Saya menonton petikan ucapan Datuk Rais Yatim sewaktu berkempen untuk Semangat 46 yang merupakan parti serpihan UMNO. Siapa sangka 18 tahun yang silam, Menteri Luar Negeri yang baru ini pernah berkata:
Tuan-tuan dengarlah. Tapi kalau dengar daripada TV3, mungkin lain bunyinya. Kalau dengar dari RTM, jangan katakan lain bunyi, [tapi] langsung tak berbunyi.Apa yang menakjubkan, ucapan beliau yang ketika itu berada di pihak pembangkang, amat mirip dengan keluhan ahli-ahli politik daripada Barisan Rakyat pada masa kini. Malah saya sendiri tidak menyangka bahawa Datuk Rais Yatim ini sebenarnya mampu berpidato sepetah Anwar Ibrahim.
Tuan-tuan ingat tak, apa yang disebut oleh Tengku [Razaleigh Hamzah] dua, tiga hari lalu sewaktu diwawancara oleh pemberita, sewaktu beliau memberi beberapa penjelasan? Diambilnya perkataan yang sebelah kiri, kemudian dicantumkannya dengan perkataan yang sebelah kanan. Akhir-akhirnya kita tidak faham.
Kemudian apabila saya menonton satu lagi video yang memaparkan ucapan Bush pada tahun 1994 ketika kempennya untuk merebut jawatan sebagai Gabenor Texas, saya akhirnya naik ragu-ragu sambil garu-garu kepala yang tidak berkutu ini apabila mengetahui bahawa Bush 14 tahun dahulu adalah sangat berbeza dengan Bush hari ini.
Seraya itu saya membuat kesimpulan bahawa di samping hiburan, dunia politik adalah satu lagi medan yang berpotensi besar untuk mengubah personaliti seseorang dengan sangat berkesan. Lazimnya, plot drama politik dimulakan dengan awal yang meyakinkan, penghujungnya kekorupan, sementara retorika dan pembohongan duduk di tengah-tengahnya. Apakah yang mampu menjamin ahli-ahli politik yang gagah berkokok untuk membela nasib rakyat pada kempen pilihan raya yang lepas, agar kekal sama pada 10, 15 dan 20 tahun yang akan datang?
TOPENG BUAT BELI CINTA
Saya kira semua manusia yang ada di atas muka bumi ini memakai topeng yang membentuk personaliti masing-masing di khalayak ramai. Personaliti datang daripada kamus Inggeris, personality. Personality ini pula berasal dari perkataan Latin, persona, yang bermaksud topeng.Acapkali kita mendengar kisah ramai pasangan yang sudah berkahwin menyesal dengan insan yang menjadi teman hidupnya. Mereka tidak menyangka bahawa manusia yang pernah melafazkan "Kaulah satu-satunya bagiku, tiada yang lain. Setiaku hanya untukmu. I love you darling..", sambil rembulan dan bintang di langit menjadi saksi, rupa-rupanya adalah playbuaya kasanova yang suka makan luar. Dan macam-macam lagilah jenis topeng yang mula terdedah selepas mendirikan rumah tangga.
Seperti mana dalam sesebuah ikatan percintaan, sebilangan ahli politik yang masih lagi terconggok di bawah, akan "memakai topeng" untuk membeli cinta daripada rakyatnya. Cinta ini perlu diraih untuknya terus mara berkuasa dalam kancah politik. Sedihnya sesudah berkuasa, barulah rakyat sedar bahawa selama ini ahli politik terbabit sekadar memakai sebuah topeng penanam tebu di pinggir bibir.
Inilah apa yang saya namakan "memakai topeng". Topeng ini digunakan supaya orang sayang kita, supaya masyarakat terima kita, tetapi hakikatnya hanya Allah sahaja yang tahu apa yang tersirat di hati.
Memakai topeng tidaklah salah 100%. Nabi sendiri melarang kita daripada menghebohkan keaiban diri sendiri. Malah saya sendiri kadang-kala lebih selesa untuk tidak mengetahui wajah sebenar individu-individu di sekeliling saya. Misalannya, kalaulah saya tidak menggoogle pelakon cantik manis yang memegang watak Aisha dalam filem Ayat-Ayat Cinta, maka tidaklah saya naik meluat dengan filem tersebut.
Walaupun ramai yang sememangnya sejak awal-awal lagi telah memakai topeng untuk meraih cinta, namun tidak dinafikan ada yang memakai topeng itu tanpa ada kerelaan di hatinya. Saya salah seorang daripadanya.
Setelah agak lama menulis di sini, beberapa pembaca blog ini telah "memakaikan" saya sebuah topeng yang menggambarkan saya memiliki personaliti yang baik dan bagus pula dalam kefahaman agama. Alhamdulillah jika saya begitu, namun pada hakikatnya saya tidaklah sebaik yang mereka sangka. Jika dosa-dosa saya yang bertimbun ini mengeluarkan bau, pasti tiada orang akan mendekati saya. Memakai topeng yang diberikan oleh mereka membuatkan saya resah, tidak tenang dan seolah-olah hidup dalam kepuraan. Cinta Allah tidak boleh diraih dengan topeng.
BERDOSAKAH MENANGGALKAN TOPENG SI DIA?
Sekarang persoalan yang paling penting, adakah berdosa untuk kita membuka topeng yang menutupi wajah sebenar seseorang itu? Jawapannya bergantung kepada situasi dan keadaan. Oleh kerana membuka topeng seseorang itu bermaksud kita mendedahkan keaibannya (iaitu mengumpatnya), maka ia tidaklah wajar dilakukan dengan sewenang-wenangnya melainkan dalam beberapa perkara seperti yang digariskan oleh Imam Nawawi dalam Kitab Riyadhus Shalihin.Walaupun demikian, dalam kebanyakkan kes, tidak perlu bagi kita untuk menyelidik topeng jenis apakah yang dipakai oleh saudara-mara, sahabat-handai dan jiran tetangga kita. Mata kita boleh sibuk mencari aib orang lain, tapi jangan lupa bahawa orang lain juga ada mata yang boleh memerhati. Ingatlah bahawa jika kita tutup aib orang lain, maka Allah akan tutup aib kita juga di dunia dan akhirat.
Selain itu secara idealnya, sebagai contoh, rakyat bukanlah golongan terbaik untuk mempertikaikan rasuah dalam tampuk kepimpinan, sebaliknya pemimpin berekod bersih yang sedang berada dalam kekuasaanlah yang patut lebih bersuara. Kita selaku rakyat biasa, belum tahu lagi topeng jenis apa yang akan terdedah sekiranya kita menjadi seorang Yang Berhormat. Kita mengkritik seorang Pak Menteri sebagai kaki rasuah, tetapi apabila kita ditahan oleh polis JPJ, mungkin kita tidak segan-silu untuk merasuah polis berkenaan. Maka tidak ada bezanya topeng yang anda pakai dengan topeng Pak Menteri yang suka makan rasuah itu, cuma anda di bawah, dia dia atas.
Tony Blair di zaman mahasiswanya adalah aktivis dalam Kempen Pembubaran Senjata Nuklear. 10 tahun beliau menjadi Perdana Menteri Britain, UK masih lagi belum mampu untuk melenyapkan senjata nuklearnya sama sekali. Malah beliau jugalah yang mengatakan kepada ahli-ahli Parlimen Britian bahawa adalah tidak bijak dan berbahaya jika Britain menjadi negara bebas nuklear 100%, kerana takut-takut nanti datang ancaman nuklear daripada negara lain.
Berbalik kepada soalan saya di permulaan artikel tadi, "Apakah yang mampu menjamin ahli-ahli politik yang gagah berkokok untuk membela nasib rakyat pada kempen pilihan raya yang lepas, agar kekal sama pada 10, 15 dan 20 tahun yang akan datang?"
Jawapannya banyak bergantung kepada kekuatan nilai-nilai agama dan moral yang dipegang oleh ahli politik berkenaan. Sekarang kita sama-sama lihat dan nilai sejauh mana keikhlasan Ustaz Azizan dan Lim Guan Eng dalam mencontohi kesederhanaan hidup Tuan Guru Nik Aziz selaku seorang menteri besar di negeri masing-masing.
Rumah Nik Aziz Nik Mat yang menjadi Menteri Besar Kelantan semenjak 1990 hingga kini.
Moga-moga godaan kuasa dan harta tidak menggelapkan hati sesiapa sahaja yang berkobar-kobar berjuang untuk rakyat. InsyaAllah.
---
PS: Tulisan ini walaupun disiapkan pada 31 Mac 2008, ia sengaja dipos pada 1 April atas sebab-sebab teknikal.
8 Komen • Tambah Komen↴
dalam kelas Elementary Psychology dan social psychology, ade disentuh tentang topik personaliti ini.
antara lain adalah 'role theory' dan 'expectations'.
sila search di wikipedia untuk keterangan lengkap.
anyway,
a little bit about Mr. Bush that you've mentioned. believe it or not, the 7 to 8 words sentences he speaks is just another way for him to win the hearts of the 'plebs' and the commoners. talking about strategizing. pendekatan populist.
and on survival, and partisanships. basically, when you took your stand, and find yourself in a group, then formalized expectations turn into norms. which in short says that you'll need to agree to the majority in the group, so that you dont want to be left out.
but then again, it comes back to yourself.
pandai-pandailah memilih kawan.
Assalamualaikum.
Saya minta izin untuk mengambil excerpt dari post ini untuk masuk blog saya. sebab memang terkena dgn situasi hari ni.
Jzkk kerana menulis. =)
Wa'alaikumussalam Alia. Eh sila-sila =). Keyser, hang budak psikologi ke?
ahak..
xde ah..
a struggling engnrng student...
ambik klass suka2..
Dalam kisah adiwira, watak² adiwira ini biasanya menciptakan sebuah "identiti rahsia" (secret identity) untuk melaksanakan kerja² "perwiraan" mereka. Secara tak langsung, ini merupakan "topeng" mereka, sebagai lesen untuk membuat kerja mereka.
Majoriti daripada mereka memakai topeng (secara literal, heheh!) untuk melindungi identiti sebenar mereka daripada diketahui orang awam.
Selain dapat melindungi identiti sendiri, ianya juga diharapkan agar dapat melindungi insan² yang tersayang daripada dijadikan sasaran/ancaman musuh mereka yang mungkin akan menggunakan mereka ini untuk membalas dendam.
Dalam sebuah filem pendek bertajuk BATMAN: DEAD END (boleh ditonton percuma di internet), The Joker mempersoalkan tindakan Batman "memilih" untuk "memakai topeng" (dalam konteks yang berbeza barangkali, haha!). Pokok persoalannya ialah, apakah Batman ini "gila macam The Joker".
Untuk pengetahuan, "topeng" sebenar bagi watak Batman ini ialah pada persona "Bruce Wayne"nya, yakni beliau "menyamar" sebagai Bruce Wayne, sementara identiti sebenarnya ialah "Batman".
Berlawanan pula dengan Superman (interpretasi era 80an hingga awal 2000an). Dalam siri LOIS & CLARK: THE NEW ADVENTURES OF SUPERMAN, dilaporkan Clark Kent pernah berkata "Clark Kent is who I am, Superman is what I can do", merumuskan perbezaan cara beliau memakai "topeng" berbanding Batman.
Dari sudut yang lain pula, "topeng" bagi adiwira ini juga turut melambangkan kepura²an. Seperti dalam dunia sebenar (di mana dunia komik adiwira ini merupakan suatu sindiran bagi dunia sebenar), dalam kisah adiwira juga turut memaparkan persoalan mengenai keikhlasan mereka dalam memperjuangkan apa yang mereka perjuangkan. Cakap bagus (dan adakalanya disertakan dengan tindakan) tapi pada masa sama masih pakai "topeng". Pendek kata, masih hipokrit (dari segi mendedahkan siapa identiti sebenar mereka).
Kisah pasal "topeng" juga releven dengan isu "celaru identiti" (bukan hamba bermaksud celaru jantina tu ya?). Bila dia tak tahu apa yang dia mahu, atau bagaimana sikap yang betul² melambangkan prinsip hidupnya, maka secara tak sengaja beliau akan "terpakai topeng". Beliau akan menjadi seorang "wannabe", atau akan menjadi "lalang" yang akan mengikut arah angin bertiup.
Eh, itu macam gue la, heheh!
Dan sekarang, hamba rasa hamba sudah merapu. Maka biarlah hamba membuka "topeng pengomen" hamba ini, hohoho...
Tambahan:
Ohooo, MB Kedah yang baru ni rumahnya di Jalan Sultanah jugak ya? Yang lawaknya, MB Kedah yang dulu pun rumahnya di taman yang dihubungi oleh Jalan Sultanah jugak! =)
@Convoy, sebenarnya mula-mula ingat nak meletakkan tajuk "Hanya Superhero Memerlukan Topeng". Tapi bila fikir-fikir balik yang Fantastic Four tak pakai topeng, malah siap buat publisiti lagi tentang siapakah mereka, maka akhirnya jadilah tajuk "Topeng Buat Beli Cinta" yang sebenarnya digubah sedikit dari salah satu baris lirik lagu Duit oleh Kembara.
Uiks Convoy, hang berapa banyak dah khatam kisah-kisah adiwira ni? Sampai boleh tau psikologi Batman dan Supeman. Haha..memang boleh jadi pengulas cerita superhero yang berjaya!!
Apapun Convoy, tak kisahlah sama ada dia nak jadi wannabe atau lalang, yang penting dia dan kita, sama-sama ikut nasihat pakcik Spiderman: "With great power comes great responsibility."
Salam.
Saja nak kongsi satu syair Arab lama yang telah diterjemahkan;
Dengan siapa orang percaya
Dan dari mana teman yang mulia
Telah terjadi kebanyakan orang
Memakai topeng menutupi belang
Hanya Allah Yang Maha Mengetahui apa jua yang tersembunyi disebalik topeng yang sengaja dipakai atau yang dipakaikan tanpa rela, dan Dia adalah sebaik-baik penilai kerana Dia Yang Maha Adil dan Bijaksana. Semoga Allah melindungi diri kita semua dari keburukan yang ada dalam diri dan keburukan yang ada pada ciptaanNya.
Ada komen atau soalan?
Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.