Back to home page

Alchemist of Happiness - Ep 1

31 Januari 2007 • 20 Komen Cetak Chenta!
Imam al-Ghazali (waktu tua) yang muncul di dalam filem ini. Filem ini menampilkan beliau di dalam tiga lingkungan umur yang berbeza; kanak-kanak, dewasa, dan tua.


Al-Ghazali: The Alchemist of Happiness merupakan sebuah filem dokumentari yang diarahkan oleh Ovidio Salazar yang berasal dari California. Beliau yang sudah pun berkecimpung selama lebih 20 tahun dalam pembikinan filem dan rancangan dokumentari, seperti Faces of Islam yang ditayangkan di BBC, kali ini bakatnya diuji lagi dan dipersembahkan di dalam The Alchemist of Happiness yang telah pun diterbitkan pada tahun 2004, dan ia mendapat banyak pengiktirafan di beberapa festival filem antarabangsa.

Ovidio Salazar (berbaju hijau) yang turut membintangi filem dokumentari ini.


Inti utama filem ini adalah berdasarkan riwayat hidup sebenar Imam al-Ghazali, ataupun nama sebenarnya Abu Hamid Muhammad al-Ghazali (1058-1111 M), iaitu seorang tokoh pemikir Islam yang sangat terkenal sehingga namanya bergema-gema di ruang lingkup dunia Barat, terutamanya yang melibatkan bidang falsafah dan epistemologi. Dalam dunia Islam pula, rata-rata golongan awam mengenali beliau melalui kitab-kitab tasawufnya seperti Ihya Ulumuddin (Kitab Bimbingan Mukmin adalah versi ringkasan Ihya Ulumuddin yang dilakukan oleh Sheikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi dari Damsyik) dan Ayyuhal Walad al-Muahib (Wahai Anakku Sayang) .

Namun, bagi mereka yang betul-betul mengkaji sejarah dan latar hidup beliau, maka mereka akan mendapati bahawa Imam Al-Ghazali ini bukan sahaja pakar dalam ilmu tasawwuf, malah fiqh, aqidah, falsafah, mantik, dan sebagainya. Tidak hairanlah beliau juga diberi nama timangan Imam Shafi'i Kedua, di samping gelaran yang selalu kita dengar: Hujjatul Islam. Di samping itu beliau merupakan salah seorang tokoh mujaddid (pembaharuan) kurun ke-5 Islam tanpa ada khilaf di kalangan para ulama tentang taraf mujaddid beliau ini [1].

Beliau dilahirkan di Tus yang terletak di wilayah Khurasan negara Parsi (hari ini ia terletak di bahagian utara negara Iran) pada tahun 450H/1058M. Sewaktu di Tus dan Nishapur, pengajian beliau lebih tertumpu kepada fiqh dan syariah, dan kemudian beliau mula mengembara dan berguru ke serata pelusuk dunia Islam; ke Baghdad, Damsyik, Jerusalem, Kaherah, Iskandariah, Mekah dan Madinah. Guru kepada Imam al-Ghazali yang paling terkenal ialah Imam al-Haramain al-Juwaini [2] yang dianggap sebagai ulama terkemuka dunia Islam waktu itu. Dan ironinya, Imam al-Ghazali juga merupakan legasi dan anak murid beliau yang paling hebat dan cerdas, malah dikatakan juga bahawa kehebatan Imam al-Ghazali telah pun mengatasi gurunya yang sangat masyhur itu.

Kawasan ini terletak di Tus, iaitu tempat kelahiran Imam al-Ghazali, dan juga tempat kembalinya beliau sesudah bermusafir bertahun-tahun. Di sini terdapat memorial Imam al-Ghazali. Malangnya, kubur sebenar Imam al-Ghazali tidak dapat dipastikan di mana lokasinya pada hari ini.


The Alchemist of Happiness memaparkan riwayat hidup Imam al-Ghazali melalui 3 kaedah utama yang saling diselang-selikan sepanjang filem ini berlangsung selama lebih kurang 80 minit.

Pertama adalah melalui teknik lakonan yang dibintangi oleh para pelakon berbangsa Iran. Dalam kes ini, Ghorban Nadjafi berlakon sebagai Imam al-Ghazali. Kesemua dialog di antara watak-watak utama yang lain seperti Nizam al-Mulk dan Ahmad al-Ghazali (iaitu adik Imam al-Ghazali), di samping watak-watak kodi, adalah di dalam bahasa Parsi secara total. Filem ini juga turut dibintangi oleh seorang aktres Iran, Mitra Hajjar, yang memegang watak sebagai isteri Imam al-Ghazali. Namun demikian, tidak wujud sama sekali sebarang dialog di antara Imam al-Ghazali dan isterinya di dalam filem ini. Mereka sekadar berkomunikasi melalui bahasa badan, terutama sekali melalui lenggok mata.

Saya kira, ini mungkin untuk mengelakkan sebarang kontroversi yang mungkin timbul. Namun demikian, adalah lebih molek jika Mitra Hajjar menutup auratnya dengan lebih sempurna di dalam filem ini, terutama sekali pada bahagian rambut, memandangkan beliau memegang watak sebagai isteri kepada seorang ulama besar dunia.

Teknik kedua pula adalah melalui kaedah naratif atau pun penceritaan. Robert Powell, yang merupakan aktor TV dan filem UK yang terkenal, telah dipilih untuk menjadi ‘suara’ kepada Imam al-Ghazali. Teks kepada ‘suara’ ini diambil daripada autobiografi yang ditulis oleh Imam al-Ghazali sendiri iaitu, al-Munqidh min al-Dalal (Penyelamat dari Kesesatan), yang menceritakan perjalanan hidupnya, yang akhirnya membawa beliau memfokuskan kepada ilmu tasawwuf.

Teknik ketiga pula adalah dengan cara menemubual tiga tokoh penting Islam di Barat, iaitu Hamza Yusuf, T.J. Winter (iaitu Abdul Hakim Murad), dan juga Seyyed Hossein Nasr, di samping beberapa lagi individu lain. Ruang lingkup teknik ini lebih menuju ke arah analisis kritikal kehidupan Imam al-Ghazali. Di sinilah penonton akan dapat melihat bagaimana tokoh-tokoh yang ditemubual itu cuba untuk membawa kerelevanan idea-idea Imam al-Ghazali untuk dihidupkan semula di abad ke-20 ini, iaitu abad yang menyaksikan dunia yang lebih mengelirukan dan membejatkan berbanding dahulu. Oleh itu, salah satu tema utama filem ini ialah ‘Al-Ghazali adalah ubat kepada dunia yang sedang tenat pada hari ini’.

Nota Kaki

[1] Rujuk Haul Imam al-Haddad oleh Abu Muhammad.

[2] Imam al-Haramain al-Juwaini berasal dari kawasan Juwain (di bahagian Afghanistan moden). Diberi gelaran al-Haramain kerana beliau pernah mastautin di Mekah selama 4 tahun sebelum menetap di Madinah; Imam al-Haramain bermaksud Imam Dua Tanah Haram, iaitu Mekah dan Madinah (ramai ulama yang berpendapat bahawa seseorang mestilah sekurang-kurangnya bermastautin 4 tahun sebelum boleh menisbahkan dirinya dengan sesuatu tempat atau kawasan). Antara karya beliau yang paling terkenal ialah Nihaya al-matlab fi diraya al-madhab yang berjumlah 15 jilid kesemuanya. Kitab ini membincangkan tentang dalil-dalil dalam mazhab Shafi’i.
---

Insya-Allah bersambung di episod 2..

20 Komen Tambah Komen↴

aku pun sebenarnya suka buat ulasan filem.. tapi entah kenapa aku jarang mendonlod filem-filem islamik.

filem al ghazali ni pun aku tengok sepenuhnya di islamicvideos.net

ada jumpa torrent dia, tp kena join forum takpun kena install software pelik2. itulah resam pencari filem free di internet seperti aku.

nantilah bila-bila aku free aku ulas filem-filem yg aku tgk. disebabkan aku suka ulas dan kritik dlm satu masa maka aku suka mengulas filem-filem org kafir buat.

antara filem yg mgkin aku akan ulas ialah:

pursuit of happyness- english
death note- japan
pan's labyrinth- spain
fateless- jerman jews
sophie scholl-jerman
babel-english arabic mexico japan
gedo senki-japan

waloapapun, cara ulasan ko pada bahagian pertama ni lebih pada teknikal filem. ada unsur-unsur gaya ulasan sastera spm. hehe.

Salamss,

Hm, biasanya kalau ahli tasawwuf ni dikaitkan dgn tariqah kan. Ada sesiapa tahu Imam Al-Ghazali terlibat dgn tariqah mana?
Encek bangku, author Kembara Sufi Sub-Sahara, mungkin tahu?

Perkataan baru hari ini : epistemology

:)

misoSoup

Bagusnya jika filem2 dokumentari umpama ini diperbanyakkan.. kalau ade pengarah2 filem beragama islam sendiri yang membikin lagi baik... nanti tawel mu buat lah satu filem dokumentari ok.. aku sokong. pelakon utama aku cadgkan faqir... sbb dia ada gaya arab sikit. he he setuju X

epistemology=nazhoriatul ma'rifah (pengetahuan)=teori ma'rifah

Misosoup, zaman Imam Ghazali ni tak wujud lagi jemaah2 tariqat. Hanya muncul selepas Shaykh Abd Qadir Jilani... betul ke?

*Imam Ghazali ada berapa isteri, anak? Kahwin umur berapa? Isterinya ulama gak ke?

salam. Alhamdulillah, dvd yg di'order' dah pun sampai dan ditonton. Bahasa yang digunakan agak tinggi, so, kene tengok berulang kali untuk memahamkannya. setakat ni baru tengok 2 kali. Terfikir macam nak jemput SAHM untuk memberikan penerangan dgn lebih jelas, kalau nak tayang cerite ni kat umum.

Anyway, sangat suke interview dgn Dr. Karim D.Crow tu. Sebutan die sangat jelas, dan senang utk difahami.

To Bangku; sebelum zaman Imam Al-Ghazali lagi sudah ada sistem Thariqah, dan adik kepada Imam Al-Ghazali sendiri merupakan seorang sufi, dimana dialah secara zahirnya degan izin Allah, yang telah menimbulkan kesedaran kpd Imam Al-Ghazali untuk memulakan kembara mencari dirinya yang sebenar.

Wallahua'lam.

Kalau korang perhati betul2 skrip yang digunakan dalam filem tu, korang check je balik kitab Imam Ghazali sendiri yang bertajuk deliverance from error and the beginning of guidance..

encik bangku ade kan???

ruqayya

sudah tiba masanya pembikin filem mengadaptasi karangan ulama menjadi sebuah filem dokumentari yang amat indah.

banyak karangan ulama yang begitu indah dan lebih indah dan menarik jika divisualkan.

imam al ghazali saja ada banyak kitab-kitab yang indah isinya.

menunggu filem ihya ulumuddin.

Salaam.. saya baru sampai sini dari laman alJofree.. menarik akan video ini.. saya ada download 2 minggu lepas kalau tak silapnya.. insha Allah bila dah upload kat tmpt sesuai boleh saya sharekan kpd mereka yg tak berkesempatan @ berkemampuan.. WALLahu'alam

The Alchemist of Happiness..ermm..macam nama kitab imam Ghazali je..(Kimiyaa' al-Sa'aadah)tapi saya belum baca lagi buku tu...saya pernah baca tahafut al-falasifah karangan beliau..huh..poning gila...

Hm, kalau misoSoup x silap tariqat sufi ni masing2 ada rantaian shaykh (ie silsilah) mereka kan, yg menghubungkan shaykh yg ada hari ni, ke shaykh yg sebelumnya, ke shaykh yg sebelumnya, ke shaykh yg sebelumnya, ke shaykh yg sebelumnya, ....................................................................................................................................., sampailah ke Rasulullah saw. Kan?
Mcm contoh kat sini.
Sbb tu misoSoup rasa, Imam al-Ghazali, being so renowed in tasawwuf, boleh jadi dia ada berguru dgn mana2 shaykh tariqah yg hidup pd zaman tu.
(misoSoup rasa saje, misoSoup mungkin silap)

misoSoup
misoSoup

Mardhiah, boleh tak jelaskan sistem tariqat yang wujud pada zaman beliau? Apa contoh-contohnya? Setahu saya masih belum wujud istilah2 Naqshabandi, Qadiri, Shadhili, Alawi, Tijani etc. Sering dikatakan bahawa pengikut2 Sh Abdul Qadir Jilani (Qadiriyya) dikatakan pelopor kepada organisasi tariqat dan ini berlaku kira2 2 kurun selepas Imam Ghazali.

Rasanya kitab Munqidh min al-Dalal (deliverance from error) tidak menceritakan silsilah ilmunya apatah lagi tariqat yang diikutinya. Cuma yang dinyatakan ialah beliau terpengaruh dengan ahli-ahli sufi seperti al-Junayd dan Abu Yazid Bistami. Correct me if I'm wrong.

Dimana nak dapat DVD/VCD ni? Kena order dari UK ke?

Tanpa Nama

Bangku, Munqidh min al-Dalal memang tak menceritakan apa-apa pasal tariqat. Dan aku pula bukanlah mahir sangat selok-belok sejarah tariqat ini :) Hehe..

Anonymous, DVD ni ada dijual di Mat Media (http://www.matmedia.org/), harganya termasuk kos penghantaran ialah £23.45 (dalam RM 160). Satu nilai yang amat mahal bagi majoriti rakyat Malaysia.

Semoga ada mana-mana syarikat Malaysia, seperti Saba Islamic Media, yang boleh membeli lesen penerbitan filem ini. Jadi filem ini boleh dicetak di Malaysia tanpa perlu diimport dari UK.

Salam again. Bangku, saya bukanlah orang yang layak utk menjelaskan tentang sistem tariqah itu. Malah, saya tidak pernah membuat sebarang kajian mengenainya. Cumanya, mengikut pemahaman saya dari interview with Dr. Karim Crow, dan juga dari kenalan2 yang mengambil tariqah, apa yang saya faham ialah, tariqah itu ialah jalan, dari Rasulullah , kepada para sahabat, tabi'in, dan seterusnyalah. Jadi, tariqah ini diwarisi dari generasi ke generasi. Sebagai contoh utk memudahkan pemahaman, saya copy&paste dr website naqshbandi:http://www.naqshbandi.org/frmabout.htm

"The designation of the Naqshbandi Golden Chain has changed from century to century. From the time of Abu Bakr as-Siddiq (r) to the time of Bayazid al-Bistami (r) it was called as-Siddiqiyya. From the time of Bayazid to the time of Sayyidina Abdul Khaliq al-Ghujdawani it was called at-Tayfuriyya. From the time of Sayyidina 'Abdul Khaliq al-Ghujdawan to the time of Shah Naqshband it was called the Khwajaganiyya. From the time of Shah Naqshband through the time of Sayyidina Ubaidullah al-Ahrar and Sayyidina Ahmad Faruqi, it was called Naqshbandiyya."

So, apa yang ada sekarang, ialah nama-nama tariqah yang telah di'standardize'kan, untuk mengelakkan kekeliruan atau keterpesongan, mungkin, wallahua'lam.

Iye betul, kalau RM160 untuk DVD mmg dikira mahal. Lainlah kalau pak-pak menteri....

Hmm...susah jugak rupanya nak dapatkan sesuatu produk yg islamic dalam sebuah negara ISLAM mcm Malaysia ni.....

Tanpa Nama

Assalamualaikum,

Brother please contact me regarding the video of Sheikh Murtada reciting Quran that you have posted on youtube :

zzfa_m@yahoo.com.au

Tanpa Nama

Wa'alaikumussalam.

I'd sent you an e-mail. Check it out.

salam...hehehe pelik ke...

bagi saya tak pelik kalau ISLAM semuanya mahal2.Sebab Islam Itu harganya sangat Mahal dari mana...

contoh yang boelh saya beri lihat sahaja Sunnah menunggang kuda, swimming dan juga memanah.saya angarkan kos untuk mendapatkannya boleh fikir balik untuk mendapatkannya tapi kita sebagai umat islam perlu megetahui dan ambil tahu sunah tersebut.So kena try.

Sama juga ngan cerita untuk mengetahui perjuangan Islam itu sendiri.Untuk mendapatkan Ilmu bukan mudah.

ilalliqa maa salamah

bunyi macam menarik filem nie camna nak tengok?... filem islam..mmm idea yg menarik

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.