Back to home page

La Tahzan #5 - Cukup Tampan, Cun & Hensem

10 April 2008 • 12 Komen Cetak Chenta!
NOTIS RINGKAS:
Mungkin agak lama untuk tulisan terbaru disiapkan sebab saya sibuk menjaga anak penguin, bla bla bla, merenung ombak di pantai bagi menemukan inspirasi, bla bla bla dan mana tahu jika saya mati esok lusa.


Sekonyong-konyong dikhabarkan bahawa di tanah Malaysia, sekurang-kurangnya ada 15 orang yang cantik bertukar menjadi hodoh setiap tahun, yang mana semuanya adalah wanita. Arakian harus ditekankan bahawa mereka ini tidak memiliki ilmu Puteri Gunung Ledang yang membolehkannya bertransformasi menjadi nenek kebayan yang hodoh itu. Sebaliknya, perubahan yang mengerikan itu adalah gara-gara upacara suntikan dan pembedahan yang dilakukan oleh dukun-dukun kecantikan yang ghairah meraih duit pengeras.

Saya boleh faham jika mereka yang berjumpa dukun-dukun kecantikan ini adalah kerana fizikal mereka terlalu hodoh, lantas menyebabkan masyarakat takut dan menyisihkan mereka. Ini sepertimana yang berlaku kepada seorang wanita Perancis bernama Chantal Sebire yang mendapat penyakit kanser wajah yang tidak boleh diubati. Kanser itu menyebabkan deria penglihatan, rasa dan dengarnya hilang. Kesemuanya itu sangat memberikan tekanan kepadanya sehingga beliau sanggup ke mahkamah untuk mendapatkan hak melakukan euthanasia secara sah.

[chantal-sebire-face.jpg]
Baca lebih lanjut kisahnya di BBC.


Tetapi apa yang saya tidak boleh faham adalah mengapa manusia yang sudah cukup tampan, cukup cun dan cukup hensem, masih lagi tidak puas hati dengan apa yang diberi. Rambut, warna kulit, bentuk kening, bentuk bibir, yang sebenarnya tiada apa-apa masalah pun, semuanya mahu diubah. 2 hari lepas, saya membaca kisah seorang gadis remaja berusia 13 tahun dari London yang wajahnya telah bertukar menjadi seperti alien, gara-gara kerana mahukan rambutnya lebih perang dan bersinar.

Lois Queen dimasukkan ke hospital setelah memakai pewarna rambut jenama L'Oreal.


Oh ya, janganlah juga risau sangat tentang kedut-kedut yang muncul akibat proses penuaan (perempuanlah biasanya). Sebanyak mana masa dan duit yang dilaburkan bagi melawan proses yang tidak dapat dielakkan itu, ia tetap tidak akan berjaya selamanya. Semua orang akan tua, namun seperti yang dihumorkan oleh Mark Twain:
Age is an issue of mind over matter. If you don't mind, it doesn't matter.

Jadi, baik gunakan duit itu ke arah yang lebih bermanfaat. Masa itu pula boleh digunakan untuk sekurang-kurangnya merenung hakikat bahawa kita mungkin mati esok. Tiada satu pun manusia yang telah mati pada hari ini, ada berfikir di waktu semalamnya bahawa malaikat Izrail akan menjemputnya esok.

Oleh yang demikian, saya mahu memberikan 5 sebab mengapa manusia sentiasa mahu lebih cantik, padahal apa yang sudah Allah beri itu sudah sempurna sifatnya. Fahami sebab-sebab ini dan insyaAllah akan terbit rasa syukur dan tenang di hati walaupun wajah kita tidaklah sejelita atau sekacak mana.

Bagi lelaki, usahlah rasa tergugat sangat apabila melihat model-model yang memiliki abdomen 6-packs, sedangkan perut kita pula berbentuk 6-in-1 yang mana air akan bertakung di atasnya sewaktu kita mandi. Bagi perempuan pula, percayalah, 99% wanita di dunia ini tiada yang secantik Arwen dalam filem Lord of the Rings itu.

Ingat, melainkan anda memiliki wajah seperti Chantal Sebire, maka anda tidak perlu mengubah wajah yang Allah kurniakan.

Ini 5 sebab-sebabnya:

1) Kurang rasa bersyukur

Sebab yang pertama ini selalunya lebih menjangkiti artis (dan mak datin yang banyak duit). Maklumlah, orang yang selalu keluar tv dan majalah, kenalah sentiasa kelihatan comel dan cantik. Lalu ditempeknya mekap setebal 1 inci. Akhirnya, Madonna yang sebenarnya sudah 50 tahun umurnya itu pun, tiba-tiba nampak cantik bila berjoget di atas pentas.

Itu kisah artis yang sudah tua. Artis yang masih muda jelita seperti Zahida Rafik pun masih tidak bersyukur dengan anugerah Ilahi. Alhamdulillah dia cepat insaf. Selain itu, kisah Michael Jackson yang terlalu ingin menjadi putih, berdagu terbelah dan berhidung mancung, sepatutnya menjadi pengajaran yang sangat berharga buat pencinta plastik.

Dulu hitam, sekarang putih, dan putih itu tidak semestinya menawan.

2) Penipuan solekan dan Photoshop

Iklan-iklan kecantikan terutamanya, yang memaparkan seseorang itu sebagai sangat cantik dan kacak, sebenarnya lebih banyak yang menipu. Kecantikan digunakan untuk melariskan barang. Padahal wajah model-model tersebut tanpa solekan sebenarnya lebih kurang macam kita juga; ada rongga-rongga halus, ada noda-noda hitam dan ada kesan parut jerawat. Malah apabila perisian seperti Photoshop digunakan, makin cantik jadinya model tersebut. Bak bidadari!

Wanita-wanita yang dicantikkan dengan teknik solekan dan Photoshop seperti gambar di bawah ini, hanya wujud di alam iklan. Mereka tidak wujud di alam nyata. Sekian dimaklumkan.

[wanita-make-up.gif]
Solekan dan perisian mengedit gambar seperti Photoshop boleh menjadikan seseorang
kelihatan cantik seperti bidadari. Klik gambar untuk melihat video penuh.


Dan janganlah juga kita terpengaruh dengan iklan-iklan luar negara, tidak ketinggalan juga filem-filemnya, yang memaparkan minah-minah saleh itu sebagai cantik tangkap maut. Bertahun-tahun saya duduk di negara mat saleh, jarang-jarang saya jumpa wanita cantik (yang tidak disolek) seperti di televisyen.

Percayalah, bukan semua wanita mat saleh itu cantik. Sama ada gadis itu berbangsa Arab, Afrika, Amerika atau Melayu, biasanya statistik kecantikan bagi setiap bangsa itu tetap dibatasi oleh graf taburan normal yang standard. Ada yang benar-benar cantik, ada yang kurang cantik dan majoritinya pula adalah biasa-biasa sahaja.

Lagipun, kecantikan itu adalah sesuatu yang bersifat relatif. Aku kata gadis ini cantik laksana bulan purnama, kau kata gadis itu seekor katak puru!

3) Takut kehilangan cinta manusia

Untuk sebab yang ketiga ini, saya bawakan sebuah kisah yang dilalui oleh Jocelyn Wildenstein. Oleh kerana terlalu takut ditinggalkan oleh suaminya yang sudah mula menggatal dengan perempuan lain, akhirnya Jocelyn secara beransur-ansur melakukan pembedahan plastik untuk menjadikan wajahnya menyerupai kucing hutan. Katanya, suaminya amat meminati kucing hutan, jadi dia berharap apabila rupanya semakin mirip dengan kucing hutan, maka suaminya itu akan lebih sayang kepadanya.

Malangnya pembedahan demi pembedahan menjadikan suaminya semakin takut dengannya. Pada akhirnya Jocelyn menceraikan suaminya setelah menangkapnya berzina dengan seorang model Rusia yang berumur 19 tahun ketika itu.

Siapa yang harus lebih dipersalahkan dalam hal ini? Paranoid isterinya, kecurangan suaminya atau pun ketidakfaham mereka tentang apa ertinya sebuah perkahwinan itu? (Klik gambar untuk paparan yang lebih besar. Klik sini untuk berita tentangnya).

Cinta sesama manusia memang senang datang dan pergi. Dahulu saya ada menyentuh kisah seorang wanita yang ingin mengetahui adakah seorang lelaki itu benar-benar menyintainya. Maka jika ada masa, luangkanlah masa untuk membacanya.

Cinta yang terlalu bersandarkan kepada rupa paras, itu bukanlah cinta. Itu nafsu. Berhati-hatilah memilih pasangan. Muka yang kacak, dahi yang licin, lesung pipit di pipi, dan tubuh yang putih gebu, bukanlah faktor-faktor yang menjaminnya menjadi seorang teman menangis di kala anda jatuh dihempap tangga.

Ingat Mat, kalau kau utamakan faktor-faktor tu masa nak pilih pasangan, aku nasihatkan kau bela kucing aje. Sekurang-kurangnya kucing akan tetap setia 100% apabila kau ditimpa musibah yang maha dahsyat.

4) Krisis identiti

Kadang-kadang, krisis identiti yang berlaku pada seseorang itu menyebabkannya tekad untuk menghodohkan diri sendiri. Mereka rasa cantik dan bangga pula dengan apa yang dilakukannya, tapi sebenarnya kita sendiri yang tengok rasa kasihan. Mana tidaknya, apakah tidak kasihan melihat manusia yang sanggup menghabiskan wang yang banyak semata-mata kerana mahu menjadikan tubuh badan mereka seperti haiwan atau makhluk yang mereka gemari?


Oh, saya sukakan kucing kerana kecomelannya, namun bila manusia jadi kucing itu memualkan saya.

5) Tidak percaya kehebatan tempe dan ulam-ulaman

Datuk Khir Toyo menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menuduhnya melakukan suntikan botox di wajah. Beliau berkata bahawa amalan memakan tempe adalah rahsia awet mudanya:
Tempe selain mempunyai kandungan protein yang tinggi, ia juga mempunyai khasiat melawan kanser berikutan penyediaannya yang melibatkan proses fermentasi. Itu sahaja petua saya. Ini pembangkang fitnah saya pakai suntikan botoxlah, pembedahanlah sedangkan saya tak buat pun.
(Khir Toyo nafi suntik Botox, Utusan Malaysia, 3 Februari 2008)

Bagi yang tidak tahu, tempe adalah sejenis makanan yang sangat popular di kalangan masyarakat Jawa khususnya. Selalunya tempe akan digoreng terlebih dahulu sebelum dimakan, namun ada juga yang memakannya mentah-mentah.

Sama ada Datuk Khir Toyo menggunakan tempe atau botox, tulisan ini bukanlah medan untuk mengulasnya. Apa yang pasti, ibu saya suka makan tempe, dan dia masih kelihatan muda walaupun umurnya sudah melebihi 60 tahun. Mungkin itu penangan tempe agaknya. Selain tempe, ibu saya juga suka makan ulam-ulaman. Tidak sah kalau sehari tidak memakan ulam.

Lalu, mengapa menyuntik botox jika anda boleh memilih tempe serta ulam-ulaman yang segar dan organik? Suntikan botox bukan sahaja mahal dan haram kepada umat Islam, malah ia juga berbahaya kepada diri sendiri. Kalau muka jadi hodoh, jangan salahkan dukun kecantikan yang gilakan pengeras itu.

Oleh itu basuh wajahmu dengan air wudhu selalu, insyaAllah berseri-seri wajah kita dipandang orang. Tak tampan, tak cun dan tak hensem tidak mengapa, janji jangan hilang seri wajah. Malah jika wudhu itu sempurna, bersinar-sinarlah kita di hari pembalasan nanti:
Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat nanti dalam keadaan dahi, kedua tangan dan kaki mereka bercahaya, kerana bekas wudhu.
(Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

---
JALAN-JALAN
- Hukum pembedahan plastik dan kosmetik
- Hukum mencabut bulu kening
- Lagu nasyid Syukur oleh Raihan

12 Komen Tambah Komen↴

Salam.
Mereka yang berusaha mengubah fizikal dengan cara yang keterlaluan, rasanya kerana hati mereka mahu belum mahu menerima hakikat bahawa itu adalah satu amaran dari Allah tentang 'jemputan' yang akan datang bila-bila masa saja.

Teringat buku tentang topik kematian yang saya baca, menceritakan tentang kisah Nabi Yaakub yang meminta agar malaikat maut memberitahunya tentang ajal yang bakal dihadapi. Lalu malaikat maut bersetuju, tapi bila satu hari malaikat maut datang kepada Nabi Yaakub untuk menjemputnya maka dia bertanya dgn hairan. "Bukankah engkau telah berjanji hendak mengutusi beberapa utusan terlebih dahulu?". Malaikat maut menjawab, "Benar dan aku telah melakukannya. Putihnya rambutmu setelah hitam, lemahnya badanmu setelah kuat, membongkoknya badanmu setelah tegap. Itu adalah antara utusanku wahai Yaakub kepada manusia sebelum mati."

Seharusnya setiap kali kita melihat cermin dan mendapati ada uban dirambut atau kedut dimuka, kita harus mengucapkan syukur kerana sedar bahawa Allah sayangkan kita dan Dia telah memberi amaran serta petanda bahawa kita tak lama lagi kita akan menjadi tetamuNya lalu bersiap sedialah.

Namun sebagai wanita, saya tahu memang sukar mengatasi keinginan untuk menjadi cantik terutama bagi wanita yang mahu dipuji sekali sekala atau dihargai setidak-tidaknya oleh suami. Tapi kalau kita ingat bahawa apa juga milik kita didunia ini adalah sementara, pasti kita tidak ralat kehilangan keremajaan kerana insyaAllah semua itu akan kekal bila kita berada dinegeri yang dijanjikan Allah, negeri yang kekal dan abadi nanti.

P/S: Bersyukur pada Allah kerana tekak ni dibolehkan menelan sayuran dan ulam, malah boleh minum air pegaga dengan berseleranya. :)

Nota ringkas: Semoga anak penguin Tawel sihat terjaga, juga renungan ombak dipantai memberi ilham yang lebih mengancam dan jika ingat tentang kematian, menulislah untuk berkongsi pandangan kerana kita perlu berpesan-pesan. Manusia ni kan mmg sifatnya mudah lupa jika tidak diingatkan.

Hairan betul dengan sebahagian saudara-mara lelaki yang menggilai kecantikan Siti Nurhaliza. Cuba tengok dekat-dekat tanpa make-up... kembang semacam. :)

Bukan mengutuk Siti, tapi tak puas hati dengan mereka yang begitu mudah terpedaya dengan hiasan dan suntingan. WA.

Peminat Siti jangan marah aaa...

Tawel. saya pinjam penguin awak ya?
Nanti saya pulangkan balik.

suka siri la tahzan!
nak sedih-sedih pun tak jadi. gelak je :)

@Ahmad aka Bro Dhuat, haih terlepas pula penguin kat rumah orang. Nak pinjam dia boleh aje, tapi jangan dera dia dah la..hehe.

@KaaMyL, baguslah dah gelak. Ceriakan langit kepulauan British yang selalu mendung itu :)

@Suara, ok terima kasih atas nota ringkas. Dan samalah kita suka minum air pegaga, cuma saya dah lama tak minum aje.

@Alexanderwathern, saya minat juga Siti masa saya tingkatan 3 dulu. Tapi sekejap aje la, jadi tak marah la ;)

"Dahulu saya ada menyentuh kisah seorang wanita yang ingin mengetahui adakah seorang lelaki itu benar-benar menyintainya. Maka jika ada masa, luangkanlah masa untuk membacanya."

Tawel, betul ke link tuh ke "kempen menjauhi fs"??

@Nurulhuda, yup betul.

hurmmm terkejut gak bace..

betul. manusia itu tak pernah puas kan

Salam,
Saya suka post Sensei yang ini..dan saya setuju dengan suara.. (beringat2 sesama manusia walau dimana kita berada)apa2 pun semestinya dengan rasa syukur dapat membantu menyelesaikan banyak masalah terutama masalah hati..Sidi Afifi datang Dublin sabtu ini..Sensei tolonglah promote sekali ye.. boleh post berkenaan ulama2 di Europe ni pulak ye.. terima kasih..

OrchiD

Ehehe, ada2 saja lawak mu Tawel. Lord of The Rings cerita 'berhantu'. Sekali saya tengok kat komputer kwn saya, melarat sampai tengok final episode.

ubah fizikal dengan plastic surgery? saya nak perm@luruskan rambut pun fikir 10 kali. last last tak buat, sebab dulu ada ustazah pernah cakap, kalau mati dengan rambut yang diubah macam mana?
memanglaa tak kekal, tapi...
atau dye rambut..
lagipun kan, men"stylish"kan rambut ni, in the end akan merosakkan rambut jugak..wahahahahha!
(maaf, ada obsesi rambut sendiri)

ketawa saya memecah keheningan pagi...bimbang takut melarat sampai ke skolah ni..adoi sakit perut hamba.
Pada saya, lelakilah punca segala bencana ini....kerana kecantikan seorang wanita itu, yang nak menilainya adalah lelaki juga....pada pandangan saya, wanita takkan pulun sangat nak cantikkan rupa dia kalau dalam dunia ni tak de lelaki yang berselera nak kahwin dua tiga

ummuhanah

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.