Back to home page

Marahkan Blogger, (Mungkin) Internet Dibakar

04 April 2008 • 4 Komen Cetak Chenta!

Tulisan ini adalah reaksi kepada artikel Tidak Perlu Sekat Laman Blog oleh Utusan Malaysia.
---

"Kemunculan blog ini merupakan
satu perubahan budaya baru dalam
bidang media yang berlaku di seluruh dunia
yang tidak dapat dielak."

Sebenarnya blog sudah pun muncul sejak awal-awal perkembangan internet lagi. 'Blog' adalah istilah yang mula popular di era 2000-an. Secara asas, setiap jenis tulisan oleh seseorang individu atau pun kumpulan yang diletakkan secara berkala di internet, maka itulah blog. Cuma satu ketika dahulu, terutamanya di akhir-akhir 90-an, hendak menulis blog masih lagi merupakan sesuatu yang merumitkan. Sebab pertamanya adalah kerana internet masih lagi berada di zaman dial-up. Faktor ini tidak menggalakkan orang untuk menulis di internet.

Kedua, teknologi blog yang berasaskan CMS, yang salah satu tujuannya adalah untuk memudahkan lagi penulisan di internet, masih baru pada waktu itu; tiada servis blog percuma seperti Blogspot dan Wordpress. Sebab itulah bagi pengguna internet di era lewat 90-an, Geocities adalah ibarat blog bagi mereka. Malah Geocities boleh juga dilihat sebagai Friendster di zaman kini memandangkan ia juga kadang-kala digunakan untuk bersosial antara satu sama lain.


"Sekiranya ia disekat, maka akan menimbulkan
ketidakpuasan dan mungkin akan membawa kesan
yang dahsyat kepada para pemimpin."

Kalau hendak sekat pun, hakikatnya ia memang tidak boleh disekat. Sekat Blogspot, ada Wordpress. Sekat Wordpress, ada Hadithuna. Sekat Hadithuna, ada Friendster Blog. Sekat Friendster Blog, ada MySpace blog. Sekat MySpace blog, ada Yahoo! 360. Sekat Yahoo! 360, masih ada servis yang tidak dilihat sebagai blog (tapi boleh digunakan untuk berblog) seperti Geocities dan Page Creator.

Itu semua hanyalah sebilangan kecil servis-servis blog yang percuma. Jika disekat yang percuma ini, pengguna masih boleh download sendiri sebarang CMS yang percuma untuk digunakan di server dan domain sendiri.

Malah jangan lupa juga bahawa di samping blog, teknologi wiki juga sebenarnya mempengaruhi proses penyebaran info dan maklumat di internet. Dua contoh laman paling berpengaruh yang menggunakan teknologi wiki adalah Wikipedia dan Wikileaks.

Jadi mahu sekat berdasarkan faktor teknologi apa? Faktor servis, CMS, IP Address, domain, server geolocation atau macam-macam lagi? Sekatan tentunya hanya mendatangkan kepayahan kepada semua pihak. Akhirnya jadilah fenomena marahkan blogger, satu internet dibakar. Malah jika sekatan dilakukan sekadar 1% sahaja pun, maka ia sudah paradoks dengan objektif penubuhan MSC yang nun jauh terbentang tenang di Cyberjaya.


"Sekiranya pengendali blog terbabit
hanya memaparkan sesuatu yang tidak betul
atau sesuatu yang berunsur fitnah,
maka mereka lambat-laun akan tenggelam
kerana tidak dapat meraih kepercayaan
daripada orang ramai."

Dua contoh blog berunsur fitnah yang kini sudah tenggelam dan tidak dipercayai ramai adalah blog PAS Itu Syiah (PasItuSyiah.blogspot.com) dan Tajdid Segar (TajdidSegar.blogspot.com). Sila rujuk tulisan Alexanderwathern berkenaan dua blog tersebut.

Jadi jangan menyebarkan fitnah.


"Abu Hassan berkata demikian
ketika diminta mengulas
mengenai satu kajian
yang menunjukkan terdapat
hampir 500,000 blog yang
aktif dalam negara."

Percayalah, jika 500,000 ini benar-benar aktif, kebanyakannya adalah jenis blog copy-paste yang jarang-jarang memberikan impak di internet. Dan dari 500,000 ini juga, saya yakin bahawa peratusan besarnya turut merangkumi splog yang cuba cari makan dengan Google Adsense, Nuffnang, Advertlets, Bidvertiser dan sebagainya.

Jadi kepada mana-mana pihak yang mahu berpegang kepada hasil kajian ini, semak juga berapa banyak dari jumlah 500,000 ini yang berjaya menduduki takhta Technorati di tangga blog 100,000 yang pertama? Blog di tangga 100,000++ biasanya tidak berpengaruh. Di saat artikel ini ditulis, blog yang berkemungkinan paling berpengaruh di Malaysia yang dimiliki oleh Jeff Ooi berada di tangga ke-2163.


"Katanya, kekalahan Barisan Nasional
(BN) pada pilihan raya baru-baru
ini sebahagian besarnya disebabkan pendapat
beberapa pemimpin yang
berhasrat untuk menyekat
laman-laman blog itu."


Sebenarnya, tidak perlu rasa terancam dengan kehadiran blog. Sebaliknya semua pihak perlu memahami tentang konsep the wisdom of crowds di internet yang banyak ditentukan oleh faktor Google, Web 2.0, blog dan wiki, seperti mana yang dikupas oleh Tim O'Reilly yang merupakan orang besar dalam pembangunan internet.

Saya sudah terangkan tadi bahawa blog dan juga faktor-faktor lain yang disebutkan di perenggan sebelumnya, cumalah suatu bentuk agen untuk menyebarkan maklumat di internet. Blog juga boleh gagal jika penulisnya mengamalkan dasar tidak terbuka dan tidak telus terhadap pembacanya.

Namun, apa yang membuatkan blog (juga forum, wiki, serta laman Web 2.0 yang lain) berjaya adalah kerana mereka yang terlibat di dalamnya menghasilkan the wisdom of crowds; sama ada mereka sedar atau pun tidak. Ini kerana, tidak seperti wartawan akhbar dan televisyen, bloggers (juga merangkumi vloggers dan podcasters) cenderung untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Malah mereka biasanya bersifat terbuka dengan sebarang komen yang pro atau pun kontra dengan dirinya.

Lalu ini berjaya menjana suatu cara berfikir yang lebih demokratik, rasional, intelek dan segar, baik kepada blogger itu sendiri atau pun kepada sesiapa sahaja yang cuba mencari maklumat di internet berkenaan sesuatu isu. Sebab itulah pengarang buku The Wisdom of Crowds iaitu James Surowiecki berhujah bahawa:
Large groups of people are smarter than an elite few, no matter how brilliant—better at solving problems, fostering innovation, coming to wise decisions, even predicting the future.

Dengan kata lain, dalam pilihan raya yang lepas, jika sesebuah parti politik itu mempunyai think tank-nya yang tersendiri, maka rakyat mempunyai internet selaku think-tank bersifat bebas yang lebih dahsyat kesannya.

Oleh kerana konsep ini agak besar dan kompleks untuk dihuraikan di sini, maka saya mencadangkan sahaja anda membeli buku tersebut. Atau jika anda hanya sekadar mahu tahu apa kaitan wisdom of the crowds dan internet, maka silalah baca artikel oleh Tim O'Reilly itu.

Sekian adanya.

4 Komen Tambah Komen↴

Salam

Erm... setiap orang memang punya agenda tersendiri bila menulis. Hanya Allah yang tahu niat, sebab dan akibat dari penulisan itu kepada pembaca.

Semoga Allah lindungi kita semua daripada anasir tidak baik hasil dari blogger2 yang bertindak mempengaruhi pemikiran kita kearah yang salah.

Semoga Allah berikan kekuatan dan juga ilham untuk terus menulis kepada blogger2 yang mampu membuka minda kita untuk berkongsi ilmu dan membuat kebaikan.

p/s : Teringat tulisan Tawel tentang fenomena 'writer's block' dalam posting Jika Saya Mati.

Lawak la melihat telatah "media arus perdana" menyebut "Blogger", suatu istilah yang kedengarannya sangat asing lagi menakutkan bagi mereka.

Ada pulak yang hamba pernah terdengar di corong radio, siapa entah yang berkata² itu, tapi ayatnya lebih kurang sebegini: "Menemui blogger-blogger, seperti Internet misalnya...". Hamba tak faham apa kebenda yang dia nak cakap ini. Seolah macam dia menggambarkan bahawa "antara contoh blogger ialah internet!", meletakkan "internet" sebagai subset bagi "blogger", miahaha!

Ish, tak sanggup pulak hamba nak kata mereka ini "buta IT"! =))

P/S: Hamba lebih "layan" laman sesawang bikinan "orang putih" (termasuklah "blog") yang memfokuskan topik mereka kepada "hobi", yang selari dengan minat hamba, (komik, animasi, filem, games, dan lain²), sebab hamba tak mampu nak beli sendiri, maka layan gambar serta rebiu mereka saja la, hehe...

@Suara, InsyaAllah =)

@Convoy, dengan kata lain, jika internet adalah subset kepada blogger, maka blogger muncul dulu sebelum internet! Terima kasih membawaku berita yang melucukan di hari Jumaat yang hening ini..hehe.

Salaam,

Agak kelakar tajuk blog ini, mungkin Sensei hendak menyatukan istilah baru dengan peribahasa lama... tapi ia hanya menghasilkan patah kata yang bunyinya terlalu janggal, dan ia masih tetap janggal walaupun dimasukkan dengan perkataan mungkin-dalam-kurungan itu..!!

Ledakan lelaman blog ini rasanya amat hebat menjelang PRU lepas, apabila rakyat menjadi loya dengan berita yang teramat-sangat berat sebelah. Dalam mencari satu alternatif baru terhadap berita yang boleh diguna-pakai, blog menghidangkan satu pengisian untuk memenuhi naluri ingin-tahu rakyat yang selama ini dibiarkan kekosongan.

Kepantasan jangkauan internet, begitu jugalah berita-berita yang disampaikan melalui lelaman blog, menyebabkan berita di akhbar dan tv seolah-olah telah menjadi "basi" apabila berita yang disiarkan telah diketahui, apatah lagi bila berita yang dimuatkan tidak begitu menyeluruh atau diputar-pial menurut acuan kehendak sebelah pihak saja. Ini mengakibatkan mereka kehilangan kredibiliti dan tidak lagi menjadi relevan di pandangan mata penonton atau pembaca. Tidak hairan dewasa ini, semakin ramai lebih mempercayai berita di lelaman blog berbanding yang disiarkan dalam media arus perdana.

@Convoy, tergelak mendengar betapa "buta"-nya mereka. Sedih pun ada melihat bagaimana ceteknya ilmu golongan tersebut... yang sepatutnya mereka ini menjadi golongan yang terkehadapan dalam menggunakan dan menyampaikan perkara yang berkaitan dengan teknologi semasa...

Mungkin itulah akibatnya, bila media arus perdana (televisyen terutamanya) lebih memberikan ruang terhadap hiburan berbanding rancangan pendidikan dan ilmu pengetahuan...

inasni

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.