Back to home page

Dan Dia Pergi Sebelum Ibunya..

14 Mac 2010 • 17 Komen Cetak Chenta!
Kepada sesiapa yang membaca entri ini, izinkan saya mengulang-tayang slogan keselamatan jalan raya yang sudah lali kita dengar ini: "Ingatlah orang yang tersayang."

Ceritanya begini. Sewaktu saya balik kerja dalam pukul 11 malam, mak macam biasalah berceloteh tentang beberapa perkara. Salah satunya adalah tentang kisah seorang jiran; merangkap sahabat baik kepada emak saya. Saya namakan dia sebagai Cik T.

Hari ini mak dan Cik T sama-sama pergi rewang di sebuah rumah yang sebenarnya terletak sekadar bersebelahan dengan rumah Cik T. Sesampai di sana, mak saya tercari-cari di mana dia anak lelaki bujangnya itu. Kata Cik T, anaknya itu pergi berlumba motor. Buat pengetahuan, motornya itu jenis motor besar. Harganya tak usahlah cakap; ia lebih mahal berbanding harga terkini Proton Pesona.

Lalu, terkejutlah mak saya apabila Cik T sekadar membiarkan sahaja ragam anaknya. Ada rasa gusar pada hati mak saya memandangkan anaknya itu sudah beberapa kali eksiden. Namun menurut Cik T, sudah berbuih mulutnya menasihatkan anaknya itu supaya jangan berlumba.

Anaknya ini pula jenis yang susah hendak serik. Fakta: Dia baru sahaja kemalangan motorsikal lebih kurang sebulan yang lalu. Namun demikian, emak dan Cik T tidaklah menjangkakan akan berlaku satu detik yang sangat hitam buatnya pada hari ini. Justeru, Cik T sekadar mendoakan keselamatan anaknya setelah nasihat yang diberikan sekadar bertahan selama buih di laut.

Maka alangkah terkejutnya saya, tidak sampai 30 minit mak bersurah akan butiran perbualannya dengan Cik T itu kepada saya, tiba-tiba pintu rumah diketuk pada jam 11.30 malam. Pabila pintu dibuka, seorang jiran lain memberitahu bahawa anak Cik T telah meninggal dunia akibat kemalangan pagi tadi. Motornya terlanggar tembok dan lehernya patah.

Innalillaahi wainna illaihi roji'uun.

Ajal memang satu urusan yang pasti, detiknya sahaja yang menjadi misteri. Rupa-rupanya sewaktu saya dan mak sedang ralit berbicara tentang anak Cik T, empunya badan itu sudah pun pergi menghadap Ilahi.

Buat pengetahuan, anak Cik T bukanlah jenis anak yang nakal. Dia memang baik, hormat orang tua dan pemurah. Saya mengenalinya semenjak di sekolah menengah lagi. Dia dua tahun junior kepada saya. Kerjayanya pun memang bagus. Dalam umurnya yang masih muda itu, EPF nya sudah pun hampir mahu mencecah RM100,000. Jadi anda boleh bayangkan betapa cerah prospek masa hadapannya.

Hubungan dengan ibunya juga sangat akrab. Maklumlah, dia sahajalah satu-satunya anak Cik T. Suami sudah tiada. Lalu pada anaknya sahajalah tempat Cik T bergantung dan meruntun kasih.

Maka berita yang sangat menyedihkan ini sudah tentu sangat mengganggu perasaan saya dan mak. Sewaktu mula-mula diberitahu, mak menangis seakan-akan dia sendiri yang kehilangan anak. Bayangkanlah bagaimana perasaan Cik T apabila dia diberitakan tentang pemergian anak tunggalnya itu. Memandangkan berita ini hanya sampai ke pengetahuan mak saya pada lewat malam, maka mak masih belum sempat berjumpa dengan Cik T lagi.

Hal yang paling menyebakkan saya adalah tentang apa yang berlaku dalam tempoh 2 bulan kebelakangan ini. Sebenarnya begini, rumah yang didiami oleh Cik T sekarang, adalah sempit dan agak kecil. Bukanlah kerana dia tidak mampu membeli rumah yang lebih selesa, cuma masanya belum tepat.

Kebetulan, saya juga sedang mencari-cari rumah dan saya telah pun berkenan mahu membeli sebuah rumah di Meru. Rumah ini memang selesa dan harganya berpatutan. Maka apabila saya tahu ada yang masih kosong, saya mencadangkan agar mak memujuk Cik T agar membeli rumah di situ juga. Maklumlah, emak dan Cik T sama-sama rakan baik, sama-sama sudah berusia, lalu saya fikir baguslah kalau mereka ini dapat berjiran, bahkan lebih dekat lagi.

Maka pergilah Cik T, anaknya, dan tunang anaknya itu ke sana untuk meninjau lokasi dan keadaan rumah. Mereka semua terus berkenan pada masa itu juga, lalu bersetuju untuk membeli. Deposit pun sudah dibayar. Sesudah itu, Cik T sering menceritakan kepada mak saya tentang apa yang hendak dibuat dan diubahsuai pada rumah barunya itu nanti.

Saya tiba-tiba berasa sangat sebak apabila menaip ayat yang sebelumnya. Ini kerana saya sedar bahawa segala macam impian Cik T itu telah lenyap dengan pemergian anaknya itu. Punah impian untuk berjiran, musnah angan untuk tinggal bersama dengan anak tunggalnya (dan bakal menantu, serta bakal cucu) di rumah yang baru nanti.

Kalau pun dia mampu untuk membelinya - yang mana saya yakin dia memang mampu - namun untuk apa mahu tinggal seorang diri di rumah baru; yang boleh mengimbau segala macam angan dan impian yang tak akan dapat dikabulkan selamanya itu?

Hati saya sebak memikirkan ini semua.

Maka sesiapa yang sedang membaca tulisan ini, saya berharap agar dapatlah sedekahkan sepotong surah Al-Fatihah kepada arwah anaknya itu. Doakan juga agar Cik T tabah menghadapi dugaan yang maha berat ini.

Benar bahawa ini semua adalah soal ajal maut. Namun renungkanlah kisah Saidina Umar al-Khattab dalam ekspedisi perangnya ke negeri Syam. Sewaktu sedang dalam perjalanan ke sana, beliau diberitahu bahawa Syam sedang dilanda dengan wabak taun. Lalu beliau membuat keputusan untuk kembali semula ke Madinah, sehingga ada sahabat lain yang mempersoalkan adakah Saidina Umar lari daripada takdir untuk berperang di Syam.

Namun beliau menjawab bahawa "kita sekadar lari daripada satu takdir Allah, kepada satu takdir Allah yang lain". Begitulah lebih kurang.

Saya mengingatkan sekali lagi kepada diri sendiri dan yang lain-lain: "Ingatlah orang yang tersayang". Seperti yang pernah saya ulas dahulu, 96% kemalangan jalan raya adalah berpunca daripada pengguna jalan raya itu sendiri. Dalam tragedi yang berlaku ini, amat jelas bahawa kisah sedih ini boleh dielakkan jika anak Cik T tidak terlalu mengikut hati mudanya.

Daripada-Nya kita datang, kepada-Nya jua kita kan kembali. Al-Fatihah.

17 Komen Tambah Komen↴

Al-Fatihah buat anak Cik T. ;(

Cerita ini mengingatkan pada sepupu lelaki saya yang suka bawa motor laju-laju. Ada feel katanya. Suatu hari, dia yang menetap di Seremban berhajat mahu menghantar kawan ke KL. Ibunya (yakni makcik saya) melarang, tapi dia degil.

Tak sampai 500 m dari rumah, dia dan kawannya tercampak dari atas motor akibat berlanggar dengan belakang bas. Teruk keadaannya. Sehingga Doktor ramalkan mampu hidup untuk beberapa ketika sahaja.

Alhamdulillah dia masih hidup sehingga kini. Tapi dia hilang daya untuk bercakap; bisu.

Apa pun, semoga kisah ini dan cerita di atas memberi pengajaran buat semua.

salam takziah....

touching. may Allah bless his soul for being a good son. untungnya Cik T ada kawan baik mcm mak awak utk mengadu hal, hopefully dapat meredakan kesedihan.

salam takziah.
Dua hari kebelakangan ini, saya banyak mendengar berita kematian, atau, adakah saya yang baru perasan kematian sentiasa mengejar kita?..

Al-Fatihah... Semoga Allah tempatkan arwah di kalangan mereka yang Dia kasihi.

Tiap kali nak memandu atau nak buat apa-apa.... "Ingatlah orang tersayang"

Untuk kita yang masih menikmati hembusan nafas di bumi Allah ini... kalau slogan itu tak cukup berkesan di hati, ingatlah juga yang melanggar nasihat/perintah/kemahuan ibu dan bapa itu adalah menderhaka namanya. Dan ia akan mendatangkan akibat yang buruk. Jadi kalau mak kata jangan berlumba, jangan pandu laju, ikutlah katanya. Jangan buat!

Buat isteri, kalau suami kata jangan bawak lebih dari had laju yang ditetapkan, patuhilah... Jangan menderhaka.
Err... sebenarnya lebih kepada ingatan untuk diri kak su sendiri ni...

salam....Benar ini semua ketentuannya tapi jalan ceritanya itu menjadi intipati pemahaman dan telahan...semoga kita yang melihat, mendengar dan memahapi akan menerima rahmat dariNya selain pengajaran berguna...

Terima kasih kepada para pengomen yang turut mendoakan sama.

Pesanan khusus kepada Kak Suara: Dengarlah kata suami itu. Hehe.

contohi dan ambillah yg terbaik di sebalik segala kejadian. ^_^

kalau dah ajal, tak yah tunggu merempit..
tengah tengok tv pun boleh mati...
uhuhuh...

ery

touching :(

takziah...

Tanpa Nama

salam takziah kepada keluarga arwah bad....sebelum kejadian sempat juga arwah menjenguk motor kawasaki ninja adik hamba...kata arwah...kau pun leh jadi macam aku beli yang macam ini satu hari nanti kalo kuat berusaha....itulah kata terakhirnya pada kami :kurangla lagi ahli persatuan kami.....al fatihah

sabiqjr

aduhhh sangat sedih dan menyayat hati. al-fatihah untuk arwah. insafnya..

Cerita ini la yg paling menyayat hati sy. Alfatihah....

Tanpa Nama

cerah atau gelap masa depan bukan terletak banyak atau sikit duit EPF

Tanpa Nama

@Tanpa Nama Mac 27, 2010 1.00 AM,

Baca betul-betul apa yang saya tulis: "Jadi anda boleh bayangkan betapa cerah PROSPEK masa hadapannya."

Anda faham maksud prospek atau pun tidak?

masalah betul manusia tanpa nama yg tak phm maksud prospek. penulis menegaskan bagaimana hidup beliau, kerja beliau. Maksugnya kerjanya bagus!

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.