Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Membazir Ikut Kemampuan

    29 Disember 2010 • 20 Komen
    Bila diri sendiri tiadalah sekaya mana, amat mudah untuk membuat tanggapan bahawa majoriti perbelanjaan yang dilakukan oleh mereka yang lebih berada daripada kita sebagai sesuatu yang membazir.

    Contoh: "Kenapalah Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Jiwa membuang beratus-ratus ribu RM untuk majlis perkahwinan mereka? Perlu ke nak buat mewah ala kayangan di KLCC? Kan lebih baik dibuat sedekah untuk anak yatim dan orang susah?”

    Cara berfikir seperti ini sering membuatkan kita alpa bahawa sebenarnya ada lagi insan yang jauh lebih susah dari kita. Tetapi hakikat ini sering dilupakan kerana lumrah manusia adalah memandang dan memuja langit; jarang-jarang mahu peduli pada tanah berpijaknya kaki. (Ini mungkin menjadi sebab mengapa ada sekian banyak puisi, sajak dan lirik lagu yang menyentuh tentang keindahan langit berbanding kebaktian tanah).

    Siti Nurhaliza dikatakan sebagai artis terkaya di Malaysia. Pada 2008, asetnya pernah dianggarkan sekitar RM50 juta (namun dinafikannya). Kalau pun ia sekadar RM25 juta sahaja, dan katakan juga RM1 juta telah pun digunakan untuk majlis perkahwinannya itu, maka ada lagi baki RM24 juta. Ini satu nilai yang masih lagi besar. Tidak dinafikan perkahwinan tersebut adalah satu pembaziran berskala terlampau, namun ia tidak menganggu kedudukan kewangannya.

    Sekarang bandingkan pula dengan perkahwinan orang yang "biasa-biasa". Gaji si lelaki sekadar RM1,500. Zaman kini duit hantaran paling sedikit dalam RM6,000 (4 kali gaji bulanan); bila dicampur perbelanjaan lain, paling kurang boleh mencecah dalam RM10,000 jika keluarga perempuan tidak terlalu 'demand'.

    Nah, tiba-tiba bakal sang pengantin mahu majlis itu lebih gah lagi meriah: Ditempahnya servis karaoke; set-set baju gantian untuk sesi fotografi; kad perkahwinan RM2 sekeping; barang-barang hantaran pula disyaratkan terdiri daripada yang berjenama dan bukan Made in China; cenderamata untuk tetamu mestilah bukan taraf koman setakat bunga telur; dan macam-macam lagi benda lain yang tidak berapa perlu sebenarnya.

    Akhirnya kos perkahwinan mencanak ke angka RM18,000. Bermaksud, telah berlaku pembaziran sebanyak RM8,000 di sini. Walaupun tidak sedahsyat pembaziran Siti, namun ini pun membazir juga. Bahkan ia boleh mensabotaj kewangan kita sendiri yang mungkin memakan masa yang lama untuk pulih.


    Banyak atau Sedikit, Namanya tetap Pembaziran

    "Kaya" itu subjektif lagi relatif. Segala apa yang kita belanjakan mungkin dipandang sebagai membazir oleh mereka yang kurang kaya dari kita (padahal kita tidaklah "sekaya" mana pun). Hakikatnya walau gaji setakat RM2,500 sebulan, namun ia adalah lebih kaya, lebih mewah dan lebih bangsawan daripada mereka yang bergaji sekitar RM1,000.

    RM2,500 memang kecil di zaman harga makanan dan barang keperluan naik mencanak-canak. Namun dalam situasi di mana 40% rakyat Malaysia bergaji bulanan kurang dari RM1,500 sebulan, maka gaya hidup si polan bergaji RM2,500 yang kekadang pekena mocha dan muffin coklat di StarBucks pada pagi minggu; dan juga makan sekeluarga di Pizza Hut sebulan sekali, mungkin dianggap sebagai sangat membazir oleh seorang Pak Jaga beristeri satu dan lima anaknya, yang gajinya sekadar RM1,200 termasuk OT (manakala sewa rumahnya pula RM400 sebulan).

    Ketahuilah bahawa sebenarnya sama ada gaji sekadar RM1,000 atau RM10,000, kita semua berpotensi untuk menjadi seorang pembazir. Orang berada, bila melabuhkan kepalanya di bantal, mungkin akan menganyam mimpi untuk memiliki Ferrari walau di halaman rumahnya sudah pun dihinggap oleh BMW 3 series. Yang gajinya sekadar RM1,000 pula, ligat berazam untuk mengumpul dana dari gaji bulanan demi menceraikan Kancil dan lantas menikahi Inspira.

    Inilah yang dimaksudkan dengan membazir mengikut kemampuan. Akhirnya, "orang kaya" dan "orang tak kaya", masing-masing enggan bersedekah kepada mereka yang kurang bernasib baik.
    ---

    Pesanan berkaitan: Anda ini gila sekiranya azam Tahun 2011 adalah membeli sebuah telefon bimbit yang harganya melebihi gaji sebulan. Contohnya jika gaji sekadar RM1,500, tak perlulah menabung RM300/bulan selama 7 bulan semata-mata untuk membeli iPhone 4!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    2 Jenis Cermin

    23 Oktober 2010 • 27 Komen
    Dua orang ahli bomba masuk ke dalam hutan untuk memadamkan satu kebakaran kecil. Sesudah selesai, mereka berdua lantas menuju ke arah sebuah sungai.

    Wajah salah seorangnya telah dilumuri abu hitam; sebaliknya wajah seorang lagi adalah bersih sama sekali tanpa sebarang noda.

    Soalan: Ahli bomba manakah yang akan membasuh muka?

    Mengapa Cermin Dicipta?

    Sebab utama cermin dicipta adalah untuk melihat kalau-kalau ada yang tidak kena pada penampilan diri. Adakah rambut kita tersisir rapi? Adakah tudung yang dipakai itu senget? Adakah jambang yang dicukur itu kemas lagi licin? Adakah celak dan gincu yang ditempek itu herot? Atau masih adakah saki-baki air liur basi yang terlekat di pipi?

    Dengan kata lain, kita melihat cermin untuk memastikan kesempurnaan fizikal diri. Kata kunci di sini ialah "memastikan kesempurnaan". Ini bermaksud, melihat cermin dengan tujuan untuk "syok sendiri akan kesempurnaan" diri adalah sangat terpesong daripada tujuan asal mengapa cermin dicipta.

    Berbalik kepada soalan di awal-awal tadi, siapakah yang akan membasuh muka? Yang berwajah kotor atau pun yang berwajah bersih? Jawapan yang betul adalah si ahli bomba yang berwajah bersih. Mungkin jawapan ini agak mengelirukan. Mengapa pula yang si berwajah kotor tidak membasuh mukanya?

    Begini: Apabila yang berwajah kotor itu melihat rakannya yang berwajah bersih, maka dia pun berpendapat bahawa wajahnya pasti lah bersih seperti rakannya. Namun perkara yang sebaliknya berlaku kepada yang berwajah bersih. Apabila dia melihat kekotoran pada wajah rakannya itu, maka dia pun berkata kepada diri sendiri: "Muka aku pun mesti kotor juga macam dia. Baik aku basuh." [1]

    Cermin yang betul dan Cermin yang salah

    Cermin yang betul, apabila memandangnya, kita mampu menginsafi akan kelemahan diri. Ia adalah analogi kepada apa yang berlaku apabila ahli bomba berwajah bersih melihat wajah kawannya yang kotor itu.

    Jika kita ada seorang kawan yang baik sifatnya, maka mereka adalah cermin untuk menilai apa yang masih kurang pada diri. Jika kawan itu kurang baik pula sifatnya, ia tetap boleh menjadi cermin bagi mengingatkan adakah kita juga begitu sebenarnya?

    Itulah dia cermin yang digunakan oleh mereka yang selalu muhasabah diri.

    Cermin yang salah pula, apabila memandangnya, kita semakin berbangga akan kesempurnaan palsu pada diri. Ia adalah analogi kepada apa yang berlaku apabila ahli bomba berwajah kotor melihat wajah kawannya yang bersih itu.

    Dalam kes ini, kawan di sekeliling dijadikan cermin untuk melihat betapa sempurnanya diri kita jika dibandingkan dengan mereka. Pada akhirnya, cermin yang salah ini dijadikan justifikasi untuk kita kekal di takuk lama. Kata kita kepada diri sendiri, "Aku ni kira baguslah. Kalau nak dibandingkan dengan si polan yang duduk seberang jalan, lagi macam setan dia tu!"

    Itulah dia cermin yang digunakan oleh mereka yang selalu syok sendiri akan kesempurnaan diri.
    ---

    Nota Kaki

    [1] Sebenarnya soalan ini berasal daripada novel The Zahir oleh Paulo Coelho. Ini petikannya:
    Marie, let's suppose that two firemen go into a forest to put out a small fire. Afterwards, when they emerge and go over to a stream, the face of one is all smeared with black, while the other man's face is completely clean. My question is this: Which of the two will wash his face?'

    'That's a silly question. The one with the dirty face of course.'

    'No. The one with the dirty face will look at the other man and assume that he looks like him. And, vice versa, the man with the clean face will see his colleague's grime and say to himself: I must be dirty, too. I'd better have a wash.'
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sosilawati, Kemalangan & Artis Bercerai

    19 September 2010 • 16 Komen

    i. Sosilawati

    Tiba-tiba berita kehilangan dan pembunuhan Sosilawati menjadi buah mulut orang-orang yang ziarah beraya. Emak saya, secara tiba-tiba juga sudah naik seriau dengan kes orang hilang. Ditambah lagi sejurus selepas kes Sosilawati, menyusul pula berita tiga orang pelajar perempuan Tingkatan 2 yang dilaporkan hilang.

    Akhirnya emak saya membuat kesimpulan: Kes orang hilang semakin menggila di Malaysia sekarang ini.

    Namun apa yang emak tidak sedar adalah bahawa, kes orang hilang sebenarnya telah mengalami penurunan atau tidak mengalami kenaikan yang ketara semenjak tahun 2007. Berikut adalah statistik yang dikeluarkan oleh PDRM:

    statistik pdrm
    Dari laman rasmi Polis Diraja Malaysia. 18 September 2010


    Apa yang berlaku di atas adalah kesan daripada sensasi yang dipopularkan oleh akhbar, televisyen dan radio. Jika berita jenis jenayah sahajalah yang menjadi bahan berita utama, maka ini memberikan kesan psikologi kepada orang awam bahawa jenayah sedang bermaharajalela (walaupun sebenarnya data statistik sedang menunjukkan penurunan).


    ii. Kemalangan

    Kesan psikologi yang sama juga boleh berlaku pada berita kemalangan jalan raya. Siarkan paling kurang 3 berita kemalangan setiap hari; kesemuanya mestilah kemalangan yang paling sadis, ngeri lagi menyayat hati; jadikan ia sebagai berita utama selama paling kurang seminggu, dan kita akan melihat rata-rata orang awam berpendapat bahawa sekarang ini musim kemalangan (walaupun pada hakikatnya, mungkin jumlah mangsa kemalangan maut pada bulan lepas adalah 400 dan yang berlaku pada 'bulan propaganda' pula cumalah 350).

    Kalau tidak percaya, lepas ini bila timbul semula 'trend' berita kemalangan yang membuatkan kita rasa ia semakin menjadi-jadi, sila lah cari mana-mana statistik kemalangan jalan raya yang berwibawa. Besar kemungkinan, ia tidak pun menunjukkan sebarang peningkatan yang signifikan.


    iii. Artis Bercerai

    Satu lagi bias yang berlaku pada persepsi kita adalah tentang perceraian artis. Bila media bergosip tentang para artis yang asyik bercerai-berai, kita sama ada secara sengaja atau pun tidak, telah menjana persepsi bahawa "artis sekarang" kalau kahwin mesti bercerai. Kita nampaknya lupa bahawa "artis dulu-dulu" pun selalu juga kahwin-cerai-kahwin.

    Sekadar menyebut beberapa contoh: P Ramlee pernah bercerai dengan Junaidah dan Norizan sebelum bertemu jodoh hidup matinya dengan Saloma; suami pertama Saloma pula adalah A.R. Tompel yang mana ketika itu sudah pun mempunyai seorang isteri bernama Putih Suraiti (ibu kepada A.R. Badul) dan suami kedua Saloma pula bernama Kaswan Yusak; Ruminah Sidek pula adalah antara wanita yang dinikahi oleh A.R. Tompel sesudah Saloma.

    Bahkan kita juga lupa bahawa daripada 22,289 kes perceraian pasangan Islam yang direkodkan di Malaysia pada tahun 2008, berapa kerat sangatlah di antaranya yang melibatkan artis dan selebriti. Mungkin 100 pun tak sampai. Bakinya yang beribu-ribu adalah sekadar orang biasa yang mukanya tidak pernah pun masuk TV.

    Namun oleh kerana media asyik menayangkan berita perceraian artis saban bulan, daripada Januari ke Disember, maka akhirnya tertanam dalam benak kita bahawa "artis zaman sekarang kalau berkahwin, mesti bercerai suatu hari nanti." Akhirnya kita terlupa yang orang biasa pun selalu sahaja bercerai-berai.


    Natijah

    Oleh kerana media massa berupaya untuk menjadikan sesebuah isu sebagai satu trend yang memberikan impak besar kepada rakyat, maka ia sering disalahgunakan oleh mereka yang berkuasa sebagai alat propaganda. Hal ini telah disentuh dengan baik di dalam buku Manufacturing Consent: The Political Economy of the Mass Media.

    Manufacturing Consent: The Political Economy of the Mass Media. Buku ini telah diadaptasi ke dalam bentuk filem dokumentari (tonton ia di Google Video).


    "Manufacturing consent" mungkin merupakan satu konsep yang sangat asing bagi kebanyakan kita. Secara mudah, kita bolehlah menterjemahkan ia ke dalam Bahasa Malaysia sebagai "mendapatkan restu".

    Saya berikan 2 contoh yang mana kerajaan mungkin sudah/sedang melakukan "manufacturing consent" dalam membuat sesebuah keputusan yang melibatkan dasar dan polisi negara.

    1. Tidak berapa lama dahulu, secara tiba-tiba media asyik membuat berita tentang bahaya gula kepada kesihatan. Rakyat asyik diberitahu dan diingatkan tentang apa yang tak eloknya gula ini, padahal kita semua sudah pun maklum akan hal itu. Perkara ini dilakukan buat beberapa ketika, dan bila masanya sesuai, subsidi gula pun diturunkan dan lalu harganya naik. Maka ini akan mengurangkan kemarahan pengguna kerana mereka telah pun dibasuh akan kejahatan gula ini.

    2. Kalau anda perasan, berita tangkapan mereka yang berjudi bola di negara kita pada Piala Dunia 2010 yang lepas, telah dilaporkan pada setiap hari sepanjang berlangsungnya kejohanan tersebut. Berita seperti ini tidak kerap sangat keluar pada Piala Dunia 2006. Kita semua tahu bahawa usaha kerajaan untuk 'menghalalkan' judi bola telah dilibas kuat oleh ramai pihak.

      Berita seperti itu sering dialunkan seakan-akan ingin memberitahu kita secara subliminal bahawa: "Orang tetap akan berjudi bola secara haram. Maka bukankah lebih baik kita 'halalkan' saja kerana dapat juga dipungut cukai daripada para kaki judi itu?" Maka, mungkinkah media tiba-tiba menekankan kisah orang yang kantoi judi bola, agar pada tahun 2014, kerajaan boleh berusaha sekali lagi untuk mendapatkan lebih banyak 'restu' bagi menghalalkan judi bola?

    Manufacturing consent atau pun bukan, mungkin anda perlu menentukannya sendiri. Salah satu caranya adalah dengan meneliti di halaman manakah berita itu keluar? Jika di muka paling hadapan, besar kemungkinan ia sedang melakukan 'manufacturing consent' kepada rakyat jelata.

    Maka sebab itu John Naisbitt, pengarang buku Mind Set!: Reset Your Thinking and See the Future, menyebut di dalam bukunya ini bahawa apabila membaca surat khabar, beliau memulakannya daripada bahagian muka belakang ke bahagian muka hadapan.

    Baginya, berita-berita sukan yang terdapat di halaman belakang selalunya dilaporkan tepat 100% seperti apa yang berlaku. Manakala berita-berita semasa yang terdapat di bahagian paling hadapan, selalunya dicemari dengan propaganda dan keselindungan fakta!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepinggan Nasi untuk 4 Juta Faqir Miskin Setiap Hari

    08 September 2010 • 8 Komen
    Ada sesiapa masih ingat entri saya pada 2 tahun lepas tentang permainan Free Rice? Bagi setiap jawapan yang betul, 10 butir beras akan disedekahkan kepada PBB, yang kemudiannya akan diagihkan kepada golongan faqir miskin.

    Sebenarnya, saya pun terlupa dah dengan permainan ni. Haha. Maklumlah, benda 2 tahun lepas. Tapi hari ni terbaca lagi berita tentang Free Rice.



    Siapa sangka, permainan yang nampak mudah dan remeh ini, sebenarnya telah mampu memberi makan kepada lebih 4 juta orang yang kebulur di negara-negara miskin seperti Uganda dan Bangladesh. 4 juta beb!

    Ok, silalah ke FreeRice.com kalau mahu main game sambil menderma.

    Di kesempatan ini juga, saya mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin kepada pengunjung blog ini. Terima kasih kerana setia datang (walaupun jarang ada entri baru) dan selalu mengomen (walaupun saya jarang balas komen).

    Terima kasih sekali lagi! Ada masa, ku tulis lagi!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    E471 Tak Bermaksud Ada Lemak Babi

    11 Ogos 2010 • 24 Komen
    Pada suatu hari, saya berhajat mahu membeli coklat Cadbury. Lalu saya ceritakan niat ini sepintas lalu sahaja kepada seorang kawan saya. Namun tidak saya duga, dia menjawab bahawa Cadbury ini haram.

    Tersentak saya dibuatnya. Bagaimana coklat Cadbury ini haram statusnya sedangkan baru beberapa hari yang lepas ketika saya membelek-belek coklat ini di pasaraya Mydin, ada jelas tertempek logo halal JAKIM di pembalutnya.

    Kemudian saya bertanya kepadanya, "Tahu dari mana?" Dia menjawab ada terbaca emel. Dia menambah lagi, "Coklat Cadbury haram dimakan sebab ada kod bahan makanan yang ada lemak babi." Saya bertanya, "E471 ke?" Dia jawab, "Tak ingat".

    Namun saya hampir 100% yakin bahawa kod yang disebutnya itu merujuk kepada E471 kerana lazimnya inilah kod makanan yang paling digeruni oleh mereka yang agak warak. Baru-baru ini pula, saya menerima emel 'forward' yang mendakwa teh tarik mengandungi babi.

    Teh tarik 3-in-1 ChekHup. Ada babi kah dalam cawan itu?

    Maka persoalannya, betul kah E471 ini berasal daripada babi?

    Kisah E471

    Saya mula mengenali apa dia E471 ini kira-kira 7 tahun yang dulu, iaitu ketika kali pertama saya tinggal di Ireland. Secara umumnya, para senior waktu itu menasihatkan agar lebih berhati-hati dengan makanan yang ada kod popular E471 ini. Di samping itu, kami diberikan juga satu kad kecil yang mengandungi senarai kod-kod makanan yang perlu diawasi ketika mahu membeli sesuatu makanan. Namun demikian, kami juga disurah bahawa walaupun makanan itu ada E471, tetapi jika di pembalut atau pembungkusnya terdapat dakwaan "Suitable for vegetarian", maka Insya-Allah ia halal dimakan.

    Dengan nasihat itu sebagai pedoman, maka makan dan minumlah saya dengan tanpa perlu syadid dengan bahan makanan yang ada E471 tetapi "Suitable for vegetarian". Letaklah apa-apa kod sekalipun, asalkan ada "Suitable for vegetarian", maka tiadalah saya ragu padanya. Namun dalam masa yang sama, saya tetap berwaspada kalau-kalau ia mengandungi alkohol.

    Mungkin anda bertanya sejauh mana "Suitable for vegetarian" ini benar-benar muktabar dakwaannya? Benda ini susah saya mahu cakap. Namun secara umumnya, para pengusaha makanan di negara-negara Barat ini adalah cukup profesional. Kalau ada lemak haiwan dalam makanan, mereka akan cakap ada. Kalau tiada, mereka cakap tiada.

    Ini apa yang saya alami sendiri berdasarkan pertanyaan yang saya ajukan kepada beberapa buah syarikat makanan dan ubatan di sana dahulu. Dan sikap profesional mereka ini turut sama dirasai oleh mana-mana umat Islam, baik dari Malaysia atau pun bukan, yang pernah tinggal di sana.

    Tambahan pula, dengan adanya lebih 3 juta vegetarian di United Kingdom sahaja, maka industri berasaskan vegetarian di Barat ini bukanlah sesuatu yang main-main. Kesungguhan NGO bersifat kebajikan seperti The Vegetarian Society dalam mempromosikan makanan vegetarian boleh disamakan dengan usaha JAKIM dalam mempromosikan Malaysia sebagai hab halal serantau.

    Cuma kalau di negara kita, selalu terdengar berita-berita pengusaha makanan yang kantoi menggunakan logo dan sijil halal palsu. Manakala sewaktu saya di sana pula, tidak pernah lah pula mendengar berita syarikat yang kantoi kerana menggunakan logo vegetarian palsu.

    Bahkan berdasarkan pengamatan saya selama beberapa tahun di sana, semakin banyak makanan yang dilabelkan dengan "Suitable for vegetarian". Contohnya waktu saya awal-awal di sana dahulu, makanan ringan Pringles tidak dilabelkan sebagai sesuai untuk vegetarian. Kini, ia sudah sesuai untuk vegetarian dan vegan. Vegan adalah diet yang lebih syadid berbanding vegetarian. Menjadi vegan bermaksud seseorang itu langsung tidak makan apa-apa yang datang daripada haiwan seperti susu dan telur.

    Maka, hukum survival membeli makanan bagi si vegan dan vegetarian, si Hindu yang berpuasa, para Muslim dan Yahudi yang tinggal di Barat ialah: E471 tak semestinya berasal daripada sumber haiwan. E471 adalah daripada sumber tumbuhan jika makanan itu sesuai untuk vegan/vegetarian.

    E471 di Malaysia

    Lalu saya khabarkan kepada kawan saya bahawa saya selamba sahaja makan coklat Cadbury, baik sewaktu di sana, mahupun sewaktu di Malaysia. Lebih-lebih lagi sewaktu di Malaysia, saya kira lebih wajar untuk saya bertaklid kepada senarai halal JAKIM. Jika JAKIM kata halal, maka ia halal. Kalau ia tidak halal, tetapi JAKIM suka-suka kata halal, maka tanggung lah dosa itu wahai sesiapa yang terlibat dalam operasi penyemakan status halal itu. Bukankah ini lebih memudahkan bagi kita selaku orang awam?

    Namun kawan saya seakan tidak berpuas hati pula dengan pendirian saya. Benar, saya bersetuju dengannya bahawa dalam bab makanan ini, kita kena elakkan perkara-perkara syubhah sebab ia akan jadi darah daging kita. Namun saya cuma kurang bersetuju kerana dia mempertikaikan apa yang telah JAKIM luluskan sebagai halal.

    Maka jalan terakhir yang saya lakukan adalah dengan 'menyerangnya' dengan berkata: "Kalau kau syadid sangat dan tak percaya dengan JAKIM, maka janganlah makan KFC lagi ok. Antara KFC dan Cadbury, yang mana lagi banyak kontroversi?" Dia yang merupakan penggemar KFC itu, lantas senyap dan tak membalas 'serangan' saya itu.

    Oh, dan sebenarnya dia merajuk sedikit dan saya perlu memujuknya.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Apa Khabar FDI?

    29 Julai 2010 • 14 Komen

    Pembacaan tentang statistik di atas dari dua sudut yang berbeza:

    1. Pelaburan merudum: Najib patut berundur, 26 Julai 2010. "Prestasi Malaysia juga dianggap memalukan jika dibandingkan dengan ekonomi Thailand dan Indonesia yang tidak mengecut dengan teruk di sebalik menerima tempiasan krisis kewangan dunia itu."

    2. Malaysia kekal destinasi pelaburan menarik, 27 Julai 2010. "Ia perlukan kajian mendalam dan penyusutan aliran FDI bukanlah merupakan petanda negatif kepada aktiviti pertumbuhan ekonomi negara."


    Apa pun, gua cuma pelik bila FDI kita tidak begitu memberangsangkan, maka dikatakan ia bukanlah segalanya untuk menentukan aras positif ekonomi negara. Namun bila ada pelabur asing mahu cuba nasib di negara kita, ramailah pula orang-orang politik yang mendakwa itu petanda ekonomi Malaysia bagus, tanpa ada pun kajian mendalam yang dilakukan bagi memastikan kesahihannya.

    Gua tak faham..
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Duit 20 Ringgit & Brader Komuter

    24 Jun 2010 • 27 Komen
    Berapa ramai di sini yang pernah tengok atau sekurang-kurangnya sedar bahawa suatu masa dahulu kita ada duit kertas yang membawa nilai 20 ringgit?

    Gambar ihsan En Jaffar Hussien.


    Sebenarnya saya masih tertanya-tanya mengapa duit 20 ringgit ini dimansuhkan oleh kerajaan? Ketika pemansuhan ini berlaku, rasanya dalam tahun 1990, saya masih lagi seorang budak hingusan. Jadi saya sendiri pun tidak pasti sebab musababnya. Namun saya masih ingat kali terakhir saya memegang duit ini adalah sewaktu di Darjah 2, iaitu pada tahun 1991.

    Saya cuma terfikir alangkah bagusnya kalau kerajaan mewujudkan semula duit RM20 ini. Acapkali bila kita beli barang yang bernilai dalam RM11 - RM20, dan bila kita hulur RM50, mesti orang kedai tanya "Ada duit kecil tak?"

    Tapi nak buat macam mana, kerana itu sahajalah duit kecil yang kita ada sesudah sekeping RM10 di dalam dompet. Nak tak nak, itu sahaja lah yang kita boleh beri.

    Bagus dan mudah kan kalau kita ada duit kertas RM20?

    *****

    Kira-kira pukul 7 pagi di beberapa bulan nan lampau, saya membeli tiket komuter berharga RM6.60. Mesin tidak berfungsi, maka saya pun pergi ke kaunter untuk membeli tiket secara manual. Namun duit kecil saya tidak cukup. Nilai berikutnya yang saya ada adalah RM50. Saya rasa bersalah. Maka mahu tidak mahu, saya unjurkan duit itu kepada brader kaunter.

    Tapi tetiba dia tanya: Ada duit kecil tak?

    Saya: Tak ada.

    Brader kaunter dengan muka yang macam bagus: Minta balik tiket. Kami tak ada duit kecil nak pulangkan baki.

    Saya jawab dengan nada bengang: Eh apasal pula? Encik yang jaga kaunter, sepatutnya encik la yang ada duit kecil.

    Brader kaunter: Ok, kalau saudara tak kisah nak terima duit RM1.

    Saya jawab: Ok je, asalkan saya boleh dapat tiket.

    Lalu brader kaunter memulangkan baki RM43.40 dalam bentuk (RM5 x 1) + (RM1 X 38) + (40 sen). Tebal dompet saya bawa duit RM1 setebal itu!

    Inilah budaya unik orang kita yang sentiasa bertanya "Ada duit kecil tak?" walaupun kita sebenarnya berurusan dengan sebuah kaunter yang melakukan transaksi beribu-ribu ringgit sehari (seperti di stesen komuter, stesen minyak, pasaraya dan sebagainya); dan bukannya dengan penjual pisang goreng dan cendol pulut di tepi jalan.

    Dalam kes saya dan brader komuter itu, saya sebenarnya boleh kool kalau dia cakap baik-baik. Namun bila dia menjawab dalam nada yang sangat poyo dan macam bagus, di samping menafikan pembelian tiket hanya kerana semata-mata saya tiada duit kecil, ini sudah melampau.

    Sampai bila para peniaga bertaraf kecil, sederhana, besar dan maha besar mahu sedar bahawa bukan tanggungjawab pelanggan untuk menyediakan duit kecil?
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Hari Bapa, Hari Ibu dan Hari Sewaktu Dengannya

    19 Jun 2010 • 11 Komen
    Esok, 20 Jun 2010, adalah Hari Bapa. Seperti juga bila tibanya Hari Ibu, mesti akan ada orang yang bising-bising mempersoalkan apa perlunya kita menyambut Hari Bapa buatan Barat ini.

    Kata mereka, ini bidaah sesat sebab Hari Bapa dan Hari Ibu ini tidak pernah disambut oleh umat Islam di zaman Salafus Soleh (iaitu zaman wujudnya umat Islam paling terbaik yang berlaku dalam lingkungan 300 tahun daripada Baginda sallahu alayhi wassalam).

    Kata mereka lagi, kenapa perlu meraikan ibu dan bapa dalam hari-hari tertentu sahaja? Bukankah kita wajib meraikan mereka pada setiap hari, selama 365 hari setahun?

    Lalu sebenarnya, boleh atau tidak hendak sambut ni?

    Apa pun, saya tidaklah menyambutnya. Bahkan konsep ini sebenarnya agak janggal untuk keluarga saya. Cuma saya rasa terpanggil untuk mengupas isu ini secara ringkas memandangkan ada segilintir di antara kita yang bersifat terlampau ekstrim dalam menghukum mereka yang menyambut Hari Bapa dan Hari Ibu ini.

    Cuba kita berfikir secara rasional di sini. Kita ada banyak lagi hari-hari khas atau pun istimewa yang disambut hanya sekali dalam setahun, dan ia tidak pernah pun wujud apatah lagi diraikan oleh umat Islam yang hidup di zaman Salafus Soleh.

    Adakah Hari Guru pernah wujud di zaman Salafus Soleh? Namun mengapa kita sengaja mewujudkan satu hari yang khas dalam setahun untuk para pelajar menghargai guru dan cikgu? Bukankah kita wajib meraikan dan menghormati mereka pada setiap hari, 365 hari setahun? Namun mengapa tiada orang pun yang bising-bising cakap Hari Guru ini bidaah sesat?

    Adakah Hari Alam Sekitar dan juga Earth Hour yang merupakan buatan Barat ini pernah wujud di zaman Salafus Soleh? Namun mengapa kita memperuntukan satu hari/jam yang khas dalam setahun agar kita boleh bermuhasabah akan kerosakan dan bencana yang telah manusia lakukan kepada alam sekitar? Bukankah kita selaku umat Islam wajib menghargai dan menjaga alam sekitar amanah Allah ini tanpa perlu tibanya Hari Alam Sekitar dan Earth Hour?

    Kalau anda adalah seorang 'pejuang bidaah' yang adil, maka jika anda mengatakan Hari Ibu dan Bapa itu bidaah sesat, lalu mahu tidak mahu, dengan logik yang sama juga, Hari Guru, Hari Alam Sekitar, Earth Hour, Hari Kanak-kanak Sedunia, Hari Kesihatan Sedunia, Hari Air Sedunia, Hari Anti-Korupsi Sedunia, dan sebagainya, pun akan tergolong di bawah hukum yang sama!

    Sebab itu saya tidak gemar sangat dengan orang yang sikit-sikit nak bidaah. Penat nak melayan mereka!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Politik dan Bahasa

    30 Mei 2010 • 16 Komen
    Seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini, saya suka bereksperimentasi dengan bahasa. Tapi ada ramai orang yang tidak suka bila bahasa kita ditambah-tambah dengan istilah baru.

    Kadang-kadang, mereka ini tidak suka hanya kerana pencipta istilah baru itu duduk dalam parti politik yang tidak mereka gemari. Namun inilah yang sebenarnya berlaku di negara kita: Bahasa adalah sesuatu yang sering dipolitikkan.

    Bila Najib memperkenalkan perkataan 'glokal' yang berasal dari 'global' dan 'lokal', ramai orang marah-marah padanya. Kita berspekulasi bahawa istilah 'glokal' semata-mata diwujudkan untuk kepentingan politik Najib. Demi politik, Najib telah merosakkan bahasa. Ini apa yang rata-rata pejuang bahasa rasa.

    Namun mana dia pejuang bahasa yang mempersoalkan apabila Pak Samad Said membuat bidaah bahasa apabila beliau memperkenalkan istilah 'catakserukin' yang merupakan gabungan 'Cakap tak serupa bikin'?

    Istilah ini mula-mula diperkenalkan di dalam satu majlis politik anjuran Pakatan Rakyat; maka jelas istilah ini bersifat politik. Ia bukan lagi satu spekulasi. Lalu mengapa tiada seorang pun pejuang bahasa yang bising-bising?

    Kenapa Najib Razak tak boleh, tapi Pak Samad Said boleh? Adakah kerana beliau merupakan Sasterawan Negara? Jika ya, bukankah ini akan merencatkan perkembangan bahasa kerana kita seolah-olah hanya membenarkan golongan elit bahasa sahaja yang berhak untuk mencipta sebarang istilah baru?


    Mukadimah puisi 'Pemimpin Catakserukin'.


    Sebelum ini, bila Mahathir menggunakan istilah 'bajet' dan bukannya 'belanjawan', pun ramai orang marah-marah menuduh Mahathir sebagai perosak bahasa. Mengapa perlu meminjam lagi daripada Bahasa Inggeris? Bukankah kita sudah ada istilah yang jauh lebih 'Melayu' bunyinya di dalam kamus kita?

    Namun, belum pernah lagi saya dengar cerita-cerita pejuang bahasa yang mempertikaikan mengapa para penulis muda kita di luar negara telah bersetuju untuk sama berpayung di bawah kumpulan yang dinamakan Grup Karyawan Luar Negara.

    Logo GKLN.


    Kenapa grup? Walaupun perkataan ini memang termaktub di dalam Kamus Dewan, namun bukankah ada banyak lagi perkataan lain yang lebih 'Melayu' bunyinya seperti kumpulan, gabungan, pertubuhan, persatuan, atau sekurang-kurangnya kelab (Eng: club)?

    Jika anda pejuang bahasa yang adil lagi saksama, maka anda akan menerima apa sahaja istilah baru yang masuk ke dalam bahasa ibunda kita. Kalau ia tidak sesuai lagi janggal, maka bukan anda yang menolaknya, tetapi pengguna bahasa itu sendiri yang akan mengenepikannya sendiri secara beransur-ansur.

    Contohnya ketika era lewat 90-an di waktu orang kita baru mahu kenal apa itu internet, kita telah menggunakan istilah 'hiperangkai' sebagai terjemahan kepada 'hyperlink'. Namun oleh kerana istilah ini terlalu janggal di telinga dan lidah, kita telah menolaknya secara perlahan-lahan. Kini, istilah 'pautan' telah memupuskan 'hiperangkai'.

    Cuba bayangkan anda hidup di zaman ketika istilah 'buku' (Eng: book) mula dipopularkan. Anda bermati-matian menentang 'buku' kerana 'kitab' sudah ada pun sedia ada di dalam bahasa kita. Ditakdirkan Allah, usia anda panjang: Anda hidup sehingga hari ini.

    Maka pasti anda akan malu apabila kesudahannya, orang kita sudah selesa dan terbiasa menggunakan 'buku'. Bahkan, etimologi 'kitab' itu sendiri kini sudah berubah apabila ia hanya merujuk kepada bahan bacaan yang lebih bersifat keagamaan sahaja.

    Demikianlah ceritanya.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Ironi April Fool

    31 Mac 2010 • 17 Komen
    Kalau anda bertanyakan saya tentang April Fool, saya jawab tak kisah. Sila lah buat April Fool kepada saya, asalkan ia tidak membawa mudarat mahu pun menjatuhkan maruah saya, dan tidak juga menjadikan adrenalin saya mencanak dengan dahsyatnya. Saya tidaklah syadid sangat.

    Sebenarnya saya terdetik untuk membuat entri ini kerana saban tahun, apabila April Fool sudah hampir tiba, pasti akan ada di antara kita yang membuat entri atau menghantar emel bertajuk seperti "Asal-Usul April Fool".

    Ini tidak lah salah. Namun saya dapati, apa yang diberitahu itu hampir-hampir tak boleh pakai. Ia lebih kepada auta, bukannya fakta. Versi yang dianggap 'paling muktabar' di kalangan 'Muslim yang peka' adalah lebih kurang seperti ini:

    Setiap kali muncul tarikh 1 April, rakyat negara ini termasuk umat Islam beriya-iya menyambut April Fool dengan menggemparkan sanak saudara dan rakan taulan.

    Selain 'Hari Valentine' yang sudah sinonim dengan masyarakat Islam negara ini tetapi lebih kepada soal berkasih-sayang, 'April Fool' pula menjurus kepada berseloroh.

    Bagaimanapun, ada cerita sedih kepada masyarakat Islam di sebalik April Fool yang perlu dijadikan renungan dan dihentikan sambutannya. Adalah dipercayai sambutan April Fool mula dirayakan ketika kejatuhan Kerajaan Islam di Sepanyol.

    Setelah bertapak berkurun-kurun lamanya di Granada, Sepanyol, kerajaan Islam akhirnya runtuh diserang tentera Kristian. Penduduk Islam di Moors, Sepanyol terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan diri.

    Tentera Kristian bagaimanapun tidak berpuas hati dan berusaha untuk menghapuskan penganut Islam dari bumi Sepanyol, justeru, mereka membuat helah. Mereka memaklumkan penduduk Muslim boleh berlayar keluar dari bumi Sepanyol dengan selamat bersama-sama barangan mereka dengan menggunakan kapal di pelabuhan.

    Orang Muslimin yang risau sekiranya tawaran itu suatu penipuan pergi ke pelabuhan untuk melihat kapal yang dimaksudkan. Setelah berpuas hati, mereka membuat persiapan untuk bertolak.

    Keesokannya (1 April), mereka mengambil semua barangan yang telah dikemaskan lalu menuju ke pelabuhan. Pada masa itulah pihak Kristian mengambil kesempatan menggeledah dan membakar rumah penduduk Islam.

    Penganut Islam juga tidak sempat menaiki kapal kerana semuanya musnah dibakar. Pihak Kristian kemudian menyerang kaum Muslimin dan membunuh kesemuanya, tidak kira lelaki, perempuan, serta anak kecil. Peristiwa berdarah yang meyedihkan itu kemudiannya diraikan tentera Kristian.

    Keraian ini akhirnya dirayakan setiap tahun bukan saja di Sepanyol tetapi juga di seluruh dunia sebagai April Fool's Day.
    Soalan saya kepada yang mewara-warakan 'fakta' ini kepada umum, dari mana kisah ini dipetik sebenarnya? Dari buku sejarah mana - sama ada yang ditulis oleh penulis Islam mahu pun bukan, yang ada menyelitkan kisah menyayat hati ini?

    Dalam travelog Sepanyol yang saya tulis di blog ini suatu ketika dahulu, saya ada menceritakan banyak sepak terajang yang dilalui oleh orang-orang Islam ketika zaman tersebut, sehinggalah kepada kisah jatuhnya kota Granada di zaman Sultan Muhammad XII.

    Sangat aneh, saya tak pernah pula terjumpa akan 'kisah sejarah' April Fool ini. Tak mungkin kisah sepenting ini boleh diabaikan dalam buku The History of Islam kepunyaan saya itu.

    The History of Islam oleh Akbar Shah Khan Najeebabadi. Buku ini memang mantap!


    Maka, adalah lebih baik kita tidak menghebahkan berita yang belum benar-benar pasti ini. Sedangkan Barat sendiri pun tidak begitu pasti asal-usul April Fool ini, bagaimana anda sudah boleh benar-benar pasti hanya dengan 'berguru' kepada emel yang di-forward kepada kita? Di mana integriti kita sebagai umat Islam yang seharusnya menyemak segala macam khabar yang disampaikan kepada kita?

    Kamu tahu apa itu ironi? Ia adalah apabila kita menggunakan sebuah 'artikel menipu lagi meraban' untuk menyeru orang agar jangan menipu ketika April Fool!
    ---

    P.S. Secara peribadi, saya menggemari April Fool yang dilakukan oleh Google pada setiap tahun.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Dan Dia Pergi Sebelum Ibunya..

    14 Mac 2010 • 17 Komen
    Kepada sesiapa yang membaca entri ini, izinkan saya mengulang-tayang slogan keselamatan jalan raya yang sudah lali kita dengar ini: "Ingatlah orang yang tersayang."

    Ceritanya begini. Sewaktu saya balik kerja dalam pukul 11 malam, mak macam biasalah berceloteh tentang beberapa perkara. Salah satunya adalah tentang kisah seorang jiran; merangkap sahabat baik kepada emak saya. Saya namakan dia sebagai Cik T.

    Hari ini mak dan Cik T sama-sama pergi rewang di sebuah rumah yang sebenarnya terletak sekadar bersebelahan dengan rumah Cik T. Sesampai di sana, mak saya tercari-cari di mana dia anak lelaki bujangnya itu. Kata Cik T, anaknya itu pergi berlumba motor. Buat pengetahuan, motornya itu jenis motor besar. Harganya tak usahlah cakap; ia lebih mahal berbanding harga terkini Proton Pesona.

    Lalu, terkejutlah mak saya apabila Cik T sekadar membiarkan sahaja ragam anaknya. Ada rasa gusar pada hati mak saya memandangkan anaknya itu sudah beberapa kali eksiden. Namun menurut Cik T, sudah berbuih mulutnya menasihatkan anaknya itu supaya jangan berlumba.

    Anaknya ini pula jenis yang susah hendak serik. Fakta: Dia baru sahaja kemalangan motorsikal lebih kurang sebulan yang lalu. Namun demikian, emak dan Cik T tidaklah menjangkakan akan berlaku satu detik yang sangat hitam buatnya pada hari ini. Justeru, Cik T sekadar mendoakan keselamatan anaknya setelah nasihat yang diberikan sekadar bertahan selama buih di laut.

    Maka alangkah terkejutnya saya, tidak sampai 30 minit mak bersurah akan butiran perbualannya dengan Cik T itu kepada saya, tiba-tiba pintu rumah diketuk pada jam 11.30 malam. Pabila pintu dibuka, seorang jiran lain memberitahu bahawa anak Cik T telah meninggal dunia akibat kemalangan pagi tadi. Motornya terlanggar tembok dan lehernya patah.

    Innalillaahi wainna illaihi roji'uun.

    Ajal memang satu urusan yang pasti, detiknya sahaja yang menjadi misteri. Rupa-rupanya sewaktu saya dan mak sedang ralit berbicara tentang anak Cik T, empunya badan itu sudah pun pergi menghadap Ilahi.

    Buat pengetahuan, anak Cik T bukanlah jenis anak yang nakal. Dia memang baik, hormat orang tua dan pemurah. Saya mengenalinya semenjak di sekolah menengah lagi. Dia dua tahun junior kepada saya. Kerjayanya pun memang bagus. Dalam umurnya yang masih muda itu, EPF nya sudah pun hampir mahu mencecah RM100,000. Jadi anda boleh bayangkan betapa cerah prospek masa hadapannya.

    Hubungan dengan ibunya juga sangat akrab. Maklumlah, dia sahajalah satu-satunya anak Cik T. Suami sudah tiada. Lalu pada anaknya sahajalah tempat Cik T bergantung dan meruntun kasih.

    Maka berita yang sangat menyedihkan ini sudah tentu sangat mengganggu perasaan saya dan mak. Sewaktu mula-mula diberitahu, mak menangis seakan-akan dia sendiri yang kehilangan anak. Bayangkanlah bagaimana perasaan Cik T apabila dia diberitakan tentang pemergian anak tunggalnya itu. Memandangkan berita ini hanya sampai ke pengetahuan mak saya pada lewat malam, maka mak masih belum sempat berjumpa dengan Cik T lagi.

    Hal yang paling menyebakkan saya adalah tentang apa yang berlaku dalam tempoh 2 bulan kebelakangan ini. Sebenarnya begini, rumah yang didiami oleh Cik T sekarang, adalah sempit dan agak kecil. Bukanlah kerana dia tidak mampu membeli rumah yang lebih selesa, cuma masanya belum tepat.

    Kebetulan, saya juga sedang mencari-cari rumah dan saya telah pun berkenan mahu membeli sebuah rumah di Meru. Rumah ini memang selesa dan harganya berpatutan. Maka apabila saya tahu ada yang masih kosong, saya mencadangkan agar mak memujuk Cik T agar membeli rumah di situ juga. Maklumlah, emak dan Cik T sama-sama rakan baik, sama-sama sudah berusia, lalu saya fikir baguslah kalau mereka ini dapat berjiran, bahkan lebih dekat lagi.

    Maka pergilah Cik T, anaknya, dan tunang anaknya itu ke sana untuk meninjau lokasi dan keadaan rumah. Mereka semua terus berkenan pada masa itu juga, lalu bersetuju untuk membeli. Deposit pun sudah dibayar. Sesudah itu, Cik T sering menceritakan kepada mak saya tentang apa yang hendak dibuat dan diubahsuai pada rumah barunya itu nanti.

    Saya tiba-tiba berasa sangat sebak apabila menaip ayat yang sebelumnya. Ini kerana saya sedar bahawa segala macam impian Cik T itu telah lenyap dengan pemergian anaknya itu. Punah impian untuk berjiran, musnah angan untuk tinggal bersama dengan anak tunggalnya (dan bakal menantu, serta bakal cucu) di rumah yang baru nanti.

    Kalau pun dia mampu untuk membelinya - yang mana saya yakin dia memang mampu - namun untuk apa mahu tinggal seorang diri di rumah baru; yang boleh mengimbau segala macam angan dan impian yang tak akan dapat dikabulkan selamanya itu?

    Hati saya sebak memikirkan ini semua.

    Maka sesiapa yang sedang membaca tulisan ini, saya berharap agar dapatlah sedekahkan sepotong surah Al-Fatihah kepada arwah anaknya itu. Doakan juga agar Cik T tabah menghadapi dugaan yang maha berat ini.

    Benar bahawa ini semua adalah soal ajal maut. Namun renungkanlah kisah Saidina Umar al-Khattab dalam ekspedisi perangnya ke negeri Syam. Sewaktu sedang dalam perjalanan ke sana, beliau diberitahu bahawa Syam sedang dilanda dengan wabak taun. Lalu beliau membuat keputusan untuk kembali semula ke Madinah, sehingga ada sahabat lain yang mempersoalkan adakah Saidina Umar lari daripada takdir untuk berperang di Syam.

    Namun beliau menjawab bahawa "kita sekadar lari daripada satu takdir Allah, kepada satu takdir Allah yang lain". Begitulah lebih kurang.

    Saya mengingatkan sekali lagi kepada diri sendiri dan yang lain-lain: "Ingatlah orang yang tersayang". Seperti yang pernah saya ulas dahulu, 96% kemalangan jalan raya adalah berpunca daripada pengguna jalan raya itu sendiri. Dalam tragedi yang berlaku ini, amat jelas bahawa kisah sedih ini boleh dielakkan jika anak Cik T tidak terlalu mengikut hati mudanya.

    Daripada-Nya kita datang, kepada-Nya jua kita kan kembali. Al-Fatihah.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Kisah Sijil & Logo Halal yang Haram

    01 Mac 2010 • 16 Komen
    Mari mengimbau masa silam..
    Keputusan jemaah menteri mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya menyediakan satu kertas cadangan untuk menyelaraskan peraturan dan prosedur persijilan halal di negara ini amat dialu-alukan. Ini kerana, sebelum ini peraturan sedia ada mengenai pengeluaran sijil serta penggunaan logo halal dibuat oleh pihak berkuasa negeri dan ia tidak selaras antara satu sama lain..

    Perkemaskan pengeluaran sijil halal, Utusan Malaysia, 28 Mac 2003
    Kini..
    Hanya satu sijil dan logo halal akan digunakan di negara ini dan ia dikawal serta dikeluarkan oleh Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Beliau berkata, penyeragaman sijil dan logo halal oleh Jakim itu akan memudahkan masyarakat mengenal pasti sijil halal sah dikeluarkan Jakim dengan yang palsu.

    Hanya satu logo halal, Harian Metro, 27 Februari 2010
    Akhirnya setelah hampir 7 tahun memerah otak dan menitiskan peluh, Malaysia telah berjaya melakukan apa yang sepatutnya.

    Awas awas dan awas, perenggan di bawah ini pula adalah spoiler bagi berita yang mungkin akan terbit di dada-dada akhbar dalam beberapa tahun lagi. Tolong hentikan membaca kalau anda lebih gemarkan kejutan!
    Kerajaan akan merangka satu pelan yang lebih drastik bagi menghukum syarikat yang sewenang-wenangnya memalsukan logo dan sijil halal. Jakim telah mencadangkan agar logo halal pada produk makanan diwajibkan dalam bentuk pelekat hologram agar ia tidak mudah dicetak rompak.

    Logo halal bakal jadi lebih canggih, inilah bukti Malaysia Boleh!, Berita Harian, 1 Jan 2020
    Ok, jangan jadi lurus bendul tentang sedutan berita bertarikh 1 Jan 2020 itu.

    Sesuatu yang Kurang Pada Logo Halal Jakim

    Saya naik takjub apabila membaca berita tentang penyelarasan satu logo halal sahaja selepas ini. Saya mendapati antara isi yang cuba ditekankan ialah dengan mempunyai satu logo yang seragam, masalah logo palsu dapat dibanteras dengan jayanya. Ini apa yang disebut oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom:
    Langkah ini bagi saya adalah lebih baik. Cuba lihat logo halal yang dipamerkan. Sekiranya daripada Jakim tidak ada masalah tetapi jika bukan, elakkanlah diri daripada makan di tempat berkenaan...

    ...ciri-ciri logo halal yang diiktiraf oleh kerajaan adalah berbucu lapan di tengah-tengah bulatan. Mempunyai perkataan Arab 'halal' di tengah bintang dan diikuti tulisan rumi 'halal'. Bulatan logo tertulis perkataan 'MALAYSIA dalam tulisan rumi dan Arab. Dua bintang kecil berbucu lima diletakkan bagi memisahkan tulisan rumi dan perkataan Arab.
    Anda bayangkanlah, di zaman ini, semuanya boleh dipalsukan. Duit boleh dipalsukan, kad pengenalan pintar boleh dipalsukan, serta identiti diri anda juga pun mudah dipalsukan. Hatta, lelaki pun boleh dipalsukan menjadi wanita; sampai kita sendiri pun boleh naik keliru sama ada awek cun bergetah yang kita lihat di Lorong Haji Taib itu benar-benar tulenkah dia? Atau bahagian yang bergetah itu cuma sekadar silikon untuk mengaburi nafsu kita? Oops, tapi saya tidaklah suka-suka lalu di situ.

    Justeru, bukankah itu semua sudah cukup sebagai satu amaran bersifat common sense bahawa logo halal Jakim adalah sangat mudah dipalsukan? Bukan susah pun untuk melakukan replika logo tersebut di Photoshop, sedangkan yang lebih kompleks pun kita boleh melakukannya dengan mudah!

    [Edit 4/3/2010]: Contohnya telah pun berlaku dalam kisah 'Mamak' pucat lesi:
    Menurutnya, sebaik tiba ke restoran terbabit, pegawai Jakim dan KPDNKK mendapati tiga logo halal Jakim disyaki palsu sengaja diletak di tiga penjuru restoran berkenaan yang diuruskan peniaga bukan Islam.

    Seorang penyelia restoran yang disoal siasat bagaimanapun berpura-pura mendakwa restoran terbabit ditauliahkan sijil halal Jakim, namun gagal membuktikan atau menunjukkan sijil berkenaan.

    "Lelaki terbabit sebaliknya memberi alasan sijil halal Jakim berkenaan kini disimpan pemilik syarikat yang sedang berada di Kedah atas alasan mempunyai urusan perniagaan," katanya.
    Maka cara paling afdal adalah dengan mempertingkatkan lagi mutu dan keupayaan SMS Halal yang dibangunkan oleh Jakim. Saya mendapati sistem ini masih mempunyai beberapa kelemahan utama.

    SMS Halal - Hantar ke 32728

    Soalan bijak: Bagaimana saya mahu menyemak status halal premis makanan seperti Sushi King, Old Town Kopitiam, dan Dome Cafe?


    Sila lihat keratan akhbar ini dan berikan tumpuan kepada petikannya di bawahnya:


    ...pengguna hanya perlu menghantar SMS ke 32728 dengan menaip kod bar barangan yang menggunakan Global Standard 1 (GS1)...

    ...bagi produk, premis atau rumah sembelihan yang tidak mempunyai nombor GS1, Jakim akan menggunakan nombor rujukan permohonan sijil halal Jakim untuk didaftarkan melalui e-Halal...
    Kalau mengikut apa yang saya faham, semakan boleh dibuat dengan kod bar ATAU nombor rujukan permohonan sijil halal Jakim bagi yang tiada GS1. Namun pemahaman saya mungkin juga salah kerana laman web Halal Malaysia gagal mendokumentasi perkara ini dengan sebaiknya, bahkan apabila membuka bahagian SMS Halal itu, ia seolah-olah hanya menekankan bahawa semakan hanya boleh dilakukan dengan menggunakan kod bar SAHAJA. Sila ambil perhatian bahawa, sistem yang diperkenalkan semenjak September 2005 ini (bermaksud sudah hampir 5 tahun), masih mempunyai dokumentasi yang cacamarba.

    Apa pun, katakan pemahaman saya itu benar. Maka ini sudah tentunya bermaksud saya perlu masuk terlebih dahulu ke dalam premis makanan yang terlekat stiker logo halal Jakim di cermin luarnya, lalu bertanya kepada pekerja di situ (ada kemungkinan mereka ialah mat bangla yang tak tahu sangat kecek BM), tentang apakah nombor rujukan sijil halal Jakim restoran ini?

    Ini sangat melecehkan dan nampak terlalu kerek.

    Bahkan juga, bukan semua produk ada kod bar berteknologi GS1. Ini perkara lazim pada produk keluaran Industri Kecil dan Sederhana (IKS); contohnya produk Keropok Lekor keluaran Industri Keropok Sedunia yang memang telah disahkan halal oleh Jakim ini:

    Kod bar? GS1? Keropok di atas tidak memilikinya.

    Maka, mungkin salah satu cara menyelesaikan kebuntuan ini adalah dengan memetakan segala macam jenis kod bar dan nombor rujukan sijil halal itu ke dalam satu sistem lain, yang memiliki kod yang lebih generik.

    Sebagai contoh:
    1. Semua produk, yang memiliki kod bar GS1 atau pun tidak, dipetakan ke dalam kod generik PKxxxxx-xxxxx
    2. Semua premis makanan dan hotel yang memiliki nombor rujukan halal, seperti JAKIM/(S)/(22.00)/492/2/2003-08/2004, dipetakan ke dalam kod generik PSxxxxx-xxxxx
    3. Semua rumah sembelihan dipetakan ke dalam kod generik RSxxxxx-xxxxx
    Kemudian, kod ini wajib diletak di bawah setiap logo halal Jakim tersebut. Bagi sesebuah produk, kod berkenaan mungkin boleh juga dicetak seperti mana tarikh luput dicetak. Maka sesiapa pun akan dapat menyemak status halal produk, premis makanan dan restoran dengan lebih mudah.

    Sistem SMS Halal yang Kurang Tepat

    Namun begitu, perkara paling penting yang perlu dilakukan buat masa ini adalah dengan memastikan ketepatan maklumat sistem SMS ini. Mula-mula, sila beritahu dengan jelas kepada orang ramai bahawa sistem ini berharga RM0.50 bagi setiap SMS yang diterima. Perkara ini wajib didokumentasikan dengan betul kerana kita tidak mahu ada orang yang merungut kerana menyangka servis ini percuma.

    Saya ada menyemak status halal Gardenia Delicia Soft Roll (Butter Toffee), yang mana terpampang logo halal Jakim pada bungkusannya. Kod bar bagi produk ini ialah 9556231120181 seperti dalam gambar ini:

    Maaf, kualiti gambar kurang memuaskan.

    Namun ini jawapan yang saya terima:

    Eh, tiada dalam senarai?

    Saya sudah keliru. Semakan kod bar di laman webnya juga gagal memberikan keputusan positif:


    Lalu bagaimana produk ini boleh tersenarai di dalam direktori halal bagi produk keluaran Gardenia Bakeries?
    Klik untuk besarkan gambar. Lihat no 32.

    Maka tolonglah permudahkan, serta siumankan segala proses semakan ini, maka barulah Malaysia benar-benar boleh menjadi hab halal yang diiktiraf dunia (Oops, dengan syarat berita bertarikh 1 Jan 2020 itu tidak benar-benar berlaku!)
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Calon Gambar Paling Misteri Bagi Tahun 2010

    19 Januari 2010 • 36 Komen

    Gambar aneh ini ditangkap di pasaraya Giant Seksyen 18, Shah Alam. Sudah nampak apa yang misterinya? Nampak tak yang putih-putih, dan ada warna kehitaman sedikit tu?

    Masih tak nampak? Ok, ini dia:


    Sungguh misteri! Makin kurang gula, makin mahal jadinya. Hukum ekonomi apakah ini namanya?

    Saya ada membandingkan label pemakanan kedua-duanya, dan tiada apa-apa kelebihan bagi jenis kurang gula. Bermaksud: Tiada tongkat ali, kacip fatimah, akar ginseng, sarang burung, spirulina, mahu pun habbatus sauda yang menjadi ramuan tambahan. Ia memang semata-mata kurang gula (justeru lebih murah kos untuk menghasilkannya).

    F&N sudah kencing manis sama kita semua. Betul kah kerajaan mahu kita semua berubah kepada diet yang lebih kurang bergula? Kalau begitu, kenapa bila kandungan gula , harga ? Pak Ismail Sabri, tolong jelaskan.

    Tak lama lagi rasanya, kita boleh jumpa produk susu kacang soya 'sihat' yang mengandungi 0% gula, tetapi dijual pada harga sama atau pun lebih mahal berbanding susu kacang soya yang memiliki kandungan gula normal. Minta selisih malaikat empat puluh empat!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Hah? Kau Kata Holocaust Itu Tahyul?

    10 Januari 2010 • 28 Komen
    Humor di sebalik gambar kucing di atas boleh dihayati sekiranya i) Anda kenal siapa dalang utama Holocaust; dan ii) Anda arif bagaimana bentuk misainya. Sekian adanya.


    Apa itu Holocaust? Ringkasnya, ia adalah detik hitam sejarah manusia yang tercetus ketika Perang Dunia Ke-2. Dianggarkan sebanyak 6 juta penduduk Yahudi di Eropah telah dipupuskan oleh gerombolan Nazi yang kejam.

    Kenapa ia berlaku? Adolf Hitler selaku pemimpin terutama Parti Nazi ketika itu, amat bencikan Yahudi. Maka gerakan menghapuskan Yahudi secara besar-besaran terus dilancarkan sebaik sahaja beliau naik junjung.

    Arakian dimaklumkan bahawa saya adalah antara sebahagian individu waras yang percaya bahawa kisah Holocaust ini memang benar-benar terjadi. Sebaliknya, gerakan Holocaust Denial yang wujud pada hari ini cuba menafikan sejarah tersebut. Kata mereka, Holocaust itu tahyul. Kata mereka, Holocaust itu auta, dan bukannya fakta.

    Dalam erti kata lain, Holocaust bagi mereka, adalah satu konspirasi terbesar orang-orang Yahudi!

    Terima kasih kepada sebilangan kecil ustaz, ustazah, tok sheikh, mak sheikh, dan pemimpin dunia Islam yang sengaja atau pun tidak, yang telah mengompangkan lagu Holocaust Denial di sana-sini. Akibatnya, fahaman tersebut semakin menular dan diterima bulat-bulat oleh sekelompok umat Islam dewasa ini. Mentang-mentanglah isu Israel-Palestin masih tertangguh di jalan buntu, maka adakah dengan itu kita sewenang-wenangnya boleh mempercayai kesemua tuduhan buruk yang dilemparkan ke atas Yahudi [1]?

    Bagi saya, Holocaust bukanlah suatu konspirasi global Yahudi untuk menagih belas kasihan umat dunia. Bukanlah ia juga sebahagian daripada perancangan mamat-mamat Yahudi untuk membuatkan kita semua lupa tentang derita saudara seIslam kita di bumi Palestin.

    Bahkan kepada sesiapa yang terlalu anti kepada Yahudi, saya sering mengingatkan bahawa musuh sebenarnya bukan Yahudi, tetapi Zionis. Maaf, saya bukan hentam kromo dalam membuat kenyataan ini kerana Sheikh Yusuf Qaradawi turut tidak menafikannya.

    Eh, ada apa-apa ke saya mempertahankan Yahudi ini? Oh tidak, saya tidak disogok dengan sebuah komputer Dell berkuasa Intel. Saya juga tidak diberikan kupon-kupon percuma oleh Starbucks. Cumanya, saya bukan jenis manusia yang senang-senang membuat kesimpulan tentang sesuatu isu tanpa melihatnya daripada setiap sudut yang saling bertentangan, lebih-lebih lagi dalam perkara yang melibatkan teori konspirasi seperti Holocaust Denial ini [2].

    Apa pun, bukanlah tujuan saya untuk bersurah kepada anda semua tentang kenapa saya percaya Holocaust benar-benar terjadi. Sebabnya yang pertama, saya bukan pakar sejarah Yahudi. Kedua, ini blog, bukan buku. Ketiga, bila kau cari sendiri jawapannya, dan bukan disuapkan, maka secara metaforanya nasi kosong yang dimakan akan terasa lazat seperti mana kau menjamah Nasi Ayam Hainan Chee Meng di Bukit Bintang [3]!

    Namun demikian, ingin saya petik beberapa perenggan daripada sebuah tulisan oleh Sheikh Hamza Yusuf [4] yang bertajuk Holocaust Denial Undermines Islam:
    In the case of the Holocaust, the facts are clear and transmitted from multiple sources. Tens of thousands of Jewish and other individuals who survived the death camps and other horrors of Nazi Germany lived to tell of it. Nazis were brought to trial, evidence was presented in court, and they were convicted. Mass graves were found, and gas chambers were discovered...

    ...I have personally met many Holocaust survivors and their children. I have seen tattoos. I have also heard firsthand accounts of the horrific events. The numbers and details of such events may be legitimate areas of research and inquiry for scholars, but questioning whether the events took place at all undermines the epistemological basis of our collective knowledge..

    ...Muslims, of all people, should be conscious of this as their religion is predicated on the same epistemological premises as many major events in history, such as the Holocaust. To deny such things is to undermine Islam as an historical event. That a “conference” examining the historicity of the Holocaust should take place in a Muslim country hosted by a Muslim head of state is particularly tragic and, in my estimation, undermines the historicity of the faith of the people of that state...

    ...In our inherent contradictions as humans, and in order to validate our own pain, we deny the pain of others. But it is in acknowledging the pain of others that we achieve fully our humanity...
    Macam yang Sheikh Muhammad al-Yaqoubi pernah bilang dalam satu ceramahnya, yang mana maksudnya boleh disimpulkan sebagai begini, "Hari ini aktivis Islam rata-ratanya dirasuk oleh rasa amarah dan benci; yang dirasuk dengan ilmu masih kurang".

    Maka inilah sebabnya di negara kita, ada 'aktivis Islam' yang main pijak-pijak kepala lembu sebagai tanda protes dan benci kepada rakyat beragama Hindu. Padahal sewaktu Sunan Kudus (salah seorang daripada sembilan Wali Songo) berdakwah di Indonesia yang masih dibelenggu dengan Hinduisme, beliau melarang umat Islam daripada menyembelih lembu untuk dimakan. Bahkan, beliau juga pernah menambatkan lembu di hadapan masjid sebagai tanda pekanya terhadap kepercayaan penduduk tempatan di waktu itu.

    Oh, teringat pula satu gambar seorang muslimah di Iran (rasanya) yang melakukan demonstrasi jalanan bagi mengutuk pendudukan haram Zionis. Dalam sepanduk yang dipegangnya, tertulis mesej yang mengagung-agungkan Hitler. Rasanya, muslimah ini terlalu bersyukur di atas jasa Hitler melakukan genocide ke atas orang-orang Yahudi. Inilah dia bahana kejahilan!

    Tammat.
    ---

    Nota Kaki

    ^[1] Teringat pula kisah sewaktu melawat Madrid beberapa tahun lepas. Di hostel tempat saya menginap, entah macam mana boleh ditakdirkan saya berkongsi sebilik dengan seorang pemuda Yahudi berusia 20-an yang berasal daripada Jerusalem. Dia datang ke Madrid kerana mahu menjual hasil lukisannya. Katanya, di Jerusalem tak boleh cari makan sangat.

    Pada mulanya dia tidak mengetahui saya ini orang Islam. Namun entah macam mana dia boleh ternampak saya menunaikan solat Isyak walaupun pada ketika itu penglihatannya patut dihalang oleh sebuah almari baju yang terletak di tepi katil tempat dia sedang berbaring. Pada malam itu juga, dia bertanya, "Are you a Muslim?" "Yes, indeed", jawab saya ringkas.

    Di lewat malamnya, sebelum saya memejamkan mata, saya berdoa agar janganlah esoknya di Utusan Malaysia terpampang tajuk utama "Warga Malaysia mati ditikam Yahudi di Madrid".


    ^[2] Pernah dengar tentang teori konspirasi Manusia Tidak Pernah Mendarat di Bulan? Dulu-dulu saya pernah percaya. Tapi kini, tidak lagi setelah saya melihatnya daripada dua sudut berbeza. Oh ya, kepada sesiapa yang masih mempercayainya, sila tonton juga eksperimen yang dilakukan oleh geng Mythbusters.

    Oh ya, tentang sebuah lagi khabar angin lama yang mengatakan Michael Jackson memeluk Islam pada tahun 2008, ada lagi yang masih percaya ke? Sebenarnya, dua saksi penting yang wujud dalam khabar angin yang mula disebarkan oleh The Sun, iaitu Yusuf Islam dan Dawud Wharnsby Ali, telah pun sejak sekian lama menafikannya:
    Contrary to persistent press rumours, I was not at any kind of conversion ceremony for Michael Jackson... Granted, I was in Los Angeles at the time these rumours first appeared – but I was busy filming a video for a new song, Boots & Sand.
    - Yusuf Islam


    Lastly – many have been in touch with me over the past year to inquire about my personal relationship with Michael Jackson. A November 21, 2008 Sun (UK) article spread internationally stating that Michael had adopted the religion of Islam through friendship with both myself and my colleague Idris Phillips during recording sessions in Los Angeles.

    For the record: Though our professional circles did cross-over slightly with various common professional acquaintances – I never had the honour or pleasure of meeting Micheal Jackson personally, nor did we ever correspond on matters of our professions, personal lives or faiths.
    - Dawud Wharnsby Ali
    Kenapa pula saya ungkit khabar angin ini di sini? Kerana boleh pula wujud sebuah teori konspirasi yang mengatakan bahawa "Michael Jackson memang sudah peluk Islam. Tapi dia tak nak mengaku secara rasmi kerana dirinya diugut."

    Apa pun, kalau ada kawan tanya lagi tentang berita pengIslaman Michael Jackson itu, sila sebut bulat-bulat apa yang dua orang di atas ini kata, ok?


    ^[3] Orang kata nasi ayam di kedai ini amat sedap. Waktu bulan Ramadhan yang lepas, ingat mahu cuba rasa. Tengok-tengok pada pukul 6 petang, mejanya sudah habis ditempah orang! Aduh kempunan, berbuka di Pantai Dalam sahaja jadinya.


    ^[4] Respek saya amatlah tinggi terhadap sheikh yang merupakan pengasas Zaytuna Institute & Academy di California ini. Bahkan, jarang-jarang ada ulama dari Barat sepertinya yang mempunyai pengaruh signifikan dalam dunia Islam di Timur Tengah. Sejak sekian lama, sesekali tulisan saya di blog ini ada yang tertempias sedikit dengan hujanan idea pemikiran beliau.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Kerana Kau yang Bernama Facebook

    03 Januari 2010 • 35 Komen
    Beberapa hari lepas, saya ada membaca artikel tentang bahana Facebook. Sebuah firma guaman yang membuat pengkhususan dalam bab cerai-berai, menyatakan bahawa:
    Di United Kingdom, bagi setiap 5 petisyen penceraian yang difailkan, 1 daripadanya ada sangkut-paut dengan Facebook.
    Tengok-tengok hari ini, rupa-rupanya sudah ada kes keretakan rumah tangga yang berlaku di Malaysia gara-gara Facebook. 14 tahun berkahwin, kemudian isteri menyertai Facebook untuk mencari rakan lama. Bila sudah berjumpa, semakin kerap main Facebook dan melayan rakan-rakan lelaki lama yang sudah pun jadi suami orang, akhirnya galak bergayut di telefon pula.

    Ini sangat menyedihkan.

    Dahulu kita pernah ada isu kes cerai melalui SMS. Boleh ke tak boleh. Sah ke tak sah. Tak lama lagi gamaknya kena ada fatwa tentang hukum menceraikan isteri melalui status Facebook. Benda ini sudah pun pernah dibuat oleh Neil Brady pada awal tahun 2009 di UK. Status tersebut berbunyi:
    Neil Brady has ended his marriage to Emma Brady.
    Hal ini tak mustahil boleh berlaku juga di negara kita apabila semakin ramai rakyat Malaysia yang internet-savvy, contohnya makcik cleaner di tempat kerja kawan saya yang asyik bergaya dengan iPhone cap Apple-nya itu.

    Dahulu, saya pernah menyarankan agar tak terlalu sangat melekat di Friendster (artikel ini ditulis ketika Facebook masih tidak begitu dikenali lagi oleh orang kita).

    Kalaulah ia ditulis pada tahun 2010, pasti saya akan menutup artikel itu dengan memberikan saranan agar membunuh diri anda dengan Web 2.0 Suicide Machine.

    Patutkah kau membunuh dirimu sekarang? Goyangkan pokok dan tanyalah pada hati sendiri. Tapi kalau kau lebih kenal 'kawan-kawan' Facebook berbanding jiran-jiran terdekat, kau memang ada masalah besar.

    Apa pun, kepada insan-insan yang asyik menyuruh saya menyertai Facebook, ini mesej untuk kamu sekalian: "Kalau kau kawan sebenar aku, kau patut tahu macam mana nak hubungi aku. "

    Heh, untuk nota sampingan, ingin aku khabarkan apa yang seorang Pak Tua beritahu aku:
    Sentiasa bersederhanalah dalam apa jua perkara (termasuklah bersederhana dalam sederhana itu sendiri).

    ¶ Teruskan membaca entri ini »