sesuatu yang haram (jika anda berkeras mengatakan bahawa kata-kata Imam Abu Hanifah itu ditujukan kepada semua orang, dan bukan kepada anak muridnya sahaja). Ini baru bab mandi hadas, tanpa mengira bab solat, puasa, zakat, haji, pembahagian harta pusaka, dan lain-lain. Bolehkah anda memberitahu kepada diri anda sendiri semua dalil-dalil tentang ibadat yang anda lakukan selama ini?

    Dunia ini tidak diciptakan supaya semua orang memahami agama ini dengan begitu mendalam, seperti mana yang dilakukan oleh Imam Shafi'i, Imam Abu Hanifah, dan sebagainya. Sila baca bab Memahami Al-Quran & Sunnah untuk memahami konsep pembahagian tugas.

    Bersambung dalam bab Taqlid Kepada Mazhab II. Bab ini akan menerangkan satu lagi salah faham sesetengah umat Islam kepada kata-kata Imam Shafi'i yang disebutkan pada awal tadi.

    Sila baca bab-bab yang sebelumnya mengikut urutan:
    1 - Mengapa Perlu Bermazhab?
    2 - Memahami Al-Quran & Sunnah
    3 - Kriminal Dalam Ijtihad
    4 - Kriminal Dalam Ijtihad II
    5 - Kehandalan Para Imam Mujtahid

    6 - Kehandalan Para Imam Mujtahid II
    7 - Jangan Pandai-Pandai Ijtihad


    NOTA KAKI
    [1] Abdul Ma'ali al-Juwayni dan Jalaluddin al-Mahalli, Sharh al-Waraqat fi 'ilm usul al-fiqh
    [2] Muhammad al-Hamid, Majmu'a rasa'il al-Shaykh Muhammad al-Hamid
    [3] ibid.

    --------------------------
    UPDATE:
    Merujuk kepada pos Autosurf Menyerang!, baru-baru ini ada berita hangat tentang 12 Daily Pro yang konon-kononnya didakwa sebagai the most trusted autosurf. Sila ke Muslim Diary untuk melihat link video-video klip tentang:
    - BYU Dean Warns Students About Moneymaking (12 Daily Pro)
    - 12 Daily Pro Shuts Down; Investors Wait For Money?
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    7 - Jangan Pandai-Pandai Ijtihad

    28 Januari 2006 • 1 Komen
    Contoh-contoh yang diberikan dalam bab Kehandalan Para Imam Mujtahid Bahagian 1 dan 2, hanyalah memperlihatkan beberapa metodologi fiqh yang wajib diketahui oleh seseorang mujtahid untuk memahami dalil-dalil daripada Al-Quran dan hadith, dan seterusnya menggabungkan dalil-dalil tersebut secara lengkap dan komprehensif bagi mendatangkan sesuatu hukum.

    Dalam bab Kehandalan Para Imam Mujtahid, kita telah berjumpa dengan hadith sahih tentang Nabi saw mendedahkan pehanya sewaktu pulang dari Khaibar, yang mana ia bertentangan dengan beberapa hadith lain, yang mana Nabi saw telah menyuruh para Sahabat supaya menutup peha kerana ia adalah sebahagian dari aurat. Masalah ini telah pun diselesaikan dengan menggunakan kaedah fiqh: "Arahan lisan yang jelas dari Nabi Muhammad saw diberikan keutamaan daripada amalan/kelakuan/tindak-tanduk Baginda saw."

    Prinsip fiqh yang kedua, takhsis atau pun batasan, digunakan untuk membataskan hukum yang umum, supaya ia menjadi lebih spesifik. Dalam bab Kehandalan Para Imam Mujtahid II, contoh prinsip takhsis ini telah ditunjukkan dalam hal yang berkaitan tentang makanan golongan Ahli Kitab. Prinsip yang ketiga ialah nasikh wa mansukh, iaitu "hukum yang awal dimansuhkan oleh hukum yang terkemudian", seperti mana dalam kes hukum wanita melawat kubur. Sila rujuk bab yang sama.

    3 contoh tersebut hanyalah sebahagian daripada timbunan prinsip dan metodologi fiqh yang digunakan untuk menggabungkan dua atau lebih teks-teks dari Al-Quran dan hadith.[1] Seseorang yang ingin bermujtahid wajib mengetahui kesemua prinsip dan metodologi tersebut.

    Setakat ini, masyarakat Islam tidak pernah hidup tanpa didampingi oleh golongan-golongan yang mampu berijtihad. Golongan ini akan memberikan penyelesaian kepada permasalahan-permasalahan baru yang tidak pernah ada pada zaman Rasulullah saw. Mereka ini adalah golongan yang sangat penting kepada umat Islam. Bahkan, para ulama telah memberitahu kita bahawa apabila tiada seorang pun umat Islam yang boleh berijtihad pada satu-satu zaman, seluruh komuniti tersebut telah pun melakukan satu dosa yang agak serius.

    Pintu Ijtihad Telah Ditutup?

    Daripada apa yang telah kita bincangkan setakat ini, kita akan mendapati bahawa pintu ijtihad tidak pernah ditutup. Kita akan sentiasa memerlukan golongan mujtahid bagi menyelesaikan masalah-masalah baru yang wujud. Pintu ijtihad tidak pernah ditutup, dan tidak boleh ditutup.

    Namun demikian, selepas zaman Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Shafi'i dan Imam Ahmad Bin Hanbal, institusi ulama tidak menerima dakwaan dari sesiapa pun yang mendakwa dirinya telah melakukan satu ijtihad mutlak. Jika anda mengkaji bersungguh-sungguh tentang legasi intelektual mereka, dari mana-mana ulama yang mahir tentang sejarah empat Imam tersebut, maka anda tidak akan berasa susah untuk memahami mengapa ijtihad mutlak sudah tidak diterima lagi selepas kematian mereka.

    Malangnya, hari ini wujud golongan yang terlalu mengidam untuk berijtihad. Mereka menujukan istilah "konservatif yang sempit fikiran" kepada golongan yang yang berpegang kepada fatwa dan pendapat-pendapat para ulama dari mazhab yang empat. Bagi mereka, mengikut mazhab akan menjumudkan fikiran. Sebenarnya, golongan seperti itu adalah jahil dan kemungkinan tidak tahu langsung kelayakan yang diperlukan untuk melakukan ijtihad. Mereka ini dengan sewenang-wenangnya membuka pintu ijtihad untuk diri mereka [2].

    Untuk menegaskan bahawa seseorang mujtahid itu tidak maksum, adalah satu perkara yang remeh jika hendak dibandingkan dengan hasil kerja mereka. Seorang ahli matematik yang hebat juga tidak terlepas dari kesilapan kecil apabila membuat kiraan kalkulus. Namun demikian, untuk mencari kesilapan pada seseorang yang sudah sangat mahir lagi handal dalam bidang mereka, kebarangkaliannya adalah sangat kecil.

    Tetapi hari ini mungkin, kelayakan yang paling jarang dijumpai pada diri seseorang yang ingin berijtihad ialah ilmu yang lengkap tentang Al-Quran dan kitab-kitab hadith muktabar. Sebagai contoh, hari ini wujud segelintir golongan yang ingin menilai semula beberapa hukum fiqh yang sudah lama diselesaikan oleh para ulama dari empat mazhab yang ada. Salah satu caranya adalah dengan mendaifkan hadith sahih yang berkaitan dengan hukum fiqh yang ingin dinilai semula itu. Cara ini adalah tidak betul sama sekali kerana masih banyak lagi hadith-hadith lain, yang memiliki sanad-sanad yang berbeza, yang memperkatakan tentang hukum tersebut.

    Di samping itu, proses untuk menentukan sama ada sesuatu hadith itu sahih atau daif, daif atau maudhuk, dan sebagainya, memerlukan seorang yang hafiz hadith, seperti Imam Bukhari, Muslim, Dhahabi, Ibnu Kathir, atau Suyuti, yang mana mereka ini telah menghafaz sekurang-kurangnya 100,000 buah hadith - termasuk sanad, matan, dan sebagainya.

    Hari ini, apabila tiada seorang pun penghafaz hadith yang hidup dalam dunia Islam, maka kita tidak boleh menerima apa-apa penilaian semula hadith dari mana-mana pihak yang ingin mengelaskan semula status hadith, tidak kira sebesar mana populariti mereka. Melainkan usaha itu disokong oleh hasil-hasil karya penghafiz hadith yang sebelumnya. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dengan golongan yang sewenang-wenangnya mendaifkan hadith-hadith sahih, seperti dari Kitab Imam Bukhari dan Muslim. Ini kerana hadith-hadith yang ada di dalam kitab tersebut telah disahkan sahih oleh kesemua ulama dari empat mazhab yang ada.

    Bersambung dalam "Taqlid Kepada Mazhab".

    Sila baca bab-bab sebelumnya:
    1. Mengapa Perlu Bermazhab?
    2. Memahami Al-Quran & Sunnah
    3. Kriminal Dalam Ijtihad
    4. Kriminal Dalam Ijtihad II
    5. Kehandalan Para Imam Mujtahid
    6. Kehandalan Para Imam Mujtahid II

    Nota Kaki

    [1] Penulisan ini tidak bertujuan untuk membincangkan kesemua metodologi tersebut. Tiga metodologi yang dipilih dalam penulisan ini hanya dibincangkan bagi memperlihatkan kepada kita betapa tinggi tahap keilmuan yang diperlukan untuk menjadi seorang mujtahid, iaitu seorang yang mengeluarkan hukum, halal atau haram, wajib atau sunat, dan sebagainya.

    [2] Antara contoh jelas yang berlaku di Malaysia ialah apabila Astora Jabat membuat fatwa tiada azab kubur. Padahal, perkara azab kubur ini telah pun diselesaikan oleh para ulama dari keempat-empat mazhab dan semuanya berijmak bahawa azab kubur itu wujud.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »