Back to home page

5 - Kehandalan Para Imam Mujtahid

08 Januari 2006 • 0 Komen Cetak Chenta!
Apabila memperkatakan tentang keluasan ilmu seseorang mujtahid, Ibnu Qayyim al-Jawziyyah telah mencatatkan bahawa seorang pelajar Imam Ahmad Bin Hanbal, iaitu Muhammad Bin 'Ubaidullah Bin al-Munadi telah mendengar seorang lelaki bertanya kepada Imam Ahmad: "Apabila seseorang telah menghafaz 100,000 hadith, adakah dia boleh digelar seorang ulama fiqh?"

Imam Ahmad menjawab: "Tidak boleh."
Lelaki itu bertanya: "Kalau 200,000?"
Imam Ahmad: "Tidak boleh."
Lelaki itu: "Kalau 300,000?"
Imam Ahmad: "Tidak boleh."
Lelaki itu: "400,000?"

Imam Ahmad kemudian memberikan isyarat tangan yang memberi maksud "Lebih kurang banyak itu." [1]

Dalam perbualan di atas, Imam Ahmad bermaksud bahawa frasa 'hadith' yang digunakan dalam pertanyaan lelaki tersebut, sebagai semua hadith dari Rasulullah saw yang terdiri dari pelbagai jenis sanad (rantaian periwayat hadith), iaitu sanad yang berbeza dikira sebagai set hadith yang berlainan, walaupun isi kandungan hadith (matan) tersebut adalah sama. Oleh itu, jumlah 400,000 yang dikatakan itu adalah terdiri dari hadith-hadith berulang.

Walaupun setelah mengabaikan hadith-hadith berulang tersebut, dan hanya mengambil hadith-hadith yang diterima sebulat suara oleh semua ulama, sama ada sahih atau hasan, jumlah hadith yang perlu diketahui oleh seseorang mujtahid adalah kira-kira 10,000 buah. Hadith-hadith yang berjumlah 10,000 ini bukan sekadar apa yang terdapat dalam Kitab Sahih Bukhari dan Muslim sahaja, malah pada kitab-kitab hadith lain yang dikarang oleh Imam Tirmizi, Imam Ahmad, Imam Abu Daud, dan lain-lain lagi.

Seseorang yang ingin mengeluarkan fatwa tentang haram atau halal, wajib atau sunat, mestilah mengetahui kesemua hadith-hadith bertaraf sahih dan hasan yang berjumlah kira-kira 10,000 buah itu, di samping turut mengetahui kesemua kitab-kitab muktabar yang berkaitan dengan hadith-hadith tersebut. Selain itu, seseorang yang ingin berijtihad juga mesti boleh menggabungkan hadith-hadith sahih yang kelihatan seperti saling bertentangan di antara satu sama lain.

Bagaimanakah para Imam Mujtahid menggabungkan hadith-hadith tersebut?

Ijtihad

Pada bab yang lalu, Kriminal Dalam Ijtihad II, kita telah pun diperlihatkan contoh-contoh hadith (sama ada sahih atau hasan), yang saling bertentangan, telah digabungkan dengan menggunakan kaedah fiqh: "Suruhan dan arahan lisan yang jelas dari Rasulullah saw diberikan prioriti daripada apa yang Baginda lakukan." Bab ini akan memperjelaskan kaedah tersebut.

Terdapat beberapa hukum yang Allah syariatkan, hanya boleh diaplikasikan kepada Nabi Muhammad sahaja. Contohnya, apabila Rasulullah pergi berperang, Baginda tidak dibenarkan untuk berundur, tidak kira betapa besar jumlah musuh. Ataupun seperti kewajiban solat tahajjud yang dikhaskan untuk Baginda seorang, padahal ia hanyalah satu amalan sunat bagi kita semua. Ataupun seperti kebenaran yang hanya diberikan kepada Baginda seorang sahaja untuk berpuasa sepanjang hari tanpa berbuka. Ataupun seperti kebenaran kepada Nabi untuk memiliki lebih dari 4 orang isteri - yang mana ia menunjukkan sifat Allah yang Maha Bijaksana dalam memastikan umat Islam dapat mengetahui amalan-amalan harian Rasulullah dengan lebih lengkap dan terperinci, iaitu lebih ramai isteri maka lebih mudahlah untuk memerhati dan mengingat segala amalan Rasulullah.

Jadi, oleh kerana para Imam Mujtahid sedar bahawa beberapa hukum hanya khas untuk Rasulullah saw, maka mereka telah mewujudkan kaedah fiqh tersebut. Melalui kaedah ini, apabila kita berjumpa dengan hadith tentang amalan-amalan yang dilakukan oleh Rasulullah seorang sahaja, seperti mendedahkan bahagian pehanya ketika pulang dari Khaibar, dan kemudian ada pula hadith yang menyuruh para Sahabat menutup bahagian peha kerana ia adalah sebahagian dari aurat, maka suruhan lisan tersebut (iaitu menutup peha) diberikan prioriti atau keutamaan dan ia wajib digunapakai oleh seluruh umat Islam yang ada di dunia ini.

Dalam contoh penggabungan hadith-hadith tersebut yang sekilas pandang adalah saling bertentangan, kita boleh melihat bahawa untuk menjadi seorang ulama fiqh, seseorang itu memerlukan pemahaman serius dalam bidang ilmu hadith - baik dari segi keluasan ilmu dan juga kedalaman intepretasi sesuatu hadith tersebut. Seseorang yang hanya tahu beberapa buah hadith, ditambah pula dengan penguasaan Al-Quran yang tidak mantap, kemudian buta pula bahasa Arab, adalah antara contoh individu yang tidak layak mengeluarkan ijtihad - sama ada ijtihad untuk dirinya atau untuk orang lain. Dalam kes ini, mereka perlulah bertaqlid kepada salah satu mazhab [2].

Maka, seseorang yang mengeluarkan fatwa hanya dengan bersandarkan kepada hadith sahih Nabi pulang dari Khaibar itu [3], dengan mengatakan "para ulama telah silap, dan hadith adalah benar", telah melakukan kesilapan dan jenayah besar disebabkan oleh kejahilannya sendiri.

Bersambung dalam bab "Kehandalan Para Imam Mujtahid II"

Sila baca bab-bab sebelum ini:
  1. Mengapa Perlu Bermazhab
  2. Memahami Al-Quran & Sunnah
  3. Kriminal Dalam Ijtihad
  4. Kriminal Dalam Ijtihad II

Nota Kaki

[1] Muhammad Ibnu Qayyim al-Jawziyyah, I'laam al-muqaqqiin 'an Rabb al-'Alamin.

[2] Isu taqlid akan dibincangkan dalam beberapa bab lagi.

[3] Tentang hadith ini, pernah sekali saya bertanya kepada kawan saya: "Kenapa pemain bola Arab Saudi yang menyertai Piala Dunia memakai seluar pendek?" Kawan saya yang saya kira mungkin jahil waktu itu sekadar menjelaskan bahawa ada hadith sahih yang membuktikan Nabi saw pernah menampakkan bahagian pehanya (iaitu hadith Nabi pulang dari Khaibar). Ini sekadar contoh yang menunjukkan hadith-hadith sahih yang digunakan tanpa mengetahui hadith-hadith sahih lain yang memperkatakan tentang aurat dan juga pemahaman yang cetek terhadap ilmu hadith.

0 Komen Tambah Komen↴

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.