Sesudah membacanya, perkara yang membuatkan saya tersengih-sengih ialah apabila kerajaan Selangor di bawah pentadbiran yang baru, mahu membuat kebajikan dengan memberikan bantuan kepada orang muda yang hendak berkahwin. Tentu saya gembira, sebab sayalah antara orang muda yang dimaksudkan itu. Mudah sikit hendak buat kerja yang baik. Yang rasa cemburu nanti cumalah pakcik-pakcik yang mahu tambah isteri. Tapi kadang-kadang tak semestinya pakcik.
Ini kerana saya ada seorang kenalan sekolah yang sama umur macam saya, yang sudah pun beristeri dua! Lalu adakah kerajaan Selangor akan turut memberikan bantuan kepadanya jika dia mahu bermadu tiga? Silalah jawab wahai Dr Hasan Ali sebab kalau ikut manifesto: "Memberi bantuan kepada anak-anak muda untuk mendirikan rumah tangga." Haha ;)
Walaupun demikian apabila kerajaan Selangor mahu memberikan air percuma sebanyak 20 m3 (m3 = meter padu) sebulan kepada kira-kira 1 juta pengguna air domestik di Selangor, saya agak menentangnya setengah hati. Kenapa?
Sebelum saya pergi jauh, harus ditekankan bahawa bekalan air percuma itu boleh dinikmati bukannya kerana kerajaan Selangor yang akan mengeluarkan RM 11.4 juta sebulan, sebaliknya kos itu akan ditanggung oleh Syabas dan Puncak Niaga setelah kerajaan Selangor menyemak semula perjanjian yang telah termetrai sebelum ini. Kata Tan Sri Khalid Ibrahim:
Perkara-perkara yang terkandung dalam perjanjian ini akan digunakan untuk membekalkan 20 meter padu air secara percuma.
Harga 20 meter padu ialah RM 11.40. Satu juta pengguna, bermakna kosnya bersamaan RM 11.4 juta sebulan. 12 bulan = RM 136.8 juta. Ini jumlah yang sangat besar.
Idea yang saya pandang mungkin lebih bagus adalah begini:
Bukan beri 20 m3 air sebulan kepada 1 juta pengguna air domestik di Selangor, sebaliknya pengguna tidak perlu membayar apa-apa sekiranya mereka menggunakan air sebanyak 20 m3/sebulan dan ke bawah. Dengan kata lain:
Kalau guna air di bawah 20 m3/bulan = percuma;
Kalau guna lebih 20 m3/bulan = kena bayar penuh.
Idea ini adalah killing four birds with one stone. Saya akan huraikan apakah kesan positif membunuh 4 ekor burung itu dengan sekaligus.
BURUNG PERTAMA: Air tidak dibazir, malah semakin dijimat
Satu kritikan yang muncul ialah pengguna akan lebih membazir dalam penggunaan air. Maklumlah percuma. Saya rasa ini berpotensi besar untuk berlaku kerana manusia secara fitrahnya tidak menghargai benda yang percuma[1]. Saya selama duduk di Ireland yang memberikan air percuma kepada rakyatnya ini, jarang-jarang nampak sama ada orang Malaysia mahupun Irish sendiri yang berhemat dalam penggunaan air.Sebab itu saya berhujah jika air percuma hanya diberikan kepada pengguna di bawah paras 20 m3/bulan, ini boleh mengurangkan kebarangkalian pembaziran air yang akan berlaku. Malah sebaliknya ini akan membuatkan mereka lebih berusaha untuk tidak melakukan pembaziran air. Mengapa?
Manusia secara fitrahnya suka melakukan sesuatu jika ia membawa keuntungan. Secara psikologi, jika sebelum ini bil air rumah Ahmad ialah RM15/bulan, dan dasar kerajaan pula kata: "Jika bil air sebulan ialah RM11.40 dan ke bawah, maka tak payah bayar apa-apa, tapi kalau RM 15 (dan sebagainya) kena bayar penuh", maka Ahmad sendiri secara automatik akan cuba meminimakan penggunaan air supaya dia layak mendapat air percuma.
Sebaliknya jika bil air rumah Ahmad adalah RM15/bulan, dan kerajaan negeri pula kata "20 meter padu air percuma untuk semua pengguna domestik", maka ia akan susut menjadi RM3.60/bulan sahaja. Bila bil menjadi serendah itu, maka Ahmad tidak akan rasa teragak-agak untuk lebih 'berpesta air'. Kerana apa? Kerana dia rasa murah sangat bil air tu. Jadi baginya agak okay untuk menggunakan lebih air supaya bilnya menjadi RM10/bulan. Bukankah nilai itu sudahpun kurang RM5 dari yang selalunya?
Jika sebelum ini dia basuh kereta sebulan sekali, maka dia akan basuh kereta sebulan 4 kali selepas ini. Jika sebelum ini dia mandi sehari sekali, selepas ini dia akan mandi sehari dua kali. Jika sebelum ini dia naik risau jika air sentiasa menitik dari paip, selepas ini dia tidak akan risau dan kisah sangat. Jika sebelum ini dia menadah air hujan untuk dijadikan air siraman pada pokok-pokok bunganya, selepas ini dia tidak lagi akan berbuat demikian.
Kita berbicara tentang permainan psikologi di sini.
BURUNG KEDUA: Jimat duit dan masa kerajaan
Anda tahu berapa banyak kerajaan habiskan untuk melakukan kempen jimat air? Saya pun tidah tahu sebenarnya. Apa yang pasti, Dr Khir Toyo pernah melancarkan Kempen Jimat Air di Selangor. Kita juga ada Kempen Jimat Air Kebangsaan yang akan tamat pada 1 Ogos 2008 ini. Seperti yang kita tahu juga, apa-apa jenis kempen akan memerlukan wang.Maka apabila kesedaran menjimatkan penggunaan air itu datang dari diri sendiri, iaitu apabila mereka sedar bahawa lagi sikit guna air, lagi cerah peluang mendapat air percuma, maka dia akan melakukannya tanpa perlu ada orang suruh melalui apa-apa kempen.
BURUNG KETIGA: Kumpulan sasaran yang berjaya diringankan bebannya akan jadi lebih tepat
Kata MB Selangor:Tujuan kerajaan negeri memperkenalkan dasar ini ialah bagi meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.
Mari berfikir secara realistik. Siapakah golongan berpendapatan rendah ini yang akan diringankan bebannya melalui dasar tersebut? Kalau ia merujuk kepada seorang bapa dan makcik tua lumpuh yang mencari rezeki di buangan sampah yang pernah saya ceritakan dulu, ya saya setuju. Jumlah mereka ini secara relatifnya sangat kecil.
Namun saya tidak begitu bersetuju jika ia juga merujuk kepada mereka yang tidaklah sekaya atau semiskin mana, tetapi masih mampu memasang Astro di rumah, masih mampu membeli top-up telefon paling kurang RM30 sebulan, dan sebagainya. Golongan seperti inilah yang membentuk majoriti masyarakat.
Ya benar, di samping golongan miskin, mereka ini juga adalah golongan yang akan paling rasa tertekan jika harga minyak dan barang keperluan harian lain melambung naik. Namun saya tidak rasa beban kewangan mereka boleh dikurangkan dengan sangat drastik jika kerajaan Selangor melaksanakan dasar yang dicadangkan itu. Apa sangatlah lebihan RM 11.40 sebulan pada kantung poket sedangkan mereka ini masih mampu membawa keluarga makan di KFC dan McDonald sekurang-kurangnya sebulan sekali.Bukan niat saya untuk melihat hanya golongan berpendapatan rendah yang betul-betul kais pagi makan pagi, kais petang makan petang sahaja yang dapat menikmati air percuma. Sebaliknya jika kerajaan Selangor benar-benar berhasrat meringankan beban golongan berpendapatan rendah, maka ia akan jadi lebih tepat jika hanya pengguna air di bawah 20 m3/bulan sahaja yang diberikan air percuma. Mengapa? Sebab orang kaya biasanya guna air banyak. Sebab orang kaya biasanya tak kisah sangat dalam soal menjimatkan penggunaan air. Dan orang kaya tak kisah sangat jika bil air mereka RM20 atau pun RM50. Tapi orang susah akan kisah.
Maka konsep kebajikan itu perlu disasarkan tepat kepada mereka yang betul-betul menghargai dan terangkat sedikit nasibnya jika mendapat air percuma sebanyak 20m3 sebulan. Jumlah mereka ini bukannya banyak sangat pun. Oleh kerana kita tidak akan memberikan air percuma kepada majoriti golongan yang tidak akan terasa sangat kesan pelaksanannya, maka kos yang dapat dijimatkan itu boleh disalurkan untuk meningkatkan kualiti bekalan air yang akan saya terangkan di bahagian berikutnya.
Saya menekankan faktor kualiti air kerana jika air itu bersih, maka orang senang, orang susah atau orang sederhana, semuanya akan rasa gembira.
BURUNG KEEMPAT: Ada peruntukan untuk menaiktaraf kualiti air
Seperti yang saya katakan tadi, bekalan air 20m3 percuma untuk semua pengguna air domestik di Selangor akan memakan kos RM136.8 juta setahun yang perlu ditanggung oleh Syabas dan Puncak Niaga. Kita katakan hanya 15% pengguna domestik di Selangor yang menggunakan air di bawah 20m3. Harus diingat bahawa 15% ini nilai spekulasi sahaja. Bil air rumah saya biasanya dalam RM8-RM10/bulan dan ramai juga jiran-jiran saya yang bil bulanannya tidak melebihi RM11.40/bulan. Buat pengetahuan, saya tinggal di Padang Jawa yang letaknya bersebelahan sahaja dengan Rimba Jaya (tempat berlakunya isu kuil Hindu yang dirobohkan), dan boleh dikatakan bahawa sekurang-kurangnya 80% penduduk Padang Jawa dan Rimba Jaya adalah dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana.Jika 15% pengguna ini tidak perlu membayar air sama sekali, manakala 85% bakinya mesti membayar penuh, maka kos untuk memberikan air percuma itu paling banyak hanya boleh menjadi RM20.52 juta/tahun sahaja.
Jadi baki RM116.28 juta/tahun itu boleh disalurkan untuk meningkatkan kualiti air di Selangor. Kualiti bagaimana yang kita mahu? Kita mahu kualiti air seperti di UK dan Ireland yang mana dalam kebanyakkan kes, kita boleh terus minum air yang keluar dari paip. Tak perlu masak, tak perlu rebus. Buka paip, tadah dengan cawan, baca Bismillah, dan minum.
Ehem, kalau asyik air kopi yang keluar dari paip macam di Melaka tu, susah juga saya nak buat air sirap selasih yang sangat popular di bulan puasa itu!
---
NOTA KAKI:
[1] Jika anda pengguna Linux, anda mungkin ingin tahu bagaimana konsep percuma itu boleh menjadi satu bala kepada Linux dan perisian open source yang lain. Baca: Why Linux Doesn't Spread - the Curse of Being Free. ¶ Teruskan membaca entri ini »






