...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
Oleh Tawel Sensei • Hubungi
Hembusan boleh dilanggan secara e-mel atau pun RSS. (?)
Di negara kita, Hari Ibu disambut pada setiap hari Ahad ke-2 dalam bulan Mei. Ini bermakna pada tahun ini, rakyat Malaysia akan menyambutnya pada tanggal 11 Mei 2008.
Maka saya membuat edisi khas untuk menyenaraikan 10 buah lagu tentang keistimewaan seorang ibu yang perlu anda tahu.
Demi ibu-ibu di luar sana juga, maka pada kali ini saya telah menjadi lanun (pengedar lagu). Maafkan ku ibu. Namun jika aku seorang lanun, maka Robin Hood itu adalah saudara seperjuanganku. Ku harap ibu mengerti...
Bonda adalah antara hasil karya terbaik M Nasir. Ketika saya masih di bangku sekolah rendah, saya masih ingat betapa popularnya lagu ini yang sering diputarkan di corong radio dan kaca televisyen. Lalu tidak hairanlah lagu ini pernah memenangi anugerah lagu terbaik kategori Irama Malaysia pada pertandingan Juara Lagu TV3 tahun 1994.
Lirik Bonda:
Mengapa kanta ini masih berkaca Sedang ku telah pun terima di dalam redha Segala kepahitan Pengalaman menjadi penawar Mengejar impi ke pintu syurga
Duhai bonda Bilakah akan ku kecapi kasturi Penebus maruah Dan semangat lama
Mengapa sinar neon dan gedung indah Kotaraya yang menjanjikan sejuta rasa Sejuta haruman Kini menjadi penjara jiwa Ku yang merindukan ketenangan
Duhai bonda Hari-hariku kini berlalu Bagaikan bahtera Tanpa layar dan kemudi
Bonda Akhirnya terbongkar jua rahsia Tangisan dan gurindam Keramat kasih sayangmu
Bonda Saat dan pertemuan semula Kita kali ini Akan ku abadikan Keramat kasih sayangmu
Lagu ini adalah dalam bahasa Arab yang dinyanyikan oleh penyanyi nasyid terkenal Indonesia, Haddad Alwi, bersama seorang penyanyi cilik (tapi sekarang sudah besar), Sulis. Dalam banyak-banyak lagu nasyid yang ada di akaun YouTube saya, inilah lagu yang paling popular. Sesiapa yang ada terjemahan lagu ini, harap dapat beritahu saya. 2 orang pembaca blog ini, Budak Baru Belajar dan Pie telah meletakkan terjemahan lagu ini di ruangan komen. Terima kasih.
Lagu nasyid berentak harmonis ini memang sedap didengar. Ia mengisahkan seorang anak yang sangat berterima kasih kepada ibunya yang telah mendidik agar dia kekal di jalan yang lurus. Maka si anak ini berdoa agar Allah akan sentiasa mengasihi ibunya juga. Lagu ini secara mudahnya dipenuhi dengan tema kasih sayang.
Lirik Lagu Untuk Ibu:
Seorang wanita bermahkota ibu Menggenggam jari-jari kecil Ikatan ini tidak kan terurai Kerna tautan ini Tautan darah dan akidah Dan rahmat dari Allah
Kini ibu peganglah tanganku ini Biar ku bawa ibu menjelajah Hasil titik peluhmu Biar ku bawa ke alamku Hasil ukiranmu selama ini
Dodoianmu ibu Membina benteng pemisah Antara yang hak dan yang batil Membakar semangat perjuangan Mengait kasih pada Junjungan tercinta Tersujud lemah mengabdi diri Kepada yang Esa
Jika belum pernah Kau dengar ucapan terima kasihku Ketahuilah doaku ini Moga Tuhan menyayangimu Seperti mana kau mengasihiku Dari dulu hingga kini Untuk selama-lamanya
2 anggota asal kumpulan Exist yang masih terus aktif pada hari ini ialah Ajai dan Mamat. Sewaktu kumpulan ini muncul, mereka semua masih remaja. Suara pun masih belum garau. Unsur-unsur tidak garau inilah yang membuatkan lagu Untukmu Ibu ini sedap didengar telinga. Kalau tidak percaya, sila dengar lagu ini yang dinyanyikan semula oleh Mamat yang sudah pun berusia 20 tahun lebih. Kurang kick!
Saya tujukan lagu ini kepada mereka yang telah ketiadaan ibu di dunia yang fana ini. Bukan semua orang bertuah dapat menikmati kasih ibu. Ada ibunya yang meninggal ketika bersalin dan ada juga yang pergi ketika sebahagian di antara kita masih terlalu kecil untuk mempunyai memori bersama ibu tercinta. Bagi yang masih mempunyai ibu, bersyukurlah kerana sekurang-kurangnya kita masih ada ibu sebagai tempat bermanja...err dan apa itu..mungkin juga tempat kita untuk tidur sekali-sekala di bawah ketiak ibu.
Lirik Untukmu Ibu:
Oh ibu Kau disiram bayu pagi Kehilangan terasa kini Dan kesepian
Dan aku Bagai purnama gerhana Diibarat lautan kering Tiada tempat ku layarkan Hasratku ini Masih belum sempat Ku buktikannya padamu Ibu tersayang Kucurahkan rasa hati
Ku tatapi potretmu berulang kali Ku renungkan kalimah yang diberi
Tuhan yang Esa Ampuni dosa ibu Tempatkan mereka Di antara kekasih kekasih-Mu
Oh ibu Kau kasih sejati Ku taburkan doa Untukmu ibu
Ampunilah dosaku Sejak ku dilahirkan Hingga akhir hayatmu
Lagu ini mempunyai melodi yang sangat ceria dan ia merupakan lagu hits dalam album I Look, I See yang didalangi oleh Yusuf Islam. Kalau mendengarnya, InsyaAllah hati yang gundah akan pasti tersenyum. Your Mother adalah sebuah lagu yang mungkin digubah dengan bersandarkan kepada sebuah hadith:
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : جاء رجل إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال : يا رسول الله من أحق الناس بحسن صحابتي ؟ قال : أمك ، قال ثم من ؟ قال : أمك ، قال : ثم من ؟ قال : أمك ، قال : ثم من ؟ قال : ثم أبوك " . رواه البخاري ومسلم
Maksudnya:
Abu Hurairah telah berkata: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah, lalu bertanya: "Wahai Rasulullah, siapakah yang patut aku layan dengan baik seperti seorang sahabat?" Rasulullah menjawab, "Ibumu." Dia bertanya lagi, "Setelah itu siapa?" Rasulullah menjawab, "Ibumu." Dia bertanya lagi: "Setelah itu siapa?" Rasulullah menjawab, "Ibumu." Dia bertanya lagi, "Setelah itu siapa?" Rasulullah menjawab, "Kemudian ayahmu."
(Hadith riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)
Sebagai nota sampingan, Rasheed Bhikha adalah anak lelaki kepada penyanyi nasyid yang terkenal di sebelah Barat, iaitu Zain Bhikha.
Lirik Your Mother:
Who should I give my love to My respect and my honor to Who should I pay good mind to After Allah and Rasulullah
Comes your mother Who next? Your mother Who next? Your mother And then your father
'Cause who used to hold you And clean you and cloth you Who used to feed you? And always be with you When you were sick Stay up all night Holding you tight That's right no other Your mother (My mother)
Who should I take good care of Giving all my love Who should I think the most of After Allah and Rasulullah
Comes your mother Who next? Your mother Who next? Your mother And then your father
'Cause who used to hear you Before you could talk Who used to hold you Before you could walk And when you fell who picked you up Clean your cut No one but your mother My mother
Who should I stay right close to Listen most to Never say no to After Allah and Rasulullah
Comes your mother Who next? Your mother Who next? Your mother And then your father
Cause who used to hug you And buy you new clothes Comb your hair And blow your nose And when you cry Who wiped your tears Knows your fears Who really cares My mother
Say Alhamdulillah Thank you Allah Thank you Allah For my mother
Semua wanita boleh menjadi ibu. Namun apa yang membuatkan seseorang ibu itu layak digelar ibu mithali? Bait yang paling saya suka dalam lagu ini ialah "Kau disayangi kerana menyayangi". Mengapa? Kerana kadang-kadang kita sendiri didedahkan dengan berita anak yang derhaka kepada kedua ibu bapanya. Namun jika diselidik betul-betul, rupa-rupanya anak itu sebenarnya tidak mendapat didikan yang sempurna dari ibu bapanya.
Pernah mendengar satu kisah yang berlaku di zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab?
Pada suatu hari, Saidina Umar telah dilawati oleh seorang bapa bersama anak lelakinya. Bapa tersebut telah meminta Saidina Umar untuk menegur kelakuan derhaka anaknya.
Namun sebelum Saidina Umar sempat berbicara, budak itu telah berkata: "Wahai Amirul Mukminin, sebelum tuan berkata sesuatu, boleh tuan ceritakan apakah kewajipan seorang bapa kepada anaknya? Ini kerana bapa saya sendiri telah memberikan saya nama yang tidak elok dan tidak mengajarkan saya Kitabullah. Bukan itu saja, malahan bapa saya juga telah menikahi seorang perempuan (iaitu ibu budak tersebut) yang tidak diketahui asal-usulnya."
Mendengar kata-kata budak tersebut, Saidina Umar pun berkata kepada si bapa "Wahai si fulan si fulan, sesungguhnya kamu telah derhaka kepada anak kamu sebelum anak kamu menderhaka kepada kamu."
Kepada mereka yang kurang arif dalam industri nasyid, penyanyi lagu ini adalah Ustaz Asri yang kini mengetuai kumpulan Rabbani.
Lirik Ibu Mithali:
Ibu mithali ibu yang sejati Kasih sayangmu kasih yang suci Pengorbananmu disanjung tinggi Jasamu tetap di sanubari
Ibu oh ibu fitrahku murni Kelembutanmu menyentuh hati Semai kasihmu dalam jiwaku Kau disayangi kerana menyayangi
Ibu oh ibu hatimu suci Tulus ikhlasmu mendidik daku Sanggup bersusah dan menderita Demi kebahagiaan sekeluarga
Ibu oh ibu kau serikandi Bakti amalmu tidak terperi Beramal soleh berperibadi Mentaati Allah juga suami
Lagu ini membawa mesej yang sangat mudah: Kalau mahu berbakti kepada ibu dan kalau mahu memohon ampun kepadanya, lakukanlah sementara ibu kita masih ada.
Lagu ini pernah tersenarai dalam Top 20 'Nasyid' yang Bukan Nasyid dan ia merupakan antara lagu popular dalam album sulung kumpulan Kembara yang diketuai oleh M Nasir. Kenapa lagu ini relevan? Bagi mereka yang dilahirkan dalam keadaan ibu bapa mereka dari kalangan orang yang senang dan kaya, biasanya sukar untuk mereka melihat jasa dan pengorbanan seorang ibu.
Namun bagi seorang anak dari keluarga yang susah, ditambah lagi yatim, pengorbanan seorang ibu mampu menitiskan air mata anak tersebut, mahu pun orang luar yang tiada kaitan darah.
Lirik Lagu Untuk Seorang Ibu:
Ibuku mengapa engkau menangis Apakah yang kurang Walaupun ayah telah tiada Itu tak bermakna akhirnya hidup kita Ibuku tenangkanlah hatimu Kerna suria kan pasti menjelma
Usia mudaku tak menghalang diriku Untuk membela dirimu
Ayahku walaupun engkau gugur Kerna Pertiwi Namun jasamu ku kenang selalu Ku mahkotakan ke puncak cemara
Nanti bila aku sudah dewasa Ingin ku menjadi pemimpin negara Akan ku bela nasib kita Itulah sumpah anakmu
Dari itu hentikan tangisan Pandanglah masa depan Betapa ku cinta padamu Pelukanmu menguatkan semangatku Duhai ibuku dengarkanlah lagu Untukmu..
Jarang-jarang saya jatuh cinta dengan sesebuah lagu, terutamanya lagu zaman kini yang semakin tiada kualitinya. Namun sewaktu kali pertama saya mendengar lagu ini di komputer kawan, seraya itu juga saya melafazkan, "Aku nak copy lagu ini!"
Lirik Buatmu Ibu:
Ibu bergenang airmataku Terbayang wajahmu yang redup sayu Kudusnya kasih yang engkau hamparkan Bagaikan laut yang tak bertepian
Biar pun kepahitan telah engkau rasakan Tidak pun kau merasa jemu Mengasuh dan mendidik kami semua anakmu Dari kecil hingga dewasa
Hidupmu kau korbankan Biar pun dirimu telah terkorban Tak dapat ku balasi akan semua ini Semoga Tuhan memberkati kehidupanmu ibu
Ibu kau ampunilah dosaku Andainya pernah menghiris hatimu Restumu yang amat aku harapkan Kerana di situ letak syurgaku
Tabahnya melayani kenakalan anakmu Mengajarku erti kesabaran Kau bagai pelita di kala aku kegelapan Menyuluh jalan kehidupan
Kasih sayangmu sungguh bernilai Itulah harta yang kau berikan
Kasihanilah Tuhan Ibu yang telah melahirkan diriku Bagaikan kasih ibu sewaktu kecilku Moga bahagia ibu di dunia dan di akhirat sana
Di samping Ibu, kumpulan nasyid Firdaus juga ada menyanyikan sebuah lagu top yang didedikasikan kepada pengorbanan para ibu dan ayah, iaitu Permata Ayah Bonda. Dari segi emosi, saya lebih menggemari lagu tersebut. Namun oleh kerana tulisan ini adalah khas bagi memperingati ibu, maka lagu Ibu dipilih.
Lirik Ibu:
Oh ibu Oh dengarlah ratapanku anakmu Terima kasih
Oh ibu Oh dengarlah ratapan dari anakmu Terima kasih
Tiada dapat dinilaikan Pengorbananmu selama ini Terima kasih oh ibu Kasih sayang cinta murni
Sejak kecil hingga kini Ku dibelai dan diberi sinaran
Oh ibu Oh dengarlah ratapanku anakmu Oh terima kasih
Oh ibu Oh dengarlah ratapan dari anakmu Oh terima kasih
Ibu pesanan ku genggam Ku semat segala ajaran-Nya oh Tidak ku lupa erti kehidupan Ibu dikaulah yang tersayang
Akan hukum pegangannya Tidak ku lupa suruhan Yang Esa
Oh ibu Oh dengarlah ratapanku anakmu Terima kasih
Oh ibu Oh dengarlah ratapan dari anakmu Terima kasih
Dalam bahasa bukan Trigonometri: "Adakah semua cinta itu bersifat infiniti?"
UPDATE: Untuk mengelakkan orang tersalah tafsir gambar di atas, seperti mana yang berlaku pada Cikgu Ummuhanah, maka saya letakkan juga dialog yang mungkin dicakap oleh burung di atas. Terjemahan dialog dalam bahasa burung kepada bahasa manusia telah direka dan dilakukan oleh Aiyrie:
Pic 1: "Ooii!! buat apa tu.. Tido ke?"
Pic 2: "Oooiii!!! Bangun... Takde keje ke tido tengah jalan ni??"
Pic 3: "Eh! Budak ni, taknak bangun pulak. Aku sekeh karang."
Pic 4: "Aik!! Tak bangun jugak, ni yang aku geram ni."
Pic 5: " Nah! Amik kau."
Pic 6: "Ya Allah, ni bukan tido ni. Dah arwah dah. Somebody, help me. Kawan aku meninggal tepi jalan."
--- Pada satu hari, Syaqiq bertanya kepada Hatim, "Kamu telah bersahabat denganku selama 30 tahun. Apakah yang telah kamu perolehi dari persahabatan kita ini?"
Jawab Hatim, "Aku telah memperolehi lapan perkara, cukup sebagai bekalan bagi keselamatan aku di Akhirat nanti."
Dan ini salah satu dari 8 perkara tersebut:
Aku melihat semua manusia mempunyai kekasih. Sebahagian mereka sanggup menemani kekasihnya sehingga waktu ajal mendatang. Ada pula yang akan terus menemaninya hingga ke liang lahad. Selepas itu mereka akan pulang. Tinggallah manusia ini keseorangan di dalam kuburnya.
Lalu aku berfikir, "Sebaik-baik sahabat adalah mereka yang sanggup menemani aku sehingga ke dalam lubang kubur. Aku tidak menemui sahabat sebegini melainkan amal solehku."
Lalu aku pun menjadikan amal soleh sebagai kekasih aku. Agar amalan aku itu boleh menjadi pelita menerangi kegelapan di dalam kubur aku kelak, boleh menghiburkan aku dan tidak meninggalkan aku keseorangan di dalamnya.
(Pertanyaan Syaqiq al-Balkhiy kepada kawan baiknya, Hatim al-'Assam. Dari kitab Ya Ayyuhal Walad al-Muahib tulisan Imam al-Ghazali)
Saya menonton petikan ucapan Datuk Rais Yatim sewaktu berkempen untuk Semangat 46 yang merupakan parti serpihan UMNO. Siapa sangka 18 tahun yang silam, Menteri Luar Negeri yang baru ini pernah berkata:
Tuan-tuan dengarlah. Tapi kalau dengar daripada TV3, mungkin lain bunyinya. Kalau dengar dari RTM, jangan katakan lain bunyi, [tapi] langsung tak berbunyi.
Tuan-tuan ingat tak, apa yang disebut oleh Tengku [Razaleigh Hamzah] dua, tiga hari lalu sewaktu diwawancara oleh pemberita, sewaktu beliau memberi beberapa penjelasan? Diambilnya perkataan yang sebelah kiri, kemudian dicantumkannya dengan perkataan yang sebelah kanan. Akhir-akhirnya kita tidak faham.
Apa yang menakjubkan, ucapan beliau yang ketika itu berada di pihak pembangkang, amat mirip dengan keluhan ahli-ahli politik daripada Barisan Rakyat padamasakini. Malah saya sendiri tidak menyangka bahawa Datuk Rais Yatim ini sebenarnya mampu berpidato sepetah Anwar Ibrahim.
Kemudian apabila saya menonton satu lagi video yang memaparkan ucapan Bush pada tahun 1994 ketika kempennya untuk merebut jawatan sebagai Gabenor Texas, saya akhirnya naik ragu-ragu sambil garu-garu kepala yang tidak berkutu ini apabila mengetahui bahawa Bush 14 tahun dahulu adalah sangat berbeza dengan Bush hari ini.
Seraya itu saya membuat kesimpulan bahawa di samping hiburan, dunia politik adalah satu lagi medan yang berpotensi besar untuk mengubah personaliti seseorang dengan sangat berkesan. Lazimnya, plot drama politik dimulakan dengan awal yang meyakinkan, penghujungnya kekorupan, sementara retorika dan pembohongan duduk di tengah-tengahnya. Apakah yang mampu menjamin ahli-ahli politik yang gagah berkokok untuk membela nasib rakyat pada kempen pilihan raya yang lepas, agar kekal sama pada 10, 15 dan 20 tahun yang akan datang?
TOPENG BUAT BELI CINTA
Saya kira semua manusia yang ada di atas muka bumi ini memakai topeng yang membentuk personaliti masing-masing di khalayak ramai. Personaliti datang daripada kamus Inggeris, personality. Personality ini pula berasal dari perkataan Latin, persona, yang bermaksud topeng.
Acapkali kita mendengar kisah ramai pasangan yang sudah berkahwin menyesal dengan insan yang menjadi teman hidupnya. Mereka tidak menyangka bahawa manusia yang pernah melafazkan "Kaulah satu-satunya bagiku, tiada yang lain. Setiaku hanya untukmu. I love you darling..", sambil rembulan dan bintang di langit menjadi saksi, rupa-rupanya adalah playbuaya kasanova yang suka makan luar. Dan macam-macam lagilah jenis topeng yang mula terdedah selepas mendirikan rumah tangga.
Seperti mana dalam sesebuah ikatan percintaan, sebilangan ahli politik yang masih lagi terconggok di bawah, akan "memakai topeng" untuk membeli cinta daripada rakyatnya. Cinta ini perlu diraih untuknya terus mara berkuasa dalam kancah politik. Sedihnya sesudah berkuasa, barulah rakyat sedar bahawa selama ini ahli politik terbabit sekadar memakai sebuah topeng penanam tebu di pinggir bibir.
Inilah apa yang saya namakan "memakai topeng". Topeng ini digunakan supaya orang sayang kita, supaya masyarakat terima kita, tetapi hakikatnya hanya Allah sahaja yang tahu apa yang tersirat di hati.
Memakai topeng tidaklah salah 100%. Nabi sendiri melarang kita daripada menghebohkan keaiban diri sendiri. Malah saya sendiri kadang-kala lebih selesa untuk tidak mengetahui wajah sebenar individu-individu di sekeliling saya. Misalannya, kalaulah saya tidak menggoogle pelakon cantik manis yang memegang watak Aisha dalam filem Ayat-Ayat Cinta, maka tidaklah saya naik meluat dengan filem tersebut.
Walaupun ramai yang sememangnya sejak awal-awal lagi telah memakai topeng untuk meraih cinta, namun tidak dinafikan ada yang memakai topeng itu tanpa ada kerelaan di hatinya. Saya salah seorang daripadanya.
Setelah agak lama menulis di sini, beberapa pembaca blog ini telah "memakaikan" saya sebuah topeng yang menggambarkan saya memiliki personaliti yang baik dan bagus pula dalam kefahaman agama. Alhamdulillah jika saya begitu, namun pada hakikatnya saya tidaklah sebaik yang mereka sangka. Jika dosa-dosa saya yang bertimbun ini mengeluarkan bau, pasti tiada orang akan mendekati saya. Memakai topeng yang diberikan oleh mereka membuatkan saya resah, tidak tenang dan seolah-olah hidup dalam kepuraan. Cinta Allah tidak boleh diraih dengan topeng.
BERDOSAKAH MENANGGALKAN TOPENG SI DIA?
Sekarang persoalan yang paling penting, adakah berdosa untuk kita membuka topeng yang menutupi wajah sebenar seseorang itu? Jawapannya bergantung kepada situasi dan keadaan. Oleh kerana membuka topeng seseorang itu bermaksud kita mendedahkan keaibannya (iaitu mengumpatnya), maka ia tidaklah wajar dilakukan dengan sewenang-wenangnya melainkan dalam beberapa perkara seperti yang digariskan oleh Imam Nawawi dalam Kitab Riyadhus Shalihin.
Walaupun demikian, dalam kebanyakkan kes, tidak perlu bagi kita untuk menyelidik topeng jenis apakah yang dipakai oleh saudara-mara, sahabat-handai dan jiran tetangga kita. Mata kita boleh sibuk mencari aib orang lain, tapi jangan lupa bahawa orang lain juga ada mata yang boleh memerhati. Ingatlah bahawa jika kita tutup aib orang lain, maka Allah akan tutup aib kita juga di dunia dan akhirat.
Selain itu secara idealnya, sebagai contoh, rakyat bukanlah golongan terbaik untuk mempertikaikan rasuah dalam tampuk kepimpinan, sebaliknya pemimpin berekod bersih yang sedang berada dalam kekuasaanlah yang patut lebih bersuara. Kita selaku rakyat biasa, belum tahu lagi topeng jenis apa yang akan terdedah sekiranya kita menjadi seorang Yang Berhormat. Kita mengkritik seorang Pak Menteri sebagai kaki rasuah, tetapi apabila kita ditahan oleh polis JPJ, mungkin kita tidak segan-silu untuk merasuah polis berkenaan. Maka tidak ada bezanya topeng yang anda pakai dengan topeng Pak Menteri yang suka makan rasuah itu, cuma anda di bawah, dia dia atas.
Tony Blair di zaman mahasiswanya adalah aktivis dalam Kempen Pembubaran Senjata Nuklear. 10 tahun beliau menjadi Perdana Menteri Britain, UK masih lagi belum mampu untuk melenyapkan senjata nuklearnya sama sekali. Malah beliau jugalah yang mengatakan kepada ahli-ahli Parlimen Britian bahawa adalah tidak bijak dan berbahaya jika Britain menjadi negara bebas nuklear 100%, kerana takut-takut nanti datang ancaman nuklear daripada negara lain.
Berbalik kepada soalan saya di permulaan artikel tadi, "Apakah yang mampu menjamin ahli-ahli politik yang gagah berkokok untuk membela nasib rakyat pada kempen pilihan raya yang lepas, agar kekal sama pada 10, 15 dan 20 tahun yang akan datang?"
Jawapannya banyak bergantung kepada kekuatan nilai-nilai agama dan moral yang dipegang oleh ahli politik berkenaan. Sekarang kita sama-sama lihat dan nilai sejauh mana keikhlasan Ustaz Azizan dan Lim Guan Eng dalam mencontohi kesederhanaan hidup Tuan Guru Nik Aziz selaku seorang menteri besar di negeri masing-masing.
Rumah Nik Aziz Nik Mat yang menjadi Menteri Besar Kelantan semenjak 1990 hingga kini.
Moga-moga godaan kuasa dan harta tidak menggelapkan hati sesiapa sahaja yang berkobar-kobar berjuang untuk rakyat. InsyaAllah.
--- PS: Tulisan ini walaupun disiapkan pada 31 Mac 2008, ia sengaja dipos pada 1 April atas sebab-sebab teknikal. ¶ Teruskan membaca entri ini »
As Subhu Bada adalah salah satu lagi nyanyian nasyid tradisional Islam yang kita warisi sejak sekian lama lagi. Tajuk As Subhu Bada ini mempunyai sedikit variasi sama ada dari aspek ejaan rumi atau pun tajuknya itu sendiri.
Kadang-kadang ia sekadar dieja sebagai Assubhubada seperti mana yang digunakan oleh Raihan dalam album Gema Alam. Versi yang dipopularkan oleh Zain Bhikha pula tidak menggunakan tajuk As Subhu Bada, sebaliknya dinamakan Allah Hu Allah. Setakat yang saya tahu, penyanyi/kumpulan nasyid yang berbeza akan menyanyikan lagu ini dengan terdapat sedikit variasi pada liriknya.
Oleh itu, saya sendiri juga tidak dapat memastikan versi asli As Subhu Bada. Mungkin versi terbaik dan yang menghampiri kepada lirik yang asal adalah dari dendangan Qari Waheed Zafar Qasmi. Selain itu, terdapat juga 2 pandangan yang berbeza tentang siapakah penulis asal puisi As Subhu Bada.
DUA PENDAPAT BERBEZA Menurut Qari Muhammad Abdul Jaleel dalam CD Listen Children, As Subhu Bada dikarang oleh Hassan bin Thabit radiallahu anhu. Hassan bin Thabit adalah salah seorang sahabat rapat Rasulullah sallahu alayhi wassalam. Beliau juga merupakan antara penulis puisi terhebat yang hidup di zaman Rasulullah. Maka tidak hairanlah Rasulullah telah menjadikan beliau sebagai penyair peribadi Baginda. Pada hari ini, puisi-puisi karangan beliau boleh didapati di dalam Diwan Hassan bin Thabit.
Menurut Qari Waheed Zafar Qasmi pula yang telah menyanyikan naat As Subhu Bada ini selama lebih kurang 40 tahun, beliau sendiri juga tidak mengetahui asal-usul puisi ini, sehinggalah beberapa tahun lepas ada seorang hamba Allah yang membuat sedikit kajian tentangnya, dan menyatakan bahawa As Subhu Bada adalah hasil garapan Jalaludin Muhammad Rumi (Maulana Rumi), iaitu seorang ulama Sufi berbangsa Parsi yang hidup kira-kira 800 tahun dahulu.
Maulana Rumi telah menghasilkan banyak puisi-puisi yang begitu menusuk kalbu manusia. Pada hari ini di Amerika Syarikat, penyair paling gah di sana bukannya Edgar Allen Poe kelahiran Massachusetts, sebaliknya adalah Maulana Rumi yang lahir di bumi Khurasan! Dan terjemahan puisi-puisi beliau juga kini mendapat tempat di hati-hati bintang Hollywood terkenal seperti Madonna, Goldie Hawn dan Demi Moore.
Oleh kerana penulis sebenar puisi/naat/qasidah/nasyid As Subhu Bada ini tidak dapat dipastikan dengan tepat buat masa sekarang, maka kita berpeganglah sahaja kepada 2 pendapat yang berbeza itu. Jika ia dikarang oleh Hassan bin Thabit r.a., maka puisi lagenda ini sudah pun berusia 1400 tahun, dan jika ia ditulis oleh Maulana Rumi, maka umurnya sudah pun menjangkau hampir 800 tahun.
Secara ringkas, puisi As Subhu Bada ini memuji-muji Rasullah saw yang membawa cahaya keimanan yang menyuluh kehidupan sekalian manusia yang dahagakan petunjuk dan pedoman. Selain itu, ia turut menceritakan beberapa mukjizat yang dimiliki Nabi, antaranya tentang peristiwa Rasulullah membelah bulan dan batu boleh bercakap.
Mungkin kita tidak boleh merasakan kehebatan bahasa puisi ini, lebih-lebih lagi jika kita tidak faham bahasa Arab. Malah orang-orang Arab yang hidup pada hari ini juga belum tentu lagi memahami dan merasai asyiknya linguistik dan gaya bahasa Al-Quran. Seperti yang pernah saya tulis nun jauh di sana:
Baca Al-Quran tak faham makna adalah lebih baik dari baca Al-Quran dan lepas tu pandai-pandai nak keluarkan hukum sendiri. Hanya semata-mata faham bahasa Arab, tak bermaksud kita faham apa sebenarnya yang Al-Quran nak sampaikan.
Al-Quran turun 1400 tahun dahulu pada zaman puncak dan gemilang bahasa Arab. Seni bahasa zaman itu tak sama dengan seni bahasa Arab zaman sekarang. Orang-orang Arab juga sebenarnya perlu belajar bahasa Arab Al-Quran sebelum mahu sedap-sedap kondem orang sebagai keldai.
Bahasa Arab zaman Nabi adalah ibarat bahasa Inggeris zaman William Shakespeare, atau ibarat Bahasa Melayu zaman Tun Sri Lanang dan Hamzah Fansuri. Orang-orang putih zaman moden juga mengalami masalah untuk memahami karya asli Shakespeare. Orang Melayu, yang faham bahasa Melayu, juga mengalami masalah untuk memahami prosa klasik Melayu. Tak percaya sila tanya calon-calon SPM yang mengambil kertas Bahasa Malaysia.
Jadi apa yang boleh menjamin para penutur Arab moden hari ini, betul-betul memahami makna Al-Quran, sedangkan orang Melayu sendiri juga terkial-kial untuk memahami prosa klasik warisan kita seperti Misa Melayu dan Bustanus Salatin!
Walau pun kita tidak faham sepatah haram puisi tersebut, tetapi saya rasa dengan menghayati rentak dan bunyi alunan As Subhu Bada ini sahaja sudah mampu untuk membuatkan kita menambahkan rasa cinta dan rindu kepada Rasulullah saw.
CINTA KITA KEPADA... Sebelum kita boleh mencintai Rasullullah, maka kita perlulah jatuh cinta kepadanya terlebih dahulu. Dan mahu jatuh cinta kepada Rasulullah tidaklah semudah seperti manusia jatuh cinta kepada jantina yang berlawanan; iaitu cinta lelaki-perempuan. Jatuh cinta dalam percintaan lelaki-perempuan biasanya adalah sesuatu yang tidak disengajakan, iaitu seperti kita jatuh pokok. Kita tidak paksa diri kita untuk jatuh pokok, sebaliknya kita terjatuh pokok.
Dalam kes cinta umat Islam kepada Rasulullah, kebanyakkan tidak ada konsep terjatuh cinta, sebaliknya kita mesti berusaha untuk menjatuhkan cinta kita kepada Baginda saw. Salah satu cara untuk menjatuhkan cinta di hati kepada Rasulullah adalah dengan memperbanyakkan selawat ke atas Baginda. Sudah banyak kali kita mendengar dalil-dalil tentang fadhilat selawat, cuma kita ini sahaja yang kadang-kadang rasa sibuk+susah+malas untuk berselawat.
Kita tahu bahawa dalam ucapan selawat itu ada ucapan doa keamanan dan keselamatan kepada Baginda. Nabi mungkin tidak memerlukan selawat kita, memandangkan Allah dan para malaikat-Nya telah pun berselawat ke atas Nabi (Surah al-Ahzab, 56). Manusia mana yang mampu menandingi selawat dari Allah dan malaikat-Nya? Tetapi kita yang sebenarnya sangat-sangat memerlukan untuk memperbanyakkan selawat ke atas Nabi.
Bukankah dengan satu selawat kita ke atas Nabi, maka Allah akan memberikan sepuluh selawat ke atas kita? Apakah yang lebih baik di dunia ini dari selawat Allah ke atas diri kita yang hina ini?
SAYA MENGGEMARI VERSI... Apa pun sebagai penutup, saya secara peribadi lebih menggemari As Subha Bada versi Zain Bhikha, iaitu Allah Hu Allah. Di dalam versi ini, Zain Bikha berduet dengan Majid Hussain. Zain Bhikha menyanyikan bait Arab manakala Majid Hussain mendendangkan versi Urdu. Allah Hu Allah dimuatkan dalam album Our World yang katanya:
The aim of this album was to try and portray, in a small way the many diverse cultures, languages and traditions that we as humankind possess. How Islam unifies us all as brothers and sisters working towards a single, common objective of complete submission to the will of our Creator.
Saya kira album ini berjaya mencapai misinya. Dalam dunia yang semakin hilang sempadan ini, saya kira agak penting juga untuk kita lebih mengenali dan mendekati saudara seIslam kita yang berlainan bangsa, bahasa, budaya dan identiti.
Di Malaysia, kita sering mendengar celoteh rakyat jelata yang tersalah faham bahawa Islam itu untuk Melayu sahaja. Masuk Islam bermakna masuk Melayu. Jika orang Cina masuk Islam, maka dia akan terus jadi Melayu. Tetapi sebenarnya, masalah ini bukan hanya terhad di kalangan masyarakat Melayu yang beragama Islam.
Di negara-negara Barat pula, masuk Islam bermakna menjadi Arab. Apakah mereka ini tidak sedar bahawa negara paling ramai umat Islam bukannya terletak di mana-mana negara yang unta membiak subur di atasnya, sebaliknya ia berada di Indonesia yang memiliki kira-kira 213 juta Muslim?
Lepas ini kalau mahu berdakwah kepada bukan Islam, mari terapkan di hati mereka bahawa Islam itu untuk semua, bukan untuk Arab, bukan untuk Melayu, bukan untuk Indon, dan bukan juga untuk Paki. Everybody can embrace Islam!
LYRIC of AS SUBHU BADA MIN I only list the lyric from Zain Bhikha, Qari Waheed Zafar Qasmi and Raihan. Please keep in mind that there are still many singers out there who sing this nasheed.
Zain Bhikha version - Allahu Allah Arabic by Zain Bikha, Urdu by Majid Hussain * I do not know why the Urdu translation seems a bit longer than the Arabic. But I think the meaning for each stanza is still the same. Correct me if I am wrong. You can also read the English translation of As Subhu Bada below, right after the Zain Bhikha version.
Chorus: Allahu Allahu Allahu Allah Allahu Allahu Allahu Allah
Arabic 1 As-subhu badaa min tal'ati hii W-al-laylu dajaa min waf-rati hii
Urdu 1 Hai nur-i sahar chehre se tere Aur Shab ki raunaq zulfon se
**Repeat chorus**
Arabic 2 Kanz-ul-karami mowl-an-ni' amii Haad-il-umami li shari'ati hii
Urdu 2 Ni'mat Ka khazina hai Mawla Ganjina-yi rehmat ke hai Aqa
Urdu 3 Hadi hai tammam-i ummat ka Aur rehnuma hai shari'at ke
**Repeat chorus**
Arabic 3 Sa'at-ish-shajaruu nataq-al-hajaruu Shaqq-al-qamaruu bi ishaaratihii
Urdu 4 Ungli ke ishare par a chale Hijaz se pathar bol ute
Urdu 5 Aur chand huwa do tukre Angusht ke aik ishare se **Repeat chorus**
Arabic 5 Fa wasiilatunaa huwa sayyidunaa W'al-izzu lanaa bi ijaabati hii
**Repeat chorus**
English Translation of As Subhu Bada *I think this translation is based on Zain Bhikha version:
The morning light is by your countenance And the splendour of the nights by your plaits The master is a treasure of grace The master is a treasure of mercy He is the guide of the whole community And the one who shows the way of the Sacred Law
They (sheep) came upon the gesture of a finger Stones from the Hijaz began to speak And the moon was split in two By a single gesture of the finger
On the night of the Ascension The Archangel Gabriel came with tidings of God Allah called him to the heavens (And) bestowed upon him the honour of intimacy
Qari Waheed Zafar Qasmi version You read this additional stanza after Urdu 6:
Urdu 7: Allah hane Arsh pe bulwiya Kurbat ke sharaf unko baksha **Repeat chorus** Arabic 6: Fa Muhammaduna huwa Sayiduna Fal iszulana li ijaabetihi
Urdu 8: So Mohammad hai apane aqa Is nam se apani izzo vaqa
* Artikel ini adalah sambungan kepada episod 1 yang lebih banyak menghuraikan Friendster dari latar sejarah. ---
Sebab utama saya meninggalkan Friendster adalah demi menjamin kualiti sebuah ikatan persahabatan. Bagi saya, Friendster membuatkan saya kurang menghargai rakan-rakan, sama ada yang dekat atau jauh, yang mengelilingi diri saya. Sejak zaman turunnya Nabi Adam dari syurga, dan sejak manusia buat kali pertama tinggal di atas muka bumi, ikatan persahabatan tidak berfungsi seperti hari ini.
Di zaman mereka, persahabatan bermakna pertemuan dan perpisahan. Kadang-kala perpisahan itu ada pertemuannya sekali-sekala, dan kadang-kala terus lesap macam asap. Persahabatan hari ini, yang dibantu dengan teknologi Friendster menjadikan erti persahabatan itu sebagai sebuah pertemuan (dan sebuah pertemuan), dan tiada perpisahan. Akibatnya, persahabatan menjadi online 24 jam, 7 hari seminggu, walaupun seorang di benua Amerika, dan rakannya itu pula di benua Asia.
Bagi saya perpisahan (atau lama tak jumpa dan tahu khabar) menjadikan saya menghargai rakan-rakan yang ada. Saya dapat merasakan perbezaan ketara apabila bertemu dan berbual di dunia nyata dengan rakan yang ada di dalam senarai Friendster saya berbanding rakan yang tiada Friendster. Borak saya dengan rakan bukan Friendster, yang lama tidak berjumpa, adalah lebih bermutu dan menyeronokkan. Ini memandangkan saya tidak tahu langsung apa-apa tentang perkembangan dirinya. Jadi perbualan akan lebih menarik. Dan inilah dia persahabatan! Kamu bertemu, kamu berpisah, dan kemudian kamu bertemu lagi untuk bersembang hal-hal menarik sepanjang kamu berpisah.
Kalau kamu sudah tahu bahawa rakan kamu sudah berkahwin dan sudah ada anak, dan anda tahu berita gembira ini hanya dengan melihat profil Friendsternya, apakah tidak pelik dan janggal untuk bertanya kepadanya apabila bersua muka di alam nyata, "Eh, engkau dah kahwin ke?" Saya rasa tidak seronok mengetahui berita tentang rakan saya hanya dengan melihat profil dan gambar-gambar yang diletakkan di profil mereka. Memang faedahnya kita akan dapat mengetahui perkembangan terkini sahabat handai, tetapi adakah PERLU bagi kita untuk mengetahui perkembangan mereka pada setiap bulan, atau pada setiap minggu, atau pada setiap hari, atau pada setiap jam? Adakah perlu? Dan adakah ini menjamin kualiti dalam persahabatan?
Kualiti Persahabatan
Saya berpendapat persahabatan begini kurang kualitinya. Saya lebih rela lama tidak berjumpa kawan yang saya ada dan kemudian tiba-tiba berjumpa mereka 10 tahun di akan datang. Ini lebih menarik dan mengujakan. Berjumpa kawan, sama ada yang jauh atau dekat, tiap-tiap hari di Friendster adalah sesuatu yang sangat membosankan. Ada orang berhujah bahawa sebab utama dia menyertai Friendster adalah untuk mencari semula kawan-kawan lama.
Memang betul. Friendster meningkatkan kebarangkalian untuk bertemu semula dengan teman-teman lama. Selalunya, apabila mereka bertemu kembali dengan kawan lama di Friendster, mereka akan berasa sangat-sangat terkejut, terkesima, dan teruja. Ada juga rasa riang di dalamnya. Kemudian mereka saling bertukar-tukar testimonial dan mesej dengan sangat kerap.
Namun, kekerapan ini semakin berkurangan apabila masa semakin menuju ke depan. Testimonial yang pada awalnya saling bertukaran 2 kali sehari, akhirnya bertukar kepada sebulan sekali, dan akhirnya 3 bulan sekali. Dan apabila masa semakin lagi bergerak, testimonial yang pada dulunya memiliki aroma seperti "Eh, bestnya jumpa kau. Apa cerita kau sekarang..bla..bla..bla.. (panjang sangat nak tulis)", akhirnya berubah menjadi "Eh, kau ni memang la. Takkan setakat lalu aje kat profile aku. Alang-alang dah lalu tu, bagi la testimonial".
Di samping itu, perkembangan sahabat lama kita akhirnya tidak lagi diberitahu in-person. Sebaliknya kitalah yang perlu membuka profil mereka untuk mengetahui apa cerita mereka sekarang. Sounds familiar? Percayalah, dengan tidak memiliki Friendster, anda pasti akan menemui sesuatu yang lebih menarik dan mengujakan dalam setiap ikatan persahabatan yang terjalin.
Ketika ibu saya kecil, dia memiliki seorang rakan baik. Namun demikian, mereka berdua telah berpisah. Pada satu hari, kira-kira 40 tahun kemudian, ibu saya mendapat panggilan telefon dari seorang wanita. Wah, rupa-rupanya si pemanggil itu adalah rakan ibu saya sewaktu kecil! Dari mana dia dapat nombor telefon rumah saya, saya sendiri pun tidak tahu. Tetapi, ada udang di sebalik batu rupanya.
Dia menelefon ibu saya untuk menjemput menghadiri kenduri kahwin anak lelakinya. Anak lelakinya adalah salah seorang anggota kumpulan rap yang sangat terkenal kira-kira 10 tahun dahulu (maaf saya rahsiakan nama kumpulan itu). Sebelum berlakunya kenduri kahwin itu, agak kerap juga ibu saya dan dia berbual di telefon. Selalunya dia yang akan menelefon ibu saya. Tetapi setelah perginya majlis itu, tidak pernah rasanya dia menelefon ibu saya. Apabila kakak saya kahwin pula, ibu saya menjemputnya datang, dan Alhamdulillah, jemputan itu berjaya ditunaikan olehnya.
Dan kemudian mereka berdua berpisah lagi. Sudah jarang menghubungi. Inilah persahabatan. Bertemu dan berpisah. Datang dan pergi.
Namun, ada sesuatu yang perlu kita sedar. Perpisahan bukan bermaksud terus melupakan. Sebab itu pepatah Melayu berpesan kepada para suami, "Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan". Orang tua-tua kita bukan menyuruh suami meninggalkan isteri di rumah untuk menggatal dengan perempuan lain. Sebaliknya, mereka menasihati suami supaya pergi jauh sekali-sekala dari rumah, dan apabila pulang, pasti akan terbit lebih rasa kasih sayang di antara suami dan isteri. Ini kerana jarak dan perpisahan akan melahirkan lebih rasa sayang di hati manusia. Maka, perpisahan juga akan menjadikan sebuah persahabatan itu lebih berkualiti.
Kesan Psikologi
Kesan psikologi komuniti sosial maya mungkin masih belum kita rasakannya. Setakat pengetahuan saya, masih tiada lagi sebarang kajian ilmiah untuk mengkaji kesan Friendster, MySpace dan sebagainya kepada psikologi manusia. Saya cuma berteori, kesannya hanya dapat kita lihat kira-kira 20 tahun dari sekarang. Friendster adalah sesuatu yang baru dan ia masih lagi dalam proses bertatih. Belum pun lagi mencecah separuh dekad usianya. Friendster semakin mendapat tempat di hati ramai orang. Semakin ramai orang yang lebih suka bersosial di Friendster dan Yahoo Messenger berbanding di alam nyata. Tidakkah ini berlawanan dengan fitrah manusia?
Kadang-kadang saya berasa aneh apabila melihat gelagat manusia yang begitu asyik melayan rakannya di komputer, sehingga rakan yang ada di sebelahnya dilayan acuh tak acuh (saya juga kadang-kala terjebak dengan perbuatan tak bagus ini). Pernah sekali saya memasuki bilik rakan saya. Di bilik itu ada 3 orang penghuni. Sebelum saya masuk, saya sangka tiada orang di bilik itu kerana senyap sunyi sungguh. Tiada suara manusia. Jika ada semut bersin, mungkin saya akan mendengar bersinan semut itu. Rupa-rupanya, masing-masing sibuk dengan internet, YM dan Friendster.
Inikah persahabatan yang kita mahukan? Persahabatan yang kurang menghargai sahabat yang ada di sebelah? Saya mahu sembang-sembang dengan mereka pun rasa teragak-agak memandangkan masing-masing sudah hanyut di internet. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk keluar sahaja setelah bertanya satu dua patah soalan yang dijawab secara sambil lewa.
Dari kesan psikologi yang lain, apa akan terjadi kira-kira 20, 30, 40 tahun dari sekarang, apabila banyak profil di Friendster yang menampilkan profil-profil orang yang sudah mati. Saya rasa, sesuatu yang agak depressing apabila melihat satu demi satu rakan-rakan Friendster kita meninggal dunia. Jika anda adalah rakan MySpace kepada mangsa pembunuhan bersenjata yang dilakukan oleh Cho Seung Hui di Virginia Tech, apa yang mungkin anda rasa sekarang?1
Membuang Masa
Masa juga menjadi sebab utama mengapa saya meninggalkan Friendster. Kebanyakkan orang memiliki alasan ini untuk meninggalkan Friendster. Seorang rakan saya, memberitahu bahawa semasa di zaman Friendsternya, secara purata dia menghabiskan 3 jam sehari melayari Friendster. Ya, 3 jam. Oleh kerana sehari ada 24 jam, maka dia menghabiskan 1/8 waktu hariannya di Friendster.
Saya pula dalam 1 jam sehari. Tapi apa yang saya dapat dalam 1 jam melihat profil sekian-sekian orang, yang kadang-kala tiada kaitan langsung dengan diri saya? Saya mungkin tidak mendapat dosa dengan melihatnya (belum tentu lagi), tapi saya yakin saya telah melakukan sesuatu yang lagha dan tidak ada manfaat, baik bagi kehidupan dunia mahu pun akhirat. Kalau ada manfaat dunia, masih okay lagi, tetapi apabila saya memikirkan tiada langsung manfaat dunia dan akhirat, lebih bagus saya belajar buat roti canai.
Di dalam bab fiqh Islam, ada satu masalah furu' yang bersifat khilaf tentang hukum bermain catur. Para fuqaha berbahagi-bahagi pendapat tentang hukumnya. Pendapat majoriti fuqaha mazhab Hanbali adalah haram bermain catur, dan hukum haram ini adalah hukum paling kuat ataupun rajih di dalam mazhab Hanafi. Ada juga ulama yang mengelaskan hukum bermain catur sebagai jatuh dalam grey area. Malah ada juga ulama-ulama besar yang mengatakan harus hukum bermain catur. Dalam mazhab Shafi'i pula, hukum bermain catur tidaklah haram, cuma ia tidak digalakkan.2
Namun demikian, secara umumnya hukum pelbagai jenis yang dikeluarkan oleh para fuqaha itu ada melibatkan konsep masa. Ulama-ulama ini bimbang kalau-kalau umat Islam terlalu asyik dan leka bermain catur. Para ulama adalah golongan manusia yang benar-benar memahami dan menghargai nikmat masa yang Allah kurniakan ke atas kita. Bagi mereka, satu saat yang digunakan secara sia-sia akan membuatkan manusia menangis dan benar-benar menyesal di hari Akhirat nanti.
Bayangkan, bagaimana agaknya kalau para ulama yang mengeluarkan hukum bermain catur itu masih lagi hidup pada hari ini, dan kemudiannya mereka melihat pemuda-pemudi Islam menghabiskan banyak masa mereka di Friendster, MySpace, X-Box, PS3, anime, soap opera, Yahoo Messenger, dan sebagainya? Ini realiti remaja Islam sekarang. Perjuangan Islam memerlukan tenaga orang muda. Adakah orang muda Islam hari ini mampu melakukan sehebat Sultan Muhammad al-Fatih yang berjaya menawan kota Istanbul (Constantinople) dari cengkaman Empayar Byzantine ketika usianya baru sahaja 21 tahun?
Saya sudah pun melepasi had umur 21 tahun, dan saya masih tidak melakukan sumbangan besar kepada Islam. Adakah anda mampu memecahkan rekod Sultan Muhammad al-Fatih, seperti dengan membebaskan kota Palestin dari rejim Zionis pada usia 20 tahun?
Mungkin itu terlalu besar bagi diri kita. Ibarat mahu mengumpul bintang-bintang di langit. Taqwa kita dan taqwa Sultan Muhammad al-Fatih besar bezanya. Taqwa yang lemah tidak mampu menggentarkan Zionis dan musuh-musuh Islam yang lain. Maka, kita beralih kepada sesuatu yang lebih kecil. Bolehkah kita pada hari ini, sekurang-kurangnya membaca setengah juzuk Al-Quran setiap hari? Angkat tangan siapa boleh!
Saya tahu, tak ramai yang mampu. Setengah juzuk Al-Quran hanya memerlukan kira-kira 30 minit untuk membacanya. 30 minit terasa seperti 30 jam apabila orang-orang yang berhati kotor membaca Al-Quran. Tetapi kita dengan mudah mampu melayari Friendster sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari. Aneh bukan? Mungkin ini ada kaitannya dengan teori relativiti yang dikemukakan oleh Albert Einstein. Satu petikan kata-katanya untuk menjelaskan teori relativiti yang kompleks ke dalam bahasa yang mudah difahami oleh orang awam ialah:
"Put your hand on a hot stove for a minute, and it seems like an hour. Sit with a pretty girl for an hour, and it seems like a minute. That's relativity."
Agaknya pada hari ini, tidak salah kalau saya mengatakan bahawa umat Islam, tanpa mereka sedari telah memiliki satu rumus paradigma: hot stove = Al-Quran, dan pretty girl = Friendster.
Sebuah Perubahan
Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya tentang Friendster. Tidak mengapa. Saya tidak paksa anda untuk meninggalkannya secara serta-merta. Sebab itu artikel ini bertajuk Kempen Menjauhi Friendster, dan bukannya Kempen Memboikot Friendster. Saya tidak syadid atau keraskan perkara ini kepada anda. Saya hanya syadid pada diri saya sendiri. Saya bimbang kalau-kalau saya ketagih Friendster, maka saya gunakan kaedah cold turkey3 untuk mengatasinya.
Bagaimana saya mampu untuk menghalang manusia dari menyertai komuniti sosial maya ini, sedangkan ia semakin menjadi budaya kehidupan manusia zaman moden? Pada tahun 2006, carian utama di Google adalah Bebo (tangga pertama) dan MySpace (tangga ke-2)4. Bebo juga merupakan satu lagi rangkaian sosial maya yang semakin meraih populariti masyarakat dunia. MySpace, Bebo, Friendster, dan lain-lain, adalah realiti hari ini.
Tapi percayalah, hati manusia itu sifatnya sentiasa berubah. Mungkin hari ini anda memandang Friendster itu sebagai sesuatu yang elok dan bermanfaat. Saya juga begitu satu ketika dahulu. Tetapi, apabila alam ini semakin mendewasakan saya, pandangan dan paradigma saya telah berubah. Sama ada kita sedari atau tidak, satu hari nanti kita pasti akan berubah dan menjadi semakin dewasa (hanya semata-mata anda berumur 40 tahun, itu tidak bermakna anda telah dewasa). Muhammad Ali, bekas jaguh tinju termasyhur di dunia pernah berkata:
A man who views the world the same at fifty as he did at twenty, has wasted thirty years of his life.
Satu hari nanti, apabila datang detiknya anda tiba-tiba terfikir untuk meninggalkan alam Friendster, maka janganlah ragu-ragu untuk melaksanakannya. Sedangkan pengasas Friendster sendiri, iaitu Jonathan Abrams juga telah meninggalkan Friendster, mengapa anda juga tidak boleh? Apa yang bezanya, selepas Jonathan Abrams meninggalkan Friendster, beliau telah melabur di dalam sebuah kelab malam di San Francisco, iaitu Slide. Dan kemudian mengasaskan satu lagi rangkaian sosial lain, dinamakan Socializr pada tahun 2006.
Jonathan Abrams mengasaskan Friendster dan Socializr dengan matlamat asalnya yang berbeza. Beliau mendapat idea menubuhkan Friendster setelah dia gagal dalam percintaan. Jonathan Abrams tidak boleh hidup tanpa kehadiran wanita di sisinya. Maka dengan kewujudan Friendster, ia akan membantu Jonathan Abrams untuk mencari teman wanita yang baru yang cantik5. Socializr pula diwujudkan dengan bisnes dan wang sebagai matlamat utama setelah Friendster memasuki zaman suramnya (yang akhirnya membawa kepada penarikan dirinya dari syarikat yang diasaskan olehnya ini).
Kita selaku umat Islam, janganlah setelah meninggalkan Friendster dan kemudian terlibat aktif pula di dalam MySpace! Kita umat Islam mesti memiliki pandangan hidup yang berbeza dengan mereka yang bukan Islam. Matlamat kita akhirat, bukan dunia. Dunia adalah alat, dan akhirat itu matlamat. Maka gunakanlah alat-alat yang ada di dunia ini dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, setelah kita menarik diri dari Friendster, fokuskan usaha kita pada perkara-perkara yang lebih membawa manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Bak kata Sidi Ahmad al-Zarruq6 di dalam wasiatnya:
"Berkerjalah di dunia ini seolah-olah kamu akan hidup selamanya, tetapi beramallah untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari."
Panduan Mencari Sahabat
Gunakanlah Friendster secara ala kadar. Jangan terlebih-lebih kadar. Dan jangan fikir dengan ada beratus-ratus orang kawan di dalam senarai sahabat Friendster anda, itu menandakan anda sangat popular dan memiliki ramai kawan. Sahabat baik susah dicari. Sebab itu Rasulullah saw sendiri pernah bersabda di hampir penghujung usia Baginda, yang maksudnya lebih kurang,
"Orang yang paling aku percayai adalah Abu Bakar. Jika aku mahu mengambil seorang sahabat baik, nescaya aku memilih Abu Bakar di tempat itu." 7
Semua umat Islam kenal Abu Bakar as-Siddiq. Beliau merupakan lelaki pertama yang benar-benar percaya kepada wahyu Allah yang dibawa oleh Rasulullah, di kala ramai orang mengatakan Nabi sudah terkena penyakit gila dan schizo. Beliau adalah seorang lelaki yang sanggup mengambil risiko menemankan Rasulullah dalam hijrah Baginda dari Mekah ke Madinah walaupun dirinya sentiasa berada di dalam keadaan ketakutan sepanjang perjalanan hijrah tersebut. Beliau adalah salah seorang dari 10 orang sahabat Nabi yang dijanjikan Syurga. Beliau adalah seorang lelaki yang apabila dibentangkan Syurga dan Neraka di hadapannya, pasti tidak akan bertambah lagi keyakinannya terhadap segala janji dan ancaman Allah kerana keimanannya sudah berada di tahap paling maksimum. Beliau jugalah yang berkata, "Jika sebelah kaki aku berada di dalam Syurga dan sebelah lagi di luar, maka aku masih lagi berasa tidak selamat. Jika kedua-duanya sudah berada di dalam Syurga, barulah aku boleh berkata Alhamdulillah."
Abu Bakar begitu istimewa. Beliau adalah sebaik-baik calon sahabat idaman. Siapa yang tidak mahu menjadikan manusia semulia Saidina Abu Bakar as-Siddiq ini sebagai seorang teman sejati? Namun demikian, apabila menyentuh tentang konsep persahabatan, Nabi tetap mengatakan "Jika aku mahu mengambil seorang sahabat baik, nescaya aku memilih Abu Bakar di tempat itu." Padahal, Abu Bakarlah antara manusia yang paling rapat dengan Nabi di sepanjang perjuangan Baginda menyebarkan dakwah Islam yang penuh dengan ranjau dan duri. Apa yang boleh dikatakan di sini, sesungguhnya seorang sahabat sejati itu sangat sukar dicari.
Sidi Ahmad al-Zarruq sekali lagi di dalam wasiatnya menasihatkan supaya mencari seorang teman baik bagi menolong kita di dalam urusan-urusan duniawi dan akhirat. Dan dalam masa yang sama juga, beliau memberikan amaran bahawa sahabat baik yang benar-benar berada di sisi kita dalam keadaan susah dan senang adalah amat sukar dicari (jangan lupa bahawa Sidi Ahmad al-Zarruq hidup pada 846-899 Hijrah, iaitu lingkungan tahun 1400-an. Di zaman itu pun susah untuk mencari sahabat baik, maka apatah lagi di zaman 2000-an yang semakin materalistik ini).
Ada orang yang suka bermegah-megah dengan ramainya kawan yang mereka ada. Tapi betulkah kawan yang mereka ada itu benar-benar seorang kawan? Ketahuilah bahawa anda sebenarnya tidak memiliki ramai kawan. Oleh itu jika anda memiliki seorang kawan baik, anda sebenarnya terdiri dari golongan yang sangat bertuah di dunia. Dan jika anda ada dua orang kawan baik, buatlah sujud syukur banyak-banyak kepada Allah. Ini kerana sahabat akan bersama-sama dengan kita dalam susah atau senang. Dan jangan lupa juga bahawa seorang musuh yang kita ada adalah jauh lebih banyak dari 1000 kawan di sekeliling pinggang.
Kawan yang hanya bersama kita di waktu senang, itu tidak dinamakan kawan. Itu dinamakan parasit. Saya pernah sahaja mendengar beberapa kisah sahih tentang persahabatan dunia moden. Dua orang ini siap pernah berbai'ah, atau pun taat setia. Tetapi apabila yang seorang lagi benar-benar di dalam kesusahan, tiba-tiba rakannya itu tidak mahu menolongnya. Ini kes kawan yang lari di waktu kita susah, belum lagi masuk bab kawan makan kawan, atau kawan tikam belakang.
Sahabat dan Cinta
Perhubungan sahabat adalah sama seperti perhubungan cinta. Kita tidak menganggap seseorang itu cintakan kita apabila dia melarikan diri apabila kita susah. Begitulah juga dalam persahabatan. Fahami konsep cinta ini, maka kita akan faham tentang konsep persahabatan. Cinta itu lebih asyik berbanding sebuah persahabatan. Dalam cinta, kita akan selalu berjumpa ayat-ayat cinta seperti "Aku akan tetap bersama mu selamanya...dalam susah atau pun senang." Ini janji sehidup semati dalam percintaan. Sedangkan orang yang bercinta (malah yang telah berkahwin) pun boleh berpisah dan bercerai-berai, maka apatah lagi dalam hubungan persahabatan.
Sifat cinta adalah setia dan patuh kepada insan yang dicintainya. Seorang wanita pernah bertanya kepada seorang penyair tentang bagaimana kita mahu tahu sama ada seseorang itu benar-benar mencintai dirinya dengan sebenar-benar cinta. Dan penyair itu menjawab:
"Jika si dia berasa yang dia pasti mati jika tidak meminum air disebabkan kehausan, dan kemudian engkau berkata kepadanya, "Jangan minum air itu", maka dia tidak akan minum air itu".
Inilah yang dinamakan cinta. Dan inilah juga intisari ikatan persahabatan. Persahabatan dan percintaan yang hakiki tidak akan berubah apabila situasi berubah. Pengajarannya, berhati-hatilah dalam mencari cinta dan persahabatan di dalam dunia ini.
Ikatan persahabatan dan percintaan (yang palsu) berubah apabila situasi berubah kerana kebanyakkan manusia melihat sesuatu perkara, masalah dan isu mengikut dari kaca mata dirinya sahaja. Dengan kata lain, kebanyakkan manusia mementingkan diri sendiri, atau pun selfish. Oleh itu, apabila memulakan sebuah persahabatan dan percintaan, jangan terus menganggap bahawa mereka akan benar-benar memahami diri kita.
Lain tempat tegak, lain barang yang nampak. Dunia dia dan dunia anda mungkin berbeza. Tapi tak mustahil anda dan dia mempunyai aspirasi yang sama. Lihat sahaja sejarah perkembangan Islam oleh Rasullullah di Mekah selama 13 tahun, dan di Madinah selama 10 tahun. Bagaimana caranya dalam tempoh 23 tahun itu, Rasulullah berjaya menyatukan penduduk tanah Arab yang terdiri dari pelbagai puak yang saling bercakaran dan dibelit pula dengan fahaman fanatik asobiyyah, menjadi satu ummah yang diikat kukuh dengan tali akidah kepada Allah yang satu?
Ini kerana mereka yang memeluk Islam itu memiliki aspirasi yang sama. Aspirasi mereka adalah untuk mencari keredhaan Allah, dan seterusnya mudah-mudahan mendapat balasan syurga dan terlepas dari azab api neraka. Dengan aspirasi inilah kaum Ansar sanggup mengorbankan apa sahaja demi menolong orang-orang Muhajirin. Ya, apa-apa sahaja, sehingga ada kaum Ansar yang mahu menceraikan isteri mereka untuk diberikan kepada orang-orang Muhajirin yang masih bujang. Kaum Ansar ini tidak gila, tetapi mereka telah benar-benar memahami konsep persaudaraan dan persahabatan yang hakiki.
Melalui aspirasi itu jugalah, umat Islam yang pada mulanya hanya ada seketul dua jumlahnya, akhirnya meningkat menjadi beratus-ratus ribu orang yang berpayung di bawah akidah tauhid yang sama. Seluruh tanah Arab berjaya di Islamkan. Ketika berlakunya Haji Wida' tahun 10 Hijrah, iaitu haji terakhir yang dihadiri oleh Rasulullah sebelum kewafatannya pada tahun 11 Hijrah, sekurang-kurangnya 120,000 orang telah bersama-sama Nabi mengerjakan haji tersebut. Kadang-kadang, amat aneh memikirkan bagaimana dalam tempoh 2 dekad sahaja, umat Islam di tanah Arab mampu mencapai tahap yang sangat gemilang. Dan saya percaya, ia adalah disebabkan aspirasi mereka yang sama. Dan aspirasi inilah yang mampu menjadi kunci untuk mengembalikan zaman kegemilangan Islam di muka bumi ini.
Sahabat yang Patut Dicari
Sahabat yang patut kita cari adalah sahabat yang berkawan dengan kita bukan kerana kekayaan, kepopularan, kehenseman, dan kecomelan yang kita ada. Kekayaan boleh hilang serta-merta. Begitu juga dengan populariti. Maka apabila kekayaan dan populariti ini hilang, kita juga akan kehilangan sahabat. Dan jangan juga berkawan dengan seseorang itu hanya semata-mata dia hensem, kacak, cantik dan comel. Semua benda ini akan pergi satu hari nanti. Orang yang dilahirkan cantik, jangan bermegah dan suka menunjuk-nunjuk. Sila merendah diri dan jangan gedik. Cantik sebenarnya adalah satu masalah besar bagi diri manusia.
Cantik itu ibarat dilahirkan dari perut ibu sebagai seorang yang kaya-raya, dan kemudian kekayaan itu semakin surut apabila umur bertambah, dan tiada langsung cara untuk menambahkan kekayaan yang semakin beransur-ansur hilang itu. Pepatah orang putih mengatakan, "Beauty is only skin-deep". Maksudnya, kacak dan cantik itu hanyalah setebal kulit. Apabila kulit manusia yang setebal kira-kira 2mm ini disiat dari badan, maka apakah beza di antara si Beauty dan si Beast? Maka berhati-hati dengan kecomelan yang anda miliki.
Sahabat yang baik patut menjadi cermin kepada diri kita. Di dalam Sahih Bukhari, terdapat satu hadith yang sering dipetik oleh umat Islam, iaitu "Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin yang lain." Tanya diri anda, apa tujuan anda melihat cermin?
Kita melihat cermin bukan untuk melihat kecantikan diri kita. Kita melihat cermin untuk membetulkan apa-apa yang tidak kena pada wajah dan badan kita, atau pada pakaian yang kita kenakan. Ini fungsi hakiki cermin. Jika anda melihat cermin untuk melihat kecantikan diri anda, dan kemudian rasa perasan yang anda ini cantik, comel atau kacak, maka apa beza di antara anda dan Wicked Queen dalam kisah dongeng Snow White? 8
Oleh sebab itu Nabi mengatakan bahawa seorang mukmin adalah cermin bagi orang mukmin yang lain. Apabila berjumpa dengan seorang mukmin yang lain, jadikan mereka sebagai cermin. Lihat perkara-perkara yang baik pada diri mereka, lalu pantulkan kebaikan itu pada diri anda. Mudah-mudahan pantulan itu akan membuatkan anda menyedari perkara-perkara buruk dalam hidup anda yang mesti anda perbaiki.
Untuk anda menjadi cermin kepada mukmin yang lain, maka anda juga mahu tidak mahu perlu juga berubah menjadi lebih baik dari semalam. Apabila semua mukmin saling berfungsi seperti cermin, maka semakin indahlah akhlak masyarakat Islam yang ditonjolkan kepada masyarakat bukan Islam. Indahnya akhlak akan membawa kepada perkembangan ummah yang lebih sihat dan progresif.
Kesimpulannya, agak sukar bagi kita untuk melihat keburukan dan aib diri sendiri tanpa ada cermin. Dan cermin itu adalah saudara mukmin kita. Dengan cermin, barulah kita boleh melihat siapa kita. William Shakespeare ada menulis satu perkara berkaitan cermin di dalam salah satu karyanya yang popular, iaitu Macbeth. Katanya lebih kurang, "Tuhan telah menetapkan bahawa manusia hanya boleh melihat wajahnya melalui cermin". Dengan kata lain, kita tidak akan sama sekali boleh melihat wajah sendiri dengan mata kita. Kita hanya boleh melihat wajah sendiri melalui refleksi yang dihasilkan melalui cermin.
Kita tidak boleh melihat wajah sendiri. Tetapi orang lain yang ada di sekeliling kita boleh melihat wajah kita. 'Orang lain' ini berpotensi menjadi cermin bagi diri kita. Sebaik-baik cermin adalah orang-orang mukmin. Maka pilihlah 'cermin' itu berhati-hati. Cermin yang baik akan menyedarkan kita tentang keaiban yang ada pada diri. Kurangkan bergaul dan pergi ke tempat-tempat yang mempunyai banyak 'cermin-cermin rosak dan dusta'. Cermin-cermin sedemikian saya sifatkan sebagai cermin yang digunakan oleh Perseus untuk membunuh Medusa. Siapakah Medusa?
Medusa adalah satu makhluk jahat dalam mitos Greek. Medusa memiliki rambut ular dan wajahnya begitu hodoh. Manusia yang memandang Medusa akan berubah serta-merta menjadi batu. Oleh itu Perseus menggunakan pelindung cermin dalam usahanya membunuh Medusa. Dengan melihat pantulan imej Medusa di dalam cermin (dan tidak memandang tepat ke arah Medusa bagi mengelakkan disumpah menjadi batu), Perseus akhirnya berjaya memenggal leher Medusa. Inilah cermin yang membawa kepada kemusnahan Medusa. Dan 'cermin-cermin rosak dan dusta' yang saya sebutkan di perenggan sebelumnya juga boleh membawa kemusnahan kepada diri kita jika tersilap langkah. Cermin rosak dan dusta ini dihasilkan oleh kaki-kaki maksiat dan lagha. Maka, cari dan berkawanlah dengan orang-orang yang mukmin dan soleh. Mudah-mudahan kita mendapat sebaik-baik cermin. Jangan biarkan diri anda terbunuh seperti Medusa.
Sahabat Hakiki
Biar apa pun jenis sahabat yang anda miliki, tetapi ketahuilah bahawa sahabat baik yang sebenar bagi seseorang manusia itu adalah amal solehnya. Inilah sebaik-baik teman, dan ia juga adalah sebaik-baik bekal bagi kita untuk bertemu dengan Allah. Ini seperti mana kisah Hatim al-'Assam yang terdapat di dalam kitab Ya Ayyuhal Walad al-Muahib tulisan Imam al-Ghazali. Hatim al-'Assam adalah seorang sahabat baik kepada Syaqiq al-Balkhiy.
Pada satu hari, Syaqiq bertanya kepada Hatim, "Kamu telah bersahabat denganku selama 30 tahun. Apakah yang telah kamu perolehi dari persahabatan kita ini?" Jawab Hatim al-'Assam, "Aku telah memperolehi lapan perkara, cukup sebagai bekalan bagi keselamatan aku di Akhirat nanti."
Dan ini perkara pertama dari 8 perkara itu. Untuk 7 perkara lagi, sila dapatkan kitab itu di kedai buku berhampiran (tak tebal pun kitab tu).
Aku melihat semua manusia mempunyai kekasih. Sebahagian mereka sanggup menemani kekasihnya sehingga waktu ajal mendatang. Ada pula yang akan terus menemaninya hingga ke liang lahad. Selepas itu mereka akan pulang. Tinggallah manusia ini keseorangan di dalam kuburnya. Lalu aku berfikir, "Sebaik-baik sahabat adalah mereka yang sanggup menemani aku sehingga ke dalam lubang kubur. Aku tidak menemui sahabat sebegini melainkan amal solehku."
Lalu aku pun menjadikan amal soleh sebagai kekasih aku. Agar amalan aku itu boleh menjadi pelita menerangi kegelapan di dalam kubur aku kelak, boleh menghiburkan aku dan tidak meninggalkan aku keseorangan di dalamnya.
Sebagai satu kesimpulan, tulisan ini bukan bertujuan untuk mengajak para pengguna Friendster, MySpace, Facebook, dan sebagainya, untuk terus memboikotnya jauh-jauh. Sebaliknya hanya untuk memberikan satu kesedaran bahawa Friendster itu adalah satu alat, dan bukannya matlamat. Maka, jika Friendster adalah satu alat, adakah wajar untuk kita menghabiskan masa yang begitu lama, setiap hari di situ? Dan tulisan ini dibuat bagi menyedarkan diri saya, dan mudah-mudahan mampu memberikan sesuatu yang berguna juga kepada orang lain.
Semoga kita semua semakin dewasa di dalam iman, amal dan taqwa kepada Allah. Dan moga-moga kita bertemu dengan seorang sahabat sejati yang dapat membantu kita dalam perjuangan di bumi Allah yang fana ini. Amin Ya Rabbal 'Alamin!
2 Untuk penjelasan lebih lanjut tentang hukum bermain catur, sila baca Chess in the Light of the Jurist oleh Sheikh Hamza Yusuf. Download PDF.
3Cold turkey adalah satu slanga English yang merujuk kepada kaedah membuang ketagihan secara serta-merta. Contohnya, jika anda mahu cold turkey dalam ketagihan merokok, maka anda akan terus buang rokok itu jauh-jauh, terus tidak menghisapnya. Jika anda mengurangkan jumlah rokok yang dihisap secara beransur-ansur, ini bukanlah dipanggil cold turkey. Cold turkey memerlukan keazaman yang tinggi.
5 Kenyataan hartawan Mark J. Pincus, seorang usahawan yang banyak melabur dalam Friendster: "Basically, Jonathan wanted to meet girls. He told me himself, he started Friendster as a way to surf through his friends’ address books for good-looking girls." dari Wallflower at the Web Party.
6 Sidi Ahmad al-Zarruq (846-899 Hijrah) adalah seorang ulama besar kelahiran Fez, Maghribi. Beliau bermazhab Maliki dan juga merupakan salah seorang sheikh besar dalam tariqat Shadhili. Jasanya lebih harum dalam bab tasawwuf, namun demikian beliau juga adalah seorang pakar hadith dan fiqh. Diberi nama timangan sebagai Muhtasebul ulama' wal awliya yang bermaksud orang yang membetulkan para ulama dan para wali. Beliau merupakan satu-satunya ulama yang mendapat gelaran ini.
Ada juga para ulama lain yang diberikan nama timangan, seperti Imam al-Ghazali dipanggil Hujjatul Islam. Di dalam sistem tradisi Syiah, ada juga ulama mereka yang dipanggil Hujjatul Islam. Tetapi dari segi tradisi Sunni, apabila disebut Hujjatul Islam, maka ia merujuk kepada Imam al-Ghazali sahaja. Di zaman moden, Syeikhul Islam lebih merujuk kepada Imam Ibnu Taimiyyah. Namun demikian, secara tradisinya ia tidak begitu. Sheikhul Islam adalah istilah yang lebih meluas penggunaannya. Antara para ulama lain yang digelar dengan Sheikhul Islam adalah seperti Sheikh Zakariyya al-Ansari, Qadi Iyad, Imam Ibnu Hajar 'Asqalani, dan Imam Futuhi al-Hanbali. 7 Habib Ali al-Jufri ada menyentuh perkara ini dalam satu ceramahnya. Jangan bimbang, ceramah ini ada sarikata Bahasa Melayu. http://www.youtube.com/watch?v=zH9BtuUHMsk 8 Wicked Queen selalu bertanya kepada cermin yang dimilikinya, "Cermin ajaib yang ada di dinding, siapakah wanita paling cantik? (Magic mirror on the wall, who is the fairest one of all?)" Selalunya cermin itu menjawab Wicked Queen adalah wanita paling cantik di dunia (padahal sebaliknya). Apabila pada satu hari cermin itu mengatakan Snow White adalah wanita paling cantik di dunia, Wicked Queen menjadi begitu cemburu dan marah.
Ini merangsangnya untuk menghasilkan sebiji epal beracun untuk diberikan kepada Snow White. Snow White memakan epal itu dan menyebabkan dia jatuh koma, sehinggalah ada seorang putera raja yang berjaya menyedarkannya semula. Hampir semua orang mengetahui kisah ini, tetapi tak semua orang sedar bahawa: Perasan Cantik + Penyakit Hati = Kebinasaan, kerana akhirnya Wicked Queen terbunuh disebabkan sifat hasad yang ada di hati. ---
Berhibur Setelah Membaca
Pesan Abang oleh Sudirman. Abang Tawel Sensei tak pandai berpesan, maka terpaksa gunakan lagu ini untuk menyampaikan pesan kepada diri sendiri dan orang lain. Apa pun, hargailah waktu muda kita sebaiknya. Masa yang pergi tidak akan kembali