Back to home page

Sepanyol XXIV: Sebab Ia Dibina

13 Jun 2005 • 0 Komen Cetak Chenta!

Meriam ini sudah pasti pernah digunakan untuk tujuan ketenteraan.

Seperti yang saya jelaskan dalam pos Buka dan Tutup, Al-Hambra dibina pada zaman kemerosotan Bani Umaiyyah di Sepanyol. Bandar-bandar lain di wilayah Andalusia seperti Cordoba, Seville dan Toledo telah pun jatuh ke tangan Kristian. Tinggal Granada sahaja yang belum lagi. Bandar Granada mesti mereka pertahankan. Jika bandar ini jatuh, maka tamatlah juga legasi Islam di situ!

Sebenarnya, Al-Hambra ini adalah sebuah kubu yang dibina atas tujuan ketenteraan. Kubu itu pula bukanlah dibina oleh dinasti Nasrid, tetapi hanya dibaikpulih dari yang sudah sedia ada. Ia wujud sejak kurun ke-9 lagi. Lokasinya sangat strategik. Ia terletak di atas sebuah bukit yang berbatu dan berdekatan dengan tebing Sungai Darro. Al-Hambra juga dilindungi dengan gunung-ganang dan hutan. Al-Hambra kemudian dibaikpulih oleh kerajaan dinasti Nasrid.

Pengasas dinasti Nasrid, Sultan Muhammad bin Yusuf bin Nasr (juga dikenali sebagai Sultan Muhammad Al-Ahmar) pula telah memulakan projek pembinaan bahagian istana (Palacio Nazaries). Sejak itu, ia telah menjadi kediaman rasmi diraja, iaitu pada pertengahan kurun ke-13.

Sebelum ini juga, ada saya beritahu bahawa pernah ada masjid di dalam Al-Hambra ini. Saya sendiri tidak pasti sama ada masih wujud atau tidak masjid di dalamnya pada hari ini. Apa yang pasti, sebuah masjid diraja pernah berdiri di atas tanah Al-Hambra. Cuma hari ini, ia sudah lenyap dan digantikan dengan Gereja St Mary.

Tanah yang pernah manusia sujud di atasnya kini menjadi tempat manusia menyekutukan Allah yang satu.


Mungkinkah ini dia Gereja St. Mary?

Madina dan Taman

Ada sebuah taman di sini. Ia agak besar. Malangnya kami tidak sempat meninjau apa yang ada di situ. Seperti yang telah ditekankan sebelum ini, ini semua gara-gara kekangan masa.

Mengikut kebiasaan, pelawat tidak menuju ke taman terlebih dahulu - mereka akan pergi ke bahagian Istana Nasrid, dan kemudian barulah pergi ke taman. Ini disebabkan peraturan yang termaktub di dalam tiket.

Tentang bahagian madina (bandar kecil) pula, saya sendiri kurang pasti yang mana satu. Entah sempat kami melawat atau tidak. Tapi rasa-rasanya ada pergi. Mungkin sekadar melaluinya tanpa kami sedari. Entahlah..tapi yang penting, Madina juga merupakan bahagian penting di dalam Al-Hambra.
---

P.S. Entah kenapa, kata ganti nama 'Aku' yang biasa aku gunakan tiba-tiba berubah menjadi 'Saya', tanpa saya sedari :)

0 Komen Tambah Komen↴

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.