NOTIS RINGKAS:
Mungkin agak lama untuk tulisan terbaru disiapkan sebab saya sibuk menjaga anak penguin, bla bla bla, merenung ombak di pantai bagi menemukan inspirasi, bla bla bla dan mana tahu jika saya mati esok lusa.
Mungkin agak lama untuk tulisan terbaru disiapkan sebab saya sibuk menjaga anak penguin, bla bla bla, merenung ombak di pantai bagi menemukan inspirasi, bla bla bla dan mana tahu jika saya mati esok lusa.
Sekonyong-konyong dikhabarkan bahawa di tanah Malaysia, sekurang-kurangnya ada 15 orang yang cantik bertukar menjadi hodoh setiap tahun, yang mana semuanya adalah wanita. Arakian harus ditekankan bahawa mereka ini tidak memiliki ilmu Puteri Gunung Ledang yang membolehkannya bertransformasi menjadi nenek kebayan yang hodoh itu. Sebaliknya, perubahan yang mengerikan itu adalah gara-gara upacara suntikan dan pembedahan yang dilakukan oleh dukun-dukun kecantikan yang ghairah meraih duit pengeras.
Saya boleh faham jika mereka yang berjumpa dukun-dukun kecantikan ini adalah kerana fizikal mereka terlalu hodoh, lantas menyebabkan masyarakat takut dan menyisihkan mereka. Ini sepertimana yang berlaku kepada seorang wanita Perancis bernama Chantal Sebire yang mendapat penyakit kanser wajah yang tidak boleh diubati. Kanser itu menyebabkan deria penglihatan, rasa dan dengarnya hilang. Kesemuanya itu sangat memberikan tekanan kepadanya sehingga beliau sanggup ke mahkamah untuk mendapatkan hak melakukan euthanasia secara sah.
![[chantal-sebire-face.jpg]](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj_9Dmr1jZub0SwAT1jMcJf6Yf7tWUcG5cO7Kr8eWm1bGPHtfF78Kv9a_1lmNtLKEwNcYcAAhrChw41DPoYIY59KJ0hCduh61PAddyCOOVeEtIa-x2aSrlXtlDeJcobRsrzAUw/s1600/chantal-sebire-face.jpg)
Baca lebih lanjut kisahnya di BBC.
Tetapi apa yang saya tidak boleh faham adalah mengapa manusia yang sudah cukup tampan, cukup cun dan cukup hensem, masih lagi tidak puas hati dengan apa yang diberi. Rambut, warna kulit, bentuk kening, bentuk bibir, yang sebenarnya tiada apa-apa masalah pun, semuanya mahu diubah. 2 hari lepas, saya membaca kisah seorang gadis remaja berusia 13 tahun dari London yang wajahnya telah bertukar menjadi seperti alien, gara-gara kerana mahukan rambutnya lebih perang dan bersinar.
Lois Queen dimasukkan ke hospital setelah memakai pewarna rambut jenama L'Oreal.Oh ya, janganlah juga risau sangat tentang kedut-kedut yang muncul akibat proses penuaan (perempuanlah biasanya). Sebanyak mana masa dan duit yang dilaburkan bagi melawan proses yang tidak dapat dielakkan itu, ia tetap tidak akan berjaya selamanya. Semua orang akan tua, namun seperti yang dihumorkan oleh Mark Twain:
Age is an issue of mind over matter. If you don't mind, it doesn't matter.
Jadi, baik gunakan duit itu ke arah yang lebih bermanfaat. Masa itu pula boleh digunakan untuk sekurang-kurangnya merenung hakikat bahawa kita mungkin mati esok. Tiada satu pun manusia yang telah mati pada hari ini, ada berfikir di waktu semalamnya bahawa malaikat Izrail akan menjemputnya esok.
Oleh yang demikian, saya mahu memberikan 5 sebab mengapa manusia sentiasa mahu lebih cantik, padahal apa yang sudah Allah beri itu sudah sempurna sifatnya. Fahami sebab-sebab ini dan insyaAllah akan terbit rasa syukur dan tenang di hati walaupun wajah kita tidaklah sejelita atau sekacak mana.
Bagi lelaki, usahlah rasa tergugat sangat apabila melihat model-model yang memiliki abdomen 6-packs, sedangkan perut kita pula berbentuk 6-in-1 yang mana air akan bertakung di atasnya sewaktu kita mandi. Bagi perempuan pula, percayalah, 99% wanita di dunia ini tiada yang secantik Arwen dalam filem Lord of the Rings itu.
Ingat, melainkan anda memiliki wajah seperti Chantal Sebire, maka anda tidak perlu mengubah wajah yang Allah kurniakan.
Ini 5 sebab-sebabnya:
1) Kurang rasa bersyukur
Sebab yang pertama ini selalunya lebih menjangkiti artis (dan mak datin yang banyak duit). Maklumlah, orang yang selalu keluar tv dan majalah, kenalah sentiasa kelihatan comel dan cantik. Lalu ditempeknya mekap setebal 1 inci. Akhirnya, Madonna yang sebenarnya sudah 50 tahun umurnya itu pun, tiba-tiba nampak cantik bila berjoget di atas pentas.Itu kisah artis yang sudah tua. Artis yang masih muda jelita seperti Zahida Rafik pun masih tidak bersyukur dengan anugerah Ilahi. Alhamdulillah dia cepat insaf. Selain itu, kisah Michael Jackson yang terlalu ingin menjadi putih, berdagu terbelah dan berhidung mancung, sepatutnya menjadi pengajaran yang sangat berharga buat pencinta plastik.
Dulu hitam, sekarang putih, dan putih itu tidak semestinya menawan.2) Penipuan solekan dan Photoshop
Iklan-iklan kecantikan terutamanya, yang memaparkan seseorang itu sebagai sangat cantik dan kacak, sebenarnya lebih banyak yang menipu. Kecantikan digunakan untuk melariskan barang. Padahal wajah model-model tersebut tanpa solekan sebenarnya lebih kurang macam kita juga; ada rongga-rongga halus, ada noda-noda hitam dan ada kesan parut jerawat. Malah apabila perisian seperti Photoshop digunakan, makin cantik jadinya model tersebut. Bak bidadari!Wanita-wanita yang dicantikkan dengan teknik solekan dan Photoshop seperti gambar di bawah ini, hanya wujud di alam iklan. Mereka tidak wujud di alam nyata. Sekian dimaklumkan.
Solekan dan perisian mengedit gambar seperti Photoshop boleh menjadikan seseorang
kelihatan cantik seperti bidadari. Klik gambar untuk melihat video penuh.
kelihatan cantik seperti bidadari. Klik gambar untuk melihat video penuh.
Dan janganlah juga kita terpengaruh dengan iklan-iklan luar negara, tidak ketinggalan juga filem-filemnya, yang memaparkan minah-minah saleh itu sebagai cantik tangkap maut. Bertahun-tahun saya duduk di negara mat saleh, jarang-jarang saya jumpa wanita cantik (yang tidak disolek) seperti di televisyen.
Percayalah, bukan semua wanita mat saleh itu cantik. Sama ada gadis itu berbangsa Arab, Afrika, Amerika atau Melayu, biasanya statistik kecantikan bagi setiap bangsa itu tetap dibatasi oleh graf taburan normal yang standard. Ada yang benar-benar cantik, ada yang kurang cantik dan majoritinya pula adalah biasa-biasa sahaja.
Lagipun, kecantikan itu adalah sesuatu yang bersifat relatif. Aku kata gadis ini cantik laksana bulan purnama, kau kata gadis itu seekor katak puru!
3) Takut kehilangan cinta manusia
Untuk sebab yang ketiga ini, saya bawakan sebuah kisah yang dilalui oleh Jocelyn Wildenstein. Oleh kerana terlalu takut ditinggalkan oleh suaminya yang sudah mula menggatal dengan perempuan lain, akhirnya Jocelyn secara beransur-ansur melakukan pembedahan plastik untuk menjadikan wajahnya menyerupai kucing hutan. Katanya, suaminya amat meminati kucing hutan, jadi dia berharap apabila rupanya semakin mirip dengan kucing hutan, maka suaminya itu akan lebih sayang kepadanya.Malangnya pembedahan demi pembedahan menjadikan suaminya semakin takut dengannya. Pada akhirnya Jocelyn menceraikan suaminya setelah menangkapnya berzina dengan seorang model Rusia yang berumur 19 tahun ketika itu.
Siapa yang harus lebih dipersalahkan dalam hal ini? Paranoid isterinya, kecurangan suaminya atau pun ketidakfaham mereka tentang apa ertinya sebuah perkahwinan itu? (Klik gambar untuk paparan yang lebih besar. Klik sini untuk berita tentangnya).
Cinta sesama manusia memang senang datang dan pergi. Dahulu saya ada menyentuh kisah seorang wanita yang ingin mengetahui adakah seorang lelaki itu benar-benar menyintainya. Maka jika ada masa, luangkanlah masa untuk membacanya.
Cinta yang terlalu bersandarkan kepada rupa paras, itu bukanlah cinta. Itu nafsu. Berhati-hatilah memilih pasangan. Muka yang kacak, dahi yang licin, lesung pipit di pipi, dan tubuh yang putih gebu, bukanlah faktor-faktor yang menjaminnya menjadi seorang teman menangis di kala anda jatuh dihempap tangga.
Ingat Mat, kalau kau utamakan faktor-faktor tu masa nak pilih pasangan, aku nasihatkan kau bela kucing aje. Sekurang-kurangnya kucing akan tetap setia 100% apabila kau ditimpa musibah yang maha dahsyat.
4) Krisis identiti
Kadang-kadang, krisis identiti yang berlaku pada seseorang itu menyebabkannya tekad untuk menghodohkan diri sendiri. Mereka rasa cantik dan bangga pula dengan apa yang dilakukannya, tapi sebenarnya kita sendiri yang tengok rasa kasihan. Mana tidaknya, apakah tidak kasihan melihat manusia yang sanggup menghabiskan wang yang banyak semata-mata kerana mahu menjadikan tubuh badan mereka seperti haiwan atau makhluk yang mereka gemari?
Oh, saya sukakan kucing kerana kecomelannya, namun bila manusia jadi kucing itu memualkan saya.
5) Tidak percaya kehebatan tempe dan ulam-ulaman
Datuk Khir Toyo menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menuduhnya melakukan suntikan botox di wajah. Beliau berkata bahawa amalan memakan tempe adalah rahsia awet mudanya:Tempe selain mempunyai kandungan protein yang tinggi, ia juga mempunyai khasiat melawan kanser berikutan penyediaannya yang melibatkan proses fermentasi. Itu sahaja petua saya. Ini pembangkang fitnah saya pakai suntikan botoxlah, pembedahanlah sedangkan saya tak buat pun.(Khir Toyo nafi suntik Botox, Utusan Malaysia, 3 Februari 2008)
Bagi yang tidak tahu, tempe adalah sejenis makanan yang sangat popular di kalangan masyarakat Jawa khususnya. Selalunya tempe akan digoreng terlebih dahulu sebelum dimakan, namun ada juga yang memakannya mentah-mentah.Sama ada Datuk Khir Toyo menggunakan tempe atau botox, tulisan ini bukanlah medan untuk mengulasnya. Apa yang pasti, ibu saya suka makan tempe, dan dia masih kelihatan muda walaupun umurnya sudah melebihi 60 tahun. Mungkin itu penangan tempe agaknya. Selain tempe, ibu saya juga suka makan ulam-ulaman. Tidak sah kalau sehari tidak memakan ulam.
Lalu, mengapa menyuntik botox jika anda boleh memilih tempe serta ulam-ulaman yang segar dan organik? Suntikan botox bukan sahaja mahal dan haram kepada umat Islam, malah ia juga berbahaya kepada diri sendiri. Kalau muka jadi hodoh, jangan salahkan dukun kecantikan yang gilakan pengeras itu.
Oleh itu basuh wajahmu dengan air wudhu selalu, insyaAllah berseri-seri wajah kita dipandang orang. Tak tampan, tak cun dan tak hensem tidak mengapa, janji jangan hilang seri wajah. Malah jika wudhu itu sempurna, bersinar-sinarlah kita di hari pembalasan nanti:
Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat nanti dalam keadaan dahi, kedua tangan dan kaki mereka bercahaya, kerana bekas wudhu.(Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
---
JALAN-JALAN
- Hukum pembedahan plastik dan kosmetik
- Hukum mencabut bulu kening
- Lagu nasyid Syukur oleh Raihan ¶ Teruskan membaca entri ini »






![[wanita-make-up.gif]](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEijZC6YEzYmeSUbr0dtXSZDmFKQ9EM5d-93HZNFvGhDuCabTDmaKn2HPyxvsVpEm4SgvWzb7spigqnD_CgLIQlMM1ExoiU4JWijF0EJKKw5lWs0WRRNud9UQ_I-E0jj90Ndf0w/s1600/wanita-make-up.gif)

Dari semut di lantai, cicak di siling, sehinggalah kapal terbang di awanan. Mereka mudah terpesona dengan semua benda-benda yang dipandang remeh oleh orang dewasa.
Ketika saya kecil, banyak kali juga saya bergaduh dengan rakan-rakan sebab tidak puas hati dengan mereka. Tetapi, biasanya pada hari yang sama (atau selewat-lewatnya seminggu), kami akan berbaik semula dan boleh bermain baling selipar, polis sentri dan sorok-sorok seperti biasa.
Ada seorang penculik yang mahu mendapatkan duit dari satu keluarga yang sangat kaya. Keluarga itu ada 2 orang anak. Seorang berumur 6 tahun, manakala yang lagi satu berumur 15 tahun.