Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel Sensei • Hubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Kesilapan Dasar Air Percuma Selangor?

    20 April 2008 • 15 Komen
    Beberapa hari selepas berlalunya PRU 12, saya membaca manifesto Pakatan Rakyat yang akan dilaksanakan jika menang di Selangor. Sebenarnya sama ada ia manifesto Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, saya tidak percaya ia boleh dilaksanakan 100% sama seperti yang dilaungkan. Manifesto mana-mana parti di mana-mana negara pun begitu jugalah selalunya. Bagi saya manifesto cumalah satu panduan kasar kepada pengundi tentang dasar yang didukung oleh sesebuah parti itu.

    Sesudah membacanya, perkara yang membuatkan saya tersengih-sengih ialah apabila kerajaan Selangor di bawah pentadbiran yang baru, mahu membuat kebajikan dengan memberikan bantuan kepada orang muda yang hendak berkahwin. Tentu saya gembira, sebab sayalah antara orang muda yang dimaksudkan itu. Mudah sikit hendak buat kerja yang baik. Yang rasa cemburu nanti cumalah pakcik-pakcik yang mahu tambah isteri. Tapi kadang-kadang tak semestinya pakcik.

    Klik gambar untuk paparan yang lebih besar.


    Ini kerana saya ada seorang kenalan sekolah yang sama umur macam saya, yang sudah pun beristeri dua! Lalu adakah kerajaan Selangor akan turut memberikan bantuan kepadanya jika dia mahu bermadu tiga? Silalah jawab wahai Dr Hasan Ali sebab kalau ikut manifesto: "Memberi bantuan kepada anak-anak muda untuk mendirikan rumah tangga." Haha ;)

    Walaupun demikian apabila kerajaan Selangor mahu memberikan air percuma sebanyak 20 m3 (m3 = meter padu) sebulan kepada kira-kira 1 juta pengguna air domestik di Selangor, saya agak menentangnya setengah hati. Kenapa?

    Sebelum saya pergi jauh, harus ditekankan bahawa bekalan air percuma itu boleh dinikmati bukannya kerana kerajaan Selangor yang akan mengeluarkan RM 11.4 juta sebulan, sebaliknya kos itu akan ditanggung oleh Syabas dan Puncak Niaga setelah kerajaan Selangor menyemak semula perjanjian yang telah termetrai sebelum ini. Kata Tan Sri Khalid Ibrahim:
    Perkara-perkara yang terkandung dalam perjanjian ini akan digunakan untuk membekalkan 20 meter padu air secara percuma.

    Harga 20 meter padu ialah RM 11.40. Satu juta pengguna, bermakna kosnya bersamaan RM 11.4 juta sebulan. 12 bulan = RM 136.8 juta. Ini jumlah yang sangat besar.

    Idea yang saya pandang mungkin lebih bagus adalah begini:
    Bukan beri 20 m3 air sebulan kepada 1 juta pengguna air domestik di Selangor, sebaliknya pengguna tidak perlu membayar apa-apa sekiranya mereka menggunakan air sebanyak 20 m3/sebulan dan ke bawah. Dengan kata lain:

    Kalau guna air di bawah 20 m3/bulan = percuma;
    Kalau guna lebih 20 m3/bulan = kena bayar penuh.

    Idea ini adalah killing four birds with one stone. Saya akan huraikan apakah kesan positif membunuh 4 ekor burung itu dengan sekaligus.

    BURUNG PERTAMA: Air tidak dibazir, malah semakin dijimat

    Satu kritikan yang muncul ialah pengguna akan lebih membazir dalam penggunaan air. Maklumlah percuma. Saya rasa ini berpotensi besar untuk berlaku kerana manusia secara fitrahnya tidak menghargai benda yang percuma[1]. Saya selama duduk di Ireland yang memberikan air percuma kepada rakyatnya ini, jarang-jarang nampak sama ada orang Malaysia mahupun Irish sendiri yang berhemat dalam penggunaan air.

    Sebab itu saya berhujah jika air percuma hanya diberikan kepada pengguna di bawah paras 20 m3/bulan, ini boleh mengurangkan kebarangkalian pembaziran air yang akan berlaku. Malah sebaliknya ini akan membuatkan mereka lebih berusaha untuk tidak melakukan pembaziran air. Mengapa?

    Manusia secara fitrahnya suka melakukan sesuatu jika ia membawa keuntungan. Secara psikologi, jika sebelum ini bil air rumah Ahmad ialah RM15/bulan, dan dasar kerajaan pula kata: "Jika bil air sebulan ialah RM11.40 dan ke bawah, maka tak payah bayar apa-apa, tapi kalau RM 15 (dan sebagainya) kena bayar penuh", maka Ahmad sendiri secara automatik akan cuba meminimakan penggunaan air supaya dia layak mendapat air percuma.

    Sebaliknya jika bil air rumah Ahmad adalah RM15/bulan, dan kerajaan negeri pula kata "20 meter padu air percuma untuk semua pengguna domestik", maka ia akan susut menjadi RM3.60/bulan sahaja. Bila bil menjadi serendah itu, maka Ahmad tidak akan rasa teragak-agak untuk lebih 'berpesta air'. Kerana apa? Kerana dia rasa murah sangat bil air tu. Jadi baginya agak okay untuk menggunakan lebih air supaya bilnya menjadi RM10/bulan. Bukankah nilai itu sudahpun kurang RM5 dari yang selalunya?

    Jika sebelum ini dia basuh kereta sebulan sekali, maka dia akan basuh kereta sebulan 4 kali selepas ini. Jika sebelum ini dia mandi sehari sekali, selepas ini dia akan mandi sehari dua kali. Jika sebelum ini dia naik risau jika air sentiasa menitik dari paip, selepas ini dia tidak akan risau dan kisah sangat. Jika sebelum ini dia menadah air hujan untuk dijadikan air siraman pada pokok-pokok bunganya, selepas ini dia tidak lagi akan berbuat demikian.

    Kita berbicara tentang permainan psikologi di sini.

    BURUNG KEDUA: Jimat duit dan masa kerajaan

    Anda tahu berapa banyak kerajaan habiskan untuk melakukan kempen jimat air? Saya pun tidah tahu sebenarnya. Apa yang pasti, Dr Khir Toyo pernah melancarkan Kempen Jimat Air di Selangor. Kita juga ada Kempen Jimat Air Kebangsaan yang akan tamat pada 1 Ogos 2008 ini. Seperti yang kita tahu juga, apa-apa jenis kempen akan memerlukan wang.

    Maka apabila kesedaran menjimatkan penggunaan air itu datang dari diri sendiri, iaitu apabila mereka sedar bahawa lagi sikit guna air, lagi cerah peluang mendapat air percuma, maka dia akan melakukannya tanpa perlu ada orang suruh melalui apa-apa kempen.

    BURUNG KETIGA: Kumpulan sasaran yang berjaya diringankan bebannya akan jadi lebih tepat

    Kata MB Selangor:
    Tujuan kerajaan negeri memperkenalkan dasar ini ialah bagi meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

    Mari berfikir secara realistik. Siapakah golongan berpendapatan rendah ini yang akan diringankan bebannya melalui dasar tersebut? Kalau ia merujuk kepada seorang bapa dan makcik tua lumpuh yang mencari rezeki di buangan sampah yang pernah saya ceritakan dulu, ya saya setuju. Jumlah mereka ini secara relatifnya sangat kecil.

    Namun saya tidak begitu bersetuju jika ia juga merujuk kepada mereka yang tidaklah sekaya atau semiskin mana, tetapi masih mampu memasang Astro di rumah, masih mampu membeli top-up telefon paling kurang RM30 sebulan, dan sebagainya. Golongan seperti inilah yang membentuk majoriti masyarakat.

    Ya benar, di samping golongan miskin, mereka ini juga adalah golongan yang akan paling rasa tertekan jika harga minyak dan barang keperluan harian lain melambung naik. Namun saya tidak rasa beban kewangan mereka boleh dikurangkan dengan sangat drastik jika kerajaan Selangor melaksanakan dasar yang dicadangkan itu. Apa sangatlah lebihan RM 11.40 sebulan pada kantung poket sedangkan mereka ini masih mampu membawa keluarga makan di KFC dan McDonald sekurang-kurangnya sebulan sekali.

    Bukan niat saya untuk melihat hanya golongan berpendapatan rendah yang betul-betul kais pagi makan pagi, kais petang makan petang sahaja yang dapat menikmati air percuma. Sebaliknya jika kerajaan Selangor benar-benar berhasrat meringankan beban golongan berpendapatan rendah, maka ia akan jadi lebih tepat jika hanya pengguna air di bawah 20 m3/bulan sahaja yang diberikan air percuma. Mengapa? Sebab orang kaya biasanya guna air banyak. Sebab orang kaya biasanya tak kisah sangat dalam soal menjimatkan penggunaan air. Dan orang kaya tak kisah sangat jika bil air mereka RM20 atau pun RM50. Tapi orang susah akan kisah.

    Maka konsep kebajikan itu perlu disasarkan tepat kepada mereka yang betul-betul menghargai dan terangkat sedikit nasibnya jika mendapat air percuma sebanyak 20
    m3 sebulan. Jumlah mereka ini bukannya banyak sangat pun. Oleh kerana kita tidak akan memberikan air percuma kepada majoriti golongan yang tidak akan terasa sangat kesan pelaksanannya, maka kos yang dapat dijimatkan itu boleh disalurkan untuk meningkatkan kualiti bekalan air yang akan saya terangkan di bahagian berikutnya.

    Saya menekankan faktor kualiti air kerana jika air itu bersih, maka orang senang, orang susah atau orang sederhana, semuanya akan rasa gembira.

    BURUNG KEEMPAT: Ada peruntukan untuk menaiktaraf kualiti air

    Seperti yang saya katakan tadi, bekalan air 20m3 percuma untuk semua pengguna air domestik di Selangor akan memakan kos RM136.8 juta setahun yang perlu ditanggung oleh Syabas dan Puncak Niaga. Kita katakan hanya 15% pengguna domestik di Selangor yang menggunakan air di bawah 20m3. Harus diingat bahawa 15% ini nilai spekulasi sahaja. Bil air rumah saya biasanya dalam RM8-RM10/bulan dan ramai juga jiran-jiran saya yang bil bulanannya tidak melebihi RM11.40/bulan. Buat pengetahuan, saya tinggal di Padang Jawa yang letaknya bersebelahan sahaja dengan Rimba Jaya (tempat berlakunya isu kuil Hindu yang dirobohkan), dan boleh dikatakan bahawa sekurang-kurangnya 80% penduduk Padang Jawa dan Rimba Jaya adalah dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

    Jika 15% pengguna ini tidak perlu membayar air sama sekali, manakala 85% bakinya mesti membayar penuh, maka kos untuk memberikan air percuma itu paling banyak hanya boleh menjadi RM20.52 juta/tahun sahaja.

    Jadi baki RM116.28 juta/tahun itu boleh disalurkan untuk meningkatkan kualiti air di Selangor. Kualiti bagaimana yang kita mahu? Kita mahu kualiti air seperti di UK dan Ireland yang mana dalam kebanyakkan kes, kita boleh terus minum air yang keluar dari paip. Tak perlu masak, tak perlu rebus. Buka paip, tadah dengan cawan, baca Bismillah, dan minum.

    Ehem, kalau asyik air kopi yang keluar dari paip macam di Melaka tu, susah juga saya nak buat air sirap selasih yang sangat popular di bulan puasa itu!


    ---
    NOTA KAKI:
    [1] Jika anda pengguna Linux, anda mungkin ingin tahu bagaimana konsep percuma itu boleh menjadi satu bala kepada Linux dan perisian open source yang lain. Baca: Why Linux Doesn't Spread - the Curse of Being Free.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Lim Guan Eng & Umar Abdul Aziz

    17 April 2008 • 13 Komen
    Semenjak saya mengetahui bahawa Lim Guan Eng pernah dipenjarakan kerana mempertahankan nasib seorang gadis Melayu, sungguh-sungguh saya katakan bahawa saya agak berminat untuk mengikuti perjalanan politik beliau. Lebih-lebih lagi apabila beliau membuat kenyataan bahawa dia mahu mencontohi pentadbiran Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang sangat adil dan saksama itu:
    Kini saya sudah jadi Ketua Menteri dan saya berazam akan mengotakan janji saya untuk menjadi Umar Abdul Aziz... ...dulu semasa saya di penjara, antara orang yang kerap mengunjungi saya ialah Dato' Fadhil Noor (Al Marhum Presiden PAS). Dan dialah yang membekalkan kepada saya buku-buku berkaitan Islam, termasuk satu buku tentang Umar Abdul Aziz. Bermula dari situ saya kenal tokoh yang hebat ini.

    Tentunya kenyataan Lim Guan Eng ini akan dipandang sinis dan prejudis oleh sesetengah orang. Sama ada apa yang beliau nyatakan itu benar-benar ikhlas atau sekadar satu topeng bagi menutup sebuah agenda yang tersembunyi, kita berusaha dan bertawakal sahajalah agar negara kita ini dipimpin oleh mereka yang betul-betul telus dan jujur pada rakyatnya.

    Tidak dinafikan bahawa wujud juga seketika sedikit rasa prejudis di hati saya terhadap Lim Guan Eng. Namun saya berusaha memadamkan rasa prejudis itu apabila saya memikirkan bahawa kalau Allah hendak beri hidayah, musuh nombor 1 Islam seperti Umar al-Khattab pun akhirnya menjadi pejuang Islam yang sangat disegani. Apatah lagi Lim Guan Eng yang tidak pernah memusuhi Islam itu. Prejudis adalah ibarat api yang menghanguskan ikatan perpaduan manusia yang berlainan bangsa mahupun di kalangan bangsa yang sama.

    Sedangkan orang Amerika, British dan banyak lagi masyarakat dunia boleh menjadikan Mahatma Gandhi sebagai idola, walaupun mereka berlainan bangsa dan agama, maka adakah sesuatu yang mustahil jika Umar Abdul Aziz akan benar-benar menjadi idola kepada Lim Guan Eng ketika mentadbir Pulau Pinang?

    Apapun, jangan gaduh-gaduh sangat tentang siapa yang memerintah negara. Yang paling penting, biarlah orang yang memimpin kita itu adil, amanah dan tidak zalim kepada sesiapa. Satu petikan yang saya kutip dari blog A Kadir Jasin ini, amat bermakna untuk kita semua renung dan fikir.
    Sesiapa yang berjuang dengan nama Allah dan niat baik sentiasa dalam keredaan Allah, tetapi sesiapa yang lupakan niat, khianat dan tamak akan dimurkai Allah, akhirnya menjadi hina. Kalau orang Melayu (yang) beragama Islam mengkhianati bangsa, negara dan agama, Allah akan gantikan (dengan) bangsa lain yang beragama Islam (bagi) menjaga tanah air kita."

    (Daripada buku Sheikh Abdullah Fahim Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara 13 Ogos '57 oleh Mokhtar Petah, Pustaka Antara 1997).

    Untuk sesiapa yang tidak tahu, Sheikh Abdullah Fahim adalah salah seorang ulama besar Tanah Melayu dan telah menjadi mufti pertama di Pulau Pinang. Beliau juga merupakan datuk kepada Pak Lah.

    ---
    NB: Sebagai nota tambahan, sebahagian ulama berpendapat bahawa jumlah khalifah ar-Rasyidin adalah seramai 5 orang, iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan Umar bin Abdul Aziz. Sebagai nota peribadi pula, Umar bin Abdul Aziz adalah tokoh yang paling sangat saya sanjungi di antara kelima-lima orang itu.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    La Tahzan #5 - Cukup Tampan, Cun & Hensem

    10 April 2008 • 12 Komen
    NOTIS RINGKAS:
    Mungkin agak lama untuk tulisan terbaru disiapkan sebab saya sibuk menjaga anak penguin, bla bla bla, merenung ombak di pantai bagi menemukan inspirasi, bla bla bla dan mana tahu jika saya mati esok lusa.


    Sekonyong-konyong dikhabarkan bahawa di tanah Malaysia, sekurang-kurangnya ada 15 orang yang cantik bertukar menjadi hodoh setiap tahun, yang mana semuanya adalah wanita. Arakian harus ditekankan bahawa mereka ini tidak memiliki ilmu Puteri Gunung Ledang yang membolehkannya bertransformasi menjadi nenek kebayan yang hodoh itu. Sebaliknya, perubahan yang mengerikan itu adalah gara-gara upacara suntikan dan pembedahan yang dilakukan oleh dukun-dukun kecantikan yang ghairah meraih duit pengeras.

    Saya boleh faham jika mereka yang berjumpa dukun-dukun kecantikan ini adalah kerana fizikal mereka terlalu hodoh, lantas menyebabkan masyarakat takut dan menyisihkan mereka. Ini sepertimana yang berlaku kepada seorang wanita Perancis bernama Chantal Sebire yang mendapat penyakit kanser wajah yang tidak boleh diubati. Kanser itu menyebabkan deria penglihatan, rasa dan dengarnya hilang. Kesemuanya itu sangat memberikan tekanan kepadanya sehingga beliau sanggup ke mahkamah untuk mendapatkan hak melakukan euthanasia secara sah.

    [chantal-sebire-face.jpg]
    Baca lebih lanjut kisahnya di BBC.


    Tetapi apa yang saya tidak boleh faham adalah mengapa manusia yang sudah cukup tampan, cukup cun dan cukup hensem, masih lagi tidak puas hati dengan apa yang diberi. Rambut, warna kulit, bentuk kening, bentuk bibir, yang sebenarnya tiada apa-apa masalah pun, semuanya mahu diubah. 2 hari lepas, saya membaca kisah seorang gadis remaja berusia 13 tahun dari London yang wajahnya telah bertukar menjadi seperti alien, gara-gara kerana mahukan rambutnya lebih perang dan bersinar.

    Lois Queen dimasukkan ke hospital setelah memakai pewarna rambut jenama L'Oreal.


    Oh ya, janganlah juga risau sangat tentang kedut-kedut yang muncul akibat proses penuaan (perempuanlah biasanya). Sebanyak mana masa dan duit yang dilaburkan bagi melawan proses yang tidak dapat dielakkan itu, ia tetap tidak akan berjaya selamanya. Semua orang akan tua, namun seperti yang dihumorkan oleh Mark Twain:
    Age is an issue of mind over matter. If you don't mind, it doesn't matter.

    Jadi, baik gunakan duit itu ke arah yang lebih bermanfaat. Masa itu pula boleh digunakan untuk sekurang-kurangnya merenung hakikat bahawa kita mungkin mati esok. Tiada satu pun manusia yang telah mati pada hari ini, ada berfikir di waktu semalamnya bahawa malaikat Izrail akan menjemputnya esok.

    Oleh yang demikian, saya mahu memberikan 5 sebab mengapa manusia sentiasa mahu lebih cantik, padahal apa yang sudah Allah beri itu sudah sempurna sifatnya. Fahami sebab-sebab ini dan insyaAllah akan terbit rasa syukur dan tenang di hati walaupun wajah kita tidaklah sejelita atau sekacak mana.

    Bagi lelaki, usahlah rasa tergugat sangat apabila melihat model-model yang memiliki abdomen 6-packs, sedangkan perut kita pula berbentuk 6-in-1 yang mana air akan bertakung di atasnya sewaktu kita mandi. Bagi perempuan pula, percayalah, 99% wanita di dunia ini tiada yang secantik Arwen dalam filem Lord of the Rings itu.

    Ingat, melainkan anda memiliki wajah seperti Chantal Sebire, maka anda tidak perlu mengubah wajah yang Allah kurniakan.

    Ini 5 sebab-sebabnya:

    1) Kurang rasa bersyukur

    Sebab yang pertama ini selalunya lebih menjangkiti artis (dan mak datin yang banyak duit). Maklumlah, orang yang selalu keluar tv dan majalah, kenalah sentiasa kelihatan comel dan cantik. Lalu ditempeknya mekap setebal 1 inci. Akhirnya, Madonna yang sebenarnya sudah 50 tahun umurnya itu pun, tiba-tiba nampak cantik bila berjoget di atas pentas.

    Itu kisah artis yang sudah tua. Artis yang masih muda jelita seperti Zahida Rafik pun masih tidak bersyukur dengan anugerah Ilahi. Alhamdulillah dia cepat insaf. Selain itu, kisah Michael Jackson yang terlalu ingin menjadi putih, berdagu terbelah dan berhidung mancung, sepatutnya menjadi pengajaran yang sangat berharga buat pencinta plastik.

    Dulu hitam, sekarang putih, dan putih itu tidak semestinya menawan.

    2) Penipuan solekan dan Photoshop

    Iklan-iklan kecantikan terutamanya, yang memaparkan seseorang itu sebagai sangat cantik dan kacak, sebenarnya lebih banyak yang menipu. Kecantikan digunakan untuk melariskan barang. Padahal wajah model-model tersebut tanpa solekan sebenarnya lebih kurang macam kita juga; ada rongga-rongga halus, ada noda-noda hitam dan ada kesan parut jerawat. Malah apabila perisian seperti Photoshop digunakan, makin cantik jadinya model tersebut. Bak bidadari!

    Wanita-wanita yang dicantikkan dengan teknik solekan dan Photoshop seperti gambar di bawah ini, hanya wujud di alam iklan. Mereka tidak wujud di alam nyata. Sekian dimaklumkan.

    [wanita-make-up.gif]
    Solekan dan perisian mengedit gambar seperti Photoshop boleh menjadikan seseorang
    kelihatan cantik seperti bidadari. Klik gambar untuk melihat video penuh.


    Dan janganlah juga kita terpengaruh dengan iklan-iklan luar negara, tidak ketinggalan juga filem-filemnya, yang memaparkan minah-minah saleh itu sebagai cantik tangkap maut. Bertahun-tahun saya duduk di negara mat saleh, jarang-jarang saya jumpa wanita cantik (yang tidak disolek) seperti di televisyen.

    Percayalah, bukan semua wanita mat saleh itu cantik. Sama ada gadis itu berbangsa Arab, Afrika, Amerika atau Melayu, biasanya statistik kecantikan bagi setiap bangsa itu tetap dibatasi oleh graf taburan normal yang standard. Ada yang benar-benar cantik, ada yang kurang cantik dan majoritinya pula adalah biasa-biasa sahaja.

    Lagipun, kecantikan itu adalah sesuatu yang bersifat relatif. Aku kata gadis ini cantik laksana bulan purnama, kau kata gadis itu seekor katak puru!

    3) Takut kehilangan cinta manusia

    Untuk sebab yang ketiga ini, saya bawakan sebuah kisah yang dilalui oleh Jocelyn Wildenstein. Oleh kerana terlalu takut ditinggalkan oleh suaminya yang sudah mula menggatal dengan perempuan lain, akhirnya Jocelyn secara beransur-ansur melakukan pembedahan plastik untuk menjadikan wajahnya menyerupai kucing hutan. Katanya, suaminya amat meminati kucing hutan, jadi dia berharap apabila rupanya semakin mirip dengan kucing hutan, maka suaminya itu akan lebih sayang kepadanya.

    Malangnya pembedahan demi pembedahan menjadikan suaminya semakin takut dengannya. Pada akhirnya Jocelyn menceraikan suaminya setelah menangkapnya berzina dengan seorang model Rusia yang berumur 19 tahun ketika itu.

    Siapa yang harus lebih dipersalahkan dalam hal ini? Paranoid isterinya, kecurangan suaminya atau pun ketidakfaham mereka tentang apa ertinya sebuah perkahwinan itu? (Klik gambar untuk paparan yang lebih besar. Klik sini untuk berita tentangnya).

    Cinta sesama manusia memang senang datang dan pergi. Dahulu saya ada menyentuh kisah seorang wanita yang ingin mengetahui adakah seorang lelaki itu benar-benar menyintainya. Maka jika ada masa, luangkanlah masa untuk membacanya.

    Cinta yang terlalu bersandarkan kepada rupa paras, itu bukanlah cinta. Itu nafsu. Berhati-hatilah memilih pasangan. Muka yang kacak, dahi yang licin, lesung pipit di pipi, dan tubuh yang putih gebu, bukanlah faktor-faktor yang menjaminnya menjadi seorang teman menangis di kala anda jatuh dihempap tangga.

    Ingat Mat, kalau kau utamakan faktor-faktor tu masa nak pilih pasangan, aku nasihatkan kau bela kucing aje. Sekurang-kurangnya kucing akan tetap setia 100% apabila kau ditimpa musibah yang maha dahsyat.

    4) Krisis identiti

    Kadang-kadang, krisis identiti yang berlaku pada seseorang itu menyebabkannya tekad untuk menghodohkan diri sendiri. Mereka rasa cantik dan bangga pula dengan apa yang dilakukannya, tapi sebenarnya kita sendiri yang tengok rasa kasihan. Mana tidaknya, apakah tidak kasihan melihat manusia yang sanggup menghabiskan wang yang banyak semata-mata kerana mahu menjadikan tubuh badan mereka seperti haiwan atau makhluk yang mereka gemari?


    Oh, saya sukakan kucing kerana kecomelannya, namun bila manusia jadi kucing itu memualkan saya.

    5) Tidak percaya kehebatan tempe dan ulam-ulaman

    Datuk Khir Toyo menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menuduhnya melakukan suntikan botox di wajah. Beliau berkata bahawa amalan memakan tempe adalah rahsia awet mudanya:
    Tempe selain mempunyai kandungan protein yang tinggi, ia juga mempunyai khasiat melawan kanser berikutan penyediaannya yang melibatkan proses fermentasi. Itu sahaja petua saya. Ini pembangkang fitnah saya pakai suntikan botoxlah, pembedahanlah sedangkan saya tak buat pun.
    (Khir Toyo nafi suntik Botox, Utusan Malaysia, 3 Februari 2008)

    Bagi yang tidak tahu, tempe adalah sejenis makanan yang sangat popular di kalangan masyarakat Jawa khususnya. Selalunya tempe akan digoreng terlebih dahulu sebelum dimakan, namun ada juga yang memakannya mentah-mentah.

    Sama ada Datuk Khir Toyo menggunakan tempe atau botox, tulisan ini bukanlah medan untuk mengulasnya. Apa yang pasti, ibu saya suka makan tempe, dan dia masih kelihatan muda walaupun umurnya sudah melebihi 60 tahun. Mungkin itu penangan tempe agaknya. Selain tempe, ibu saya juga suka makan ulam-ulaman. Tidak sah kalau sehari tidak memakan ulam.

    Lalu, mengapa menyuntik botox jika anda boleh memilih tempe serta ulam-ulaman yang segar dan organik? Suntikan botox bukan sahaja mahal dan haram kepada umat Islam, malah ia juga berbahaya kepada diri sendiri. Kalau muka jadi hodoh, jangan salahkan dukun kecantikan yang gilakan pengeras itu.

    Oleh itu basuh wajahmu dengan air wudhu selalu, insyaAllah berseri-seri wajah kita dipandang orang. Tak tampan, tak cun dan tak hensem tidak mengapa, janji jangan hilang seri wajah. Malah jika wudhu itu sempurna, bersinar-sinarlah kita di hari pembalasan nanti:
    Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat nanti dalam keadaan dahi, kedua tangan dan kaki mereka bercahaya, kerana bekas wudhu.
    (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

    ---
    JALAN-JALAN
    - Hukum pembedahan plastik dan kosmetik
    - Hukum mencabut bulu kening
    - Lagu nasyid Syukur oleh Raihan
    ¶ Teruskan membaca entri ini »