Back to home page

Kesilapan Dasar Air Percuma Selangor?

20 April 2008 • 15 Komen Cetak Chenta!
Beberapa hari selepas berlalunya PRU 12, saya membaca manifesto Pakatan Rakyat yang akan dilaksanakan jika menang di Selangor. Sebenarnya sama ada ia manifesto Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, saya tidak percaya ia boleh dilaksanakan 100% sama seperti yang dilaungkan. Manifesto mana-mana parti di mana-mana negara pun begitu jugalah selalunya. Bagi saya manifesto cumalah satu panduan kasar kepada pengundi tentang dasar yang didukung oleh sesebuah parti itu.

Sesudah membacanya, perkara yang membuatkan saya tersengih-sengih ialah apabila kerajaan Selangor di bawah pentadbiran yang baru, mahu membuat kebajikan dengan memberikan bantuan kepada orang muda yang hendak berkahwin. Tentu saya gembira, sebab sayalah antara orang muda yang dimaksudkan itu. Mudah sikit hendak buat kerja yang baik. Yang rasa cemburu nanti cumalah pakcik-pakcik yang mahu tambah isteri. Tapi kadang-kadang tak semestinya pakcik.

Klik gambar untuk paparan yang lebih besar.


Ini kerana saya ada seorang kenalan sekolah yang sama umur macam saya, yang sudah pun beristeri dua! Lalu adakah kerajaan Selangor akan turut memberikan bantuan kepadanya jika dia mahu bermadu tiga? Silalah jawab wahai Dr Hasan Ali sebab kalau ikut manifesto: "Memberi bantuan kepada anak-anak muda untuk mendirikan rumah tangga." Haha ;)

Walaupun demikian apabila kerajaan Selangor mahu memberikan air percuma sebanyak 20 m3 (m3 = meter padu) sebulan kepada kira-kira 1 juta pengguna air domestik di Selangor, saya agak menentangnya setengah hati. Kenapa?

Sebelum saya pergi jauh, harus ditekankan bahawa bekalan air percuma itu boleh dinikmati bukannya kerana kerajaan Selangor yang akan mengeluarkan RM 11.4 juta sebulan, sebaliknya kos itu akan ditanggung oleh Syabas dan Puncak Niaga setelah kerajaan Selangor menyemak semula perjanjian yang telah termetrai sebelum ini. Kata Tan Sri Khalid Ibrahim:
Perkara-perkara yang terkandung dalam perjanjian ini akan digunakan untuk membekalkan 20 meter padu air secara percuma.

Harga 20 meter padu ialah RM 11.40. Satu juta pengguna, bermakna kosnya bersamaan RM 11.4 juta sebulan. 12 bulan = RM 136.8 juta. Ini jumlah yang sangat besar.

Idea yang saya pandang mungkin lebih bagus adalah begini:
Bukan beri 20 m3 air sebulan kepada 1 juta pengguna air domestik di Selangor, sebaliknya pengguna tidak perlu membayar apa-apa sekiranya mereka menggunakan air sebanyak 20 m3/sebulan dan ke bawah. Dengan kata lain:

Kalau guna air di bawah 20 m3/bulan = percuma;
Kalau guna lebih 20 m3/bulan = kena bayar penuh.

Idea ini adalah killing four birds with one stone. Saya akan huraikan apakah kesan positif membunuh 4 ekor burung itu dengan sekaligus.

BURUNG PERTAMA: Air tidak dibazir, malah semakin dijimat

Satu kritikan yang muncul ialah pengguna akan lebih membazir dalam penggunaan air. Maklumlah percuma. Saya rasa ini berpotensi besar untuk berlaku kerana manusia secara fitrahnya tidak menghargai benda yang percuma[1]. Saya selama duduk di Ireland yang memberikan air percuma kepada rakyatnya ini, jarang-jarang nampak sama ada orang Malaysia mahupun Irish sendiri yang berhemat dalam penggunaan air.

Sebab itu saya berhujah jika air percuma hanya diberikan kepada pengguna di bawah paras 20 m3/bulan, ini boleh mengurangkan kebarangkalian pembaziran air yang akan berlaku. Malah sebaliknya ini akan membuatkan mereka lebih berusaha untuk tidak melakukan pembaziran air. Mengapa?

Manusia secara fitrahnya suka melakukan sesuatu jika ia membawa keuntungan. Secara psikologi, jika sebelum ini bil air rumah Ahmad ialah RM15/bulan, dan dasar kerajaan pula kata: "Jika bil air sebulan ialah RM11.40 dan ke bawah, maka tak payah bayar apa-apa, tapi kalau RM 15 (dan sebagainya) kena bayar penuh", maka Ahmad sendiri secara automatik akan cuba meminimakan penggunaan air supaya dia layak mendapat air percuma.

Sebaliknya jika bil air rumah Ahmad adalah RM15/bulan, dan kerajaan negeri pula kata "20 meter padu air percuma untuk semua pengguna domestik", maka ia akan susut menjadi RM3.60/bulan sahaja. Bila bil menjadi serendah itu, maka Ahmad tidak akan rasa teragak-agak untuk lebih 'berpesta air'. Kerana apa? Kerana dia rasa murah sangat bil air tu. Jadi baginya agak okay untuk menggunakan lebih air supaya bilnya menjadi RM10/bulan. Bukankah nilai itu sudahpun kurang RM5 dari yang selalunya?

Jika sebelum ini dia basuh kereta sebulan sekali, maka dia akan basuh kereta sebulan 4 kali selepas ini. Jika sebelum ini dia mandi sehari sekali, selepas ini dia akan mandi sehari dua kali. Jika sebelum ini dia naik risau jika air sentiasa menitik dari paip, selepas ini dia tidak akan risau dan kisah sangat. Jika sebelum ini dia menadah air hujan untuk dijadikan air siraman pada pokok-pokok bunganya, selepas ini dia tidak lagi akan berbuat demikian.

Kita berbicara tentang permainan psikologi di sini.

BURUNG KEDUA: Jimat duit dan masa kerajaan

Anda tahu berapa banyak kerajaan habiskan untuk melakukan kempen jimat air? Saya pun tidah tahu sebenarnya. Apa yang pasti, Dr Khir Toyo pernah melancarkan Kempen Jimat Air di Selangor. Kita juga ada Kempen Jimat Air Kebangsaan yang akan tamat pada 1 Ogos 2008 ini. Seperti yang kita tahu juga, apa-apa jenis kempen akan memerlukan wang.

Maka apabila kesedaran menjimatkan penggunaan air itu datang dari diri sendiri, iaitu apabila mereka sedar bahawa lagi sikit guna air, lagi cerah peluang mendapat air percuma, maka dia akan melakukannya tanpa perlu ada orang suruh melalui apa-apa kempen.

BURUNG KETIGA: Kumpulan sasaran yang berjaya diringankan bebannya akan jadi lebih tepat

Kata MB Selangor:
Tujuan kerajaan negeri memperkenalkan dasar ini ialah bagi meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Mari berfikir secara realistik. Siapakah golongan berpendapatan rendah ini yang akan diringankan bebannya melalui dasar tersebut? Kalau ia merujuk kepada seorang bapa dan makcik tua lumpuh yang mencari rezeki di buangan sampah yang pernah saya ceritakan dulu, ya saya setuju. Jumlah mereka ini secara relatifnya sangat kecil.

Namun saya tidak begitu bersetuju jika ia juga merujuk kepada mereka yang tidaklah sekaya atau semiskin mana, tetapi masih mampu memasang Astro di rumah, masih mampu membeli top-up telefon paling kurang RM30 sebulan, dan sebagainya. Golongan seperti inilah yang membentuk majoriti masyarakat.

Ya benar, di samping golongan miskin, mereka ini juga adalah golongan yang akan paling rasa tertekan jika harga minyak dan barang keperluan harian lain melambung naik. Namun saya tidak rasa beban kewangan mereka boleh dikurangkan dengan sangat drastik jika kerajaan Selangor melaksanakan dasar yang dicadangkan itu. Apa sangatlah lebihan RM 11.40 sebulan pada kantung poket sedangkan mereka ini masih mampu membawa keluarga makan di KFC dan McDonald sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Bukan niat saya untuk melihat hanya golongan berpendapatan rendah yang betul-betul kais pagi makan pagi, kais petang makan petang sahaja yang dapat menikmati air percuma. Sebaliknya jika kerajaan Selangor benar-benar berhasrat meringankan beban golongan berpendapatan rendah, maka ia akan jadi lebih tepat jika hanya pengguna air di bawah 20 m3/bulan sahaja yang diberikan air percuma. Mengapa? Sebab orang kaya biasanya guna air banyak. Sebab orang kaya biasanya tak kisah sangat dalam soal menjimatkan penggunaan air. Dan orang kaya tak kisah sangat jika bil air mereka RM20 atau pun RM50. Tapi orang susah akan kisah.

Maka konsep kebajikan itu perlu disasarkan tepat kepada mereka yang betul-betul menghargai dan terangkat sedikit nasibnya jika mendapat air percuma sebanyak 20
m3 sebulan. Jumlah mereka ini bukannya banyak sangat pun. Oleh kerana kita tidak akan memberikan air percuma kepada majoriti golongan yang tidak akan terasa sangat kesan pelaksanannya, maka kos yang dapat dijimatkan itu boleh disalurkan untuk meningkatkan kualiti bekalan air yang akan saya terangkan di bahagian berikutnya.

Saya menekankan faktor kualiti air kerana jika air itu bersih, maka orang senang, orang susah atau orang sederhana, semuanya akan rasa gembira.

BURUNG KEEMPAT: Ada peruntukan untuk menaiktaraf kualiti air

Seperti yang saya katakan tadi, bekalan air 20m3 percuma untuk semua pengguna air domestik di Selangor akan memakan kos RM136.8 juta setahun yang perlu ditanggung oleh Syabas dan Puncak Niaga. Kita katakan hanya 15% pengguna domestik di Selangor yang menggunakan air di bawah 20m3. Harus diingat bahawa 15% ini nilai spekulasi sahaja. Bil air rumah saya biasanya dalam RM8-RM10/bulan dan ramai juga jiran-jiran saya yang bil bulanannya tidak melebihi RM11.40/bulan. Buat pengetahuan, saya tinggal di Padang Jawa yang letaknya bersebelahan sahaja dengan Rimba Jaya (tempat berlakunya isu kuil Hindu yang dirobohkan), dan boleh dikatakan bahawa sekurang-kurangnya 80% penduduk Padang Jawa dan Rimba Jaya adalah dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Jika 15% pengguna ini tidak perlu membayar air sama sekali, manakala 85% bakinya mesti membayar penuh, maka kos untuk memberikan air percuma itu paling banyak hanya boleh menjadi RM20.52 juta/tahun sahaja.

Jadi baki RM116.28 juta/tahun itu boleh disalurkan untuk meningkatkan kualiti air di Selangor. Kualiti bagaimana yang kita mahu? Kita mahu kualiti air seperti di UK dan Ireland yang mana dalam kebanyakkan kes, kita boleh terus minum air yang keluar dari paip. Tak perlu masak, tak perlu rebus. Buka paip, tadah dengan cawan, baca Bismillah, dan minum.

Ehem, kalau asyik air kopi yang keluar dari paip macam di Melaka tu, susah juga saya nak buat air sirap selasih yang sangat popular di bulan puasa itu!


---
NOTA KAKI:
[1] Jika anda pengguna Linux, anda mungkin ingin tahu bagaimana konsep percuma itu boleh menjadi satu bala kepada Linux dan perisian open source yang lain. Baca: Why Linux Doesn't Spread - the Curse of Being Free.

15 Komen Tambah Komen↴

yerp....setuju dengan encik tawel!

fIrsT

satu tulisan yang cukup menarik..buat saya tersenyum dengan bibir yang bersimpul-simpul selama untuk menghabiskan tulisannya....orang selangor memang tak layak dengan benda percuma sebab poket mereka hebat-hebat belaka...bayar je lah bil air tu...ciput je!! tapi bagi orang tua yang perasan muda dan nak kahwin dua tiga...haa depa ni kena diberi belanja...secukup-cukupnya untuk mudah membesarkan keluarga dan meluaskan lubang hidung dek kerana bangga, suka dan bahagianya dia....ambooii!
tapi... bagi yang suka kepada nikmat yang berganda dalam hal rumah serta tangganya... saya rasa mungkin tak sebesar,seluas dan senikmat itu jalan untuknya ke syurga...wahai 'orang muda'.

ummuhanah

salam`alayk~

"Memberi bantuan kepada anak-anak muda untuk mendirikan rumah tangga." --> Bukan anda saja yang tersengih, saya juga! :D


Komen saya tentang isu air ini:

#Burung 1
SETUJU!

#Burung 2
Jimat duit kerajaan bermakna jimatlah duit rakyat :)

#Burung 3
Kumpulan sasaran itu patut di 'lampu tinggi' kan. Saya menetap di rumah pangsa dan kadar penggunaan air pada setiap bulan +- RM15. Hal yang membuatkan saya SANGAT tidak puas hati ialah: jika golongan seperti kami tidak mampu membayar pada masa yang ditetapkan (yakni pembayaran selepas setiap 2 bulan), pasti meter air akan dikunci. Berbeza dengan mereka yang duduk di rumah-rumah besar, bukan setakat 2 bulan, bahkan 2 tahun pun ada yang tak bayar bil air. Tiada sebarang tindakan di ambil. Tiada! Oleh sebab itu, kerajaan sekali lagi diseru untuk meng'lampu tinggi'kan golongan sasaran bagi pelan yang murni ini.

#Burung 4
Wa, boleh minum terus dari paip? (kagum!) Nasib baik air yang keluar dari paip rumah saya tidak seperti kopi.. tapi seperti air teh yang uncangnya telah digunakan berulang kali!

Segala usaha dan tindakan kerajaan Selangor pasti dilihat & dinilai oleh rakyat. Jadi, berfikirlah sebelum bertindak wahai kerajaan negeriku yang tersayangi.

p/s: Teringat pada rumah yang tak berair minggu lepas gara-gara saluran paip dalam tanah yang tak dapat mengepam air ke tangki. Nasib baik tindakan segera diambil. Kalau tidak, pasti muka ayah keluar di muka depan akhbar perdana dengan tajuk "Padah tidak mengundi kami". Haha ;)


.sis er.

Tanpa Nama

Ada juga orang lain yang tersengih dan tersenyum rupanya..

@UmmuHannah, sebenarnya bukan soal orang Selangor mampu bayar atau tidak, tapi sebenarnya Selangor nak beri air percuma dengan menggunakan beberapa perkara yang terdapat dalam perjanjian. Tau la kome orang Perak..haha. Eh, cadangan ummuhannah nak beri bantuan kepada pakcik tua yang nak tambah isteri tu, betul atau main-main? :)

@Anonymous di atas, mungkin 30 meter padu = RM17.10, adalah nilai yang lebih realistik untuk membantu golongan bawahan. Kalau 20% penduduk bilnya di bawah RM17.10, maka syarikat swasta yang menguruskan air cuma akan kehilangan RM41.04/tahun. Jadi masih ada baki dalam RM95.76 juta/tahun untuk naik taraf kualiti air.

Okay la tu kan berbanding hilang RM136.8 juta/tahun semata-mata untuk memberi air percuma 20 meter padu sebulan kepada semua pengguna air domestik di Selangor.

Pasti ok! (^^.)p Hurm.. saya rasa cadangan ini patut diusulkan ke peringkat yang lebih tinggi. Suara mahasiswa juga merupakan suara rakyat.

p/s: Tak sabar menunggu tempoh 'berkabung' dari dunia blog tamat esok. :D

.sis er.

Tanpa Nama

Pertama-tamanya, sebagai orang yang suka jugak mengambil tahu pasal politik, saya rasa apa yang cuba ditekankan artikel ini ialah sepatutnya masyarakat dididik dengan benda percuma yang berhikmah :)

Tapi saya berminat tentang part burung ke-3. Di mana taraf hidup berbeza patut diberi 'khidmat' yang berbeza..dalam kerajan sebelum inipun benda ni dah banyak terjadi di mana pegawai2 kerajaan diberi 'subsidi' untuk bil air, bil elektrik, bil telefon dsb.

Pegawai (sudah tentu bergaji tinggi) diberi subsidi. Means that diorng pakai ada diskaun.

Orang biasa (bergaji biasa) tiada diskaun langsung.

p/s: benda sama seperti isu 4 burung ni mungkin berulang dengan janji menurunkan sepenuhnya harga minyak...truthfully, working within the oil and gas area, some of those things can only be written on papers...

Allahu'alam

Salaam,

Cerita pasal air, kenapa pergi kepada burung? Killing four birds with one stone? Bukankah lebih baik gunakan perumpamaan melayu, sambil menyelam minum air? Paling kurangpun, ada kena mengena dengan air. Katalah "selaman pertama" dan seterusnya hingga "selaman keempat".

*ahem* Ini usaha memartabatkan kembali Bahasa Melayu... :-)

Walau bagaimanapun, memang bernas hujah Sensei. Dan artikel lanjutan nota kaki pada pautan "sumpahan percuma Linux" itu amat menarik sekali... kerana itulah sikap kebanyakan manusia dalam menghargai sesuatu yang "percuma".

Berkenaan manifesto "bekalan air kegunaan domestik secara percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan", jika tidak diperhalusi memang agak 'melampau' pada pandangan saya, kerana ia seolah-olah menggalakkan pembaziran. Tetapi dari apa yang saya dengar, penggunaan melebihi had tersebut akan dikenakan caj yang lebih besar, ertinya mungkin mereka perlu membayar lebih dari biasa seandainya 'pembaziran' dilakukan. Walau apapun, ia masih lagi di peringkat pertimbangan.

Tentang "Memberi bantuan kepada anak-anak muda untuk mendirikan rumahtangga." itu memanglah bagus untuk menggalakkan "anak-anak muda" berkahwin daripada membiarkan mereka terjebak ke dalam suasana yang tidak baik. Bukankah dengan berkahwin itu menutup satu daripada pintu godaan syaitan? Bagi saya, istilah "anak-anak muda" itu bermaksud mereka yang masih bujang, kerana mereka yang telah berkahwin sudah tidak layak digelar "anak-anak muda" kerana telah menjadi "dewasa" setelah bergelar "pemimpin rumahtangga".

inasni

aku kagum dgn kamu sbb berani melontarkn buah fikiran.. bg aku, ape yg kerajaan negeri selangor lakukkn itu adalh suatu yg dtuntut selaku pemerintah. mereka lebih arif & lebih m'gkaji dr sudut kebaikn dsebabkn mereka yg mengendalikn urus tadbir negeri, jd mereka nampak jelas satu p'satu ape yg t'baik untuk rakyat. maka oleh itu mereka lakukn.. sepatutnya kita selaku rakyat patut b,syukur dgn ape yg diberi, juga lebih b'fikiran matang.. hujjah kamu, aku akui ade yg bnr & ade yg kurang tpt. selaku pemerintah, mereka perlulh b'sikap adil kpd rakyatnya. tak kira kaya ataupun miskin. yg miskin rakyat, yg kaya pon rakyat.. jd mereka semua lyk tuk mdapat keistimewaan.
mengenai soal pembaziran pula, aku rase xkn timbul. sekiranya b'laku juga, tp aku yakin hanye segelintir & xkn b'sifat kekal.. sbbnye, setiap manusia itu akn fikirkn yg positif sugghpun sblum2 ini sering melakukn yg b'sifat negatif. lambat laun ia akn sedar dgn p'buatannya. aku yakin kerajaan selangor yg ade skarang ini, akn mdidik rakyatnya ke arah kemantapan rohani. ini krn ddlm organisasi exco kerajjan, terdapat exco yg arif dlm pendikkn agama, juga didlm menifesto yg dipaparkn, boleh dkatakn semuanya dtuntut dlm islam.. kita sepatutnya b'syukur... pkare itu baik... bknnye mmbgnkn pusat hiburan ttpi mmberi kebajikan kpd rakyat.. usnuzonlah dgn ape yg dlakukn oleh kerajaan. mudah2han ianya diberkati & dilindungi oleh Allah SWT... waalahua'lam..

coklat n9

Haha saya memang terhibur membaca lawak lawak slapstik saudara Tawel. Tapi benarlah dekata kawasan PJ rumah atuk saya, kalau tak pakai water filter yang canggih lagi ultra ionic (whatever funky teknology term), tak terminum rasanya air tersebut.

Haha sebagai seorang pengguna Linux yang tegar lagi fanatik (anti-microsoft tidak berbelah bagi), ingin saya nyatakan bahawa konsep percuma dalam Linux bukanlah percuma macam gi kedai mamak makan free tak bayar.
Bak kate slogan
OpenMalaysiaFree as in Free of Speech not Teh Tarik.

Dengan hormatnya, konsep percuma dalam dunia open source sebenarnya tidaklah merujuk kepada hara tetapi kekangan/halangan dalam konteks perbahasan ilmiah.

If monetary value is the main reason people change towards Linux. I agreed it's a curse, (bukti lihat saja ubuntu fanboys, ade yang giveup ade yg fanatik sebab free etcx3).

But if you are a user who want to take an infinite advantage of what you can do with your computers without being restricted by long list licensing issues, pattern laws and any tainted propitery materials. This is the chance!

@Inasni, masihkau kau ingat kepintaran seekor burung yang nak minum air dari satu botol yang agak sikit airnya? Sebab itu pergi kepada burung ;)

@Yondie, pandai sungguh OpenMalaysia meMalaysiakan kata-kata Richard Stallman tu. Aku juga terhibur! Eh, bila kerajaan Malaysia nak switch to open source?

@Coklat n9, yup saya bersangka baik dengan kerajaan. Tapi kalau kita duduk kejap, renung-renung, mana yang beri kesan lebih baik untuk jangka masa panjang:

1) Air 20 meter padu percuma untuk semua; atau
2) Air berkualiti tinggi yang tak perlu pakai apa-apa penapis air canggih lagi ultra ionic bak kata Yondie tu, sebelum kita meminumnya?

baik sangka baik sangka juga. Tapi al maklum hamba ni faqir yg tewas ngan bisikan khuatir hati.

@Tawel: tak silap hamba Malaysian Administrative Modernisation and Management Planning Unit.(singkat MAMPU) is on the move. Kerajaan Malaysia akan start step by step replace penggunaan dari MsOffice ke OpenOffice. Kita tak leh uat drastik sangat, slow and steady. Rasanya ade position job untuk train kakitangan kerajaan dalam menggunakan software open souce kini (tak sure nanti saye rujuk balik )

1) Strategi jangka panjang.

Ramai sedia maklum, bahawa kutipan wang bil air di negeri selangor tidak memuaskan. Ia memang dikenali sebagai salah satu aktiviti low-added value. Begitu juga dengan bilangan 'pencuri air' yang ramai.

Dengan memberi air percuma 20m3, kerajaan secara tidak langsung menggalakkan orang mendaftar bagi kegunaan air. Ini satu cubaan menghilangkan pengguna-pengguna air tak berdaftar.

Beri air percuma juga, dengan ini memudahkan pemantauan kerajaan. Dalam satu kawasan jika ada 100 buah rumah, makan 20m3 kali 100 rumah = 2000m3. Jika bacaan meter pemantau di situ tidak lebih dari 2000m3, maka kerajaan boleh 'tutup mata' dan tak perlu hantar pembaca meter air, yang perlu digaji (tetapi tak balik modal sebab bil tak dibayar).

Percuma 20m3 itu insyaAllah mampu juga memupuk semangat berjimat cermat. Percayalah, saya di negeri sembilan perlu bayar minimum rm5 sebulan, walaupun saya guna sangatlah sedikit. Ini yang akan motivate saya untuk membazir.

zacharias

berkenaan dgn ayat ni
"Silalah jawab wahai Dr Hasan Ali sebab kalau ikut manifesto: "Memberi bantuan kepada anak-anak muda untuk mendirikan rumah tangga." Haha ;)"

dr hasan ali tu bijak org nyerr...org2 mcm beliau org2 yg "berfikir sebelom bercakap"..
klu dah kata membantu..
bg org2 yg nak "paham",dia mesti paham ape yg diperkatakan oleh dr hasan ali tu...

Tanpa Nama

Memang bernas sekali pendapat encik tawel diatas. Ingin sekali menwar-warkan pendapat ini kepada semua agar ia lebih realistik.

Mintak izin untuk copy artikel encik tawel bagi kegunaan blog saya.

Terima kasih.

Hmm..copy ek? Oleh kerana anda adalah Encik Kipp, maka saya tak benarkan copy. Hehe..

Dari copy bulat-bulat artikel ni, lebih bagus kalau Kipp ulas apa yang kurang dan tidak realistik dalam pendapat saya ni di blog Kipp. Idea saya bukannya bullet-proof 100%.

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.