Back to home page

Epilog Politik Trilogi

27 Februari 2008 • 21 Komen Cetak Chenta!
Ini adalah entri terakhir berkenaan politik buat pilihan raya umum kali ini. Saya berjanji tidak akan ada lagi entri politik selepas ini. Saya pernah memberitahu secara ringkas dahulu bahawa perkahwinan saya dengan politik akan gagal. Saya bukan political junkie. Namun ini tidak bermakna bahawa saya mengabaikannya sama sekali. Malah sebenarnya saya sangat sedih kerana tidak dapat mengundi tahun ini.

Sepanjang saya menulis di blog ini semenjak November 2004, inilah kali pertama saya benar-benar menyentuh secara langsung tentang senario politik tanah air. Namun demikian, sepanjang dua siri penulisan saya yang lepas, saya teguh dengan pendirian untuk tidak menghasilkan tulisan yang bersifat untuk 'mengconvert' seseorang kepada parti yang saya sokong. Tulisan saya hanya berniat untuk mencetuskan sifat berfikir dan semangat inkuiri kepada para pengundi kita.

Sudah tentu, saya ada parti yang saya sokong. Terus-terang saya katakan bahawa saya tidak berdiri di atas pagar dalam hal-ehwal politik. Pernah dengar kata-kata bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher?
Standing in the middle of the road is very dangerous; you get knocked down by the traffic from both sides.

Namun saya juga tidak fanatik kepada apa yang saya pilih. Fanatik berlaku apabila yang salah dikata betul dan yang betul dikata salah. Oleh itu, saya benar-benar berharap agar suatu hari nanti ahli-ahli politik di Malaysia boleh memiliki pendirian seperti Datuk Shahrir Abdul Samad yang berani untuk tidak bersetuju dengan suara majoriti ahli-ahli parti yang diwakilinya, iaitu BN/UMNO. Saya ingin benar melihat ahli-ahli politik kita menjadi lebih matang dengan memahami bahawa:
Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik. (Sultan Muzaffar)

Polisi saya dalam politik mudah sahaja. Saya lebih menitik-beratkan calon berbanding parti yang diwakilinya, seperti mana yang dihuraikan dengan baik oleh Rausyanfikir:
Islamik (walaupun akidahnya bukan Islam) dalam berkerja seperti Lee Lam Thye sewaktu beliau menjadi wakil rakyat di Bukit Bintang adalah lebih baik dari seorang ustaz yang menjadi wakil rakyat yang hanya petah bercakap di pentas ceramah berbanding menyelesaikan masalah rakyat secara praktikal.

SEJENAK TENTANG MANIFESTO NEGARA KEBAJIKAN

Dalam pilihan raya kali ini, parti-parti yang bertanding mengeluarkan senarai manifesto yang bertujuan untuk mengurangkan kesempitan hidup rakyat. Sebelum kita percaya kepada mana-mana manifesto, amati 3 poin penting yang ingin saya sampaikan ini.
  1. Prinsip Pareto
  2. Kos sara hidup di Malaysia murah?
  3. Ekonomi yang meningkat = Taraf hidup juga meningkat?

1) Prinsip Pareto

Prinsip ini juga dikenali dengan Hukum 80/20 yang mana ia pertama kali diaplikasikan dalam lapangan ekonomi. Apabila prinsip ini diaplikasikan dalam negara kita (mahu pun negara lain), maka secara kasarnya 80% kekayaan Malaysia dipegang oleh 20% rakyatnya.

Oleh itu, 80% rakyat kita hanya mendapat 20% sahaja kekayaan yang dijana oleh ekonomi negara kita. Siapa dia 80% rakyat yang dimaksudkan ini? Mereka adalah golongan kelas pertengahan dan miskin. Keluarga saya adalah dari kelas pertengahan, maka kami tahu bagaimana peritnya hidup di Malaysia sekarang ini dalam keadaan harga barang yang semakin naik dan naik.

Jikapun anda orang yang kaya (yang mewakili 20% rakyat Malaysia), tolonglah kami yang 80% ini. Undilah mereka yang benar-benar mampu untuk mengurangkan keperitan hidup golongan 80% ini. Kepada golongan kelas pertengahan pula, anda sendiri tahu bagaimana harga barang sekarang. Mari kita berdoa agar tragedi ngeri "harga-minyak-naik-tidak-berapa-lama-setelah-tamatnya-Pilihanraya-Umum-2004" supaya tidak berlaku lagi pada tahun 2008 ini.

Konotasi "mengurangkan keperitan rakyat" juga tidak semata-mata merujuk kepada tahap kemurahan hati bantuan kewangan yang dihulurkan itu. Saya juga merujuknya sebagai semudah mana bantuan itu hendak diagihkan. Tolonglah, saya kalau boleh tidak mahu melihat lagi Malaysia tersenarai dalam buletin yang saya selalu terima dari Muslim Aid. Negara kita masih kaya. Saya fikir negara-negara Islam lain lebih layak untuk menerima bantuan Muslim Aid yang bernilai hampir RM 300K itu. Afghanistan dan Kemboja pun tidak menerima sebanyak Malaysia.

Jangan biarkan karenah birokrasi menyebabkan seorang anak kecil yang tinggal di sebuah pondok usang beratap rumbia, tidur dengan perut berkeroncong, di dalam sebuah negara yang bernama Malaysia.

[muslimaid.jpg]

£45,883 bersamaan kira-kira RM 291,000


2) Kos sara hidup di Malaysia murah?

Baru-baru ini akhbar nasional kita mengeluarkan statistik yang cuba untuk membandingkan harga barangan negara kita dengan negara lain. Saya tidak akan melarang anda untuk membacanya. Cuma jika anda ingin mempercayainya, sila dengar ini dahulu.

Di Ireland, pekerja yang sapu-sapu jalan pun akan mempunyai gaji minimum €8/jam. Dalam sebulan, biasanya mereka boleh mendapat sekurang-kurangnya €1000. Saya tekankan bahawa itu nilai gaji bulanan minimum yang boleh diperolehi oleh seorang tukang sapu. Berapa besar nilai €1000 ini?

Pelajar Malaysia yang belajar di sini sudah boleh hidup selesa dengan €700/bulan. Malah dengan €700 ini, ramai di antara mereka yang mampu lagi untuk makan angin di negara-negara Eropah sekurang-kurangnya setahun sekali. Ini kerana di sini, harga barangannya murah dan kos hidup pula rendah berbanding Malaysia.

€700 ini besar nilainya di sini. Harga sebuah laptop biasa pun selalunya tidak melebihi angka tersebut. Sekarang beritahu saya apa yang kita boleh beli di Malaysia dengan gaji RM 700/bulan? Berapa bulan punya gaji perlu kita kumpulkan untuk membeli laptop Dell Inspiron 1525 yang berharga RM 2099 di Malaysia? (Dell.ie menjualnya pada harga runcit €479).

Maka bagi saya, statistik yang dikeluarkan dalam akhbar itu sebenarnya tidak tepat dan mengelirukan. Ia tidak mengambil kira nisbah jumlah gaji/harga barangan.

Anda mungkin seorang yang kaya-raya dan tidak ada masalah kalau harga barang naik. Namun ingatlah bahawa majoriti rakyat (iaitu 80% rakyat) tidak kaya. Saya tinggal di Padang Jawa. Ini kampung moden yang terletak di Shah Alam yang merupakan antara bandar paling pesat membangun di Malaysia. Sekali-sekala ketika saya menunggang motorsikal untuk ke masjid, di suatu senja yang hening, saya akan melihat seorang ayah ditemani anak perempuan kecilnya yang masih berbaju sekolah rendah, sedang terbongkok-bongkok mengorek dan menggodek buangan sampah untuk mencari barang buangan yang boleh dikitar semula untuk dijual.

Sekali-sekala juga, saya akan melihat seorang ibu tua lumpuh yang duduk di atas kerusi roda, bersama dua orang anaknya yang masih lagi kecil, berhijrah dari satu buangan sampah ke buangan sampah yang lain. Tujuannya tetap sama seperti ayah di atas: Mencari sampah untuk dijual bagi mendapatkan sesuap nasi.

Kasihani mereka.

3) Ekonomi yang meningkat = Taraf hidup juga meningkat?

Sila fahami bahawa ekonomi yang baik tidak bermaksud taraf hidup rakyat yang 80% itu juga akan baik. Baca artikel ini jika mahu memahaminya dengan lebih lanjut.


EPILOG POLITIK TRILOGI

Maka buat kali terakhir, saya menyeru kepada pembaca-pembaca blog ini yang bakal mengundi di pilihan raya kali ini dan yang akan datang, supaya fikir dahulu sebelum pangkah. Pastikan juga anda tahu apa yang membuatkan undi anda terjatuh dalam kategori undi rosak. Dan tolonglah turun mengundi. Kalau masih buntu untuk memilih yang mana, maka choose the lesser of two evils.

Sebelum saya mengakhiri tulisan ini, ingat lagi dengan 15 Perkara yang Saya Belajar Dari Google Trends? Ini sedikit kemas kini tentang salah satu dari 15 perkara tersebut:


Freedom or bondage, it's your vote! Ke arah masyarakat yang tidak idiokrasi.

---
Artikel lain dalam siri Politik Trilogi:
1) Pusara di Pilihan Raya
2) Bahana Perang Bendera dan Poster

21 Komen Tambah Komen↴

Terima kasih kerana mempersembakan sebuah catatan/rungkaian/syarah yang menarik bagi pihak kami (bakal-bakal pengundi).

It's true that lesser evil is better than true evilz.(In light there is dark and in dark there is light).Having said that I would like to remind people that by voting the evilz tidaklah bermakna "you have commited a great sinned that is on par with riddah" . Masya-Allah, sungguh kejam kepada mereka yang menyebar-nyebarkan berita yang sedemikian. Nanti timbul pula isu undi tidak ikhlas dan sebagainya.

Ke arah progressive change ala Larry Lessig!

http://lessig08.org/

Assalamualaikum...

Kali pertama menyapa walaupun dah agak lama saya menjadi silent reader blog anda. Saya bukan seorang yang suka membebankan kepala dgn isu-isu yang berat dan itu rasanya mmg kelemahan saya. Namun saya kagum dgn mrk yg mampu memberikan pandangan dan membuatkan orang lain berfikir spt yang dimatlamatkan oleh sdr Tawel bila menulis.

Politik... tak pernah saya memikirkan secara serius, tapi alhamdulillah, saya tdk lalai untuk menunaikan tanggungjawab saya sebagai rakyat kecuali sekali semasa saya perlu memilih antara exam yg menentukan masa depan saya dan mengundi pemimpin/parti yang saya tak tahu siapa yang baik utk mewakili rakyat.

Saya tak sukakan sembang orang politik, tak suka sembang tentang politik kerana ada sesetengah orang yang keterlaluan bila memberikan pendapat berdasarkan cerita yang didengar sehingga lupa bahawa setiap kita ni manusia biasa yang penuh dengan kelemahan. Sebagai individu biasa, kita punya pengetahuan yang terhad terhadap sesuatu perkara yg Allah izinkan untuk kita tahu (berdasarkan apa yang diberitahu). Sukar untuk kita tahu apa sebenarnya yang disasarkan oleh orang tertentu terutama apa yang hanya berbisik didlm hati manusia. Jujur atau tidak, amanah atau tidak, kadang tu hanya yang terlibat tahu apa yang dilakukan. Saya harap mereka yang memikul tanggungjawab juga tidak lupa bahawa ALLAH tahu...

Bagi saya, kempen dilakukan dgn pelbagai cara samada secara langsung dan tidak langsung. Bentuk kempan banyak jenis termasuk menyebarkan keburukan calon yang tidak disukai melalui channel komunikasi dan maklumat, yang terlalu mudah didapati sekarang ini lantaran kemajuan teknologi yang terkini. Paling mudah dan sering digunakan oleh sesiapa saja ialah melalui email. Berkempen dan membantu kempen secara tidak rasmi.

Amat sedikit yang menyebarkan kebaikan calon berbanding keburukan. Sebenarnya menyebarkan kebaikan lebih baik dari menyebarkan keburukan kerana jika kebaikan yang disebarkan tidak benar, rasa sakit hati tak akan timbul, tapi jika keburukan yang disebarkan, banyak yang sakit hati. Dosa yang dibuat kerana membuat fitnah perlu meminta maaf dari individu terbabit dan ianya bukan senang untuk dilakukan kerana kita hanya rakyat biasa saja yang kadang tu tak pernah berpeluang untuk berjumpa dgn pemimpin.

Menjelang pilihanraya akan datang, apa yang saya akan lakukan bila ingin memilih pemimpin (yang kadang tu saya tak kenal kerana saya hidup dan mencari rezeki dirantau orang tapi bila mengundi saya balik kg) ialah sembahyang istikharah dan berdoa agar saya tak tersalah pangkah, tak kira parti apa yang diwakili. Semoga kepercayaan yang diberikan tidak akan disalahgunakan.

Yondie, itu satu hal juga. Satu hal lagi bila saya pernah jumpa orang cakap-cakap seperti:

"Friendster pun dijadikan medan untuk berkempen? Semua ini perkara duniawi. Jangan kita taksub dengan semua ini."

dan

"Dari fikir politik, baik fikir pasal mati. Fikir-fikirkan."

Akhirnya saya pun naik keliru sama ada sebenarnya saya yang ekstrim dalam isu politik atau pun mereka sebenarnya yang ekstrim untuk tidak mengambil tahu tentang politik.

Anak muda Malaysia memang begitu gamaknya. Ada sesiapa perasan anime Naruto Shippuden episod 46 oleh Dattebayo? Kagum pula kadang-kadang melihat kesedaran politik anak muda di Amerika.

Suara, baguslah macam tu. Selama ni solat istikharah hanya digunakan bila nak tentukan 'adakah si dia untukku..' Terima kasih untuk komen. Saya kenal seorang lagi pembaca senyap blog ini :)

@Tawel: Terima kasih atas rangkaian triologi menarik ini. Ana masih mengejar untuk menyeluruhi sekian artikel-artikel di sini setelah menulis satu post ringkas berkaitan pilihanraya juga. Setelah lama mendiamkan diri kerana diserang virus 'writers block' baru hari ini berkesempatan menulis sesuatu yang difikirkan dari luar kotak bagi 'kita' yg akhina Tawel sebut dalam komen di atas.

Mati vs Politik

Sunnah vs Bidaah

Feqh Siasah vs Feqh Ibadah

Kadang-kadang kita lupa menyeluri kisah-kisah Salaf Soleh yg tidak membezakan diantara kesemuanya hingga selepas zaman pergolakan antara Muawiyyah dan Saidina Ali r.a dan khalifah Abbasiyah hingga ulama, umara' dan ahli tasawwuf terbahagi tiga. Namun terbahaginya mereka bagi yg benar-benar ikhlas tidak pernah mengambil jalan tidak peduli kepada usaha amar ma'ruf nahi mungkar.

Hampir-hampir dalam stigma kesibukan dan virus writers block, alqasam juga pernah merasakan kemalasan membicarakan atau mepedulikan soal politik kerana merasakan ianya menyempitkan dada sehingga tersedar sebentar minggu ini. Dalam dalam masa-masa kritikal begini, fikirlah dengan bijak akan masa depan masyarakat dan anak-anak kita kelak!

Salaam,

@Sensei, mahu komen sikit pasal kata-kata Iron Lady tu... kalau berdiri di laluan trafik baik di kiri atau di kanan, memang dah sah kena langgar; tapi kalau berdiri di tengah-tengah antara laluan, cuma pemandu yang cuai dan jahat saja yang akan langgar - tak kira dari arah laluan mana... :))

Makanya, kata-kata tu tak boleh dijadikan panduan. ;-)

@Suara, memang betul bahawa ada kempen (mungkin banyak) yang mendedahkan keburukan orang lain. Mereka ini tidak tahu atau tidak sedar bahawa, "sekiranya kita mendedahkan keburukan orang lain, Allah akan mendedahkan pula keburukan kita." Menyampaikan sesuatu yang benar dan tidak disukai oleh orang yang dikenakan, itu adalah umpat; kecuali dengan tujuan pengajaran dan tidak menamakan orang yang dikenakan. Menyampaikan sesuatu yang tidak benar pula adalah fitnah. Elakkanlah dari kedua-duanya, kerana yang menyampaikan dan yang mendengar - semuanya mendapat share.

Mengapa lebih keburukan disebarkan dari kebaikan calon? Jawapan yang lojiknya, adalah tidak banyak kebaikan yang dilakukan oleh calon untuk tujuan disebarkan, berbanding keburukannya! Tambahan pula, terlalu kerap istilah "the lesser of two evils" digunakan, seolah-olah semua mereka itu tak ada yang baik!

inasni

Amboi, sempat lagi dia berkempen supaya menonton Naruto! XD

Oh Convoy, sebenarnya hamba tidak akan berkempen untuk menonton Naruto. Naruto kualitinya semakin merudum (banyak sangat flashback dan adegan-adegan pandang-senyap-termenung yang membuang masa).

@Inasni, berdiri di tengah-tengah jalan mungkin selamat, hanya jika jalan itu ada double-line. ;)

Mendedahkan keburukan orang lain (ghibah) ada masanya diharuskan. Imam Nawawi dalam kitab Riyadhus Solihin pun pernah menerangkan 6 jenis ghibah yang dibenarkan:

1. Ketika diri dizalimi.
2. Meminta bantuan untuk menghilangkan kemungkaran.
3. Meminta fatwa.
4. Memperingatkan kaum muslimin daripada kejahatan atau untuk menasihati mereka.
5. Ketika seseorang itu sendiri sudah tidak malu untuk menampakkan kefasikannya.
6. Memanggil seseorang yang memang dia sudah terkenal dengan nama itu. Sebagai contoh Si Gemuk, dengan syarat bukan untuk tujuan menghina.

6 perkara tu ditulis secara ringkas sahaja, dan kena baca syarah Imam Nawawi sendiri kalau nak lebih faham. Kadang-kadang ghibah ni penting juga dalam politik..where greed wears the mask of morality.

Tapi sudah tentu, melakukan ghibah dalam 6 perkara di atas masih memerlukan pendekatan yang berhikmah.

[Off-topic untuk "berkempen"]
Sensei, hampir KESEMUA anime sebegitu maa! Selain daripada yang anda sebut tu, mereka juga suka bermonolog, berfalsafah, dan di kalangan "penonton" (yang menonton perlawanan antara dua pihak) pulak, mereka suka "menerangkan" kepada kita apa yang dibuat oleh orang yang tengah bertarung tu (skil, kelemahan, hikmat/jurus, bla bla bla...). Heh, nampaknya Naruto sudah mengikuti jejak langkah "mentornya" merangkap "tok gurunya"; DRAGON BALL!

...

[Balik pada topik]

Hakikatnya di negara kita yang tercinta ini, selagi kita tidak boleh memBERSIHkan set-minda (mindset ler tu!) orang kita, maka mahu tidak mahu, kita kena pangkah berdasarkan parti dahulu.

Melainkaaaannn... calon itu sepertimana Datuk Shahrir Samad tu. Berpendirian teguh biarpun menongkah arus. Tu contoh ja tu!

Ataupun calon itu seperti Datuk Mukhriz Mahathir. Hehe, tapi dia tu belum tau lagi macam mana cara kerjanya, maka teringin nak tengok dia menang dulu, heheh!

Ehem, tapi memandangkan sistem kita ni masih dengan cara yang hampas, dan orang yang "kritis" atau yang benar² berwibawa atau intelek atau cendekiawan pun habis semua kena "cantas", dan yang tinggal ialah dari jenis yang "entah apa²" (sebab kuat mengampu dan sebagainya, contohnya ialah majoriti yang menjadi calon bagi suatu parti di negeri kelahiran hamba ini), maka bagaimana lagi cara untuk kita kasi mereka "pelajaran"? Yeaaa... pandai murid² semua!

Tahun ini merupakan tahun hamba berubah 360 darjah mengenai pendirian politik hamba ini. Rasanya faktor paling utama ialah wujudnya seorang "kaki tidur" yang sedang memegang tampuk yang tinggi di negara kita. Nak kena bagi dia "terjaga" ni!

Maka, undilah [tuuuuut] (censored).

@Convoy,

Parti > Calon, juga adalah satu faktor penting yang tetap perlu dipertimbangkan di Malaysia, lebih-lebih lagi memandangkan indeks demokrasi kita pada tahun 2007 teruk sangat (tangga 81).

Namun, oleh kerana kita cuma tinggal 2 kali sahaja pilihanraya umum sebelum memasuki tahun 2020, masyarakat Malaysia perlu disedarkan betapa pentingnya untuk mengambil tahu siapa yang bertanding. Jika tidak, calon di tahun 2020 nanti akan masih:

1) Terlalu bergantung kepada kredibiliti parti ketika bertanding. Khabarnya Dr Mahathir sendiri pernah berkata, "UMNO/BN ni kalau letak 'batang kayu' sebagai calon pun, mereka akan tetap menang juga."

Hamba tidak mahu 'batang kayu' yang menyelesaikan masalah rakyat di kawasan hamba.

2) Malas untuk berfikir secara kritis bagaimana untuk menyelesaikan masalah penduduk di Parlimen/DUN yang diwakilinya. Ini yang akhirnya menyebabkan wakil rakyat turun padang di saat pilihan raya sahaja, ataupun ketika berlakunya musibah, hanya jika di situ ada TV3, RTM, Utusan, etc, berkunjung sama.

Oh ya Convoy, sebenarnya hamba tak gemar sangat kalau orang menggunakan isu tidur, atau secara eksplisitnya isu "Pak Lah Tidur dalam Parlimen" sebagai kempen pilihan raya. Ini memandangkan hamba sendiri pun pernah banyak kali tertidur dan terlelap ketika menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar di dalam kelas ;)

Sebut tentang "kaki tidur", sebenarnya hamba perasan yang frasa "kaki tidur" kemungkinan besar Google bomb yang paling berjaya dalam carian Bahasa Malaysia.

Google kaki tidur, dan hasil carian pertama adalah artikel bertajuk Q&A with Mahathir bin Mohamad. Lihat screenshot.

@Sensei, sekarang isu ghibah ini menjadi hangat berikutan Hj Hadi memberi kebenaran kepada calon bertanding untuk "menyerang" lawan. Penerangan sensei itu memang tepat pada masanya... jadi taklah timbul kekeliruan kalau kita tahu di mana batasnya...

@Convoy, set-minda tu adalah pemikiran atau cara berfikiran kan? Masalah dalam cara pentadbiran sekarang adalah pengagihan pembangunan yang kekadang tak seimbang. Sesetengah negeri tidak diberi budget yang cukup untuk pembangunan (bukankah budget diperuntukkan oleh kerajaan pusat?). Ambil saja contoh Terengganu dahulu, walaupun negerinya kaya dengan sumber minyak tetapi pembangunannya terlalu teruk, sehinggalah bila pembangkang ambil alih barulah kerajaan "tersedar" - buktinya selepas berjaya menawan kembali negeri itu, barulah terlihat pembangunan yang bagaikan cendawan tumbuh.

Wakil-wakil rakyat yang dipilih itu tak lebih hanya penyampai hasrat rakyat (tak termasuk mereka yang hanya tahu duduk dan bercakap semata, tapi tak pernah nak turun padang dan ambil tahu hal atau masalah rakyat - kecuali bila nak pilihanraya, barulah sibuk ke sana ke mari menunjukkan batang hidung dan membuat itu ini sambil cakap "ia dah lama ada dalam perancangan kita"). Jadinya, bila mereka mewakili parti yang memerintah, apa-apa permintaan biasanya senang sikit nak dapat - berbanding dengan mereka yang mewakili pembangkang. Namun yang sedihnya, kebanyakan wakil rakyat yang telah terpilih (menang di kawasan bertanding), mereka "berpaling" pula menjadi "wakil parti yang memerintah", kerana nak menjaga kedudukan atau karier politik masing-masing; sehinggakan sanggup menjadi 'batang kayu' macam kata TDM.

[off-topic]
Kalau cerita pasal kartun naruto tu, saya juga meminatinya dan mengikuti perkembangan watak-watak dalam siri tersebut. Yang bagusnya, watak utamanya mempunyai jatidiri yang teguh, yang jarang ditunjukkan dalam mana-mana siri anime.

@Sensei, "banyak sangat flashback dan adegan-adegan pandang-senyap-termenung yang membuang masa" - ini kerana ia mengikuti siri komik cerita yang sama, dan ia tidak akan mendahului siri komik tersebut, jadinya terpaksalah diperlahankan perjalanan ceritanya.
[/off-topic]

inasni

[off-topic juga]Ya inasni. Ha, itulah dia masalah UTAMA bagi hampir kesemua anime yang diadaptasi daripada manganya. Akibat terlampau mengikut manganya, maka akibatnya ialah, bila sampai ke peringkat di mana manganya sendiri belum advancekan ceritanya, tapi anime sudah sampai ke situ, maka pengarah versi animenya tu terpaksa memasukkan episod² 'filler' yang tersangat dibenci oleh kebanyakan peminat. Sebabnya ialah jalan cerita yang dimasukkan itu adakalanya akan membuatkan berlakunya kontradiksi (yang sangat besar adakalanya) dengan cerita asal yang ingin disampaikan oleh penulis manganya itu.

Hamba tak faham kenapa adaptasi manga ke anime perlu diikut seratus peratus, dan kenapa dibuat sedangkan manganya masih belum tamat. Ya la, bagi la tamat dulu, senang nak animasikan saja, tak perlu pecah kepala dan membazir duit (dan masa penonton) membuat episod filler tu. Kalau bagus tu tak apa jugak, tapi majoriti peminat tak suka benda camtu (termasuklah Sensei kita tu yang dah termengaku mengenainya tu, heheh!).

Kenapa tak melencong terus macam sesetengah manga-ke-anime lain, macam FULLMETAL ALCHEMIST contohnya, biarpun manganya masih ongoing, animenya dah lama tamat.

Hahah! Itulah dia "politik dalam anime"!

Sebab tu hamba lebih suka layan anime yang tidak terikat pada manga.

Dan sebab tu hamba lebih LEBIH suka layan animasi "orang putih", hehe! ;)[/off-topic juga]

...

Ya Sensei, bukan "khabarnya", tapi memang sohih Tun Dr.M (TDM) pernah berkata sedemikian. Malah dia juga pernah berkata "Jangan mengundi BN/PAS/DAP secara membabi-buta" (don't vote... blindly), sebaliknya gunakan akal anda dan fikir, katanya. Berfikir sebelum mengundi la tu.

Harap anak TDM tu tak termasuk dalam kategori "batang kayu" yang dikatakannya tu. Mujur hamba tak perlu mengundi di kawasannya itu, kalau tidak mungkin boleh dilema hamba jadinya, haha!

Heran TDM sekarang ni, apa saja yang dia cakap, seolah macam cuba "menyesali" apa yang MUNGKIN dia pernah buat dulu waktu jadi PM. Kalau dia sedar dan insaf betul², Alhamdulillah la. Tapi tak dinafikan masih ramai yang "berdendam" dengan dia tu, heh! Apahal pun, dia tak tidoq waktu bertugas, hah!

inasni, hamba setuju dengan segala yang anda perkatakan. Harap di Terengganu nanti boleh berlaku suatu kezutan la hendaknya.

Yo Sensei, haha, tak sangka Google sudah "register"kan bahawa kalau kalimah "kaki tidur" itu mesti dipaparkan senarai² yang anda tunjuk dalam screenshot anda tu!

Eh, dah tengok video di Youtube yang menduduki tangga kedua dalam senarai carian tu? Ish, tu video waktu kat Multaqa Alumni Al-Azhar baru² ni tu! Sungguh memalukan! Satu dunia Islam memerhatikan kita. Aaaargh!!!

Oh ya, sapa dok main Yahoo! Messenger? Hahah, nampak gayanya kalau kita online YM pun, akan keluar iklan kempen (melalui tetingkap Insider) yang dah selalu dah dok keluar kat TV tu. Dah la sebab itu buat hamba mual tengok TV, ini nak lari dari TV, nak online YM pun terserempak lagi dengan iklan ni. Adoi, dah tak "bebas" dah camni...

Cakap pasal tidur, nak tergelak membaca kata² TDM mengenai anaknya, Mukhriz, yang lebih rajin daripadanya, sebab dia dulu hanya suka "tidur".

Agaknya lah, TDM bercakap mengenai dirinya, atau orang lain yang suka tidur tu? =)

Cepat jawab, ini trick question nih! :P

Video tu baru pertama kali tengok dan rasa pening kepala bila den tonton.

Bila pening kepala waktu pilihan raya semakin dekat ni, banyakkanlah berzikir dan memohon petunjuk dari Allah. Dan bagi sesetengah orang (termasuk hamba!), menonton satu video ini dapat melegakan ketegangan dalam kepalaku apabila mengenangkan situasi politik Malaysia.

Ini videonya... Election Blah Blah Blah.

Ahaks, video tu memang best. Hamba pun dapat pautan ke situ dari mana entah.

Apahalpun, jom kita berkongsi pautan video.

Nah tengok pulak video ini: YB vs Blogger...

@Convoy, terimakasih kerana memberi pautan video tu, tak tahupun wujudnya laman web golongan muda seperti ini, yang terbuka kesedarannya terhadap suasana politik negara...

@Sensei, itulah tanda kesedaran politik golongan muda di negara kita ini. Yang peliknya, ia telah diwujudkan sejak 2006 lagi, tapi penyertaannya tak begitu meluas, kenapa ya? Mungkin benar, kebanyakan golongan muda kita terlalu khayal dengan hiburan dan "terlupa" tentang negara yang bakal mereka warisi di masa hadapan...

Episod Setem YB itu menarik sekali kerana ia menggambarkan tindakan wakil dari pembangkang dan penyokong-penyokong mereka sebelum ini membuat kerja "meludah di depan setem"; bukannya "di belakang setem" dan lupa kepada tujuan asal setem itu. Begitu sinis sekali...

Tapi kelihatannya PRU-12 ini berbeza sedikit kerana pembangkang ada halatuju yang jelas seperti memberikan tumpuan kepada kebajikan rakyat, sebagai contohnya Manifesto PAS berkenaan "Negara Berkebajikan" (dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris ini). Kejutan mungkin berlaku kerana rakyat baru saja terhantuk dan terngadah dek kenaikan kadar inflasi dan kos sara hidup yang melambung akibat kenaikan harga minyak sedunia. Andainya BA dapat meneruskan momentum slogan Negara Berkebajikan ini dalam satu suara, tidak mustahil rakyat akan berubah arah mengikut tiupan BA pada kali ini.... ataupun mungkin beberapa tahun akan datang!

Jawapan BN terhadap "Manifesto Negara Berkebajikan" itu tidak begitu meyakinkan, kerana walaupun banyak senarai "kebajikan" yang dikemukakan, kesan dan hasilnya sejak lebih 4 tahun kebelakangan ini adalah mendukacitakan. Persoalannya tentang senarai itu adalah "sejauh manakah peruntukan itu dilaksanakan?" dan sekiranya benar dilaksanakan "sebanyak manakah yang benar-benar dibelanjakan?" dan "bagaimana kesannya kepada golongan sasaran?". Dalam masa yang sama juga ia cuba menggambarkan seolah-olah merekalah yang mengeluarkan segala sumber perbelanjaan itu, sebaliknya mungkin mereka lupa (atau menyangka rakyat masih boleh diperbodohkan?) bahawa segala sumber perbelanjaan itu datang dari rakyat dan dari kekayaan negara yang "dipunyai" oleh rakyat, bukannya "dipunyai" oleh golongan atau syarikat tertentu. Dan mereka tidak lebih sekadar hanya sebagai kelompok yang dipertanggungjawabkan dan diamanahkan untuk menguruskannya secara jujur dan berhikmah!

Kita tunggu dan lihat saja hasilnya nanti...

inasni

@Inasni, jika saya menjadi pemimpin rakyat, saya akan merendahkan umur layak mengundi kepada 18 tahun seperti di Amerika. Ataupun sekurang-kurangnya mereka layak mendaftar pada umur 18 tahun tetapi untuk mengundi mesti berumur 21 tahun ke atas.

Barulah kita boleh menyedarkan lebih ramai golongan muda tentang betapa pentingnya untuk mengetahui senario politik tanah air.

Nak tunggu umur 21 tahun baru boleh mendaftar adalah agak terlalu lama sangat. SPM sekarang ini pun makin bagus keputusannya. Makin ramai yang lulus. Jadi takkanlah mereka itu, di umur 18 tahun, masih dungu lagi jahil untuk menilai baik buruk pada undi yang mereka lakukan.

Jadi saya tidak faham mengapa mesti 21? Budak muda yang 21 tahun pada 2008, mesti ramai yang kecewa kerana hanya boleh mengundi pada usia mereka 26 tahun.

Jadi saya berharap sangat sekiranya umur minimum untuk mengundi ini dibahaskan di Parlimen. Maka sokonglah Parti Hembusan yang diwakili oleh Tawel! Hehe ;)

Ahaks! Parti Hembusan...
Nama tu agak "komersil" bunyinya... tak begitu sesuai untuk nama yang bermotifkan politik...

Then again... *Apa ada pada nama?*
Some said.... "Everything!!"

Memang betul, umur 21 tu "terlalu sangat tua-nya" pada zaman sekarang ini. Anak-anak muda kini semakin cepat matang, mungkin kerana ledakan informasi yang keterlaluan, malah kanak-kanak juga tak lepas dari menerima hentaman dan tempiasannya. Jika di zaman 60-an hingga 80-an dahulu mungkin boleh diguna-pakai lagi, kerana anak muda di waktu itu tidak begitu terdedah luas dengan permasalahan dan persoalan negara... tetapi tidak lagi di era 90-an dan abad baru ini.

Cuma yang saya rasakan, jika mahu menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun, perlu kepada perancangan dan persediaan yang teliti dan berkesan - taklah nanti mereka ini terkenjat dan dengan mudah pula diperkuda oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan. Anak muda sebegini kebanyakannya mudah "dibeli" dengan hanya harga yang kecil (tidak semua)... Makanya persediaan seperti kesedaran sivik dan politik perlu diberikan bermula di bangku sekolah lagi.

Perbahasan umur minimum di Parlimen? Masih terlalu banyak rintangannya... dan yang terbesar adalah stumbling block AUKU yang perlu dimansuhkan terlebih dahulu!

inasni

AUKU? Haish berat sangat pula isunya kalau hendak dibincangkan di ambang pilihan raya ini. Di kala ini, saya lebih suka membaca politik satira yang santai.

Buatku tersengih-sengih pabila membacanya. Mari ikut pesanan Siti Nurhaliza. Dan berdasarkan artikel ini pula, Siti bakal mengundi di Parlimen Titiwangsa.

This is what happen when the internet pwned the copy of your identity card. And I love when bloggers can read underneath the underneath because it's a ninja ability ;)

Haha, kalau dalam anime, umur 21 tu memang dah "tua", sebab majoriti hero anime ditetapkan dalam lingkungan 17-19 tahun. Malah 19 tahun tu boleh jadi bukan hero tapi ahli pasukan yang paling senior dalam pasukan hero anime tu. Ada yang baru 14 tahun tapi dah boleh jadi samseng dan 10 belasah orang dewasa tanpa sebarang masalah. Gila.

Hah, biasnya aku terhadap anime!

...

Ya, nak sembang bab AUKU ni dalam waktu suntuk camni memang tak masyuk la.

...

Ohohoho, Kak CT kita tak daftar lagi rupanya. Tapi memang dia ngaku dia baru daftar pun. Dan biarpun namanya tiada dalam rekod, namun dengan menggunakan magis tertentu, pastinya namanya nanti akan ada di tempat dia sepatutnya mengundi nanti, percayalah. Dia ni boleh dikatakan pengundi Zombie tak?

Tapi itulah dia perempuan, biasanya mereka ni tak ambil peduli sangat bab camni. Heh, nanti pembaca pompuan tak puas hati pulak kononnya hamba ni generalize.

Tapi memang berdasarkan pemerhatian, ada seorang kenalan hamba yang tak minat dengan politik, biarpun ayahnya tu calon DUN. Tapi tu dulu la. Rasanya tahap kesederan dah meningkat dah kot sekarang ni, mudah²an.

...

Isu terkini, SPR tak jadi nak guna dakwat. Haha, ini secara peribadi hamba rasa sikit lega sebab hamba tak mau ada apa² kesan di tangan hamba yang comel lagi mulus ni! Tapi yang tak syoknya, alasan yang diberi SPR tu tersangat tak masuk akal. Macam budak²! Ka aku yang makin dewasa dalam menilai ni? Hoho!

Diharapkan peti lutcahaya tu kekal la hendaknya...

...

Apadaa parti Hembusan? Kalau dalam bahasa Inggeris, jadi parti "Blows". Kan negatif maksudnya tu? Hahaha!

Ooops, Astaga, minta maaf Sensei, harap diterima gurauan ini dengan baik ya? ;)

Lagipun kan sekarang ni zaman yang sesuai untuk membaca satira politik yang santai? Ni cubaan hamba untuk bersatiralah ni! Apahalpun, terima kasih atas pautan ke laman² satira tu. Boleh tambah koleksi bookmark hamba...

Oh ya, jom kita sokong parti PUNDAK! Yeahh!! =D

Haha Parti Blows? Kurang sungguh kosa kata Inggeris mu! Parti Breeze daa.. Tapi masalah juga nama ni. Macam nama parti yang memperjuangkan nasib sabun basuh pulak ;p

Berkenaan bab anime pula. Masalahnya kita di Malaysia ni, 21 tahun baru boleh belajar ilmu-ilmu untuk jadi hero. Kalau begitu, bila hendak graduasi dari sekolah hero? Aku mahu ke Kampung Konoha.

TQ Convoy untuk pautan Parti Pundak tu. Tergelak den baca. Tapi hamba perhatikan pada PRU-12 ni, ada satu trend baru yang jarang dilihat sebelum ni:

1) Penghasilan bahan kempen politik bercorak satira. Saya percaya seni satira adalah cara terbaik untuk memberikan kesedaran politik kepada mereka yang selama ini malas mengambil tahu tentangnya, secara khususnya golongan anak muda.

2) Lebih ramai orang mula sedar dan membincangkan tentang kepentingan untuk mengetahui calon yang bertanding. Mungkin terkena tempias pilihan raya di US agaknya.

3) PRU pertama yang saya perasan, yang mana ia paling kurang dipengaruhi oleh sentimen keagamaan dan kebangsaan, termasuk juga sentimen mata lebam. Kali ini, sentimennya ada bau-bau bacang kepada penyebab berlakunya Revolusi Perancis: Tekanan pada status sosial dan jurang ekonomi.

Liberté, Egalité, Fraternité - Kebebasan, Persamaan, Persaudaraan.

Ku merenung langit, sambil menantikan era Enlightenment yang bakal digerakkan oleh cendiakawan tanah air, sambil berfikir, "Mampukah mereka?"

Graduasi dari sekolah hero? Haha, macam siri games QUEST FOR GLORY la pulak! Dalam episod pertamanya dia baru grad. Sensei pernah main? Hehe, inilah dia game yang memperkenalkan hamba kepada genre Adventure dan RPG sekaligus.

...

Oh, ingatkan hamba seorang saja yang perasan trend satira ni! Rupanya memang sebelum ini tak kelihatan ya? Mungkin disebabkan kemajuan IT yang menyediakan platform (blog, Youtube) yang seiring dengan kadar celik IT di kalangan orang kita? Lagi pula, tak pasti hamba dengar kata² orang atau idea dari kepala otak hamba sendiri, tapi katanya "kekejaman/kezaliman mencetuskan kreativiti yang tertindas".

Macam Revolusi Perancis ya? Enlightenment ya? Hmm... selagi tak berlalu generasi tua yang kurang pendedahan (salah satu faktor ja ni), rasanya susah sikit kot cendekiawan tanah air kita nak berjaya. Tapi moh kita doakan!

...

P/S: Ada dua benda lucu yang hamba tonton di TV semalam yang ada kaitan dengan entri dan komen² di entri ini:

1) Dalam drama PENDEKAR 5 episod 20, Tun Fatimah menjadi vigilante, berpakaian dan bertindak sebagai NINJA, siap dengan pedangnya sekali!

2) Dalam siri MISSION: IMPOSSIBLE, RTM2 telah menayangkan episod mengenai pilihanraya di negara yang mengamalkan politik kepartian (langsung tiada calon!) yang sudah dirancang kemenangannya supaya berpihak pada parti pemerintah yang dikuasai oleh polis!

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.