Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel Sensei • Hubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label bahasa. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label bahasa. Papar semua catatan

    Politik dan Bahasa

    30 Mei 2010 • 16 Komen
    Seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini, saya suka bereksperimentasi dengan bahasa. Tapi ada ramai orang yang tidak suka bila bahasa kita ditambah-tambah dengan istilah baru.

    Kadang-kadang, mereka ini tidak suka hanya kerana pencipta istilah baru itu duduk dalam parti politik yang tidak mereka gemari. Namun inilah yang sebenarnya berlaku di negara kita: Bahasa adalah sesuatu yang sering dipolitikkan.

    Bila Najib memperkenalkan perkataan 'glokal' yang berasal dari 'global' dan 'lokal', ramai orang marah-marah padanya. Kita berspekulasi bahawa istilah 'glokal' semata-mata diwujudkan untuk kepentingan politik Najib. Demi politik, Najib telah merosakkan bahasa. Ini apa yang rata-rata pejuang bahasa rasa.

    Namun mana dia pejuang bahasa yang mempersoalkan apabila Pak Samad Said membuat bidaah bahasa apabila beliau memperkenalkan istilah 'catakserukin' yang merupakan gabungan 'Cakap tak serupa bikin'?

    Istilah ini mula-mula diperkenalkan di dalam satu majlis politik anjuran Pakatan Rakyat; maka jelas istilah ini bersifat politik. Ia bukan lagi satu spekulasi. Lalu mengapa tiada seorang pun pejuang bahasa yang bising-bising?

    Kenapa Najib Razak tak boleh, tapi Pak Samad Said boleh? Adakah kerana beliau merupakan Sasterawan Negara? Jika ya, bukankah ini akan merencatkan perkembangan bahasa kerana kita seolah-olah hanya membenarkan golongan elit bahasa sahaja yang berhak untuk mencipta sebarang istilah baru?


    Mukadimah puisi 'Pemimpin Catakserukin'.


    Sebelum ini, bila Mahathir menggunakan istilah 'bajet' dan bukannya 'belanjawan', pun ramai orang marah-marah menuduh Mahathir sebagai perosak bahasa. Mengapa perlu meminjam lagi daripada Bahasa Inggeris? Bukankah kita sudah ada istilah yang jauh lebih 'Melayu' bunyinya di dalam kamus kita?

    Namun, belum pernah lagi saya dengar cerita-cerita pejuang bahasa yang mempertikaikan mengapa para penulis muda kita di luar negara telah bersetuju untuk sama berpayung di bawah kumpulan yang dinamakan Grup Karyawan Luar Negara.

    Logo GKLN.


    Kenapa grup? Walaupun perkataan ini memang termaktub di dalam Kamus Dewan, namun bukankah ada banyak lagi perkataan lain yang lebih 'Melayu' bunyinya seperti kumpulan, gabungan, pertubuhan, persatuan, atau sekurang-kurangnya kelab (Eng: club)?

    Jika anda pejuang bahasa yang adil lagi saksama, maka anda akan menerima apa sahaja istilah baru yang masuk ke dalam bahasa ibunda kita. Kalau ia tidak sesuai lagi janggal, maka bukan anda yang menolaknya, tetapi pengguna bahasa itu sendiri yang akan mengenepikannya sendiri secara beransur-ansur.

    Contohnya ketika era lewat 90-an di waktu orang kita baru mahu kenal apa itu internet, kita telah menggunakan istilah 'hiperangkai' sebagai terjemahan kepada 'hyperlink'. Namun oleh kerana istilah ini terlalu janggal di telinga dan lidah, kita telah menolaknya secara perlahan-lahan. Kini, istilah 'pautan' telah memupuskan 'hiperangkai'.

    Cuba bayangkan anda hidup di zaman ketika istilah 'buku' (Eng: book) mula dipopularkan. Anda bermati-matian menentang 'buku' kerana 'kitab' sudah ada pun sedia ada di dalam bahasa kita. Ditakdirkan Allah, usia anda panjang: Anda hidup sehingga hari ini.

    Maka pasti anda akan malu apabila kesudahannya, orang kita sudah selesa dan terbiasa menggunakan 'buku'. Bahkan, etimologi 'kitab' itu sendiri kini sudah berubah apabila ia hanya merujuk kepada bahan bacaan yang lebih bersifat keagamaan sahaja.

    Demikianlah ceritanya.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Dakyah Bahasa yang Saya Anuti

    12 November 2008 • 36 Komen
    Rukun dalam sebuah dakyah bahasa yang saya cipta dan anuti ada 2 perkara:

    1) Eja setiap perkataan dengan betul walau serojak mana pun ia

    Gambar tulisan pelbagai bahasaSejak mula menulis blog, saya berusaha memastikan setiap perkataan dieja dengan betul. Malah saya turut membuat entri khas bertajuk Skemakan Tajwid Bahasa Malaysia Anda bagi menyebarkan dakyah yang saya anuti itu.

    Pernah sekali tulisan saya bertiangkan bahasa rojak dalam entri Bila Bahasa Kahwin Campur. Walaupun Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris telah berkhalwat di dalam karya eksperimentasi tersebut, namun saya tetap mengeja sekalian perkataannya dengan betul dan sahih.

    Di internet khususnya, antara sebab utama mengapa kita wajib mengeja dengan betul adalah kerana ia memudahkan proses penyampaian dan pemindahan ilmu di kalangan para penutur bahasa yang berbeza.

    Jika dibandingkan dengan Babel Fish, saya mendapati Google Translate adalah bidaah terbaik dan terpenting dalam aspek bahasa di era internet ini. Google Translate telah memudahkan proses pemahaman saya terhadap beberapa teks berbahasa Arab, Perancis dan Jepun yang pernah saya selisihi.

    Semestinya, terjemahan komputer tidaklah setepat mana. Namun dengan berbekalkan sejemput common sense, educated guess dan logik, kita hampir sahaja boleh memahami keseluruhan isi kandungannya. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan pertukaran bahasa penting dunia; misalnya daripada Spanish kepada English. Sepanjang pemerhatian saya pula, proses terjemahan itu semakin mantap dari masa ke semasa.

    Pada waktu ini, fungsi terjemahan melibatkan Bahasa Malaysia masih belum ada di Google Translate. Bahasa Indonesia baru-baru ini sudah ada. Namun saya mendapati fungsi terjemahan Bahasa Indonesia juga sudah boleh dikira bagus. Contohnya lihat blog Hembusan ini apabila ia diterjemahkan daripada Bahasa Indonesia kepada Inggeris.

    Di samping itu, Google Translate turut memiliki fungsi untuk mencadangkan terjemahan yang lebih baik (perhatikan Suggest a better translation):

    Terjemahan kepada artikel Mengapa Dewan Rakyat Unik?


    Maka sebagai persediaan, saya menyeru anda agar mengeja setiap perkataan dengan betul. Demi proses penyebaran maklumat dan ilmu merentasi bahasa, bermulalah dari sekarang.

    Sila eja tiada, bukan xde. Sila eja saya, bukan sy atau sayer. Sila eja makan, bukan mkn. Makan apabila diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris akan menjadi eat; tetapi kalau mkn, mahu diterjemahkan sebagai apa?

    Selain ejaan, tanda baca juga harus digunakan dengan betul. Contohnya ayat seperti:
    nama saya tawel... saya suka makan karipap.sedap tau! Awak suka tak???
    wajib ditulis seperti ini:
    Nama saya Tawel. Saya suka makan karipap. Sedap tau! Awak suka tak?
    Sepanjang saya berblog, seingat saya sudah ada 2 orang penutur bukan Bahasa Malaysia yang cuba mencerna (iaitu: bukan sekadar melihat) isi kandungan blog ini. Pertama oleh Lost Fish:
    ... Back to point. I think I've finally found a blog worth reading that I'm really interested in following, and even more surprised (at myself) that it's in Malay! Apparently my grasp of Malay isn't that terrible. I could not only see the quality of writing and the command of the language (in the written form in the least) in your posts but I could understand what was written and I would like to believe that I could follow some of the train of thought or at least grasp some of what was trying to be communicated. And without much difficulty! ...
    What language is this, I am trying to translate.

    Pengajarannya, setiap tulisan yang kita hasilkan berkemungkinan besar boleh diambil manfaatnya oleh orang yang tidak sebahasa dengan kita. Justeru, bantu mereka dengan mengeja setiap kalimah dengan betul.

    Khalas!

    2) Gunakan istilah-istilah baru bersifat organik di dalam penulisan tidak formal

    Menulis blog telah memberikan saya ruang untuk melakukan eksperimentasi bahasa. Ruang ini tidak mungkin saya gapai jika saya menulis di akhbar atau majalah yang sudah tentu terikat dengan gaya penulisan formal.

    Seraya itu tiadalah saya malu tersipu-sipu untuk mengembleng istilah-istilah baru dan popular seperti poyo, skodeng, masyuk, cikai, kantoi, usha dan sebagainya di blog ini. Istilah sengal yang lazimnya dikaitkan dengan masalah otot pula, baru-baru ini saya gunakannya sebagai satu kata sifat [1]. Tujuan saya menggunakan istilah-istilah tersebut adalah kerana sifat kelahirannya yang organik.

    Untuk memahami apakah erti 'organik' ini, lebih mudah untuk kita melihat maksud 'makanan organik'. Makanan organik adalah makanan yang dihasilkan secara fitrah; ia tidak memerlukan agen luaran yang tidak asli. Maka 'ayam organik' bermaksud ayam yang dibesarkan tanpa pengaruh hormon tambahan. 'Sayuran organik' pula tumbuh tanpa perlu diberi baja sintetik dan disembur dengan pestisid.

    Dalam konteks 'istilah organik', maksudnya ia hadir dalam kelompok masyarakat, tanpa perlu untuk kita meminjam istilah-istilah asing. Acapkali kita sendiri pun tidak pasti dari mana ia datang, bagaimana ia wujud dan mengapa semakin ramai orang memilih untuk menggunakannya.

    Apa yang sedang saya utarakan ini sebenarnya adalah berkaitan dengan etimologi. Tanpa perlu untuk kita memahami panjang lebar apakah itu etimologi, maka cukuplah dengan saya mendefinisikannya sebagai satu cabang ilmu tentang asal-usul perkataan dalam sesebuah bahasa.

    Dengan memahami etimologi, kita akan lebih menghargai kewujudan istilah-istilah baru dalam bahasa kita; sama ada ia bersifat organik atau pun dipinjam daripada bahasa lain. Para mujahid dan mujahidah bahasa yang sinikal terhadap penggunaan istilah poyo, skodeng, masyuk, cikai, kantoi, usha dan sebagainya dalam pertuturan seharian, sebenarnya telah bersifat sangat tidak realistik. Hujah tipikal mereka: Istilah-istilah tersebut tiada dalam Kamus Dewan.

    Benar ia tiada di dalam Kamus Dewan. Namun sejak bila pula kamus menentukan istilah apa yang hendak manusia gunakan di dalam bahasa sesebuah bangsa? Kamus itu sifatnya sekadar untuk mengumpulkan istilah-istilah yang bergentayangan di dalam masyarakat. Maksudnya, mesti ada istilah dahulu sebelum terbitnya kamus:
    "Kita kena faham bahawa kamus adalah merakam semua istilah yang terapung atau berada dalam masyarakat. Tetapi DBP menasihatkan istilah mana yang sesuai dalam suasana rasmi dan mana yang tidak sesuai." - Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Abdullah, DBP dan Kemandulan Minda.
    Selain itu, kamus turut berperanan untuk menyelaraskan ejaan piawai bagi sesebuah istilah [2]. Contohnya jika 'skodeng' akan dimuatkan ke dalam Kamus Dewan edisi berikutnya, maka bagaimana mahu mengejanya? Skodeng, sekodeng atau skoding?

    Kamus wujud apabila sistem tulisan wujud. Sistem tulisan pula adalah antara ciri sebuah masyarakat bertamadun. Oleh sebab itu kesemua tamadun-tamadun awal dunia mempunyai sistem tulisannya yang tersendiri: Tamadun Mesir dengan sistem tulisan heiroglif, Tamadun Lembah Indus dengan skrip Indus dan Tamadun Sumeria dengan cuneiform.

    Dengan kata lain, sebelum manusia membentuk tamadun, mereka tiada sistem tulisan, tiada kamus dan tiada badan-badan bahasa untuk memantau istilah yang digunakan oleh masyarakat. Lalu sebelum terbentuknya itu semua, siapakah yang menentukan hidup mati sekalian perbendaharaan kata di dalam bahasa tersebut?

    Jawapannya tidak lain tidak bukan; iaitu masyarakat itu sendiri. Mereka lah yang menentukan istilah-istilah yang sifatnya datang dan pergi itu. Proses primitif ini masih berlaku pada dunia moden hari ini dan akan terus berlaku sehinggalah ke hari kiamat.


    Mengapa sesebuah istilah bertahan dan pupus?

    Sesebuah istilah bertahan apabila masyarakat tetap menggunakannya. Istilah 'syurga' dan 'neraka' yang masing-masing berasal daripada 'swarga' dan 'naraka' di dalam Sanskrit, adalah antara yang masih kekal kita gunakan. Istilah tersebut mula wujud semenjak fasa Bahasa Melayu Kuno yang berlaku ketika Alam Melayu masih lagi di bawah pengaruh Hindu.

    Apabila bahasa kita memasuki fasa Bahasa Melayu Klasik yang berlaku setelah Islam menebarkan sayapnya di Nusantara, istilah 'jannah' dan 'jahanam' mula dipopularkan. Namun sehingga sekarang apabila kita berbicara tentang konsep kehidupan sesudah mati, istilah 'neraka' dan 'syurga' yang jauh lebih berusia itu adalah yang paling relevan di hati penutur Bahasa Malaysia.

    Jika Bahasa Inggeris mengalami zaman puncaknya ketika era Shakespeare, maka bahasa kita pula meniti zaman emasnya ketika fasa Bahasa Melayu Klasik. Di era inilah munculnya karya-karya sastera Melayu terbaik seperti Sejarah Melayu, Bustanus Salatin dan Hikayat Amir Hamzah. Untuk memahami seni karya tersebut dalam acuannya yang asli adalah agak merumitkan. Ia memiliki struktur ayat yang janggal kepada penutur moden dan dihiasi pula dengan banyak istilah yang sudah tidak kita gunakan lagi.

    Apa yang cuba saya sampaikan ialah bahasa sentiasa berevolusi. Lenggok bahasa yang digunakan pada hari ini akan jauh berbeza daripada apa yang bakal digunakan oleh manusia pada tahun 2500. Sebahagian istilahnya pula akan pupus pada tahun tersebut apabila masyarakat beransur-ansur tidak menggunakannya lagi.

    Katakanlah istilah 'skodeng' dan 'poyo' pertama kali digunakan ketika fasa Bahasa Melayu Kuno; lalu ditakdirkan bangsa kita memilih untuk terus menuturkannya. Tentu tidak rasional apabila manusia yang hidup beratus-ratus tahun selepas itu untuk mempersoalkan penggunannya.

    Maka begitu jugalah dalam konteks kita pada hari ini. Apabila penutur Bahasa Malaysia semakin mempopularkan istilah 'skodeng' dan 'poyo', maka lama-kelamaan istilah itu sendiri akan jadi serasi dengan kita. Bila sudah serasi ia akan dimasukkan ke dalam kamus untuk diberikan definisi yang tepat dan ejaan yang piawai.

    Pada 500 tahun yang akan datang, penutur Bahasa Malaysia di waktu itu akan menganggap 'skodeng' dan 'poyo' adalah antara khazanah istilah di dalam bahasa yang mereka tuturkan itu. Silap-silap haribulan pada tahun tersebut, ia juga akan dilabelkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai sesuai digunakan untuk urusan formal.

    Di samping itu, mereka juga akan terlepas pandang kepada suatu hakikat bahawa semasa sekalian istilah itu mula terapung di dalam masyarakat, mereka yang menuturkannya telah sewenang-wenangnya dilabel sebagai pelacur bahasa. Para penuduh ini sebenarnya adalah pejuang bahasa yang sangat tidak realistik kerana mereka lupa bahawa segala istilah wujud melalui 2 cara.

    Pertama: Melalui peminjaman daripada bahasa asing. Ketahuilah bahawa masa yang berlalu akan menyebabkan sekalian istilah-istilah baru yang dipinjam itu akan menjadi serasi dan diterima. Jika tidak serasi, masyarakat sendiri akan menolaknya.

    Hari ini kita gusar tentang penjajahan Bahasa Inggeris di dalam bahasa kita. Konon-kononnya imperialisme bentuk baru. Namun dalam masa yang sama kita masih selamba badak menggunakan istilah-istilah seperti almari, limau, garpu dan jendela yang terang-terang berasal daripada Bahasa Portugis. Eh mat, kenapa engkau masih menggunakan istilah-istilah tersebut? Bukankah ia sebuah syiar imperialisme Bahasa Portugis kepada bahasa kita yang berlaku sepanjang mereka terconggok di Melaka beratus tahun nan lampau?

    Apabila Islam datang ke Tanah Melayu, bukankah para pedagang dan pendakwah berbangsa Arab juga telah melakukan imperialisme ke atas bahasa kita? Bukan sikit-sikit penjajahan yang dilakukan oleh Bahasa Arab ini. Pada hari ini, jarang orang mengkritik seorang ustaz yang menggunakan 'ana' dan 'anta' di dalam ceramahnya. Sebaliknya seorang guru Bahasa Inggeris yang sesekali tersasul dengan 'I' dan 'You' bila bercakap, sering dilihat sebagai orang Melayu yang mahu jadi mat saleh.

    Sebagai nota tambahan, ana, anta, You dan I ada terdapat di dalam Kamus Dewan. Begitulah adanya.

    Kedua pula adalah secara organik: Sepertimana yang dihuraikan sejak awal tadi, ia langsung tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur bahasa asing. Bahasa kita perlu lebih diperkayakan lagi dengan istilah-istilah organik.

    Penutup

    Untuk sesebuah bahasa itu terus berkembang, tidak pupus dan terus dituturkan, maka kita wajib bersifat liberal. Jangan takut untuk bereksperimentasi dengan istilah-istilah organik dan pinjaman. Jika kita terlalu keras dalam proses kemasukan istilah baru, maka silap haribulan bahasa kita akan senasib seperti Latin yang sudah pupus itu. Bahasa yang sudah pupus tidak menerima kemasukan kosa kata yang baru.

    Salah satu kekuatan Bahasa Inggeris adalah dari sudut etimologinya. Ia membuat pinjaman bahasa-bahasa asing dengan begitu meluas sekali; termasuklah dari Bahasa Malaysia. Bahkan bila difikirkan, kadang-kala cara bahasa tersebut memperkayakan dirinya adalah agak aneh dan melucukan.

    Ungkapan D'oh yang sering dijerit oleh Homer dalam siri kartun The Simpson telah dimasukkan ke dalam Oxford English Dictionary.

    Google pula sekarang bukan sekadar satu jenama, ia adalah kata kerja!

    Istilah w00t yang popular di kalangan geek, di samping sinonim dengan permainan komputer Counter-Strike, telah memenangi Merriam-Webster's Word of the Year 2007 dan telah pun dimasukkan ke bahagian Open Dictionary-nya. W00t juga berkemungkinan besar akan dimasukkan ke kamus edisi cetaknya.

    Khalas!


    Nota Kaki

    ^ [1] Ia merujuk kepada entri Harian Metro yang Sengal dan Setiap Negara Ada Akhbar Sengal yang Tersendiri.

    ^[2] Antara ejaan yang dianggap piawai oleh kita:
    • Celupar; padahal celopar;
    • War-war atau pun uar-uar; padahal wara-wara. (Wara-wara berasal dari perkataan Jawa)
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Nama Barat Saya Ialah Ray

    20 Mei 2008 • 23 Komen
    Apa ada pada nama? Kredit Jack Dorsey


    Beberapa tahun dahulu, setelah saya menyedari bahawa orang-orang putih ini sangat sukar untuk menyebut, apatah lagi untuk ingat nama sebenar saya, maka saya memutuskan untuk memBaratkan nama saya. Lalu saya memilih 'Ray' kerana bunyinya agak hampir dengan nama sebenar saya, di samping ia turut membawa maksud yang baik iaitu sinaran (sebenarnya ada banyak lagi makna ray).

    Agenda pemBaratan nama saya ini sangat berjaya kerana sesudah itu, tiada seorang pun di antara mereka yang bertanya soalan seperti, "Sorry, what's your name again?" Hal ini sedikit sebanyak telah meruntuhkan dinding komunikasi di antara saya dan mereka.

    Apabila saya mula menulis blog kira-kira 3 tahun lebih yang silam, saya menggunakan kata ganti diri 'aku'. Kemudian apabila saya berhasrat untuk menjadikan blog ini lebih bersifat mainstream, dan tidak seolah-olah hanya ditujukan kepada kawan dan kenalan saya, maka 'aku' telah diubah menjadi 'saya'. Saya tidaklah pula tahu sama ada agenda ini berjaya atau pun tidak. Cuma apa yang saya percaya, istilah 'saya' adalah lebih selamat digunakan berbanding 'aku' kerana kita tidak akan tahu 100% bahawa pelawat yang membaca tulisan kita itu sebaya, lebih muda atau pun lebih tua daripada kita.

    Jangan lupa bahawa kita tidak menggunakan kata ganti diri pertama 'aku' ketika bersembang dengan orang yang lebih tua. Kalau di Sabah dan Sarawak, itu mungkin lain ceritanya kerana menurut cikgu Bahasa Malaysia saya yang pernah bertugas di sana, kalau anak muridnya mahu ke tandas, mereka dengan santainya berkata, "Cikgu, aku mahu ke tandas."

    Kemudian sepanjang saya menulis di blog ini, saya menjumpai dan dilawati oleh para bloggers yang tidak menggunakan 'saya' mahupun 'aku'. Sebaliknya mereka menggunakan istilah ana, anta, anti, antum, akhi, akhina, ukhti, termasuklah juga kaifahaluk, ahlan wa sahlan, ukhuwwah fillah dan sebagainya. Ini sedikit sebanyak membuatkan saya berasa sedikit janggal kerana saya tidak membesar dalam istilah-istilah tersebut. Saya bukan budak lepasan sekolah agama dan tidak pula mengambil mana-mana pengajian bahasa Arab. Walaupun saya ada juga sesekali menggunakannya dalam beberapa konteks tulisan saya, namun jika ia digunakan secara meluas, saya berpendapat ia boleh menjadi satu dinding komunikasi untuk menarik pembaca baru seperti saya.

    Namun demikian, adalah penting juga untuk menjadi diri sendiri dalam setiap tulisan yang kita hasilkan. Walaupun saya secara peribadinya tidak menggalakkan mana-mana blogger untuk mengArabkan kata ganti nama diri, namun jika ana, anta, anti dan antum sudah sebati dalam diri, sehingga dalam perbualan harian pun itulah yang digunakan, maka teruskanlah. Namun jika di dunia realiti, istilah 'aku' dan 'saya' yang selalu dilafazkan, maka agak kurang bijak untuk membahasakan diri sebagai 'ana' apabila menulis.

    Ingat, membina sebuah blog yang membincangkan isu-isu Islam tidak semestinya bermaksud bahawa kita perlu juga mengArabkan kata ganti nama diri kita.

    Pada akhirnya ia lebih bergantung kepada siapa tulisan itu hendak disasarkan. Jika kumpulan sasarannya adalah mereka yang tidak mengambil pengajian Islam, bukan juga lepasan sekolah agama mahupun Timur Tengah, maka istilah 'saya' atau sekurang-kurangnya 'aku' adalah lebih mesra sifatnya. Begitu jugalah sebaliknya.

    Ini semua penting bagi merobohkan sedikit dinding komunikasi yang boleh menghalang terbentuknya titik persefahaman di antara satu sama lain.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »