Sebelum saya menjawab soalan ini, ada baiknya kalau para pengunjung baru membaca artikel-artikel sebelum ini kerana ulasan ini adalah bersiri. Sila baca:
Berbalik kepada soalan tersebut. Jawapannya: Ya benar. Al-Quran dan segala kitab-kitab hadith yang muktabar adalah sumber utama dalam menyelesaikan apa sahaja permasalahan ummah. Ia menyampaikan banyak perkara tentang deen atau agama, seperti asas-asas Rukun Iman, hukum-hakam Islam secara umum, melakukan amar ma'ruf dan nahi mungkar, serta lain-lain lagi. Banyak perkara-perkara ini diterangkan secara umum tanpa dibutirkan secara terperinci.
Apa yang menjadi persoalan di sini bukanlah prinsip-prinsip umum ini, tetapi seperti mana yang telah dijelaskan dalam bab Mengapa Perlu Bermazhab, yang paling penting adalah pemahaman (fiqh) kepada perkara-perkara ini. Oleh itu semua orang akan bersetuju jika teks-teks Al-Quran dan Hadith dalam terjemahan Bahasa Malaysia dan Inggeris, atau apa-apa bahasa selain Arab, adalah tidak cukup untuk memberikan kita pemahaman yang menyeluruh.
Selain dari faktor kekangan bahasa, ada dua lagi faktor yang perlu diambil kira sebelum seseorang itu boleh mengeluarkan kesimpulan dan hukum-hakam daripada Al-Quran dan teks-teks hadith - iaitu dimensi LUAS dan dimensi DALAM.
LUAS dan DALAM
Dimensi luas adalah sebanyak mana seseorang itu tahu ilmu-ilmu yang ada pada semua teks yang diperlukan apabila ingin mengeluarkan sesuatu hukum. Sebagai contoh, tak cukup kalau anda sekadar mengetahui hadith-hadith Riwayat Bukhari sahaja tentang fiqh dalam hal-hal berkaitan hudud. Anda perlu juga mengetahui hadith-hadith berkaitan hudud dalam kitab-kitab Hadith muktabar yang dikarang oleh Imam-Imam lain, seperti Imam Muslim, Imam Tirmizi, Imam Abu Daud dan sebagainya, di samping mengetahui apa yang Al-Quran kata tentang hukum hudud.Dimensi dalam pula adalah sejauh mana seseorang itu memahami sesuatu hadith atau ayat-ayat Al-Quran. Walaupun seseorang itu mempunyai dimensi ilmu yang sangat luas - seperti telah menghafaz seluruh Al-Quran dan kitab-kitab hadith, kedalaman ilmu-ilmu yang telah dihafaz ini tidak begitu. Sila baca semula kisah Sheikh Nuh Ha Mim Keller yang didatangi oleh seorang tetamu ketika beliau berada di Jordan dalam bab Mengapa Perlu Bermazhab? Walaupun lelaki tersebut mengetahui hadith tersebut, tetapi oleh kerana ilmunya tidak dalam, maka dia telah tersilap tafsir hadith tersebut.
Oleh itu, keluasan dan kedalaman ilmu adalah kemahiran paling penting apabila ingin mengeluarkan sesuatu hukum dari Al-Quran dan Hadith. Kemahiran inilah yang mampu menghubung-kaitkan apa jua ayat-ayat Al-Quran dan Hadith, walaupun ia kelihatan bertentangan di antara satu sama lain.
Fitnah Apabila Ilmu Tidak Luas dan Dalam
Saya berpendapat, ada 2 jenis fitnah yang akan timbul apabila seseorang yang ilmunya tidak luas dan dalam ingin mengeluarkan sesuatu hukum. Sebagai contoh nilai hadith dari Anas Bin Malik ini. Dalam hadith ini, Anas Bin Malik menceritakan sewaktu beliau dan Rasulullah saw menunggang kuda ketika pulang dari Khaibar, Rasulullah saw telah mendedahkan bahagian pehanya dan Anas Bin Malik nampak peha Rasulullah saw yang putih melepak itu [1].Fitnah pertama yang mungkin timbul: "Oh, nampaknya mazhab Hanafi, Shafie, Maliki dan Hanbali salah dalam membuat rumusan tentang aurat lelaki. Dalam hadith ini jelas menunjukkan peha bukan aurat sebab Rasulullah sendiri pernah mendedahkan bahagian pehanya. Jadi mengapa aku perlu mengikut mazhab, sedangkan aku sudah berjumpa dengan hadith sahih yang jelas menunjukkan peha itu bukan aurat! Jadi, boleh percaya ke dengan segala hukum-hakam dalam keempat-empat mazhab ini?"
Dengan kata lain, fitnah pertama yang akan timbul apabila seseorang yang tidak luas dan dalam ilmunya ingin mengeluarkan hukum ialah: Wujudnya golongan-golongan anti-mazhab yang selalu mempertikaikan rumusan dan kesimpulan yang dibuat oleh para Imam Mujtahid dan ulama-ulama selepas mereka.
Fitnah kedua pula yang mungkin timbul apabila seseorang itu berjumpa dengan hadith lain yang kelihatan bertentangan dengan hadith yang diceritakan di atas. Terdapat beberapa hadith lain, sama ada hasan atau sahih, yang menyatakan bahawa Rasulullah saw secara jelas menyuruh para Sahabat menutup bahagian paha kerana ia adalah sebahagian dari aurat. Al-Hakim melaporkan bahawa satu hari Rasulullah saw melihat Jarhad ra di masjid. Jarhad memakai jubah tetapi bahagian pahanya terdedah. Maka Rasulullah saw menegurnya, "Paha itu sebahagian dari aurat" (al-Mustadrak) [2]. Al-Hakim menyatakan bahawa hadith ini sahih. Imam Dhahabi mengesahkan kesahihan hadith ini (al-Talkhis) [3].
Imam Baghawi turut merekodkan satu lagi hadith sahih yang mana satu hari Rasulullah saw berjalan melintasi Ma'mar ra, yang mana ketika itu pahanya telah terdedah. Rasulullah saw menegurnya dengan berkata, "Wahai Ma'mar, tutupilah paha mu kerana paha itu aurat." [4]. Selain itu, Imam Ahmad Bin Hanbal turut meriwayatkan satu lagi hadith bertaraf hasan yang mana Rasulullah saw turut menyatakan bahawa segala yang terdapat dari pusat dan lutut seorang lelaki itu adalah aurat [5].
Oleh itu, fitnah kedua yang akan timbul ialah munculnya puak-puak anti-hadith. Hanya kerana mereka berjumpa hadith-hadith hasan dan sahih yang bertentangan, mereka terus berkata: "Hadith-hadith tidak boleh dipercayai sama sekali. Kita hanya boleh percaya kepada Al-Quran sahaja. Mari tolak hadith!!" Saya banyak berjumpa dengan golongan-golongan begini dalam Portal Astora Jabat.
Apa Penjelasan Terhadap Fitnah Ini?
Bagi golongan yang anti-mazhab, sebenarnya semua para Imam Mujtahid tahu akan hadith sahih tentang kisah Nabi pulang dari Khaibar itu. Begitu juga dengan para ulama agung yang lain dalam 4 mazhab dari dulu sehingga sekarang. Adalah mustahil selama beratus-ratus tahun para ulama dari keempat-empat mazhab ini, terlepas pandang hadith sahih yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari itu.Bagi golongan yang anti-hadith pula, sebenarnya para Imam Mujtahid ini lebih pintar dari anda. Hanya anda sahaja yang kurang ilmu - iaitu ilmu anda tidak luas dan tidak dalam. Kesemua para Imam Mujtahid tahu akan kesemua hadith-hadith yang disebutkan dalam bab ini. Mereka telah menggabungkan hadith Nabi pulang dari Khaibar itu dengan hadith-hadith yang kelihatan bertentangan dengan menggunakan kaedah iaitu: "Suruhan dan arahan lisan yang jelas dari Rasulullah saw diberikan prioriti daripada apa yang Baginda lakukan".
InsyaAllah akan bersambung dalam "Kehandalan Para Imam Mujtahid". Bab ini akan menerangkan kaedah yang disebutkan diatas.
Nota Kaki
[1] Rujuk Kitab Sahih Bukhari, Buku #8, Hadith #367 untuk membaca matan hadith yang lengkap kerana hadith ini agak panjang.[2] Abu Abdullah Muhammad al-Hakim, al-Mustadrak 'ala al-Sahihayn [bersama al-Talkhis karangan Imam Dhahabi yang menilai hadith-hadith di dalamnya].
[3] Ibid.
[4] al-Husayn ibn Mas'ud al-Baghawi, Syarah as-Sunnah.
[5] Ahmad Bin Hanbal, Musnad al-Imam Ahmad Ibn Hanbal.
0 Komen • Tambah Komen↴
Ada komen atau soalan?
Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.