Back to home page

Kisah Suka Duka Babi

08 April 2008 • 17 Komen Cetak Chenta!
Setiap kali wujud isu babi di Malaysia, kekadang resah hati ini dibuatnya kerana majoriti bangsa Melayu masih lagi sukar memandang babi dari kanta yang lebih rasional.

Tidak berapa lama dahulu, saya ada menyentuh tentang isu pelajar vet berbangsa Melayu yang berpelukan dan bergambar dengan babi. Kali ini isu babi menjadi popular semula setelah kerajaan Selangor berura-ura mahu mendirikan ladang ternakan babi bernilai RM 100 juta di Sepang.

UPDATE 1: Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, projek tersebut sebenarnya telah pun diluluskan oleh kerajaan negeri pada 30 Januari 2008, iaitu sebelum berlakunya pilihan raya pada 8 Mac 2008.

UPDATE 2: Oleh kerana isu babi ini telah disensasikan oleh media-media perdana yang cacat etika kewartawanannya, maka amat penting juga bagi kita untuk membaca penjelasan oleh Kerajaan Negeri Selangor itu sendiri. Ulasan oleh Roslan SMS pun bagus juga.

UPDATE 3: Empat video kontroversi berkaitan babi pada tahun 2007 yang patut anda tonton. Penangan Karam Singh Walia. Berdasarkan komen Cepuk.
  1. Sepandai-pandai membungkus, yang busuk berbau juga
  2. Ibarat dia menyeludup ke bawah rumah, asal mendapat telur ayam
  3. Yang hilang dicari, yang terapung direnangi, yang terbenam diselami
  4. Selembap-lembap puntung di dapur, ditiup menyala juga
UPDATE 4: Adakah kerajaan Selangor yang baru akan mendedahkan dokumen rasmi berhubung projek ternakan babi moden yang telah pun diluluskan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Selangor pada 9 Februari 2008, sedangkan dokumen itu tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi?

Sama ada projek itu jadi atau tidak, lebih banyak membawa manfaat atau keburukan, itu bukanlah isunya yang ingin saya luahkan. Saya hanya mahu mengusik minda pembaca tentang haiwan yang paling dipandang keji oleh masyarakat Melayu ini. Cerita-cerita negatif yang kita dengar selama ini tentang babi, membuatkan saya tertanya-tanya sama ada anda akan percaya kepada saya atau tidak jika saya mengatakan bahawa babi itu haiwan yang pintar, memiliki IQ yang agak tinggi, dan lebih mudah dilatih berbanding anjing dan kucing.

NASIB BABI MALAYSIA

Sebenarnya saya amat kasihankan nasib makhluk babi yang hidup di Malaysia. Suatu masa dahulu, akhbar dan televisyen jarang-jarang menggunakan istilah babi, sebaliknya istilah khinzir yang nampak manis sedikit bunyinya itu, lebih kerap digunakan. Kalau pun terpaksa sebut babi, orang-orang kita dahulunya akan sekadar mengeja dalam jawi: Ba alif ba ya. Namun sekarang, masyarakat kita sudah tidak jijik sangat untuk menyebut 'babi'. Ini adalah perkembangan yang sudah cukup baik bagi menaikkan maruah babi yang tidak bersalah itu.

Walaupun ia masih lagi tidak mampu membuatkan babi tempatan kita mencipta nama seperti yang dilakukan oleh babi-babi oversea dalam filem Babe dan Charlotte's Web, namun saya cuma berharap agar janganlah bangsa Melayu terlalu memandang keji makhluk yang juga dicipta oleh Allah ini.

Di negara kita, babi adalah haiwan yang sering dijadikan isu untuk merendah-rendahkan bangsa Cina terutamanya. Bangsa Cina dituduh pengotor dan menjijikan hanya kerana mereka gemar makan babi. Apabila Teresa Kok meletakkan gambar majlis jamuan babi panggang sempena kemenangannya dalam pilihan raya tempoh hari, terdapat beberapa komen (berkemungkinan besar dibuat oleh bangsa Cina) yang menasihati beliau supaya berhati-hati meletakkan gambar yang sedemikian kerana takut-takut ia akan menyinggung perasaan orang Melayu.


Sebenarnya hanya Melayu totok sahajalah yang akan tersinggung dengan gambar di atas. Siapa Melayu totok ini? Mereka adalah Melayu yang sangat tebal semangat keMelayuannya sehingga tidak mahu belajar adat dan budaya bangsa lain, di samping malas berusaha untuk memahami apa yang Islam kata dalam hal-hal berkaitan babi itu sendiri. Bagi Melayu totok, hanya adat resam dan budaya Melayu sahajalah yang lebih holier.

Melayu totok ini jugalah yang suka membangkitkan sentimen perkauman di negara kita yang berbilang kaum ini. Namun harus kita ingat bahawa Cina totok juga ada, India totok juga ada. Ketotokan mereka itulah yang menjadi salah satu faktor yang menyukarkan perpaduan kaum di Malaysia.

Di samping dijadikan mangsa dalam isu perkauman, babi juga turut dipolitikkan apabila berlakunya pencemaran yang terjadi akibat kebangkitan ladang-ladang ternakan babi yang haram. Ura-ura kerajaan negeri Selangor yang saya sebut di awal-awal tadi, bakal menjadi satu lagi isu politik sekiranya parti Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat tidak sama-sama berusaha untuk mencari solusi terbaik dalam menghadapi isu tersebut. Jangan sekali-kali kita menyalahkan babi dalam hal ini. Kita tidak boleh mendidik babi supaya jangan bagi kotor itu ladang, tetapi pihak berkuasa boleh duduk berbincang, berfikir secara kritis dan kreatif untuk menyelesaikan masalah tersebut.

KISAH BABI DI LUAR NEGARA

Setelah lama duduk di Ireland, bolehlah saya berhujah bahawa bangsa British, Scottish, Welsh dan Irish adalah bangsa yang suka makan babi. Hampir semua restoran (tidak halal) di sini ada menghidangkan menu yang berasaskan babi. Lalu saya berpendapat bahawa tindakan sesetengah masyarakat Melayu totok yang cuba memperlekehkan bangsa Cina sebagai pengotor dan jijik kerana suka makan babi, adalah sesuatu yang tidak wajar dilakukan.

Selain itu, babi di sini rasanya lebih bernasib baik. Mereka tidak menjadi bahan politik. Apabila saya membaca berita dan isu berkaitan babi yang berlaku di sekitar Ireland dan UK, ia selalunya lebih banyak berkisarkan tentang kebajikan babi yang tidak terbela, yang dibangkitkan oleh pejuang hak asasi haiwan seperti PETA. Jarang-jarang ada berita tentang keadaan ladang ternakan babi yang kotor dan menimbulkan masalah bau busuk serta pencemaran alam sekitar.

Inilah bezanya isu babi yang wujud di antara sebuah negara maju dan negara yang mahu jadi maju 12 tahun lagi. Sebenarnya perbezaan ini terjadi disebabkan mentaliti lapok yang masih bertapak kuat di hati rakyat Malaysia. Mentaliti ini masih wujud kerana sifat orang-orang kita sendiri yang malas membaca, melihat dan berfikir. Akhirnya kita di Malaysia masih lagi bertekak dan pening kepala untuk mengatasi masalah-masalah babi yang sudah berbangkit sejak sekian lama.

Bagaimana caranya untuk menjadikan ladang ternakan babi di negara kita supaya lebih terurus dan bersih, itu bukan kerja saya. Cuma apa yang saya cadangkan, hantarlah beberapa orang kita untuk melawat ladang-ladang babi di United Kingdom dan negara-negara maju lain yang mempunyai pengalaman menguruskan ladang ternakan babi dalam skala yang besar. Belajar cara mengurus dari mereka dan kemudian aplikasikan di Malaysia.

RM 95 juta boleh dibelanjakan bagi melastik Dr Sheikh Muszaphar ke angkasa. Maka amat mampu sangatlah bagi kerajaan untuk membelanjakan sedikit duit rakyat bagi membolehkan kita belajar sesuatu daripada para pengusaha babi di UK, yang mana saya percaya kosnya adalah jauh lebih kecil dari nilai RM 95 juta itu.

Saya cuma berharap di tahun 2020 nanti, janganlah ada lagi isu ladang ternakan babi yang kotor dan berbau busuk. Di negara-negara maju, itu sudah tidak menjadi isu sangat. Isu mereka adalah bagaimana untuk memastikan nasib babi terbela sewaktu hidup di ladang ternakan. Sebab itulah di UK, beberapa teknik ternakan dalam konsep ternakan babi intensif, sudah pun diharamkan kerana ia bersifat mendera.

Kalau kerajaan sudah malas sangat hendak fikir tentang isu babi, tutup terus ladang-ladang babi yang haram mahupun halal, dan kemudian kita import sahaja babi dari negara jiran seperti Thailand. Pengusaha ladang babi di negara kita kemudiannya boleh diberikan bantuan dan subsidi untuk memulakan bisnes menternak haiwan lain seperti ayam, kambing dan lembu, atau pun sesuatu yang berasaskan pertanian.

Sebagai penutup, tiada satu pun daging babi yang halal di dalam dunia ini, walaupun disembelih dengan nama Allah dan putus pula urat merih babi tersebut. Baca Bisimillah sebelum makan babi pun tetap haram!

Daging babi halal di Singapura? Klik sini untuk gambar saiz besar.

17 Komen Tambah Komen↴

Sebagai penutup, tiada satu pun daging babi yang halal di dalam dunia ini, walaupun disembelih dengan nama Allah dan putus pula urat merih babi tersebut. Baca Bisimillah sebelum makan babi pun tetap haram!

Saya paling suka bahagian ini. Setuju 100% :)

Label 'HALAL' menguntungkan !

Perkara ini pernah berlaku di Aussie pada suatu tika dahulu di mana penjual daging lembu kehairanan kenapa ramai orang islam membeli 'HALAL MEAT', tup tap dia letakla label 'HALAL PORK' manalah tahu kot kot orang islam ramai beli.

Bila dah sesuka hati membuat label, orang sudah meragui label 'HALAL MEAT' yang sebelumnya.

Maknanya kuasa beli orang islam masih lagi kuat.

Lagi kuat kalau kita umat islam bijak berbelanja.

Pada pendapat saya, isu yang lebih besar ialah penternakan babi secara haram dan tidak mengikut spesifikasi kebersihan.

Ternak babi secara haram, konfem penternak takkan ambil kira pasal environment. Maka, "menghalalkan" penternakannya di kawasan tertentu akan memudahkan pemantauan. Namun, saranan En. Tawel pada perenggan kedua terakhir adalah yang terbaik. (adalah mustahil untuk mengharamkan makan babi di Malaysia yang bermasyarakat majmuk ini).

Kisah ini mengingatkan saya tentang isu incinerator. Ada satu kumpulan yang membantah pembinaan incenerator di satu lokasi dalam negara. Bantahan dibuat atas alasan "jika incinerator TIDAK DISELENGGARA dengan baik, ia akan mengeluarkan gas yang berbahaya". Lalu, di sokong penduduk setempat. Hasilnya, incinerator tidak dapat dibina. Gembiralah puak-puak yang membantah pembinaan tersebut.

Apa yang berlaku seterusnya, sistem pelupusan tanah dengan cara pelupusan dataran terbuka diteruskan. Bau busuk bermaharajalela. Padan muka. Dan, sistem pelupusan dataran terbuka ini, PASTI akan merosakkan ekosistem dan melarutkan bahan toksik ke dalam tanah.

Tidak lama kemudian, keluarlah En. karam Sigh Walia membicarakan isu tersebut, dengan menginterview penduduk yang sambil bercakap sambil tutup hidung untuk menampakkan kebusukan suasana di situ.


Kesimpulannya, kebanyakan kita selalu tidak berfikir panjang. Seperti contoh kes incinerator tersebut, walaupun ia MUNGKIN akan menghasilkan gas toksik jika tidak diselenggara dengan baik, tetapi ia lebih baik dari sistem konvensional yang SEMEMANGNYA akan menghasilkan bahan toksik dan merosakkan alam. Tapi, kerana takut kepada sesuatu yang bersifat MUNGKIN, maka kita sanggup menghadapi sesuatu yang PASTI mudharatnya.

by the way, saya berasa sangsi dengan gambar "babi halal" tersebut. Sticker halal tu macam sengaja ditampal. Maksud saya, stiker tu, berkemungkinan diambil dari produk halal yang lain, lalu ditampal di situ.

wallahua'lam...

As-Salamu`alaikum wa RahmatuLlah
ya Akhina al-Kareem...

Soalan : Daging babi halal di Singapura?
Jawapan : Tidak.

Sekian dimaklumkan,
ALLAHu a`lam bisawab.

Cadangan saudara untuk lawatan ke negara-negara maju untuk melihat penternakan babi di sana memanglah wajar. Walaupun begitu, saya tidak berapa yakin ianya akan membuahkan hasil yang cemerlang. Sedari dulu telah banyak 'lawatan sambil belajar' yang dilakukan (bukan untuk penternakan babi, tetapi untuk perkara-perkara lain) tetapi saya melihat hasilnya hanya lebih kepada lawatan daripada belajar. Lawatan sambil belajar yang terbaru adalah lawatan ke Stesyen Angkasalepas Antarabangsa (ISS). Apakah hasilnya kepada rakyat marhain di kala ini? Rakyat Malaysia bukan sekadar telah membuat lawatan ke sana sini untuk mempelajari sesuatu, malahan ramai rakyat Malaysia yang mempunyai pengalaman tinggal dinegara maju. Segelintir dari rakyat Malaysia yang bertuah itu ada menjawat jawatan-jawatan penting terutama sekali di dalam menentukan arah tuju negara Malaysia ini. Pastinya banyak pengalaman sepanjang tinggal dinegara maju itu yang mampu sekurang-kurangnya mencetuskan ilham untuk memperbaiki keadaan di Malaysia. Tapi mengapakah keadaan kita masih lagi belum cemerlang (persoalan ditujukan juga kepada diri sendiri)? Maaf, saya tiada idea yang lebih bernas dari idea saudara (lawatan sambil belajar untuk penternakan babi itu). Idea 'bernas' saya hanyalah haramkan sahaja ladang penternakan babi heh... heh... heh...

BanjarRakai

@BanjarRakai, projek buat kandang babi moden di Selangor ni, katanya adalah berdasarkan teknologi Jerman. Jalan-jalan di Jerman kali ni mereka memang betu-betul belajar rasanya..hehe. Sampai ketua kampung pun dibawa sama!

"Antaranya mereka membawa saya selaku ketua kampung meninjau pusat penternakan babi di Jerman bagi menyakinkan tentang teknologi yang bakal digunakan itu. Pun begitu sehingga hari ini, walaupun telah melihat teknologi Jerman itu, kami penduduk kampung di sini tetap membantah pusat penternakan babi di sini kerana ada banyak sebab. Satu sebab utama ia dekat dengan kawasan penempatan."

Tapi saya pun lebih cenderung untuk mengharamkan terus penternakan babi di Malaysia. Banyak sangat isunya. Import saja babi hidup dan frozen pig.

Salam.
Bekerja dengan intl company yang kebetulannya ramai bangsa lain berbanding melayu, memberikan saya peluang untuk tahu apa yg mereka fikirkan tapi terkadang saya sendiri agak sukar memberi penjelasan serta merta kerana ilmu yang terhad (aduh, memang kekurangan saya). Apa yang saya dapat tahu, sebahagian dari mereka agak keliru dengan konsep halal haram yang diamalkan oleh masyarakat Islam.

Ada yang menyangka bahawa selain dari babi dan anjing yang begitu ketara 'dijauhi' oleh umat Islam, yang lainnya halal dimakan. Namun hakikatnya mereka tidak tahu bahawa Islam ada cara tertentu yang mana kalau ia tidak diikuti, maka yang halal akan menjadi haram terutama ayam dan kambing.

Saya tidak pasti adakah pengusaha makanan itu juga salah faham bila meletakkan tanda halal pd produk babi yang mungkin pd tanggapan mereka jika disembelih sehingga putus urat merih, maka babi tu akan jadi halal pd kita.

Tiba-tiba teringat kata-kata seorang ustaz yg saya hadiri ceramahnya yang mengatakan sebab utama sesuatu makanan diharamkan kerana ianya memudaratkan kesihatan. Malah kalau makanan yang halal pun boleh menjadi haram bila ianya memudaratkan diri, contohnya makan berlebihan spt gula untuk pesakit diabetis.

Saya tak tahu samada patut membantah atau bersetuju, kerana apa yang dihujah juga mempunyai kebenaran walaupun agak keterlaluan kerana ustaz tersebut menggunakan istilah 'haram'.

Harap tuan rumah atau rakan pembaca blog boleh berikan pendapat tentang kenyataan ustaz ini.

Wa'alaikumussalam.

Ehem, terima kasih cik Suara atas perkongsian pengalaman tu. Pasal ustaz tu, rasanya tak berapa tepat. Kalau tanya dia betul-betul, mungkin dia tak maksud macam tu.

Kalau macam tu, susah la. Ramai orang makan macam ular sawa kekenyangan (contoh di bulan Ramadhan) dan ini tentunya membawa mudarat kepada badan. Jadi, adakah apa yang telah dimakan itu haram?

Isu tentang "mudarat diri" ni agak besar juga. Dan maksud istilah tu pun sebenarnya kena diterangkan betul-betul dalam konteks yang bagaimana boleh timbulnya isu haram.

Contohnya, kalau tak bersenam boleh memudaratkan kesihatan, banyak tidur pun akan memudaratkan kesihatan, makan sate yang banyak kolestrol pun akan memudaratkan kesihatan. Jadi apakah semuanya haram?

Sebelum saya dan cik suara confuse, eloklah tanya mana-mana sheikh untuk kepastian lanjut :D

Sememangnya babi itu haram dan pengotor. Akan tetapi ia Halal pada agama dan kaum lain yang bukan Islam. Hormatilah pegangan mereka. Dan belajar untuk selenggara ternakan babi ini dengan lebih bersih.

Terima kasih atas pandangan. Tapi rasanya mungkin saya perlu telitikan lagi penjelasan yang dikatakan oleh ustaz itu.

Maksudnya haram yang difokuskan bukan keseluruhan makanan itu menjadi haram, tapi katanya bila sampai satu tahap makan berlebihan sehingga mengancam kesihatan, maka ia jadi haram. Contohnya (yg sekadar contoh saya saja dan bukan contoh ustaz sbb saya tak ingat sangat contoh yang dia bagi)pesakit diabetis dinasihatkan makan satu sudu gula (sehari) saja untuk memberi tenaga tapi kalau pesakit tersebut makan dua sudu gula ia akan menyebabkan koma atau mati, maka sudu kedua yang dimakan itu adalah haram sbb ia hanya akan menyebabkan kematian, tapi makan sudu pertama adalah wajib untuk membekalkan tenaga kepadanya. Tapi bagi yang tak mempunyai penyakit tersebut, bolehlah makan 2 sudu gula atau lebih memandangkan ia tak akan menjejaskan kesihatan.

Tak tahulah kalau ustaz tu kata begitu sekadar nak bagi kesan psikology kepada audience supaya lebih menjaga pemakanan. Maklumlah makan berlebihan akan memberi banyak kesan negatif terhadap keupayaan untuk beribadat. Perut kenyang => ngantuk => malas. Mungkin awalnya tak berpenyakit tapi lama kelamaan jika tabiat yang tak baik itu diamalkan, akan ada penyakit yang Allah 'anugerahkan', hasil dari kelalaian menjaga tabiat pemakanan.

Apapun, insyaAllah, bila berkesempatan saya akan bertanya kepada mana-mana ustaz tentang hal ini. Terima kasih pada anda kerana memberi respon yg cepat. :)

Seorang sahabat saya di Tumbok menceritakan kisah menjadi penunjuk perasaan upahan dan mendedahkan cukai ufti kepala babi yang dibayar oleh tokey2 babi di Selangor kpd ketua2 kampung Umno selama ini.

http://bulanpenuh2012.blogspot.com

Hamba membaca "akhbar" SUARA KEBANGKITAN terbitan Hizbut Tahrir Malaysia yang diedarkan percuma ketika hamba solat Jumaat di Masjid Al-Bukhary (rasanya fail .pdf "akhbar" berkenaan boleh dimuat turun di laman web rasmi mereka kot). Mereka secara keseluruhannya menentang kalau negara Islam "menghalalkan" penternakan Ba Alif Ba Ya secara komersial/besar²an. Kalau bela sendiri untuk makan sendiri (macam orang kita bela lembu/ayam la contohnya), maka yang sedemikian itu barulah dibolehkan.

Oh, sebelum itu, mereka ada buat perhimpunan aman di perkarangan masjid itu, pabila timbulnya isu filem pendek Belanda itu. Orang tak ramai, mungkin sebab bendera yang berkibar ialah bendera hitam-putih dan putih-hitam. Kalau bendera hijau-putih, mungkin ramai kot yang join, kekekek! ;0)

Yaa..Convoy telah kembali. Dah boleh ngadap komputer ka?

Takpelah Convoy, dah mereka berpandangan macam tu. Kalau hang tanya cheq, cheq jawab tak mengapa kalau dibuat secara komersial dan besar-besaran, tapi jangan dieksport. Kalau negara kita >90% Muslim takpa la juga. Ini setakat 60% aje. Toleransi la sikit dengan yang bukan Islam.

Apa rasanya kalau di Nepal contohnya, sebuah negara yang mempunyai 80.6% penduduk beragama Hindu, melarang umat Islam di situ (4.2%) daripada melakukan ternakan lembu secara komersial dan besar-besaran? Malah umat Islam juga dipandang hina kerana memakan tuhan orang Hindu. Kita pun terasa la juga.

Lagipun sekarang ni krisis makanan tengah melanda dunia. Dah banyak negara yang berlaku rusuhan sebab krisis makanan ni; India, Bangladesh, Haiti, Zimbabwe, Argentina, Filipina.

Kalau mahu banyakkan babi, maka banyakkan juga ayam, lembu dan kambing di Malaysia supaya kita dapat elak malapetaka krisis makanan global ni. Tapi sebenarnya dari segi EKONOMI, memelihara babi lebih untung dan produktif. Tu dari segi ekonomi la..jangan kata hamba sokong 100% projek ternakan babi pula.

salam wbt. isu babi ni agak sensitif kerana bukan saja melibatkan hal agama, malah politik dan perkauman. sebenarnya babi satu binatang yang tak bersalah dan adalah tak salah jikalau babi pun nak sama menghirup udara bumi walaupun kekadang babi inilah yg menyepoilkan bauan segar tadi, dan kitalah yg bersalah sekiranya tetap engkar dan melanggar syariat untuk menjauhi segala yg beasal drpd babi ini. dulu sy pernah ditanya oleh shbt bukan muslim, "kenapa korang tak boleh makan babi, babi sedap..." ada unsur ejekan di situ, tetapi saya menjawab, " Babi tu tetap makhluk Tuhan, kami dilarang menyentuh, memakan binatang itu atas suruhan Tuhan tapi Tuhan melarang kami menganiya apa-apa binatang termasuk babi." dan shbt saya terus senyap dan sejak itu tiada usikan pasal babi timbul lagi. Hemm..setelah mendalami sedikit ilmu dalam bidang communicable and infectious disease, saya betambah-tambah sedar, dan lagi lagi banyak bersyukur kerana Allah menyayangi HambaNya, dan melarang sama sekali kita menyentuh atau memakan babi, disebabkan terlampau banyaknya cacing, kuman, virus-virus, yang amatlah berbahaya kepada tubuh kita dan otak kita. Sesungguhnya disebalik sesuatu ada hikmahnya.

Sindarella

kisah babi ini bermula dari zaman wak khir lagi.ini projek kerajaan bn terdahulu.tak perlu didebatkan.cuma adakah projek terdahulu di teruskan.cuma yang tak baik adalah orang yang membela babi ini dulu pula jadi hero menentang ternakan babi di tempatnya.akibat tewas dlm pilihanraya.

Tanpa Nama

babi pon boleh di makan jika darurat....=p

rey

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.