Back to home page

Dakwah Si Protaz & Uspro 3

22 Jun 2006 • 11 Komen Cetak Chenta!
Sambungan dari episod 2

Mahu Protaz Jenis Apa?

Sebenarnya kita sangat memerlukan Protaz yang boleh membuat satu revolusi Islamik dalam bidang yang mereka ceburi. Sebagai contoh, kalau seorang doktor yang berfikrah Islam, dia boleh berfikir dan berusaha menjadikan sistem kesihatan Malaysia secara keseluruhannya lebih Islamik - maka tiada lagilah kes wanita Islam yang ingin bersalin disambut oleh doktor lelaki yang bukan mahram. Kalau pilot berfikrah Islam pula, apa kata berusaha juga menulis buku yang apabila para menteri baca, mereka akan rasa teruja untuk memastikan MAS lebih Islamik - maka tiada lagilah pramugari yang berpakaian kebaya ketat.

Contoh-contoh lain boleh difikirkan sendiri. Pokoknya, cuba serapkan ajaran Islam dalam setiap wilayah profesional. Inilah tugas protaz. Kalau tak protaz yang buat, siapa lagi? Takkan mahu bebankan kesemuanya kepada tok guru sekolah pondok, atau pun tok guru yang mengajar di universiti? Memang boleh kalau tok-tok guru ini lakukan, tetapi kesan dan impaknya tidak sama kalau protaz yang usahakan.

Tetapi, wajarkah Protaz melibatkan diri dalam perkara fiqh, hukum-hakam, ilmu hadith, dan sebagainya?

Apa Erti Aku Menjadi Protaz?

Sudah tentu wajar. Malah terdapat beberapa tokoh yang memang mendalami ilmu profesional dan ilmu Islam dengan kaedah yang betul. Sebagai contoh, Sheikh Ridhwan Saleem [bio], Sheikh Faraz Rabbani [bio], dan Sheikh Hamza Karamali [bio]. Dan setakat yang saya tahu, umat Islam yang belajar ilmu Islam dengan kaedah yang betul dan sempurna, tidak buat banyak kecoh, malah lebih pintar lagi cerdik dalam usaha mereka membawa ummah ini ke arah kecemerlangan.

Namun demikian, si Protaz yang ingin terjun dalam hal-ehwal ilmu Islam, janganlah pula kamu membawa tsunami dan gempa bumi pada perkara yang telah lumat diperbahaskan dan telah pun diperselesaikan oleh para ulama silam, yang mana mereka ini lebih alim, lebih warak, dan lebih bersih pandangannya hatinya.

Dalam hukum-hakam yang terdapat khilaf, Protaz (mahu pun ustaz) tak sepatutnya menyibukkan dirinya untuk menulis dan menimbulkan perdebatan, kerana sampai kiamat pun ia tak boleh selesai. Sebab itu dinamakan khilaf. Kita tidak hidup dalam suasana darurat yang begitu memerlukan protaz (dan juga ustaz) berbincang dan begitu aktif berdakwah kepada manusia tentang pendapat manakah yang lebih rajih/kuat di antara empat mazhab. Adakah ini maslahat zaman yang sedang kita lalui? Lihat sekitar anda, kemudian jawablah dengan ikhlas soalan tersebut.

Berdebat pada perkara khilaf, untuk mencari pendapat mana yang lebih betul, adalah satu perkara yang mesti dijauhkan oleh semua orang. Oleh sebab itulah para ulama silam yang cerah hatinya tidak melakukan perkara ini. Ini kerana apabila seseorang menceburkan dirinya ke dalam kancah ini, ia ibarat memasuki sebuah gua yang sangat gelap tanpa ditemani oleh sebatang lilin - kita akan sesat di dalamnya. Akibatnya, si protaz dan orang yang didakwahnya akan teraba-raba untuk mencari jalan keluar bagi menyelesaikan masalah umat ini - umat yang dijanjikan oleh Allah sebagai sebaik-baik umat!

Apa yang paling mengerikan, jika situasi ini berterusan, masyarakat Islam akan jadi keliru, dan akhirnya aliran Islam liberal juga yang dipillihnya. Ini kerana Islam liberal tak ada sangat perdebatan tentang baca qunut atau tidak, boleh atau tidak sambut Maulud Nabi, gerak jari telunjuk atau tidak ketika solat, bida'ah atau tidak melafazkan niat ketika mahu solat, dan sebagainya.

Kita Mahu Ketamadunan

Manusia itu sifatnya inginkan kemajuan dan ketamadunan, dan Islam sebagai satu agama yang memenuhi fitrah manusia sememangnya membawa umatnya ke arah kemajuan. Oleh itu, jangan salahkan individu yang cenderung ke arah liberal kalau kita sendiri sibuk berdebat dan berbahas pada perkara-perkara khilaf yang tidak menguntungkan umat Islam dari segala aspek.

Beritahu saya: Bagaimana umat Islam boleh maju jika kita tak habis-habis berbahas tentang bida'ah atau tidak membaca doa qunut ketika solat Subuh? Ini perkara khilaf, dan perkara khilaf janganlah kita jatuhkan hukum bida'ah! Apa pernah kamu dengar Imam Abu Hanifah, atau para ulama Hanafiyyah lain yang mengatakan ijtihad Imam Shafi'i tentang sunatnya membaca doa qunut ketika solat Subuh itu bida'ah?

Kalau begini gayanya, sampai kiamatlah umat Islam jadi lembik dan tak maju (melainkan kalau kamu berpendapat dengan mengikut ijtihad Imam Abu Hanifah iaitu tiada doa qunut ketika solat Subuh, maka umat Islam dapat menjimatkan masa 2 minit sehari, kalau sebulan 60 minit, dan kalau setahun 720 minit = 12 jam, dan masa yang dijimatkan ini boleh digunakan oleh umat Islam untuk sesuatu yang lebih produktif). Akan tetapi, wujud protaz yang membawa isu dibaca atau tidak doa qunut ketika solat Subuh. Alahai...

Beritahu saya: Apa signifikannya perbincangan ada atau tidak pada satu lagi perkara khilaf iaitu hukum menggerak-gerakkan jari ketika duduk tasyahud? Ada seorang hamba Allah yang membawa isu ini, dan kemudian mengatakan bahawa kaedah dalam mazhab Hanafi dan Shafi'i yang tidak menggerak-gerakkan jari adalah tertolak kerana ia tidak disandarkan kepada dalil. Amboi, hebat sungguh. Sudah belajar dan khatam sampai habiskah kitab fiqh Hanafi dan Shafi'i? Baiklah, saya tidak mahu membawa isu pendapat mana yang lebih kuat atau rajih.

Apa yang ingin saya tekankan, kalau pun si dia ini betul, jadi apa signifikannya kepada kepentingan umat Islam hari ini? Apakah dengan tidak menggerakkan jari, maka solat seseorang itu tidak sah? Dan apakah dengan menggerakkan jari itu maka umat Islam akan jadi lebih kuat sehingga mampu menghancurkan tentera zionis di Israel? (melainkan anda ingin kata dengan menggerak-gerakkan jari ketika tasyahud akan membuatkan umat Islam lebih gagah kerana mendapat lebih exercise, maklumlah banyak bersenam badan jadi kuat). Aduhai...

Beritahu saya: Apa faedahnya seorang ustaz di Malaysia yang membawa isu Ada atau Tidak Air Musta'mal dalam Islam, dan kemudian mengatakan bahawa sebenarnya air musta'mal itu tidak wujud dan fiqh Shafi'i telah silap! (Dan saya berkata dalam hati: 'Excuse me, kamu mahu kata para ulama dalam mazhab Shafi'i telah silap lebih 1000 tahun ke dalam perkara ini?') Padahal ini satu lagi perkara khilaf, dan ini pasti akan membawa kecelaruan fiqh kepada masyarakat awam di Malaysia yang sudah lama sebati dengan fiqh Shafi'i. Ustaz ini belajar atau tidak bagaimana Imam Shafi'i berijtihad tentang adanya air musta'mal?

Apakah tiada isu besar lain yang boleh ditulis oleh ustaz yang mana tulisan dan gagasan ideanya dikatakan memberi impak yang kuat kepada pelajar IPT tanahair? (Saya fikir tulisan ustaz ini mungkin relevan apabila Kesan Rumah Hijau mula menyeringaikan taringnya, yang mana waktu itu Malaysia menjadi seperti Sudan dan negara-negara Afrika lain yang mengalami krisis air yang sangat kritikal). Ish...apa yang sedihnya, ada juga seorang protaz lain yang turut sama membawa isu ini.

Fahamilah Erti Prioriti

Inilah akibatnya bila seseorang protaz dan juga ustaz tidak tahu prioriti ummah ini. Yang patut mereka tulis, yang patut mereka perbincangkan bukan perkara-perkara khilaf. Jangan bawa isu ada atau tidak doa qunut, gerak jari atau tidak ketika tasyahud. Tetapi bawalah isu yang benar-benar kritikal seperti fenomena ramai umat Islam yang tidak bersolat. Kes lebih 51,000 murid sekolah yang tidak tahu solat di Terengganu itu [baca berita] antara keutamaan yang patut diberikan. Ini baru di Terengganu. Negeri lain kita tidak tahu lagi.

Apakah kewajiban mendirikan solat ini bukan satu perkara sunnah? Malah ini sunnah yang paling besar dalam Islam dan memang sah tiada khilaf dalam perkara ini! Siapa nak jawab di hadapan Allah nanti kalau kita sibuk berkokok dan bertempik hal-hal khilaf, tetapi hal yang wajib, yang lebih utama, kita buat acuh tak acuh? Siapa mahu jawab?

Saya, anda, ustaz, protaz, atau pun bebudak sekolah itu?

Bersambung di episod 4...

11 Komen Tambah Komen↴

Bismillah
Dengan Nama Allah yg Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Moga-moga dengan taufiq dan hidayahNya, kekallah kita di dalam jalan yang lurus dan membuka mata-mata hati kita dengan kebenaran yang diRedhai.

Di dalam kitab al-Hikam karangan Ibn A'thaillah syarah Said Hawa ada menyebut..

" Ibn Abidin menerangkan sebab lain dari rumitnya kitab-kitab fiqih, yaitu agar ilmu itu tidak disandang oleh orang yang bukan ahlinya."

sambungnya lagi...

" Ketika uraian itu begitu samar, maka seorang penuntut ilmu terpaksa menelaah kembali dari satu kitab, dan konsultasi dengan banyak syeikh, agar ia tidak hanya meraih ilmu, tapi juga bisa memetik adab, taqwa, dan sikap hidupnya yang luhur. Tujuaanya memang tidak semata urusan duniawi."

sambungnya lagi..

" Ketika seseorang membaca kitab tanpa berguru kepada para ulama', maka hal para ulama' tidak mengalir kepadanya, jalur dan adab ilmu pun tidak tergambar buatnya."

me

entah la...maka benarlah sabda rasulullah yang menyebut setiap amalan itu dari niat..

tolonglah bersihkan niat kita dalam menuntut ilmu iaitu mencari keredhaan Allah..

tolonglah bersihkan niat kita dalam menyebarkan ilmu iaitu mencari keredhaan Allah..

tolonglah bersihkan niat kita dalam berdakwah iaitu mencari keredhaan Allah...

aku harap benar isi-isi bermanfaat dalam entri tawel ini disampaikan pada semua protaz...

aku tahu ada orang-orang yang ada hubungan dengan protaz atau rapat dengan protaz atau protaz sendiri telah melawat blog ni...jika tak ada minta sampai-sampaikan...

aku betul2 harap kita umat islam ni tak bercakap mengenai isu2 khilaf...lebih-lebih lagi sampai dah hina menghina ulama..sampai dh kafir mengkafir....jangan weh..jangan buat lagu tu..

aku pun tanak org2 muda yg punya semangat agama tetapi disalurkan semangat itu dalam perdebatan isu khilaf yg berpanjangan sampai menjejaskan ukhuwwah kita...

kita org2 muda patut salur semangat kita untuk bina kekuatan umat...tolong weh..tolong jgn gaduh2...kita dah cukup lemah nak lawan musuh...jgn melemahkan kita lagi...tolong..aku merayu..(T_T)

sebenarnya ana dah tulis sambungan Ibn Abidin namun tak masuk..

Sambungnya lagi..

" Namun jika ia menjalin komunikasi dengan dengan para ulama', maka ia akan memetik jalan ilmu, adab, dan cahaya ilmu."

" Pada fasa tertentu ilmu terkadang tersimpan dalam dada seseorang dan tidak tampak dihadapan orang yang menuntut ilmu, kecuali jika ia mendatangi para ulama' untuk memetiknya dari mereka."

Jesteru...

"Kerana itu anda melihat seorang yang menuntut ilmu berpindah dari satu negeri ke satu negeri lain untuk memperolehi ilmu dari ahlinya, dan terkadang ia tinggal selama lima atau sepuluh tahun di suatu negeri."

Persoalan taqlid, luas dan panjang. Boleh rujuk kitab Syarah Waraqot Lil-Imam Haramain. Jg Nizhomul fi syarhah Waraqot Lil-Mubtadien. Juga kitab-kitab usul feqh yang lama.

Kata-kata Ibn Abidin bertepata dengan salasilah para ulama' salafus-soleh yang berpergian dan mengembara hanya untuk mencari ilmu atau mencari suatu riwayah hadith,,

Ketaqwaan,kezuhudan, kewara'aan mereka memang tidak boleh dipertikaikan lagi.

me

Contohnya, Imam Abu hanifah semasa di Baghdad,apabila dikhabarkan kehilangan seeokor kambing, yang diaktakan hayat seekor kambing hanya 7 thn shj. Menyebabkan beliau tidak memakan daging kambing selama 7 tahun.! MasyAllah.

Begitu juga Imam Malik R.A yang tidak pernah takut pada pemerintah, yang tidak sekali-kali pergi kepada pemrintah atau masuk ke istana Harun ar-rasyid untuk mengajarnya ilmu.

Imam Ahmad bin Hanbal yang benar-benar hormat terhadap adab dengan guru hinggakan diceritakan semasa beliau berguru dengan Imam as-Syafie sangat berhati-hati membuka sofhah atau muka surat kitab, takut-takut menganggu gurunya.."

Persoalannya di sini..

1) Sesiapaun yang beraqal dan beriman juga berfikir tidak akan menjadi taasub , yg mana menurut Syeikh Nur, taasub itu adlah apabila kita salah kita tetap berpegang padanya.

2)Manusia yang beriman semuanya mengakui kema'suman hanya ada pada Nabi dan Rasul, pegangan kita pada ulama'2 berlandsakan al-Quran dan Sunnah, namun atas alasan apakah mereka mengatakan hanya pendapat dan penta'wilan juga pentarjihan mereka sahaja yang soheh? Tidakak ianya seolah-olah menggambarkan mereka juga bertaqlid terhadap Albani di dalam pendhoifan hadith yang dilakukan oleh Albani di dalam Salsilah Hadith Bukhaori.

Taraf Ibn Hajar Al-Asqolani sahaja dipanggil amirul Mu'minin di dalam hadith...

Mereka minal-mutaqaddimin, kita minal-mutaakhirin, mereka lebih dekat dengan kebenaran..

Wallahua'lam.

me

:) Marilah kita semua beramal sesuai dengan ilmu kita, bukan sibuk berdebat yang belum tentu akan membawa ke syurga... contohnya, hari ini sudah salawat ke atas Nabi saw atau belum? Ada khusyuk dalam solat atau belum? Berapa ayat Quran yang kita sudah hafal hari ini? Wudhu dah betul sempurna dengan segala sunatnya atau belum? :D

Terima kasih kak kenalkayan...;)

Actually, memang pun kadang2 rasa banyak bercakap lebih banyak dosanya...Astaghfirullah

Cuma ada beberapa perkara yg ana ingin tambah.Moga-moga Allah memelihara kita berkata-kata tentang perkara yg sia-sia yg membawa kepada kerugian pd ummah Islam dan membawa kepda permusahan dan jauh dr Rahmah Allah.Nauzubillah.

Kita berbincang bukan berdebat. Dinukilkan Imam as-syafie ketika bermesyuwarah berharap tidak menang? Kita? :)

Salah satu cara ulama' salafsoleh mencari kebenaran dari zaman berzaman selain dr talaqqi, adalah dengan berbincang, supaya dengannya moga-moga sentiasa berada di dalam kebenaran dan keRedhaan Allah.

1) Kata-kata salah seorang pengunjung web ini, yang mana kita refer pd aliran yang satu lagi itu sebagai musuh, adalah amat tidak benar sama sekali.Ini kerana kita tidak menganggap mereka sebagai musuh malah sebagai saudara sesama Islam yang kita kasihi kerana Allah. Penggunaaan kalimah itu amatlah tidak wajar sama sekali. Dan masalah yg dia katakan bahawa kita bersekongkol dengan musuh-musuh Islam, juga tidak wajar dan kita membersihkan diri dari perkara-perkara sedemikian. Kita sedar apa halatuju ummah kita, dan kita ingin menyatupadukan seperti yg bro. Tawel tulis, supaya kita sedar apa sebenarnya isu-isu yang utama perlu kita selesaikan.

2)Hingga tiada nanti, ada yg pulang dr kursus solat, dan menangis teresak2 lantas mengatkan.." solat kita salah selama ini, kita kena qodo' semuannya.."

me

3)Kita juga tahu kebanyakan yang menulis di sini, samada pernah menjadi atau bersama aliran tersebut, atau cenderung kepadanya, atau belajar dengan mereka, atau bersahabat dengan mereka.


4) Kita juga yakin dengan keikhlasan para-para penuntut yang belajar dengan 'individu-individu' tertentu untuk mencari kebenaran dan mengamalkan sunnah yg soheh, namun apa yg kita kesali apabila mereka hanya belajar dengan certain individu2 tertentu yang memang telah mempunyai kefahama2 tesebut dan menmpunyai persepsi terhadapa ulama'2 yang lain. Yang lebih dahulu mendalami ilmu-ilmu Islam dengan kefahaman dan masa yang lebih lama. Hinggakan menyebabkan pelajar-pelajar itu menolak terus ajaran2 tok-tok guru pondok-pondok dan memandang sinis terhadap mereka.

5) Kita cuma berharap, kita tahu tidak boleh terus menyuruh mereka meninggalkan belajar dgn protaz atau yg mempunyai aliran2 tersebut yg bahaya dr sudut kefahaman kita terhadap Islam am, dan mu'min lain secara khusus. Apa yg boleh kita katakan, hanyalah belajarlah dahulu lebih lama dengan guru yang mu'tabar dan pelbagai. Moga dengannya kita akan menemui kebenaran yg diRedhai Allah..

sekdara pandangan peribadi secara khusus.

Astaghfirullahal-adzim

wallhua'lam

me

sekadar tambahan no 3).Jesteru, tidak bolehlah kita katakan, "kamu tak habis baca buku fulan si fulan, kamu tak kenal mereka, kamu tak berkumpul dengan mereka., kamu tidak membaca dan memahami mereka...".Kerana perjalanan hidup ini begitu panjang, segala kita lalui dengan doa yang tidak putus-putus moga2 kita selamat dr murka Allah. dan dekat selalu dengan Rahmah, Redha dan Maghfirah Allah.

me

alhamdulillah tenang sungguh ku baca nukilanmu. (^_^)

:) Sorry Me, sebenarnya kata2 saya tu ditujukan kepada mereka yang mempertikaikan hukum agama dan perkara2 furu (seperti dalam tulisan Tawel) sedangkan ilmu belum mencukupi, bukan kepada kamu. *sheepish grin* Sebab saya rasa kalau asyik sibuk hal2 yang tak sebegitu besar, kita lupa yang tujuan kita di dunia ni utk beribadat, bukan nak berdebat. Ada seroang kawan yang beria2 hendak verify semua Asma ul Husna, sebab nak guna yang 'authentic' sahaja. Ada yang suka menyebarkan tuduhan2 melampau terhadap sesetengah ulama yang dikatakan 'sufi'.
Rata2 saya sendiri setuju dengan tulisan Me. Saya ada ramai kawan yang beraliran sedemikian, kadang2 it breaks my heart bila mereka secara tidak sengaja mencemuh dan menghina golongan ulama, akan tetapi saya tahu mereka ini sebenarnya tidak tahu. InshaAllah dengan penerangan dari mereka yang lebih tahu, kita semua akan sama2 lebih berilmu.

Salam! Al Biruni, Al Kindhi, Ibnu Sina nak kategorikan apa pulak?, ustaz ke protaz ke tak jadi masaalah, yg berdakwah kpd non muslim pun berapa ramai yg tak pakai title2 ni, yg penting kerja buat agama...........mungkin yg bertitle ustaz rasa tergugat agaknya.

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.