Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel Sensei • Hubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label perpaduan. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label perpaduan. Papar semua catatan

    A₁L₁L₁E₁Y₄C₃A₁T₁S₁ == N₁I₁Z₁₀A₁R₁

    29 April 2008 • 8 Komen
    Siapa Nizar? Nizar adalah Menteri Besar Perak yang baru. Siapa Alleycats? Alleycats adalah satu kumpulan muzik dari Malaysia yang membawa lagu-lagu bertema pop balada. Sepintas lalu, tiada persamaan ketara antara mereka. Rambut mereka mungkin sama hitam, tapi fesyennya lain-lain. Sebenarnya, Nizar dan Alleycats itu walaupun aspirasi dan medan perjuangan mereka berlainan, namun dari segi pendekatan, mereka ada sekurang-kurangnya satu persamaan. Apa dia? Bahasa.

    Oh ya di samping itu juga, secara Scrabblenya, A₁L₁L₁E₁Y₄C₃A₁T₁S₁ == N₁I₁Z₁₀A₁R₁ = 14 mata. Ini sekadar satu trivia sahaja sebelum kita sembang hal yang mungkin agak berat bagi sesetengah orang.

    KUMPULAN ALLEYCATS

    Abang saya yang seorang itu minat sungguh dengan Alleycats. Semua album-album Alleycats dia ada. Walaupun saya tidak hidup di zaman keemasan Alleycats, namun gara-gara selalu mendengar lagu mereka yang sering diputarkan oleh abang saya itu, akhirnya saya bolehlah juga dikira sebagai peminat Alleycats. Walaupun kumpulan ini sudah berusia lebih 30 tahun dan penyanyi utamanya sudah pun meninggal dunia baru-baru ini, namun lagu-lagu mereka masih berhantu kepada orang-orang Melayu.

    Loga dan David Arumugam


    Ini sesuatu yang menarik untuk difikirkan memandangkan kumpulan Alleycats adalah satu-satunya pemuzik bukan Melayu yang berjaya mencuri hati pendengar Melayu yang tua mahu pun yang muda dengan begitu berkesan sekali. Saya tidak fikir suara Loga dan David Arumugam yang serak berlemak itu akan memberi kesan yang sama kepada orang-orang Melayu khususnya, dan Malaysia amnya, sekiranya lagu-lagu Tamil atau Inggeris adalah pentas perjuangan mereka.

    Dengan kata lain, Alleycats dekat kepada hati para pendengar Melayu kerana bahasa yang menjadi medium komunikasi mereka adalah sama. Bahkan ketika kali pertama saya mendengar lagu-lagu mereka sewaktu saya kecil, tertipu saya dibuatnya kerana menyangka Alleycats adalah sebuah kumpulan muzik Melayu.

    MOHAMAD NIZAR

    Apabila saya membaca profil Ir Mohamad Nizar Jamaludin, sukar rasanya untuk tidak bergosip dengan beberapa rakan saya tentang alangkah bagusnya jika Nizar ini boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia satu hari nanti.

    Tidaklah sesuatu yang ajaib jika Nizar petah berbahasa Cina memandangkan beliau memang ada darah tersebut. Apabila beliau boleh juga berbahasa Tamil, maka itu adalah satu bonus yang menjadikannya orang paling layak menyandang jawatan politik paling tinggi di negeri Kejo Yeop Kejo selepas berlabuhnya tirai PRU12.

    Pengetahuan Nizar dalam dua bahasa ibunda kepada bangsa kedua dan ketiga terbesar di Malaysia ini pastinya akan lebih memudahkan beliau berkomunikasi dengan rakyat. Kalau saya orang India, mesti saya terkesima gembira sambil tersengih-sengih apabila Nizar berbual-bual dengan saya dalam bahasa Tamil. Tidak hairanlah beliau pernah memukau hadirin yang majoritinya berbangsa Cina dalam sebuah forum yang diadakan di Dewan Dou Mu, Ipoh.

    Di sinilah letaknya persamaan Nizar dan Alleycats. Jika Alleycats sangat sinonim dengan bangsa Melayu kerana perjuangannya berpentaskan lagu-lagu Melayu, maka Nizar juga mampu meraih sokongan kuat dari semua bangsa di Perak melalui faktor bahasa juga, tetapi dengan beberapa syarat jugalah seperti adil dan bebas rasuah, kerana realiti politik tidak sama seperti dunia hiburan.

    BAHASA SEBAGAI AGEN PERPADUAN

    Saya tidak percaya budak-budak sekolah yang belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris boleh menjadikan mereka lebih bijak dalam subjek berkenaan. Pelajar sekolah di Finland yang dinobatkan sebagai antara golongan pelajar paling pintar di dunia, tidak mempelajari subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya bahasa ibunda mereka, Finnish, digunakan.

    Wall Street Journal ada melaporkan tentang keadaan pelajar sekolah di sana dan ia menunjukkan bahawa bahasa Inggeris tidak memainkan peranan yang penting sama sekali. Apa yang relevan adalah teknik dan polisi, yang mana banyak di antaranya akan membuatkan kita berfikir sejenak tentang hala tuju sistem pendidikan negara kita:
    High-school students here rarely get more than a half-hour of homework a night... ...Finnish educators believe they get better overall results by concentrating on weaker students rather than by pushing gifted students ahead of everyone else. The idea is that bright students can help average ones without harming their own progress...

    ..In most countries, education feels like a car factory. In Finland, the teachers are the entrepreneurs... ...While many U.S. parents worry about enrolling their toddlers in academically oriented preschools, the Finns don't begin school until age 7, a year later than most U.S. first-graders...

    Sebab itu bagi saya, daripada mengajar budak-budak sekolah subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris, alangkah bagusnya jika mereka ini diajarkan bahasa Tamil dan Mandarin. Dengan cara ini, semua bangsa yang ada di Malaysia ini akan boleh bercakap sekurang-kurangnya empat bahasa. Kalau budak sekolah agama, mereka akan tahu juga bahasa Arab, dan ini menjadikan lima bahasa.

    Seandainya ini berlaku, hebat rakyat Malaysia dipandang dunia sebab tiada lagi mana-mana negara setakat ini yang mana majoriti rakyatnya boleh faham dan/atau bertutur dalam sekurang-kurangnya empat bahasa! Taiko-taiko pendidikan di UK juga pasti akan terpegun kerana mereka sendiri juga sedang berusaha memastikan pelajar sekolahnya mempelajari bahasa kedua seperti Mandarin:
    The current dominance of the English language poses "serious" economic and political disadvantages for the UK, the study claims... ...Spanish, Mandarin and Arabic are all languages of the future.

    Bagi situasi di Malaysia pula, ia lebih membawa kepada perpaduan kaum. Satu-satunya sebab mengapa keluarga John sangat disenangi oleh orang-orang kampung saya adalah kerana mereka sekeluarga mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih dan baik sekali. Sebab itu apabila saya berbual dengan anak lelaki dan perempuan mereka yang lebih kurang sebaya dengan saya, perbualan itu (hatta perbualan yang pertama kali) menjadi sangat mesra seolah-olah saya sedang berbual dengan rakan berbangsa Melayu. Mujur saya tidak jatuh hati pada anak perempuannya yang lawa itu.

    Akuilah bahawa kita sebenarnya suka jika orang bangsa lain tahu cakap bahasa kita. Saya pernah tersengih-sengih bila melihat seorang mat saleh menyanyi lagu Renjis-renjis Dipilis sambil memetik gitar kapoknya. Dan saya juga rasa bangga apabila ada Pak Arab yang boleh berkecek Melayu Kelate dengan fasih. Malah saya juga mudah mesra dan suka dengan beberapa orang-orang Arab dan Pakistan di sini yang sesekali menegur saya dalam Bahasa Melayu. Inilah psikologi first impression.

    Maka akuilah bahawa begitu jugalah sebaliknya. Orang Cina dan India juga akan jadi lebih rapat dengan orang Melayu jika kita boleh bercakap dalam bahasa ibunda mereka dengan fasih. Kita selalu mahukan agar orang Cina dan India memahami adat dan budaya orang-orang Melayu, namun saya sendiri tidak nampak usaha-usaha pragmatik yang dijalankan bagi merangsang orang-orang Melayu supaya memahami adat dan budaya bangsa lain.

    Saya percaya hal ini boleh dilakukan melalui bahasa. Bahasa itu tingkap budaya. Seperti mana yang kita tahu, cerita-cerita rakyat seperti Pak Pandir, Lebai Malang, Mat Jenin, Sang Kelembai, dan sebagainya, banyak mendokumentasikan budaya-budaya Melayu dalam cara yang tidak formal. Maknanya jika bangsa lain membacanya, mereka secara tidak langsung akan lebih memahami bangsa Melayu itu sendiri.

    Saya ada satu soalan yang sesekali dilontarkan kepada diri sendiri dan berusaha menjawabnya tanpa perlu berkhalwat dengan Sheikh Google: "Berapa banyak watak daripada cerita-cerita rakyat bangsa Cina dan India yang aku tahu?" Tak terjawab aku dibuatnya! Ini baru cerita-cerita rakyat, belum masuk bab prosa klasik.

    Jangan harapkan agar orang lain memahami kita sekiranya kita sendiri tidak berusaha untuk memahami orang lain.

    BAHASA DAN DAKWAH

    Nabi Muhammad sallahu alayhi wassalam apabila berjumpa dan berdakwah kepada pelbagai suku Arab, Baginda akan bertutur dalam dialek yang digemari oleh suku tersebut. Maka tidak hairanlah apabila Al-Quran itu sendiri diturunkan dalam 7 jenis qiraat, iaitu tujuh cara bacaan yang berbeza.
    Ubai bin Ka'ab meriwayatkan bahawa satu hari Malaikat Jibril datang bertemu Rasulullah sallahu alayhi wassalam, lalu berkata Jibril kepada Baginda: "Allah telah memerintahkan engkau supaya membacakan Al-Quran kepada para pengikutmu dalam satu dialek." Baginda menjawab: "Aku memohon ampun kepada Allah. Pengikutku tidak mampu menerimanya."

    Jibril datang buat kali yang kedua lalu berkata, "Allah telah memerintahkan engkau supaya membacakan Al-Quran kepada para pengikutmu dalam dua dialek." Baginda menjawab, "Aku memohon ampun kepada Allah. Pengikutku tidak mampu menerimanya."

    Jibril datang buat kali yang ketiga lalu berkata, "Allah telah memerintahkan engkau supaya membacakan Al-Quran kepada para pengikutmu dalam tiga dialek." Baginda menjawab, "Aku memohon ampun kepada Allah. Pengikutku tidak mampu menerimanya."

    Jibril kemudian datang lagi buat kali yang keempat dan berkata, "Allah telah memerintahkan engkau supaya membacakan Al-Quran kepada para pengikutmu dalam 7 dialek, dan mana satu pun dialek yang mereka ikut, mereka akan tetap betul."

    (Hadith Sahih Muslim, Buku 4, Hadith 1789)

    Pengajaran yang kita boleh ambil ialah jika dua pihak menggunakan bahasa yang sama, maka ia akan memudahkan proses komunikasi dakwah itu sendiri, bahkan dapat pula merapatkan jurang perbezaan budaya antara satu sama lain. Allahyarham Imam Zaki Badawi yang pernah bertugas sebagai Imam di Masjid Besar London, sering menyeru imam-imam masjid yang bertaburan di UK agar memberikan khutbah dalam bahasa Inggeris:
    I was horrified that none of the other imams could speak English. I was amazed that they didn't understand anything about other religions and were so unfamiliar with western culture.

    Sebenarnya ini antara kisah benar perkembangan Islam di negara 'kuffar' pada hari ini. Contoh yang paling dekat dengan saya berlaku di Masjid Dublin. Orang-orang yang kuat pengaruhnya di masjid tersebut ada di antaranya yang telah hidup lebih 10 tahun di sini. Namun, penguasaan bahasa Inggeris mereka agak mengecewakan. Mereka terlalu mengagung-agungkan bahasa Arab, baik dalam khutbah Jumaat mahu pun majlis ilmunya, sedangkan jemaah yang datang bukan semuanya tahu Arab. Pernah satu Ramadhan dahulu, majoriti majlis ilmu yang diadakan selepas Asar telah disampaikan dalam bahasa Arab sepenuhnya (dan tiada terjemahan langsung).

    Pernah ada seorang brother Melayu yang menegur polisi tidak bertulis masjid berkenaan, dan kemudian jawab salah seorang orang kuat masjid itu, "You should learn Arabic. This is the language of the Jannah!" Ironi sungguh jawapan yang dilontarkan oleh orang kuat masjid tersebut yang sering melaung-laungkan slogan 'kembali kepada Al-Quran dan Sunnah' dan menganggap pula jemaah mereka sebagai Salafi tulen bak golongan Salafus soleh. Adakah mereka ini tidak pernah mengetahui bahawa golongan nenek moyang mereka yang datang berdagang di Nusantara ini, telah berjaya membawa sinar Islam di sini kerana mereka berusaha keras untuk mempelajari budaya dan bahasa penduduk tempatan?

    Hai entahlah Labu. Apa pun yang pasti, daripada dengar lagu Sampaikan Salam Cintaku oleh Alleycats, lebih afdal rasanya jika gegendang telinga itu digegarkan juga dengan lagu Cing Ai Ching Ai oleh Raihan.

    Terima kaseyyy kerana membaca sehingga habis!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Lim Guan Eng & Umar Abdul Aziz

    17 April 2008 • 13 Komen
    Semenjak saya mengetahui bahawa Lim Guan Eng pernah dipenjarakan kerana mempertahankan nasib seorang gadis Melayu, sungguh-sungguh saya katakan bahawa saya agak berminat untuk mengikuti perjalanan politik beliau. Lebih-lebih lagi apabila beliau membuat kenyataan bahawa dia mahu mencontohi pentadbiran Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang sangat adil dan saksama itu:
    Kini saya sudah jadi Ketua Menteri dan saya berazam akan mengotakan janji saya untuk menjadi Umar Abdul Aziz... ...dulu semasa saya di penjara, antara orang yang kerap mengunjungi saya ialah Dato' Fadhil Noor (Al Marhum Presiden PAS). Dan dialah yang membekalkan kepada saya buku-buku berkaitan Islam, termasuk satu buku tentang Umar Abdul Aziz. Bermula dari situ saya kenal tokoh yang hebat ini.

    Tentunya kenyataan Lim Guan Eng ini akan dipandang sinis dan prejudis oleh sesetengah orang. Sama ada apa yang beliau nyatakan itu benar-benar ikhlas atau sekadar satu topeng bagi menutup sebuah agenda yang tersembunyi, kita berusaha dan bertawakal sahajalah agar negara kita ini dipimpin oleh mereka yang betul-betul telus dan jujur pada rakyatnya.

    Tidak dinafikan bahawa wujud juga seketika sedikit rasa prejudis di hati saya terhadap Lim Guan Eng. Namun saya berusaha memadamkan rasa prejudis itu apabila saya memikirkan bahawa kalau Allah hendak beri hidayah, musuh nombor 1 Islam seperti Umar al-Khattab pun akhirnya menjadi pejuang Islam yang sangat disegani. Apatah lagi Lim Guan Eng yang tidak pernah memusuhi Islam itu. Prejudis adalah ibarat api yang menghanguskan ikatan perpaduan manusia yang berlainan bangsa mahupun di kalangan bangsa yang sama.

    Sedangkan orang Amerika, British dan banyak lagi masyarakat dunia boleh menjadikan Mahatma Gandhi sebagai idola, walaupun mereka berlainan bangsa dan agama, maka adakah sesuatu yang mustahil jika Umar Abdul Aziz akan benar-benar menjadi idola kepada Lim Guan Eng ketika mentadbir Pulau Pinang?

    Apapun, jangan gaduh-gaduh sangat tentang siapa yang memerintah negara. Yang paling penting, biarlah orang yang memimpin kita itu adil, amanah dan tidak zalim kepada sesiapa. Satu petikan yang saya kutip dari blog A Kadir Jasin ini, amat bermakna untuk kita semua renung dan fikir.
    Sesiapa yang berjuang dengan nama Allah dan niat baik sentiasa dalam keredaan Allah, tetapi sesiapa yang lupakan niat, khianat dan tamak akan dimurkai Allah, akhirnya menjadi hina. Kalau orang Melayu (yang) beragama Islam mengkhianati bangsa, negara dan agama, Allah akan gantikan (dengan) bangsa lain yang beragama Islam (bagi) menjaga tanah air kita."

    (Daripada buku Sheikh Abdullah Fahim Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara 13 Ogos '57 oleh Mokhtar Petah, Pustaka Antara 1997).

    Untuk sesiapa yang tidak tahu, Sheikh Abdullah Fahim adalah salah seorang ulama besar Tanah Melayu dan telah menjadi mufti pertama di Pulau Pinang. Beliau juga merupakan datuk kepada Pak Lah.

    ---
    NB: Sebagai nota tambahan, sebahagian ulama berpendapat bahawa jumlah khalifah ar-Rasyidin adalah seramai 5 orang, iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan Umar bin Abdul Aziz. Sebagai nota peribadi pula, Umar bin Abdul Aziz adalah tokoh yang paling sangat saya sanjungi di antara kelima-lima orang itu.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Tragedi Pemikiran Melayu

    29 Oktober 2006 • 4 Komen
    Oleh Profesor DiRaja Ungku Aziz

    Kalau ditanya tentang minda orang Melayu kepada saya, saya rasa melayu tidak sanggup berubah. Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan mendalam. Kalau kita tengok orang Melayu dalam cerita hikayat, Hikayat Raja-Raja Pasai misalnya, ia cukup menarik. Kita dapat menggambarkan bagaimana ekonominya dan strategi orang Melayu memerintah untuk berdepan dengan Majapahit.

    Berdasarkan hikayat itu dan tradisi pantun Melayu, kita dapati orang Melayu ini mempunyai minda yang canggih. Tetapi yang jadi tragedi ialah orang Melayu tidak nampak ini semua kerana tiga pengaruh besar.

    Pertama, dalam tahun 1920-an dan 1930-an, pihak penjajah British menolak apa yang datang daripada Melayu, termasuk pantun, sebagai folk art, menjadikan apa yang dihasilkan oleh Melayu sebagai second class. Ketika itu, Melayu yang berharap untuk naik pangkat dan dapat kerja dengan kerajaan penjajah terpaksa ikut teori penjajah Inggeris. Ini semua membawa orang Melayu kepada perspektif jati diri yang salah.

    Itu Pengaruh Penjajah

    Pada zaman ini, saya melihat sungguhpun banyak pemimpin Melayu bercakap tentang sains dan teknologi, orang Melayu pada umumnya tidak dapat menangkap pandangan itu. Di Eropah, sejak zaman renaissance, mereka telah mempelajari kemajuan sains dengan pendekatan yang berbeza dengan Islam. Mereka sentiasa bertanya.

    Malangnya, di Malaysia, dari bangku sekolah kita tidak galakkan budak-budak bertanya. Sampailah mereka di universiti, kita tidak galakkan mereka bertanya: Kenapa?

    Di negara kita, pelajar tidak berani bertanya dan guru-guru pula tidak tahu menjawab. Budaya ini menunjukkan tidak wujudnya inquiry mind dalam masyarakat Melayu. Kita tidak ada sikap saintifik.

    Sikap negatif inilah yang menyebabkan berleluasanya cerita orang kena tipu dengan bomoh. Yang saya hairan, graduan-graduan universiti pun kena tipu dengan bomoh. Kalau pada kurun ke-18, terutama di England, orang selalu bertanya: Kalau betul ada hantu, mana hantu? Kita hendak pergi ke tempat hantu, kita nak pergi tengok hantu untuk lihat apa manifestasi hantu.

    Pendekatan berani bertanya ini adalah sikap masyarakat dan tamadun yang berasaskan sains. Malangnya, kita tidak sedia dan berani bertanya, yang akhirnya menyebabkan kita tidak berani menghadapi cabaran. Pemikiran Melayu ini sebahagiannya adalah sisa-sisa pengaruh penjajahan British. Ini bukan rahsia lagi.

    Kita boleh membaca dokumen-dokumen itu di London. Menurut para pegawai Inggeris, orang Melayu ini kalau diberi terlalu banyak pendidikan dan kalau diajar ilmu sains, kelak mereka akan jadi seperti orang India di India. Mereka akan berdemonstrasi dan hendakkan kebebasan.

    Jadi ajarlah dia cerita Pak Pandir sahaja, itu sikit, ini sikit.Orang Melayu tidak suka sains, dia suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul. Akibat dasar itu, tidak ada trouble makers. Trouble makers Melayu hanya timbul selepas Perang Dunia Kedua setelah kemasukan Jepun.

    Telah ada banyak buku yang membincangkan tentang subjek bagaimana British berjaya mengamalkan dasar yang mengongkong minda Melayu. Itu semasa penjajahan. Selepas kita merdeka, minda orang Melayu masih terkongkong kerana semua orang Melayu kemudiannya gila hendak kuasa dan hendak jadi kaya.

    Ini adalah teori saya mengapa minda Melayu tidak berubah. Saya bertanggungjawab tentang pandangan ini. Selepas merdeka, sesetengah orang Melayu yang ada kuasa, dia rasa dia boleh memerintah Malaysia sama bagus macam penjajah British.

    Minda Melayu ini sentiasa ada sesuatu yang membendung dan mempengaruhi - daripada kesan-kesan kolonialisasi pada tahun-tahun 1930-an, pengaruh Indonesia yang tidak sesuai di sini pada tahun 1940-an dan 1950-an, kesan media massa, dan kemudiannya budaya wang dalam masyarakat Melayu pada dekad-dekad terakhir ini.

    Sekarang ini semua orang Melayu hendak kaya. Sebagai seorang pendidik universiti, saya percaya (tetapi saya tidak ada buktinya) kalau orang mendapat pendidikan, mereka akan lebih bebas dan berubah.

    Contohnya pada akhir tahun 1970-an. Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia ketika itu dapat menarik banyak modal asing untuk membuka kilang mikrocip.

    Kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada beratus-ratus ribu orang terutamanya untuk wanita. Wanita Melayu yang bekerja kilang ketika itu akhbar-akhbar gelar mereka ini sebagai minah karan. Orang Melayu hina wanita Melayu yang bekerja kilang. Kenapa budak-budak perempuan Melayu ini mahu tinggalkan rumah di Kelantan, tinggalkan kampung di Johor untuk pergi bekerja kilang di Pulau Pinang, Selangor dan Melaka?

    Mereka sanggup kerana mereka telah belajar sampai ke peringkat sekolah menengah. Jadi program kerajaan membuka sekolah-sekolah menengah pada tahun 1960-an dan 1970-an, walaupun tidak ada rancangan khusus, ia telah membebaskan pemikiran budak-budak perempuan Melayu.

    Waktu itu terdapat beribu-ribu remaja wanita Melayu pergi bekerja di kilang-kilang. Dalam penyelidikan saya pada tahun 1970-an, dalam soal selidik saya bertanya mereka, bila hendak kahwin? Di kampung, dulunya mereka ini berumah tangga pada usia muda. Umur 18 dan 19 tahun sudah kahwin atau dikahwinkan, tetapi akhirnya bercerai juga.

    Oleh kerana pendidikan dan faktor pendedahan kepada karier baru, wanita Melayu itu sudah ada idea tidak mahu kahwin cepat-cepat. Mereka hendak bekerja terlebih dahulu dan menyimpan duit.

    Kita tanya lagi, kalau sudah kahwin hendak anak cepat atau lambat? Mereka kata lambat. Mereka hendak tangguh dapat anak sebab mereka hendak enjoy hidup berkahwin dan mewujudkan rumah tangga yang lengkap terlebih dahulu. Kata mereka, kalau dapat anak susahlah. Dalam sekelip mata, wanita Melayu berubah sikap. Ini semua tidak diprogramkan oleh kerajaan. Ia jadi begitu sahaja.

    Tetapi masyarakat Melayu tidak faham keuntungan perubahan minda wanita ini terutama di kalangan kumpulan berfikiran konservatif. Hari ini di Malaysia, trend semasa ialah wanita menguasai 65 peratus tempat belajar di universiti-universiti. Dalam sektor kerajaan,banyak wanita yang memegang jawatan tinggi.

    Trend ini pasti mengubah masyarakat Melayu secara pesat, sebagaimana ia mengubah pemikiran wanita Melayu pada tahun 1970-an. Ini semua adalah hasil daripada perubahan sikap yang tidak dirancang tapi terjadi. Perubahan minda itu berlaku secara tidak sengaja. Kadang-kadang kalau nasib kita baik, hasil perubahan yang tidak dirancang itu juga progresif seperti dalam kes perubahan minda wanita Melayu.

    Bagaimanapun, kadang-kadang perubahan yang dirancang tidak terjadi kerana orang yang hendak melaksanakannya pun tidak jujur selain terdapat pengaruh lain yang menghalang seperti pengaruh politik tempatan, politik antarabangsa, Indonesia, peranan orang agama yang menimbulkan nilai-nilai sama ada seseorang dapat pergi syurga atau tidak.

    Minda Melayu tidak dapat memikul ini semua. Kerana ada sesuatu dalam budaya mereka yang masih tidak diubah, mereka sanggup duduk di kedai kopi main dam. Contohnya orang lelaki di Kelantan dan Terengganu.Kalau mereka tidak main dam, mereka akan bincang untuk gasak kerajaan. Semua salah, dia sahaja yang betul.

    Titik perubahan kepada minda Melayu ialah tragedi 13 Mei 1969,tetapi peristiwa tersebut dan dasar-dasar ekonomi, pendidikan dan politik selepas itu tidak sepenuhnya menukar sikap orang Melayu. Ada beberapa faktor lain yang menghalang iaitu pengaruh Barat, peranan media massa, politik serta agama.

    Kita memang berubah sedikit dari segi lahiriah tetapi saya tidak fikir orang Melayu kini berada pada kedudukan yang lebih baik.

    Kita sudah terjangkit apa yang bekas Perdana Menteri British, Margaret Thatcher hendak dulu, dan fahaman ini cukup besar sama ada di kalangan pemimpin Melayu dalam UMNO mahupun Pas, dan juga di kalangan para pegawai kerajaan. Kita hendak menjadi apa yang Thatcher kata a nation of shopkeepers. Kita tidak mahu kata shopkeepers, kita gunakan istilah usahawan.

    Orang berfikir kalau sebahagian besar orang Melayu jadi usahawan,maka ekonomi orang Melayu akan naik. Ini saya rasa salah. Pendekatan untuk membangunkan orang Melayu dengan wang ringgit dan kebendaan ini tidak betul. Tesisnya silap.

    Tetapi itulah minda Melayu sekarang.

    Akhirnya saya lihat orang Melayu kini sudah kurang komitmen terhadap bangsanya sendiri. Sudah tidak ada kesedaran bahawa aku orang Melayu, aku mesti berkhidmat kepada orang Melayu, untuk membangunkan orang Melayu.

    Komentar Ringkas Dari Saya

    Tak wajib bersetuju 100% dengan tulisan Prof Ungku Aziz ini. Tetapi tak bermakna tulisan beliau ini tidak bagus. Saya kira tulisan ini begitu bagus dan mantap, kerana secara amnya jika kita memantapkan pemikiran Melayu, maka secara automatik ia dapat menjadikan penganut agama Islam di Malaysia lebih berdaya saing.

    Cuma apabila kita terlalu memfokuskan pembinaan sesuatu bangsa secara spesifik, maka kita terpaksa meredah kekangan untuk menyatupadukan kepelbagaian bangsa yang ada di sesebuah negara dan dunia ini. Ketika Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, baginda boleh menyatukan kaum Ansar dan Muhajirin, di samping mengintegrasikan kepelbagaian kabilah-kabilah lain yang ada di Madinah.

    Kalau kita belajar secara ringkas kronologi hijrah Rasulullah, maka kita akan dapat melihat bagaimana kaum Ansar rela berkorban apa sahaja demi membantu kaum Muhajirin. Demi ikatan persaudaraan Islam, Ansar melayan Muhajirin ibarat saudara kandung, hingga ada sesetengahnya yang sanggup menceraikan salah seorang isteri mereka untuk diberikan (yakni dinikahi) oleh saudara Muhajirin (hari ini ada yang sanggup ke?).

    Mengapa boleh jadi sampai begini? Ini kerana tujuan/matlamat/objektif/gol kaum Ansar dan Muhajirin adalah sama: untuk mencapai redha Allah. Oleh itu, hanya Islam sahaja yang dapat menyatupadukan kepelbagaian bangsa yang ada di dunia ini. Eh, kalau begitu Kristian, Hindu, Shinto, dan agama-agama lain juga dapat menyatukan kita. Kalau ada orang cakap begini, minta si dia berikan contoh sahih dari agama itu, seperti mana yang Islam tunjukkan pada dunia.

    Oleh yang demikian, selagi matlamat akhir bangsa-bangsa yang ada di dunia ini tidak selari, maka jangan haraplah dunia ini bisa bersatu.

    Sebagai penutup komentar ringkas ini, maka saya nukilkan kata-kata Sidi Ahmad al-Zarruq seperti mana yang terdapat dalam halaman 201, buku Purification of the Heart oleh Sheikh Hamza Yusuf:
    Never assume that anyone in this world can really understand your circumstances other than from the perspective of his own circumstances. This is because in reality people see things in accordance with their frames of references and their personal paths. However when aims, purposes, and aspiration are similar, people tend to work together toward a common goal.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »