Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label babi. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label babi. Papar semua catatan

    Kisah Suka Duka Babi

    08 April 2008 • 16 Komen
    Setiap kali wujud isu babi di Malaysia, kekadang resah hati ini dibuatnya kerana majoriti bangsa Melayu masih lagi sukar memandang babi dari kanta yang lebih rasional.

    Tidak berapa lama dahulu, saya ada menyentuh tentang isu pelajar vet berbangsa Melayu yang berpelukan dan bergambar dengan babi. Kali ini isu babi menjadi popular semula setelah kerajaan Selangor berura-ura mahu mendirikan ladang ternakan babi bernilai RM 100 juta di Sepang.

    UPDATE 1: Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, projek tersebut sebenarnya telah pun diluluskan oleh kerajaan negeri pada 30 Januari 2008, iaitu sebelum berlakunya pilihan raya pada 8 Mac 2008.

    UPDATE 2: Oleh kerana isu babi ini telah disensasikan oleh media-media perdana yang cacat etika kewartawanannya, maka amat penting juga bagi kita untuk membaca penjelasan oleh Kerajaan Negeri Selangor itu sendiri. Ulasan oleh Roslan SMS pun bagus juga.

    UPDATE 3: Empat video kontroversi berkaitan babi pada tahun 2007 yang patut anda tonton. Penangan Karam Singh Walia. Berdasarkan komen Cepuk.
    1. Sepandai-pandai membungkus, yang busuk berbau juga
    2. Ibarat dia menyeludup ke bawah rumah, asal mendapat telur ayam
    3. Yang hilang dicari, yang terapung direnangi, yang terbenam diselami
    4. Selembap-lembap puntung di dapur, ditiup menyala juga
    UPDATE 4: Adakah kerajaan Selangor yang baru akan mendedahkan dokumen rasmi berhubung projek ternakan babi moden yang telah pun diluluskan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Selangor pada 9 Februari 2008, sedangkan dokumen itu tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi?

    Sama ada projek itu jadi atau tidak, lebih banyak membawa manfaat atau keburukan, itu bukanlah isunya yang ingin saya luahkan. Saya hanya mahu mengusik minda pembaca tentang haiwan yang paling dipandang keji oleh masyarakat Melayu ini. Cerita-cerita negatif yang kita dengar selama ini tentang babi, membuatkan saya tertanya-tanya sama ada anda akan percaya kepada saya atau tidak jika saya mengatakan bahawa babi itu haiwan yang pintar, memiliki IQ yang agak tinggi, dan lebih mudah dilatih berbanding anjing dan kucing.

    NASIB BABI MALAYSIA

    Sebenarnya saya amat kasihankan nasib makhluk babi yang hidup di Malaysia. Suatu masa dahulu, akhbar dan televisyen jarang-jarang menggunakan istilah babi, sebaliknya istilah khinzir yang nampak manis sedikit bunyinya itu, lebih kerap digunakan. Kalau pun terpaksa sebut babi, orang-orang kita dahulunya akan sekadar mengeja dalam jawi: Ba alif ba ya. Namun sekarang, masyarakat kita sudah tidak jijik sangat untuk menyebut 'babi'. Ini adalah perkembangan yang sudah cukup baik bagi menaikkan maruah babi yang tidak bersalah itu.

    Walaupun ia masih lagi tidak mampu membuatkan babi tempatan kita mencipta nama seperti yang dilakukan oleh babi-babi oversea dalam filem Babe dan Charlotte's Web, namun saya cuma berharap agar janganlah bangsa Melayu terlalu memandang keji makhluk yang juga dicipta oleh Allah ini.

    Di negara kita, babi adalah haiwan yang sering dijadikan isu untuk merendah-rendahkan bangsa Cina terutamanya. Bangsa Cina dituduh pengotor dan menjijikan hanya kerana mereka gemar makan babi. Apabila Teresa Kok meletakkan gambar majlis jamuan babi panggang sempena kemenangannya dalam pilihan raya tempoh hari, terdapat beberapa komen (berkemungkinan besar dibuat oleh bangsa Cina) yang menasihati beliau supaya berhati-hati meletakkan gambar yang sedemikian kerana takut-takut ia akan menyinggung perasaan orang Melayu.


    Sebenarnya hanya Melayu totok sahajalah yang akan tersinggung dengan gambar di atas. Siapa Melayu totok ini? Mereka adalah Melayu yang sangat tebal semangat keMelayuannya sehingga tidak mahu belajar adat dan budaya bangsa lain, di samping malas berusaha untuk memahami apa yang Islam kata dalam hal-hal berkaitan babi itu sendiri. Bagi Melayu totok, hanya adat resam dan budaya Melayu sahajalah yang lebih holier.

    Melayu totok ini jugalah yang suka membangkitkan sentimen perkauman di negara kita yang berbilang kaum ini. Namun harus kita ingat bahawa Cina totok juga ada, India totok juga ada. Ketotokan mereka itulah yang menjadi salah satu faktor yang menyukarkan perpaduan kaum di Malaysia.

    Di samping dijadikan mangsa dalam isu perkauman, babi juga turut dipolitikkan apabila berlakunya pencemaran yang terjadi akibat kebangkitan ladang-ladang ternakan babi yang haram. Ura-ura kerajaan negeri Selangor yang saya sebut di awal-awal tadi, bakal menjadi satu lagi isu politik sekiranya parti Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat tidak sama-sama berusaha untuk mencari solusi terbaik dalam menghadapi isu tersebut. Jangan sekali-kali kita menyalahkan babi dalam hal ini. Kita tidak boleh mendidik babi supaya jangan bagi kotor itu ladang, tetapi pihak berkuasa boleh duduk berbincang, berfikir secara kritis dan kreatif untuk menyelesaikan masalah tersebut.

    KISAH BABI DI LUAR NEGARA

    Setelah lama duduk di Ireland, bolehlah saya berhujah bahawa bangsa British, Scottish, Welsh dan Irish adalah bangsa yang suka makan babi. Hampir semua restoran (tidak halal) di sini ada menghidangkan menu yang berasaskan babi. Lalu saya berpendapat bahawa tindakan sesetengah masyarakat Melayu totok yang cuba memperlekehkan bangsa Cina sebagai pengotor dan jijik kerana suka makan babi, adalah sesuatu yang tidak wajar dilakukan.

    Selain itu, babi di sini rasanya lebih bernasib baik. Mereka tidak menjadi bahan politik. Apabila saya membaca berita dan isu berkaitan babi yang berlaku di sekitar Ireland dan UK, ia selalunya lebih banyak berkisarkan tentang kebajikan babi yang tidak terbela, yang dibangkitkan oleh pejuang hak asasi haiwan seperti PETA. Jarang-jarang ada berita tentang keadaan ladang ternakan babi yang kotor dan menimbulkan masalah bau busuk serta pencemaran alam sekitar.

    Inilah bezanya isu babi yang wujud di antara sebuah negara maju dan negara yang mahu jadi maju 12 tahun lagi. Sebenarnya perbezaan ini terjadi disebabkan mentaliti lapok yang masih bertapak kuat di hati rakyat Malaysia. Mentaliti ini masih wujud kerana sifat orang-orang kita sendiri yang malas membaca, melihat dan berfikir. Akhirnya kita di Malaysia masih lagi bertekak dan pening kepala untuk mengatasi masalah-masalah babi yang sudah berbangkit sejak sekian lama.

    Bagaimana caranya untuk menjadikan ladang ternakan babi di negara kita supaya lebih terurus dan bersih, itu bukan kerja saya. Cuma apa yang saya cadangkan, hantarlah beberapa orang kita untuk melawat ladang-ladang babi di United Kingdom dan negara-negara maju lain yang mempunyai pengalaman menguruskan ladang ternakan babi dalam skala yang besar. Belajar cara mengurus dari mereka dan kemudian aplikasikan di Malaysia.

    RM 95 juta boleh dibelanjakan bagi melastik Dr Sheikh Muszaphar ke angkasa. Maka amat mampu sangatlah bagi kerajaan untuk membelanjakan sedikit duit rakyat bagi membolehkan kita belajar sesuatu daripada para pengusaha babi di UK, yang mana saya percaya kosnya adalah jauh lebih kecil dari nilai RM 95 juta itu.

    Saya cuma berharap di tahun 2020 nanti, janganlah ada lagi isu ladang ternakan babi yang kotor dan berbau busuk. Di negara-negara maju, itu sudah tidak menjadi isu sangat. Isu mereka adalah bagaimana untuk memastikan nasib babi terbela sewaktu hidup di ladang ternakan. Sebab itulah di UK, beberapa teknik ternakan dalam konsep ternakan babi intensif, sudah pun diharamkan kerana ia bersifat mendera.

    Kalau kerajaan sudah malas sangat hendak fikir tentang isu babi, tutup terus ladang-ladang babi yang haram mahupun halal, dan kemudian kita import sahaja babi dari negara jiran seperti Thailand. Pengusaha ladang babi di negara kita kemudiannya boleh diberikan bantuan dan subsidi untuk memulakan bisnes menternak haiwan lain seperti ayam, kambing dan lembu, atau pun sesuatu yang berasaskan pertanian.

    Sebagai penutup, tiada satu pun daging babi yang halal di dalam dunia ini, walaupun disembelih dengan nama Allah dan putus pula urat merih babi tersebut. Baca Bisimillah sebelum makan babi pun tetap haram!

    Daging babi halal di Singapura? Klik sini untuk gambar saiz besar.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Hukum Pegang (juga Peluk) Babi & Anjing

    27 Ogos 2007 • 52 Komen
    Hendak ku diam, mereka bertanya. Hendak ku lari, mereka mengejar. Itu masalah e-mel. Sentiasa ada yang akan bertanya itu dan ini memandangkan kos menghantar sedozen e-mel adalah jauh lebih murah dari menghantar sekeping poskad. Kadang-kadang, mahu sahaja saya bersetuju dengan idea Bill Gates untuk mengenakan bayaran bagi setiap e-mel yang dihantar.

    Tapi jika tidak dijawab e-mel, orang ingat kita ini sombong. Hai.. Jika anda dapat menyelesaikan kod tempoh hari, pasti akan sekurang-kurangnya tahu mengapa saya mengeluh. Jadi apa soalan yang mereka tanya itu?

    Ia selalunya tentang banyak isu yang berlegar-legar di internet. Tentang ada satu golongan tu yang mendakwa solat hajat sebagai bidaah sesat, boleh ke baca Yasin malam Nisfu Syaaban, dan macam-macam lagi. Soalan-soalan begini memang saya tidak layan sangat. Tapi cuma ada satu soalan sahaja yang saya agak terpanggil untuk memberikan pendapat, iaitu tentang kisah seorang pelajar perempuan, 22 tahun, jurusan vet, yang bergambar sambil peluk-peluk manja dengan anjing dan babi. Dengan menggoogle, saya menjumpai profile MySpace gadis itu. Dia menggunakan nama E-ma.

    Reaksi

    Lihat gambar ini dulu bagi yang masih belum lihat.
    Gambar 1, Gambar 2, Snapshot MySpace

    Saya membaca respon ramai orang tentang isu ini. Ada sesetengahnya menghentam habis si E-ma ini. Ada yang lain pula menyebelahi dia. Ada yang lebih alim, memberitahu pula bahawa apa yang dia buat itu tidaklah berdosa. Jadi apa pula reaksi saya?

    Saya berpendapat bahawa isu yang dibangkitkan adalah berpunca dari kejahilan kita sendiri yang tidak tahu banyak perkara-perkara asas dalam fardu ain, terutama sekali dalam bab najis. Tidak berdosa jika bergambar sambil berpeluk-pelukan dengan anjing dan babi. Cuma ia perlu disamak sahaja memandangkan ia najis berat. Jadi bagi mereka yang menuduh E-ma telah melakukan sesuatu yang menyalahi syarak, perlulah meminta maaf kepadanya.

    Ini pula saya ambil di ruangan profile MySpace beliau. Katanya:
    who am i??? im a vet student from UPM, serdang....a Shah Alam girl with a dream to help those suffered animal,to be respected,to skim the cream in this field and to love these kind of cute creatures....i dont want to bring sumone to book ( those senders) but i love to clear the things out and to tell people out there (especially to those who lack in knowledge about halal and haram) what vet is and how we especially Muslim handle any case that involved the "Najis Mughalazah" thing. i dont blame them because this is not their profession....ya, for human being, we just learn deeper about any kind of stuff if only we have to...well, anything that is good came from Allah and anything bad came from ourselves...so people outhere, if you want to judge other people, please full up your mind with knowledge first,k.


    Surat Kepada E-ma

    Okay okay. Saya tahu saya tidak ambil vet. Tapi saya tahu bagaimana seorang vet berkerja. Dan saya juga tahu awak suka tolong binatang yang sakit. Malah awak juga suka binatang-binatang yang comel.

    Saya juga seperti awak. Bahkan, salah satu laman yang selalu saya lawat memaparkan haiwan-haiwan yang comel setiap hari. Pernah dalam hati saya menyimpan keinginan untuk membela anjing setelah melihat begitu banyak anjing-anjing comel yang melata di bumi Ireland ini, terutama sekali jenis Chihuahua seperti Tinkerbell yang dimiliki oleh Paris Hilton. Atau sekurang-kurangnya saya boleh peluk mereka selalu seperti yang awak lakukan. Saya selalu ceritakan ini kepada kawan saya.

    Berdekatan dengan rumah saya pula, ada seekor anjing berwarna putih yang sangat comel. Bila saya lalu di situ pasti saya akan menjengok-jengok anjing itu yang saya namakan ia Putih. Jika Putih ada, dia akan menyalak kepada saya. Lalu saya akan berhenti dan bercakap-cakap seketika dengannya. Saya tidak pasti pula jika Putih faham apa yang saya bicarakan memandangkan tuannya sudah pasti bercakap English atau mungkin Gaelic dengannya. Tetapi saya yakin dalam hati bahawa Putih memahami saya.

    Maafkan saya kerana tidak tahu nama tepat spesis tersebut. Tetapi jika awak bertanya bagaimana rupanya, saya katakan bahawa fizikalnya seperti Chewbacca dalam filem Star Wars, cuma warna bulunya sahaja yang berbeza. Bulu Chewbacca berwarna coklat keperangan, Putih pula berwarna putih.

    Kemudian saya berfikir semula, walaupun tidak haram bagi saya menyentuh dan memeluk mana-mana anjing selalu, dan tidak pula perlu bagi saya untuk melakukan samak jika saya dan anjing berada dalam keadaan yang kering, tetapi sesuatu perkara yang taboo dalam masyarakat tempat saya membesar, perlulah juga saya berikan keutamaan.

    Ini kerana saya tidak mahu membawa kekeliruan dan kekacauan jiwa pada teman-teman saya yang mungkin masih kurang arif dalam bab-bab fiqh najis ini. Jadi, jika pun saya mahu memegang dan memeluk anjing, saya pastikan tiada rakan-rakan Muslim yang berdekatan, melainkan rakan saya itu benar-benar faham apa yang saya buat. Walaupun jika kawan saya itu adalah Tok-tok Arab bermazhab Maliki yang memiliki sedikit keringanan dalam berurusan dengan anjing dan babi, saya akan tetap berfikir panjang untuk melakukan satu perkara yang dianggap taboo bagi sesetengah masyarakat. Apatah lagi untuk menangkap gambar saya berpelukan dengan anjing dan babi dan kemudian dijadikan tatapan umum di internet.

    Saya tahu awak sudah faham segala isu-isu teknikal dalam masalah najis ringan, pertengahan dan berat. Tapi awak cuma masih belum faham selok-belok taboo dan faux pas.

    Faux Pas
    Faux pas adalah pelanggaran undang-undang sosial tidak bertulis, tetapi diterima pakai dalam sesebuah masyarakat, yang mana kadang-kala peraturan itu berbeza-beza dari satu budaya ke budaya yang lain. Satu perkara yang dianggap biasa dan tiada celanya dalam Masyarakat A, mungkin dianggap taboo dan buruk dalam konteks masyarakat B, lalu menjadikan faux pas dalam Masyarakat B, tetapi tidak dalam Masyarakat A.

    Contohnya, lihat gambar di bawah ini yang berkaitan dengan isu seorang pelajar UIA yang menganggap sekolah agama sebagai sesuatu yang lekeh. Saya tidak ingin membawakan isu tersebut, cuma mahu awak melihat gaya dia ketika bergambar. Perhatikan tangannya yang membuat V dalam keadaan telapak tangannya menghadap ke badan.

    gambar nurhayati uia

    Sekali pandang, tiada apa masalahnya dengan gambar tersebut. Sekadar memaparkan seorang anak dara sunti yang keriangan setelah mendakwa mendapat 'pencerahan' yang tidak pernah dialaminya sebelum ini. Tetapi sebenarnya, apa yang dia buat itu; membuat V dalam keadaan telapak tangan menghala ke arah badan, adalah satu faux pas bagi masyarakat di Ireland dan UK. Masyarakat Ireland dan UK memandangnya sama sama seperti 'the finger' lebih-lebih lagi jika ia digerak-gerakkan menghala ke arah atas. Tetapi bagi masyarakat Malaysia dan lain-lain, itu cuma gambar biasa yang tidak memberikan sebarang offence kepada sesiapa. Ia tidak faux pas di Malaysia dan kebanyakkan negara-negara lain.

    Ketahui di mana kita berada
    Apa yang saya ingin tekankan kepada awak, sikap dan tingkahlaku kita memang perlu berpandukan hukum. Tetapi jika pun sesuatu perkara itu halal hukumnya, maka itu tidak bermakna kita boleh buat sesuka hati tanpa memikirkan keadaan orang lain di sekeliling kita. "Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak". Itu ajaran orang tua kita.

    Kita orang Melayu yang tinggal di Malaysia. Budaya kita memandang anjing dan babi sebagai haiwan yang jijik. Maka hormati budaya ini. Jangan buat orang lain rasa offended hanya disebabkan hukum mengatakan halal. Awak mahu tangkap gambar dengan apa-apa sahaja haiwan yang cute seperti anjing, babi, hatta biawak dan anakonda sekali pun tidaklah salah dan berdosa. Tetapi, simpan sahaja gambar itu baik-baik dalam komputer dan tidak perlu ditunjukkan secara umum untuk memberitahu secara subconscious, "Kawan-kawan semua, lihatlah aku telah bergambar dengan babi." Dan sekarang awak telah menjadi selebriti internet.

    Fahami faux pas dan belajar budaya kita. Ada sesetengah perkara yang halal boleh membuatkan orang lain rasa offended. Saya bagi satu contoh lain. Mari saya tanya awak, apakah batas aurat di antara lelaki dan perempuan yang mahram, sebagai contoh aurat di antara seorang gadis dengan abangnya (bukan abang suami, tetapi abang sedarah sedaging)?

    Jawapannya adalah di antara pusat dan lutut sahaja. Tapi itu tidak bermakna kakak saya boleh suka-suka hati dalam rumah dengan memakai seluar sahaja (dan tidak memakai baju dan coli) ketika saya dan ahli keluarga yang lain turut berada dalam rumah. Kalau pun kakak saya buat juga, adakah dia buat sesuatu yang haram? Ia halal, tetapi ia taboo.

    Atau juga dalam contoh yang lain, kita memijak duit atau berdiri di atasnya. Sekali pandang, tiada apa yang salahnya, apatah lagi berdosa. Tetapi jika awak duduk di Thailand dan melakukan seperti apa yang saya sebutkan itu, sah anda akan kena pelangkung dengan buku lima orang-orang Siam. Wajah Raja Siam diukir di atas wang kertas dan siling Thailand. Masyarakat Siam memandang tinggi dan sangat memuliakan raja. Memijak duit Thailand bermaksud menghina raja mereka. Akan tetapi, jika anda duduk di UK dan memijak Pound Sterling yang memiliki ukiran Ratu Elizabeth, ia tidaklah begitu menjadi satu isu yang agak besar.

    Atau juga adakah berdosa jika saya memijak buku (yang tiada ayat-ayat suci)
    ? Semua orang tahu tiada dalam hukum fiqh yang mengatakan haram pijak buku. Oleh itu, saya boleh sahaja memijak buku-buku yang saya gunakan waktu SPM dahulu. Tetapi adakah tindakan samberono memijak buku ini boleh diterima dalam budaya dan masyarakat kita, hatta dalam konteks masyarakat global, sedangkan ia bukanlah sesuatu yang berdosa?

    Di sinilah pentingnya adab. Oleh itu, fahami taboo dan faux pas betul-betul.

    Maka cuba aplikasikan situasi-situasi tersebut dalam persoalan seseorang bergambar berpelukan dengan anjing dan babi, dan kemudian dijadikan tatapan umum dalam ruang lingkup masyarakat yang memandangnya sebagai sesuatu yang taboo.

    Semoga awak menjadi vet Muslim yang berjaya. Sampaikan salam saya kepada anjing dan babi itu. Saya mewakili sekalian manusia di atas muka bumi ini ingin meminta maaf kepada mereka kerana kadang-kadang manusia melihat mereka dengan penuh kejijikan dan kehinaan.

    Adat bersendikan hukum, hukum bersendikan syarak,
    Syarak mengata, adat menurut.


    Yang sentiasa meminati Chihuahua,
    Tawel Sensei
    ¶ Teruskan membaca entri ini »