Back to home page

Sosilawati, Kemalangan & Artis Bercerai

19 September 2010 • 16 Komen Cetak Chenta!

i. Sosilawati

Tiba-tiba berita kehilangan dan pembunuhan Sosilawati menjadi buah mulut orang-orang yang ziarah beraya. Emak saya, secara tiba-tiba juga sudah naik seriau dengan kes orang hilang. Ditambah lagi sejurus selepas kes Sosilawati, menyusul pula berita tiga orang pelajar perempuan Tingkatan 2 yang dilaporkan hilang.

Akhirnya emak saya membuat kesimpulan: Kes orang hilang semakin menggila di Malaysia sekarang ini.

Namun apa yang emak tidak sedar adalah bahawa, kes orang hilang sebenarnya telah mengalami penurunan atau tidak mengalami kenaikan yang ketara semenjak tahun 2007. Berikut adalah statistik yang dikeluarkan oleh PDRM:

statistik pdrm
Dari laman rasmi Polis Diraja Malaysia. 18 September 2010


Apa yang berlaku di atas adalah kesan daripada sensasi yang dipopularkan oleh akhbar, televisyen dan radio. Jika berita jenis jenayah sahajalah yang menjadi bahan berita utama, maka ini memberikan kesan psikologi kepada orang awam bahawa jenayah sedang bermaharajalela (walaupun sebenarnya data statistik sedang menunjukkan penurunan).


ii. Kemalangan

Kesan psikologi yang sama juga boleh berlaku pada berita kemalangan jalan raya. Siarkan paling kurang 3 berita kemalangan setiap hari; kesemuanya mestilah kemalangan yang paling sadis, ngeri lagi menyayat hati; jadikan ia sebagai berita utama selama paling kurang seminggu, dan kita akan melihat rata-rata orang awam berpendapat bahawa sekarang ini musim kemalangan (walaupun pada hakikatnya, mungkin jumlah mangsa kemalangan maut pada bulan lepas adalah 400 dan yang berlaku pada 'bulan propaganda' pula cumalah 350).

Kalau tidak percaya, lepas ini bila timbul semula 'trend' berita kemalangan yang membuatkan kita rasa ia semakin menjadi-jadi, sila lah cari mana-mana statistik kemalangan jalan raya yang berwibawa. Besar kemungkinan, ia tidak pun menunjukkan sebarang peningkatan yang signifikan.


iii. Artis Bercerai

Satu lagi bias yang berlaku pada persepsi kita adalah tentang perceraian artis. Bila media bergosip tentang para artis yang asyik bercerai-berai, kita sama ada secara sengaja atau pun tidak, telah menjana persepsi bahawa "artis sekarang" kalau kahwin mesti bercerai. Kita nampaknya lupa bahawa "artis dulu-dulu" pun selalu juga kahwin-cerai-kahwin.

Sekadar menyebut beberapa contoh: P Ramlee pernah bercerai dengan Junaidah dan Norizan sebelum bertemu jodoh hidup matinya dengan Saloma; suami pertama Saloma pula adalah A.R. Tompel yang mana ketika itu sudah pun mempunyai seorang isteri bernama Putih Suraiti (ibu kepada A.R. Badul) dan suami kedua Saloma pula bernama Kaswan Yusak; Ruminah Sidek pula adalah antara wanita yang dinikahi oleh A.R. Tompel sesudah Saloma.

Bahkan kita juga lupa bahawa daripada 22,289 kes perceraian pasangan Islam yang direkodkan di Malaysia pada tahun 2008, berapa kerat sangatlah di antaranya yang melibatkan artis dan selebriti. Mungkin 100 pun tak sampai. Bakinya yang beribu-ribu adalah sekadar orang biasa yang mukanya tidak pernah pun masuk TV.

Namun oleh kerana media asyik menayangkan berita perceraian artis saban bulan, daripada Januari ke Disember, maka akhirnya tertanam dalam benak kita bahawa "artis zaman sekarang kalau berkahwin, mesti bercerai suatu hari nanti." Akhirnya kita terlupa yang orang biasa pun selalu sahaja bercerai-berai.


Natijah

Oleh kerana media massa berupaya untuk menjadikan sesebuah isu sebagai satu trend yang memberikan impak besar kepada rakyat, maka ia sering disalahgunakan oleh mereka yang berkuasa sebagai alat propaganda. Hal ini telah disentuh dengan baik di dalam buku Manufacturing Consent: The Political Economy of the Mass Media.

Manufacturing Consent: The Political Economy of the Mass Media. Buku ini telah diadaptasi ke dalam bentuk filem dokumentari (tonton ia di Google Video).


"Manufacturing consent" mungkin merupakan satu konsep yang sangat asing bagi kebanyakan kita. Secara mudah, kita bolehlah menterjemahkan ia ke dalam Bahasa Malaysia sebagai "mendapatkan restu".

Saya berikan 2 contoh yang mana kerajaan mungkin sudah/sedang melakukan "manufacturing consent" dalam membuat sesebuah keputusan yang melibatkan dasar dan polisi negara.

  1. Tidak berapa lama dahulu, secara tiba-tiba media asyik membuat berita tentang bahaya gula kepada kesihatan. Rakyat asyik diberitahu dan diingatkan tentang apa yang tak eloknya gula ini, padahal kita semua sudah pun maklum akan hal itu. Perkara ini dilakukan buat beberapa ketika, dan bila masanya sesuai, subsidi gula pun diturunkan dan lalu harganya naik. Maka ini akan mengurangkan kemarahan pengguna kerana mereka telah pun dibasuh akan kejahatan gula ini.

  2. Kalau anda perasan, berita tangkapan mereka yang berjudi bola di negara kita pada Piala Dunia 2010 yang lepas, telah dilaporkan pada setiap hari sepanjang berlangsungnya kejohanan tersebut. Berita seperti ini tidak kerap sangat keluar pada Piala Dunia 2006. Kita semua tahu bahawa usaha kerajaan untuk 'menghalalkan' judi bola telah dilibas kuat oleh ramai pihak.

    Berita seperti itu sering dialunkan seakan-akan ingin memberitahu kita secara subliminal bahawa: "Orang tetap akan berjudi bola secara haram. Maka bukankah lebih baik kita 'halalkan' saja kerana dapat juga dipungut cukai daripada para kaki judi itu?" Maka, mungkinkah media tiba-tiba menekankan kisah orang yang kantoi judi bola, agar pada tahun 2014, kerajaan boleh berusaha sekali lagi untuk mendapatkan lebih banyak 'restu' bagi menghalalkan judi bola?

Manufacturing consent atau pun bukan, mungkin anda perlu menentukannya sendiri. Salah satu caranya adalah dengan meneliti di halaman manakah berita itu keluar? Jika di muka paling hadapan, besar kemungkinan ia sedang melakukan 'manufacturing consent' kepada rakyat jelata.

Maka sebab itu John Naisbitt, pengarang buku Mind Set!: Reset Your Thinking and See the Future, menyebut di dalam bukunya ini bahawa apabila membaca surat khabar, beliau memulakannya daripada bahagian muka belakang ke bahagian muka hadapan.

Baginya, berita-berita sukan yang terdapat di halaman belakang selalunya dilaporkan tepat 100% seperti apa yang berlaku. Manakala berita-berita semasa yang terdapat di bahagian paling hadapan, selalunya dicemari dengan propaganda dan keselindungan fakta!

16 Komen Tambah Komen↴

hehe..saya pun baca paper dari belakang ke depan. sebab kena prepare mental dulu nak baca berita nasional >_>

Betul! Saya sangat bersetuju dan memang benar. Media mampu mempengaruhi pemikiran dan emosi pendengar. Saya sudah lama memahami konsep ini tetapi tidak pernah lagi bertemu dengan istilah "Manufacturing consent" ini. Satu artikel yang sangat bermanfaat.

Minit perbualan raya:

1. Bertanya khabar
2. Lemang, ketupat, kuih raya
3. Jemputan walimah
4. Kes Sosilawati
5. Orang hilang dan kena bunuh
6. Memey bertunang (hahaha)


Sekarang lagi susah nak keluar rumah. Mak risau paranoid terlebih! T_T

saya setuju.berita dari belakang ke hadapan adalah yang biasanya fakta betul.sukan, ekonomi, dan masalah di kampung-kampung..dan melihatkan kalau benar ia mencari 'restu'. mungkin salah satunya mencari restu untuk pilihanraya umum yang tak lama lagi juga.selamat menulis!!

wah best...sentiasa ada fact and figure.
macam mana encik tawel beroleh statistik semua ni, nak google cemana ya?

@Nooreena, tiba-tiba buat saya nak tahu pula pasal kisah Memey ;)

@azie in wonderland, ada sesetengah tu saya dah jumpa lama, lalu saya bookmark guna servis Delicious. Yang lain-lain tu, kena la ada mantapkan Google-Fu! Tapi tak semestinya guna Google. Banyak je lagi caranya. Hehe :)

Ok, terima kasih kepada semua yang mengomen.

Ada betulnya tp kadangkala hanya kebetulan.

lagi satu yg mmg tepat kat belakang surat kahabar ialah no 4D.betapa hangatnya nye benting akibat ledakan kes sosilawati.jika dahulu orang mengenali mantin dari banting sekarang sebaliknya...kesan dari media massa..en tewel pun kg kat banting x balik raya kee...hee

SabiqJr

inilah dinamakan kuasa media...
apa yg sy nmpak,biasnya media akan menutup berita tntng politik..
lalu mengeluarkan berita baru..

cth:-kes buang bayi dikecohkan wlaau dr dulu mmng ada..
sdgnkan ada lagi kes yg lebih besar...:P

sprti juga kes rokok...dikecoh2xkn rokok membhyakan kesihatan,
sdngkan asap rokok tidaklah terruk dibandingkan dgn berpuluh2x asap kereta dijalan raya dll..jika sy slaah maka slaahlah ilmu kedoktoran yg sy belajar...:)

ps:-apa yg sy nmpak..jabatan kesihatan mmbuat begini agar mereka dilihat msyrakat..mereka membuat kerja...keh keh keh

@SabirJr, bergantung juga kepada jenama akhbar yang dibaca. Sinar Harian tak ada 4D. Ke ada ye? Haha lama tak beli surat khabar dah.


@Perokok Soleh, ingatkan saya seorang saja yang perasan bahawa kira-kira hampir 20 tahun dahulu, isu buang bayi pernah menjadi trend besar media massa negara kita. Tiba-tiba bila berlaku lagi sekarang ni, seolah-olah benda ni macam pertama kali berlaku pula.

Kadang-kadang tak ikuti berita semasa mendatangkan ketenangan.

U read my mind.

Kak Su setuju dgn Shubhi. Adakala jadi risau dan murung bila mengetahui apa yang berlaku pada masyarakat sekeliling.
Tapi... adakah dengan membandingkan keadaan dulu yg pernah seburuk ini akan membuatkan kerisauan itu hilang? Rasanya sesak minda ini tak akan hilang pun...

Saya ingin memberi komen mengenai:

"Bahkan kita juga lupa bahawa daripada 22,289 kes perceraian pasangan Islam yang direkodkan di Malaysia pada tahun 2008, berapa kerat sangatlah di antaranya yang melibatkan artis dan selebriti. Mungkin 100 pun tak sampai. Bakinya yang beribu-ribu adalah sekadar orang biasa yang mukanya tidak pernah pun masuk TV.

Namun oleh kerana media asyik menayangkan berita perceraian artis saban bulan, daripada Januari ke Disember, maka akhirnya tertanam dalam benak kita bahawa "artis zaman sekarang kalau berkahwin, mesti bercerai suatu hari nanti." Akhirnya kita terlupa yang orang biasa pun selalu sahaja bercerai-berai."

Saya rasa disini cara terbaik membuat analisa ialah mengambil peratusan artis dalam populasi dan di sandarkan pula pada peratusan artis yang bercerai dikalangan pasangan yang bercerai..barulah boleh kita buat statement diatas..pada hemah saya peratus begini boleh menunjukkan bahawa profesyen artis mungkin tertinggi dikalangan profesyen lain yang bercerai pada satu satu masa.

Terimakasih

@Warrior, "Correlation does not imply causation". Kalau pun didapati peratusan artis yang bercerai agak tinggi jika dibandingkan dengan orang biasa, namun itu tak bermakna "Asal jadi artis, mesti senang bercerai-berai".

kuasa media..teringt dlm filem james bond media dikuasai olh seseorng yg berkepentingn..,watak, peristiwa & mngsa sngja direka & direalitikn.. knspirasi dlm media.

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.