Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Sepanyol XXXIX: Bandar Bosan

    17 Julai 2005 • 0 Komen
    Bagi saya, Seville ini agak bosan. Tiada apa yang menarik sangat di sini. Mungkin tarikan utama di sini adalah bullfight. Mungkin sahaja..saya sendiri tidak pasti sebab tidak pergi pun melihat perlawanan di antara matador dan lembu itu.

    Konsep melawat di sini adalah street-by-street. Bosan sungguh! Senibina bangunan yang dijumpai pula agak tipikal dengan mana-mana struktur bangunan yang ada di Eropah secara umum. Entahlah. Rasanya lebih seronok kalau melawat bandar Banting! Jadi, kalau melawat Sepanyol, tak rugi pun kalau tak melawat Seville kalau rasa nak jimatkan kos melancong. Oleh sebab itu, saya pun malas nak tulis panjang-panjang.

    Cukuplah kalau pos berkaitan Seville diakhiri dengan 2 keping gambar.


    Sebuah bazaar yang diwujudkan sempena menyambut kedatangan Krismas. Banyak peralatan-peralatan tipikal untuk menyambut Krimas yang dijual.



    Satu lagi gambar di depan Gothic Cathedral. Sebenarnya lokasi gambar ini sama sahaja seperti gambar dalam pos yang pertama.



    Kereta kuda yang terdapat berdekatan dengan Gothic Cathedral.

    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXVIII: Soul of Andalucia

    13 Julai 2005 • 0 Komen
    Ada apa dengan Seville? Mengikut epik lama, Hercules adalah pengasas bandar ini. Dikatakan juga bahawa Seville adalah bandar ke-4 terpadat di Sepanyol selepas Madrid, Barcelona dan Valencia. Ia turut digelar dengan nama Soul of Andalucia.


    Di hadapan Gothic Cathedral pada suatu senja.


    Pada tahun 1147, pusat pemerintahan dan ibu kota wilayah Andalusia telah dipindahkan dari Cordoba ke Seville. Seperti yang dijelaskan dalam Wa Laa Ghalib Illallah [2] pada pos yang sebelum ini, Sultan Muhammad Al-Ahmar telah membantu orang-orang Kristian untuk menawan Seville pada 1248. Jarak di antara 1147 hingga 1248 (iaitu 99 tahun sahaja) kemungkinan besar menjelaskan mengapa kurang ditemui tinggalan-tinggalan Islam di sana.

    Lebih-lebih lagi, jangka masa 99 tahun itu bukannya satu tempoh yang aman. Umat Islam di Seville tidak henti-henti berjuang menentang Kristian yang masih tidak jemu-jemu berjuang untuk menawan Seville. Pada tahun ia ditawan (iaitu 1248), kira-kira 300,000 orang Islam yang menjadi majoriti populasi di situ telah lari meninggalkan Seville. Setelah ia ditawan, banyak masjid-masjid dirobohkan dan kemudiannya digantikan dengan gereja.

    Sebagai contoh yang paling jelas, perhatikan gambar pertama dalam pos ini. Gambar itu diambil di kawasan luar Gothic Cathedral [1]. Ia dikatakan di antara Cathedral yang terbesar di dunia [2]. Ia didirikan di atas tapak sebuah masjid utama Seville. Walaupun masjid itu sudah tidak wujud lagi pada hari ini, namun 2 bahagian asal masjid itu masih lagi kekal sehingga ke hari ini, iaitu:

    1) Court of Oranges
    Maaf. Saya rasa saya terlepas pandang bahagian ini. Jadi saya tidak ada koleksi gambar di Court of Oranges. Kalau ingin melihat juga, boleh klik sini.

    2) Menara Giralda
    Menara ini dibina pada tahun 1163 dan siap pada 1184. Pada mulanya, saya sendiri menyangka bahawa menara ini telah dibina oleh orang-orang Kristian. Sekali pandang memang begitu. Tapi nampaknya sangkaan saya salah. Ia sebenarnya adalah sebuah menara masjid utama Seville. Walaupun mereka meruntuhkan masjid utama, tetapi menara ini terus dibiarkan hidup.

    Pada tahun 1586, fungsinya telah ditukarkan menjadi sebuah menara loceng. Binaan senibina Moorish yang asal telah diubahsuai untuk memperlihatkan unsur-unsur Renaissance padanya. Jadi, kita tidak akan menyangka bahawa menara itu pada asalnya telah dibina oleh orang-orang Islam jika dilihat sepintas lalu.

    Di bawah ini adalah perbandingan kedudukan menara Giralda dan Gothic Cathedral. Boleh juga klik sini untuk melihat gambar menara Giralda dari dekat.


    Kedudukan menara Giralda dan Gothic Cathedral. Menara Giralda terletak di sebelah kiri. Sekali pandang senibinanya tidak ada langsung ciri-ciri Arab.

    Dah Tak Bingung Lagi

    Memang saya sendiri agak bingung pada mulanya - mengapa saya tidak berjumpa dengan sebarang monumen Islam sedangkan Seville dikenali sebagai Soul of Andalucia. Atau mungkin juga kerana saya yang tidak mencarinya dengan betul. Tapi setelah berjaya mengetahui sebabnya, saya akhirnya faham. Sebenarnya saya telah terlepas pandang beberapa fakta yang telah saya sebutkan sebelum ini.

    Apa pun, saya tidak bercadang untuk menulis panjang tentang Seville. Insya-Allah, pos yang akan datang adalah yang terakhir untuk Seville. Ia sekadar sebuah pos yang biasa sahaja dan tidak memeningkan otak anda.


    Pokok oren, bulan penuh dan cathedral. Gambar ini diambil berdekatan dengan menara Giralda.

    Nota Kaki

    [1] Cathedral dan gereja sama sahaja maksudnya. Gothic dalam konteks ini bermaksud "sesuatu yang berkaitan dengan lukisan, binaan, ukiran dan kesenian yang banyak terdapat di Eropah Utara dari kurun ke-12 hingga kurun ke-15."

    [2] Antara cathedral terbesar di dunia ialah:
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXVII: Selamat Tinggal Granada

    11 Julai 2005 • 1 Komen

    Stesen Keretapi Granada. Klasik dan unik.


    Sedih pula mahu meninggalkan Granada. Belum puas lagi bermain di sini. Tapi apakan daya.. Keretapi ke Seville (turut disebut Sevilla) bertolak jam 11.45 pagi. Walaupun waktu itu adalah musim sejuk, tetapi di Granada suhunya agak panas. Saya mula berasa tidak selesa disebabkan pakaian yang saya pakai adalah agak tebal.

    Keretapi yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba juga. Jika tidak silap, perjalanan Granada-Seville memakan masa 2 jam. Apabila saya masuk ke dalam kabin dan mencari tempat duduk yang sudah ditetapkan, tiba-tiba saya menyedari bahawa ada satu keluarga yang nampaknya berbangsa China, telah mendominasi tempat yang sepatutnya saya duduki.

    Saya melihat kembali tiket sepintas lalu. Apakah saya tersalah masuk kabin? Saya akhirnya yakin dengan diri saya. Nombor tempat duduk mereka memang betul, cuma tersalah kabin. Jadi saya pun memberitahu mereka bahawa mereka tersilap kabin. Dengan lafaz 'Sorry' dan sebuah senyuman, mereka meninggalkan tempat itu.

    Segala-galanya OK pada keretapi itu, cuma satu sahaja - tempat duduknya yang tidak best! Ia adalah dari jenis yang saling menghadap orang di hadapan kita. Cuma ada sebuah meja sahaja yang menjadi pemisah. Tak semua tempat duduk dalam keretapi itu begitu. Hanya sedikit sahaja.

    Kalau tidak silap, cuma ada 8 tempat duduk sahaja yang begitu dalam satu-satu kabin, dan saya telah melabuhkan punggung saya di atas 1 dari 8 kerusi itu. Kawan saya yang 2 orang itu pula menerima nasib yang sama. Apa yang beza cuma mereka duduk di bahagian lain, tapi masih lagi di dalam kabin yang sama - mereka duduk di sebelah saya tetapi dijarakkan oleh sebuah laluan kecil.

    Benci sungguh! Tempat duduk seperti itu sebenarnya tidak memberikan privacy kepada penumpangnya. Saya fikir mungkin syarikat keretapi Sepanyol ingin menjadikan rakyatnya lebih bersosial, maka dibuatnya fesyen begitu. Aduh-aduh. Saya sebenarnya begitu mengantuk. Ikutkan hati, mahu sahaja saya melelapkan mata yang kuyu ini. Tetapi bila sudah duduk begitu, takut-takut juga kalau-kalau air liru basi tumpah meleleh di hadapan seseorang yang tidak saya kenali sewaktu saya enak dibuai mimpi nanti.

    Saya berfikir-fikir kembali. Saya rasa nak tidur juga kerana mengikut kebiasaan, saya memang jarang tidur keluar air liur basi :p. Tapi akhirnya niat itu saya batalkan sahaja kerana yang duduk di sebelah saya adalah seorang wanita. Dan dua orang lagi yang duduk di hadapan saya juga adalah wanita. Ketiga-tiganya masih muda dan berbangsa Spanish. Saya kira mereka berusia dalam awal 20-an.

    Ini membuatkan saya semakin bertambah segan untuk memejamkan mata. Kalaulah terkeluar air liur basi.. Akhirnya saya membuat keputusan untuk membaca buku sahaja sepanjang perjalanan Granada-Seville. Tidak pernah sekali pun saya menegur, apatah lagi berbual dengan anak-anak gadis Spanish tersebut kerana saya tahu akibatnya nanti adalah seperi ayam berbual dengan itik.

    Dengan fikiran itu berenang-renang di otak, dan buku di tangan sebagai teman, akhirnya roda keretapi yang saya naiki itu berjaya juga bergolek di atas landasan stesen keretapi Seville setelah 2 jam berkerja.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXVI: Wa laa Ghalib Illallah [2]

    08 Julai 2005 • 0 Komen

    Kali ini ia lebih jelas. Namun, titik yang sepatutnya ada pada huruf ghain telah hilang. Jadi jangan salah faham. Bukan huruf 'ain ye.


    Sistem feudal amat prolifik di bahagian Eropah Barat dari kurun ke-9 hingga kurun ke-15. Ia adalah sistem dua hala di antara Tuan Tanah (Lord) dan Penyewa Tanah (Vassal). Sebenarnya tak berapa tepat nak terjemahkan Vassal kepada Penyewa Tanah. Oleh itu, Vassal dan Lord akan digunapakai.

    Dalam sistem feudal, kita sendiri sudah maklum - Vassal beri servis kepada Lord, dan Lord akan melindungi Vassal. Inilah seringkas-ringkas penerangan tentang sistem feudal. Kalau tak faham juga, saya sendiri tak tahu nak kata apa.

    Dalam kes kerajaan Islam Granada, sebenarnya telah berlaku sistem feudalisme. Oleh kerana Granada menjadi satu-satunya bandar Islam terakhir yang tinggal di Sepanyol [1], maka Sultan Muhammad al-Ahmar terpaksa membuat perjanjian feudalisme dengan Raja Ferdinand III. Memang Sultan al-Ahmar tidak suka. Tetapi beliau terpaksa. Keselamatan rakyatnya mesti dijaga. Kalau tidak pasti nasib Granada akan sama seperti bandar-bandar Islam lain di wilayah Andalusia. Oleh itu, Sultan Muhammad Al-Ahmar menjadi Vassal dan Raja Ferdinand III menjadi Lord.
    LORD: Raja Ferdinand III
    VASSAL: Sultan Muhammad Al-Ahmar

    Senang cerita, Granada yang menjadi bandar terakhir milik Islam di Sepanyol bukanlah satu bandar yang merdeka. Ia adalah sebuah negeri Vassal yang terikat dengan sistem feudal. Granada mesti patuh kepada kerajaan Kristian yang sudah menawan semula hampir keseluruhan Sepanyol pada waktu itu.

    Oleh kerana sudah menjadi satu kewajiban bagi Vassal memberikan servis kepada Lord, maka Raja Ferdinand telah meminta Sultan Muhammad Al-Ahmar menyediakan pasukan tentera bagi membantu tentera Kristian menawan sepenuhnya Seville yang masih lagi dalam pegangan Islam pada tahun 1248. Saya berpendapat ia berlaku dalam 10 tahun selepas perjanjian feudalisme kerana Sultan Muhammad Al-Ahmar memulakan pembinaan istana di Al-Hambra pada 1238. Apa pun, maafkan jika saya tersilap kerana saya bukanlah seorang pengkaji sejarah.

    Suka atau tidak suka, mahu atau tidak mahu, Sultan Muhammad Al-Ahmar terpaksa mengalah. Jika tidak, Granada pasti diserang oleh Kristian juga. Maka berangkatlah pasukan tentera Islam ke Seville bagi membantu armada Kristian di sana. Akhirnya Seville tumbang. Kejatuhan Seville adalah harga kebebasan Granada.

    Walaupun kepulangan Sultan Muhammad Al-Ahmar disambut dengan kegembiraan dan sorakan rakyatnya, namun dalam hatinya hanya Allah yang tahu. Kesedihan Sultan Muhammad Al-Ahmar diukir [2] pada dinding-dinding istana Nasrid - Wa Laa Ghalib Illallah, Tiada yang berkuasa selain Allah - berulang-ulang kali.

    Kepada rakan-rakan yang akan pergi ke Al-Hambra, carilah ukiran tulisan ini. Tidak susah. Kalian akan jumpanya berulang-ulang kali. Kadang-kadang, kalian tidak akan jumpanya secara individu seperti contoh 2 keping gambar yang saya sertakan sebelum ini. Lakukan sedikit usaha. Kalian akan jumpanya juga pada baris-baris puisi Islamik yang menjadi hiasan istana Nasrid ini. Cuba lihat contoh gambar di bawah ini. Cari ayat Wa Laa Ghalib Illallah.

    Lagi satu, cuba baca semula pos Istana Nasrid dan lihat gambar yang kelima. Ada jumpa tak ayat Wa Laa Ghalib Illallah?


    Ada jumpa tak ayat tu dalam gambar ini?


    Wa Laa Ghalib Illallah akan kekal terukir di Al-Hambra. Sudah hampir 800 tahun ia di situ. Ia akan terus di situ sehinggalah Hari Kiamat.

    Wa Laa Ghalib Illallah - ia juga pada akhirnya menjadi slogan dinasti Nasrid. Walaupun menjadi sebuah negeri Vassal, ia masih mampu bertahan selama lebih 200 tahun. Bukan itu sahaja, malah umat Islam di Granada berjaya mencipta tamadun yang agung di sana!

    Nota Kaki

    [1] Barangkali ia bandar Islam terakhir yang masih belum DIANCAM ketika itu. Pada 1238, Seville yang juga terletak di wilayah Andalusia, masih belum jatuh sepenuhnya ke tangan Kristian. Ia jatuh pada 1248. Cordoba pula pada 1236.

    [2] Jangan lupa bahawa ketika ini Istana Nasrid masih lagi dalam proses pembinaan. Sebab itu Sultan Muhammad Al-Ahmar berpeluang mengabadikan Wa La ghalib Ilallah pada banyak bahagian istana Nasrid. Kalimah itu juga telah diukir oleh waris-waris Sultan Muhammad Al-Ahmar.
    ----

    P.S. Dengan ini, berakhirlah pos tentang Granada. Segala puji bagi Allah yang memberikan saya kekuatan untuk menyiapkannya sehinggalah ke saat ini.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXV: Wa laa Ghalib Illallah [1]

    05 Julai 2005 • 1 Komen
    Sekali pandang, pengunjung yang boleh memahami tulisan Arab akan menyangka bahawa ukiran-ukiran yang terdapat pada bahagian dinding itu membawa maksud Wa Laa Ilaaha Illallah, atau dalam bahasa Malaysia: Tiada Tuhan Selain Allah.

    Hal ini terjadi kepada diri saya sendiri dan juga kepada 2 orang kawan saya itu. Mungkin kerana kesuntukan masa, kami tidak begitu ambil pusing tentang ukiran itu. Bukan sekali dua kami menjumpainya. Berulang-ulang kali dalam bentuk ukiran yang berbeza. Begitu banyak. Oleh kerana saya agak berminat dalam hal-hal begini, maka saya telah mengambil gambar ukiran-ukiran tersebut.

    Setelah saya balik semula ke Dublin dan melihatnya di dalam komputer, saya kini punya banyak peluang dan masa untuk memperhatikan dan menganalisis ukiran itu dengan lebih terperinci. Barulah saya perasan bahawa ukiran itu bukan bertulis Wa Laa Ilaaha Illallah - ia sebaliknya bertulis Wa Laa Ghalib Illallah.

    Apakah maksudnya?

    Sebagai seorang individu yang tidak pernah mempelajari bahasa Arab secara formal, saya telah bertanya kepada dua orang rakan saya yang lebih faham dan arif tentang selok-belok bahasa Arab. Orang pertama yang saya tanya ialah Wanzu. Tapi Gild turut menjawabnya. Gild yang jawab dahulu walaupun saya lebih menjuruskan pertanyaan itu kepada Wanzu.

    Gild kata, 'Ghalib' bermaksud 'Biasa'. Wanzu juga menjawab, Ghalib bermaksud Biasa. Tapi menurut Wanzu lagi, Ghalib juga boleh membawa maksud: 'Yang Menang/Yang Berkuasa'.

    Wanzu kemudian memberi contoh kata-kata Saidina Ali ra: "Alhaq bila nizhom sayuGHLIBUhu albathil bin nizhom" [1]. Wanzu kata lagi, di dalam Al-Quran, boleh rujuk Surah Ar-Rum ayat 2 dan 3.

    Saya juga ada bertanya kepada Abdul Mageed. Abdul Mageed adalah seorang yang berbangsa Berber dari Algeria yang kini menetap di Tallaght, Dublin. Tetapi, selalu juga datang ke South Circular Road untuk bersolat di Dublin Mosque. Oleh kerana rumah saya terletak betul-betul berhadapan dengan Dublin Mosque, maka selalu juga Abdul Mageed bertandang ke rumah saya. Sebenarnya lebih tepat saya katakan bahawa dia adalah rakan Sani yang merupakan rakan serumah saya. Satu rumah kami sudah sedia maklum yang Sani ini jenis yang suka bawa tetamu ke rumah.

    Jauh pula saya melencong. Baiklah, berbalik kepada Abdul Mageed tadi. Saya bertanya kepadanya apakah maksud 'Ghalib' memandangkan dia adalah seorang yang memang berlidah Arab asli.

    Jawabnya: "If you fight with me, and you win, that's mean you're 'ghalib'. You're more powerful than me".

    Setelah memahami maksud Ghalib ini, saya merumuskan bahawa Wa Laa Ghalib Illallah bermaksud: Tiada Yang Berkuasa Selain Allah. Setelah melakukan sedikit kajian, saya telah menjumpai sejarah di sebalik ukiran tersebut. InsyaAllah akan saya beritahunya di dalam entri yang berikutnya - Wa Laa Ghalib Illallah episod 2

    Perhatikan betul-betul. Cuba cari perkataan Wa Laa Ghalib Illallah. Maaf kalau tak nampak. Gambar yang ini memang kurang jelas. Kalau nak lihat yang lebih jelas, nantikan pos selepas ini.


    Nota Kaki

    [1] Ia bermaksud: Kebenaran yang tiada disiplin/sistem/perancangan akan dikalahkan oleh kebatilan yg bersistem.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXIV: Sesudah Sultan Itu Pergi

    03 Julai 2005 • 0 Komen

    Kota ini bukan lagi milik Islam.


    Apakah nasib orang-orang Islam di Sepanyol setelah Sultan Muhammad XI pergi melarikan diri ke Morocco? Kita sudah tahu bahawa Granada adalah bandar terakhir milik Bani Umaiyyah di Sepanyol. Walaupun Granada mampu bertahan selama lebih 200 tahun (1238-1492), tetapi ia berdiri dalam keadaan yang uzur dan sakit.

    Waktu itu adalah zaman kemerosotan Bani Umaiyyah di Sepanyol. Waktu itu juga, bandar-bandar lain di sekitar Andalusia seperti Cordoba, Toledo, dan Seville sudahpun ditawan semula pihak Kristian.

    Oleh itu, bila Granada juga ditawan, ia menandakan tamatlah legasi Bani Umaiyyah di situ. Sepanyol bukan lagi milik Islam sehinggalah ke hari ini. Majoriti umat Islam yang menjadi orang buangan di dalam negara mereka sendiri, telah melarikan diri ke benua Afrika yang terletak di bawah Sepanyol secara geografi.

    Namun demikian, proses emigrasi ini tidaklah berlaku sejurus selepas Islam tumbang di sana. Pada mulanya, umat Islam masih boleh tinggal lagi di Sepanyol. Sebelum proses Inquisisi bermula [1], orang-orang Islam masih lagi dibenarkan mengamalkan agama masing-masing, berkerja, memasuki tentera, memiliki tanah, bercucuk-tanam dan sebagainya.

    Tapi setelah bermulanya Inquisisi, perkara menjadi terbalik. Orang-orang Islam telah dirobek hak mereka sebagai rakyat dan akibatnya kehidupan menjadi semakin sukar. Akhirnya mereka terpaksa juga melarikan diri. Oleh itu, pada awal abad ke-17, hampir kesemua survivor peristiwa 1492 telah dihalau secara paksa oleh kerajaan Kristian Sepanyol.

    Nota Kaki

    [1] Inquisisi di Sepanyol ketika itu dilaksanakan di atas perintah raja. Inquisisi tersebut adalah berkaitan dengan polisi penukaran agama rakyat Sepanyol yang beragama Islam dan Yahudi kepada agama Kristian. Ia penting bagi memastikan keturunan Kristian Sepanyol tidak ada yang terdiri dari orang-orang Islam dan Yahudi yang menukar agama mereka kepada Kristian. Mereka inginkan "cleanliness of blood".
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXIII: Terima Kasih Washington Irving

    3 Komen
    Kalaulah tidak kerana Allah memberikan hidayah kepada Washington Irving untuk menulis tentang keajaiban Al-Hambra, mungkin istana yang megah ini sudah lama pupus. Selepas ditawan oleh tentera Kristian, banyak perubahan-perubahan yang dilakukan oleh mereka.


    Washington Irving menghabiskan masanya selama 1 tahun di dalam ruangan yang terdapat papan tanda ini. Ada sesiapa yang faham Spanish? Kalau faham, silalah terjemahkan ye :)


    Mula-mula sekali ia dijadikan sebuah mahkamah Kristian. Kemudian, berek-berek tentera dan gereja turut didirikan di atas tanah Al-Hambra. Seperti mana yang berlaku di bandar-bandar lain di wilayah Andalusia, cucu Raja Ferdinand dan Ratu Isabella, iaitu Raja Charles V adalah mahkluk yang paling banyak mengubah struktur binaan pada istana tersebut. Ia dilakukan semata-mata untuk mewujudkan pemandangan Renaissance di situ.

    Tapi yang paling teruk adalah ketika abad ke-18 dan sebahagian abad ke-19. Istana Al-Hambra yang memuatkan senibina Moorish yang agung dibiarkan dan diabaikan oleh pemerintah Sepanyol. Ia dihuni oleh para peminta sedekah dan juga golongan pencuri dan penyamun.

    Bila Napoleon Bonaparte datang bersama-sama askarnya ke Sepanyol [1], makin tragis nasib yang dideritai oleh istana Al-Hambra. Napoleon telah melakukan banyak kerosakan pada istana itu. Pernah sekali dia meletupkan dua buah menara semata-mata untuk menyelamatkan dirinya. Begitulah nasib istana itu. Ia semakin parah dari hari ke hari.

    Mujurlah pada tahun 1870, Istana Al-Hambra telah diisytiharkan sebagai sebuah monumen negara. Maka sejak itu, proses pemeliharaan dan pemuliharaannya giat dijalankan sehingga hari ini. Malah, kaedah saintifik turut digunakan untuk mengembalikan semula keajaiban senibina Moorish tersebut. Ini semua adalah jasa seorang penulis Amerika, Washington Irving.

    Beliau telah mengarang sebuah buku yang bertajuk Tales of the Alhambra yang menceritakan tentang keagungan istana itu. Proses menyiapkan buku itu dilakukan di dalam sebuah ruang istana yang kosong. Ia telah ditulis pada tahun 1829. Saya sendiri pun tidak pernah memegang buku itu, apatah lagi membacanya. Tapi orang kata, buku itu memang bagus. Ia laksana sebuah epik romantik yang akan kekal membuktikan kepada dunia bahawa pernah wujud sebuah tamadun dan empayar Islam yang agung di bumi Sepanyol. Boleh baca review buku itu di sini.

    Terima kasih Washington Irving!

    Nota Kaki

    [1] Napoleon Bonaparte adalah seorang Emperor Perancis yang sangat genius. Kekuatan tentera dan militari yang dipimpinnya waktu itu dikatakan mampu menawan segenap benua Eropah, tetapi masih tidak mampu untuk menakluki Great Britain. Napoleon dan para askarnya telah menawan Granada dari tahun 1808-1812.


    Kalau tak silap, ini adalah ruangan di mana terdapatnya papan ukiran nama beliau itu. (Rujuk gambar atas)
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXII: Dan Sultan Itu Menangis

    02 Julai 2005 • 1 Komen
    Kerajaan terakhir itu tumbang ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad XII*, iaitu pada tahun 1492. Ingatlah tahun itu. Tahun itu Kristian semakin melebarkan lagi sayapnya. Pada tahun itulah Christopher Columbus dihantar ke Amerika. 10 tahun sebelum ia tumbang, berbagai-bagai masalah dalaman berlaku. Ia bermula akibat permusuhan berterusan beberapa golongan keluarga bangsawan - terutama sekali Zegris dan Abencerages. Perpecahan semakin meretak dan meletuslah perang saudara.

    Pada masa itu juga, orang-orang Kristian semakin bertambah kuat selepas perkahwinan di antara Raja Ferdinand II (dari Aragon) dan Ratu Isabella (dari Castille). Aragon dan Castille adalah 2 buah kerajaan Kristian yang sangat kuat pada waktu itu. Orang-orang Kristian dari Castille telah mula menyerang Granada - mereka ingin menawan satu Sepanyol.

    Usaha demi usaha Sultan Muhammad XII lakukan. Baginda bertahan selama 10 tahun. Pernah sekali baginda membuat perjanjian damai (secara sulit) dengan Raja Ferdinand. Baginda menghantar menterinya, Abul Qasim Abdul Malik untuk berjumpa Raja Ferdinand. Kristian bersetuju. Akhirnya, sebuah perjanjian rahsia yang mengandungi 15 perkara ditandatangan.

    Namun, walaupun ia sebuah perjanjian rahsia, ia akhirnya terbongkar juga ke telinga para rakyat dan askar. Berita itu tersebar luas. Rakyat jelata tidak berpuas hati dengan tindakan sultan. Ini kerana pada perkara ke-15 menyatakan bahawa:
    Kota Granada akan dibiarkan merdeka selama 1 tahun. Selepas 1 tahun, pihak Kristian akan menawannya...

    Sultan itu takutkan pemberontakan dari rakyatnya sendiri yang tidak berpuas hati itu. Maka sultan itu menyerahkan Al-Hambra kepada pihak Kristian. Raja Ferdinand kemudiannya telah meminta Mandhurah (seorang paderi di Sepanyol ketika itu) untuk masuk terlebih dahulu ke kota Granada dan kemudian meletakkan palang salib di bahagian menara tertinggi istana Al-Hambra, di samping membuang segala syiar-syiar Islam yang ada di situ.

    Berita ini semakin mengejutkan rakyat jelata. Mereka kelihatan sangat sedih dan marah. Apabila Raja Ferdinand tiba, Sultan Muhammad XII menyerahkan kunci istana Al-Hambra dan berkata kepada Raja Ferdinand:
    Wahai raja yang agung! Kami kini adalah orangmu dan meletakkan kepercayaan negeri ini ke atasmu kerana ia telah menjadi takdir Allah. Kami yakin kami akan menerima layanan yang lembut dan baik darimu.

    Selepas itu, Sultan Muhammad XII meninggalkan Raja Ferdinand untuk melarikan diri ke Morocco. Saudara-mara, keluarga, barangan peribadi dan hartanya telah pun dihantar terlebih ke sana. Sementara itu, palang salib kelihatan bersinar-sinar di atas menara Al-Hambra. Raja Ferdinand dan puak-puaknya berbondong-bondong memasuki Istana Al-Hambra.

    Apabila Sultan Muhammad XII sampai ke puncak sebuah bukit yang berdekatan dengan Istana Al-Hambra, baginda memalingkan muka ke arah Granada. Memori-memori keagungan Al-Hambra bermain di fikirannya.Dan sultan itu akhirnya menangis. Ibunya yang ada pada masa itu berkata:
    Apabila engkau tidak dapat menyelamatkan negaramu walaupun engkau telah menjadi seorang askar yang gagah berani, kini apa gunanya untuk mengalirkan air mata seperti seorang wanita?

    Dan sultan itu terus menangis...


    Mungkinkah di bukit sana sultan itu menangis?

    ---
    * Turut dikenali sebagai Boabdil dan Abu Abdullah. Baginda adalah Sultan terakhir kerajaan Islam Granada.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »