Back to home page

Ironi April Fool

31 Mac 2010 • 17 Komen Cetak Chenta!
Kalau anda bertanyakan saya tentang April Fool, saya jawab tak kisah. Sila lah buat April Fool kepada saya, asalkan ia tidak membawa mudarat mahu pun menjatuhkan maruah saya, dan tidak juga menjadikan adrenalin saya mencanak dengan dahsyatnya. Saya tidaklah syadid sangat.

Sebenarnya saya terdetik untuk membuat entri ini kerana saban tahun, apabila April Fool sudah hampir tiba, pasti akan ada di antara kita yang membuat entri atau menghantar emel bertajuk seperti "Asal-Usul April Fool".

Ini tidak lah salah. Namun saya dapati, apa yang diberitahu itu hampir-hampir tak boleh pakai. Ia lebih kepada auta, bukannya fakta. Versi yang dianggap 'paling muktabar' di kalangan 'Muslim yang peka' adalah lebih kurang seperti ini:

Setiap kali muncul tarikh 1 April, rakyat negara ini termasuk umat Islam beriya-iya menyambut April Fool dengan menggemparkan sanak saudara dan rakan taulan.

Selain 'Hari Valentine' yang sudah sinonim dengan masyarakat Islam negara ini tetapi lebih kepada soal berkasih-sayang, 'April Fool' pula menjurus kepada berseloroh.

Bagaimanapun, ada cerita sedih kepada masyarakat Islam di sebalik April Fool yang perlu dijadikan renungan dan dihentikan sambutannya. Adalah dipercayai sambutan April Fool mula dirayakan ketika kejatuhan Kerajaan Islam di Sepanyol.

Setelah bertapak berkurun-kurun lamanya di Granada, Sepanyol, kerajaan Islam akhirnya runtuh diserang tentera Kristian. Penduduk Islam di Moors, Sepanyol terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan diri.

Tentera Kristian bagaimanapun tidak berpuas hati dan berusaha untuk menghapuskan penganut Islam dari bumi Sepanyol, justeru, mereka membuat helah. Mereka memaklumkan penduduk Muslim boleh berlayar keluar dari bumi Sepanyol dengan selamat bersama-sama barangan mereka dengan menggunakan kapal di pelabuhan.

Orang Muslimin yang risau sekiranya tawaran itu suatu penipuan pergi ke pelabuhan untuk melihat kapal yang dimaksudkan. Setelah berpuas hati, mereka membuat persiapan untuk bertolak.

Keesokannya (1 April), mereka mengambil semua barangan yang telah dikemaskan lalu menuju ke pelabuhan. Pada masa itulah pihak Kristian mengambil kesempatan menggeledah dan membakar rumah penduduk Islam.

Penganut Islam juga tidak sempat menaiki kapal kerana semuanya musnah dibakar. Pihak Kristian kemudian menyerang kaum Muslimin dan membunuh kesemuanya, tidak kira lelaki, perempuan, serta anak kecil. Peristiwa berdarah yang meyedihkan itu kemudiannya diraikan tentera Kristian.

Keraian ini akhirnya dirayakan setiap tahun bukan saja di Sepanyol tetapi juga di seluruh dunia sebagai April Fool's Day.
Soalan saya kepada yang mewara-warakan 'fakta' ini kepada umum, dari mana kisah ini dipetik sebenarnya? Dari buku sejarah mana - sama ada yang ditulis oleh penulis Islam mahu pun bukan, yang ada menyelitkan kisah menyayat hati ini?

Dalam travelog Sepanyol yang saya tulis di blog ini suatu ketika dahulu, saya ada menceritakan banyak sepak terajang yang dilalui oleh orang-orang Islam ketika zaman tersebut, sehinggalah kepada kisah jatuhnya kota Granada di zaman Sultan Muhammad XII.

Sangat aneh, saya tak pernah pula terjumpa akan 'kisah sejarah' April Fool ini. Tak mungkin kisah sepenting ini boleh diabaikan dalam buku The History of Islam kepunyaan saya itu.

The History of Islam oleh Akbar Shah Khan Najeebabadi. Buku ini memang mantap!


Maka, adalah lebih baik kita tidak menghebahkan berita yang belum benar-benar pasti ini. Sedangkan Barat sendiri pun tidak begitu pasti asal-usul April Fool ini, bagaimana anda sudah boleh benar-benar pasti hanya dengan 'berguru' kepada emel yang di-forward kepada kita? Di mana integriti kita sebagai umat Islam yang seharusnya menyemak segala macam khabar yang disampaikan kepada kita?

Kamu tahu apa itu ironi? Ia adalah apabila kita menggunakan sebuah 'artikel menipu lagi meraban' untuk menyeru orang agar jangan menipu ketika April Fool!
---

P.S. Secara peribadi, saya menggemari April Fool yang dilakukan oleh Google pada setiap tahun.

17 Komen Tambah Komen↴

hik hik hik. Memang mantap ni bro. Hohohoho. Tidak kisah lah kisah itu benar atau tidak. Tetapi Islam juga tidak menggalakkan bah kan melarang gurauan-gurauan yang melampau hingga menjatuhkan air muka orang lain. Islam tidak ajar cara begitu.

Bergurau juga ada batas dan bukan ikut suka sahaja. Dan bergurau atau mengenakan orang ini juga jika sekadar untuk mengeratkan silaturahim, tidak perlu tunggu 1 April kot?

@seimura, Kalau gurau guna katak, agak-agaknya ok tak ye? Bukanlah guna katak betul dan letak dalam kasut member, tapi sekadar gunakan nama katak dalam gurauan. Hehe.

Wah wah wah Encik Tawel. Saya dulu masa sekolah pernah juga tangkap katak sebenar untuk mengenakan orang. Jeng jeng jeng...

secara umumnya kita jgn galakkan sesiapa meraikan hari april fool ini..sebaik2nya melarang terus....daripada meraikan eloklah kita bercerita kepada rakan islam yg masih belum tahu akan asal usul tarikh perayaan 1 april itu sendiri...sama2 kita memerangi budaya kafir..

Mengenakan orang... sekarang ni dah tak lagi mengira masa lagi dah. 'Wa kena beb!' (betul ke ejaan ni) tu kan adalah adaptasi dari April Fool. Seronok sangat agaknya bila dapat mengetawakan 'kebodohan' orang sampai buat rancangan TV. Memang tak suka tengok!

Kak su suka ketawa, tapi tak lah sampai ke tahap 'mencipta' situasi untuk mengenakan dan mengetawakan orang. Sekadar gurauan biasa dan spontan je...

Pernah dulu diasrama di ikat di katil semasa tidur. Bila mereka menjerit April Fool, kak su tak faham kenapa. Terkebil-kebil kak su. Itulah derik perkenalan dengan April Fool. Tapi walaupun di kenakan, tapi tak pernah rasa nak mengenakan kembali... sebabnya... tak seronok pun...

Masa sekolah rendah dulu pernah kata kat kawan. "Eh cicak terbang laaa.. Tu.. Tuu.. Tengok tu.." Yang peliknya ramai-ramai dok pakat tengok. Haha. Hadoi.

Dah besar-besar camni, siaplah. Kalau diperbodoh-bodohkan sebegitu, kena pulak masa mood tak baik. Haih.. muncung masam je la dari pagi sampai petang. Kalau lelaki, mahu kena debuk sebijik.

Berguraulah cara orang cerdik pandai. :]

tak pernah terdetik nak sambut April Fool.. buang masa sahaja. Izinkan saya reblog post anda ye~

Tanpa Nama

omg google's april fool jokes are out of this world :-D
hampir di april bodohkan oleh facebook semalam.. not sure who's the fool though.. haih!

1 April tahun ni adalah tarikh saya angkat sumpah jadi dokter muda!
wahahaha! XD

tapi masih tak abis blajar lagi XD

@seimura, uish nakalnya!

@suara, itulah tandanya Kak Su ni budak yang baik. Kalau saya ni, nakal sikit. Hehe.

@Nooreena, oleh kerana saya ni lelaki, maka saya akan lebih berhati-hati dengan Erina. Tak mahu kena debuk :D

@rean, betul ke ni? Kot Encik Dekan sengaja buat April Fool ke? Hehe.

Ada terfikir nak April-Fool kan saya ke? Haha. Jangan risau. Debuk virtual je. Dush dush!

Dari Abdul Rahman bin Abi Laila rahmatullah 'alaih berkata, kami telah diceritakan oleh sahabat Nabi SAW: Satu ketika beliau bersama Nabi SAW, di mana seorang sahabat telah tertidur.Ketika dia nyenyak tidur, seorang sahabat telah mengambil tali kepunyaannya (semata2 untuk bergurau saja). Apabila sahabat tadi membuka matanya dan didapatinya talinya telah hilang dari sisinya, dia begitu susah hati. Kerana itu Rasulullah SAW bersabda,"Tidak halal bagi seorang Islam menakut2kan seorang Islam yg lain".(hadith riwayat Abu Daud).
di petik dari kitab 'Muntakhab Ahadith' bab ikramul muslimin.
Wallahualam...

Begitupun bukanlah sahabat2 tak pernah bergurau tapi gurauan yg tidak mendatangkan kesusahan...dgrnya ada sahabat2 yg bergurau spt lempar-lemparan semangka/tembikai...tapi bila dgr seruan jihad, mereka seolah-olah kena rasuk, terus sahut seruan!!!
Begitulah sahabat2 Nabi SAW.

Saudara Tawel,

Rasa saya memang bersetuju dengan spektikal asal usul April Fool. Namun mungkin kali ini berbeda sedikit pandangan kita. Satu elemen yang subur dari April Fool ini adalah gurauan yang qharor (tipu).

Nah, jika sekalipun gurauan (jokes), ia tetap dianggap tipu yang jelas-jelas Nabi saw tak suka dan tegah.

Abu Nawas dan seorang sahabat di zaman Nabi yang terkenal dengan lawaknya. Semuanya sinikal. Tetapi benar.

Asal usulnya tidak releven.

Budayanya yang boleh dipersoal.

Budaya April Fool memppopularkan budaya tipu.

Walau dengan alasan just for fun bagi masyarakat urban.

Pandangan En Tewwel ada benarnya:
Apabila kerajaan islam terakhir tewas di tangan sepanyol di andalusia.Penduduk Islam di situ dibenarkan terus tinggal di situ mengikut peraturan yang ditetapkan seperti mana sistem Dhimmah yang dilaksankan kerajaan islam terdahulu.....
The Muslim Almanac,Gale Research Inc.Azim A.Nanji

Pada 2 Jan 1492 .Kardinal telah memasang tanda salib pada bumbung istana al hamra bagi merayakan kejayaan mereka....

Kata Dr Segred Hunk dalam Al Qaumiah Halaman 174

Ini menunjukkan kerajaan islam telah tewas dalam bulan januari dan bukan April.Umat Islam masih berada di sepanyol sehingga pada tahun 1808 tentera nepoleon membebaskan tawanan islam yang di seksa dalam tempat rahsia seperti yang di tulis dalam catitan seorang panglima perancis dengan panjang lebarnya.....
Dari Attaasub wa attasamuh karangan sheikh muhammad al ghazali halaman 311 - 318 Kata Dr Ali Mudzahir dalam Mahakim elTaftisy
Ini menunjukkan umat islam masih ramai di andalus pada masa itu.

Mengenai April fool tidak terdapat dalam mana buku yang hamba penah baca lebih lagi dalam sejarah umat islam karangan Prof Hamka...namun dalam buku Sejarah Bani Umayyah di Andalus karangan Maruwiah Rahmat ade menyebut tentang perayaan april fool yang sama ceritanya tentang penipuan tentera kristian ini yang diambil dalam Risalah Fikrah dan laman web islamiccenterofpeora dan islamicyouthmovement......yang tidak bersandar pada rujukan ahli sejarah dan buku yang afdal...

Namun begitu April Fool ini bukan dari tradisi islam dan tidak perlu lah kita menyambutnya atau mengigatinya.....lebih lagi ia menimbulkan tanda tanya apa sebenarnya april fool ini....elakkan subahat

SabiqJr

telah membaca travelog Sepanyol yang anda tulis...mmg menarik...jauh berjalan luas pengalaman...masih ingat rakan di sekolah dulu yang tak minat belajar sejarah....Subjek Sejarah tu tak penting pun lagi pun membosankan.....

Sabiq Jr

begitu menarik cerita anda.terima kasih kerana sudi berkongsi dengan yang lain.

Tanpa Nama

salam tawel

terangguk-angguk akak membaca entri ini
memang betul april fool tidak boleh diraikan
tetapi alasannya mesti bersandarkan hujah yang betul
bukan kisah yang belum tentu kesahihannya
sama juga dengan emel forward yang berniat baik tapi kadang-kadang sangat paranoia isinya

p/s: akak ingat google jokes yang pigeon rack tu, ada member mati2 percaya, semangat dia bercerita kat kami hehe

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.